Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Selasa, Disember 12, 2006

Sampai bila berpetualang (kira selingan jugalah ini...)

Dalam menceritakan mengenai pencarian makam Raja Ahmad tadi, ada forumer yang mengemukakan beberapa persoalan mengenai buku "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti" yang diterbitkan Jun 2006. Maka saya tergerak untuk menjawabnya dengan sedutan daripada bab terakhir buku itu, bab yang bertajuk "Sampai bila berpetualang"...

----------

(Posted: 04 October 2006 at 2:39pm) Ni, aku tergerak nak post sedutan daripada chapter terakhir dalam buku "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti", bab bertajuk "Penutup: Sampai bila berpetualang?"... Saja nak ajak kawan fikir, kenapa aku tulis buku... Bacalah.... 


PENUTUP:
SAMPAI BILA BERPETUALANG?


Yaa ayyatuhan nafsul mutmainnah. Irji’i ilaa rabbiki radhiatam mardiyyah. Fadkhuli fi ‘ibadi. Wadkhuli jannati.” “Wahai jiwa yang tenang. Kembalilah kepada Tuhan mu dengan hati yang puas lagi diredhaiNya. Maka masuklah ke dalam jema’ah hamba-hamba Ku. Dan masuklah ke dalam syurga Ku.”

- Surah Al Fajr, ayat 27-30.


Seorang sahabat pernah bertanya, apakah tujuan sebenar Rasyid menulis buku mengenai Aceh serta kaitannya dengan Nusantara ini. Apakah maksud yang ingin dicapai dan apakah yang diharapkan akan terjadi apabila buku itu siap lalu menemui khalayak ramai nanti... 

Semasa itu, anak muda ini baru menyiapkan 50 peratus isi buku dan telah membuat draf untuk kulitnya yang mengandungi beberapa rangkap pantun yang dicipta secara spontan untuk mengisi ruangan di belakang. Sekadar supaya dapat membayangkan bagaimanakah rupa buku itu bila siap nanti. Dia pun menunjukkan draf kulit yang dicipta menggunakan perisian komputer Microsoft Paint kemudian Photoshop Adobe itu kepada sahabat ini untuk mendapatkan pandangan ikhlasnya... Adakah ia boleh menarik perhatian pembaca di pasaran, adakah ia boleh membuat orang ingin melihat kandungannya lalu membeli buku itu? 

Tetapi sahabat ini kurang memandang reka-bentuknya, lebih tertarik kepada ayat terakhir dalam pantun di kulit belakang yang berbunyi: 


Bertahun kembara tak henti-henti, 
Mencari erti dan juga diri,
Jiwa sepi menangis sendiri, 
Harta dicari tak kesampaian lagi


Lalu dia bertanya jika Rasyid ingin cuba mencari harta lama di Aceh. Katanya, dia ada terjumpa kisah harta karun yang tersembunyi di sebuah kerajaan lama bernama Bolongan di Pulau Borneo, selepas melihat sebuah rancangan televisyen, kalau tak silap dalam Discovery Channel di Astro. Tambahnya, beberapa orang kenalan pula telah mendapat mimpi menyuruh mereka mencari harta itu. Maka sahabat ini ingin tahu jika anak muda itu telah mendapat ‘alamat’ yang serupa sehingga tergerak menulis buku.

Lama juga Rasyid termenung memikirkan apakah yang patut dijawab. Sahabat ini mengaku telah memahami hakikat sebenar kehidupan dan segala yang tersurat dan tersirat di sebalik pengajian ilmu Tasawuf. Malah dia sering menganggap dirinya sudah ‘sampai’ kepada matlamat sebenar, sudah mengenali Allah dengan sebenar-benar perkenalan! Tahu apa itu rahsia Hakikat dan Makrifat... Tetapi sahabat ini juga nampaknya masih mengidamkan harta dunia lalu menganggap pemuda itu berfikiran serupa. Sedangkan maksudnya lain, jauh berbeza daripada apa yang dikata... 

Anak muda berdarah Aceh ini agak kecewa dengan persangkaan buruk sahabatnya. Dia sanggup meninggalkan segala kemewahan hidup yang mampu diperolehi melalui kedudukan keluarga, saudara-mara serta kenalan berada, sanggup mengenepikan kelulusan tinggi dan kerjaya high-profilenya sebagai seorang wartawan akhbar terkemuka berbahasa Inggeris yang menyebabkannya dikenali ramai pihak atasan. Sudah masuk empat tahun Rasyid berkelana ke sana ke mari bagaikan seorang fakir semata-mata untuk mendapatkan jawaban kepada segala persoalan yang membelenggu jiwanya sejak kecil lagi. Apakah patut sahabat itu menganggapnya sekadar berminat untuk mencari harta lama? 

Anak kelahiran Muar, Johor itupun bertanya: “Pernah dengar tak firman Allah mengenai kuntu kanzan, harta yang tersembunyi?” 

Sahabat itu jawab pernah. 

Dia menyambung: “Bukankah Allah telah berfirman, Aku ini harta yang tersembunyi. Aku cipta makhluk-makhluk supaya Aku dapat dikenali.” 

Hamba Allah itupun mengangguk. 

“Harta itulah yang aku cari, bukannya emas, bukan intan berlian!” kata pencinta ilmu dan kebenaran itu, membuatkan rakannya terdiam lama... 

Dia pun menunjukkan draf kulit buku yang sedang diusahakannya kepada kawan-kawan lain pula. Sekurang-kurangnya ada juga yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut tentang isinya selepas melihat draf cover design itu, tertarik kerana ilustrasi yang diketengahkan, menggunakan sebuah peta Aceh yang agak berwarna-warni disulami corak berbunga-bunga yang bermotifkan seni Melayu purba.

Topik perbincangan pun beralih kepada isi dan kandungan buku, mengapa fokus kepada Aceh, tidak kepada keSultanan Melaka yang lebih dikenali mereka walaupun cerita mengenai kerajaan kebanggaan Melayu ini turut dimuatkan sama? Mengapa sampai mengaitkan bumi Serambi Mekah itu dengan kerajaan-kerajaan lain di Nusantara malah boleh pergi lebih jauh ke Timur Tengah... Keluar pula cerita para wali terutama Sultanul Awliya, Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani. Mengapa Rasyid banyak memperihalkan tentang perjuangan cucu sulung Rasulullah SAW, Saidina Hassan dan anak cucu keturunannya. Sedangkan umum lebih mengenali peranan keturunan adindanya Saidina Hussein, terutama kaum Alawiyin dari Hadramaut yang sering digambarkan sebagai para pendakwah yang bertanggungjawab membawa ajaran Islam ke bumi Timur ini...

Tidak lama kemudian, sahabat tadi bertanya lagi apakah tujuan sebenar Rasyid menulis. Nampaknya dia masih belum berpuas hati dengan jawaban yang diberi, ada rasa curiga terhadap niat sebenar pemuda itu. Susah sangatkah untuknya mempercayai rakannya tidak mempunyai apa-apa kepentingan keduniaan dalam mengusahakan buku ini? Salahkah meluahkan apa yang terbuku di dada agar dapat melegakan beban pengetahuan yang dipikulnya selama ini? Hendak tidak hendak, Rasyid terpaksa memberikan jawaban yang lebih padat, satu penerangan radikal yang mungkin boleh menyebabkan kebanyakan orang “pecah kepala”... 

Pemuda itupun bertanya: “Kamu pernah dengar tak talkin yang dibacakan untuk mayat selepas dikebumikan? Talkin yang bermula dengan ayat Yaa ayyatuhan nafsul mutmainnah, wahai jiwa yang tenang?” Sahabat itu kata pernah... “Hah... Kalau begitu tentu kamu boleh faham makna mendalam di sebalik talkin ini. Senang cerita, itulah tujuan sebenar aku menulis buku... Nak lepas tension! Itu aje...” Rasyid mengaku. “Aku rasa ada tanggungjawab untuk menyebarkan cerita yang aku tahu. Bila sudah selesai barulah aku boleh merasa tenang. Aku cuma mahu ‘kembali’ kepada Dia. Tapi nak ‘kembali’, mesti tunaikan dahulu tugas masing-masing kan?” 

Memang jawabannya pelik. Macam tak sabar nak mati pula bunyinya... Tetapi itulah yang dirasakannya ketika itu. Kerana seperti diceritakan pada awal buku ini, anak muda ini telah kehilangan rasa kampung halaman, rasa home sweet home sejak berumur 12 tahun lagi. Ketika mula menulis buku itu, umurnya telah melepasi 34 tahun tetapi Rasyid masih belum terjumpa rumah dan kampung halaman sebenar yang dicari-carinya selama ini. Ertinya, sudah lebih 22 tahun pencinta kebenaran ini berjalan ke sana ke mari dengan jiwa seorang musafir, tanpa tempat tinggal tetap yang mampu memberikannya kerehatan dan ketenteraman jiwa yang dicari-cari... 

Walaupun zahirnya, dia masih memiliki ibubapa, ramai ahli keluarga dan saudara-mara, kawan serta kenalan dari pelbagai golongan masyarakat di merata tempat seluruh Malaysia, banyak pula rumah yang boleh dijadikan tempat berteduh, hakikatnya, jiwanya sudah begitu lama kesepian dan dia sudah terasa amat penat. Rasyid ingin sangat berehat tetapi setakat ini, tempat yang dapat memberikan rasa home sweet home yang diidam-idamkannya cuma terdapat dalam mimpi sahaja. Jadi apa lagi dia boleh buat? Takkan nak lepaskan dalam buku pun tak boleh?

Memang Rasyid sudah lama ingin menulis buku tetapi dengan niat yang kurang murni... Suatu masa dahulu, pemuda ini pernah menyimpan cita-cita megah untuk menjadi somebody, seorang pemimpin besar yang disegani. Ketika itu, Rasyid sangat bernafsu untuk menjadi seorang manusia berkuasa yang memiliki pengaruh terhadap segenap lapisan masyarakat. Sejak kecil lagi, dia sudah terbiasa menjadi ketua rakan-rakan sebaya, selalu memerintah orang suruh buat itu buat ini walaupun pengaruhnya lebih ketara di kalangan golongan mereka yang agak nakal. Maka sejak mengenali dunia penulisan melalui kerjaya sebagai wartawan 10 tahun lalu, hamba Allah ini mahu mengarang buku... Untuk mencipta nama supaya boleh cepat melangkah melepasi halangan lazim demi menjadi orang yang berpengaruh di persada politik dan kemasyarakatan tanahair. 

Kebetulan Rasyid juga meminati bidang sains sejak kecil lagi, terutama cabang-cabang ilmu yang memerlukan pemikiran analitik dan kritis yang mendalam. Maka itu dia telah melanjutkan pelajaran ke England dalam jurusan matematik dengan niat untuk menjadi seorang saintis dan pemikir berpengaruh yang memiliki kedudukan dalam dunia politik. Tetapi perubahan jiwa yang melandanya di London menyebabkannya terasa semakin jauh dari dunia sains dan teknologi. Ini mungkin berlaku kerana kecenderungannya terhadap pengajian Tasawuf yang berputik selepas tamat SPM (Sijil Peperiksaan Malaysia) mula mengambil-alih... 

Minatnya terhadap dunia politik pula mulai pudar apabila melihat gelagat rakan-rakan yang aktif dalam kelab politik dengan niat yang serong, supaya mendapat kedudukan tinggi yang akan memudahkan mereka untuk memperolehi pink slip, saham khas Bumiputera atau lain-lain ‘imbuhan’. Senang cerita, ramai yang mahu jadi kaya cepat melalui pengaruh politik, bukan untuk membela nasib agama, bangsa dan negara! Mentang-mentanglah mereka selalu diwar-warkan sebagai bakal pemimpin negara alaf akan datang... Agaknya pada mereka ini, politik adalah permainan hidup sahaja, macam main wayang kulit untuk meraih keuntungan dunia... Orang sebeginilah yang banyak menguasai dunia politik sekarang. Kalau berbakti pun, setakat untuk kelihatan ‘ikhlas’ membela masyarakat demi meraih sokongan yang membolehkan mereka memanjat tangga kuasa. Maklumlah, tanpa kuasa dan pengaruh, macamana nak dapatkan pink slip? Bagaimana hendak memperolehi habuan besar demi mencapai cita-cita hidup di kalangan the rich and famous dan bergaul dengan para artis cantik? 

Pada kebanyakan orang sekarang, itulah kegunaan politik. Sebab itu ramai di antara mereka yang suka membaca buku The Prince karangan Nicolo Machiavelli, manual percaturan politik yang menggalakkan prinsip matlamat menghalalkan cara... Apa-apa sahaja boleh dihalalkan, baik penipuan, penyelewengan malah membunuh orang, apalagi rasuah! Agama, bangsa dan negara boleh dipermainkan secukup rasa. Kalau perlu, berlagaklah seperti ustaz yang pandai membaca doa, boleh pula bertutur dalam bahasa Arab dengan petah asalkan matlamat untuk menjadi orang yang berkuasa mampu dicapai. Yang penting, jangan pecah tembelang... 

Ah... Masyarakat umum jarang dapat mengetahui sifat sebenar orang-orang sebegini, para manusia yang pandai bertopengkan penampilan alim ulamak atau ‘bermain teater bangsawan’ berlagak seperti pejuang agama, bangsa dan negara sedangkan jiwa mereka adalah jiwa syaitan! Paling tidak pun hipokrit, fasik... Mereka begitu pandai menanam tebu di bibir, mempamirkan sifat-sifat muluk ketika disoal para wartawan untuk mengisi ruangan suratkhabar atau menonjolkan diri sebagai pemimpin disegani di kaca TV. Bukankah ‘kitab induk’ The Prince mengajar ‘para serigala’ ini supaya bersembunyi di sebalik kulit kambing biri-biri? Kononnya ini perlu untuk mentadbir negara dengan berkesan. Malah ia juga mengajar, untuk mencapai niat murni (kalau mereka memiliki niat murni...) supaya masyarakat beroleh kesejahteraan, mahu tak mahu seseorang pemimpin itu perlu juga berlaku curang di sebalik lakonan sifat mulia! Seolah-olah inilah hakikat kehidupan yang mutlak dan tidak boleh disanggah lagi. 

Sebab itu buku ini terkenal dengan ungkapan the ends justify the means, matlamat menghalalkan cara. Sebab itu juga ia diberi nama The Prince... Putera raja! Seolah-olah itulah sifat sebenar seorang anak raja yang bakal memegang pentadbiran negara. Padahal ideologi serong ini adalah usaha gerakan Zionis terdahulu untuk menakluki dunia, dengan merosakkan cara pemikiran para pemimpin sehingga masyarakat turut merana... 

Rasyid percaya, kalau mengikut cara Nabi, politik adalah ilmu siasah suci yang perlu untuk menangani keperluan hidup bermasyarakat supaya mereka dapat mencapai kesejahteraan abadi. Seorang pemimpin mestilah bersih zahir dan batin terutamanya hati dan ini boleh dicapai melalui kaedah penyucian Tasawuf. Inilah amalan Raja-raja Melayu dahulukala sehingga mereka digelar zilullah fil alam, bayangan Allah di muka bumi. Lalu terbitlah kelebihan serta daulat yang menyokong pemerintahan seorang raja! 

Sebaliknya manusia zaman sekarang telah diajar supaya mengambil jalan kosmetik untuk menerbitkan ‘daulat’ palsu supaya kelihatan seperti pemimpin gah yang berkarismatik, mampu mengambil hati masyarakat umum lalu boleh memenangi undi dan mendapatkan takhta politik. Maka itu pemimpin moden sering disokong para ‘penulis skrip’, image consultant, penasihat dan setiausaha politik, pakar perang saraf dan saikologi malah dukun dan bomoh sekali supaya penampilan mereka sentiasa hebat dan perbuatan mereka nampak ‘ikhlas’ belaka dalam menjaga kebajikan masyarakat walhal tidak... Mereka cuma ingin memenuhi nafsu besar sendiri untuk menjadi manusia berkuasa yang dituruti segala titah perintah, boleh mendapatkan sebanyak wang dan harta yang dikehendaki dengan senang, dapat mengumpan perempuan-perempuan cantik terutama golongan artis dan glamour seterusnya dianggap sebagai lelaki hebat dari segala segi! 

Maka itu ramai yang bercita-cita menjadi pemimpin baik dalam dunia politik juga kewangan suka membaca buku-buku motivasi dengan tajuk-tajuk yang berbunyi lebih kurang begini - How to win friends, How to be influential, How to become a millionare, How to turn foes into friends, Think like a winner, that sort of thing... Kalau dalam bahasa Melayu, bagaimana cara memenangi hati kawan, bagaimana mahu jadi berpengaruh, bagaimana mahu jadi jutawan, bagaimana hendak menukar lawan jadi kawan, cara berfikir seorang pemenang dan tajuk-tajuk yang ‘sewaktu’ dengannya. 

Pendek-kata mereka diajar supaya kelihatan menarik, baik, ikhlas, berbudi-bahasa, semuanya sifat muluk-muluk belaka supaya ‘berjaya’ dalam kehidupan. Orang-orang ini juga ditunjukkan cara untuk mendapat pengiktirafan umum sebagai kayu pengukur kemajuan bahawa jalan hidup mereka adalah ‘benar’. Itulah bukti apa yang diamalkan mereka ‘dirahmati’ Tuhan! Jarang terdapat manusia yang betul-betul jujur dan ikhlas, berbakti kepada masyarakat tanpa perlu diketahui malah disedari orang. Kalau boleh semua ‘khidmat’ mahu diumumkan kepada seramai yang mungkin sebagai bukti bahawa mereka memang pernah memberi sumbangan ‘ikhlas’ demi kesejahteraan orang lain. Itulah tanda masyarakat prihatin sekarang! 

Maka sia-sialah kata-kata Rasulullah SAW: Memberi dengan tangan kanan, tangan kiri pun tak tahu! Muncullah ideologi-ideologi sealiran sehingga ilmu Tasawuf yang suci pun boleh dikorporatkan! Cari duit sebanyak yang mungkin sementara umur dan peluang mengizinkan. Bila sudah cukup nanti gunakanlah untuk berbakti kepada masyarakat. Malaysia boleh! 

Disebabkan keadaan semasa yang menggalakan penipuan moral sebeginilah, ditambah pengalaman melihat kerenah kawan-kawan lama yang turut terpengaruh dengan ideologi terbabit terutama di London maka Rasyid yang sejak kecil kurang gemar pada wang dan harta menjadi benci langsung pada duit dan politik. Adakah patut ahli-ahli kelab sebuah pertubuhan politik Melayu di London melobi sokongan para menteri dan pemimpin atasan tanahair untuk menaja percutian mereka ke Sepanyol atas alasan untuk meningkatkan daya kepimpinan mereka supaya dapat menjadi ketua-ketua masyarakat yang berwibawa nanti? Apakah ‘kewibawaan’ yang mereka pelajari dengan cara ini? Cara-cara untuk melobi dengan lebih berkesan? Supaya lebih senang mendapatkan kontrak dan segala macam habuan apabila kembali ke tanahair nanti? Mentang-mentanglah mereka senang mendapat hubungan terus kepada pihak-pihak yang memegang tampuk kekuasaan. Maklumlah para pelajar universiti-universiti terkemuka di England, bakal pemimpin alaf baru nanti! 

Itulah bahana duit dan permainan dunia politik. Jangan hairanlah jika sesetengah mereka yang terlibat, kenalan-kenalan lama Rasyid juga telah menjadi para jutawan, ahli perniagaan dan para pemimpin muda yang berkuasa menentukan nasib agama, bangsa dan negara! 

Pemuda itu tidak begitu marah jika orang-orang ini sedia mengaku penyamun tarbus... Memang kerja penyamun melangsaikan harta orang, mungkin juga jiwa-raga manusia! Dia juga masih boleh menerima ahli perniagaan ‘kaki belit’ dan ‘kaki sembelih’ kerana orang berniaga selalu memikirkan keuntungan. Jarang yang benar-benar prihatin terhadap tanggungjawab sosial, apalagi tugas sebagai orang Islam yang diberikan kesenangan untuk diagih-agihkan kepada golongan marhain. Bukankah setiap orang Islam bertanggungjawab terhadap kesejahteraan jiran, kalau tak salah ingatan, di dalam lingkungan 40 buah rumah di sekelilingnya? 

Rasyid geram kerana ramai yang memasuki dunia politik untuk mendapatkan tiga ta... Wanita, takhta dan harta. Sanggup mempermainkan ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Nabi, senang-senang menjual maruah agama, bangsa dan negara tanpa segan-silu dan rasa bersalah! Itulah yang membuat pemuda ini begitu benci terhadap politik dan duit... Sudahlah kecenderungannya terhadap dunia sains dan teknologi sudah pudar, maka dia pun kembali ke tanah air penghujung 1995 dalam keadaan terkapai-kapai dan kehilangan arah, tidak tahu lagi apakah kerjaya yang sesuai.


6 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalamu'alaikum,
Saudara dimana saya boleh mendapat buku berpetualang ke Acheh?
Semaalam saya pergi ke dua buah kedai buku di Jalan TAR, namun tidak menjumpai buku tersebut.
Mohon saudara beritahu ya atau boleh dibeli terus dari saudara.
Terimakasih

Radzi Sapiee berkata...

Wassalam saudara...
Kalau di Jalan TAR setahu saya kedua-dua kedai buku Minerva masih ada menjual buku ini... Kalau tak cuba cari mana-mana MPH atau Popular Bookstores, Insyaallah.
Kalau nak beli direct daripada saya, setakat ni le yang dapat orang yang jumpa saya atau saya terjumpa mereka...
Apapun, kalau nak juga cuba cara pos... Minta maaf jika instruction saya kelam-kabut sikit sebab saya ni one-man-show sedangkan fikiran saya sedang sarat menangani pelbagai masalah.
Cuba ini...
Beli wang pos RM24.90 (harga buku) + kos parcel pos (rasanya dalam RM6 kot) dan hantar kepada

Radzi Sapiee,
Lot 646, Jalan 9,
Taman Ampang Utama,
68000 Ampang.

Sediakan nama dan alamat untuk dihubungi. Insyaallah saya akan bertindak secepat mungkin

Tanpa Nama berkata...

ada cadangan dr hamba.. apa kata tuan berikan no akaun bank dan no tel .. kemudian ..customer yg mcm ni blh sms dan berikan bank tt info dan alamat yg boleh buu itu dihantar ..Nanti dulu ..pastikan tuan counter check duit yg masuk dlm akaun tu ..dah masuk ke belum..

Tanpa Nama berkata...

hmm kuntu kanzan hanya ada pd diri seorang hamba .. hamba yg dikelilingnya ada 7 neraka yg mengawalnya....sudah terang lagi bersuluh ..sudah terang masih lg meraba .. jika seorang hamba datang mencari hak seorang hamba maka kuntu kanzan datang tanpa diminta..jika yang dicari hak Dia maka Hampa lah dia ..

Tanpa Nama berkata...

.....carilah pada seluruh jagat raya ..tiadalah Dia didepan mata ..dibelakang mata jualah adanya...jika itu yg tuan maksudkan fahamlah hamba..mudah-mudahan bertemu jua adanya harta yg dicari walau tak kunjung tiba ...

Tanpa Nama berkata...

Terimakasih. InsyaAllah Pak Long akan pergi cari di kedai-kedai buku yang saudara beritahu. Kebetulan hari tu tak masuk ke Minerva.