Dalam artikel Sneak peek "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" yang dibuat hampir sebulan lalu saya banyak menunjukkan gambar-gambar mukasurat dalam buku yang berkaitan pengetahuan umum terutama berkenaan sejarah tempat-tempat. Sekarang biar ditunjukkan sedikit mukasurat berkaitan keluarga terutama tentang datuk saudara saya yang dipanggil Tok Musa.
Datuk saudara yang lahir tahun 1917 ini merupakan salah seorang yang paling awal berkhidmat untuk pasukan polis Johor. Untuk pengetahuan pasukan polis yang terdiri dari ahli pelbagai negeri seperti dilihat sekarang cuma terbentuk setelah Persekutuan Tanah Melayu didirikan 1948.
Adapun buku tersebut dihantar ke kilang percetakan kira-kira seminggu sebelum raya Aidil Fitri. Tetapi disebabkan pelbagai masalah, 4 Oktober iaitu lebih sebulan kemudian baru ia betul-betul siap. Dua hari kemudian buku diulas dan saya ditemu ramah secara langsung dalam program Selamat Pagi Malaysia di kaca televisyen (lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia). Hujung minggu itu, terus bergegas kembali ke Muar. Tujuan utama saya adalah untuk menghadiahkan buku terbaru itu kepada Tok Musa, kemudian kepada ayah.
Saya dapat melihat muka Tok Musa begitu terharu melihat gambar-gambarnya dalam buku. Begitu juga anak cucunya yang berada di rumah. Kebetulan satu kenduri sedang diadakan. Saya cuma membawa balik beberapa naskah buku, terus habis 'disambar' ahli keluarganya.
Kelihatan pada saya air mata bergenang di mata beberapa orang ahli keluarga. Rasanya anak cucu Tok Musa adalah orang yang paling menghargai penerbitan buku ini apa lagi banyak sejarah keluarga diceritakan menurut kata-kata Tok Musa. Pada buku yang dihadiahkan kepadanya saya menulis tangan lebih kurang begini : "Semoga Allah lanjutkan usia Tok Musa dan Tok Gayah". Siapa sangka 20 hari kemudian beliau menghembuskan nafasnya yang terakhir?
Allah! Sebenarnya semenjak awal raya saya ada mendapat rasa bahawa Tok Musa akan kembali ke rahmatullah sebaik sahaja buku siap dan sudah ditatap.
Tetapi saya mengenepikan itu dengan harapan ia cuma mainan perasaan sahaja.
Semasa mendapat SMS Selasa minggu lepas memberitahu beliau sedang sakit tenat saya cuma mendoakan dari jauh. Hujung minggu sebelum itu kami sekeluarga baru berjalan hampir 900 km mengelilingi Perak. Minggu ini pula saya akan berjalan jauh di luar negara. Jadi mahu berehat mengumpulkan tenaga, tidak mahu bergerak jauh dari Lembah Klang buat seminggu lebih gitu.
Khamis saya mendapat berita Tok Musa sudah masuk hospital kemudian dibawa keluar. Saya masih mengharapkan ia cuma satu episod sakit tua. Namun saya bertekad akan menjenguknya lalu memberitahu keluarga akan kembali ke Muar Jumaat malam Sabtu.
Malam Jumaat hampir tengah malam, saya mendapat berita. Tok Musa telah menghembuskan nafasnya yang terakhir. Allah! Innalillah. Awal pagi itu juga saya membawa isteri dan anak kembali ke kampung. Sampai sekitar 4 pagi, terus menjenguk jenazah di rumah.
Pagi itu ramai ahli keluarga, saudara mara dan kenalan telah berkumpul di rumah Tok Musa. Solat jenazah diadakan jam 11 pagi. Allah sahaja tahu rasa sebak di dada...
Oleh kerana hari itu Jumaat, sesuai sungguh jenazah diusung ke Masjid Bukit Treh yang terletak kira-kira 500 meter dari rumah Tok Musa. Untuk pengetahuan Bukit Treh yang ceritanya serupa cerita Si Tanggang yang kapal dan segala isinya disumpah menjadi batu terletak di belakang masjid. Cerita bukit ini ada dipaparkan dalam buku "Jejak keluarga Yakin..." berserta gambar-gambar, antaranya menunjukkan kewujudan tembok panjang yang dibuat dari batu karang, entah pada zaman bila! Mungkin zaman Hikayat Malim Deman?
Selepas solat Jumaat, solat jenazah pun diadakan.
Kemudian jenazah diusung ke tanah perkuburan di sebelah.
Keluarga dan saudara mara dijemput melihat muka jenazah buat kali terakhir.
Selepas jenazah dan keranda diturunkan ke liang lahad dengan selamat, kubur pun dikambus.
Selesai kubur dikambus kami mengelilinginya untuk bacaan doa.
4 ulasan:
Al Fatihah....takziah dr sy dan warga Sungei Ujong. Jika saudara berkesempatan singgah atau melewati Seremban, boleh hubungi saya di 013-2342304. (Boleh ngeteh sambil beramah mesra). :)
insyallah.......al-fatihah
Tribute = Penghormatan...
Al Fatihah....takziah dr sy dan warga Sungei Ujong. Jika saudara berkesempatan singgah atau melewati Seremban, boleh hubungi saya di 013-2342304. (Boleh ngeteh sambil beramah mesra). :)
Catat Ulasan