Awal pagi Ahad 6 Oktober 2019. Selepas solat Subuh berjemaah di sebuah surau di Seksyen 2, Shah Alam kemudian mendengar ceramah berkenaan ilmu Sufi saya bersarapan bersama jemaah menghadap sekelompok bangunan kolej kediaman bagi pelajar UiTM (Universiti Institut Teknologi MARA). Bangunan itu pernah menjadi tempat saya dan 200 orang pelajar bermastautin 3 malam (ke seminggu?) bagi orientasi masuk ke program PPP/ITM (Pusat Persediaan Pelajar di bawah ITM iaitu Institut Teknologi Mara) sekitar pertengahan tahun 1988. Ia adalah program bagi melanjutkan pelajaran ke United Kingdom. Tetapi kena selesaikan dahulu pengajian peringkat "A" Level (seperti STPM atau Sijil Tinggi Pengajian Malaysia) di PPP/ITM.
Di situlah, di kolej kediaman yang kelihatan kawan-kawan mula memanggil saya sebagai "Fly" satu nama yang masih dirujuk oleh mereka yang mengenali sejak itu hinggalah nama panggilan "Merah Silu" menjadi lebih terserlah 20 tahun kemudian. Sebabnya adalah saya selalu "Fly" atau cabut ke tempat lain ketika pelajar harus ke surau kediaman (bukan surau dalam gambar tapi di luar kiri) untuk kuliah Subuh dan sebagainya. Memang cabut keluar asrama menjadi satu 'kepakaran' saya sejak zaman Sekolah Menengah Sains Johor (SMSJ) di Kluang, Johor tahun 1983-1987. Tapi itu kenangan nostalgik lebih 30 tahun lalu. Boleh baca cerita berkenaan dalam artikel
Memori lama pahit getir SMSJ, Kluang, Johor... yang ditulis lebih 11 tahun lalu.
Sekarang ni dah nak masuk umur 49 tahun takda gunanya cabut ke mana-mana. Sebabnya boleh aje nak keluar bila-bila masa... tiada siapa boleh melarang atau menghalang kecuali diri sendiri ingat tanggungjawab sebagai orang berkeluarga. Kalau dahulu saya selalu cabut daripada asrama dan masjid (bila dipaksa mendengar kuliah dan sebagainya) tetapi sejak 20 tahun lalu secara sukarela suka pergi ke masjid pada bila-bila. Sebetulnya malam itu saya telah menginap di surau ini untuk memudahkan pergi ke Program Tempa Melayu di UiTM Shah Alam. Letak kampus cuma sebelah surau sahaja sedangkan rumah saya lebih 50 km. Pergi balik dah lebih 100 km. Boleh jimatkan minyak dan masa.
Oh. Semasa mendengar kuliah Subuh saya ada memandang ke luar menghadap kolej kediaman. Entah kenapa ternampak papan tanda biru bercahaya bertulis "KFC". Fikir saya masa itu ternampak bangunan kedai makan ketika hari dah masuk siang kerana sampai ke surau dalam kegelapan malam. Bila dah keluar tengok-tengok takda pun KFC. Yang ada bangunan bertanda A, B dan seterusnya. Ishhh... :]
Walau dah dekat saya masuk ke dewan untuk Program Tempa Melayu lebih setengah jam lewat. Ini disebabkan perut buat masalah. Apapun pembentangan pertama pagi merangkap pembentangan ke-3 secara keseluruhan bagi program adalah bertajuk "Menyingkap Hakikat Sejarah & Meluruskan Kisah Dalam Mendaulatkan Ketamadunan Melayu Islam Beraja" oleh Dr Rohaidah Kamaruddin daripada Universiti Putra Malaysia. Beliau telah mencipta nama apabila mengkaji jejak pahlawan Melayu zaman Kesultanan Melaka yang terkenal iaitu Laksamana Hang Tuah hingga ke Kepulauan Okinawa di Jepun di mana pernah wujud kerajaan lama Ryukyu.
Hasil kerja berkenaan pernah saya ulas 4 tahun lalu. Lihat artikel
Buku "Hang Tuah : Catatan Okinawa". Ketika saya sampai Rohaida sedang bercakap tentang jejak Hang Tuah di Vijayanagara, India...
Kajian berkenaan juga sudah dijadikan buku tetapi saya belum berkesempatan membacanya. Beliau mungkin ahli akademik tempatan paling gigih mengkaji tentang Hang Tuah sejak beberapa tahun kebelakangan.
Saya pertama kali mendengar pembentangan Rohaida tentang Hang Tuah cuma seminggu dua selepas mengulas buku "Catatan Okinawa". Ditunjukkan kajian beliau di beberapa tempat termasuk di India yang belum lagi dibukukan ketika itu. Lihat
Antara mitos dan sejarah Hang Tuah - Leonardo da Vinci pun ada kena mengena? Ditunjukkan video sebuah drama terbitan sana yang mana Hang Tuah dirujuk sebagai pahlawan Melayu yang pernah melatih tentera Vijayanagara. Gambar video tersebut ditunjukkan dalam slaid pada Program Tempa Melayu.
Ditunjukkan pula relif pada sebuah kuil di sana di mana kelihatan jelas ukiran orang bertanjak dengan kuda. Cerita berkenaan daripada kitab Hikayat Hang Tuah dirujuk di mana pahlawan Melayu itu disebut pernah menjinakkan seorang kuda yang agak liar milik raja Vijayanagara.
Ini pula adalah keranda paderi besar Kristian, St Xavier yang pernah datang ke Kota Melaka selepas kejatuhan Kota Melaka ke tangan Portugis tahun 1511. Dipercayai keranda itu asalnya adalah peti harta istana Melaka. Ia telah dirampas lalu diubah dan ditambah sedikit ukiran agar kelihatan ciri Kristian...
Ditunjukkan dua meriam Melaka yang agak besar dirampas Portugis lalu diletakkan di India...
Seterusnya diulangi cerita Okinawa dan hal-hal berkenaan.
Sebetulnya Rohaida bukan pakar sejarah. Bidangnya adalah bahasa. Namun kepakaran dalam bahasa sehingga boleh membaca manuskrip lama bertulisan Cina dan Jepun menyebabkan beliau dapat menafsirkan sekumpulan surat lama kerajaan Ryukyu yang menunjukkan hubungan rapat dengan Melaka 500 tahun lalu...
Seperti pada hari Sabtu, Rohaida juga menerima sandang kehormat Persatuan Seni Silat Gayong Nusantara (PSSGN) daripada pengarah program Profesor Dato' Dr Mohammad Fairus bin Khairuddin selepas tamat pembentangan.
Pada saya perkara paling menarik dalam pembentangan beliau adalah pengalaman-pengalaman bersifat mistik dalam mencari jejak Hang Tuah. Beliau bermula sebagai seorang skeptik yang sering mempersoalkan kewujudan pahlawan Melayu itu. Apabila hal ini ditanya kepada seorang mahaguru silat, beliau dibukakan hijab sehingga dalam melihat orang bertanjak hebat yang dikatakan adalah Hang Tuah muncul di halaman rumah beliau melalui pandangan mata hati...
Pembentang seterusnya, Ustaz Engku Ahmad Fadzil membawa tajuk yang kelihatan. Turut tertera jawatan yang sedang disandang beliau.
Saya dapat tahu beliau bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar yang melanjutkan pelajaran dalam bidang agama sehingga ke peringkat sarjana di Jordan.
Pembentangan beliau adalah untuk menerangkan siapa itu golongan yang layak dipanggil sebagai Ahlus Sunnah Wal Jamaah, siapa yang bukan...
Turut disebut apa pula bezanya dengan golongan Wahabi yang turut mengaku sebagai termasuk dalam golongan Ahlus Sunnah Wal Jama'ah tetapi seringkali menuduh pihak selain mereka sebagai ahli bida'ah sesat malah kafir pula...
Namun diterangkan juga ada yang kelihatan seperti Wahabi tetapi bukan. Hal ini perlu diluruskan...
Dikupas tentang bab akidah dalam mengenal Allah SWT yang mana golongan Ahlus Sunnah Wal Jama'ah daripada mazhab yang 4 - Hanafi, Maliki, Shafiee dan Hanbali - berpegang teguh pada pengajian Sifat 20. Sedangkan Wahabi menolaknya lalu berpegang pada apa yang dipanggil sebagai Tauhid 3 atau Tauhid 3 Serangkai.
Wahabi menuduh ilmu Sifat 20 sebagai sesat lagi bida'ah walhal tiada masalah langsung kalau dikupas secara tuntas menurut aturannya. Namun Engku Ahmad menambah begitu juga halnya Sifat 3. Bila dikupas tiada masalah malah bertepatan juga dengan ilmu tauhid yang dipegang para ulamak berwibawa. Yang jadi masalah adalah penafsiran dan aplikasi. Misalnya Tauhid Rububiyah menyatakan yang berkuasa atas semua baik di langit mahupun di bumi adalah milik Allah SWT. Yang salah adalah apabila Wahabi menyatakan orang kafir juga berfikiran begitu. Sedangkan mereka sering meletakkan selain daripada Allah, misalnya dewa-dewa sebagai pemilik kuasa.
Tamat pembentangan sandang kehormat pun diberi...
Jam 2.40 petang iaitu selepas waktu rehat makan tengah hari dan solat Zohor muncul Profesor Emeritus Datuk Dr Kapten (B) Hashim Yaacob untuk membawa tajuk yang kelihatan.
Bidang kepakaran beliau sebenarnya adalah pergigian ataupun dentistry. Tetapi pengalaman pernah menjadi dekan jabatan berkenaan di Universiti Malaya (UM) sehingga dapat mencapai piawaian tinggi antarabangsa diikuti pengalaman menjadi naib canselor UM melayakkan beliau bercakap tentang mencapai kejayaan juga kepimpinan yang baik.
Hashim memilih untuk lebih bercakap tentang kepimpinan.
Ini kerana kepimpinan boleh menentukan apa yang bakal terjadi kepada semua orang lain...
Slaid-slaidnya rata-rata dalam bahasa Inggeris. Ini kerana beliau biasa membentang untuk khalayak yang suka berbahasa Inggeris, belum sempat menterjemahkan ke dalam bahasa Melayu.
Dikongsikan pengalaman bagaimana memimpin dan memotivasikan orang bawahan beliau sehingga dapat memenangi pingat juga meningkatkan penerbitan buku daripada sasaran 100 tajuk setahun menjadi 150...
Oh. Ibrahim baru sekitar jam 1 petang kembali daripada menghadiri satu perhimpunan besar-besaran yang dipanggil sebagai Kongres Maruah Melayu. Diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam ia dihadiri oleh ramai pemimpin besar Melayu termasuk Perdana Menteri sekarang Tun Dr Mahathir. Difahamkan stadium tertutup yang boleh memuatkan 10,000 hadirin itu penuh. a adalah antara sebab saya memilih untuk menginap di surau berdekatan UiTM pada malam sebelumnya. Kalau dari rumah perlu melepasi jalan utama menuju ke stadium. Sedangkan pada hari biasa pun ia selalu sesak.
Hashim turut mengambil peluang untuk membacakan satu puisi yang dikarang untuk isteri beliau suatu waktu dahulu. Kata beliau jujur dahulu tidak tahu menghargai isteri. Apabila dibuang daripada kerusi dekan setelah bergaduh dengan timbalan naik canselor waktu itu baru tahu siapa yang terus menyokong dalam susah dan senang lalu menjadi lebih peka dengan kehendak dan perasaan isteri...
Menerima sandang selepas tamat pembentangan. Ketika gambar ini diambil sudah jam 4.12 petang. Sedangkan menurut jadual atur cara pembentangan seterusnya sepatutnya sudah bermula jam 3.30.
Gambar ini pula diambil pada jam 6.18 iaitu selepas pembentangan tersebut tamat. Saya sebagai pembentang mengambil gambar ini dari atas pentas.
Asalnya saya cuma diberi slot selama sejam sahaja iaitu daripada jam 3.30 hingga 4.30. Selepas itu Profesor Emeritus Datuk Dr Zainal Kling, penyandang Kursi Institusi Raja-raja Melayu di UiTM akan membawa tajuk "Memartabatkan Perjuangan Melayu Islam Beraja dan Peranan Kursi Institusi Raja-raja Melayu" sehingga sampai masa untuk bersurai jam 6. Sebaliknya beliau tidak dapat datang kerana harus bertolak ke Johor selepas menghadiri Kongres Maruah Melayu. Akibat daripada itu saya pula mendapat ruang sehingga boleh membentang lebih 2 jam.
'
Banyak kali saya bertanya apakah sudah sampai masa tetapi diminta meneruskan. Nampaknya pembentangan bertajuk "Benua Tua Melayu Sumber Peradaban Dunia" begitu menarik perhatian sehingga orang ramai sanggup mendengar kemudian bersoal jawab sehingga hampir jam 6.30 petang. Saya pula yang asyik risau jika mengambil masa orang. Dan lagi kami belum menunaikan solat Asar.
Secara rata saya berkongsi apa yang telah diceritakan dalam buku ke-12 saya "Benua Tua Melayu Sumber Peradaban Dunia : Menyelaraskan Sejarah Pergerakan Manusia Sejagat Berdasarkan Kitab Berbanding Sains". Tetapi sebelum itu harus diterangkan dahulu isi buku ke-11 saya "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu : Menyelaraskan Pengetahuan Tentang Penciptaan Manusia Berdasarkan Kitab Berbanding Sains" yang diterbitkan bersama secara 'berkembar' pada bulan Mac 2018. Ini kerana ia saling berkait. Buku ke-12 bersambung daripada buku ke-11. Harus faham yang mula baru jelas apa yang diperkatakan pada buku seterusnya...
1.
Alam Melayu dan benua Atlantis Yang Hilang - Melacak kesan tanah tua
2.
Alam Melayu dan benua Atlantis Yang Hilang - Kaitan Kaabah yang menakjubkan
3.
Alam Melayu dan benua Atlantis Yang Hilang - Tempat keluar panji-panji hitam dari Timur?
Penutup menyaksikan rumusan oleh Fairuz berserta komitmen untuk menyambung program sebagai siri. Turut disebut sengaja dia memberikan masa kepada saya sehingga lebih 2 jam supaya dapat dilepaskan segala yang patut. Beliau memberitahu ada mengikuti pembentangan saya di beberapa majlis tetapi kekangan masa mengganggu. Apapun pada saya adalah penghormatan yang besar diberikan ruang untuk membentang begitu lama dalam satu majlis yang membariskan ramai tokoh.
Lebih menarik lagi apabila pembentang sebelum saya iaitu Hisham yang merupakan mantan naib canselor UM memberitahu kepada khalayak bahawa apa dibentangkan itu bertaraf PhD. Ia layak diangkat terus menjadi tesis PhD walaupun belum memiliki Masters. Saya pun memberitahu telah dibenarkan oleh komiti penilaian cadangan tesis (proposal) untuk melompat terus ke PhD di tempat menyambung pengajian pasca-siswazah di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Dunia Islam), Bukit Tunku, Kuala Lumpur. Tetapi saya mengalah apabila penyelia tesis, Profesor Ulung Datuk Osman Bakar bertegas agar tetap dibuat Masters terlebih dahulu.
Daripada segi peraturan institut yang mengikut peraturan badan induknya, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) memang ada ruang untuk melompat berdasarkan pengalaman sebagai seorang pelajar matang (matured student) berumur 48 tahun (ini pada penghujung tahun lepas apabila hal dibincangkan). Apa lagi saya sudah pun menghasilkan buku tentang kajian yang mahu diangkat selain sejumlah lagi buku. Cuma ia perlu diubah dan ditambah apa yang patut menurut format akademik tinggi.
Kata Hashim saya pula yang sepatutnya bertegas agar dibenarkan melompat terus ke PhD. Sebetulnya ada beberapa orang pensyarah pernah menyarankan agar saya berurusan terus dengan dewan senat UIAM. Ini boleh dilakukan tanpa melalui Osman. Jawab saya tak mahu derhaka kepada orang yang sudah dianggap sebagai guru selain umurnya hampir sebaya ayah saya. Teringat pesanan Osman supaya bersabar. Mungkin ia ujian untuk melihat apakah saya rela dididik atau sudah merasakan diri begitu pandai sehingga tidak mahu menurut saranan beliau yang merupakan cendekiawan besar, termasuk dalam senarai 500 orang Islam paling berpengaruh di dunia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan