Sejak 3 hari lepas sampai ke Kedah dalam perjalanan terbaru ini, Gunung Jerai seakan-akan mendayu-dayu memanggil supaya saya naik lagi ke atas... Kali pertama saya sampai ke atas adalah tahun 1997 dengan menaiki motosikal besar, kali kedua setahun lepas dengan "menapak" seorang diri di sebalik kegelapan malam Jumaat menaiki sehingga jalan kilometer 8. Kemudian baru dapat hitchike sebuah kereta hingga ke atas...
Sememangnya Gunung Jerai dapat dilihat daripada sebahagian besar pelusuk negeri Kedah. Pada ketinggian lebih 1,200 meter atau sekitar 4,000 kaki, ia adalah gunung tertinggi di negeri ini lalu telah digunakan sebagai tempat rujukan dan panduan untuk para pengembara zaman- berzaman menjelajah dunia sebelah sini...
Gambar-gambar di atas ini diambil dalam perjalanan kembali daripada Alor Setar ke Kampung Ruat di Yan. Perjalanan ini berlaku sebaik sahaja selesai perjalanan menziarahi beberapa buah tempat terutama makam-makam lama di sekitar Alor Setar dan Jitra seperti yang diceritakan di posting bertajuk Jalan-jalan Kedah: Sekitar Alor Setar pula... yang siap dibuat awal malam tadi...
Perjalanan menghampiri simpang tiga, kanan ke Yan, kiri ke Guar Chempedak. Mana-mana pun, Gunung Jerai tetap memenuhi ruang pemandangan. Apakah akan ada pendakian kali ketiga buat saya nanti? Yang pasti, saya terasa ada "hutang" yang perlu dilunaskan. Ada tempat tertentu yang perlu dijejaki tetapi tidak sempat sampai dalam perjalanan yang lalu...
Lagipun bukan perlu mendaki berjalan kaki untuk ke atas. Walaupun jika mahu tentu boleh tetapi saya rasa sejak kebelakangan ini sudah agak malas berjalan begitu lasak... Masih lagi lasak tetapi kurang berbanding dahulu... Umur pun sudah semakin menghampiri 40... Ambil jalan senang jadilah.... Bukankah ada jalanraya kecil naik sehingga ke atas Gunung Jerai? Cuma saya tidak memiliki kenderaan sendiri. Eh... Tapi Bad kan ada kereta? Tengoklah nanti bagaimana...
Saya dan Badrul sampai ke Kampung Ruat, Yan... Kelihatan di latar-belakang adalah sebahagian Gunung Jerai yang menjulur masuk ke laut melalui tempat yang dipanggil Tanjung Jaga, kalau tak salah ingatan...
Kami pun sampai ke rumah Pak Chak tempat kami menginap 2 malam kebelakangan. Latar-belakangnya masih lagi Gunung Jerai... Bagi orang macam saya yang sejak kecil cukup minat dengan gunung, sungai dan hutan, mana boleh tahan tiap-tiap hari tengok gunung yang memang kita suka tapi tak naik-naik ke atasnya?
Sebenarnya saya telah bertanyakan Bad jika dia mahu naik ke atas. Jika mahu, bolehlah pergi bersama menaiki kereta. Bad pun baru pernah sampai sekali sahaja ke atas, itupun setakat ke rumah rehat dan sekejap sahaja menghantar orang pada waktu malam entah beberapa tahun yang lampau... Lagipun dia tidak perlu bekerja hari Rabu kerana telah selesai segala assignment yang perlu Isnin dan Selasa... Cuma takut dia kena balik awal ke Ipoh kerana "panggilan rumahtangga"... Hehe! :]
Bad pun teringin naik ke atas tetapi dia tidak biasa dengan jalan atas gunung yang sempit. Jadi tak jadi sekarang bergantung pada Pak Chak, samada dia sudi ikut atau tidak... Kalau tak, mungkin saya perlu pergi seorang diri ke kaki bukit di sebelah Guar Chempedak dan mendapatkan kenderaan sewa ke sana... Atau perlu saya berjalan kaki naik ke atas seperti tahun lepas? Rasanya adalah kudrat sedikit lagi tapi kurang larat... Lagipun ada perjalanan lain yang perlu dibuat nanti.
Yang pasti saya perlu singgah lagi ke Makam Diraja Perak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar untuk mengambil gambar terbaru makam moyang saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di sana... Kerana gambar yang diambil pada hari Ahad sebelum sampai ke Kedah semuanya hilang akibat kerosakan kamera seperti yang diceritakan dalam Kamera short-curcuit di Makam Daeng Parani dan 2 insan bernama Badrul...
Rabu pagi, Pak Chak menyatakan persetujuan untuk turut naik ke Gunung Jerai. Cuma masa yang dihabiskan di dapur berbual hingga selepas jam 11 membuat saya risau takut perjalanan tergendala pula... Ternyata pagi itu Pak Chak baru mendapat seorang lagi cucu apabila anak perempuannya melahirkan seorang bayi (lupa pula perempuan ke laki-laki) di Kuala Lumpur. Lalu isterinya Mak Chak telah membuat rancangan untuk pergi ke KL bersama seorang adiknya dengan menumpang kereta Bad sampai ke Ipoh petang itu juga...
Nasib baiklah rancangan saya tidak tergendala. Sekitar jam 12 tengahari, sampailah kami ke tempat yang hendak dituju. Di atas adalah gambar stesyen telekomunasi di puncak tertinggi Gunung Jerai. Kawasannya berpagar dijaga askar, orang awam dilarang masuk langsung...
Denai untuk masuk ke Padang Tok Sheikh, tempat yang ingin dituju terutama oleh saya setelah tidak terjumpa jalan masuknya dalam perjalanan tahun lepas (ketika itu tiada papan-tanda ini) terletak sekitar 100 meter lebih sahaja daripada kawasan berpagar yang menutupi puncak tertinggi Gunung Jerai. Puncak yang menempatkan Padang Tok Sheikh pula mungkin tingginya sekitar 10-20 meter lebih rendah daripada puncak tertinggi itu!
Gambar-gambar perjalanan kaki melalui denai ini dan 2-3 kawasan lain telah saya kumpulkan dalam artikel Views on top of Gunung Jerai... Enter Padang Tok Sheikh. Is it? , dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH yang dibuat lebih awal tadi. Biarlah cerita di blogspot ini pula melihat segala yang berlaku daripada sudutnya yang tersendiri...
Setelah sekitar 15 minit meredah denai, sampailah kami ke kawasan lapang berbatu-batu yang dikenali ramai sebagai Padang Tok Sheikh... Ia dipanggil begitu kerana menurutnya pernah digunakan oleh seorang ulamak dahulukala iaitu Sheikh Abdullah untuk beriadah... Yang dimaksudkan adalah Sheikh Abdullah yang dikatakan telah mengIslamkan Sultan Muzaffar Shah Kedah lebih 800 tahun lalu. Sedikit cerita berkaitan telah saya buat beberapa bulan lalu dengan tajuk Sultan Muzaffar Shah, the first king of Kedah?).
Saudara Bad kita pula nampaknya sedang terpegun dengan rupa-bentuk pokok-pokok yang kelihatan bagai ular dipalu-palu! Kata orang, di sekitar ini terdapat salah satu pintu masuk utama ke istana ghaib kerajaan bunian... Apakah Bad sedang mengintai dayang-dayang di sana? Hehe! :]
Ah! Apakah ini Tok Sheikh tiba-tiba datang menjelma? Allah! Kalau orang lemah semangat boleh putus nafas dibuatnya...
Wahai Tok Sheikh... Janganlah murka di atas kedatangan kami anak-anak yang hingus masih meleleh tidak tahu adat masuk Padang Tok Sheikh ini! Janganlah kami dipersalahkan jika "termengendap" anak-anak dara di sebalik istana lama!
Tiba-tiba teringat panggilan Pak Sheikh yang sering ditujukan pada bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Apakah Nurul Izzah sudah dapat anak? Apakah Pak Sheikh sudah layak dipanggil Tok Sheikh? Hehe! :]
Kalau nak tahu, "Tok Sheikh" tadi sedang bersolat di atas Batu Sajadah, batu yang menurut ceritanya pernah menjadi tempat Tok Sheikh yang sebenar bersolat dan memanjangkan sujud... Ada yang kata Tok Sheikh ini akan datang ke sini sekali-sekala... Maklumlah Wali Allah yang boleh mencarik adat melangkah ruang dan masa! Cuma berhati-hatilah. Seringkali makhluk lain seperti jin dan syaitan termasuk jin Islam sendiri suka menyamar sebagi Wali Allah yang dikenali ramai kerana suka disanjungi orang. Manusia yang suka menganggap dirinya sudah begitu tinggi dalam alam kerohanian sehingga kononnya senang-senang boleh berjumpa dan memanggil para wali lah yang sering tertipu.
Semuanya akibat sifat ujub yang kagum akan pencapaian diri sendiri konon... Lupa untuk membuat muhasabah diri dengan menilik dalam-dalam ke dalam diri sendiri (bukan tilik orang lain ya...) lalu nyatalah diri itu masih banyak cacat-cela... Sehingga timbul rasa malu, apakah diri ini layak bertemu para kekasih Allah?
Dengan rahmat Allah, apapun boleh terjadi. Dengan izinnya, jangankan para Wali, para Nabi yang diketahui secara zahir telah mati pun boleh kita temui... Jika tidak, kenapa kita selalu memberikan salam kepada para Nabi dan orang-orang Salih ketika bersolat? Kenapa kita disarankan memberi salam dan menghadiahkan Fatihah kepada roh orang di dalam kubur?
Memang hukum alam mewajarkan para almarhum dan arwah ini terasing daripada dunia zahir kita sehingga ada yang kata telah putus semua hubungan kecuali amal soleh anak-anak, sedekah dan amal jariah serta ilmu bermanfaat yang disampaikan... Tetapi itu untuk umum. Kita lupa, sebagai insan istimewa yang berjasa, bukan mereka yang bergelumang dosa, roh para Wali dan Nabi yang telah mati ada masanya diberikan "pelepasan" untuk menjalankan peranan tertentu di alam zahir kita demi menolong dan memimpin manusia yang masih hidup ini ke jalan yang benar. Lalu memang tak mustahil kita boleh bertemu mereka... Kecuali seseorang itu berpegang kuat pada amalan Wahabi yang sering membidaahkan serta mengkhurafatkan banyak perkara... Sampai sambutan maulud Nabi yang dibuat untuk menyatakan kasih sayang hormat terhadap junjungan besar kita pun boleh dikatakan bidaah lantaran sifat mereka yang suka mengkafirkan sesama Islam dan amat gemar bertegang-leher menegakkan benang yang basah dengan hujah-hujah bersulamkan ayat-ayat Al Quran yang kelihatan cantik daripada segi mantiq akal tetapi busuk berulat daripada segi maksud tujuan dan nilai kerohanian!
Ketahuilah wahai anak Adam! Sesungguhnya bertemu roh orang yang telah mati terutama para Wali itu tidak mustahil. Cuma sebagai adab, walaupun kita telah bertemu, janganlah dijaja intan pengalaman itu keliling merata pasar borong untuk diwar-warkan kepada khalayak orang ramai sehingga menimbulkan fitnah dan pertelagahan. Dan lagi sebagai adab, sentiasa kita merasa rendah diri tidak layak bertemu mereka walaupun hakikatnya mungkin tiap-tiap hari kita "bertepuk-tampar" dengan para Wali. Takut dalam merasakan diri itu bagus kerana kononnya sudah tinggi taraf kerohanian, kita senang tertipu dengan makhluk halus yang cukup licik membuat penyamaran jadi orang alim dan sebagainya.
Ingat... Iblis itu jauh lebih alim dan tinggi ilmunya daripada mana-mana manusia... Bumi mana yang tidak pernah disujud atasnya sedangkan ia lagi hidup sejak manusia dijadikan sehingga sampai kiamat nanti... Segala tipu helah ia begitu pakar apalagi yang melibatkan nafsu... Janganlah nak melawannya dengan ilmu mahupun amal.... Jangan harap... Satu-satunya cara melawan tipuan syaitan juga penyamaran jin Islam adalah merendahkan diri sendiri... Kerana mereka sudah dijadikan daripada unsur api dan api memang sifatnya mahu menegak dan menyemarak, lalu tidak dapat turut merendahkan diri...
Sebab itu juga walau jin Islam yang paling alim kita mesti berhati-hati. Kerana setinggi mana amalnya, dia itu tetap jin yang bersifat api. Sebab itu disebut, sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia... Dah sifatnya begitu... Macam harimau makan daging... Takkan Tuhan nak hukum dan marah harimau makan daging waima daging orang sekalipun kerana sifatnya sudah dijadikan sebegitu? Lainlah kita manusia, ada empat unsur - api, angin, tanah dan air... Pandai-pandai le kita adjust ikut kesesuaian semasa...
Eh... Banyak jugak keluar khutbah saya malam-malam ni. Sedangkan apa yang hendak disebut sebenarnya cuma ini... Gambar di atas adalah gambar Batu Sajadah tempat Sheikh Abdullah pernah bersolat dahulukala dan sejak mengetahui tentang kewujudannya, saya begitu teringin mahu bersolat di atasnya.
Tengahari itu tercapailah hajat saya. Setelah "Tok Sheikh" tadi selesai bersolat dan bermunajat, dapatlah saya menunaikan solat Dhuha dengan air wudhuk yang diambil di Perigi Tok Sheikh sekitar 2km jalan ke bawah tadi... Untuk melihat gambar perigi itu, sila masuk ke artikel On to the summit of Gunung Jerai to close a chapter... yang dibuat berdasarkan perjalanan menaiki gunung ini tahun lepas...
Di belakang Batu Sajadah pula terdapat garisan-garisan atas permukaan batu (entah semulajadi entah dibuat orang...) yang selari dengan barisan jemaah bersolat menghadap kiblat. Maka tempat ini juga dikenali sebagai Batu Saf!
Sekarang cerita ini hampir habis, biarlah saya sebut. Menurut cerita orang-orang yang biasa keluar masuk Gunung Jerai, kawasan ini bukanlah Padang Tok Sheikh yang sebenar. Padang Tok Sheikh yang sebenar terletak lebih 1 batu daripada sini memasuki hutan untuk sampai ke sebuah puncak yang lain, masih lagi puncak Gunung Jerai tetapi bukanlah yang tertinggi. Dan padang ini sebenarnya berumput, bukannya berbatu-batu.... Lebih sesuailah dengan panggilan sebagai padang sedangkan kawasan dalam gambar ini pula lebih kena dengan nama Batu Saf yang menjadi tempat orang bersolat.
Apapun, saya cukup puas hati kerana sudah sampai ke sini dan dapat bersolat di Batu Sajadah, setelah menyimpan hajat lebih setahun lama. Insyaallah saya akan sampai ke Padang Tok Sheikh yang sebenar suatu hari nanti... Lagipun saya pernah sampai ke tempat itu dalam mimpi, ketika sedang tidur di rumah rehat di puncak bawah sedikit Gunung Jerai tahun lalu, dalam perjalanan yang menyebabkan ternukilnya cerita-cerita bertajuk Gunung Jerai calling out loud... dan On to the summit of Gunung Jerai to close a chapter... .
Selepas selesai berjalan di Gunung Jerai, kami pun kembali ke Yan untuk bersiap-siap. Petang itu bergeraklah Bad ke Ipoh dengan membawa Mak Chak, adik Mak Chak dan seorang anak saudara menumpang kereta sebelum mengambil keretapi ke KL.
Saya juga menumpang sama tetapi tidak ke Ipoh. Sebaliknya dalam perjalanan itu, saya mendapat "arahan"untuk turun ke Taiping. Lalu bermulalah perjalanan terbaru di Perak pula, berakhirlah perjalanan di Kedah dengan rasa puas hati yang amat sangat kerana mana-mana tempat yang sebelum ini saya kempunan nak pergi di Kedah tetapi tak sempat atau tak jumpa berjaya dijejaki dalam 3 hari itu. Sekian! Yippeee!!! :}
p/s: Subhanallah... Cerita ini dan segala perkataan yang keluar secara spontan siap dinukilkan ketika jam di komputer menunjukkan waktu 3:13 pagi. Subhanallah! Tapi bila campur editting, lepas 3.30 le baru siap...
2 ulasan:
Semuanya akibat sifat ujub yang kagum akan pencapaian diri sendiri konon... Lupa untuk membuat muhasabah diri dengan menilik dalam-dalam ke dalam diri sendiri (bukan tilik orang lain ya...) lalu nyatalah diri itu masih banyak cacat-cela... Sehingga timbul rasa malu, apakah diri ini layak bertemu para kekasih Allah?
Tepat sekali kandungan ceramah tuan...
terima kasih kerana sudi kongsi..
memang ada kebenarannya tulisan saudara diatas. tapi banyak lagi yang tidak diketahui umum. bukannya kerajaan bunian diatas sana, kerajaan mereka hanya berada di pertengahan gunung. sedangkan syaitan dan iblis menghuni kaki gunung. kerajaan yang dipimpin oleh seorang dari 7 yang besar.
saudara carilah gurunya, seorang tahfiz bermata buta, hebat dengan ilmu-ilmu Allah tapi amat merendah diri sifatnya. Insyallah..
Catat Ulasan