Salam. Meneruskan gerak penulisan yang sama daripada artikel Ustazah Cardiff yang kukenal... 2 hari lalu dan Aku, ISTAC, pandemik Covid-19 dan Jumaat yang berkat 3 hari sebelum itu. Dengan perkongsian ilmu pada satu tarikh yang istimewa hari ini, 13 Oktober yang merupakan ulang tahun kelahiran ke-12 bagi anak laki-laki sulung saya.
Adapun sudah beberapa bulan saya terasa malas hendak mengikuti mana-mana majlis ilmu. Petang ini baru timbul rasa untuk melakukan lalu menulis tentangnya. Tajuk majlis ini (diadakan dalam bahasa Inggeris kerana diikuti masyarakat antarabangsa) boleh diterjemahkan sebagai "Epistemologi Al-Ghazali : Kepentingannya bagi Pemikiran Semasa Manusia". Dianjurkan oleh ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) ia mengenengahkan syarahan oleh Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar, pemegang Kursi Al-Ghazali di ISTAC.
Saya masuk ke medan majlis yang dibuat melalui Zoom lebih 15 minit awal lalu mendapat paparan seperti di atas. Sebetulnya paparan ini diambil secara snapshot beberapa minit setelah saya masuk. Ketika itu didapati saya adalah orang ke 13 sudah berada di medan majlis. Kelihatan dalam paparan muka Osman sebagai orang kedua atas dari kiri.
Untuk pengetahuan majlis ini adalah yang kedua dalam siri baru yang dipanggil ISTAC-World Professorial Lecture (Syarahan Profesor yang Mendunia?). Siri pertama telah berlangsung pada 23 September. Syarahannya bertajuk "Humanising Education : A Model of a University the World Needs in Post Normal Era" (Memanusiakan Pendidikan : Satu Model Universiti yang Diperlukan pada Zaman Selepas Normal?". Ia diberikan oleh Rektor UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) Profesor Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak (dalam gambar paling kiri atas).
Majlis dimulakan sekitar jam 2.30 petang dengan persembahan lagu Negaraku diikuti lagu tema UIAM iaitu "Leading the Way" (Memimpin Perjalanan). Ini diikuti kata-kata pengenalan tentang majlis oleh Dekan ISTAC Profesor Dr Abdelaziz Berghout, kata-kata aluan oleh Timbalan Rektor UIAM Profesor Ahmad Faris Ismail kemudian pengenalan tentang pensyarah oleh moderator Profesor Madya Dr Imtiyaz Yusuf dari ISTAC.
Osman memulakan syarahan dengan menyatakan bahawa ia adalah kesinambungan daripada syarahan terdahulu iaitu tentang peranan universiti (dalam memanusiakan pendidikan). Ini tentunya merujuk pada pengisian yang lebih bermakna di menara gading bagi menangani keadaan dunia sekarang.
Rasanya semua orang Islam atau sekurang-kurangnya semua yang mengenali dunia pemikiran Islam tahu siapakah Imam Al-Ghazali (hidup 1058-1111 Masihi). Ulamak besar sebegini sudah tentu harus dijadikan contoh dalam pengisian suatu universiti Islam. Disebutlah tentang beberapa peranan Al-Ghazali - sebagai seorang ulamak Syariah, sebagai ahli kalam, sebagai ahli falsafah, sebagai ahli Sufi dan sebagainya. Al-Ghazali manakah yang patut kita kenal atau semuanya boleh diambil secara selari? Maka itu Osman mengubah sedikit tajuk dengan menambah perkataan Integral yang boleh membawa maksud penggabungan pelbagai epistemologi atau kaedah menggali ilmu.
Osman pun memberikan satu ungkapan oleh pemikir dan sejarawan silam Islam terkenal Ibnu Khaldun seperti tertulis dalam kitab besarnya Mukadimah. Terjemahan saya :-
Patut diketahui bahawa panduan bagi kanak-kanak tentang Al-Quran adalah simbol Islam. Orang Islam memiliki dan mengamalkan panduan-panduan sebegitu di semua bandar mereka, kerana ia mencelikkan hati dengan kepercayaan kukuh (tentang Islam) dan rukun-rukunnya tentang Iman, yang disaring daripada ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Nabi yang tertentu. Al-Quran telah menjadi asas panduan, asas pada semua tabia'at yang akan diperolehi nanti. Sebabnya adalah perkara-perkara yang diajarkan ketika zaman muda seseorang berakar umbi lebih dalam (daripada yang lain). Ia menjadi asas kepada semua pengetahuan kemudian. Kesan pertama yang diterima hati, menurut satu cara, menjadi asas semua tabiat (kesarjanaan).
Lalu dinyatakan bagaimanakah hal ini terkait dengan perjalanan Al-Ghazali yang hidup beberapa abad sebelum Ibnu Khaldun.
Osman mengajak hadirin untuk mengikuti perjalanan hidup Al-Ghazali dalam menuntut ilmu kerana menurut beliau inilah yang membentuk epistemologi atau kaedah mengaji/menerima ilmu beliau. Ini boleh dibahagikan pada zaman kanak-kanak, zaman duduk asrama di Tus, pendidikan menengah di Jurjan, pendidikan universiti di Nishapur kemudian krisis keilmuan beliau.
Ditunjukkanlah peta mengandungi tempat-tempat penting dalam perjalanan Al-Ghazali mencari ilmu.
Ia bermula dengan ajaran oleh bapa sendiri di rumah secara home schooling. Kata Osman di situ juga beliau mula mendapatkan pendedahan kepada dunia Sufi. Al-Ghazali dan adiknya Ahmad selalu didedahkan kepada cerita-cerita tentang kehidupan para wali. Para wali ini menjadi contoh peribadi yang boleh diikuti.
Seperti biasa pada zaman itu pengajaran dalam Al-Quran dan Hadis diterima secara bersanad. Osman menyebut tentang pentingnya masyarakat mendapatkan ilmu yang disampaikan begini juga pentingnya menghafal serta menghormati mereka yang berautoriti dalam ilmu.
Masuk umur 12 Al-Ghazali ke madrasah dan duduk di asrama. Ketika itu penguasaan dalam bidang Syariah menjadi idaman semua orang. Al-Ghazali sendiri mahu menjadi seorang pakar Syariah. Osman menggunakan perkataan Inggeris jurist. Mungkin ini boleh diterjemahkan sebagai khadi. Guru Al-Ghazali adalah Ahmad al-Radhkani. Kata Osman pada peringkat ini mula tersemai bibit-bibit satu pertembungan epistemologi (yang akan muncul kemudian)...
Masuk peringkat menengah beliau mengaji di Jurjan (sekitar 600 km ke barat Tus). Pengajaran dalam bidang Syariah yang lebih tinggi pun diterima. Guru beliau adalah Abu Nasr al-Ismai'ili.
Menurut satu cerita Al-Ghazali pernah mendapat pengajaran daripada seorang perompak dalam tempoh waktu ini. Pada satu hari, dalam perjalanan kembali ke Tus rombongan beliau ditahan perompak. Semua yang dimiliki pun diminta. Beliau memberikan semua kecuali satu.
Perompak pun bertanya apakah barangan yang tinggal itu. Al-Ghazali tetap tak mahu bagi. Katanya ini ilmu aku. Perompak merampasnya lalu bertanya: Ini ilmu kamu? Sebenarnya ia adalah catatan-catatan syarahan yang dibuat Al-Ghazali.
Perompak menempelak pula. Begini ilmu kamu? Aku ambil lalu engkau dah susah hati. Kalau betul ilmu kamu kenapa merungut? Itu membuat Al-Ghazali terfikir balik apakah sebenarnya ilmu seseorang. Ia harus sesuatu yang berada dalam fikiran dan hati, bukan pada buku, perpustakaan dan sebagainya yang boleh dirampas orang (misalnya komputer bagi penuntut zaman sekarang). Pengalaman ini membentuk cara peribadi beliau yang seterusnya.
Masuk zaman universiti di madrasah Nizamiyah di Nishapur (sekitar 50-60 km ke barat daya Tus) Al-Ghazali belajar Syariah pada peringkat yang lebih lagi tinggi juga ilmu kalam, logik (mantiq) dan falsafah. Guru beliau Al-Juwayni kagum dengan kepandaian beliau lalu menjadikannya sebagai pembantu guru. Ketika inilah beliau menulis kitab pertamanya Al-Mankhul min Ilm al-Usul (terjemahan saya : Perkumpulan Sains Prinsip?). Ketika inilah juga epistemologi Al-Ghazali berkembang pesat untuk meliputi banyak bidang. Ini adalah melalui penguasaan dalam ilmu kalam dan prinsip-prinsip Syariah. Lalu membentuk pemikiran logik dan rasional beliau juga yang bersifat falsafah.
Namun ketika berumur antara 23 hingga 25 Al-Ghazali mengalami krisis bersifat intelektual. Disebabkan pendedahan terhadap pelbagai cara mendapatkan ilmu ini berlaku selama 2 bulan. Hmm. Tiba-tiba terfikir pada umur ini iaitu ketika sedang belajar di London saya juga mengalami krisis intelektual yang sangat hebat. Tetapi ia lebih merupakan akibat diri dahulu yang terlalu bersifat logikal dan rasional sehingga hampir-hampir menjadi seorang ateis tidak percayakan Tuhan bertembung dengan pengalaman-pengalaman bersifat spiritual tidak logik seperti roh asyik keluar masuk badan.
Kata Osman krisis yang dialami Al-Ghazali adalah tentang meletakkan fakulti atau alat-alat kebolehan manusia dalam mencari pengetahuan ke tempat yang setimpal. Misalnya 5 pancaindera fizikal - melihat, mendengar, merasa, bau dan sentuh untuk mendapatkan maklumat ataupun data. Kemudian akal untuk berfikir. Kemudian kepercayaan seperti pada Al-Quran dan hadis Nabi. Bagaimanakah mahu mengatur duduk letak dan kepentingan semua ini?
Beliau merumuskan apa yang didapati melalui deria tidak boleh dijadikan pegangan. Akal fikiran boleh mengatasi dengan memberikan penerangan yang lebih jitu terhadap suatu perkata. Namun ada masanya akal pula kalah dengan perkara yang timbul di luar logik akal. Secara rata ia adalah krisis antara akal fikiran dengan gerak rasa yang bersifat intelektual (intelectual intuition). Berlakulah "perdebatan demi perdebatan" dalam diri beliau.
Maka sejak zaman universiti di Nizamiyah lagi Al-Ghazali sudah terdedah pada perkara sebegini. Ini disebabkan beliau mahu mencari ilmu yang bersifat mutlak selain terdedah dengan pelbagai jalan ilmu berserta dakwaan masing-masing. Hasilnya? Tiada yang betul-betul logik pada beliau. Kata Al-Ghazali Tuhan telah mencampakkan Nur ke dalam hatinya sebagai jalan keluar daripada krisis lalu kembalilah keseimbangan fikiran.
Kehebatan Al-Ghazali dalam bidang ilmu diakui sehingga pada umur 28 tahun dilantik menjadi profesor dalam bidang undang-undang (secara rata merujuk pada ilmu Syariah) di universiti baru Nizamiyah di Baghdad. Peta Google Map menunjukkan letaknya hampir 2,000 km ke barat Tus. Pada umur 33 beliau dilantik sebagai pemegang Kursi Shafie (sebagai pakar rujuk mazhab Syariah Imam Shafie). Empat tahun kemudian iaitu pada umur 37 beliau menghadapi lagi satu krisis.
Kata Osman jika krisis pertama (ketika berumur sekitar 23-25) bersifat epistemologi krisis kedua bersifat spiritual atau kerohanian. Ia ada kena mengena dengan adiknya Ahmad, ketika itu sudah menjadi seorang ahli Sufi tersohor. Dikatakan Ahmad bertanggungjawab menyebabkan abangnya meninggalkan universiti untuk menjalankan kehidupan terasing seorang ahli Sufi.
Selepas 11 tahun baru Al-Ghazali kembali mengajar. Ketika itu beliau sudah mendapat kembali keseimbangan fikiran juga memahami kedudukan pelbagai cara untuk mengetahui atau mendapatkan ilmu. Al-Ghazali semakin yakin Tawasuf memberikan satu cara ilmu yang lebih tinggi melangkaui akal fikiran - suprarational. Disebutlah tentang Dzauq, tenggelam dalam kelazatan pengalaman kerohanian yang menerbitkan ilmu tinggi (bersifat keTuhanan).
Pada tahun 1106 beliau kembali mengajar di Nizamiyah Nishapur. Sebelum itu Al-Ghazali sempat menyiapkan kitab terbesar dan paling terkenal beliau iaitu Ihya Ulumiddin (Mengembalikan Sains-sains Agama?). Kata Osman Ihya Ulumiddin adalah simbol integral epistemology - gabungan pelbagai kaedah ilmu. Beliau kembali mengajar sebagai orang yang baru, dapat melihat kesatuan juga harmoni dalam pelbagai cabang dan jalan ilmu.
Di Nishapur beliau sempat menulis kitab Munqidh Min al-Dalal (terjemahan saya Penyelamatan Daripada Kesalahan) yang bersifat autobiografi. Ia menjadi satu sumber utama tentang perjalanan hidup Al-Ghazali. Selepas beberapa tahun beliau kembali ke Tus. Di sana beliau terus mengajar sebelum meninggal dunia pada tahun 1111 Masihi.
Epistemologi gabungan Al-Ghazali boleh diringkaskan seperti berikut :-
1. Boleh gunakan data empirikal (dapatan melalui deria) dan bukti-buktinya tetapi tidak boleh berpegang pada itu sahaja.
2. Boleh gunakan akal fikiran dan bukti-buktinya tetapi jangan berpegang pada itu sahaja.
3. Boleh gunakan sumber di luar akal (seperti lintasan hati, mimpi dan sebagainya) tetapi jangan sampai memegang itu sahaja.
4. Berpegang pada Wahyu tapi jangan sampai menolak langsung akal fikiran.
5. Gunakan akal fikiran tapi jangan sampai menolak Wahyu.
6. Susunan atau duduk letak (pelbagai) epistemologi dan keadilan (meletakkan sesuatu pada tempatnya) adalah asas ketamadunan manusia.
Lalu apakah kepentingan semua ini untuk pemikiran semasa manusia? Osman pun memberikan senarai :-
1. Terdapat anarki epistemologi dalam dunia ilmu pengetahuan semasa. Maksudnya epistemologi atau kaedah menggali ilmu diterbitkan tanpa panduan yang sepatutnya.
2. Epistemologi menjadi berpuak-puak. Masing-masing (puak) mempertahankan cara mereka sebagai yang paling betul (konon) sehingga menolak yang lain.
3. Pohon ilmu pengetahuan telah berkembang sehingga sekecil-sekecil ranting pun ada pakarnya (konon). Malangnya setiap daripada mereka merasakan sudah cukup berpengetahuan sedangkan mereka tidak dapat melihat keseluruhan pohon.
4. Apa yang berlaku pada masyarakat mencerminkan apa yang berada dalam fikiran setiap laki-laki dan perempuan
5. Jawaban Al-Ghazali pada semua ini terletak dalam kitab Ihya Ulumiddin.
Doa daripada kitab Munqidh pun dikongsikan...
Terjemahan saya :-
Kupohon pada Tuhan agar mengubah diriku dahulu, kemudian gunakanku sebagai alat untuk mengubah; berikan daku panduan, kemudian gunakanku sebagai alat untuk memandu; tunjukkan yang haq sebagai yang haq, dan berikan daku kemudahan untuk mengikutinya, tunjukkan daku yang bathil sebagai yang bathil, dan berikanku kemudahan untuk mengelakkannya.
Akhir sekali adalah ungkapan Osman sendiri dalam buku tulisan beliau Classification of Knowledge in Islam (Klasifikasi Ilmu Pengetahuan dalam Islam) tahun 1992. Terjemahan saya :-
Kebangkitan sebenar Islam bermakna kebangkitan adab masyarakat Islam melalui transformasi moral individu.
Adapun buku yang dibuat berdasarkan kajian PhD beliau di Amerika Syarikat tahun 80an ini mengenengahkan 3 orang ulamak tersohor zaman silam Islam termasuk Imam Ghazali. Dengan ini biar disertakan pautan-pautan berkenaan syarahan Osman yang pernah saya ikuti melibatkan isi buku :-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan