Artikel ini yang sebahagian daripada isinya sudah disediakan dua hari lalu sepatutnya sudah disiarkan selewatnya jam 10 pagi. Tetapi disebabkan saya dan keluarga sedang berada di kediaman kakak isteri di Felda Jelai kerana beliau baru kematian suami dan di situ tiada talian Internet pula maka kena tunggu sampai kembali rumah sendiri kemudian selesai beberapa hal dapat disiarkan ia.
-----------
Salam kepada semua pembaca yang dimuliakan. Hari ini Rabu 19 Julai 2023 yang bersamaan 1 Muharram, hari pertama tahun baru 1445 Hijriah baru terasa mahu hendak menulis kembali di blogspot setelah lama menyepikan diri. Kali terakhir saya menulis adalah apabila mengeluarkan artikel ke-2,400 iaitu Membawa buku Laksamana Raja Mahkota pusing Perak pada 8 Jun iaitu lebih sebulan lalu. Adapun antara sebab utama saya menyepikan diri adalah untuk memberikan tumpuan penuh bagi membuat pembetulan terhadap tesis pascasiswazah saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Untuk pengetahuan tesis saya itu telah diluluskan pada awal bulan Ramadhan iaitu hampir 4 bulan lalu.
Namun saya diminta untuk melakukan sejumlah pembetulan dan ini harus diselesaikan dalam tempoh 6 bulan. Hal tersebut ada dikongsikan dalam artikel Apabila perjuangan dihargai yang disiarkan pagi Khamis 6 April bersamaan 15 Ramadhan lalu. Ini berlaku setelah dibuat peperiksaan lisan tesis pada pagi Jumaat 24 Mac bersamaan 2 Ramadhan.
Cuma ketika itu saya juga amat sibuk dengan proses-proses akhir bagi menyiapkan buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arshad. Tepat seminggu kemudian iaitu pada 13 April baru cukup siap untuk dihantar ke kilang cetak. Petang itu dibuatlah artikel Buku Laksamana Muhammad Amin dan Orang Kaya Arshad dah masuk kilang untuk berkongsi berita gembira. Dinyatakan dalam artikel bahawa saya sudah boleh memberikan tumpuan penuh pada hal pembetulan tesis di ISTAC.
Namun berlaku pelbagai kesibukan termasuk persiapan bagi menyambut 1 Syawal Hari Raya Aidilfitri yang jatuh pada hari Sabtu 22 April. Harus pula membuat perjalanan bersama keluarga sehingga ke Singapura pada awal musim raya seperti sudah lama dijanjikan kepada mereka. Lihat Kompilasi cerita perjalanan selatan sempena cuti Aidil Fitri 2023. Selepas itu harus memastikan buku dapat keluar daripada kilang cetak sebelum tarikh pelancaran Sabtu 13 Mei bersamaan 22 Syawal, tarikh yang dipilih atas sebab tertentu melibatkan sejarah keluarga. Lalu berlakulah hal-hal seperti diceritakan dalam artikel-artikel berikut :-
1. Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Persediaan dalam kegelisahan
Selepas itu saya disibukkan lagi dengan hal-hal keluarga di samping hal buku. Berlaku pula hal-hal yang dinyatakan dalam artikel-artikel berikut (menurut kronologi) :-
1. ISTAC, buku dan majlis raya keluarga Laksamana tahun 2023
2. Pulau Besar tahun 2023 atas asbab jengok ibu bapa di Muar
3. Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023
4. Membawa buku Laksamana Raja Mahkota pusing Perak
Disebabkan berbagai hal itu saya menghadapi masalah untuk mendapatkan mood bagi menyiapkan pembetulan tesis. Khamis 22 Jun baru mendapat gerak rasa yang cukup bagus lalu pembetulan dapat disiapkan pada hari Selasa 27 Jun selepas Maghrib. Terus dihantar kepada penyelia tesis Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar. Sekarang menunggu suntingan beliau siap untuk proses-proses seterusnya yang harus mengambil masa beberapa bulan lagi sebelum boleh dianugerahkan ijazah sarjana berkenaan.
Selain mahu menyiapkan pembetulan tesis saya hilang mood untuk menulis di blogspot malah apa-apa bentuk media sosial kerana melihat semakin lama semakin teruk orang bermain wayang bagi mendapatkan perhatian, jadi influencer dan sebagainya. Hal ini menimbulkan rasa letih untuk meneruskan perjuangan demi mendaulatkan agama, bangsa dan tanah air pada kala ramai melaungkan slogan sebegitu rupa tetapi sebenarnya berpura-pura lalu sanggup mencipta senario bermacam-macam, sebenarnya untuk mendapatkan duit dan mengumpul pengikut sambil mencari perhatian ramai. Akibatnya blogspot ini tidak dikemaskinikan sejak 8 Jun. Petang Selasa 11 Julai 2023 tiba-tiba timbul rasa untuk mendapatkan maklum balas daripada pembaca tentang isi buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin.
Sebelum itu saya tidak berani dan merasa tidak patut bertanya kerana sedar orang ramai harus mengambil masa untuk selesai membaca dan menghadamkan segala macam perkongsian yang ada dalam 576 muka surat buku. Pada 11 Julai iaitu setelah hampir 2 bulan buku diterbitkan fikir saya harus sudah banyak dapat dibaca walaupun mungkin tak selesai. Kemudian timbul rasa untuk berkongsi apa-apa maklum balas yang dapat bagi siaran dalam blogspot pada 1 Muharram. Dengan itu dapat memecah kesepian selama ini.
Berikut adalah maklum-maklum balas yang diterima...
1. Saya memang cukup minat membaca sejarah Perak. Buku saudara kali ni saya habis baca dalam tempoh seminggu selepas kali terakhir kita berWhatsApp. Memang buku kali ni paling puas dibaca sebab sarat dengan cross referencing dan sumber rujukan. Sampai saya terasa kepayahan saudara menyiapkan buku ni dan cabaran-cabaran yang saudara hadapi.
Cukup terkesan pada saya. Dan memang buku terbaik dari saudara yang saya sudah baca. Banyak jugak buku saudara yang lain saya belum baca. Nanti kalau ada kesempatan saya hendak berjumpa meminta nasihat macam mana saya nak buat penyelidikan bagi susur galur saya pula.
- Zamanhuri bin Ahmad Norilah, 48 tahun. Ketua Pegawai Risiko & Integriti UDA Holdings, Kuala Lumpur.
2. Saya sudah habis membaca buku ini. Secara keseluruhan ia membentangkan banyak maklumat baru berbanding dengan apa yang saya ada sebelum ini. Pembentangan secara berfakta dengan dokumen-dokumen daripada arkib lama memberi kesegaran baru bila membaca buku ini. Kajian secara berfakta begini amat diperlukan dalam menggali sejarah lama Malaysia zaman dahulu. Semoga diteruskan usaha.
- Hj Rizlan Darus, 56 tahun. Jurutera awam, Klang.
3. Banyak pencerahan daripada penulisan. Banyak sumber rujukan yang diperolehi dan penulisan adalah daripada fakta-fakta yang dikaji. Memamg terbaik. Dapat kami menyelusuri sejarah dan susur galur keluarga. Tahniah atas kejayaan menerbitkan buku Orang Kaya-Kaya Dato' Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin Alang Duakap. Syabas
- Nurul Akmal binti Mohd Zaki Osman, 37 tahun. Pegawai polis, Kota Bharu Kelantan.
4. Dah baca sikit-sikit. Daripada sini dapatlah tahu serba sedikit tentang susur galur keluarga keturunan nenek moyang saya dari keluarga Laksamana walaupun sudah peringkat jauh. Terima kasih kepada tuan penulis. Dengan usaha yang tak ternilai terhasilnya buku buat tatapan kami semua.
- Noorazean Bintik Mohd Khalid, 46 tahun. Kakitangan kerajaan, Kuala Nerus , Terengganu.
5. Sejujurnya memang masih banyak lagi belum selesai bacaan saya tentang buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Apa yang boleh saya kata, maklumatdan dapatan kajian serta rujukan-rujukan yang disertakan sangatlah membantu bagi memahami asal usul Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin dan Orang Kaya Arsyad serta perjuangan nenek moyang terdahulu. Teringin juga melihat suatu hari nanti diadaptasi dalam bentuk dokumentari biografi di media TV supaya generasi muda dapat mengenali pejuang-pejuang Melayu.
- Mohd Shahrum bin Kadis, 40 tahun. Penolong Pegawai Seni Bina Kanan di Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan, Seremban.
6. Karya terbaru oleh Tuan Merah Silu @ Radzi Sapiee ini pada pendapat saya merupakan kesinambungan daripada trilogi novel bersiri Berpetualang ke Aceh yang telah ditulis oleh beliau pada beberapa tahun yang lalu. Penulis ingin mengenengahkan cerita tentang Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin dan Orang Kaya Arshad kepada khalayak umum melalui bentuk penulisan buku.
Pada hemat saya susunan cerita tentang daripada Bab 1 hingga Bab 8 adalah baik mengikut susunan kronologi kerana banyak disertakan informasi-informasi hasil daripada kajian tuan penulis sendiri. Nota-nota kaki serta infografik juga diletakkan untuk penjelasan tentang latar belakang cerita. Informasi-informasi tersebut amat membantu untuk memudahkan pembaca memahami penulisan buku ini. Perkara ini sangat memudahkan untuk memahami cerita yang hendak disampaikan oleh penulis walaupun para pembaca berkemungkinan tidak mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang sejarah negeri Perak.
Secara jujurnya saya sememangnya berminat untuk membeli buku ini kerana tuan penulis Merah Silu menonjolkan sisi cerita yang baru tentang perjuangan Laksamana Muhammad Amin dan anaknya menentang penjajah British. Semoga penulisan buku seperti ini diperbanyakkan lagi untuk menjadi rujukan dan menambah jati diri bagi generasi masa akan datang.
- Tengku Mohammad Fauzan Nasuha bin Tengku Shahrudin, 32 Tahun, Eksekutif Teknologi Maklumat, Rawang.
7. Saya baru-baru ini berkesempatan membaca sebuah buku yang benar-benar menarik dengan naratif yang kaya dan mendalam daripada segi sejarah tentang Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin, salasilahnya serta perkaitan beliau dengan sejarah Kesultanan Melayu Perak. Karya yang luar biasa ini dengan mudah menyatukan masa lalu dan masa kini, membuat saya asyik membacanya dari awal hingga akhir. Buku ini memiliki kekuatan untuk membawa pembaca ke era yang berbeza, mengundang mereka untuk menjelajahi catatan waktu dan menemukan "harta karun" yang tersembunyi daripada kolektif sejarah Malaysia.
Salah satu aspek yang menonjol bagi saya adalah dedikasi dan ketelitian penulis dalam mengumpulkan rujukan. Keahlian penulis yang luar biasa dan perhatian terhadap perincian kecil sangat terlihat sepanjang buku. Rentang sumber yang luas yang digunakan, tak dikecuali, dengan nota kaki yang melengkapkan informasi, menunjukkan keahlian penulis dan menambah lapisan keaslian pada naratif sejarah yang dibawa dalam buku. Jelas bahwa penulis tidak mengabaikan usaha apa pun untuk memastikan bahwa informasi yang disajikan tetap dan boleh dipercayai.
Apa yang benar-benar mengesankan adalah kemampuan buku ini untuk menghubungkan saya dengan warisan nenek moyang sendiri. Sebagai salah seorang waris keturunan Laksamana Muhammad Amin, buku ini membantu melengkapkan lagi penemuan asal usul diri saya sendiri serta garis keturunan keluarga lebih jauh. Buku ini bukan sahaja membantu menyusun semula cebisan-cebisan maklumat yang pernah saya ketahui sebelum ini malah ia melengkapkan dan kemudian meningkatkan lagi darjah pemahaman saya tentang salasilah keluarga sehingga beratus tahun jauhnya. Saya seolah-olah membaca kisah diri sendiri.
Sudah jelas bahawa penulis adalah individu yang berpengalaman dan telah banyak mengembara. Pengalaman dan petualangan beliau yang luas terserlah melalui penceritaannya lalu menciptakan perasaan keaslian dan kedalaman rasa. Deskripsi yang jelas apabila menggambarkan tempat-tempat bersejarah yang berkait dengan Laksamana Muhammad Amin dan penerangan terperinci tentang peristiwa sejarah yang terlibat membuatkan saya merasa seolah-olah secara peribadi mendampingi penulis dalam perjalanan beliau.
Secara keseluruhan, buku ini adalah eksplorasi yang luar biasa tentang sejarah, yang terampil dibuat oleh seorang penulis yang berpengalaman. Naratif yang memikat, penelitian yang teliti, dan kemampuannya untuk menjalin hubungan peribadi dengan pembaca membuatkannya menjadi bacaan yang luar biasa. Satu tepukan harus diberikan atas usaha untuk menyelamatkan cebisan sejarah yang hampir hilang. Sama ada pembaca seorang penggemar sejarah yang ingin mengeksplorasi masa lalu keluarganya, atau pembaca hanya mendambakan cerita yang menarik, buku ini memenuhi setiap jangkaan.
- Nadjmin Mohd Wahi, 42 tahun. Ahli perniagaan, Johor Bahru.
8. Naskah buku Laksamana Raja Mahkota pada saya mengandungi topik dan isi yang sangat teliti beserta bukti-bukti kukuh dan juga salasilah keturunan yang begitu molek sekali. Ada juga penceritaan pengarang berbeza berbanding naskah buku yang telah saya baca. Namun begitu penyampaian naskah buku ini lebih terperinci.
Akhir kata saya berterima kasih kepada pengarang yang telah menulis naskah buku ini sebagai bahan rujukan yang pada saya sangat diperlukan pada generasi muda sekarang yang ingin mengetahui sejarah.
- Aida Rosna bt Che Salleh, 54 tahun. Pembantu Perpustakaan Muzium Negeri Perak, Taiping.
9. Sebuah buku pensejarahan negeri Perak. Menerangkan kronologi keturunan Orang Besar Delapan Negeri Perak Orang Kaya Kaya Laksamana Raja Mahkota bermula dengan Nakhoda Hitam @ Toh Kuala Bidor tahun 1721 hingga kini 2023 (300 tahun). Penulis menerangkan fungsi dan peranan menjaga keselamatan dan kesejahteraan bermula dari zaman pra-kemerdekaan hingga negara mencapai kemerdekaan terutamanya moyang beliau OKK Dato’ Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin Alang Duakap dan anakandanya Orang Kaya Muhammad Arshad
Penulisan sejarah seperti ini adalah cara yang paling berkesan bagi mememelihara serta mengekalkan identiti sesebuah negara bangsa serta dapat dijadikan rujukan kepada generasi akan datang.
Saya juga secara tidak langsung dapat memahami susur galur keluarga kami yang berkesinambungan antara Toh Tan Jana Pahlawan Haji Wan Yeop Ibrahim bin Wan Mat Zin (Penghulu Pulau Tiga tahun 1912) yang merupakan cucunda kepada Wan Muhammad Saman bin Laksamana Paduka Raja Wan Ismail iaitu Perdana Menteri Kedah pertama penghujung abad 19. Anakanda beliau Wan Long Saadiah binti Wan Muhammad Saman berkahwin dengan OKK Dato’ Laksamana Muhammad Amin. Daripada perkahwinan ini lahirlah Orang Kaya Arshad, diikuti Halimah isteri kepada Orang Kaya Menteri Paduka Tuan Ngah Ibrahim bin Long Jaafar (Orang Besar Empat 1863) dan Aminah isteri kepada Haji Mat Yasin
Karya saudara penulis ini amat dekat dengan hubungan keluarga kami yang berasal dari Telok Anson (Teluk Intan) melalui sejarah Batak Rabit,Kg Bandor, Kuala Bidor, Pasir Salak dan Bandar Tua.
- Haji Faharul Azman bin Haji Ahmad Sabki, 56 tahun. CEO/ Co Founder Detik Ventures Sdn Bhd, Kedah.
10. Pertama kali melihat buku ini, saya tertarik dengan judulnya Laksamana Raja Mahkota MUHAMMAD AMIN & Orang Kaya Arsyad : “Perjuangan Yang Belum Selesai". Saya langsung terfikir buku ini seharusnya ditujukan untuk anak cucu waris (yang ingin mulai belajar sejarah). Dan bukan sebagai "Treasure Hunter".
Sebagai pembaca buku-buku sejarah, saya melihat buku ini baik juga dimasukan ke dalam senarai buku untuk habis dibaca. Buku ini berjaya membuka minda waris-waris tentang sejarah jalur keturunan. Tahniah atas tulisan, kajian dan usaha tuan yang menjayakan berserta dengan rujukan helaian halaman.
Buku ini ditulis berdasarkan kajian yang mendalam. Ia wajar dijadikan tatapan warga yang cintakan keunggulan sejarah LMA supaya tidak terkeliru dengan tanggapan yang mengelirukan, warisan sejarah serta hak-hak berkenaan. Ini kerana mungkin terlalu kurang hal berkaitan dalam sejarah kerajaan negeri Perak telah dipaparkan.
Penulis juga menyatakan senarai jadual para pemegang jawatan Laksamana, salasilah dan peta tempat-tempat berkaitan. Dihiasi sekali kepingan gambar yang berkenaan. Ini dapat menghilangkan serba sedikit kekusutan pendapat yang bermacam-macam.
Penulis turut mencoretkan catatan bukti sumber juga pembuktian daripada sumber tradisi, Seterusnya dipersembahkan beberapa aspek berkaitan satu daya perjuangan dan persaudaraan. Ini adalah suatu warisan yang harus dibanggakan.
- Wan Azmil Wan Zahari, 60 tahun. Pesara kerajaan, Ipoh.
11. Assalamualaikum tuan. Ini ulasan saya mengenai buku terbaru tuan mengenai sejarah Laksamana Muhammad Amin serta warisnya, Orang Kaya Arshad yang baru-baru ini dibeli ketika Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023. Alhamdulillah sempat juga bertemu dengan tuan dan sedikit sebanyak meminta nasihat dan tunjuk ajar dari pihak tuan sendiri mengenai banyak perkara khususnya dalam penulisan sejarah dan pengkajian salasilah.
Saya memang mengharapkan pengetahuan sejarah yang baru dan segar daripada buku ini dan sememangnya buku ini berjaya mencapai perkara sedemikian. Penulis buku ini terbukti menyatakan fakta-fakta dan hujah-hujahan yang kukuh berdasarkan pengkajian penulis sendiri terhadap sumber-sumber primer (terutamanya petikan akhbar-akhbar dan rekod-rekod kolonial) dan kaedah rujuk silang kerap dilakukan penulis dengan sumber-sumber sejarah di negeri lain seperti Aceh, Bugis, Kedah dan sebagainya.
Rasa takjub, terkejut, duka dan insaf bercampur baur bila membaca satu demi satu bab dalam buku ini. Penulis menggalurkan sejarah keturunan Laksamana negeri Perak sehingga ke Laksamana Muhammad Amin dan warisnya, Orang Kaya Arshad dengan baik sekali dari awal sehingga ke akhir buku ini.
Bab paling digemari adalah Bab 2 (khas tentang Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin). Tetapi sejujurnya bab yang memberi kejutan dan ketakjuban pada diri saya sendiri setelah membacanya adalah Bab 7 (tentang tanah Laksamana di Mekah). Termenung juga saya memikirkan kesungguhan dan kemampuan nenek moyang kita dahulu mampu melakukan perkara sedemikian (membeli hartanah di Mekah walhal sedang berada dalam buangan) walaupun digempur penjajah ketika itu. Bab penutup (yang banyak menyentuh tentang perjuangan yang harus dilanjutkan) juga memberi banyak renungan dan iktibar kepada pembaca sebagai generasi Melayu kini yang sejujurnya sangat menyentuh hati saya.
Sejujurnya satu pembacaan yang sangat membuka minda dan pandangan sarwajagat (worldview) kita mengenai sejarah Perak amnya dan Laksamana Muhammad Amin khususnya. Sudah tiba masanya beliau diangkat sebagai pahlawan utama Perak menentang penjajah sama terkenal seperti Dato' Maharaja Lela dan Dato' Sagor.
Penulisan ini sangat membantu sebagai sumber rujukan utama untuk diri saya dalam mengumpul dan menghimpunkan kisah-kisah Laksamana terkenal dalam peradaban Melayu. Kita selalu kenal Laksamana Hang Tuah sahaja, tetapi kali ini Laksamana Muhammad Amin juga tak kurang hebat jasanya sebagai salah seorang laksamana Melayu terulung dalam lipatan sejarah.
Sekian terima kasih.
- Raja Ariff Danial bin Raja Azhar, 25 tahun. Pelajar UKM, Bangi.
12. Alhamdulillah, dalam tempoh 17 tahun sejak terbitnya buku pertama oleh Tuan Merah Silu, kini muncul pula buku tulisan beliau yang ke-14. Usaha gigih penulis untuk mengembara dan menyelidik dapat diikuti di blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Buku ini membicarakan sejarah Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin dan Orang Kaya Arshad yang jarang kita ketahui. Hasil penyelidikan penulis dikongsi dalam buku ini dengan disertakan banyak maklumat, gambar, rajah dan rujukan serta dapatan baru.
Menarik sekali. Apatah lagi penulis adalah daripada jalur keturunan salasilah yang dikaji. Highly recommended! Moga Allah mempermudahkan segala urusan Tuan Merah Silu dan keluarganya dalam meneruskan perjuangan beliau. Sekian, wassalam.
- Ismail Omar, 64 tahun. Pengarah teknikal. Shah Alam.
13. Sejujurnya saya masih berusaha untuk menghabiskan naskah hebat ini. Berdasarkan pembacaan awal, dapat disaksikan penulis telah menjalankan kajian mendalam berkenaan bahan tulisannya. Banyak pengetahuan baru bagi saya berkenaan Almarhum Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin. Gaya penulisan beliau seolah-olah mengimbau kembali ke zaman itu dan mendekatkan semula dengan insan yang tak sempat dikenali secara empat mata.
Syabas atas usaha gigih beliau yang sanggup mengembara demi mendapatkan sebegitu banyak info sahih dan berkongsi naskah berharga ini dengan kita semua!
- Nita Hamiri,47 tahun. Suri rumah, Subang.
14. Bismillahir Rahmaanir Rahiim. Assalamualaikum wrt
Setelah membaca buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arshad, apa yang saya temui adalah fakta yang amat berharga dalam menghargai jasa tokoh ini. Banyak penemuan hasil kajian dan usaha gigih Tuan Radzi selama setahun ini membuka mata tentang seorang tokoh bersejarah yang amat berjasa kepada negara dan orang Islam.
Perjuangan beliau adalah pemula kepada bibit perjuangan kemerdekaan Tanah Melayu daripada penjajahan Inggeris. Daripada pembacaan saya yang tidak seberapa boleh dikatakan terdapat poin-poin yang menarik:-
a. Tentang salasilah Laksamana Raja Mahkota yang berhubung dengan keluarga diraja Samudera Pasai. Ini menunjukkan kebangsawanan Laksamana bukanlah semata-mata kerana pangkat, tetapi terkait dengan satu susur galur darah keturunan mulia. Seorang penulis Inggeris ketika menerangkan akan sekeping foto Laksamana bersama pembesar Perak, dia menyatakan bahawa Laksamana adalah seorang Arab. Jadi, memang wajar ketokohan Laksamana di dalam memimpin masyarakat perlu dijadikan contoh teladan kepada pemimpin sekarang.
b. Tentang salasilah keluarga keturunan Laksamana. Banyak kisah dan pemurnian nasab keturunan Laksamana telah dikehadapankan oleh penulis Tuan Radzi. Hal ini amat penting utk menentukan hak-hak seseorang di dalam hukum hakam. Temuramah dan sesi suai mesra antara keluarga membuahkan tali silaturrahmi yang diterjemahkan menjadi pepohon salasilah terkait. Hukum berkaitan perkahwinan, anak angkat dan harta pusaka begitu penting agar yang utama diutamakan menurut hukum Islam yang wajib kita taati.
c. Tentang buku ini, bahawa ia akan menjadi rujukan akademik untuk tempoh infiniti. Para pengkaji sejarah dalam dan luar negara akan menjadikan buku ini sebagai bahan diskusi untuk menyusun semula kekosongan sejarah Malaysia yang sedang terkutip.
d. Berkait tanah milikan Laksamana Haji Muhammad Amin di Mekah. Fakta ini merupakan suatu kejutan kepada saya, bahawa ketika mana Inggeris masih lagi mencengkam institusi kerajaan, tokoh tersebut telah berhasil membeli dua bidang tanah di kawasan al Misfalah. Saya amat gembira kerana tanah orang Nusantara di al Haram bukan sekadar tanah wakaf Aceh dan penempatan warga Pantai Timur serta Patani di atas bukit tetapi juga tanah milik orang kita berhampiran Masjidil Haram.
Begitulah review saya yang tidak seberapa, malah banyak lagi boleh dikupas. Dengan rendah hati, saya berterima kasih kepada Tuan Fahrulradzi Mohd Sapiee serta isteri dalam membongkarkan suatu kisah yang tidak diketahui rakyat Malaysia melalui kegigihan, keazaman dan usaha beliau. Semoga usaha seperti ini dapat diteruskan tentang tokoh perjuangan lain yang terdapat dalam tanah Melayu khususnya mereka yang "disembunyikan" demi kepentingan pihak tertentu. Wassalam
- Ahmad Wafee bin Mohd Ariff, 48 tahun. Pekerja swasta, Equine Park, Seri Kembangan.
----------------
Maklum-maklum balas ini harus cukup untuk menunjukkan bagaimana bernilai dan berisinya buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amim & Orang Kaya Arshad. Untuk mendapatkan buku sila ikut panduan ini...
Harga buku senaskah RM99 + RM7.90 Poslaju = RM106.90.
Sila buat bayaran bagi jumlah berkenaan ke akaun berikut :-
Affin Islamic Bank : 20-530-011171-1
Atas nama: Mohd Fahrulradzi b Mohamad Sapiee
Selepas itu WhatsApp ke nombor 013-3082131 bukti pembayaran juga alamat pos.
1 ulasan:
Testimoni saya tentang bagaimana saya menjadi ahli Illuminati. Saya ingin tahu orang yang ingin menyertai Illuminati hebat sebagai ahli hebat Illuminati yang mahukan saya sebagai ahli hebat. Namanya ialah Lord Felix Morgan. Bantu saya memulihkan hidup saya dari peringkat kematian. Dilepaskan selepas kira-kira 2 tahun dan enam bulan. Selepas dikhianati oleh begitu ramai ahli Illuminati. Selama bertahun-tahun saya putus asa dan kewangan di lapangan. Tetapi pada suatu hari ketika melayari internet, saya terjumpa posting Ahli Besar Illuminati Lord Felix Morgan dan mengatakan bahawa jika anda adalah salah seorang ahli Illuminati yang hebat, anda boleh menjadi terkenal, kaya dan berjaya dalam hidup. Saya menghubunginya dan saya menerangkan segala-galanya kepadanya dan dia mengesyorkan pendaftaran yang digunakan dan saya membayar ahli besar untuk memulakan saya dan saya telah dimulakan ke dalam World Order of the Illuminati. Selepas itu, mereka memberi saya semua garis panduan dan memberitahu saya bahawa selepas permulaan ahli baharu akan diberi ganjaran wang tunai $1,000,000. Dengan bantuan Lord Felix Morgan. Saya telah dimulakan sepenuhnya sebagai ahli penuh Illuminati. Jika nasihat anda ialah anda pernah mencuba penipu sebelum ini atau sedang, terpulang kepada saya untuk membantu anda sertai jadi cuba Lord Morgan. Ini adalah peluang terbaik anda untuk menjadi apa yang anda inginkan dalam kehidupan masa depan anda. Hubungi beliau melalui WhatsApp +2348055459757 atau e-mel: Illuminatiofficial565@gmail.com
Catat Ulasan