Salam. Merujuk pada artikel
Keadilan sosial dan spiritual melalui reka bentuk ruang - Soal identiti dan harga diri yang dipersembahkan hampir tengah hari semalam. Ada disebut bahawa pada petang itu (Rabu 19 Februari) saya mahu mengikuti satu lagi majlis ilmu di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Disebut juga esoknya pagi (Khamis hari ini) ada lagi majlis mahu diikuti di sana. Maka itu biar dilepaskan dahulu cerita majlis petang Rabu.
OK. Kelihatannya kondisi gambar kamera kompak saya yang selalu dibawa ke hulu ke hilir dalam beg bimbit semakin buruk. Nampak seperti disebabkan lensa masuk wap air. Dah berapa lama juga ia melanda menyebabkan gambar tidak tajam (
sharp). Sedangkan ia model yang agak elok, Canon SX620 yang mula digunakan untuk perjalanan saya bersama keluarga pusing Cambodia kemudian kembali ke Malaysia melalui Thailand hujung tahun 2018. Lihat
Jejak empayar Funan dan kerajaan-kerajaan berkaitan - The compilation.
Mungkin ini berlaku kerana ia selalu dibawa lasak ke sana ke mari dan pernah beberapa kali terjatuh. Nak beli baru dan lebih baik keadaan kewangan sedang agak 'semput'. Jadi terus gunakanlah apa yang ada. Walaupun boleh mengambil gambar lebih jelas dan baik dengan telefon bimbit saya tetap lebih selesa menggunakan kamera kompak. Apapun ini adalah gambar ketika majlis petang Rabu bermula selepas jam 5. Kali ini malas hendak mengambil gambar keseluruhan bilik, sekadar ambil daripada tempat duduk.
Untuk makluman ia adalah edisi ke-2 tahun 2020 bagi siri syarahan buku "
Classification of Knowledge in Islam" (Klasifikasi Ilmu Pengetahuan Dalam Islam") tulisan Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar. Ia bersambung daripada syarahan sebelumnya Rabu minggu lalu. Lihat
Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Aku, persoalan wujud diri dan kaitan dengan Tuhan juga alam. Selepas membuat ulasan ringkas (
recap) bagi syarahan terdahulu Osman menyebut tentang hieraki daripada alam fizikal yang kasar menjadi semakin halus menuju kepada Tuhan. Struktur Quran tergambar pada alam juga tubuh badan manusia. Terdapat hierarki atau taraf/tingkat-tingkat benda yang berkaitan.
Masuk pada isi buku seterusnya pergilah kita pada muka surat 45. Seperti biasa biar ditunjukkan perenggan-perenggan yang dibacakan beliau terus daripada buku diikuti penerangan ringkas tentang isi perenggan dalam bahasa Melayu daripada saya (bukan terjemahan ya... malas dah nak buat terjemahan). Kemudian baru dimasukkan kupasan Osman, mana yang ada dan setakat yang perlu.
Syarahan terdahulu berakhir dengan ayat satu baris paling atas yang merupakan sambungan daripada perenggan terakhir muka surat 44. Perenggan pertama muka surat 45 bermula dengan menyebut bukti daripada kitab menunjukkan struktur hierarki dalam al-Quran menggambarkan struktur objektif realiti (alam dan segala bentuk wujud). Ini merujuk kepada contoh tentang keistimewaan ayat-ayat tertentu dan surah seperti telah disebut dalam artikel
Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Aku, persoalan wujud diri dan kaitan dengan Tuhan juga alam. Seterusnya dinyatakan terdapat banyak ayat Al-Quran merujuk pada hierarki dalam ciptaan (
creation) iaitu makhluk yang dicipta Tuhan. Ia (ayat-ayat itu) bercakap tentang pembahagian tiga (
tripartite division) alam kepada langit-langit, bumi dan dunia tengah (antara langit dan bumi).
Nota 8 pada muka surat 65 pun dirujuk. Disebutlah ayat ke-5 surah ke-37 yang berbunyi begini :-
Terjemahan :
Tuhan (yang mencipta serta mentadbirkan) langit dan bumi dan segala yang ada di antara keduanya, dan Tuhan (yang mengatur) tempat-tempat terbit matahari - (As-Saaffaat 37:5)
Osman mengulas dengan menyebut tentang bumi (ard dalam bahasa Arab). Ia juga sering disebut sebagai dunia, bahasa Arab berbunyi dunya. Kata beliau makna dunya yang lebih luas adalah apa yang dekat pada kita. Tetapi daripada 'sudut pandang' Tuhan ia adalah paling jauh dari Arasy (Osman menggunakan perkataan bahasa Inggeris throne, dalam bahasa Melayu singgahsana).
Apapun Tuhan adalah kedua-duanya jauh dan dekat. Hal berlawanan ini tidak boleh difahami secara fizikal atau dengan akal semata-mata. Ini adalah persoalan halus pengajian Tauhid dan ilmu Sufi yang disebut dalam bahasa Arab sebagai Tashbih dan Tanzih. Dalam bahasa Inggeris disebut sebagai immanence dan transcendence.
Alam malaikat adalah lebih dekat dengan Tuhan. Ini adalah relatif dibandingkan dengan manusia yang bertubuh 'kasar'...
--------------
OK. Saya fikir dapat menyiapkan artikel ini sebelum majlis ilmu pagi Khamis di ISTAC bermula jam 10. Namun ketika meletakkan terjemahan atas jam 7.37 tadi timbul rasa penat yang amat sangat lalu perlu berehat. Adapun saya telah bermalam di masjid ISTAC, kali pertama untuk tahun 2020 supaya mudah mengikuti majlis pagi tersebut setelah mengikuti majlis petang Rabu semalam. Artikel ini sebenarnya dimulakan tengah malam sebelum masuk tidur jam 1 pagi.
Sebelum jam 4 saya terbangun untuk melepaskan hajat lalu menunaikan solat Tahajjud. Dekat jam 5 tidur kembali. Jam 5.30 bangun sahur kerana mahu berpuasa sunat hari Khamis. Tidur kembali jam 5.45. Bangun dekat jam 6.20 untuk solat Subuh berjemaah selepas itu menyambung kembali penulisan dengan harapan dapat menyiapkannya awal.
Tapi apa boleh buat? Dah terasa tak larat nak siapkan sekarang. Kena tidur sebentar. Saya juga perlu berjumpa seorang kawan dalam jam 9 bagi membincangkan penganjuran satu acara di ISTAC hari Sabtu. Selepas itu baru ke majlis ilmu jam 10.
Penulisan disambung kembali sedikit pada jam 2.27 petang selepas menghantar anak-anak ke sekolah agama. Saya telah meninggalkan ISTAC pada jam 12.30 ketika sesi soal jawab majlis masih berlangsung kerana perlu bergegas 40 km ke kawasan perumahan di Sungai Buaya, Rawang untuk mengambil anak-anak kembali dari sekolah kebangsaan. Masuk jam 3.04 timbul lagi rasa penat amat selain kepala berat memaksa untuk berehat. Apapun artikel akan cuba disiapkan sebelum tengah malam.
---------------
Lanjutan daripada kupasan tentang nota 8. Kata Osman, Quran menggunakan isyarat atau
symbolism berdasarkan ruang dan masa (
temporal). Manusia boleh memiliki tingkat-tingkat kesedaran (
consciousness) yang berlainan untuk menanggapi perkara. Disebut pula tentang konsep pelbagai cahaya untuk menggambarkan keadaan Tuhan dan makhluk menurut tingkat-tingkatnya.
Kita semua tahu malaikat dicipta daripada cahaya. Namun cahaya juga ada pelbagai jenis dan tingkat-tingkatnya. Syaitan dan jin dicipta daripada api (atau lebih tepat, lidah api) yang juga merujuk pada satu tahap cahaya tetapi lebih 'kasar' berbanding malaikat. Dalam ilmu sains (melalui Fizik Kuantum) ada konsep cahaya boleh menjadi jisim (merujuk pada
particles) dan sebaliknya. Jisim menjadi binaan bagi tubuh lebih kasar seperti dimiliki manusia. Maka kewujudan manusia dalam alam fizikal kasar ini boleh dipandang sebagai manifestasi cahaya atau jenis/tingkat cahaya yang paling rendah.
Berbanding dengan kita, makhluk jin adalah bertubuh halus. Itu yang selalu disebut makhluk halus oleh orang Melayu, kata Osman. Malaikat pula lebih halus berbanding malaikat. Paling halus daripada cahaya tingkat tertinggi adalah Tuhan. Hal ini boleh dirujuk melalui ayat Quran berkenaan :-
Allah yang menerangi langit dan bumi. Bandingan nur hidayah petunjuk Allah (Kitab Suci Al-Quran) adalah sebagai sebuah "misykaat" yang berisi sebuah lampu; lampu itu dalam geluk kaca (qandil), geluk kaca itu pula (jernih terang) laksana bintang yang bersinar cemerlang; lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang banyak manfaatnya, (iaitu) pokok zaitun yang bukan sahaja disinari matahari semasa naiknya dan bukan sahaja semasa turunnya (tetapi ia sentiasa terdedah kepada matahari); hampir-hampir minyaknya itu - dengan sendirinya - memancarkan cahaya bersinar (kerana jernihnya) walaupun ia tidak disentuh api; (sinaran nur hidayah yang demikian bandingannya adalah sinaran yang berganda-ganda): cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang dan peraturanNya) kepada nur hidayahNya itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu - (An-Nuur 24:35)
Nota saya : Portal Al-Quran yang saya rujuk ini menterjemahkan ayat pertama
Allahu nurus-samawati wal ardh itu sebagai "Allah yang menerangi langit dan bumi". Walhal terjemahan lain yang diambil terus makna daripada perkataan Arab menyebut "Allah ADALAH cahaya langit dan bumi". Cuma ini boleh mengelirukan orang awam kerana mengatakan Allah adalah cahaya adalah satu perkara sulit malah boleh menyesatkan jika belum sampai tahap fikir dan fahamnya lagi. Maka itu lebih mudah diterjemahkan sebagai "Allah menerangi" yang juga suatu perkara yang benar.
Seorang hadirin menyebut kegelapan sebagai lawan cahaya. Jawab Osman cahaya bukanlah lawan pada kegelapan. Sebaliknya kegelapan berlaku disebabkan tiadanya cahaya (
absence of light). Namun kegelapan mutlak adalah Tuhan (
absolute darkness is God). Semua hadirin jadi tertanya-tanya dengan kenyataan ini. Osman pun menerangkan...
"Berapa lama kita boleh tahan jika melihat terus pada matahari dengan mata kasar tanpa alatan melindunginya? Bukankah selepas itu pandangan jadi gelap?"
Beliau sebetulnya mahu memberikan kiasan. Disebabkan Allah SWT adalah cahaya yang paling cemerlang mata yang cuba melihat secara terus akan dilanda kegelapan mutlak. Satu peristiwa zaman silam, zaman Nabi Musa kalau tak salah ingatan pun dirujuk di mana masyarakat Yahudi meminta untuk melihat Tuhan. Diperlihatkan sedikit cahaya kecemerlangan. Terus mereka jadi seperti orang hilang ingatan.
Pergi pada ayat seterusnya dalam perenggan pertama muka surat 45 buku. Maka disebutlah adanya langit bawah dan alam lebih tinggi malaikat yang lebih dekat dengan Tuhan. Quran dan Hadith menyatakan mereka dicipta dengan pangkat berbeza-beza. Wahyu juga mengajar bahawa kedua-dua syurga dan neraka memiliki tingkat-tingkat.
Ayat-ayat berkenaan ditandakan dengan nota 9 hingga 12. Semuanya merujuk pada ayat-ayat Quran yang menyokong keterangan. Cukuplah ditunjukkan satu sahaja iaitu daripada nota 9. Ia merujuk pada ayat berikut :-
Sesungguhnya Kami telah menghiasi langit yang dekat (pada penglihatan penduduk bumi) dengan hiasan bintang-bintang - (As-Saaffaat 37:6)
Perenggan seterusnya menyebut ada banyak tingkat keintelektualan dan kesedaran spiritual atau pengalaman subjektif tentang realiti (boleh merujuk pada alam, boleh merujuk pada Tuhan). Sebagai contoh ada hierarki dalam kalangan mereka yang beriman (believers) dan yang mengetahui disebut dalam Quran seperti berikut (saya terjemahkan daripada buku) : "Tuhan menaikkan darjat mereka yang beriman dan diberi ilmu pengetahuan".
Nota 13 menyatakan ia sebagai Surah ke-58, ayat ke ke-11. Begini bunyinya :-
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diminta kepada kamu memberi lapang dari tempat duduk kamu (untuk orang lain) maka lapangkanlah seboleh-bolehnya supaya Allah melapangkan (segala halnya) untuk kamu. Dan apabila diminta kamu bangun maka bangunlah, supaya Allah meninggikan darjat orang-orang yang beriman di antara kamu, dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan agama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang kamu lakukan - (Al-Mujaadalah 58:11)
Menurut Ibnu Abbas, seorang sahabat Nabi, orang yang terpelajar diletakkan 700 tingkat melebihi orang beriman biasa. Seterusnya ada hierarki pula dalam kalangan mereka yang menyaksikan keEsaan KeTuhanan.
Ah. Saya tidak larat lagi meneruskan penulisan. Ketika perenggan ini ditulis sudah jam 11.31 malam. Adapun penulisan ini dimulakan kembali jam 10 malam tadi. Selepas berehat waktu petang jam 3.04 saya keluar untuk mengambil anak-anak daripada sekolah agama jam 6.
Tengok-tengok ada masalah steering kereta asyik hendak lari ke kanan. Setelah lebih 2 km berjalan baru berhenti untuk menyemak lalu mendapati ia timbul akibat tayar hadapan kanan sudah kempis habis koyak. Selepas itu timbul pula masalah enjin mati tidak dapat dihidupkan.
Nasib baik ketika itu sudah sampai di hadapan sekolah. Saya teruskan ke sana dengan tayar kempis koyak kerana anak-anak. Tetapi bagaimana hendak membawa mereka kembali ke rumah? Bertungkus lumus saya cuba mengatasi masalah. Selepas Maghrib baru kereta dapat digerakkan sedangkan saya sedang berpuasa, memang terasa penat.
Malam selepas bersolat menunaikan wirid dan beberapa amalan khas malam Jumaat saya harus menyiapkan satu risalah pula atas permintaan seorang profesor di ISTAC. Ia adalah berkenaan acara yang mahu dilaksanakan di sana hari Sabtu. Rujuk artikel-artikel berikut di
blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH) :-
Selesai itu baru penulisan dapat disambung kembali. Sekarang biar kupasan seterusnya diberikan amat ringkas.
Nota-nota berkenaan daripada muka surat 65.
Perenggan terakhir 45 secara rata menyebut sudah cukup contoh daripada Quran dan Hadith diberikan untuk menunjukkan memang ada hierarki dalam Islam.
Syarahan masuk sehingga selesai ayat pertama muka surat 46 yang bersambung daripada muka surat 45.
Walaupun tinggal beberapa ayat sahaja lagi sebelum sub-topik 2.1 tamat syarahan ditutup kerana hampir masuk waktu Maghrib. Selamat malam, malam Jumaat barakah. Sekian wassalam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan