Pagi itu saya membawa isteri dan anak keluar berjalan ke bandar Muar...
Al-Rasyid pula tak boleh duduk diam. Maklumlah baru kurang sebulan 'dapat kaki'. Susah juga hendak menikmati kopi sambil memerhatikan dia berjalan laju ke sana ke mari hingga ke luar kedai. Kalau tak kasi berjalan nanti mengamuk pula, dah memang begitu sifat budak-budak...
Itupun untunglah, sejak umur 10 bulan sudah boleh berjalan. Ada budak yang umur dekat setahun setengah pun masih lebih banyak merangkak. Malah 2 bulan lalu semasa Al-Rasyid baru pandai berdiri ada juga yang pelik kenapa dia belum boleh berjalan. Rupa-rupanya mereka tersilap menyangkakan anak kami ini sudah berumur 2 tahun walhal badan sahaja besar, ketika itu umurnya baru 9 bulan. Maka syukurlah dia boleh berjalan cepat. Berilah galakan walaupun kadangkala pening melayan...
Suasana hari raya dengan kedatangan saudara dari JB, keluarga adik kepada ibu kepada ibu saya, masih ada 4 generasi kerana suami kepada adik ini yang berpangkat datuk saudara saya masih hidup lagi. Lihat album dalam artikel Album for 3rd Raya... enter the JB folks di blogspot BERPETUALANG KE ACEH
Allah. Teringat lagi. Siang itu saya baru sahaja membawa kembali anak dan bekas isteri dari hospital ke rumah ibu mertua. Ketika mengemas barang di rumah sendiri malam itu saya mendapat panggilan agar pergi ke rumah ibu mertua seketika itu juga. Ini kerana anak perempuan saya tidak berhenti menangis kuat.
Sebaik sahaja sampai ke rumah mertua saya mendapat panggilan telefon mengatakan adik lelaki bongsu baru sahaja kemalangan dan kini berada di hospital. Oleh kerana anak masih menangis kuat saya tidak boleh bercakap lama. Saya cuma mengira hendak ke hospital keesokan harinya kerana perlu menguruskan anak lalu melangkah masuk ke dalam rumah. Seketika itu juga saya mendapat panggilan telefon memberitahu adik sudah meninggal. Peliknya anak terus berhenti menangis sebaik sahaja berita disampaikan!
(Teringat hari-hari terakhirnya, hampir 2 minggu Mak berada dalam wad di Hospital Pantai Kuala Lumpur. Kalau ikutkan saya harus ke Sarawak berhari raya bersama bekas isteri dan anak kecil kami bersama keluarga belah ibunya, tiket pun dah beli. Namun keadaan Mak menyebabkan saya tidak mahu ke Sarawak lalu lebih banyak berada di sisinya. Belanja hospital dekat RM30,000 ke lebih tetapi kalau dah sampai waktu tiada siapa boleh menundanya. Namun beberapa orang ibu saudara merasakan tidak puas hati dengan layanan yang diberi. Sekarang, seorang bapa saudara baru sahaja menjadi pengerusi Pantai Holdings. Tak tahulah kalau dia mahu mengungkit perkara ini...)
Teringat juga betapa saudara-mara dari JB iaitu keluarga adik kepada Mak sering menyebut diri mereka sebagai berketurunan Jawa. Walhal suami kepada adik itu (masih hidup sedangkan isterinya sudah meninggal dunia) berketurunan Bugis, begitu juga keturunan almarhum suami kepada seorang lagi adik-beradik Mak iaitu kakaknya (baru meninggal dunia Ramadhan tahun lepas) sedangkan anak-anaknya sering menyebut diri mereka sebagai orang Jawa.
Baru-baru ini saya dan isteri terperanjat apabila ibu saya menyebut dirinya sebagai Bugis. Maklumlah sepanjang ingatan saya sejak kecil lagi, ibu selalu menyatakan dirinya juga diri adik-beradik dan sepupunya sebagai orang Jawa belaka! Apakah ini bermakna faktor Bugis semakin terserlah dalam keluarga ibu? (Keluarga bapa saya memang sudah lama tahu dan mengakui mereka berdarah Bugis dari Aceh)...
Untuk makluman, nama atuk lelaki saya ialah Ismail bin Hussin bin Betak. Saya sebenarnya masih mencari nasab sebenar datuk ini dan setakat ini saya cuma diberi petunjuk samada betul atau tidak, nasab beliau sampai kepada Raja Haji ibni Daeng Chelak melalui seorang anak baginda yang bernama Raja Ahmad. Keesokannya hari Isnin hari raya keempat kami bergerak untuk mencari satu makam di Tanjung Bidara, Melaka yang dikatakan milik Daeng Chelak. Nanti lain kali kita sambung cerita ya. Teruskan berhari-raya... :]
2 ulasan:
Salam Abg g, Sy mmg menantikan salasilah lengkap tok mail.. menurut kajian dari student UKM:-
Wak Betak telah menjadi ketua kampung pertama di Parit Betak. Keterangan ini diperoleh dari hasil temubual dengan Ibrahim bin Ismael bin Hj Kirana bin Bedu, cucu kepada Wak Kurikang (di sebelah ibunya) pada 30 Januari 2009 di rumahnya di Parit Betak.
harap link ini dapat membantu http://pkukmweb.ukm.my/jebat/images/upload/Rahilah%20Omar%20Khazin%20Mohd%20Tamrin%20Nordin%20Hussin%20&%20Nelmawarni%2036.pdf
Wassalam Amir. Abg G dah baca dah tulisan tu. Tapi nama Wak Betak cuma disebut sepintas lalu, tak disebut asal-usulnya. Namun kita boleh mengagak beliau memang dari golongan bangsawan kalau takpun kerabat diraja kerana ada 2 orang Daeng kalau tak salah ingatan yang datang ke tempat yang sama namun Wak Betak pula yang menjadi ketua.
Rasanya nak cari asal-usul tu kena gak pegi cari orang lama kat Parit Betak. Tak pun cari orang yang bukak Muzium Bugis kat Pontian, mungkin dia boleh menolong. Buat masa ni Abg G tak nampak bila akan ke sana dalam masa terdekat...
Catat Ulasan