Cerita ini bersambung daripada kisah yang dinukilkan dalam Di Lenggong menjejaki warisan anak cucu Tun Saban... Ahad malam Isnin itu, saya dan Asri serta anak isterinya kembali ke Sungai Siput. Keesokannya baru saya menumpang Asri yang ada urusan di Ipoh... Tergerak pula untuk mengambil gambar bukit-bukit batu kapur yang banyak terdapat di sekitar bandaraya itu... Yang nyata, banyak daripada bukit-bukit ini telah diambil kaum Cina untuk dijadikan kuil-kuil mereka...
Kami melalui pusat bandaraya untuk ke stesyen bas lama...
Tidak lama kemudian dapatlah saya menaiki bas ke hala yang dituju... Kalau tak salah ingatan gambar ini diambil di kawasan Bukit Keledang... Keledang ke Kelebang? Lebih kurang begitulah bunyinya...
Inilah rupa bas buruk yang diambil... Kalau tak biasa boleh sakit-sakit belakang disebabkan kadangkala ia tersenggut-senggut sehingga para penumpang boleh terhentak-hentak terutama apabila jalan berbalam-balam...
Teringat pula perjalanan daripada Mersing ke Kluang, Johor yang dibuat sebulan sebelum itu... Teringat bagaimana beg haversack saya sering terjatuh apabila bas buruk yang serupa mengambil selekoh atau turun-naik bukit... Hasilnya, apabila sampai di Kluang ternyata komputer laptop saya menghadapi masalah tidak mahu hidup... Katanya masalah motherboard atau integrated circuit tercabut atau longgar akibat hentakan bercampur goncangan... Maklumlah dah lebih 2 tahun saya bawak ke hulu ke hilir mengembara secara lasak... Sekali tu pernah pecah skrin komputer kerana saya terduduk kasar di atas beg... La ni ada pulak barang dalam yang tercabut. Ish! Sampai la ni masih kat Imbi Plaza belum siap lagi repair... Alahai!
Bas ini singgah sebentar di pekan Parit sebuah pekan yang comel. Di sini berdekatan kawasan pekan malah sekitar 300 meter sahaja daripada stesyen ini terdapat sebuah masjid yang agak menarik... Selalunya saya akan ke sana berehat sebentar. Tetapi kali ini malas hendak turun kemudian harus menunggu bas lain. Cukuplah setakat melihat pekan daripada dalam bas...
Cuma saya terasa tidak cukup masa ketika itu... Badan saya amat penat setelah pengembaraan 3 hari di Kedah disambung dengan siri perjalanan di Perak... Penat yang amat sangat sehingga ada juga terasa, ada baiknya jika daripada Ipoh tadi saya terus ke Teluk Intan, kampung ayah saya sebelum kembali ke Kuala Lumpur...
Tetapi ada lagi tempat yang saya perlu pergi. Kalau tidak, terasa perjalanan di Perak ini tidak akan lengkap... Maka pengembaraan lasak pun diteruskan walaupun ketika itu saya sebenarnya sedang demam-demam selain sakit-sakit badan...
Pemandangan ketika menyeberangi Sungai Perak, sekitar 5 km di utara pekan Parit...
Lagi 15 km kemudian sampailah ke pekan Beruas... Aiittt??? Bukankah hari itu sudah pergi ke Beruas? Bukankah ini sudah diceritakan dalam Perjalanan pusing Perak daripada Sungai Siput... Penat-lelah menyajikan satu perjuangan untuk semua. dan The ancient kingdom of Beruas and its ties with the more ancient kingdom of Gangganegara! ? Bukankah sudah saya sebut bahawa asal-usul sebenar kerajaan Beruas dan Gangganegara yang ingin dicari terletak lebih dekat ke laut? Sedangkan pekan Beruas ini terletak agak jauh ke darat...
Sebenarnya saya perlu ke tempat lain tetapi perlu menaiki bas daripada Ipoh ke Beruas terlebih dahulu. Tempat yang sebenarnya ingin dituju ialah Pantai Remis di mana terdapatnya Kuala Sungai Beruas... Mungkin di situ bermulanya Beruas... Mungkin di situ juga bermulanya Gangganegara kerana di situ kelihatan terang bukit-bukit Segari yang entah kenapa, setiap kali melihatnya, saya mesti teringat nama Gangganegara...
Di kawasan laut sekitar bukit-bukit itu juga terdapat sebuah kawasan yang agak misteri... Menurut beberapa orang rakan yang katanya pandai melihat secara batin, di kawasan laut itu wujud sebuah kerajaan dengan ciri-ciri bangunan dan rakyat yang saling tak ubah seperti yang diceritakan mengenai kerajaan lagenda Atlantis oleh orang-orang Barat! Malah menurut mereka, di situlah letaknya Atlantis. Menurut mereka lagi, di kawasan bukit-bukit itu terdapat sebuah lubang (mungkin tak kelihatan langsung dengan mata zahir) di mana kapal-kapal kencang milik kerajaan lama Gangganegara boleh keluar masuk... Lalu kerajaan ini dikatakan bersambung dengan kerajaan bawah bumi yang dikenali sebagai Bumi Dhika juga dengan kerajaan Kota Gelanggi yang dikatakan terletak selatan di Johor!
Adapun satu lagi teori tentang pusat asal kerajaan Gangganegara yang menurut kitab Sulalatus Salatin terletak di atas sebuah bukit yang kelihatan tinggi daripada hadapan tetapi rendah daripda belakang adalah di lereng Gunung Bubu. Kalau begitu, maka ia lebih dekat pada pekan Beruas sekarang...
Tadi, saya telah membuat sebuah cerita bertajuk A short stop in Beruas. And a talk on Beruas' very own mysterious "Batu bersurat" or inscribed stone... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Asalnya, saya setakat mahu meletakkan beberapa buah gambar di sekitar pekan Beruas tetapi ketika sedang bercerita, tiba-tiba muncul satu gerak untuk mengupas sedikit tentang Batu Bersurat Beruas!
Ya! Mungkin anda tidak pernah mendengar ini... Yang biasa kita dengar adalah Batu Bersurat Terengganu yang membuktikan Islam telah bertapak di sana sejak awal tahun 1300an Masihi lagi... Sekarang, biar anda tahu pula tentang Batu Bersurat Beruas yang ceritanya seolah-olah ingin disembunyikan pihak berwajib atas sebab-sebab tertentu, mungkin kerana ia mengandungi rahsia penting akhir zaman... Menurut satu kisah, ia adalah batu yang ditinggalkan oleh Raja Suran selepas menawan kerajaan Gangganegara sekurang-kurangnya 1,000 tahun lalu, batu yang menandakan tempat tersimpannya banyak harta baginda untuk kegunaan seorang anak-cucunya akhir zaman! Sila baca A short stop in Beruas. And a talk on Beruas' very own mysterious "Batu bersurat" or inscribed stone...
Daripada Beruas, saya ingatkan ada bas terus ke Pantai Remis... Rupanya tidak. Yang wujud adalah bas ke Taiping melalui Batu Hampar. Di Batu Hampar, baru boleh menaiki bas Taiping ke Pantai Remis.
Cuma semasa saya sampai ke Beruas itu, ternyata bas seterusnya ke Taiping cuma akan tiba lebih 1 jam lagi. Lalu saya membuat keputusan untuk hitchike kenderaan orang, dapatlah naik sebuah lori terus daripada pekan Beruas... Menurutnya dia mahu ke Lumut melalui Pantai Remis... Alhamdulillah, hati saya berbisik, dapat juga lori terus ke sana...
Rupa-rupanya saya perlu berhempas-pulas sedikit... Baru 2-3 km meninggalkan Beruas, lori ini mendapat isyarat daripada para pemandu dari arah berlawanan bahawa terdapat sekatan jalan JPJ di hadapan sana... Saya tidak tahu apa yang pemandu lori takutkan.... Rupa yang bermisai berjanggut tebal serta pakaian jubah dan kopiah kelihatan seperti orang Tabligh.
Apapun dia membuat keputusan untuk berpatah balik ke Beruas kemudian ambil jalan ke Sitiawan. Saya boleh ikut jika mahu tetapi saya tetap mahu ke Pantai Remis. Lalu saya pun turun dengan harapan dapat menumpang kenderaan lain nanti...
Ternyata kali ini sangat susah untuk mendapatkan kenderaan tumpangan... Terpaksalah saya berjalan kaki seorang diri dalam panas terik itu... Kelihatan pula batu tanda menunjukkan Taiping 49 km lagi... Larat ke kalau nak berjalan sampai ke sana?
Saya pun menyambung jalan kaki menghala ke Pantai Remis. Tidak lama kemudian berhenti pula sebuah kereta...
Kebetulan pemandu kereta mahu pergi ke Pengkalan Baru, 2-3 km sahaja daripada Pantai Remis. Dan saya pun sebenarnya memang ingin ke sana terlebih dahulu... Alhamdulillah, akhirnya sampai juga!
Satu ciri-ciri di sekitar kawasan ini juga beberapa kawasan lain sekitar Perak malah Kedah dan Pulau Pinang adalah senibina Melayu lama menggunakan ukiran seperti lidah tergantung di sudut bumbung rumah... Di sesetengah kawasan, senibina ini turut dipakai pada hentian bas moden seperti yang terdapat dalam gambar ini...
Sungai Beruas terletak bersebelahan masjid tadi. Sungai ini panjangnya sampai ke Kampung Kota, Beruas lebih 30 km daripada sini, kampung yang diketengahkan dalam cerita The ancient kingdom of Beruas and its ties with the more ancient kingdom of Gangganegara!
Menurut ceritanya, Sungai Beruas dahulukala jauh lebih besar malah boleh dimasuki kapal-kapal laut sehingga ke Kampung Kota! Dalam lawatan kali pertama saya di sekitar kawasan ini lebih 2 tahun lalu, saya telah dibawa ke kawasan belakang sekitar latarbelakang gambar ini... Lalu ditunjukkan akan lembah-lembah berumput yang menurut orang tempatan adalah aliran Sungai Beruas lama...
Di belakang sana juga saya ditunjukkan sebuah kawasan agak luas yang dipenuhi pokok-pokok renek yang rendah. Kata mereka, di situlah terletak Padang Antah Berantah, padang legenda yang selalu disebut dalam cerita-cerita dongeng Melayu lama yang selalunya melibatkan kisah-kisah pergaulan antara manusia biasa dengan penduduk kayangan!
Daun pokok-pokok ini kelihatan sedikit kemerahan... Lalu menurut mereka lagi, ini adalah akibat darah beribu, mungkin berjuta orang yang mengalir dalam peperangan demi peperangan dahulukala... Salah satunya peperangan angkatan Raja Suran daripada benua Hindi melawan angkatan Raja Gangga Shah Johan yang pernah memerintah kerajaan Gangganegara, satu peperangan besar yang turut membuat kerajaan itu hancur menjadi padang jarak padang tekukur.
Daripada Pengkalan Kota, saya memilih untuk berjalan kaki ke Pantai Remis. Lagipun sudah tidak berapa jauh dan saya sebenarnya ingin mencari sebuah warung di tepi jalan di mana saya pernah menikmati sepinggan mee kari yang agak lazat...
Dalam perjalanan itu, tiba-tiba muncul seorang dewasa menaiki motosikal lalu berhenti dan menegur saya... "Kenal lagi tak?", dia bertanya... Saya melihat mukanya betul-betul... Siapa dia ini? Di manakah kami pernah berjumpa... "Sayalah tokeh kedai mee kari yang awak pernah singgah dahulu!"...
Ya Allah! Sekarang baru saya ingat... Abang ini pula masih ingat muka saya kerana dia tahu saya adalah penulis siri buku "Berpetualang ke Aceh"... Semasa saya berjumpa dengannya dahulu awal tahun 2007, dia sempat membaca buku pertama dengan sub-title "Mencari Diri dan Erti" atau BKA II yang saya hadiahkan kepada seorang penduduk Pengkalan Baru.
Nasib baik abang ini menegur, kalau tidak, mungkin saya tidak akan berjumpa warung yang ingin dicari itu. Ini kerana warung yang lama sudah diruntuhkan, dibina warung baru di tempat lain... Lalu dia pun membawa saya menaiki motosikal ke warung itu...
Lihat betul-betul menu yang kelihatan ini... Mungkin gambar ini sedikit kabur tetapi cubalah melihatnya... Saya rasa tertarik dan kelakar sekali gus melihatkan betapa hampir semua makanan di sini melibatkan udang...
Ya... Itulah yang membuat saya ingin makan lagi di sini dan Allah pula telah menyampaikan hajat saya. Yang special di sini adalah masakan udang lipan... Jenis udang yang menurut kata orang tidak digemari ramai kerana satu, rupanya yang seakan-akan rupa lipan menyebabkan orang akan serta-merta geli lalu membuangnya ke laut... Dua, kerana kandungan kolesterolnya amat tinggi, kata orang le... Dan ketiga, udang jenis ini tidak terdapat di semua tempat...
Tetapi apabila sudah dipotong elok dan disajikan, ternyata (pada saya le) ia adalah suatu hidangan yang istimewa... Isinya manis melebihi udang biasa. Dan saya rasa ia agak kena dengan hidangan mee kari yang merupakan salah satu makanan kegemaran saya...
Selesai makan, perjalanan diteruskan ke Pantai Remis...
Singgah sebentar di masjid lama bandar... Kelihatan di dalam gambar adalah bukit-bukit Segari yang mana setiap kali melihatnya, mesti saya teringat nama Gangganegara...
Sedikit cerita bergambar tentang masjid lama ini telah dibuat tadi dalam blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Nama artikelnya ialah Masjid lama (The old mosque of) Pantai Remis... . Silalah jengok...
Oh... Saya sampai di Pantai Remis selepas jam 6 petang... Oleh kerana ada kawasan-kawasan tertentu yang ingin saya lihat nanti sekitar sini, saya perlu bermalam sekurang-kurangnya sehari.
Kalau diikutkan, saya boleh sahaja bermalam di masjid tadi. Kalau malas tidur masjid kerana tidak mahu diganggu, saya juga boleh tidur di sebuah hotel di hadapan masjid. Tetapi saya terasa mahu dekat dengan kawasan bukit-bukit ini sedekat boleh. Lalu saya terus berjalan merentasi sepanjang kawasan bandar Pantai Remis dengan harapan akan tidur di mana-mana hotel yang paling dekat dengan kawasan bukit...
Rupa-rupanya tidak ada lagi hotel di Pantai Remis selain daripada di hadapan masjid lama tadi... Saya ada terlihat sekurang-kurangnya 2 buah tempat dengan papan-tanda hotel di penghujung selatan Pantai Remis menghala ke bukit-bukit tetapi ternyata hotel-hotel ini tidak beroperasi lagi... Ada yang sudah dijadikan "rumah penginapan" burung layang-layang...
Saya pun membuat keputusan untuk terus berjalan dan berjalan menghampiri bukit. Akhirnya saya terus berjalan sampai gelap, sampai Maghrib tamat menyusuri jalan di hadapan darat bukit seterusnya melepasi Isyak...
Hmm... Nantilah kita sambung cerita ini ya, bila-bila masa esok lusa... Lama dah saya menulis ni, dah masuk waktu Subuh... Selamat! :] Allah... Kena tambah lagi sikit...
Tadi saya telah membuat satu google search untuk mencari jumlah angkatan perang yang mengikuti Raja Suran menyerang kerajaan Gangga Negara. Ini kerana kalau tak salah ingatan, kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu menyebut angkatan itu terdiri daripada 1,200 laksa orang iaitu 1,200 x 10,000 bersamaan 12 juta orang!
Bayangkan betapa ramai agaknya orang yang berperang ketika itu jika dicampur angkatan Gangga Negara sekali. Mana tak tempat itu boleh jadi padang tekukur? Tetapi saya sendiri tidak pasti akan angka yang kelihatan begitu banyak dan mustahil ini sedangkan saya kini tidak memiliki apa-apa naskah Sulalatus Salatin untuk dibuat rujukan.
Dalam membuat google search itu, boleh pula terjumpa sebahagian daripada cerita Bercakap dengan Jin karangan Tamar Jalis yang pernah menggemparkan para pembaca seluruh Malaysia lebih 25 tahun lalu. Kalau tak salah ingatan, saya pertama kali membaca buku ini ketika Darjah Enam... Dan itulah kali pertama saya mendengar nama Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir al-Jilani disebut sehingga meremang bulu roma saya...
Apapun rasanya elok diletak sekali peta daerah Manjung ini supaya nampak kedudukan Beruas, Pantai, Remis dan tempat-tempat yang terlibat. Kemudian baru saya copy and paste sedutan cerita Bercakap dengan Jin itu ya (perlu di edit sedikit kerana ada kesilapan ejaan dan kata-kata)... Ini dia. Sekian!
----------------------------------------------------
9 ulasan:
salamssss .. .. sungguh menarik intipati yg termakhfi pada tempat kali ini .. .. tambah asyik bila ditambah dengan 'sentuhan' tamar jalis .. .. i like his works .. .. ermp, alam ini penuh dengan rahsia yg tak terjangkau dek mata kasar yeah .. .. dan byk sekali hikmah juga iktibar di dalam setiap kisah kisahnya .. ..
Wassalam... I'm glad you and some others like this posting very much. Hope to be able to continue this story tonight... Cheers! :]
Salam Ms,
Memang setiap kali terdengar/terbaca tentang Beruas, saya akan teringat kembali SBDJ karya TamarJalis.
Saya membesar dgn karya seperti ini. Walaupun banyak kontra yg disuarakan oleh orang lain bila bahan seperti ini jadi bacaan, tapi saya rasa TJ banyak mengajar mengenai warisan, gaya hidup zaman selepas merdeka, keturunan2 Melayu dan budi bahasa melalui karyanya.
Posting Beruas ni, cukup menarik MS.
-awanbadai-
salam, saya tercari salah silah keturunan ibu sya yg di katakan berasal usul dari beruas. yg aneh nya, kami dapat sedikit informasi berkenaan ibu sya ialah apabila besan dia seorg yg warak dan berilmu bermimpi menemukan seorg wanita yg berperwataan bangsawan berpakaian di raja melawat
keturunannya..anak lelaki yg pertama dari keturunan ke-7 nya ketika baru di lahirkan, dan dia memanggil ibu sya dgn panggilan tun...setahu sya mmg nama asal ibu sya adalah tun fatimah, ttp di sbbkan kerajaan kita tidak membenarkan penggunaan nama tun, maka fatimah shja yg tercatit di dlm IC nya. Ibu sya mengetahui bahawa dia sebenarnya anak angkat kpd keluarganya, dan ketika bayi..
.telah di serahkan oleh keluarga sebenarnya atas sbb2 tertentu. Lagi informasi yg kami ketahui dari mimpi itu, bahawa wanita bangsawan itu merupakan asal usul dari kerabat di raja Perak yg awal dan berdarah dari kepulauan borneo...mohon jika ada sesiapa yg tahu serba sedikit perihal sejarah seperti ini, agar menjadi informasi dan clue2 utk sya berusaha mencari salah silah ibu sya serta menukan ahli2 kelurganya yg sebenar...adik beradik kandungnya...insya Allah
SALAM TUAN PENULIS.... SAYA NK TAHU TENTANG KG.PULAU MERANTI... BERUAS... KATA ORG BERUAS... KG. NIE BYK MENYUMBANG ARTIFAK2 untuk muzium beruas.... tp jrg kedengaran dlm sejarah... boleh kita Pm kongsi Andaman?
SALAM TUAN PENULIS.... SAYA NK TAHU TENTANG KG.PULAU MERANTI... BERUAS... KATA ORG BERUAS... KG. NIE BYK MENYUMBANG ARTIFAK2 untuk muzium beruas.... tp jrg kedengaran dlm sejarah... boleh kita Pm kongsi Andaman?
saya nk tahu yg psl mimpi kelahiran anak sulung keterunan ke-7 raja beruas sbb mak kandung saya pernah cakap dia ada berketerunan raja beruas dan saya selalu mimpi pelik pelik sejak belakangan ini
Salam. Utk pengetahuan tamar jalis masih ada. Orangnya tinggi besar. Dari kedah
Salam. Utk pengetahuan tamar jalis masih ada. Orangnya tinggi besar. Dari kedah
Catat Ulasan