Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Rabu, November 12, 2008

Cerita projek buku masjid - Membuka perjalanan di Negeri Sembilan

Gambar makam Tuan Tulis sebagai hiasan. Diambil daripada artikel Makam (Tomb of) Tuan Tulis di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)

OK. Kita sambung proses luahan seraya bercerita yang dimulakan dengan artikel Menulis balik cerita masjid di waktu malam? tadi. Di bawah ini adalah isi Bab 1 bagi penulisan dalam projek buku masjid yang dicadangkan. Tetapi ia juga harus ditukar cara penceritaan dan penekanan cerita nanti. Ini dia...


------------------

Membuka perjalanan di Negeri Sembilan

Cerita bermula dari Kajang 24 Oktober tempat saya bermalam setelah melaksanakan pelbagai komitmen dari Kuala Lipis, Pahang hingga ke sekitar Lembah Kelang lebih seminggu kebelakangan. Setelah bersolat Jumaat, jurugambar Shamsul Yunos datang dari arah Bukit Damansara untuk mengambil saya di tepian jalan. Langit mendung menandakan hujan akan turun. Baru saya tersedar kasut yang dipakai sudah terkoyak sehingga menyekat langkah.

Keadaan ini memaksa kami singgah di bandar Kajang. Dalam hujan renyai, kami menunggu sekitar 15 minit untuk kasut siap dijahit kiri dan kanan. Seterusnya kami ke pejabat ... (syarikat penerbitan) untuk mengambil barangan yang diperlukan. Kemudian baru ke selatan untuk ke masjid terpilih pertama dalam perjalanan, Masjid Tuan Tulis Ismail di Kuala Talang, Tanjung Ipoh, 8km dari pekan Kuala Pilah, Negeri Sembilan.

Adapun untuk meliputi masjid-masjid terpilih seluruh Semenanjung (Sabah dan Sarawak tidak dimasukkan kerana kekurangan dana dan masa), pengembaraan harus dipecah tiga – pengembaraan ke selatan hujung minggu itu, Pantai Timur hujung 2 minggu akan datang dan utara 2 minggu seterusnya dengan setiap satu sesi memakan masa tiga hari. Kemudian baru diambil satu hari untuk melawat masjid-masjid terpilih di sekitar Lembah Kelang.

Oleh kerana konsep penceritaan yang ingin diketengahkan menyentuh sejarah serta warisan kemasyarakatan di sekitar masjid terpilih, kami turut memasukkan lawatan ke makam-makam sekitar masjid. Apalah makna sesuatu masjid tanpa kehadiran insan-insan yang mengimarahkan walaupun insan yang dimaksudkan sudah lama kembali ke alam barzakh? Seperti juga, apa lebihnya Masjid Nabawi di Madinah tanpa makam Rasulullah SAW di sisi. Maka pemilihan masjid turut dibuat berdasarkan kewujudan makam tokoh-tokoh penting, misalnya raja-raja, pahlawan juga ulamak besar terutama yang dipercayai bertaraf wali.

Asalnya, penceritaan mahu dibuka dengan kisah Masjid Tengkera dan cerita di sebalik kewujudan makam Sultan Hussin Shah di perkarangannya. Tetapi penceritaan secara kembara menurut langkah dari Lembah Kelang ke selatan memerlukan kami menyatakan sesuatu tentang Masjid Tuan Tulis Ismail terlebih dahulu... kerana lokasinya lebih dekat ke utara.

Dari Bangi, kami memasuki lebuhraya Utara-Selatan sebelum keluar untuk ke pusat bandar Seremban. Niatnya mahu mengambil jalan ke Kuala Pilah, tetapi sebaik sahaja sampai di hadapan Taman Tasik Seremban, terasa mahu membelok kiri melalui tepian tasik hingga ke Ampangan. Rupa-rupanya ada ‘panggilan’ daripada Sheikh Muhammad Said Linggi, ulamak besar Negeri Sembilan yang telah meninggal dunia lebih setengah abad lalu.

Untuk pengetahuan Sheikh Muhammad Said yang pernah menjadi mufti Negeri Sembilan dikatakan bertaraf wali. Beliau adalah orang terawal membawa Tariqat Ahmadiyah, satu jalan penyucian diri melalui zikir dan amalan tertentu yang diasaskan Sayyid Ahmad Idris di Afrika, masuk ke negeri itu. Seluruh keluarga Muhammad Said daripada datuknya Sheikh Idris, bapanya Sheikh Jamaluddin membawa ke anak cucunya hingga kini dikenali sebagai orang kuat agama. Jabatan mufti Negeri Sembilan terus dipegang mereka yang berkaitan.

Sebenarnya kami memang merancang untuk menziarahi makam beliau tetapi selepas ke Masjid Tuan Tulis. Ini kerana masjid terpilih seterusnya terletak di Linggi, didirikan oleh keluarga Muhammad Said. Memang kami perlu melalui Seremban lagi untuk ke sana.

Selesai ziarah kami terus menghala ke Kuala Pilah. Oh... semasa dalam perjalanan dari Bangi ke Seremban, Shamsul meminta saya mengingatkan kembali rancangan perjalanan ke selatan. Saya menjawab, seperti dinyatakan dua minggu sebelumnya, insyaallah kami akan bergerak hingga ke Singapura untuk melawat Masjid Sultan, Masjid Ba’ Alawi dan Masjid Teluk Belanga. Untuk pengetahuan, Masjid Sultan di Kampung Gelam berkait dengan raja-raja terakhir empayar Johor-Riau-Lingga, Masjid Ba' Alawi dengan keturunan anak cucu Nabi Muhammad SAW yang datang dari Hadramaut, Yaman dan Masjid Teluk Belanga dengan keluarga Temenggung Johor yang kini menjadi raja-raja Johor. Kami juga ingin ke makam Habib Nuh, seorang ulamak besar berketurunan Nabi dan bertaraf wali yang sangat dihormati.

Terus Shamsul menepuk dahi. Rupa-rupanya, dia terlupa membawa paspot antarabangsa! Saya menerima ini sebagai jawaban kepada pertanyaan - perlukah perjalanan dibuat hingga ke Johor Bahru dan Singapura? Ini kerana minggu lepas baru saya diberitahu, untuk keseluruhan projek, kami diperuntukkan dana seperempat berbanding kebiasaan kos menyediakan sebuah coffee-table book. Lalu jumlah keseluruhan masa bekerja terpaksa dihadkan ke 10 hari dan kami dicadangkan supaya menziarahi 20 buah masjid sahaja sedangkan senarai asal kami meliputi lebih 50 buah masjid di seluruh Semenanjung, belum dicampur ziarah ke makam-makam. Dari Negeri Sembilan ke Muar sahaja bakal meliputi 13 buah. Jadi bagaimana?

Yang pasti terjawab satu persoalan. Tidak perlu pergi sampai ke hujung selatan, cukuplah hingga ke Muar. Lalu Shamsul mencadangkan agar kami turut pergi ke Pulau Besar, Melaka sebaik sahaja selesai meliputi masjid-masjid terpilih di Melaka.

Kami sampai di Masjid Tuan Tulis jam 6 petang. Walaupun rekabentuknya boleh tahan menarik, masjid itu sendiri tidak begitu bermakna jika tidak kerana kehadiran makam di hadapan, makam seorang ulamak bertaraf wali yang dikenali sebagai Tuan Tulis Ismail.

Tertulis di hadapan masjid, Tuan Tulis Ismail adalah seorang tokoh agama yang terkenal lagi zuhud dan kuat beribadat. Beliau yang lahir tahun 1860an diberi gelaran “Tuan Tulis” kerana menjadi jurutulis kepada gurunya dan pernah menulis sebuah Quran menggunakan tangan.

Tuan Tulis membina masjid ini dalam tahun 1920an sebelum meninggal dunia tahun 1923 dalam bulan Ramadhan sewaktu solat Subuh. Beliau dikatakan banyak melakukan perkara mencarik adat. Diberitakan Tuan Tulis pernah tiba-tiba muncul untuk mengubati Yam Tuan Negeri Sembilan ketika itu, Tuanku Muhammad ketika baginda sedang sakit kuat di London. Sekembali ke tanah-air, baru baginda tersedar Tuan Tulis sudah meninggal dunia ketika itu! Untuk mengenang jasanya, Tuanku Muhammad yang merupakan ayahanda kepada Yang di Pertuan Agung pertama Tuanku Abdul Rahman pun mendirikan bangunan makam.

Sayangnya, pintu bangunan makam terkunci semasa kami sampai. Kami pula tiada masa untuk menghubungi pemegang kunci. Tetapi saya pernah beberapa kali sampai lalu tahu keadaan makam yang diliputi tanah busut besar, kata sesetengah orang tanah dari Mekah!

Kami meninggalkan Masjid Tuan Tulis selepas jam 6.15 petang. Jalan yang agak sibuk menjadi sesak ketika menghampiri Seremban hingga beberapa kilometer kemudian. Lalu kami sampai ke destinasi seterusnya di Pengkalan Kempas masuk jam 7.30 petang.

Sebenarnya kami mahu ke Linggi untuk melihat masjid lama binaan keluarga Sheikh Muhammad Said Linggi. Tetapi memandangkan Pengkalan Kempas terletak cuma 4-5km sahaja ke hadapan dan di sana terdapat sebuah makam lama, dipercayai salah satu makam Islam tertua di Malaysia dengan di sekitarnya berdiri beberapa buah batu hidup atau megalithic stones siap yang terukir berbagai bentuk, elok kami ke sana terlebih dahulu.

Makam ini diisytiharkan sebagai makam Keramat Sungai Udang, Port Dickson. Katanya ia menempatkan jenazah Sheikh Ahmad Majnun, seorang pendakwah bertaraf wali. Berdasarkan inskripsi pada batu bersurat di situ dengan tarikh bersamaan 1467-1468, beliau dipercayai hidup pada zaman kegemilangan keSultanan Melayu Melaka. Tetapi tidak dapat dipastikan jika batu-batu hidup di sekeliling, ada berbentuk pedang, ada berbentuk ikan didirikan pada era yang sama kerana batu-batu hidup dikenali wujud di Malaysia sejak abad ke 2 Masihi lagi.

Pada bahagian kaki makam terdapat sebuah batu berukir tulisan Jawi dengan sebuah lubang. Menurut ceritanya, batu itu pernah digunakan untuk menentukan salah laku orang seperti mencuri dan perlakuan sumbang. Mereka yang didakwa disuruh memasukkan tangan ke dalam lubang. Jika bersalah, tangan mereka akan tersangkut apabila cuba ditarik keluar.

Selesai mengambil gambar dalam suasana kelam, kami ke destinasi seterusnya, Masjid Qariah Linggi. Kebetulan baru masuk waktu Isyak maka kami bercadang mahu bersolat jemaah. Rupa-rupanya masjid ditutup, jarang digunakan kerana ada masjid lebih moden di tempat lain.

Apapun, masjid ini ada sejarahnya yang tersendiri. Ia dibina oleh Sheikh Idris, datuk kepada Sheikh Muhammad Said Linggi pertengahan abad ke 19. Di perkarangan masjid terdapat makam Sheikh Idris sementara makam Sheikh Jamaluddin, bapa kepada Muhammad Said terdapat jauh sedikit ke belakang. Seperti disebut awal tadi, keluarga ini dikenali sebagai orang kuat agama yang dijadikan rujukan masyarakat sehingga ke hari ini.

Seterusnya kami bergegas masuk ke Melaka melalui Lubuk Cina. Masjid seterusnya ialah masjid lama di pekan Masjid Tanah. Shamsul bertanya apa pula keistimewaan masjid ini. Jawab saya, inilah satu-satunya masjid di Malaysia di mana kawasan sekitarnya mengambil nama sempena masjid itu.

“Tentu kamu pernah mendengar nama Masjid Tanah sejak kecil lagi. Tetapi tahukah kamu memang terdapat masjid lama di sini yang dibina dari tanah?”

Sayangnya, masjid yang dibina tahun 1900an ini terkunci rapat kerana ia sedang dibaik-pulih pihak muzium. Kalau tidak, tentu saya boleh tunjukkan satu tepian dinding di mana terdapat kaca menunjukkan bahagian dalam asal yang diperbuat dari tanah.

Ikut rancangan asal, seterusnya kami mahu ke Masjid Tanjung Keling, Masjid Tengkera dan Masjid Kampung Keling serta beberapa makam di sekitar sebelum berehat di Masjid Kampung Hulu di tengah bandaraya Melaka. Tetapi memandangkan hari sudah agak malam dan kami pun kepenatan, kami menghala terus ke Masjid Kampung Hulu.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

saya minta maaf...mengenai masjid linggi. sepanjang pengetahuan saya & mengikut cerita keluarga. yang membina masjid linggi adalah Dato Muda Linggi Dato Mohd Kattas. kubur yg ada di depan masjid adalah kubur beliau dan isterinya termasuk ahli keluarganya. Mmg keluarga ini mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Syeikh Muhammad Said sbb mereka berasal dari susur galur yang sama.

Belakang kubur Syeikh Jamaluddin byk lagi kubur terutama di dalam hutan berdekatan.

Radzi Sapiee berkata...

Terimakasih atas maklumat ini. Akan saya sebut ia sekali nanti dalam cerita untuk diimbangi dengan maklumat lain yang mengatakan ia dibina oleh datuk kepada Sheikh Muhammad Said.
Terimakasih sekali lagi...