Setelah meletakkan kereta di satu padang kecil berdekatan rumah terakhir di kampung bawah Empangan Talang, saya pun memulakan langkah untuk memasuki empangan melalui jalan belakang...
Memandangkan empangan terletak agak tinggi jauh ke dalam, asalnya saya bercadang untuk melangkah seorang diri. Tetapi mana boleh meninggalkan isteri menunggu keseorangan? Dan tanpa dipinta dia terus mahu mengikut saya...
Kami perlu menyeberangi empangan tinggal...
Dalam pada itu, saya melihat pada sungai di bawahnya. Apakah ini Sungai Muar? Tak juga kerana Sungai Muar sendiri mesti bersambung dengan empangan besar. Yang pasti sungai yang kelihatan ini adalah salah satu cabang yang bersambung untuk membentuk Sungai Muar.
Perjalanan diteruskan untuk melepasi empangan lama...
Jalan mula kelihatan mencuram naik...
Ah. Masih boleh tahan jauh lagi ke atas...
Satu pandangan ke belakang, sekadar untuk menyedapkan hati bahawa kami sudah pun berjaya berjalan agak jauh mendaki bukit untuk ke atas...
Misalnya tahukah anda, Sultan pertama Melaka yang dikenali oleh Barat sebagai Parameswara itu telah dua kali cuba membuka kerajaan baru di dua tempat berlainan di tebing Sungai Muar tetapi tidak berjaya akibat terjadi perkara-perkara tertentu? Akhirnya baginda terpaksa mengalah lalu terus berjalan lagi ke utara sehingga terjumpalah tempat yang bakal menjadi pusat keSultanan Melaka.
Tahukah anda Sungai Muar adalah satu-satunya sungai di pantai barat Semenanjung yang digunakan orang dahulukala sebagai short cut untuk ke pantai timur iaitu melalui satu sambungan yang membawa ke Sungai Pahang? Sila lihat artikel-artikel lama Kembara terbaru ke Pantai Timur... Sesi dibuka dengan menyusuri Jalan Penarikan di Negeri Sembilan! dan Sambungan cerita "Menyusuri Jalan Penarikan di Negeri Sembilan!"... Menyusuri juga makna sebuah mimpi lebih 10 tahun lalu dan kehadiran hantu Siam?
Yang menarik, baru tahun lepas saya tahu jalan short cut ini diperkenalkan kepada para pedagang Arab juga orang-orang Melaka oleh sekumpulan penduduk dari Pasai yang telah berhijrah ke Jempol, Negeri Sembilan. Menurut ceritanya, Pasai ketika itu dilanda satu musibah alam lalu orang-orang ini keluar mencari penempatan baru, mudik Sungai Muar sehingga sampai di Jempol di mana tanahnya dikatakan begitu subur sehingga timbul nama Jempol yang kalau tak salah ingat saya bermakna bagus gitu...
Selain itu, saya teringat cerita tentang Sultan Muhammad al-Kamil yang berhijrah dari Bandar Khalifah di Perlak (sekarang seperti Pasai berada di dalam Aceh) lalu mendirikan kerajaan baru di kuala Sungai Muar. Tetapi yang lebih terkenal adalah kisah-kisah dalam Hikayat Malim Dewa dan Hikayat Malim Deman. Dikatakan, Malim Dewa meninggalkan Aceh lalu membuka kerajaan di kuala Sungai Muar. Di sana baginda mendapat seorang anak yang sangat terkenal dalam cerita legenda/dongeng Melayu yang diberi nama Tuanku Malim Deman.
Dipendekkan cerita, di hulu itulah Tuanku Malim Deman bertemu dengan Nenek Kebayan yang menolong memperjodohkannya dengan Puteri Bongsu dari kayangan. Hmm... sekarang saya confuse lagi. Adapun perkataan hulu Sungai Muar itu sendiri kadangkala digunakan untuk merujuk kepada kawasan-kawasan pendalaman Sungai Muar, tak semestinya di penghujung sungai itu sendiri. Misalnya kawasan Pagoh di mana Sultan Melaka yang sangat terkenal, Sultan Alauddin Riayat Shah (memerintah 1477-1488) dan meninggal dunia lalu dimakamkan pun turut disebut sesetengah orang sebagai hulu Muar walhal letaknya lebih 150 km gitu menyusuri liku-liku sungai dari sini. Teringat pula sumber-sumber sejarah tentang Segamat seperti boleh ditemui di Internet menyebut daerah itu sebagai hulu Muar di mana Malim Deman bertemu dan berkahwin dengan Puteri Santan Bertapis.
Lagi satu perkara yang membuat saya terfikir akan keistimewaan kawasan hulu Sungai Muar adalah kewujudan daerah atau Luak Ulu Muar yang mana pernah ada pemerintahnya yang tersendiri iaitu Penghulu Ulu Muar. Adapun sejarah Negeri Sembilan boleh dikatakan bermula dengan kedatangan Raja Melewar dari tanah Minangkabau di Sumatera. Saya sebut 'katakan' kerana kalau perlu, saya boleh juga memulakan cerita dengan peristiwa 'pemutusan' tali daerah-daerah di Negeri Sembilan (ketika itu belum dipanggil Negeri Sembilan) oleh Datuk Moyang Salleh dari Jelebu yang menyebabkan daerah-daerah itu merdeka dari pemerintahan Johor. Sila lihat klip-klip video di artikel lama Akhirnya Makam Moyang Salleh, posting ke 333!
Apapun, ceritanya menyebut, selepas itu para pembesar di daerah-daerah ini memohon agar Istana Pagar Ruyung di Sumatera menghantar seorang anak raja untuk dijadikan raja di sini. Maka tersebutlah cerita Raja Khatib yang dihantar dahulu untuk melihat keadaan lalu mengaku dirinya sebagai bakal raja yang telah diperkenankan. Walhal dia cuma wakil kepada kekandanya Raja Melewar sebagai utusan perkenalan.
Dipendekkan cerita, Raja Melewar akhirnya ditabalkan sebagai pemerintah tertinggi Negeri Sembilan. Apa yang menarik perhatian saya ketika sampai di Empangan Talang adalah tiba-tiba terbetik persoalan, mengapakah Raja Melewar memilih anak Penghulu Muar untuk menjadi isteri merangkap permaisurinya. Malah saya difahamkan, apabila isteri itu meninggal dunia, baginda mengahwini seorang lagi anak Penghulu Ulu Muar. Adinda baginda Raja Khatib juga telah mengahwini anak Penghulu Ulu Muar. Apa istimewanya Penghulu Ulu Muar sehingga anak-anak raja Minangkabau dari Istana Pagar Ruyung ini memilih anak-anak Penghulu Ulu Muar?
Lebih pelik lagi, Ulu Muar terletak agak jauh ke pendalaman. Kalau seseorang masuk ke Negeri Sembilan melalui jalan laut menyeberangi Selat Melaka, biasanya dia akan masuk melalui Sungai Linggi. Setahu saya, dari sana tiada laluan untuk ke Ulu Muar kecuali perlu memanjat gunung-ganang Banjaran Titiwangsa yang mana laluan paling mudah adalah melalui Bukit Putus berdekatan Seremban yang dahulu lebih dikenali sebagai Sungai Ujong. Dari kawasan pantai Negeri Sembilan nak masuk sampai ke Ulu Muar kalau berjalan secara menegak tanpa perlu mengikut liku-liku sungai atau memanjat bukit-bukau pun memakan jarak 50 km. Dalam jarak itu boleh dijumpai banyak lagi penempatan dengan para pemerintah sendiri yang tentunya ada anak perempuan yang boleh dijadikan isteri dan permaisuri oleh Raja Melewar. Mengapa pula mesti mencari sampai ke Ulu Muar?
Mungkin juga Penghulu Ulu Muar sendiri keluar jauh menghala ke pantai untuk menyambut Raja Melewar. Tetapi kenapa baginda memilih anak penghulu ini, kenapa tidak anak pembesar atau kerabat diraja lain? Dengan persoalan ini saya tamatkan cerita ini ya. Sekian...
4 ulasan:
Assalamu'alaikum Tuan Merah Silu,
Saya akan cuba menjawab persoalan tuan kemukakan di dalam blog saya berdasarkan pandangan orang Rembau dan maklumat yang ada mengenai Raja Melewar.
http://nagarinansembilan.blogspot.com
Insya ALLAH
Wassalam. Terima kasih! :]
Salam sdr Radzi,
Saya orang Batu Kikir. Bila saya balik kampung, saya terbayang sdr berjalan dari Penarikan ke Pekan Bt Kikir dan balik ke Penarikan. Kalau tidak kerana 'a driving force from within' agaknya sdr dah pengsan berjalan tongah paneh tu...hehe..
salam....cabaran hebat tu..teringat waktu kerja di dam utk memenuhkan kembali dam sekitar 2004...
talang dam yg link dgn kelinchi dam..kalau naik bot bleh la smpai kelinchi dam....
cabang ulu sg muar smpai ke perkampungan org asli lpas masjid talang ada simpang kanan ke perkampungan org asli yg merupakan salah satu punca empangan talang..
kalau sedara perasan sepanjang jalan masuk ke talang ada post marker dan chamber paip JBA..sebenarnya paip itu menyalurkan air ker talang dam...
Catat Ulasan