Salam. Semalam punya cerita...
Hari Isnin 2 Oktober 2023 lewat malam Selasa terlihat poster bagi majlis atas di WhatsApp lalu terus tertarik untuk menghadiri. Tengok-tengok majlis dijadualkan berlangsung petang Selasa 3 Oktober.
Namun kena selesai dahulu beberapa perkara di rumah baru boleh pergi. Nasib baiklah walaupun majlis dinyatakan bermula jam 2, sesi pembentangan ilmu sendiri bermula jam 3.
Saya sampai ke lokasi majlis iaitu Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) pada jam 2.35. Itulah kali pertama sampai ke bahagian ini di Universiti Malaya (UM). Selalunya ke Jabatan Sejarah di Fakulti Sains Sosial atau ke Akademi Pengajian Melayu (APM). Sempatlah mendengar perasmian. Tetapi untuk perkongsian ini terus pergi pada pembentangan ya.
Pembentang pertama Profesor Dr Mohd Roslan bin Mohd Nor daripada UM membawa tajuk yang kelihatan. Menurut senarai dalam poster beliau adalah pembentang ketiga.
Beliau memberikan pengenalan tentang masyarakat Bugis yang asal usulnya adalah dari Sulawesi Selatan jauh ke arah Papua New Guinea sana. Mereka ramai terdapat di Malaysia terutama di Johor, Selangor dan Sabah. Ini disebabkan penghijrahan nenek moyang terdahulu, yang jelas sejak abad ke-18 Masihi.
Diceritakan tentang sifat-sifat mereka dan falsafah hidup, antaranya melibatkan rasa maruah diri tinggi dan keberanian yang memacu mereka untuk menjadi pelayar hebat lalu boleh mengembara ke merata tempat membina kehidupan yang berjaya.
Antara falsafah hidup terkenal orang Bugis adalah hujung lidah (pandai berbicara), hujung syahwat (saya pernah mendengar orang menyebutnya hujung anu, maksudnya kelakian yang menyebabkan mereka boleh berkahwin ramai dengan wanita-wanita di lain tempat) juga hujung badik/keris (kesediaan untuk bertarung, ada kepandaian ilmu perang/silat untuk menghadapi cabaran fizikal kalau perlu). Ini memang bekalan setiap anak lelaki Bugis sekurang-kurangnya pada waktu lalu.
Dah habis pembentangan Roslan baru tergerak untuk mengambil gambar para pembentang. Kelihatan paling kanan adalah beliau, kedua dari kiri pembentang kedua iaitu Puan Intan Salina daripada Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT).
Beliau yang asalnya disenaraikan sebagai pembentang keempat dan terakhir membawa tajuk "Bugis dan Awal Islam di Selangor dari Perspektik Arkeologi". Sebagai kurator PADAT beliau harus tahu kerana negeri Selangor cukup dikenali dengan raja-raja berketurunan Bugis, bermula daripada Sultan pertama Sultan Salehuddin @ Raja Lumu ibni Daeng Chelak yang dinobatkan pada tahun 1765.
PADAT ada membuat kajian-kajian arkeologi yang melibatkan hal-hal Kesultanan serta kedatangan awal orang Bugis ke Selangor.
Itulah yang banyak dikongsikan...
Menariknya disebut tentang satu kategori batu nesan Aceh yang dikenali sebagai tipe Bugis. Difahamkan oleh seorang anggota PADAT yang duduk di sebelah saya ia baru sahaja diperkenalkan oleh para pengkaji dari Aceh dalam setahun dua berdasarkan fakta bahawa bentuk batu nesan ini banyak terdapat pada makam kaum kerabat diraja Aceh yang berdarah Bugis (merujuk pada dinasti berketurunan Bugis yang merajai Aceh 1727-1904).
Seterusnya sampai giliran Prof. Dr Ir Muhammad Hattah Fattah dari Universitas Muslim Indonesia (di kota Makassar, Indonesia) membawa tajuk yang kelihatan. Beliau asalnya dijadualkan sebagai pembentang pertama.
Barulah dapat mendengar ciri-ciri dan sifat orang Bugis dahulukala daripada seorang yang memang berasal dan membesar hingga kini di bumi belah sana, Istilah lebih tepat digunakan beliau adalah orang Bugis-Makassar. Ini kerana di Sulawesi Selatan orang Bugis dan orang Makassar adalah dua suku kaum yang berbeza walau saling terkait. Ahli kedua-dua suku ramai berhijrah ke Malaysia dan menerbitkan keturunan lalu diserkap jarang kesemuanya sebagai orang Bugis. Walhal masing-masing ada budaya dan kerajaan-kerajaan sendiri.
Sebahagian besar slaid yang digunakan adalah dalam bahasa Inggeris. Nampaknya daripada satu pembentangan terdahulu.
Dan kelihatan apa yang dibentangkan adalah daripada satu kajian atau kertas kerja akademik.
Secara rata ia adalah kajian terhadap sejumlah orang Bugis-Makassar atau keturunan itu di Malaysia dan Indonesia untuk menilai sejauh mana mereka masing berpegang pada prinsip dan falsafah hidup leluhur. Jawabannya, ada tetapi banyak telah berubah.
Kajian serupa dibuat oleh pembentang terakhir Dr Nuriati Muchils dari universiti sama. Bezanya jika Muhammad Hattah mengkaji tentang penghayatan terhadap falsafah hidup orang Bugis-Makassar sekarang berbanding dahulu Nurmiati mengkaji bagaimana pula penghayatan mereka terhadap agama Islam. Jawabannya kelihatan serupa seperti hal penghayatan falsafah.
Seperti Muhammad Hattah, beliau juga banyak menunjukkan carta-carta data hasil kajian malah lebih banyak. Cuma saya mengambil satu sahaja gambar slaid daripada pembentangan beliau iaitu di atas. Itupun pada hujung-hujung pembentangan. Ini disebabkan kamera digital saya habis bateri lalu harus dicas kembali ketika pembentangan berjalan.
Sekadar memberitahu. Disebabkan hadir majlis ini saya kemudian singgah ke sebuah tempat berdekatan yang dahulu asalnya adalah sebuah kampung Melayu tradisional tetapi sudah jadi tempat bangunan-bangunan tinggi. Lalu buat pertama kali setelah asyik melihat daripada tepian jalan di luar kawasan saya ke masjidnya yang terletak tinggi atas tempat letak kereta bertingkat-tingkat. Tengok-tengok ada sebuah rumah tradisional di sebelah. Lihat artikel-artikel berikut di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) :-
1. Masjid (Mosque of) Kampung Abdullah Hukum
2. Rumah tradisional di sebelah masjid (Tradisional house besides the mosque of) Kampung Abdullah Hukum
Cukuplah sedikit perkongsian. Untuk pengetahuan ini adalah artikel ke-2,434 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan