Salam petang Jumaat 5 Safar. Cerita perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera harus diteruskan. Maka bersambung daripada Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Berkejar 1 Muharram untuk menunaikan acara ke-21 HIKMAH di tapak pusat kerajaan Samudera-Pasai.
Saya tertarik kerana ada tertulis nama ayah Teungku Chik Awe Geutah iaitu Jamaluddin Bawaris sebagai keturunan Saidina Abbas RA, bapa saudara Nabi Muhammad SAW. Ini bermakna beliau adalah daripada keluarga Bani Abbasiyah, sama seperti Sidi Abdullah yang makamnya diziarahi lebih awal di persekitaran tapak kerajaan Samudera-Pasai. Bezanya ketika Abdullah meninggal dunia tahun 1403 Kesultanan Aceh Darussalam belum lagi wujud. Teungku Chik Awe Geutah pula dikatakan diutus ke wilayah ini oleh Sultan pertama Aceh Darussalam iaitu Sultan Ali Mughayat Syah (memerintah 1514-1530). Terdapat lebih 100 tahun perbezaan masa dan mereka berkhidmat dengan lain-lain kerajaan.
Pagi Isnin 2 September 2019 bersamaan 2 Muharram 1441 Hijriah. Setelah masuk 6 hari perjalanan baru kali ini hari dapat dimulakan dengan santai kerana tidak perlu lagi terkejar-kejar. Kelihatan dalam gambar pagar kompleks makam Sultan Malikus Saleh. Kami anak beranak telah bermalam di pondok berhadapan.
Kawan-kawan kami dari Malaysia telah bergerak ke Banda Aceh pada hari sebelumnya dengan satu kereta. Tinggal saya, isteri dan anak-anak menikmati suasana perkampungan dikelilingi sawah.
Alhamdulillah, anak-anak yang sejak daripada kecil malah dalam perut lagi sudah dibiasakan mengembara lasak boleh tidur dari masjid ke masjid juga pondok ke pondok tanpa masalah. Tidak pernah sekali pun membantah apa lagi menunjukkan ragam dengan cara kami mengembara lasak.
Mereka seronok dapat mandi perigi, kejar anak kambing dan sebagainya. Siap sempat 'buat makam' di hadapan pondok.
Jam 10 pagi kawan Aceh kami tiba. Beliau datang dari Banda Aceh pada hari sebelumnya untuk menyertai acara yang kami adakan di makam Sultan Malikus Saleh. Tetapi beliau sampai lewat lalu cuma dapat menyertai sesi lawatan dua bangunan baru yang didirikan atas nama kerajaan silam. Lihat Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Berkejar 1 Muharram untuk menunaikan acara ke-21 HIKMAH di tapak pusat kerajaan Samudera-Pasai.
Kawan bernama Fadhlan Amini ini telah membawa seorang kawan bernama Jamaluddin (dipanggil Lodin). Inilah kali pertama saya dan isteri mengenali Lodin. Kami sudah kenal ramai kawan di Aceh terutama di Banda Aceh. Kampung Lodin (sebelah ibu kalau tak salah) terletak 15-20 km ke timur makam. Mereka bermalam di sana sementara kami bermalam di pondok berhadapan kompleks makam.
Sebelum ini Fadhlan telah membawa kami dari lapangan terbang di Banda Aceh hingga sampai ke kampungnya di Tapak Tuan. Lihat artikel-artikel berikut :-
Selepas itu beliau kembali bersendirian ke Banda Aceh, kami anak beranak menumpang satu lagi kereta hingga ke Barus kemudian persekitaran Danau Toba membawa ke Deli Tua dan Medan terus ke Perlak sebelum sampai ke kompleks makam Sultan Malikus Saleh. Lihat artikel-artikel berikut :-
Sekarang kami kembali menaiki kereta Fadhlan. Singgahlah ziarah ke tempat ini. Lihat Lawatan baru ke kompleks makam Ratu Nahrisyah (New visit to Ratu Nahrisyah tomb complex) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Saya juga mengambil peluang untuk mencari satu makam yang sudah lebih 15 tahun diketahui wujud di sekitar itu. Tetapi baru sehari dua tergerak untuk mencari apabila mendapati kedudukan tepatnya ada ditanda orang dalam Google Map. Ternyata ia tidak begitu jauh daripada makam Sultan Malikus Saleh.
Ia adalah makam Sidi Abdullah, seorang keturunan Khalifah al-Muntasir (daripada Bani Abbasiyah, bertakhta di Baghdad tahun 1226 hinga 1242 Masihi). Beliau pernah berkhidmat sebagai menteri kewangan kerajaan Samudera-Pasai. Umum tahu Baghdad telah diserang lalu dihancurkan tentera Mongol pada tahun 1258. Ini menyebabkan Kekhalifahan Bani Abbasiyah jatuh serta merta. Selepas beberapa lama naik pemerintahan baru yang diterajui pemimpin Mongol yang telah masuk Islam.
Moyang Sidi Abdullah adalah antara bangsawan Arab Quraish yang berjaya meloloskan diri ketika ribuan, mungkin jutaan orang Islam dibunuh Mongol. Ada antara kaum kerabat mereka dibawa ke Mesir yang sedang diperintah kerajaan Mamluk lalu dijadikan khalifah. Namun ia lebih pada wayang untuk menaikkan keabsahan Mamluk. Secara rasminya Kekhalifahan Bani Abbasiyah tamat selepas kejatuhan Baghdad.
Kedatangan satu cabang keturunan khalifah bagi seluruh umat Islam ke Samudera-Pasai menunjukkan betapa penting dan tingginya kedudukan kerajaan Melayu Islam tersebut. Makam Sidi Abdullah yang terletak bersebelahan tapak masjid beliau, diapit kolam-kolam udang air tawar yang memberikan pemandangan yang menenangkan menjadi satu bukti kegemilangan. Lihat artikel-artikel berikut :-
Makam ini dan cerita ringkas tentangnya agak terkenal dalam buku-buku tentang kerajaan Samudera-Pasai. Sekurang-kurangnya itulah yang dapat saya lihat ketika mula-mula sibuk mengkaji tentang kerajaan tahun 2004. Ia menjadi asbab gambar dan cerita dimasukkan ke dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" (terbit Jun 2006). Lihat muka surat berkenaan yang diambil gambarnya tadi. Sekarang setelah akhirnya sampai setelah lebih 15 tahun tahu, setelah lebih 13 tahun gambar dan cerita menghiasi buku apakah ada petunjuk berkenaan dan makna? Apakah sampainya saya itu terkait dengan persoalan yang diterbitkan di muka surat sebelah iaitu "Sampai Bila Berpetualang?". Sampai bila harus mengembara ke sana ke mari mencari jawaban?
Saya pun tak tahu bagaimana untuk menjawabnya. Walaupun boleh kata hampir semua persoalan yang pernah melanda diri waktu buku ditulis telah terjawab selepas itu muncul pula persoalan-persoalan lain yang menuntut jawaban baru. Pun begitu, bila difikirkan kembali sebetulnya persoalan tidak menjadi masalah sangat. Sudah disebut banyak yang sudah terjawab. Apa yang perlu sebenarnya adalah terzahirnya beberapa perkara yang bayangannya sudah saya terima sejak bertahun lampau. Ada antaranya terkait dengan kegemilangan kembali kerajaan Samudera-Pasai.
Oh. Tadi itu dan ini adalah gambar kami anak-beranak di makam Sultan Malikus Saleh. Sebelum meninggalkan kawasan dan persekitaran yang pernah menjadi pusat kerajaan kami ziarah lagi sebagai tanda selamat tinggal...
Perjalanan diteruskan ke Banda Aceh 285 km ke arah timur dan utara makam.
Seperti biasa ada tempat-tempat mahu disinggahi. Kali ini ada senarai beberapa makam lama yang belum pernah lagi sampai walau sudah 8 kali ke Aceh, kali ini yang ke-9...
Adapun kami meninggalkan makam Sultan Malikus Saleh dan persekitaran tapak pusat kerajaan Samudera-Pasai pada jam 12.30 tengah hari. Selepas itu singgah makan di suatu tempat. Gambar ini diambil pada jam 14:41 atau 2.41 petang. Kalau tak salah kami di bandar Bireun. Teringat betapa ketika ini baru hari ke-2 tahun Hijriah yang ke 1,441...
Di sekitar ini ada makam mahu diziarahi dan ia sudah ada dalam senarai. Namun belum sempat saya mengutarakanya kepada Fadhlan, Lodin telah lebih dahulu mengajak. Maka sampailah kami ke kompleks makam seorang ulamak besar yang dikenali sebagai Teungku Chik Awe Geutah. Letaknya 10 km ke selatan bandar Bireun.
Berasal dari Baghdad 500 tahun lalu beliau dianggap sebagai wali keramat. Pernah berlaku ada air zamzam yang dibawanya dari Mekah hendak diagih-agihkan kepada penduduk tapi tak cukup. Lalu digalinya satu perigi, dicurahkannya air zamzam ke dalam. Air yang diambil dari perigi jadi jernih dan rasa pun seperti air zamzam lalu semua orang dapat mengambilnya. Begitulah keadaan air perigi sehingga ke hari ini. Orang selalu datang mengambil untuk dijadikan ubat dan penawar...
Makam menjadi tumpuan untuk diziarahi sambil membawa hajat. Penempatan dan kawasan jadi tempat orang beramal juga belajar agama di madrasah. Lihat artikel-artikel berikut :-
Tetapi paling menarik perhatian saya adalah apabila melihat senarai salasilah keturunan dan ahli keluarga Teungku Chik Awe Geutah atau nama sebenarnya Sheikh Abdul Rahim (ditambah al-Asyi) dalam rumah...
Saya tertarik kerana ada tertulis nama ayah Teungku Chik Awe Geutah iaitu Jamaluddin Bawaris sebagai keturunan Saidina Abbas RA, bapa saudara Nabi Muhammad SAW. Ini bermakna beliau adalah daripada keluarga Bani Abbasiyah, sama seperti Sidi Abdullah yang makamnya diziarahi lebih awal di persekitaran tapak kerajaan Samudera-Pasai. Bezanya ketika Abdullah meninggal dunia tahun 1403 Kesultanan Aceh Darussalam belum lagi wujud. Teungku Chik Awe Geutah pula dikatakan diutus ke wilayah ini oleh Sultan pertama Aceh Darussalam iaitu Sultan Ali Mughayat Syah (memerintah 1514-1530). Terdapat lebih 100 tahun perbezaan masa dan mereka berkhidmat dengan lain-lain kerajaan.
Kami duduk lama bercerita bermacam-macam dengan keturunan yang menjaga rumah dan makam. Namanya Teungku Mukhsin. Jam 4.45 gitu baru bergerak meninggalkan rumah. Sambil itu asyik terfikirkan kaitan dan faktor Bani Abbasiyah dalam pemerintahan kerajaan Samudera-Pasai dan Aceh Darussalam.
Jam 5.18 kami masuk ke satu kawasan pendalaman lain untuk mencari makam raja-raja Jeumpa. Ia merupakan satu kerajaan awal di Aceh yang dipercayai sesetengah pihak sudah menerima Islam seawal tahun 700an Masihi, lebih awal daripada Perlak.
Yang pasti ada cerita menyebut di kerajaan Jeumpa inilah datang seorang anak raja Parsi daripada keturunan Dinasti Sassanid yang dikenali sebagai Pengeran Salman al-Farisi. Baginda berkahwin dengan puteri raja Jeumpa lalu seorang anak atau cucunya membuka kerajaan Perlak.
Ketika Meurah Syahir Nuwi memerintah Perlak muncullah rombongan 100 orang pendakwah Islam yang diketuai oleh Nakhoda Khalifah tahun 173 Hijriah. Bacaan yang saya temu rata-rata mengatakan ini adalah bersamaan tahun 800 Masihi. Kiraan sama menunjukkan ia adalah tahun 790M.
Apapun itu membawa kepada terbitnya Kesultanan Islam Perlak tahun 225 H bersamaan 840 M. Tarikh pengasasan yang diisytiharkan dengan naiknya Sultan Sayyid Maulana Abdul Aziz Syah 1 Muharram, seorang Ahlul Bait keturunan Rasulullah SAW hasil perkahwinan ayahandanya dengan adinda kepada Meurah Syahir Nuwi menjadi asbab saya mahu bermalam di makam Sultan Abdul Aziz malam 1 Muharram sebelum mengadakan acara ke-21 HIKMAH di kompleks makam Sultan Malikus Saleh siang 1 Muharram. Lihat kembali artikel Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Berkejar 1 Muharram untuk menunaikan acara ke-21 HIKMAH di tapak pusat kerajaan Samudera-Pasai.
Perjalanan dari makam Malikus Saleh ke Banda Aceh, aktiviti sepanjang hari termasuk ziarah ke makam Teungku Sidi Abdullah juga makam Teungku Chik Awe Geutah sebenarnya adalah secara rasminya sebahagian daripada acara ke-21 HIKMAH. Ini kerana ia telah diisytiharkan berlangsung daripada 1-3 September 2019 bersamaan 1-3 Muharram 1441 H agar dapat meliputi satu bahagian acara yang mahu diadakan di Banda Aceh 3 September. Oh. Gambar ini diambil jam 8.49 ketika makan malam di suatu tempat. Kalau tak salah ini di barat bandar Sigli...
Jam 11.53 baru masuk ke lingkungan kota Banda Aceh.
Jam 12 tengah malam sampai di rumah Fadhlan di mana kami akan menginap. Esok pagi harus bersedia untuk acara jam 9...