Allah! Sedar tak sedar malam ini sudah masuk 17 Ramadhan, malam Nuzul Quran. Sambil kita menghampiri fasa berpuasa yang lebih menarik iaitu fasa kedatangan lailatul qadar harap-harap semakin rapatlah hubungan kita dengan Yang Maha Pencipta juga sesama kita sebagai manusia yang dicipta sebagai wakilNya di muka bumi. Kita teruskan lagi cerita perjalanan Pulau Jawa yang sudah hampir sampai ke penghujungnya. Bersambung dari Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Wali Hassani di Kebumen, Buddha di Borobudur dan Jawa Kejawen di Jogja...
Dari Jogjakarta kami bergerak menaiki bas lewat malam untuk ke Solo, sebuah bandar diraja kebanggaan masyarakat Jawa yang menurut sesetengah orang memiliki kedudukan lebih utama berbanding Jogja. Ia juga dikenali sebagai Surakarta. Sampai sahaja di terminal kami mengambil teksi terus ke masjid utamanya...
Niat kami sekadar mahu menjejakkan kaki masuk ke masjid sebagai syarat. Tetapi kami sampai pun sudah jam 1.30 pagi waktu tempatan lalu pagar besar masjid pun berkunci. Nampak tak apa yang ada dalam gelap?
Keadaan sama apabila flash digunakan. Lihatlah isteri tidur di atas pangkin kayu memeluk anak kami Muhammad Al-Aminul Rasyid yang ketika itu berumur 2 tahun 7 bulan. Di sebelahnya berbungkus jaket hitam adalah bayi kami Muhammad Alauddin Johan yang sedang menghampiri umur 3 bulan.
Syukur alhamdulillah saya dikurniakan isteri dan anak-anak yang tabah. Demi menunggu masjid dibuka agar dapat menjejakkan kaki ke dalam sebagai syarat mereka sanggup tidur di pangkin yang terletak di luar halaman masjid, dalam kegelapan yang disapa angin sejuk awal pagi selama beberapa jam. Beginilah cara kami anak-beranak berjalan demi memenuhi misi yang kalau diceritakan pada orang pun entah berapa kerat yang faham. Selain mahu menjimatkan belanja kami rasa pada saat-saat begini amatlah membazir jika menyewa bilik hotel kerana selepas masuk ke masjid kami akan terus meninggalkan Surakarta untuk menjejak lokasi lain.
Adapun ketika itu sudah masuk Rabu 13 Mei, 2012, hari ke 13 kami berjalan pusing Pulau Jawa. Esok petang kami harus menaiki pesawat dari Surabaya kembali ke Malaysia sedangkan dari Solo ke Surabaya masih agak jauh dan ada beberapa tempat lagi perlu disinggahi untuk menamatkan misi. Berbekalkan rasa yakin dan tawakal akan penjagaan Allah, saya meninggalkan anak dan isteri sebentar untuk berjalan sekitar 400 meter ke satu lagi tempat bersejarah. Lihat artikel Keraton
(Palace of) Solo Surakarta di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).
Sekitar 4: 15 pagi waktu tempatan baru masjid dibuka sebagai persediaan untuk solat Subuh. Baru kami dapat masuk menjejakkan kaki dan bersolat. Lihat Masjid
Agung (Great mosque of) Surakarta.
Selepas langit terang kami pun bersedia untuk meninggalkan Solo. Gambar ini diambil 5:56 pagi...
Dalam bas baru dapat berehat dengan lebih selesa.
Destinasi kami seterusnya adalah Kediri, sebuah bandar yang pernah menjadi pusat kerajaan lama Daha yang pernah terserlah sebelum kerajaan Majapahit diasaskan sekitar 1293 Masihi. Kami sampai sekitar 12.30 tengah hari, turun di satu kawasan berdekatan pusat bandar lalu mengisi perut dengan kuih di warung ini.
Kami turun di sini kerana menyangkakan masjid utama Kediri terletak di seberangnya.
Rupa-rupanya kami tersilap...
Masjid utama bandar ini terletak ke hadapan lagi melewati sebuah sungai besar.
Inilah masjidnya. Lihat Masjid
Agung (Great mosque of) Kediri.
Di masjid ini baru kami anak-beranak dapat betul-betul membersihkan diri dan melepaskan hajat.
Selepas itu baru kami menyambung perjalanan ke timur, semakin menghampiri Surabaya. Turun di satu kawasan yang dipanggil Trowulan di Mojokerto.
Kawasan ini pernah menjadi pusat kerajaan dan empayar besar kebanggaan orang Jawa iaitu Majapahit. Turut terdapat adalalah makam Sheikh Jamadil Kubro, wali agung yang dikatakan menurunkan para Wali Songo.
Dari jalan besar kami menyewa ojek atau membonceng motor tumpangan lalu singgah di kolam besar ini yang merupakan satu peninggalan lama Majapahit. Lihat Kolam
(Pool of) Segaran.
Kami turut singgah ke muzium peninggalan kerajaan tetapi setakat di halaman semata-mata untuk melihat patung tidak bermuka ini. Bukan apa. Seorang kenalan kami yang biasa berhubung dengan alam ghaib berpesan jika lalu di sekitar Trowulan lihatlah patung ini. Tak tahu pasal apa...
Ini pula isteri dan anak di hadapan patung Patih Gajah Mada, pembesar utama Majapahit yang dikatakan bertanggungjawab membawa kerajaan ini masuk zaman keemasannya abad ke 14 Masihi. Ketika ini kami berada di halaman satu lagi tinggalan lama kerajaan. Lihat Pendopo
Agung (Great open hall of) Trowulan.
Selepas itu baru ke makam Sheikh Jamadil Kubro, pendakwah agung yang turut dikenali sebagai Sayyid Hussein Jamaluddin Al-Kubra. Walaupun ada pihak percaya beliau sebenarnya mangkat dan dimakamkan di Wajo, Sulawesi iaitu di Tanah Bugis masyarakat Jawa Timur pula bertegas makamnya ada di sini. Lihat Makam
(Tomb of) Sayyid Jamadil Kubro di (at) Troloyo.
Ketika hendak kembali ke jalan besar kami diberitahu ada satu lagi makam menarik sekitar ini. Kami pun meminta pemandu ojek membawa ke situ. Di sini berlaku peristiwa agak pelik. Ketika sampai di makam pemandu memberitahu ia milik seorang puteri bukan beragama Islam. Tetapi seorang pengunjung yang kebetulan sedang berehat di makam membantah. Seketika itu juga kawasan ini menjadi gelap, black out. Gambar ini diambil dalam kegelapan menggunakan flash. Lihat Makam
(Tomb of) Putri Campa, Mojokerto.
Selesai ziarah baru kami makan malam di kedai berdekatan.
Kemudian baru mendapatkan bas ke Surabaya yang tamat perkhidmatan di terminal Sidoarjo di pinggir selatan bandar raya. Ambil teksi untuk melihat masjid utamanya yang terletak sekitar 3-4 km perjalanan. Lihat Masjid
Nasional (National mosque of) Al-Akbar, Surabaya.
OK. Biar diberitahu perjalanan dari Solo singgah ke Kediri dan Mojokerto sebelum sampai ke Surabaya ini memakan jarak 350 km sedangkan ia sendiri adalah kesinambungan perjalanan Kebumen-Borobudur-Jogjakarta-Solo yang memakan jarak 210 km. Kami meninggalkan Kebumen tengah hari Selasa dan sampai di Surabaya 8:30 Rabu malam Khamis. Kiranya dalam tempoh 32 jam itu kami mengembara sejauh 560 km (350 km + 210 km) dan cuma berehat di masjid, pangkin luar masjid dan dalam bas.
Sampai di Surabaya pula kami menghadapi sedikit masalah mencari tempat penginapan yang sesuai sehingga harus berjalan kaki agak jauh sebelum dapat berehat. Apapun alhamdulillah, dengan ini kami sekeluarga telah berjaya berjalan pusing Pulau Jawa sebelum kembali ke Surabaya, tempat perjalanan dimulakan 1 Mei lalu memakan jarak lebih 2,000 km. Tinggal sedikit sahaja lagi perjalanan sekitar bandar raya untuk diceritakan sebelum kembali ke Malaysia. Nanti... :]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan