Alhamdulillah, sekurang-kurangnya kami sempat berada bersama ketika beliau meninggal dunia pagi sekitar jam 7.30. Lalu 3 hari berikutnya kami terus berada di kampung untuk bersama keluarga menolong dan menghadiri majlis tahlil arwah selama 3 malam berturut. Siang tadi kami terjelupuk kepenatan. Sekarang, setelah berjaya menyiapkan beberapa artikel sokongan di blogspots saya yang lain barulah penceritaan dapat disambung kembali daripada artikel Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan : Menyusuri kembali jalan ke Teluk Ramunia dan Tanjung Pengelih . Mari!
Letaknya lebih 10 km daripada jalan besar...
Sekali lagi sukacita dimaklumkan bahawa Kota Johor Lama (Johor old fort) adalah artikel yang ke 313 di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Sebab itu ia dibuat lebih awal iaitu pada 13 Januari atau 13/1/2009. Nampaknya ada sebab kenapa cerita tentang kota ini menjadi yang 313 di blogspot tersebut. Puas melihat Kota Johor Lama dan sekitarnya baru kami terus ke bandar Kota Tinggi, satu komponen terpenting dalam Empayar Johor-Riau.
Kami sampai ke pinggiran bandar Kota Tinggi sejurus sebelum masuk waktu Maghrib...
... terus menuju ke makam Bendahara Tun Habib Abdul Majid yang mana keturunannyalah yang merajai Empayar Johor-Riau selepas tahun 1699. Lalu keturunan ini terus menjadi raja-raja bagi pecahan-pecahan jajahan takluk empayar yang bakal membentuk negeri-negeri Pahang dan Johor moden juga negeri Terengganu seperti kita kenali hari ini. Lihat artikel Lawatan terbaru ke makam Tun Habib (Latest visit to the tomb of Tun Habib) .
Kami juga sempat melawat lagi makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang, pemerintah terakhir Empayar Johor-Riau dari keturunan Raja-raja Melaka. Seperti di Makam Tun Habib, saya sahaja masuk ke dalam, isteri dan anak menunggu di dalam kereta...
Kali ini saya dapat mencari sebuah makam yang dikatakan tempat tertanamnya kucing bertanduk peliharaan kesayangan Sultan Mahmud! Dalam lawatan sebelumnya merangkap lawatan pertama saya ke sini yang dibuat penghujung tahun 2007 saya tidak menemuinya. Rupa-rupanya saya terlupa untuk melihat bahagian belakang bangunan makam.
Biar dimaklumkan bahawa Empayar Johor-Riau itu sendiri turut disebut sebagai Johor Lama. Ini sebagai bandingan kepada Johor moden yang diketahui kini yang mana sempadannya cuma terbentuk selepas terpecahnya Empayar Johor-Riau kepada beberapa negeri dengan pemerintahan sendiri bermula dengan Perjanjian Inggeris-Belanda tahun 1824.
Seterusnya kami singgah di jeti Pengkalan Kota, di hujung jalan di mana terletaknya Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang...
Di seberang sana ada sebuah makam lain yang ingin dilawati nanti...
Sebelum itu kami singgah dahulu di Makam Tauhid yang terletak tidak jauh daripada Makam Sultan Mahmud. Dalam lawatan ke Kota Tinggi penghujung 2007 saya ada lalu di sekitarnya tetapi tidak sedar akan kewujudannya. Lihat artikel Makam Tauhid (The Tauhid tomb) .
Kemudian baru kami menyeberang sungai melalui jambatan tengah bandar untuk mencari satu makam yang letaknya kira-kira setentang dengan jeti Pengkalan Kota tadi, makam Cik Siti seorang rupawan dahulukala.
Cik Siti ini turut dikenali sebagai Cik Siti Jalang kerana pernah mengahwini 99 orang lelaki yang mana ke semuanya meninggal dunia selepas malam pertama bersama. Cuma lelaki ke 100 sahaja yang dapat bertahan menjadi suami. Namun saya tidak berjaya mencari makam beliau dalam kegelapan malam. Dahlah saya tidak tahu kedudukan sebenarnya, torch-light pun tak bawa. wooo...
Kalau ikutkan mahu sahaja saya terus mencari walaupun keadaan di situ agak menakutkan. Tetapi setelah beberapa lama berjalan meredah semak dengan gangguan salakan anjing-anjing berdekatan apalagi memikirkan isteri dan anak kecil terus menunggu dalam kereta di satu tempat yang sunyi, saya terpaksa mengalah. Mungkin lain kali akan saya temui, mungkin dalam satu lawatan di siang hari?
Tempat seterusnya yang ingin diziarahi adalah makam Laksamana Bentan. Seperti Makam Tun Habib dan Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang saya tiada masalah untuk mencarinya kerana pernah sampai penghujung 2007.
Oh. Ketika itu sudah masuk malam Khamis sedangkan Jumaat nanti sudah Hari Raya Korban Aidil Adha. Jadi cukuplah makam ini sebagai penutup perjalanan di Kota Tinggi. Ada lagi beberapa tempat lain di Johor yang perlu dilawati sebelum kembali ke Muar.
Kepada sesiapa yang tertanya-tanya kenapa tajuk kecil artikel ini diletakkan tanda soal, kenapa "Kerajaan Johor Lama, waris empayar Melaka?", biar diterangkan. Memang dari segi pewarisan jajahan takluk, kerajaan Johor Lama atau Empayar Johor-Riau itu pewaris Empayar Melaka. Tetapi dari segi kedaulatan raja-raja, rasanya keSultanan Perak lebih layak dikira sebagai pewaris kerana raja-rajanya adalah berketurunan anak Sultan Mahmud Melaka yang lebih tua lagi beribukan darah gahara (ibu berdarah raja) iaitu Sultan Muzaffar Shah I Perak yang beribukan Puteri Onang Kening anak Raja Kelantan. Sultan Alauddin Riayat Shah II yang membuka kota Johor Lama pula beribukan Tun Fatimah anak Bendahara.
Seterusnya Empayar Johor-Riau selepas kemangkatan Sultan Mahmud Mangkat Dijulang diperintah oleh raja-raja dari keturunan Bendahara Tun Habib, Perak pula terus diperintah darah daging keturunan Raja-raja Melaka. Dari segi peranan memartabatkan Melayu dan Islam pula, keSultanan Aceh nampaknya lebih mewarisi dan menghayati peranan Melaka berjihad menentang kuasa-kuasa kufar yang mendatang. Yang menarik, seorang anak Sultan Perak pernah merajai Aceh. Dan Perak terus memiliki raja-raja berketurunan Sultan Melaka hingga kini. Sekian! :]
3 ulasan:
salam, haku sudah sampai kat makam cik siti jalang itu,
http://yginsaf4.wordpress.com/2009/09/15/kak-anon-jalang/
Pandangan Peribadi
Kalau judulnya Empayar Johor Lama, pewaris Empayar Melaka. ertinya tidak ada yang salah dan tak perlu diletakkan tanda '?'.
Alasannya, memang empayar Johor Lama mewarisi sebahagian besar jajahan Melaka ketika ia wujud. Luasnya sampai ke pukau-pulau selatan hingga ke Bangka, Sebahagian pantai timur Sumatera, hingga ke tengah semenanjung dan pulau-pulau di Laut China Selatan. Jadi pendapat saya tak ada yang salah.
Mungkin jika tajuknya berbunyi, "Raja-raja Johor Lama Pewaris Kesultanan Melaka", barulah sesuai diletakkan tanda '?' .
Hanya pendangan peribadi
Takpa. Saya letak tanda tu sebab pada saya memang patut ada tanda tanya.
Dari segi pegangan wilayah memang Johor Lama adalah pewaris Melaka. Tetapi dari segi salasilah, keSultanan Perak adalah yang lebih afdhal kerana Sultan Perak pertama, Sultan Muzaffar Shah adalah kekanda kepada Sultan Alauddin Riayat Shah II yang menaiki takhta Johor. Sebenarnya memang Sultan Muzaffar dah diangkat oleh ayahandanya Sultan Mahmud Melaka sebagai pewaris tetapi ditolak ke tepi setelah Tun Fatimah melahirkan Sultan Alauddin.
Nota - Tun Fatimah anak bendahara sedangkan Sultan Muzaffar ibunya raja. Tapi disebabkan janji Sultan Mahmud kepada Tun Fatimah, maka apabila anak bendahara itu melahirkan anak lelaki terus status sebagai pewaris utama empayar dialih kepada Sultan Alauddin.
Kedua adalah waris dari segi perjuangan dan kedaulatan. Melaka dahulu pusat pengembangan dakwah Islamiah dan penjaga kedaulatan Alam Melayu. Tetapi Johor Lama pula banyak bersekongkol denga Portugis dan Belanda. Dari segi penguasaan dan dakwah Aceh yang sebenarnya banyak mewarisi perjuangan Melaka bukan Johor. Aceh yang lebih gigih melawan penjajah. Sebab itu 2 orang Sultan Johor Lama pernah ditangkap Aceh dan dihukum bunuh.
Catat Ulasan