Awal pagi Sabtu 10 Disember 2011, hampir jam 2 pagi gitu. Selepas menyiapkan artikel
Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Raya Haji di Medan... dan penceritaan sebenar pun bermula dan menyediakan barangan yang perlu baru kami anak beranak meninggalkan rumah. Akibatnya kami sampai ke Melaka hampir jam 5. Kami 'bermalam' dengan makan di warung tepian Jalan Hang Tuah sebelum menziarahi makam Sheikh Shamsuddin Al-Sumatrani di Kampung Ketek seterusnya solat Subuh di Masjid Kampung Hulu.
Asalnya kami mahu terus ke Muar. Tetapi Sabtu malam Jumaat bapa saya menalifon mengatakan dia dan ibu mahu bermalam di rumah adik saya di Melaka. Maka dari Masjid Kampung Hulu kami pun bergegas ke rumah adik. Di sanalah kami berehat sehingga malam sebelum kembali ke rumah ibu bapa di Muar. Di atas adalah gambar pagi esoknya hari Ahad. Kelihatan anak kecil kami Al-Rasyid (paling hadapan) bersama adik saya yang lain, adik bongsu dan anak-anaknya bersiap sedia untuk keluar berjalan.
Adapun adik perempuan yang bekerja sebagai seorang doktor di Johor Bahru ini baru sahaja tamat cuti bersalin anak keempat. Lalu sebelum masuk kerja dia datang bersama anak-anak dan suami untuk turut bersama kami di Melaka sebelum ke Muar. Kalau ikut rancangan asal saya Sabtu itu juga mahu pergi lebih ke selatan kerana kami mahu ke Pontian sebelum masuk ke Singapura. Tetapi disebabkan bapa berada di Melaka dan adik bongsu ingin datang kami tunda rancangan dan tengahari Ahad sama-sama keluar ke bandar Muar.
Kami pergi ke bahagian rekreasi yang lebih dikenali sebagai Tanjung. Ahad 11 Disember adalah hari lahir bapa lalu beliau mengajak keluarga sama-sama menyambut. Kebetulan juga hari itu adalah ulang tahun perkahwinan saya dan isteri. Dan tarikh itu juga merupakan hari lahir Sultan Selangor sehingga isteri yang bekerja di Rawang mendapat cuti hari Isnin.
Atas sebab Isnin cuti itulah isteri memanjangkan terus percutian untuk membuat perjalanan kali ini. Sebelum itu kami pernah merancang mahu turun ke Johor Bahru kemudian naik Pontian sebelum masuk ke Singapura 26 November, hari lahir saya yang ke 41. Rancang kami ketika itu mahu menghadiri majlis perkahwinan saudara di JB sebelum membawa sejumlah saudara lain ke Pontian untuk berkenalan dengan saudara mara sana belah Bugis yang baru dikenali kira-kira setengah tahun lalu. Kebetulan ada juga majlis kahwin di pihak mereka dan kami dijemput hadir, satu acara yang sudah kami tunggu sejak mengenali mereka. Rujuk artikel
Ke selatan sempena cuti Hari Buruh - Salasilah sebelah ibu, makam Malim Deman, pertemuan Sungai Muar/Jempol dan tetamu misteri di makam Tuan Tulis yang dibuat 11 Mei.
Namun sehari sebelum 26 November kereta kami mengalami masalah teruk tidak boleh menukar gear. Sebenarnya masalah ini mula terasa sebelum kami berlepas ke Medan untuk perjalanan sehingga ke Banda Aceh 2-13 November, perjalanan yang sedang diceritakan melalui siri "Jejak 'Berpetualang ke Aceh'". Tetapi kami menyangkakan kereta masih boleh bertahan hingga ke awal 2012. Apabila dah sampai peringkat nak masuk gear satu dan reverse perlu matikan enjin terlebih dahulu, kalau tidak langsung tak boleh masuk, apabila bertukar gear satu ke dua, dua ke tiga dan seterusnya pula sentiasa aje tersangkut sehingga lebih 10 saat baru kami sedar mustahil dapat berjalan jauh dalam keadaan itu.
Nak tak nak kereta terpaksa dihantar masuk ke bengkel pagi Jumaat sedangkan acara akan berlaku hari Sabtu. Kami tidak cukup masa untuk mendapat kenderaan gantian lalu terpaksa melupakan perjalanan yang dirancang. Sejak itu saya bertekad, sebelum akhir tahun 2011 akan membuat perjalanan ke selatan untuk menziarahi saudara mara belah Bugis yang dimaksudkan di Pontian sebelum masuk ke Singapura bertemu saudara mara lain iaitu dari belah Jawa. Kali ini kami tidak mahu berjanji awal-awal. Kalau dapat masa dan peluang kami akan pergi sahaja dan bertawakal kepada Allah samada dapat berjumpa ataupun tidak.
Oh. Tentang keluarga berdarah Jawa iaitu dari ibu kepada ibu saya, satu perjalanan khusus sehingga terkumpul bahan awal untuk buku "Jejak keluarga Yakin" pernah dibuat 2 tahun lalu. Sila rujuk
Koleksi artikel "Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan"... . Di atas adalah kepala kereta api lama yang terdapat di satu bahagian Tanjung. Perhatikan betul-betul di tepi belakang. Masih ada kesan tulisan M.S.R. tetapi telah dicat hitam, tulisan yang membuktikan Muar bertaraf negeri sehingga awal abad ke 20 Masihi, bukan sekadar daerah di dalam negeri Johor. Kerana M.S.R. adalah singkatan untuk Muar State Railway, "Keretapi Negeri Muar".
Selepas makan tengahari di Tanjung seraya meraikan hari ulang tahun bapa, baru saya, isteri dan anak sedia untuk meninggalkan Muar.
Selepas beberapa kilometer Jalan Junid mengecil menjadi jalan kampung sebelum masuk ke jalan lebih besar menuju ke pekan Parit Jawa. Di sana kami pergi ke kawasan pantai, kalau tak salah dipanggil Pantai Leka.
Tidak lama selepas itu kami pun menghampiri destinasi utama hari Ahad. Lihat nama Betak di papan tanda? Itu adalah moyang kepada ibu saya, seorang berketurunan Bugis yang katanya memiliki seramai 7 orang isteri... bukan sekali gus le. Itupun setakat yang diketahui saudara mara di Pontian. Entah-entah ada ramai lagi isteri...
Betak atau Daeng Betak ini dikatakan membuka Parit Betak sekitar tahun 1910. Letaknya ke hadapan sedikit sahaja daripada sempadan daerah Batu Pahat-Pontian.
Menggunakan alamat rumah yang diberi lebih setengah tahun lalu dan bertanya pada orang tempatan kami dapat mencari rumah saudara yang mula dikenali lebih setengah tahun lalu. Ternyata ada hikmah perjalanan kami tertunda dari Sabtu membawa ke lepas tengahari Ahad akibat menurut kehendak orang tua yang mahu kami berehat di Melaka dahulu sebelum bermalam ke Muar kemudian bersama lama sedikit untuk sambutan hari lahir bapa. Sampai sahaja ke rumah kami dapati penghuninya baru sahaja kembali dari Terengganu, tidak sampai sejam pun! Rupa-rupanya mereka pergi ke sana hari Jumaat untuk menghantar seorang pengantin dari keluarga mereka. Kalau saya, isteri dan anak datang lebih awal tentu kami tidak dapat bertemu.
Kiranya ada keberkatan juga perjalanan kami ini di mana kami juga bertujuan untuk menghalusi lagi salasilah Bugis belah ibu yang katanya sampai kepada Daeng Parani, saudara tertua Lima Daeng Bersaudara (Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Menambon, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi) yang amat terkenal dalam sejarah Tanah Melayu itu. Lihat artikel lama
Kaitan Daeng Parani dengan keluarga sebelah ibu. Perjalanan diteruskan melepasi bandar Pontian atau lebih tepat Pontian Kechil. Peliknya di sini ada tempat bernama Pontian Besar... tetapi pekannya kecil. Sedangkan bandar utama daerah yang jauh lebih besar terletak di Pontian Kechil. Macam main-main le pulak. Ho ho ho! Meri keris mas! (tak tahan nak menyebutnya mengingatkan perayaan penganut Kristian 2 hari lepas) :]
Petang sekitar jam 6 masuklah kami ke lebuh raya lalu ke jambatan untuk ke Tuas, Singapura. Keberkatan berterusan apabila kami dapat masuk tanpa sebarang masalah atau kelewatan kecuali untuk mengisi borang. Sedangkan awalnya kami terasa risau juga tak dapat masuk...
Ini kerana semasa di Muar ibu ada mengingatkan supaya berhati-hati. Katanya dia pernah ditahan pihak imigresyen Singapura semasa mengandungkan adik tengah saya yang kini menjadi seorang pensyarah universiti di Melaka, adik yang rumahnya menjadi tempat kami berehat hari Sabtu sebelum ke Muar. Kata ibu semasa itu dia baru mengandungkan adik sekitar 4 bulan. Tetapi sebaik sahaja imigresyen dapat menghidu keadaannya dia hampir-hampir ditahan daripada masuk. Mungkin kerana mereka menganggap kita orang Malaysia terhegeh-hegeh sangat nak beranak di Singapura supaya dapat kerakyatan sana? Maklumlah semasa itu Malaysia ibarat kampung yang serba kekurangan berbanding Singapura yang jauh lebih moden. Akhirnya ibu yang mahu ke sana melawat seorang bapa saudaranya yang sedang sakit tenat dibenarkan masuk. Tetapi beliau diberi amaran agar keluar dari pulau sebelum jam 10 malam!
Tentunya saya risau mendengar kenyataan ini. Maklumlah jika ibu yang sedang mengandung 4 bulan pun boleh diperlakukan begitu apatah lagi isteri yang sudah masuk 7 bulan setengah sarat. Ya... isteri saya sedang sarat mengandung lagi. Cukup terang perutnya begitu besar, apalagi dalam tempoh yang tak mustahil seseorang boleh beranak dalam masa terdekat melahirkan anak cukup sifat yang mampu bertahan sehingga dewasa malah hingga ke tua.
Kata orang, anak yang lahir selepas 7 bulan lebih senang hidup berbanding kalau dikandung 8 bulan seperti saya Ya... Allah memanjangkan umur saya. Ibu bapa saya pernah naik kereta masuk gaung dalam perjalanan ke Raub melalui jalan lama sehingga kereta yang baru dibeli seminggu hancur total loss... ketika hendak memberitahu Almarhum Nenek ibu baru sahaja mengandungkan cucu sulungnya. Namun saya terus 'melekat'. Selepas dilahirkan pula saya pernah sakit kuning teruk sehingga perlu ditukar darah melalui pusat. Bila dah besar macam-macam peristiwa pernah dilalui... saya pernah diacukan senapang shotgun di Eropah, pernah diacukan mesingun M16 di Aceh. Pun alhamdulillah, setakat ini umur saya sudah melepasi 41 tahun dan masih bertahan hidup....
Berbalik pada hal di Singapura. Alhamdulillah sedikit pun kami tidak ditanya tentang kandungan isteri. Walhal bukan mereka tak nampak terutama apabila turun untuk mengisi borang kedatangan di pejabat kerana tidak menyediakannya lebih awal. Kami pun meneruskan perjalanan dengan berziarah ke makam wali Allah terkenal Habib Nuh di pinggir pusat bandar raya.
Kami juga dapat menghubungi saudara mara di Singapura lalu berkumpul dengan mereka. Alhamdulillah mereka memang sudah sedia menunggu untuk menyambut. Terus dibawa berjalan makan malam... buat pertama kali saya merasa masakan Cina yang dipanggil Bak Kut Teh (mereka yang tahu mungkin menggeleng-gelengkan kepala kerana ia biasanya tidak halal...). Selepas itu terus ke rumah seorang daripada mereka di mana sejumlah buku "Jejak keluarga Yakin" terus disambar laju. Kalaulah tidak kerana ketika itu Ahad malam Isnin dan esok hari bekerja tentu lebih ramai saudara dapat muncul dan buku dibeli. Duit jualan buku itulah yang dibuat belanja untuk perjalanan utama seterusnya iaitu ke Pulau Bentan di Riau, Indonesia. Nanti sambung cerita...
2 ulasan:
salam sejahtera buat anda sekeluarga...
saya rasa nak bercerita tentang mimpi saya tempohari...mungkin mainan syaitan,wallahuahalm...tapi apapun saya happy sebab dapat jumpa walaupun dalam mimpi...
pada mulanya saya baca post anda yang terbaru,dan tiba2 rasa mengantuk...mungkin sebab da terlalu letih blogwalking...dan saya pun terlelap sekejap...
terus je saya ditegur oleh isteri anda...dia minta saya tolong dia masak...dan saya pun tolonglah tumbuk cili dan bagai,sambil pelik sebab tiba2 je...sebab tadi rasanya baca blog,tiba2 da jumpa...hehe
itu jer mimpinya...huhu
apa2pun salam sejahterala utk anda sekeluarga dari saya...
Wassalam. OK le tu. Kalau tolong memasak in real life pun tak da masalah. Anda dialu2kan... :]
Catat Ulasan