Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Sabtu, September 05, 2009

Ke makam Sultan Malikus Salih - Hikmah yang membawa persinggahan sebentar ke makam Sultan pertama Perlak...



Selepas Langsa, kami singgah di Perlak yang terletak sekitar 40 km ke utara Langsa. Untuk melihat keadaan perjalanan Langsa ke Perlak, sila jengok artikel Thursday morning trip from Langsa to Perlak and reminiscing what goes on before... yang dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH semalam.

Melihat kedai-kedai buruk yang banyak terdapat di pekan kecil itu, seolah-olah tiada apa-apa yang penting di Perlak. Tetapi percayalah, di sini terdapat sesuatu yang sangat penting dalam sejarah Aceh malah sejarah seluruh Alam Melayu itu sendiri!



Apakah sesuatu yang penting itu? Kita singgah dahulu di pejabat polis di sini...


Sebelum itu, kami telah menunggu kedatangan kenalan Kak Ann, seorang ketua polis muda dari Idi, sebuah bandar yang terletak sekitar 2o km ke utara Perlak. Ketua polis daerah (kalau tak salah ingatan) yang berumur sekitar 30an ini menolong kami untuk mendapatkan escort atau iringan polis untuk memasuki satu kawasan pendalaman Perlak yang dikatakan rawan atau masih kacau... akibat terdapat ahli kumpulan serpihan puak pemisah GAM (Gerakan Aceh Merdeka) yang nampaknya kurang bersetuju dengan cara keamanan Aceh digapai melalui perundingan dengan kerajaan pusat Indonesia di Jakarta.



Kami pun memulakan perjalanan untuk memasuki kawasan pendalaman yang dimaksudkan. Tak lah jauh sangat sebenarnya, cuma sekitar 7 km sahaja dari pekan Perlak. Tetapi jalannya kurang cantik lalu memakan masa untuk masuk ke dalam.

Kelihatan dalam gambar kenderaan polis yang mengiringi di hadapan. Berada di dalam kereta itu adalah 3 atau 4 orang polis. Yang pasti 2 dari mereka membawa senapang machine-gun. Ketua polis muda dari Idi pula berada di dalam kereta Landcruiser bersama Kak Ann. Untuk pengetahuan, secara rasminya di Aceh, GAM telah dibubarkan lalu dibentuk menjadi parti politik Partai Aceh yang kemudian bertanding dalam pilihanraya lalu kini berjaya menerajui pemerintahan Aceh secara terang melalui jalan demokrasi. Tetapi ada bekas para pejuang GAM yang tidak puas-hati dengan keadaan... pada mereka, Partai Aceh masih menurut rentak Jakarta. Lalu mereka menyatakan rasa tidak puas hati dengan antara lain, menculik orang luar. Perlak disebut sebagai satu kawasan yang menjadi kubu kuat puak-puak ini...




Apapun, kami pergi ke sini bukan untuk terlibat dengan apa-apa pertelingkahan. Kami ke sini untuk melihat satu kesan sejarah yang sangat penting dalam sejarah Aceh juga sejarah Nusantara atau Alam Melayu dan Islam. Cuma jalan masuknya sahaja melalui tempat yang kacau. Tetapi demi semangat Melayu Islam yang ada dalam diri, kami memberani dan menggagahkan diri untuk ke sini dengan kehadiran polis pengiring memantau...



Papan-tanda ini memberikan sedikit petunjuk akan apa yang mahu dilihat...






Oh. Sampai di sini perjalanan terhenti sebentar. Rupa-rupanya ada pohon kayu patah atau buluh panjang (dah lupa pula...) melintang menghalang perjalanan. Kelihatan pada saya keadaan sedikit cemas. Polis pengiring yang bersenjata pun kelihatan teragak-agak untuk terus turun daripada kenderaan mengalihkan rintangan. Nampaknya mereka takut jika halangan sengaja dibuat oleh puak pemisah yang diketahui kadangkala ada membuat serangan hendap atau ambush dengan cara sebegitu...

Melihat mereka masih teragak-agak memakan masa memerhatikan keadaan, saya bertawakal kepada Allah lalu keluar dari kereta menuju ke hadapan. Lalu pokok kayu ataupun buluh (sekali lagi, saya terlupa yang mana, yang pasti panjangnya lebih 10 kaki, mungkin 15-20 kaki) saya tarik sendiri sebelum mencampakkannya ke tepi jalan. Oh, kalau tak salah saya ia merentangi jambatan kecil besi di hadapan. Kemudian kami pun menyambung perjalanan. Untuk melihat gambar-gambar suasana kampung persekitaran, sila lihat artikel Rural Perlak, the seat of a powerful ancient Islamic kingdom! di blogspot BERPETUALANG KE ACEH .





Sambil menghampiri destinasi, kelihatan Sungai Perlak yang menurut ceritanya dahulu pernah dimasuki kapal-kapal besar berdagang!




Kami pun sampai ke destinasi. Terus isteri saya tak pasal-pasal sebak dada lalu mula menangis terisak-isak. Katanya timbul semacam perasaan pilu sama seperti kali pertama sampai ke sebuah makam tersembunyi atas bukit di Hulu Terengganu, makam yang disebut sesetengah orang sebagai makam sebenar Sharif Muhammad al-Baghdadi, orang yang menulis Batu Bersurat Terengganu lebih 700 tahun lalu!




Saya pula amat teruja. Maha suci Allah yang dengan Qada' dan Qadarnya telah mengatur segala perkara dengan penuh hikmah dan bijaksana. Aturannyalah yang telah menyebabkan kami berlepas lambat dari Banda Aceh hari Rabu lalu sampai di Biruen waktu senja sedangkan perkara di sana pula cuma selesai masuk tengah alam.

Apa yang berlaku seterusnya menyebabkan kami sampai ke Lhokseumawe sekitar 2 pagi sedangkan semua bilik hotel yang ada telah dipenuhi orang. Dengan asbab itu kami terpaksa pergi lebih jauh sekitar 160 km lagi ke tenggara dan selatan hingga ke Langsa untuk mendapatkan penginapan. Lalu dari Langsa perjalanan diatur kembali pagi Khamis seolah-olah mahu menyambung kembali perjalanan pertama saya di Aceh yang terhalang lebih 5 tahun lalu.

Teliti kembali cerita sebelum ini dalam artikel Ke makam Sultan Malikus Salih - Menggamit kenangan lama di Langsa... . Januari 2004 dahulu selepas 3 malam di Langsa, saya ditangkap oleh imigresyen dan dihalau serta dihantar keluar dari Aceh ketika mahu mengorak langkah lebih jauh ke Perlak. Sekarang saya sudah berada di wilayah penuh bersejarah ini, di makam Sultan pertama kerajaan Islam Perlak yang telah wujud 1,200 tahun lalu, 600 tahun lebih awal dari kewujudan keSultanan Melaka seperti diketahui sejarah. Malah keSultanan ini dapat bertahan selama lebih 400 tahun berbanding sejarah keSultanan Melaka yang dikatakan cuma menjangkau satu abad sahaja sebelum ditewaskan Portugis 1511!












Maka masuklah kami ke makam Sultan ini, Sultan Sayyid Maulana Abdul Aziz Shah. Lebih istimewa lagi, selain menerajui kerajaan Islam yang diiktiraf paling awal di Nusantara dan Alam Melayu, baginda juga merupakan Ahlul Bait atau anak cucu Nabi Muhammad SAW yang diketahui paling mula menerajui kerajaan di bumi sebelah sini. Biar saya copy and paste cerita berkaitan daripada buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari diri dan erti"... daripada bab bertajuk "KeSultanan Perlak : Bermulanya sebuah cerita".

--------------


Dicatat dalam sejarah, pada awal abad ke 9 Masihi telah datang rombongan 100 orang pendakwah dari Timur Tengah berlabuh di Perlak, diketuai seseorang yang dikenali sebagai Nakhoda Khalifah. Mereka ini dikatakan telah melarikan diri daripada buruan kerajaan selepas gagal dalam percubaan menggulingkan pemerintahan Bani Abbasiyah.

Ahli rombongan ini dikatakan terdiri daripada keturunan Rasulullah SAW melalui puteri baginda Fatimah az-Zahrah dan suaminya, Saidina Ali bin Abi Talib Karamallahuwajha, juga para penyokong yang mahukan kepimpinan anak cucu Nabi. Termasuk di kalangan mereka adalah seseorang bernama Ali bin Muhammad bin Jaafar Al-Sadiq.

Ketika itu, Perlak sedang diperintah raja berketurunan Parsi, Merah Syahir Nuwi. Raja dan rakyat Perlak tertarik dengan akhlak ahli rombongan lalu menganut Islam, Rombongan itu dimuliakan dan Ali dikahwinkan dengan adik perempuan Raja Perlak yang bernama Makhdum Tansyuri.

Ada sumber menyebut nama penuh Ali ialah Ali Muktabar Muhammad bin Ad Diba’ie bin Jaafar As Siddiq. Tetapi Rasyid lebih cenderung mempercayai Ali adalah anak kepada Muhammad bin Jaafar as-Sadiq...

Apapun, Merah Syahir Nuwi mangkat sekitar 840 Masihi. Anak lelaki Ali dengan Makhdum Tansyuri pula diangkat menjadi raja baru Perlak, Sultan Alaiddin Sayyid Maulana Abdul Aziz Syah. Maka bermulalah keSultanan Islam Perlak yang akan menjangkau tempoh lebih 400 tahun.





Ini adalah Sungai Perlak yang turut mengalir di belakang kawasan makam. Lihat juga artikel Makam (tomb of) Sultan Sayyid Maulana Abdul Aziz Shah yang baru dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Saya copy and paste sedutan bahagian lain pula dari bab buku yang sama ya...

-------------

Perkahwinan Ali bin Muhammad bin Ja’afar al Sadiq dengan adinda Merah Syahir Nuwi merupakan pertemuan dua cabang termulia keturunan Nabi Allah Ibrahim. “Seperti kebanyakan raja-raja besar, Raja-raja Parsi juga memiliki titisan darah Iskandar Zulkarnain, penakluk agung yang menurut sesetengah sumber adalah keturunan Nabi Sulaiman,” Rasyid membuka cerita.

Nabi Sulaiman memiliki kerajaan luas yang merangkumi manusia, jin dan haiwan juga unsur-unsur alam seperti angin yang boleh diperintahkan untuk membawanya ke sana-sini. Baginda adalah anak Nabi Daud, keturunan Nabi Ishaq, anak Nabi Ibrahim dengan isteri pertamanya Siti Sarah. Imam Ja’afar al Sadiq bin Muhammad Al-Baqir bin Ali Zainal Abidin bin Saidina Hussein bin Saidina Ali Karamallahuwajha, suami Fatimah Az-Zahrah binti Nabi Muhammad SAW pula berasal daripada keturunan Nabi Ismail, anak sulung Nabi Ibrahim dengan isteri keduanya Siti Hajar. “Maka bertemulah dua nasab mulia keturunan Nabi Ibrahim menjadi Sultan-sultan Perlak..”

Pernah seorang kerabat diraja Perak dengan bangganya bercerita, dalam banyak-banyak kerabat diraja yang masih wujud hingga sekarang, kerabat Peraklah yang paling hebat. Kerana mereka berasal daripada keturunan Raja-raja Melaka yang memiliki titisan darah Raja Iskandar Zulkarnain, raja besar yang pernah memerintah hampir seluruh muka bumi lebih 2,000 tahun lalu dan kisahnya disebut dalam Surah Al-Kahfi.

Rasyid yang suka membela Aceh pun menegur: “Asal bercerita tentang raja-raja, balik-balik keluar cerita Iskandar Zulkarnain. Kamu lupakah martabat Rasulullah SAW itu lebih tinggi lagi kerana kemuliaan baginda mengatasi segala Rasul, Nabi, wali dan raja, malah segala makhluk?”

“Bukankah setiap selawat ke atas Nabi wajib disertakan dengan selawat ke atas keluarganya, merangkumi keturunannya sampai sekarang?,” dia bertanya pula. “Bukankah selawat yang dibaca selepas shahadah tahyat akhir solat memerlukan setiap orang Islam menyebut: Salam sejahtera Allah ke atas Muhammad dan keluarganya sepertimana salam sejahteraNya ke atas Ibrahim dan keluarganya? Jika bacaan doa sekali seminggu solat Jumaat meminta kesejahteraan keluarga diraja boleh membawa berkat dan daulat, inikan selawat yang dibacakan berjuta-juta malah berbillion orang ke atas Nabi dan keluarganya setiap kali solat dari zaman dahulu sampailah sekarang. Maka itu manakah lebih berdaulat? Keturunan Rasulullah SAW atau Iskandar Zulkarnain? Bagaimana pula kalau ada titisan darah kedua-duanya sekali?”






Oh. Lupa pula nak beritahu. Saya difahamkan di sekitar inilah pernah terletak pusat kerajaan Perlak dahulukala. Kalau begitu di sinilah tempatnya Bandar Khalifah yang diberi-nama sempena Nakhoda Khalifah yang memimpin rombongan 100 orang pendakwah yang pernah datang ke sini 1,200 tahun lalu! Seperti di tempat-tempat lain yang kami lawati, rombongan kami disambut baik warga tempatan berkat Kak Ann dikenali ramai kerana sering menghulurkan bantuan kepada orang-orang kampung dan institusi pengajian tradisional di Aceh. Sementara 2 orang polis yang membawa machine-gun memerhatikan dan menjaga dari sudut-sudut strategik keliling makam, kami terus bercerita mesra sehingga sampai waktu untuk menyambung perjalanan. Sekian buat masa ini. Selamat malam! :]



2 ulasan:

ade berkata...

kak anggun nangis time lawat makam..
ade belum pernah lawat makam siapa² pun lagi...isk..

Fida Anggun berkata...

Salam Dik Ade..

Tumpukan dulu pada study ye dik..
Selamat Hari Raya..