Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, Mac 01, 2012

Seminar Antarabangsa Hang Tuah di Seri Negeri - Menjana kebangkitan jati diri Melayu sejati?

Masuk ke cerita utama. Bersambung dari Singgah sebentar di makam keluarga Datuk Aroom....


Selepas puas melihat makam kami kembali ke Seri Negeri.


Bukan untuk ke taska tetapi ke dewan...



Di sinilah diadakan acara yang dipanggil Seminar Antarabangsa Hang Tuah. Kami sampai sejurus sebelum para jemputan dijadualkan tiba 8.45 pagi.



Nampaknya masih ada peserta mendaftar walaupun pendaftaran sudah dibuka sejak jam 8.



Selepas mendaftar kami berlegar di ruang hadapan. Terserempak beberapa orang kenalan, antaranya, Profesor Dr Abdullah Zakaria. orang kuat Jabatan Sejarah Universiti Malaya (lihat artikel Satu sisi lain salasilah Raja-raja Perak - Fantasi gila atau ada yang tersirat? yang dibuat 3-4 hari lalu) dan saudara Raja Syukri, seorang kerabat Bugis dari keturunan Raja Haji, datang dari Pulau Bentan.




Kelihatan di ruang ada pameran diadakan oleh PESAWAD, Persatuan Sejarah dan Warisan Melayu Duyung yang berpusat di Kampung Duyung, Melaka. Orang-orangnya memakai baju kuning dan hitam.



Kampung Duyung dikatakan tempat pahlawan tersohor Melayu, Hang Tuah pernah menetap sebelum berpindah ke Pulau Bentan kemudian datang berkhidmat kembali di Melaka. Namun apabila Kota Melaka jatuh ke tangan Portugis 1511, Sultan dan para pengikutnya berpindah ke Bentan lalu terdapatlah banyak kesan peninggalan sejarah Melaka di sana termasuk makam-makam. Klik pada gambar atau buka dalam windows baru untuk melihat lebih dekat.



Setelah beberapa lama berlegar baru kami masuk ke dewan.



Adapun tajuk penuh acara adalah "Seminar Antarabangsa Hang Tuah : Sebutir Lazuardi di Persada Tamadun Bangsa Sempena 750 Tahun Negeri Melaka". Acara dimulakan dengan lagu Negaraku. Para jemputan terutama Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam serta para hadirin semua berdiri tegak hormat.



Walaupun saya turut berdiri tegak hormat di hadapan pentas, sebagai seorang perekod zaman (chewah! :]) saya harus berpusing badan sedikit bergerak melihat sekeliling untuk merakamkan keadaan. Jangan fikir saya tidak hormat lagu Negaraku, lagu Negeri Melaka dan sebuah lagi lagu yang saya sudah lupa apa. Kalau semua orang harus berdiri tegak terpacak tanpa bergerak dari tempat masing-masing tiada orang dapat memberikan perspektif segar dalam mana-mana acara akibat sudut pemandangan harus dihadkan ke satu arah tanpa boleh berubah.




Perasmian diteruskan dengan ucapan-ucapan. Kalau tak salah ada bacaan pantun dan syair sekali tetapi ketika itu saya sudah keluar ke ruang legar mengambil peluang untuk merekodkan lagi gambar-gambar pameran. Kelihatan di sini peta Pulau Bentan dengan kedudukan makam-makam pembesar Melaka. Nampaknya masih banyak yang perlu diterokai nanti kerana dalam lawatan saya ke sana Disember tahun lepas perjalanan dihadkan ke paling jauh pun cuma sekitar 15 km daripada bandar pusat di Tanjung Pinang. Sedangkan Pulau Bentan besarnya 2-3 kali ganda Singapura! Lihat artikel-artikel berikut :-









Turut dipamerkan tetapi ke kiri pintu masuk dewan adalah sedutan berkenaan Hang Tuah daripada kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karangan Bendahara Johor awal abad ke 16, Tun Seri Lanang. Saya ambil gambar ini sebagai peringatan untuk diri sendiri agar mengkaji dan membuat lebih banyak rujukan silang untuk memastikan kebenaran. Ini kerana seingat saya, Sulalatus Salatin versi Shellabear yang merupakan antara rujukan utama saya ketika menulis siri trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" (terbit 2006-2007) tidak pernah menyebut tentang kematian Hang Tuah. Pahlawan tersohor ini cuma dikatakan hilang ataupun ghaib lalu Sultan Melaka yang amat terasa kehilangan dilihat sering memandang ke arah Tanjung Keling.

Menurut cerita yang saya tahu disebabkan itulah wujud apa yang dikatakan makam Hang Tuah di Tanjung Keling. Lihat artikel lama Makam (Tomb of) Hang Tuah di (in) Tanjung Keling, Melaka... di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Namun sedutan dalam gambar menyebut dengan terang bahawa setelah Laksamana Hang Tuah kembali ke rahmatullah, beliau dikebumikan oleh Sultan Mahmud dengan penuh istiadat di Tanjung Keling. Saya tidak tahu versi Sulalatus Salatin mana yang mengandungi kenyataan ini. Apa yang saya miliki kini adalah terbitan 2009 dari Dewan Bahasa Pustaka dan ia setakat menyebut Hang Tuah meninggal dunia pada zaman pemerintahan Sultan Mahmud tanpa menyatakan di manakah beliau meninggal mahupun di ceruk mana jasadnya disemadikan.





Kitab Sulalatus Salatin yang dimiliki itu adalah versi Raffles 18, juga dipanggil versi Raja Bongsu. Dirumikan oleh Muhammad Haji Salleh lalu diterbitkan Dewan Bahasa dan Pustaka serta Yayasan Karyawan, ia dipanggil versi Raffles 18 kerana merupakan salah sebuah manuskrip Melayu yang menjadi simpanan Stamford Raffles, dalang utama penjajahan Inggeris terhadap Tanah Melayu. Namun nama Raja Bongsu tercatat sebagai pemilik kitab di akhir halaman. Naskah yang katanya mula jatuh ke tangan sarjana tempatan tahun 1980an ini merupakan satu-satunya versi Sulalatus Salatin yang menceritakan dengan lengkap tempoh pemerintahan Raja-raja Melaka sehingga dapat dibuat perkiraan baru bahawa Melaka sudah berdiri sejak tahun 1262 Masihi lagi, bukan tahun 1400an seperti diterima pakai sejak sekian lama. Perkiraan yang mula dihebahkan kepada umum tahun 2010 inilah yang menyebabkan Melaka tahun ini boleh menyambut ulangtahun penubuhannya yang ke 750 (1262 + 750 = 2012).

Di atas kelihatan sedutan yang menyebut tentang sejumlah orang yang dipanggil Hang di Melaka. Selain Hang Tuah berlima dengan sahabat-sahabatnya yang terkenal, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu ada Hang Ali, Hang Iskandar, Hang Hassan dan Hang Husin menjadikan sembilan orang yang "barang lakunya tiada terturut oleh orang lain". Cerita ini sebenarnya merujuk pada ahli rombongan Sultan Mansur Shah ketika pergi meminang puteri Betara Majapahit. Bahagian sama kitab Sulalatus Salatin versi Raja Bongsu pula sekadar menyebut lapan orang Hang. Selain Hang Tuah lima sahabat, terdapat Hang Khalambak, Hang Ali dan Hang Iskandar.




Nama-nama itu ditimbulkan untuk menunjukkan Hang-Hang ini tidak ada kena mengena dengan negeri Cina dan identiti keCinaan. Mereka yang kurang teliti (atau setakat chauvinis sahaja) seringkali menimbulkan dakwaan bahawa Hang-hang ini berasal daripada negeri Cina. Kononnya nama Hang itulah menunjukkan mereka orang Cina dan mereka datang bersama rombongan Puteri Hang Li Po, puteri Maharaja Cina yang datang ke Melaka untuk dikahwinkan dengan Sultan Mansur. Walhal nama-nama Hang dalam kitab Sulalatus Salatin tak kira versi mana pun muncul sebelum datangnya rombongan orang Cina ke Melaka. Dan di negeri Cina malah mana-mana pun di dunia tidak ada ditemui nama keluarga Hang untuk bangsa Cina, yang ada cuma Hwang atau Huang dalam dialek Mandarin, disebut Wong dalam dialek Kantonis (rujuk sini). Kembali pada pameran di sebelah kanan pintu, pameran oleh PESAWAD...




Terdapat salasilah Bendahara Melaka dan sejumlah pembesar termasuk Hang Tuah yang nampaknya terkait dengan warga asal Kampung Duyung, Melaka.




Terpapar juga surat menyebut Hang Tuah berasal dari Bentan.


Maklumat berkaitan sebuah naskah Hikayat Hang Tuah dalam simpanan peribadi.


Surat tentang barangan berkaitan Hang Tuah yang mahu dihadiahkan ke muzium.



Saya masuk kembali ke dewan apabila mendapati pembentangan kertas kerja bermula. Kelihatan dalam gambar sahabat saya dari Bentan, Raja Syukri (tengah) duduk di sebelah Datuk Ali Rustam (berbaju biru).




Tidak lama kemudian Datuk Ali beredar kerana ada tugasan lain. Pembentangan terbahagi pada sesi pagi dan petang. Sesi pagi yang dipengerusikan Profesor Emeritus Datuk Wira Dr Mohd Yusoff bin Hashim, naib canselor Kolej Universiti Islam Melaka menyaksikan kertas-kertas kerja berikut :--



1. "Hang Tuah Dalam Konteks Kreativiti dan Realiti Sejarah" oleh Prof Madya Dr Abd Rahman Napiah (juga dikenali sebagai Mana Sikana) dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

2. "Hang Tuah : Tokoh Pembina Tamadun, Sumbangan Yang Tidak Ternilaikan" oleh Prof Dr Heddy Shri Ahimsa Putra dari Universiti Gadjah Mada, Indonesia.

3. "Hang Tuah dan Konsep Keadilan Dalam Historiografi Melayu" oleh Prof Madya Dr Tatiana Denisova dari Rusia (tidak disebut institusi yang diwakilinya).

4. "Watak Sejagat Hang Tuah dan Keunggulan Bangsa Melayu" oleh Prof Li Shi Jun.





Habis sesi peserta diberi peluang mengemukakan pandangan dan/atau mengemukakan soal jawab. Saya sudah lupa nama peserta ini. Dalam kusyuk mencernakan segala yang dibincangkan saya sebenarnya tidak berapa dengar nama yang disebut. Untuk sedikit take atau hasil analisis/pandangan saya tentang seminar (akan dihuraikan di bahagian akhir artikel) biar dia disebut sebagai Cikgu Bakar. Beliau ada memberi sesuatu yang berguna untuk kajian akan datang.



Ini pula gambar sesi petang, selepas makan tengahari dan solat. Sesi yang dipengerusikan Prof Datuk Wira Dr Abd Latiff bin Abu Bakar dari UPSI ini menyenaraikan empat kertas kerja juga, dengan tajuk dan pembentang seperti berikut :-



1. "Manusiawi Hang Tuah, Bukan Setakat Keris dan Lembing, Tokoh Strategis Diplomat, Linguis, Intelek dan Guru Sepanjang Hayat" oleh Dr Haron Mat Piah, Malaysia (tidak disebut institusinya).

2. "Hang Tuah : Pembela Empayar Melaka" oleh Ruzaini Fikri, UM.

3. "Hang Tuah Sebagai Lambang Kepahlawanan dan Kemurnian Citra Melayu" oleh Dr Tan Ta Sen, Presiden International Cheng Ho Society, Singapura.

4. "Nilai Universal dan Ikon Bangsa Merentas Zaman - Hang Tuah dan Hikayat Hang Tuah" oleh Prof Dr Shaharuddin Maarof, UM.



Bila masuk petang, hadiran dan peserta dah tinggal separuh.


Tamat sesi pembentangan, seorang tetamu dari luar dijemput memberi sedikit kata-kata.



Orangnya adalah Pak Huzrin Hood, pemangku adat dari Pulau Bentan. Beliaulah yang memberi jemputan yang menyebabkan saya dan isteri memilih untuk berada lebih lama di pulau itu demi menghadiri satu majlis penting bersejarah. Lihat balik artikel Kembara Johor-Riau - 333 tahun Hulu Riau menjadi pusat empayar.




Setelah pembentangan diikuti sesi terbuka perkongsian pendapat dan soal jawab yang lebih panas majlis pun ditamatkan dengan pemberian cenderamata hampir jam 5. Sejumlah resolusi turut dihebahkan sebagai hasil seminar. Ia adalah... (saya copy and paste sahaja daripada isi teks yang telah dihantar melalui e-mail kepada saya ya) :-


1. HANG TUAH ADALAH INSAN YANG WUJUD DALAM SEJARAH DAN MERUPAKAN SATU FAKTA SEJARAH


2. HANG TUAH ADALAH INSAN SEJARAH DAN TELAH MEMAINKAN PERANAN BESAR DALAM MEMBINA KERAJAAN DAN KESULTANAN MELAKA SEPANJANG ABAD KE 15, SELAIN PEMBESAR-PEMBESAR UTAMA SEPERTI BENDAHARA, PENGHULU BENDAHARI, TEMENGGUNG DAN LAIN-LAIN



3. HANG TUAH ADALAH TOKOH SEJARAH PERTAMA YANG MEMEGANG JAWATAN LAKSAMANA DALAM INSTITUSI PEMBESAR MELAYU DAN NAMA JAWATAN INI KEKAL HINGGA SEKARANG DISANDANG OLEH PANGLIMA ANGKATAN LAUT DIRAJA MALAYSIA



4. SEBAGAI INSAN DAN TOKOH SEJARAH, PERANAN HANG TUAH WAJIB DIMASUKKAN KE DALAM SUKATAN MATAPELAJARAN SEJARAH SEKOLAH-SEKOLAH DALAM BAB MENGENAI KESULTANAN MELAKA DALAM SEJARAH MALAYSIA



5. KETOKOHAN DAN IKON HANG TUAH HARUS DIBEZAKAN DI ANTARA KETOKOHAN DAN IKONNYA DALAM BIDANG SEJARAH MALAYSIA DAN KETOKOHAN SERTA IKONNYA DALAM ASPEK KREATIVITI SENI DAN KESUSASTERAAN SERTA PERSURATAN MALAYSIA.



6. MENYOKONG PENUH KERAJAAN MELAKA DALAM SEBARANG USAHA UNTUK MENGINSTITUSIKAN HANG TUAH DALAM BIDANG-BIDANG KETOKOHAN DAN WIRA BANGSA SEJARAH NEGARA, PENDIDIKAN, AGAMA, PRODUK WARISAN NEGERI YANG KETARA DAN TIDAK KETARA, DOKUMENTASI PERPUSTAKAAN DAN MUZIUM, SEMANGAT PATRIOTISME DAN CINTA SERTA SETIA-NEGARA



7. SEMINAR MENCADANGKAN KERAJAAN MELAKA MELALUI IKSEP, PERZIM DAN KUIM MELANJUTKAN LAGI KAJIAN MENGENAI HANG TUAH DARI SEGI SUMBER SELURUH DUNIA SAMADA YANG BERCORAK KETARA ATAU TIDAK KETARA



8. SYORKAN NAMA BANDARAYA MELAKA DAN LAPANGAN TERBANG MELAKA DINAMAKAN BANDARAYA HANG TUAH DAN LAPANGAN TERBANG ANTARABANGSA HANG TUAH, MELAKA



9. SIFAT-SIFAT BAIK YANG ADA DI DALAM DIRI HANG TUAH SEPERTI SABAR, TAAT SETIA, MENOLAK PERMUSUHAN, BERILMU, DIPLOMATIK, NASIONALIS DAN PATRIOTIK HENDAKLAH DITERAPKAN DENGAN LEBIH GIAT KE DALAM DIRI GENERASI HARI INI.



10. IKSEP, PERZIM DAN KUIM HENDAKLAH MENUBUHKAN PERTUBUHAN ANTARABANGSA MENGENAI HANG TUAH DAN PANGLIMA AWANG YANG BERTUJUAN UNTUK MENGADAKAN KEGIATAN-KEGIATAN YANG BERSIFAT KEILMUAN BAGI MENGANGKAT KEDUA-DUA TOKOH TERSEBUT SEBAGAI WIRA ANTARABANGSA.







Sekarang baru saya mahu memberikan pendapat dan analisis tentang seminar dan apa yang diperbincangkan atau timbul. Biar diberitahu walaupun saya seorang graduan Matematik daripada University College of London dan pernah menjadi wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times, sejak terpanggil untuk pergi ke arah yang lebih 'ghaib' (rujuk siri novel "Berpetualang ke Aceh" atau tulisan-tulisan lama di blogspot ini) saya lebih banyak menulis berdasarkan cetusan gerak rasa yang terbit pada sesuatu masa. Saya jarang sekali membuat nota lalu apabila menulis kemudian ada perkara yang saya mungkin terlupa. Tetapi tidak pernah saya memandai-mandai cuba mengubah fakta... kalau terlupa saya sedia mengaku alpa dan memberi ruang untuk diperbetulkan.



----------------------




Seperti umum tahu, kebelakangan ini kewujudan Hang Tuah sebagai seorang manusia in flesh and blood, manusia yang memang berdarah daging sedang galak dipersoalkan. Kononnya kewujudan pahlawan besar Melayu ini tidak boleh dibuktikan secara ilmiah... beliau cuma wujud dalam khayalan cerita-cerita lisan rakyat yang kemudian dibukukan. Masalah timbul kerana setakat ini tidak ada bukti yang dianggap lebih saintifik dan konkrit seperti padanan DNA mahupun penemuan arkeologi yang dapat menunjukkan kewujudan Hang Tuah. Beliau kelihatan wujud sekadar dalam naskah-naskah lama Melayu dan penceritaan lisan zaman berzaman, itupun ada bercanggah antara satu sama lain. Misalnya kitab Sulalatus Salatin menyebut yang sahabat yang menderhaka kepada raja lalu dibunuh Hang Tuah adalah Hang Kasturi sedangkan Hikayat Hang Tuah menyebut ia adalah Hang Jebat. SS turut menyebut yang mengetuai rombongan ke Cina sehingga membawa balik Puteri Hang Li Po adalah Tun Perpatih Putih, adik Tun Perak, yang membawa si rupawan Pahang, Tun Teja ke Melaka pula adalah Hang Nadim, menantu Hang Tuah. Sedangkan HHT menyebut Hang Tuah sebagai watak utama dalam kedua-dua peristiwa.

Kewujudan Hang Tuah turut dipersoalkan atas alasan namanya konon tidak ada disebut dalam catatan-catatan sejarah orang di luar Alam Melayu seperti dari Portugis dan Cina. Logiknya, oleh kerana sejarah Melayu menyebut Melaka sebagai sebuah kerajaan besar yang pelabuhannya dikunjungi pedagang dari serata dunia dan Hang Tuah pahlawan besarnya, tentu namanya ada dicatat mereka. Walaupun saya pernah mendengar orang menyebut ada teks Portugis menyatakan angkatan mereka tidak berani menyerang Melaka selagi Hang Tuah masih hidup saya sendiri belum pernah terbaca teks sebegitu. Sebaliknya apa yang saya jumpa adalah SS atau Sulalatus Salatin menyebut, selepas percubaan pertama untuk menawan Melaka gagal, orang Portugis membuat rumusan bahawa Melaka tidak akan kalah selagi ada Bendahara Seri Maharaja Tun Mutahir, ayah kepada Tun Fatimah (yang kemudian menjadi isteri Sultan Mahmud).

Atas sebab inilah saya sanggup datang dari jauh ke Melaka, memandu lewat malam dari Bandar Tasik Puteri di Rawang meninggalkan isteri yang baru sahaja 11 hari melahirkan anak baru bersendirian dengan anak kecil berumur dua setengah tahun di rumah. Isteri yang merupakan penyokong setia saya dalam memartabatkan kembali jati diri orang Melayu ini tahu saya menagih hujah sokongan untuk meneruskan perjuangan. Beliau malah menggalakkan saya pergi apalagi turut mengikut adalah sahabat yang kami anggap seperti adik, saudara Zam yang baru sebulan dua lalu diberi penghormatan oleh cendekiawan besar Dr Annabel Gallop dari British Library untuk membentangkan satu kertas kerja di Aceh. Diharapkan seminar ini dapat memberikan hujah dan bukti yang diperlukan agar tidak ada lagi mana-mana manusia dapat menyoal kewujudan Hang Tuah lalu memperkecilkan keberadaan orang Melayu.

Namun kami dapati seminar secara rata masih berlegar di sekitar retorik menyedapkan hati. Kewujudan Hang Tuah masih terus dikupas kebanyakannya dari sudut sastera, bukti lebih saintifik yang diharap belum menjelma lagi. Ya, sastera itu penting dan tidak boleh ditolak. Walaupun banyak legenda dan mitos yang pelik-pelik mengiringi kewujudan seorang manusia bernama Hang Tuah, teori sastera seperti dibentangkan Mana Sikana menyimpulkan legenda dan mitos pun wujud bersandarkan realiti. Ia mungkin ditokok-tambah sehingga menjadi tidak masuk akal tetapi tetap merujuk kepada orang yang memang pernah wujud darah dagingnya.

Namun saya masih mengharapkan satu hujah atau barang bukti yang betul-betul dapat membuatkan mereka yang mempersoalkan kewujudan Hang Tuah terduduk. Saya sudah lupa pembentang mana, mungkin pengerusi sesi yang menyebut apakah perlunya dibuktikan kewujudan Hang Tuah misalnya melalui proses padanan DNA? Apakah harus digali makam yang dikatakan miliknya di Tanjung Keling lalu merosakkannya semata-mata untuk memuaskan hati orang lain? Dalam pada itu terbetik di hati saya. Walaupun sedutan Sulalatus Salatin seperti ditunjuk pada gambar atas menyebut Hang Tuah dimakamkan di tempat itu, sekali lagi biar diingatkan... versi lain kitab tidak pernah menyatakan di manakah jasad pahlawan tersohor Melayu ini disemadikan. Takut tiada jasad di tempat tersebut atau kalau ada pun ia milik orang lain.

Ya. Mungkin di luar sana ada ramai yang mengaku dari keturunan Hang Tuah lalu menyimpan salasilah. DNA tubuh mereka boleh diuji untuk dipadankan dengan DNA dari makam di Tanjung Keling, jika ada yang sanggup menggali. Tetapi apa yang dapat dibuktikan sebenarnya adalah orang yang DNAnya diambil memang keturunan daripada orang yang jasadnya dimakamkan lebih 500 tahun lalu di situ. Tidak ada padanan lain untuk menunjukkan ia milik Hang Tuah. Silap-silap nanti yang dibuktikan tertanam sekadar seorang pedagang kecil Keling. Nah. Mana nak letak muka jika semua orang yang mengaku keturunan Hang Tuah itu dibuktikan sebagai cuma anak cucu seorang yang tidak berkedudukan?

Tidak dinafikan seminar dibuat bukan sekadar untuk membuktikan kewujudan Hang Tuah. Samada mitos atau tidak terlalu banyak contoh teladan tentang kehidupan beliau dan persekitaran yang boleh diangkat untuk membentuk masyarakat sekarang dan itulah yang diutamakan sesetengah pembentang. Namun realitinya perbincangan dan pengkupasan muluk-muluk tidak cukup untuk menangani realiti keadaan yang sedang berlaku masa kini. Orang Melayu sedang diasak dari segenap arah dan dari segi ini saya rasa pembentangan terbaik adalah daripada Dr Shaharuddin. Beliau melanjutkan bahawa pembuktian yang diminta tentang kewujudan Hang Tuah oleh pihak bukan Melayu tidak langsung bertujuan mencari kebenaran. Ia sebenarnya mahu menafikan satu simbol besar orang Melayu demi menjatuhkan bangsa dan menafikan hak-hak kita.

Maka itu dilanjutkan juga olehnya dan beberapa pembentang kita sebenarnya tidak perlu menyahut cabaran untuk membuktikan apa-apa. Tetapi pada saya dan juga sejumlah hadirin kalau masih ada jalan kenapa tidak? Kami masih memerlukan hujah yang tidak boleh disanggah. Pada satu gambar atas saya ada menyebut tentang hadirin yang saya panggil Cikgu Bakar. Beliau mengaku telah terjumpa satu dokumen dari Cina yang tarikh penulisannya bersamaan 15 April 1480 (betulkan dan tegur jika saya tersalah dengar) menyebut tentang kehadiran Laksamana Melaka di negeri Cina yang kemudian pergi ke Vietnam dan beberapa tempat lain. Walaupun ia tidak menyebut siapakah Laksamana tersebut, kita tahu pada zaman itu yang menjadi Laksamana Melaka adalah Hang Tuah. Untuk pengetahuan kitab Sulalatus Salatin sendiri tidak lagi menyebut nama Hang Tuah selepas beliau dilantik menjadi Laksamana... sehinggalah sampai ke perenggan yang menyebut beliau mati. Di situ beliau disebut sebagai Laksamana Hang Tuah, bukan sekadar Laksamana atau Hang Tuah sebagai penegasan bahawa selepas itu yang menggantikannya menjadi Laksamana adalah seorang menantunya Khoja Hussin.

Selain itu saya mendengar tentang kewujudan dokumen dari luar Alam Melayu yang menyebut tentang kedatangan kapal Laksamana ke Ryukyu, Jepun. Saya sudah lupa siapa yang menyebutnya, samada dalam sesi atau di luar. Yang pasti jika ini benar ia adalah perkembangan menarik. Antara dokumen Laksamana ke Cina dan Vietnam dengan dokumen ke Ryukyu ada pembuktian kukuh yang boleh menyokong cerita pengembaraan Hang Tuah dalam hikayatnya (dalam Sulalatus Salatin tidak ada cerita tersebut, mungkin kerana ia ditulis oleh bendahara yang mengutamakan segala yang berkaitan dengan kaum kerabat terdekatnya sahaja). Dan ada kemungkinan terdapat banyak lagi dokumen sah yang cukup kuat untuk membuktikan kewujudan Hang Tuah malah memperkukuhkan kebesaran kerajaan Melayu Melaka.

Saya pun berkongsi pendapat tentang rekod-rekod Dinasti Ming yang hilang akibat dinasti kemudian mahu menyembunyikan sesuatu (rujuk artikel Rekod Dinasti Ming tidak boleh menafikan kewujudan Hang Tuah yang dibuat hampir 4 minggu lalu). Sayangnya apabila soalan berkaitan dikemukakan saya tidak mendapat jawaban kerana tiada yang pakar dalam sejarah Dinasti Ming mahupun sejarah Cina secara umumnya. Agaknya Prof Li yang didatangkan daripada Cina lebih merupakan pakar komunikasi sedangkan Dr Tan dari Singapura yang sebut sebagai Presiden International Cheng Ho Society tidak muncul membentangkan kertasnya. Kalau ada tentu saya akan bertanyakan kaitan keIslaman Cheng Ho dengan kemungkinan bahawa Dinasti Ming sudah sedia Islam selain bertanyakan soalan lebih sensitif melibatkan polisi kerajaan Singapura terhadapan kepentingan sejarah Melayu di sana.

Dalam pada itu saya menyatakan kebimbangan kepada sekalian hadirin dan para pembentang bahawa kewujudan Hang Tuah dinafikan untuk mengubah kurikulum sejarah yang akan dijadikan subjek wajib lulus untuk SPM bermula 2013. Kalau percubaan menafikan ini berjaya tidak mustahil nama Hang Tuah akan dihilangkan berserta sebahagian besar sejarah Melaka yang sengaja didongengkan agar generasi akan datang tidak tahu keadaan sebenar. Teringat saya bagaimana seorang pembentang (ke salah satu tuan pengerusi) menyebut bagaimana bangsa Melayu itu sendiri mahu dinafikan sebagai terma ciptaan Inggeris konon. Bagi mereka yang menganggap Melayu adalah satu konstruk atau entiti palsu artificial ciptaan kemudian, yang ada cuma pelbagai sukukaum asal Asia Tenggara - Jawa, Minang, Bugis, Aceh dan sebagainya yang dilonggokkan sebagai Melayu atas inisiatif politik untuk kepentingan tertentu.

Sesungguhnya yang mahu diselamatkan, yang mahu dibuktikan kewujudannya, yang mahu dimartabatkan bukan sekadar Hang Tuah tetapi bangsa Melayu itu sendiri. Cuma Hang Tuah memang satu komponen penting dalam perjuangan ini. Kerana jika beliau tidak wujud siapa pula yang mengungkapkan kata-kata keramat "Tidak Melayu hilang di dunia" itu? Jika tidak ada mereka-mereka yang hati-hatinya seperti kepingan-kepingan besi (meminjam ungkapan Nabi Muhammad SAW tentang para pemuda yang akan mendaulatkan Islam akhir zaman) sedia berkorban jiwa dan raga demi memartabatkan agama, bangsa dan negara ditakuti apa yang berlaku di Kuala Lumpur 43 tahun lalu boleh berulang kembali... apabila Melayu dihina dan dicerca disuruh balik kampung oleh keturunan pendatang yang tidak tahu diuntung apatah lagi sejak kebelakangan ini hak orang Melayu sebagai penduduk asal bumi sebelah sini sering dipersoalkan. Jika orang Cina boleh kembali ke negeri Cina, orang India ke India, kita orang Melayu hendak balik ke mana lagi jika tidak di sini? Ini tidak. Yang di Cina dan di India pun mereka mahu - sejarah dua peradaban besar tersebut mahu terus digalas penuh bangga dengan segala bahasa dan budayanya dibawa ke Tanah Melayu tanpa mahu berasimilasi. Kita pula mahu ditendang tanpa negeri.

Kalau kami dipaksa jadi tersepit jangan hairan jika apa yang dikatakan mitos peringkat alam kayangan bakal menjadi realiti lagi. Setakat parang terbang itu masih permainan budak. Menulis secara spontan menurut rasa saya mungkin tidak dapat mengingati sesuatu kenyataan dengan tepat. Tapi kalau tak salah ingatan, salah satu perkara yang disabdakan Nabi akan berlaku akhir zaman adalah sebuah kota besar orang kafir akan runtuh semata-mata disebabkan laungan takbir orang Mukmin. Tentunya tidak saintifik dan tidak boleh masuk akal, kelihatan bunyinya seperti permainan bahasa dan sastera semata tetapi itulah realiti akhir zaman yang tidak dapat disanggah.

Oh. Sebagai mengakhiri artikel dalam nada yang kurang tegang biar dinyatakan. Saya Mohd. Fahrulradzi bin Mohammad Sapiee, keturunan kelima daripada Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin dari Perak (yang pernah dibuang ke Pulau Seychelles bersama Sultan Abdullah 1877. Rujuk artikel-artikel lama Pengembalian jenazah Laksamana Muhammad Amin ke Makam diraja Bukit Chandan... dan Laksamana kembali ke Perak) menyokong penuh semua 10 resolusi hasil seminar ini KECUALI satu bahagian sahaja. Bandaraya Melaka tidak patut ditukarkan nama menjadi bandaraya Hang Tuah. Lainlah kalau dibuat bandar baru, nama lapangan terbang dan pelabuhan pun boleh. Kerana MELAKA BUKAN SETAKAT HANG TUAH. Melaka juga didirikan oleh tokoh-tokoh seperti Sultan Iskandar Shah, Sultan Muhammad Shah, Maulana Sayid Abdul Aziz Shah, Sultan Muzaffar, Sultan Alauddin, Bendahara Tun Perak dan ramai lagi.

Dan saya nak tegur sikit. Kelihatan pada saya sambutan 750 tahun Melaka yang dibuat tahun ini masih lagi dalam keadaan 'takut-takut'. Seolah kita belum yakin tentang pentarikhan baru ini kerana belum mendapat pengiktirafan dari pihak lain agaknya lantaran banyak peristiwa sejarah belum dapat diselaraskan dengan tempoh dan jangka waktu yang berubah berbanding kiraan dahulu. Pada saya pedulikan semua itu. Kita perlu memartabatkan sejarah kita dengan penuh 'Qahhar'. Mahu tak mahu orang lain mesti mengikut kata kita, bukan sebaliknya. Buatlah sambutan besar-besaran sepertimana halnya ketika Melaka diisytiharkan sebagai bandaraya bersejarah 2003 dan Melaka jadi negeri maju 2010.

Lagi satu perkara. Difahamkan batu nesan tempahan dari Aceh sudah bertahun menunggu untuk dipacakkan di makam Sheikh Shamsuddin Al-Sumatrani di Kampung Ketek (lihat Makam (Tomb of) Sheikh Shamsuddin Sumatrani). Katanya ia sudah lama berada di Melaka tetapi perkara ini tidak disempurnakan kerana entah kenapa Gabenor Aceh tidak sedia datang ke sini untuk merasmikannya. Pada saya carilah jalan lain untuk memacakkannya walaupun tanpa kehadiran Gabenor. Lebih cantik lagi carilah waris-waris keSultanan Aceh. Dengan terpacaknya batu nesan itu insyaallah akan ada kesan dimensi ghaib yang menyokong kedaulatan Islam di alam nyata. Cukup.



p/s: Tu dia. Ingatkan sejam dua boleh siap artikel ni. Rupanya dari tengah malam sampai Subuh baru selesai. Untuk makluman ini adalah artikel ke 959 di blogspot ini.



4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum tuan,
Pengkisahan mengenai Hang Tuah banyak dicatatkan dalam blog Mari Ke Alam Jin & Bunian - Tuan Kelarias Bhrata.

Muga-muga memberikan pencerahan kepada tuan.

Terima kasih.

Radzi Sapiee berkata...

Wassalam. Saya pernah baca. Ia tidak boleh dijadikan hujah. Orang lain juga ada mendapat perkhabaran ghaib tentang Hang Tuah malah ramai juga mengaku pernah berjumpa beliau selain ada yang tubuhnya katanya diresapi Hang Tuah. Dalam keadaan ini pun boleh muncul maklumat yang berbeza-beza. Sesungguhnya belum tentu yang menunjukkan diri secara ghaib itu adalah Hang Tuah yang sebenar apalagi jin-jin cukup pandai menyamar.

Nak bercerita dongeng boleh atau berkongsi pandangan sesama mereka yang sama minat. Tapi kalau hendak dibawa ke persada perbincangan antara sejawaran dan cendekiawan lebih elok awal-awal tempah pakaian badut. Bukan saya menghina tetapi itulah realitinya. Kalau betul anda sudah berjumpa dengan Hang Tuah kan lebih elok minta beliau sendiri tunjuk diri pada orang yang mempersoalkan kewujudannya seperti sang profesor kangkung? Ini tak. Kita aje yang nampak, orang lain tak terlihat. Apa beza dengan orang yang perasan kononnya dia adalah raja yang diiktiraf alam ghaib sedangkan orang lain cuma melihat dia sebagai orang kecil yang ada hati untuk mendapatkan kedudukan besar?

Saufy Jauhary berkata...

Assalamualaikum tuan Merah Silu. Setakat ini saya telah pun meneliti beberapa naskah Sulalatus Salatin / Sejarah Melayu seperti:-

1) Sulalat al-Salatin Ya'ni Perteturun Segala Raja-Raja (versi Raja Bongsu), disusun oleh Muhammad Haji Salleh, 1997.

2) Sejarah Melayu yang diusahakan oleh W.G. Shellabear, 1975.

3) Sejarah Melayu (The Malay Annals) diusahakan oleh John Leyden, 1821.

4) Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) disusun oleh A. Samad Ahmad),1979.

5) Sejarah Melayu (Sulalatus Salatin) versi Siak, dirawikan oleh Tengku Said Ibni Tengku Deris. Diusahakan oleh Muhammad Yusoff Hashim,2015.

6) Sulalatu's-Salatin,versi Krusenstern. Diusahakan oleh Ahmat Adam, 2016.

Tiga daripada naskhah ini iaitu no 1, 3 dan 6 hanya mencatatkan kematian Hang Tuah tetapi tidak mencatatkan lokasi Hang Tuah disemadikan. Manakala 3 versi yang berikutnya iaitu no. 2,4 dan 5 mencatatkan bahawa Hang Tuah dimakamkan oleh Sultan Mahmud di Tanjung Keling dengan penuh adat istiadat. Malah tiga hari baginda tiada nobat. Wallahu a'lam

Radzi Sapiee berkata...

Wassalam. Tu le. Antar versi-versi ini pun tak sekata cerita. Masuk pula Hikayat Hang Tuah dah lain cerita. Beliau akhirnya menyepikan diri di hulu Sungai Perak.