Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Isnin, Ogos 06, 2012

Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Solo, Kediri, pendopo kerajaan Majapahit dan makam Sheikh Jamaluddin Kubro di Mojokerto

Allah! Sedar tak sedar malam ini sudah masuk 17 Ramadhan, malam Nuzul Quran. Sambil kita menghampiri fasa berpuasa yang lebih menarik iaitu fasa kedatangan lailatul qadar harap-harap semakin rapatlah hubungan kita dengan Yang Maha Pencipta juga sesama kita sebagai manusia yang dicipta sebagai wakilNya di muka bumi. Kita teruskan lagi cerita perjalanan Pulau Jawa yang sudah hampir sampai ke penghujungnya. Bersambung dari Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Wali Hassani di Kebumen, Buddha di Borobudur dan Jawa Kejawen di Jogja...


Dari Jogjakarta kami bergerak menaiki bas lewat malam untuk ke Solo, sebuah bandar diraja kebanggaan masyarakat Jawa yang menurut sesetengah orang memiliki kedudukan lebih utama berbanding Jogja. Ia juga dikenali sebagai Surakarta. Sampai sahaja di terminal kami mengambil teksi terus ke masjid utamanya...


Niat kami sekadar mahu menjejakkan kaki masuk ke masjid sebagai syarat.  Tetapi kami sampai pun sudah jam 1.30 pagi waktu tempatan lalu pagar besar masjid pun berkunci. Nampak tak apa yang ada dalam gelap?


Keadaan sama apabila flash digunakan. Lihatlah isteri tidur di atas pangkin kayu memeluk anak kami Muhammad Al-Aminul Rasyid yang ketika itu berumur 2 tahun 7 bulan. Di sebelahnya berbungkus jaket hitam adalah bayi kami Muhammad Alauddin Johan yang sedang menghampiri umur 3 bulan.

Syukur alhamdulillah saya dikurniakan isteri dan anak-anak yang tabah. Demi menunggu masjid dibuka agar dapat menjejakkan kaki ke dalam sebagai syarat mereka sanggup tidur di pangkin yang terletak di luar halaman masjid, dalam kegelapan yang disapa angin sejuk awal pagi selama beberapa jam. Beginilah cara kami anak-beranak berjalan demi memenuhi misi yang kalau diceritakan pada orang pun entah berapa kerat yang faham. Selain mahu menjimatkan belanja kami rasa pada saat-saat begini amatlah membazir jika menyewa bilik hotel kerana selepas masuk ke masjid kami akan terus meninggalkan Surakarta untuk menjejak lokasi lain.


Adapun ketika itu sudah masuk Rabu 13 Mei, 2012, hari ke 13 kami berjalan pusing Pulau Jawa. Esok petang kami harus menaiki pesawat dari Surabaya kembali ke Malaysia sedangkan dari Solo ke Surabaya masih agak jauh dan ada beberapa tempat lagi perlu disinggahi untuk menamatkan misi. Berbekalkan rasa yakin dan tawakal akan penjagaan Allah, saya meninggalkan anak dan isteri sebentar untuk berjalan sekitar 400 meter ke satu lagi tempat bersejarah. Lihat artikel Keraton (Palace of) Solo Surakarta di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Sekitar 4: 15 pagi waktu tempatan baru masjid dibuka sebagai persediaan untuk solat Subuh. Baru kami dapat masuk menjejakkan kaki dan bersolat. Lihat Masjid Agung (Great mosque of) Surakarta.


Selepas langit terang kami pun bersedia untuk meninggalkan Solo. Gambar ini diambil 5:56 pagi...


Dalam bas baru dapat berehat dengan lebih selesa.


Destinasi kami seterusnya adalah Kediri, sebuah bandar yang pernah menjadi pusat kerajaan lama Daha yang pernah terserlah sebelum kerajaan Majapahit diasaskan sekitar 1293 Masihi. Kami sampai sekitar 12.30 tengah hari, turun di satu kawasan berdekatan pusat bandar lalu mengisi perut dengan kuih di warung ini.


Kami turun di sini kerana menyangkakan masjid utama Kediri terletak di seberangnya.


Rupa-rupanya kami tersilap...


Masjid utama bandar ini terletak ke hadapan lagi melewati sebuah sungai besar.


Inilah masjidnya. Lihat Masjid Agung (Great mosque of) Kediri.


Di masjid ini baru kami anak-beranak dapat betul-betul membersihkan diri dan melepaskan hajat.


Selepas itu baru kami menyambung perjalanan ke timur, semakin menghampiri Surabaya. Turun di satu kawasan yang dipanggil Trowulan di Mojokerto.


Kawasan ini pernah menjadi pusat kerajaan dan empayar besar kebanggaan orang Jawa iaitu Majapahit. Turut terdapat adalalah makam Sheikh Jamadil Kubro, wali agung yang dikatakan menurunkan para Wali Songo.

Dari jalan besar kami menyewa ojek atau membonceng motor tumpangan lalu singgah di kolam besar ini yang merupakan satu peninggalan lama Majapahit. Lihat Kolam (Pool of) Segaran.


Kami turut singgah ke muzium peninggalan kerajaan tetapi setakat di halaman semata-mata untuk melihat patung tidak bermuka ini. Bukan apa. Seorang kenalan kami yang biasa berhubung dengan alam ghaib berpesan jika lalu di sekitar Trowulan lihatlah patung ini. Tak tahu pasal apa...


Ini pula isteri dan anak di hadapan patung Patih Gajah Mada, pembesar utama Majapahit yang dikatakan bertanggungjawab membawa kerajaan ini masuk zaman keemasannya abad ke 14 Masihi. Ketika ini kami berada di halaman satu lagi tinggalan lama kerajaan. Lihat Pendopo Agung (Great open hall of) Trowulan.


Selepas itu baru ke makam Sheikh Jamadil Kubro, pendakwah agung yang turut dikenali sebagai Sayyid Hussein Jamaluddin Al-Kubra. Walaupun ada pihak percaya beliau sebenarnya mangkat dan dimakamkan di Wajo, Sulawesi iaitu di Tanah Bugis masyarakat Jawa Timur pula bertegas makamnya ada di sini. Lihat Makam (Tomb of) Sayyid Jamadil Kubro di (at) Troloyo.


Ketika hendak kembali ke jalan besar kami diberitahu ada satu lagi makam menarik sekitar ini. Kami pun meminta pemandu ojek membawa ke situ. Di sini berlaku peristiwa agak pelik. Ketika sampai di makam pemandu memberitahu ia milik seorang puteri bukan beragama Islam. Tetapi seorang pengunjung yang kebetulan sedang berehat di makam membantah. Seketika itu juga kawasan ini menjadi gelap, black out. Gambar ini diambil dalam kegelapan menggunakan flash. Lihat Makam (Tomb of) Putri Campa, Mojokerto.


Selesai ziarah baru kami makan malam di kedai berdekatan.


Kemudian baru mendapatkan bas ke Surabaya yang tamat perkhidmatan di terminal Sidoarjo di pinggir selatan bandar raya. Ambil teksi untuk melihat masjid utamanya yang terletak sekitar 3-4 km perjalanan. Lihat Masjid Nasional (National mosque of) Al-Akbar, Surabaya.

OK. Biar diberitahu perjalanan dari Solo singgah ke Kediri dan Mojokerto sebelum sampai ke Surabaya ini memakan jarak 350 km sedangkan ia sendiri adalah kesinambungan perjalanan Kebumen-Borobudur-Jogjakarta-Solo yang memakan jarak 210 km. Kami meninggalkan Kebumen tengah hari Selasa dan sampai di Surabaya 8:30 Rabu malam Khamis. Kiranya dalam tempoh 32 jam itu kami mengembara sejauh 560 km (350 km + 210 km) dan cuma berehat di masjid, pangkin luar masjid dan dalam bas.

Sampai di Surabaya pula kami menghadapi sedikit masalah mencari tempat penginapan yang sesuai sehingga harus berjalan kaki agak jauh sebelum dapat berehat. Apapun alhamdulillah, dengan ini kami sekeluarga telah berjaya berjalan pusing Pulau Jawa sebelum kembali ke Surabaya, tempat perjalanan dimulakan 1 Mei  lalu memakan jarak lebih 2,000 km. Tinggal sedikit sahaja lagi perjalanan sekitar bandar raya untuk diceritakan sebelum kembali ke Malaysia. Nanti... :]


Tiada ulasan: