Tempat rehat di Genting Sempah kelihatan di atas... Ternyata memang ada sebuah lagi bas di belakang muncul sekitar 15 minit kemudian. Maka tidaklah perlu menunggu setengah jam kalau mengikut anggaran berdasarkan jadual perjalanan. Malangnya bas ini juga agak penuh dengan penumpang dan tidak mahu berhenti. Ah... Apa ini?
Saya mula mengira-ngira keadaan. Kenapakah semua ini berlaku? Apakah saya tersilap waktu, menunggu di situ ketika orang-ramai mahu balik bekerja dari Kuala Lumpur? Tetapi hari itu hari Ahad, kenapa pula ramai orang? Timbul pula sedikit rasa penyesalan. Mungkin saya sepatutnya menunggu keesokan harinya sebelum meninggalkan Janda Baik atau saya sepatutnya menunggu bas di Bukit Tinggi, bukannya di Genting Sempah yang sebenarnya tidak ada pondok menunggu bas...
Saya sebenarnya sangat kepenatan dan sudah mengidam mahu tidur di dalam bas sebaik sahaja dapat tetapi ternyata saya terpaksa menahan penat memikul beg besar mengheret beban kit promosi jalanan. Langit pula masih mendung dan ada titisan hujan. Kalau tiba-tiba jadi lebat, terpaksalah berlari mengheret segala beban menyeberangi lebuhraya yang sering ada kenderaan laju lalu-lalang untuk berteduh di bawah jejantas, itupun kalau sempat...
Hmm... Saya tak dapat memanjangkan cerita kerana kedai komputer ini akan tutup 5 minit lagi... Lihat gambar di bawah ini pula...
Dalam gambar ini kelihatan sebuah kepala lori berwarna kuning. Lori kuning ini sebenarnya adalah sebuah lori pick-up yang mahu digunakan untuk menarik sebuah lori kertas yang telah terbakar hari sebelumnya. Mungkin kedudukannya yang menghalang jalan menyebabkan bas-bas tadi tidak mahu berhenti?
Apapun, tidak lama kemudian, datang sebuah teksi berhenti tanpa ditahan. Ternyata teksi itu mahu ke Raub malah melalu jalan ke rumah almarhum nenek, maka sampai le saya ke sana.
OK... Terpaksa berhenti dah. Sekurang-kurangnya dah siap posting ke 141... Selamat!
------------------------
OK... Tambahan cerita dibuat daripada Kuala Lipis, Selasa 10 Jun 2007. Itupun mungkin terpaksa terkejar juga kerana saya telah menghabiskan agak banyak masa membuat beberapa pembetulan ejaan dan silap taip untuk artikel-artikel lain dan saya sebenarnya merancang untuk mendapatkan keretapi jam 2.30 petang ke Kelantan... Nampaknya dah terlambat kerana ketika menulis ini, sudah masuk jam 2.23 dah sedangkan saya mula masuk Internet tadi jam 12! Mungkin boleh mendapatkan keretapi jam 3.30 pula, itupun kalau betul ada keretapi untuk ke Kelantan pada waktu itu... Kalau tidak, mungkin perlu bermalam di sini.
Hmm... Biar saya berterus-terang akan rasa hati berkaitan peristiwa ditinggalkan dua buah bas kemudian baru mendapat sebuah teksi ke Raub. Adapun pada awalnya hati yang masih belum suci sepenuhnya ini mula hendak menyumpah-nyumpah keadaan. Nasib baik terbetik juga fikiran akan semua ini cuma ujian Allah hendak menduga keyakinan kita akan rancangannya. Mesti ada sebab kenapa bas itu tidak mahu berhenti. Lalu saya bertahan walaupun begitu penat dengan harapan akan terbukti sekali lagi akan aturan Allah itu atas sifat tawakal diri ini...
Sekitar jam 5.40 petang begitu, muncul sebuah teksi lalu berhenti tanpa diundang. Kalau diikutkan, saya tak terfikir pun nak naik teksi kerana memikirkan tambangnya mesti mahal lebih-lebih lagi kerana teksi itu sedang kosong bermakna semua kos perjalanan akan ditanggung saya seorang diri. Dalam pada itu, ada bisikan hati menyatakan apa salahnya bertanya. Lalu saya berlari anak mengejar teksi yang berhenti jauh sedikit ke hadapan akibat kelajuannya ketika cuba berhenti dan bertanyakan harga jika ingin ke Bentong. Jawab pemandunya, seorang Cina yang agak tua, RM5 sahaja... Hmm... Kalau begitu, boleh le... Tambang bas ke Bentong pun hampir RM4.
Dalam perjalanan itu, pemandu Cina itu bertanya lagi... Sebetulnya saya mahu ke mana? Jawab saya ke Raub... Raub? Dia tersenyum. Rupanya dia hendak ke situ juga.
"Kalau itu macam, kenapa tak naik terus sampai Raub?"
Jawab saya: "Takut mahal la apek... Saya mahu jimat belanja. Tengok ni, saya jalan pun bawak tikar buruk tunggu bas..."
Kata si pemandu: "Lu bagi RM10 cukuplah, sampai Raub..."
Elok juga tu... Kalau tak salah ingatan, tambang bas daripada Bukit Tinggi ke Raub pun ada dalam RM7 begitu. Ini lebih sedikit je dan lebih selesa serta cepat sampai. Saya pun bersetuju. Dia terus memandu...
Selepas melepasi Bentong, sekali lagi pemandu bertanya... "You betul-betul Raub mana mau pergi?"
Jawab saya: "Batu 3 jalan pegi Cheroh?"
"Cheroh?" katanya dengan nada agak terperanjat. Rupa-rupanya dia orang Cheroh dan memang mahu menuju balik ke rumah.
Dipendekkan cerita, saya sampai ke rumah almarhum nenek lebih-kurang jam 6.30 petang dengan selesa. Cuma perlu bayar lebih sedikit sahaja iaitu RM12. Jika naik bas yang pasti akan melalui jalan lama Bentong-Raub berliku-liku melalui kawasan bukit, kemungkinan besar saya akan sampai ke Raub selepas jam 7 sedangkan bas terakhir untuk ke rumah nenek habis jam 6... Maknanya terpaksalah naik teksi dan membayar RM6, paling kurang pun RM5...
Semasa baru berada di dalam teksi tersebut, saya terfikir... Peristiwa ditinggalkan 2 buah bas sebelum dapat naik teksi yang lebih selesa ini mungkin bermakna saya perlu bermalam sekurang-kurang 2 hari di Raub dan cuma menyambung langkah hari ke 3. Ternyata ini ada juga kebenarannya... Asalnya saya mahu pergi ke Kuala Lipis hari Isnin selepas berada di rumah nenek satu malam. Tetapi pagi itu, saya diserang demam sementara pakaian yang dibasuh malam sebelumnya belum kering.
Seorang teman wanita yang menalifon bertanyakan khabar menasihatkan saya supaya berehat sehari lagi di Raub. Lalu saya gunakan masa itu untuk ke kedai komputer membuat sejumlah posting baru untuk blogspot-blogspot saya.
Semasa hendak menunggu bas daripada rumah nenek untuk ke Raub seterusnya Kuala Lipis pagi tadi, tiba-tiba hati ini terbetik... Apakah ketinggalan dua bas sebelum mendapat sebuah teksi lalu selamat sampai ke destinasi dengan lebih laju dan selesa bermakna saya perlu bersabar lagi sedikit dengan segala perit jerih kerenah menerbit serta menjayakan dua buah buku siri "Berpetualang ke Aceh"?
Kadang-kadang saya rasa tak tertahan lagi dengan segala penat-lelah yang memakan begitu banyak masa dan tenaga di samping segala tekanan jiwa yang menyebabkan saya selalu sakit-sakit badan dan kepala sedangkan keluarga sendiri pun masih memandang remeh usaha ini kerana belum begitu nampak hasilnya, apalagi daripada segi duit... Orang lain pula gelak di belakang apabila saya berkata sanggup menanggung kesusahan ini demi melestarikan satu perjuangan... Mana ada perjuangan, ejek mereka... Itu cuma angan-angan engkau sahaja! Angan-angan orang yang sebenarnya nak kan duit tapi tak mampu sebab takda peluang... Maka engkau topengkan angan-angan itu dengan kata-kata perjuangan demi menyedapkan hati sendiri dan meraih perhatian orang lain!
Hati ini sebenarnya perit, sering menangis sendirian malam-malam akibat kata nista yang dilemparkan sedangkan diri ini selalu keseorangan, ada anak perempuan seorang pun begitu susah hendak bertemu kerana saya tidak mampu lagi menanggung keluarga... Ada teman-teman wanita pun tidak dapat betul-betul bersama kerana halangan yang dihadapi serta keadaan saya yang masih dhaif ini. Mungkin selepas siap buku ketiga, baru saya akan mendapat jalan yang lebih laju dan selesa untuk menuju ke home sweet home yang didambakan selama ini?
Insyaallah! Itulah harapan saya. Minta kawan-kawan dan para pembaca doakan kesejahteraan diri ini dan kejayaan mengharungi segala cabaran sambil memikul amanah demi memartabatkan bangsa Melayu Islam dengan cara tersendiri ya!
OK... Saya mesti bersedia untuk pergi. Kalau boleh mahu masuk ke Kelantan hari ini juga, kalau tak dapat pergi terus ke Danau Tok Uban dan Bukit Panau, dapat ke Tanah Merah pun jadilah. Wassalam! :] (Lega sungguh rasa dapat meluahkan semua ini, Alhamdulillah!)
1 ulasan:
Saya suka entry ini. Ringan dan berkait dengan kata-kata setiap yang berlaku pasti ada hikmahnya. Cuma adakalanya kita menganggap ianya nasib baik atau luck...
Wira
Catat Ulasan