Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, November 20, 2014

Kekhalifahan raja-raja Melayu dan dinar emas Melaka yang hilang

Adapun semasa minum petang majlis ilmu di Shah Alam petang Selasa telah berlaku satu perbualan menarik dengan seorang pembentang yang pakar dalam bidang numismatik. Perbincangan itu ingin dikongsikan dalam blogspot sebaik sahaja sampai ke rumah. Tetapi saya terasa begitu penat lalu masuk tidur awal, keesokannya baru dapat menulis sesuatu itupun tentang hal lain dahulu diikuti tentang majlis ilmu. Tengah malam ini selepas masuk hari Khamis 20 November baru terasa dapat menulis tentang perbincangan itu. Kiranya bersambung daripada artikel Seminar Kesultanan Selangor dalam Arus Sejarah Malaysia - Peranan raja dalam undang-undang tubuh negeri.




Sebelum masuk hal perbincangan dengan pakar numismatik biar dipaparkan penulisan ini. Ia dibuat di Facebook awal pagi Isnin. Ketika itu seorang sahabat sedang bermalam di rumah lalu timbul hal berikut...


KEKHALIFAHAN UMAT ISLAM SEDUNIA PERNAH DIPEGANG RAJA2 MELAYU 1258-1511?

Tadi saya membuka salasilah besar raja2 Aceh menunjukkan perkaitan dengan Melaka membawa ke Samudera-Pasai, Perlak sampai keluarga Rasulullah SAW kepada seorang sahabat yang memimpin sebuah tariqat. Perbualan kemudian membawa kepada kaitan kerajaan Turki Uthmaniyah dengan Melaka, antaranya cerita tentang Sultan Alauddin Melaka dikatakan ada mengahwini puteri Sultan Muhammad al Fateh, orang yang bertanggungjawab merampas kota Konstantinople daripada tangan Empayar Kristian Byzantium sehingga runtuh langsung empayar itu tahun 1453 Masihi. Peristiwa ini saya percaya menjadi permulaan Empayar Uthmaniyah mula mendapat perhatian umat Islam sedunia. Tetapi setahu saya juga, Uthmaniyah mula memegang kekhalifahan Islam apabila cucu al Fateh, Sultan Selim mengalahkan Dinasti Mamluk di Mesir 1512, tidak sebelumnya.

Saya pernah terbaca, tak ingat di mana bahawa selepas Kekhalifahan Abbasiyah yang berpusat di Baghdad jatuh akibat serangan Mongol 1258 ada anak cucu khalifah membawa diri sehingga ke Mesir berlindung di bawah Dinasti Mamluk. Turut dibawa adalah sejumlah barangan tinggalan Rasulullah SAW. Ia diambil oleh kerajaan Uthmaniyah apabila mengalahkan Mamluk 254 tahun kemudian. Katanya pengambilan barangan memberi mandat untuk Uthmaniyah memegang gelaran khalifah bagi seluruh umat Islam.

Cerita ini terkeluar kerana saya hendak memberitahu Uthmaniyah belum cukup besar atau signifikan untuk dianggap sebagai penaung ummah sebelum penaklukan Konstantinople 1453. Sahabat saya pun bertanya bilakah kerajaan Uthmaniyah terbit. Kebetulan pada dinding rumah saya ada terpapar peta perkembangan Empayar Uthmaniyah yang dibeli dari Turki oleh seorang kawan, saya pun menunjukkan itu. Perbincangan masuk bab bilakah Melaka pula cukup signifikan sehingga menjadi pusat perkembangan dakwah Islamiah seluruh Asia Tenggara kerana setahu saya sebelum itu Samudera-Pasai yang menjadi pusat utama dakwah ke seluruh rantau tersebut. Saya kata pada zaman Sultan Mansur Syah yang menurut kiraan lama mula memerintah 1456-1477, lebih kurang sezaman dengan Sultan al Fateh di Turki. Tetapi kalau menurut kiraan baru, baginda mula memerintah jauh lebih awal iaitu 1379-1449.

Oleh kerana kiraan baru (diwar2kan sekitar 2010) dibuat berdasarkan maklumat dalam kitab Sulalatus Salatin versi Raja Bongsu saya pun menunjukkan naskah yang dimiliki kepada sahabat. Ditunjukkan sekali naskah versi Shellabear juga A Samad Ahmad... pada yang akhir itu ada cerita asal usul Hang Tuah daripada Tanah Bugis, disebut beliau dahulu bernama Daeng Mempawah. Selepas melihat halaman tentang HT, sahabat menutup buku kemudian menyelak kembalinya secara spontan. Kelihatanlah perenggan menyebut sabda Nabi Muhammad SAW bahawa akhir zaman esok akan muncul negeri bernama Samudera, apabila terdengar khabar tentangnya pergilah ke sana Islamkan penduduknya kerana dari situ akan muncul ramai wali.

Tak perlulah dipanjangkan cerita ini kerana sudah diulas panjang lebar dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh" (terbit Jun 2006). Cukuplah disebut ini membawa kepada cerita Merah Silu (saya tumpang nama besar raja lama ini) ditabalkan mengguna perkakas kerajaan yang dibawa dari Mekah lalu digelar Sultan Malikus Saleh. Cuma kali ini muncul satu dimensi baru tentang cerita, satu perkara yang pernah terlintas di hati saya 10 tahun lalu tetapi ditolak ke tepi kerana terasa terlalu besar. Kata sahabat dia selalu membaca cerita ini semasa zaman muda. Tetapi kali ini baru mendapat rasa bahawa sabda Nabi berserta pertabalan menggunakan perkakas kerajaan daripada Mekah menunjukkan Merah Silu bukan sekadar menjadi sultan malah khalifah seluruh umat Islam!

Saya terus menyampuk ia kedengaran logik memikirkan kerajaan Samudera yang diasaskan Merah Silu mula naik sekitar 1250an menjelang kejatuhan Kekhalifahan Abbasiyah di Baghdad 1258. Sejak itu tidak disebut dengan terang siapa atau kerajaan mana yang memegang tampuk kekhalifahan ummah sehingga Utmaniyah mengalahkan Mamluk lalu menakluki Mesir juga Tanah Arab 1512. Ini berlaku tidak lama selepas Kota Melaka jatuh ke tangan Portugis 1511. Seperti Merah Silu atau Malikus Saleh, Raja pertama Melaka juga pernah bermimpi bertemu Rasulullah SAW sebelum diakui sebagai sultan Islam lalu sahabat saya menganggap ini adalah tanda Sultan Melaka juga diberi tampuk kekhalifahan.

Yang nyata Samudera atau lebih tepat Samudera-Pasai, kemudian lebih dikenali sebagai Pasai menjadi pusat dakwah Islamiah ke seluruh Asia Tenggara sebelum peranan diambil alih Melaka. Samudera naik sekitar 1250an di kala Kekhalifahan Abbasiyah di Baghdad menghampiri kejatuhan akibat serangan Mongol 1258. Zaman kegemilangan Melaka pula bermula dengan pemerintahan Sultan Mansur Syah 1379. Setelah beberapa lama, Kota Melaka jatuh ke tangan Portugis 1511 disusuli kemunculan Uthmaniyah sebagai pemegang tampuk kekhalifahan 1512.

Dalam tempoh 1258 hingga 1511 itu tidak tercatat kewujudan khalifah yang nyata bagi seluruh umat Islam berpusat di Timur Tengah. Apakah ini kerana pemerintahan sebenar sedang dipegang oleh raja2 Melayu dari Samudera-Pasai diikuti Melaka? Saya tinggalkan persoalan ini untuk difikirkan.


p/s : Sahabat saya ini suka menilai pemerintahan beraja mahupun khalifah daripada sudut Tasawuf dan Tariqat. Beliau percaya raja juga khalifah yang betul2 layak memegang pemerintahan adalah para mursyid yang membawa limpah kurnia ilmu kerohanian dan ketuhanan kepada rakyat.




Pada artikel Seminar Kesultanan Selangor dalam Arus Sejarah Malaysia - Peranan raja dalam undang-undang tubuh negeri ada disebut pembentang pertama sesi petang adalah  Dr Mohd Supian Sabtu dari Universiti Malaya bercakap tentang "Data Kesultanan Melayu Selangor : Kajian Berdasarkan Jumpaan Numismatik". Saya terlepas pembentangan beliau kerana tertidur di surau. Semasa sesi soal jawab sekitar jam 4.35 saya ingin bertanya beberapa soalan kepada pembentang terutama Dr Sufian tetapi terhalang akibat penyoal lain mengambil masa yang lama (ada yang sebenarnya tidak menyoal tetapi suka menyatakan pandangan panjang lebar). Walaupun tidak mengikuti kertas kerja beliau, saya ada menerima sesalinan lalu mendapati duit kesultanan Selangor yang pasukannya temui itu duit timah belaka. Saya mahu bertanya tentang dinar emas, jika ada ditemui di negeri itu.

Soalan yang mahu ditanyakan itu sebenarnya adalah mukadimah bagi suatu pertanyaan yang lebih besar. Bila tidak dapat bertanya lantaran masa yang terhad saya fikir mungkin boleh disampaikan secara empat mata suatu masa nanti? Siapa sangka ketika minum petang saya dibawa orang muzium duduk bersama VIP satu meja dengan Dr. Supian. Semasa makan tengah hari juga saya duduk di salah satu meja VIP tetapi bersama beberapa orang kenalan lain yang giat dalam dunia pengkajian sejarah tanah air.

Sebetulnya saya pernah berbual dengan Dr. Supian 3 tahun lalu tetapi mengenai persoalan lain. Ini berlaku selepas beliau membentang tentang beberapa penemuan terbaru arkeologi di Kedah. Lihat Penemuan-penemuan menarik pada polemik sejarah di Arkib Negara 19 April 2011. Untuk persoalan kali ini saya rasa elok copy paste satu update yang dibuat di FB 44 hari lalu. Biar diberitahu gambar di atas katanya adalah syiling emas Kelantan yang dipercayai dibuat tahun 1181 Masihi.




KEHILANGAN DINAR MELAKA - USAHA UNTUK MEMINGGIRKAN KUASA EKONOMI SEBENAR ORANG MELAYU?

Salam. Kalau ikut rancangan hari ini saya mahu berkongsi sedikit cerita tentang mesyuarat bersama jawatankuasa masjid, ketua kampung dan anak2 tempatan di Masjid Sultan Alauddin Riayat Syah di Kampung Raja, Pagoh, Muar petang semalam. Mesyuarat diadakan untuk menentukan gerak kerja dalam menjayakan acara ke-11 HIKMAH di hadapan makam Sultan Alauddin Riayat Syah iaitu di sebelah masjid, satu2nya makam Sultan Melaka yang masih terpelihara di Malaysia. Alhamdulillah hasilnya begitu baik. Semua pihak bersetuju untuk bekerjasama menjayakan acara pada Sabtu 8 Nov 2014 bersamaan 15 Muharram.

Namun sejak sampai ke rumah selepas tengah malam fikiran saya disibukkan dengan desakan hati untuk mengkaji kaitan Kaabah dengan Alam Melayu. Baru sebentar tadi pula saya dihubungi seorang rakan aktivis dinar dirham yang menyatakan masalah mencari bahan untuk membentang seperti diminta untuk acara. Saya telah meminta beliau berkongsi kajian terbaru tentang dinar dirham sambil memberikan fokus kepada dinar kesultanan Melaka. Malangnya beliau tidak dapat menemui sebarang dinar Melaka dalam simpanan apa2 badan waima dari Perbadanan Muzium Melaka (PERZIM) yang memiliki rangkaian sekitar 30 buah muzium sekalipun. 

Ini menimbulkan banyak persoalan dan boleh merencatkan pembentangan. Tetapi pada saya ada hikmahnya kerana ia boleh membuka sudut pandang baru dalam mengkaji evolusi ekonomi orang Melayu dahulu dan sekarang. Premis kehilangan dinar boleh membawa kepada penelitian persoalan kenapa dahulu Melaka pernah menjadi kuasa ekonomi besar peringkat dunia sehingga boleh menyaingi Venice, kota paling makmur di Eropah abad ke-15 tetapi sekarang orang Melayu terpaksa berpayung di bawah kuasa ekonomi orang lain yang bukan Islam. Hal ini malah terkait rapat dengan kemunculan wang fiat atau duit kertas berdasarkan fractional reserve banking system oleh penjajah Barat. 

Untuk makluman para aktivis dinar dirham yang sejati iaitu mereka yang betul2 mahu memartabatkan ekonomi Islam, bukan sekadar mencari peluang perniagaan menjual emas untuk memenuhkan poket sendiri sering menekankan bagaimana wang fiat dan sistem perbankan menjadi alat golongan elit yang didalangi kumpulan jahat Yahudi Zionis Illuminati untuk secara halus merompak hasil kerja rakyat. Seorang profesor ekonomi malah membuat kertas kerja menunjukkan bagaimana kemunculan sistem ini di Pulau Pinang sekitar 150 tahun lalu menjadi alat untuk pendatang bukan Islam merampas kekuasaan ekonomi daripada orang Melayu. Sila masuk http://hikmahmelayu.blogspot.com/2013/07/wang-fiat-dan-keruntuhan-ekonomi-orang.html.

Kehilangan dinar emas Melaka juga boleh diselarikan dengan cerita Sultan Alauddin yang hilang. Walaupun kitab Sulalatus Salatin yang dikenali ramai sebagai Sejarah Melayu menyebut baginda ketika nazak sempat berwasiat kepada puteranya Sultan Mahmud yang kemudian menaiki takhta, sebenarnya baginda tidak mangkat di Kota Melaka tetapi jauh di luar lingkungan kekuasaan pusat kerajaan iaitu di Pagoh, Muar. Sultan Alauddin sebenarnya mangkat akibat diracun tetapi ini tidak diceritakan di dalam kitab Sulalatus Salatin. Besar kemungkinan ia berlaku kerana permainan politik pihak tertentu yang mahu menaikkan Sultan Mahmud ke atas takhta. Ketika itu baginda masih budak kecil lalu pemerintahan sebenar dipangku orang lain. Walhal Sultan Alauddin ada seorang anak yang sudah cukup dewasa, Raja Munawar yang sedang memerintah di Kampar.

Sejarah telah menceritakan bagaimana Sultan Mahmud membesar menjadi seorang raja yang zalim, sering mengikut nafsu amarah sehingga membuka ruang untuk Melaka dijajah. Selepas itu berlakulah satu demi satu perkara yang akhirnya membawa kepada keadaan orang Melayu sekarang di mana ekonomi tanah air dikuasai bangsa lain yang bukan Islam, bangsa yang nampaknya sengaja dinaikkan oleh penjajah Barat sambil meminggirkan anak tempatan. Nampaknya kehilangan cerita sebenar Sultan Alauddin diracun dari kitab Sulalatus Salatin membawa maksud tersirat seperti halnya kehilangan dinar emas Melaka. Saya pun mencadangkan agar pembentangan diberi tajuk "Kehilangan dinar Melaka - Usaha untuk meminggirkan kuasa ekonomi sebenar Melayu?". 

Beliau pun bersetuju lalu terus memulakan penyelidikan. Dengan ini biar diumumkan, sahabat kami Puan Norbaini Hassan, perunding dinar dan dirham akan menangani tajuk tersebut. Beliau pernah membentang kertas kerja berkaitan pada acara ke-5 HIKMAH di Kuala Terengganu Jun 2013. Lihat HIKMAH Isra' dan Mi'raj : http://hikmahmelayu.blogspot.com/2013/06/hikmah-isra-dan-miraj-dari-dunia-di.html.


p/s : Gambar daripada Internet menunjukkan dinar dari kerajaan Samudera-Pasai, sekarang dalam Aceh. Sebagai pusat utama penyebaran Islam ke seluruh Asia Tenggara dan kuasa ekonomi tumpuan pedagang Islam sedunia yang lebih awal, kerajaan ini sering dirujuk Melaka untuk memutuskan persoalan2 agama yang tidak dapat diselesaikan mereka. Ada kemungkinan Melaka menggunakan dinar Pasai untuk dagangan sehinggalah ia meningkat cukup pesat lalu dapat menerbitkan dinar sendiri. Malah ada kemungkin Melaka itu sendiri naik setelah menerima mandat daripada Samudera-Pasai, satu2nya kerajaan yang ia dan pengasasnya dikatakan mendapat mandat istimewa wasiat Nabi Muhammad SAW.


--------------------------


OK. Apa yang tertulis ini adalah sebahagian daripada persediaan untuk mengadakan acara ke-11 HIKMAH iaitu di Pagoh 8 Nov. Lihat Aturan komponen perjuangan demi kedaulatan Melayu dan Islam yang diilhamkan oleh Sultan Alauddin Melaka. Baru saya tahu dinar emas Melaka tidak ada dalam simpanan mana-mana pihak yang diketahui waima oleh pihak muzium sekalipun. Walaupun ada menyebut terdapat seorang kolektor berbangsa Melayu memiliki sekurang-kurangnya sekeping syiling emas Melaka koleksi beliau diragukan kerana saya sudah diberitahu beberapa pihak yang kolektor ini selalu membuat untung menggunakan barangan tiruan. Katanya beliau telah menipu banyak pihak atas alasan mengadakan acara untuk menonjolkan kehebatan tamadun Melayu dan saya mendapat kepastian orang ini tidak dapat dipercayai apabila seorang sahabat baik saya telah ditipu sekitar RM30,000 gitu. Sebelum ini sahabat itu tidak percaya peringatan saya agar berhati-hati dengan orang ini kerana menyangkakannya pejuang Melayu sejati. Bila dah kena baru dia akur kenapa saya tidak mahu bekerjasama dengan beberapa pihak tertentu.

Selepas membuat update di atas, satu rombongan anak muda bersama Puan Norbaini telah pergi ke Kota Tinggi, Johor dalam misi mencari dinar emas Melaka. Mereka mendapat tahu ada kumpulan sering membuat ekskavasi persendirian menggunakan alat pengesan logam atau metal detector di berapa lokasi tertentu lalu menemukan sejumlah syiling lama. Kebetulan mereka sampai ketika satu kerja ekskavasi sedang dilakukan. Anak-anak muda inipun berpeluang melihat dengan mata kepala sendiri cabaran membuat kerja lapangan diikuti kejayaan menemukan banyak kepingan wang lama.

Seorang daripada pencari wang lama ini yang berpengalaman kemudian dicadangkan agar membentang bersama Norbaini pada HIKMAH Pagoh. Beliau katanya dapat menjawab persoalan kenapa dinar emas Melaka belum dapat ditemui di mana-mana. Tetapi semakin dekat tarikh, beliau terjebak dengan kontroversi dituduh membuat matawang lama tiruan. Saya tidak tahu siapa yang salah siapa yang benar. Yang pasti kontroversi ini menyebabkan beliau tidak datang membentang.

Apapun orang ini pernah menyatakan posisi bahawa Kesultanan Melaka dahulu tidak pernah mencetak syiling atau kupang emas, apatah lagi dinar yang memiliki berat dan kandungan ketulenan emas tertentu yang mana nilainya sering disebut bersamaan harga seekor kambing dewasa sekurang-kurangnya pada zaman Nabi Muhammad SAW. Katanya orang Melaka berurusan jual beli menggunakan serbuk emas, tak pun emas urai selain ketulan emas. Walaupun tidak bersetuju dengan ini, saya sedia mendengar hujahnya kalau beliau muncul. Berlatarbelakangkan perkembangan inilah saya membuka perbualan dengan Dr. Supian semasa minum petang di muzium hari Selasa. Saya membuka dengan merujuk kepada kertas kerja beliau "Data Kesultanan Melayu Selangor : Kajian Berdasarkan Jumpaan Numismatik" lalu berkata : "Nampaknya yang ditemui ini semua wang timah. Apakah ada kerajaan Melayu menggunakan matawang atau dinar emas?"

Jawab beliau : "Ada. Pasai dan Aceh menggunakan dinar emas..."

"Maksud saya di Semenanjung. Apakah ada negeri menggunakan dinar?"

"Ada. Banyak negeri ada, antaranya Johor dan Terengganu. Tapi di sini biasa dipanggil kupang emas."

Saya mengangguk senang. Walau tidak dipanggil dinar asalkan ada syiling emas itu sudah cukup untuk membuka persoalan seterusnya. Tentang dinar itu seperti disebut tadi ada sukatan berat dan ketulenan tertentu mesti dipatuhi. Perkataan kupang emas itu lebih luas. Ini boleh jadi syiling yang nilainya bersamaan setengah dinar ataupun kurang, yang penting ia bercetak (ada tulisan nama kerajaan dan sebagainya) dan dibuat daripada emas.

Saya pun membuka soalan cepumas : "Bagaimana tentang dinar emas Melaka Dr.? Apakah ia wujud ataupun tidak? Saya bertanyakan ini kerana ada orang mendakwa Melaka tidak mencetak wang emas, setakat menggunakan emas urai atau ketulan untuk berjual beli."

Jawab Dr  Supian dia menyedari dinar emas Melaka belum ditemui tetapi percaya ia mesti pernah wujud : "Pasai yang naik sebelum Melaka ada dinar emas, Aceh yang naik selepas Melaka pun ada begitu juga Johor. Takkan Melaka sebagai empayar besar tidak ada dinar emas?"

Beliau pun mengatakan dalam kitab undang-undang Melaka ada tertulis jual beli di Melaka adalah menggunakan emas. Cuma tidak disebut emas dalam bentuk apa lalu boleh membuka ruang untuk lain pihak menafikan kewujudan dinar emas Melaka atas alasan tadi - Melaka menggunakan emas urai dan ketulan. Namun harus difikirkan juga kedudukan Melaka sebagai sebuah empayar. Dr Supian bersetuju dengan pandangan saya bahawa mungkin Melaka pada awalnya tidak memiliki matawang sendiri lalu menggunakan dinar Pasai kerana kedudukan kerajaan itu yang lebih awal mencapai kegemilangan. Tetapi apabila Melaka telah berkembang cukup besar seperti yang berlaku pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah (1379-1449 menurut perkiraan baru), maka ia harus memiliki dinar atau matawang sendiri. Hal ini serupa seperti Nabi Muhammad SAW sendiri dikatakan menggunakan syiling emas atau dinar kerajaan Rum untuk berjual beli. Tetapi apabila pengaruh Islam sangat besar sehingga dapat menakluki empayar Parsi, Saidina Umar yang ketika itu menjadi khalifah mula mencetak dinar emas atas nama Islam juga matawang dirham daripada perak.

Saya tersenyum gembira mendengar kenyataan Dr. Supian juga sokongan yang diberikan terhadap kata-kata saya. Saya meminta kebenaran untuk menggunakan kata-kata beliau untuk dimuatkan ke dalam penulisan terutama untuk menyampaikan berita gembira bahawa dinar emas Melaka diakui wujud kepada rakan-rakan aktivis dinar dan dirham seperti Norbaini. Persoalan seterusnya, kalau begitu ke manakah menghilangnya dinar emas Melaka sehingga belum diketemui hingga ke hari ini. Beliau memberikan jawaban - banyak telah hilang bersama rombongan kapal Flor de la Mar yang digunakan untuk mengangkut harta rampasan selepas Portugis menakluki kota Melaka 1511.

Saya bertanyakan ini pula : "Apakah ada kemungkinan kerajan Johor yang mewarisi pemerintahan ke atas jajahan takluk Melaka telah melebur dinar emas Melaka lalu mencetaknya menjadi dinar Johor? Mungkin ini berlaku akibat Johor kekurangan emas untuk cetakan baru..."

Dr. Supian berfikir sejenak lalu menjawab begini : "Sebenarnya ada cerita peleburan tetapi ia berlalu begini. Portugis mengumpul seluruh dinar atau matawang emas Melaka lalu membuat pengumuman mengajak rakyat melihat matawang emas Melaka buat kali terakhir. Kemudian semuanya dileburkan."

Apabila diminta sumber cerita ini beliau tidak mahu menyatakannya. Katanya memang ada sumber dan apabila ditanya apakah daripada orang Portugis jawab beliau, tidak, ia daripada tulisan orang Melayu.

Saya sudah lupa apakah Dr Supian menyebut dinar emas Melaka dileburkan menjadi matawang Portugis atau setakat dileburkan sahaja, mungkin menjadi jongkong. Tetapi apabila difikirkan kembali sangat logik dinar emas Melaka dijadikan matawang Portugis. Ini kerana Portugis memiliki polisi menghancurkan segala kesan ketamadunan Melayu dan Islam yang terdapat di Melaka. Sebab itu tidak wujud lagi masjid, istana atau apa-apa binaan orang Melayu daripada zaman itu, yang ada seperti Masjid Kampung Hulu dibina selepas Belanda masuk memerintah Melaka menggantikan Portugis tahun 1641. Diberitakan, batu-batu nesan orang Melayu pun dicabut Portugis lalu dikitar semula menjadi tembok kota. Jadi apa hendak dihairankan jika benar dinar emas Melaka telah dilebur menjadi matawang Portugis? 

Ya, ini sangat logik memandangkan selepas Portugis menakluki Kota Melaka, mereka asyik berperang dengan kerajaan-kerajaan Melayu yang mahu membebaskan Melaka, Bila pula ada masa untuk menggali atau melombong emas? Yang pasti syiling emas Portugis Melaka (era pemerintahan mereka 1511-1641) memang ada dan diketahui ramai. Google sahaja "Portuguese Malacca gold coins".

Persoalan seterusnya takkan takda walau satu pun dinar emas Melaka 'terlepas' ke mana-mana? Sedangkan dinar emas Pasai, Aceh juga Johor boleh ditemui sampai sekarang. Ketika itu saya tak terfikir mungkin dinar ketiga-tiga kerajaan itu masih ada kerana bukti kebesaran ketamadunnya tidak sempat dihilangkan oleh Portugis mahupun mana-mana kuasa asing. Tiba-tiba Dr. Supian menjawab begini : "Sekeping dinar emas Melaka pernah dipamerkan di Lisbon (Portugal) suatu masa lalu."

Katanya hal ini pernah diceritakan dalam satu jurnal berbahasa Inggeris yang pernah dibacanya suatu masa dahulu. Ia adalah tulisan tahun 1950 gitu, dinar emas itu pernah dipamerkan tetapi selepas itu ia hilang tanpa berita. Oleh kerana susah sangat nak cari dinar emas Melaka persoalan beralih pula kepada matawang Melaka yang telah ditemui setakat ini. Kata Dr. Supian matawang timah ada banyak telah ditemui daripada zaman 4 orang sultan Melaka iaitu Sultan Muzaffar Syah, Sultan Mansur Syah, Sultan Mahmud dan Sultan Ahmad (anakanda Sultan Mahmud, pernah diangkat oleh ayahandanya sebagai pemerintah Melaka sebelum Portugis menyerang 1511).

"Apa jadi pada matawang Sultan Alauddin?" tanya saya. Baginda memerintah selepas Sultan Mansur dan sebelum Sultan Mahmud. Kenapa berlaku kelompongan? Kebetulan pihak saya tak sampai 2 minggu baru menjayakan acara ke-11 HIKMAH di sebelah makam sultan Melaka tersohor ini di Pagoh. Kami juga mengadakan majlis hol atau ulang tahun kemangkatan baginda, pertama kali ia diadakan dalam sejarah yang diketahui orang.

Jawab beliau 3 keping matawang timah tertulis nama baginda telah ditemui ketika satu kerja ekskavasi dilakukan di tepian Sungai Melaka tahun 2005. Saya terlupa bertanya untuk apa, kalau tak salah untuk mencari batas dinding kota yang dikenali sebagai kota A Famosa (kini dipercayai sesetengah pihak sebagai kota asal Melayu Melaka tetapi diubah sedikit bentuk lalu didakwa buatan Portugis). Tetapi kesemuanya telah dibeli pengumpul atau kolektor dari Singapura. Saya bertanya bagaimana ini boleh berlaku? Kenapa ada yang sanggup membiarkan matawang begitu berharga terlepas ke tangan orang asing? Kenapa tidak disimpan pihak muzium? Jawab Dr. Supian kalau ada orang sanggup membeli tunai harga RM5,000 atau lebih untuk sekeping syiling atau koin timah apa reaksi kita? Apakah akan dibuat pada kala pihak muzium tempatan 'tergagap-gagap' hendak menunggu kelulusan itu dan ini?

Saya tak ingat bagaimana kenyataan beliau seterusnya keluar. Mungkin susulan daripada cerita tentang ekskavasi di Sungai Melaka. Kata Dr. Supian KEMUNGKINAN BESAR ADA DINAR EMAS MELAKA MASIH TERTANAM DI SEKITAR SUNGAI MELAKA lalu boleh ditemui mereka yang berusaha. Semoga ada pihak terutama kerajaan negeri dapat mencarinya. Sesungguhnya dinar emas Melaka adalah bukti ketamadunan yang amat penting untuk tatapan kita semua. Sekian selamat malam.


p/s : Saya tak tanya ini tapi ada kemungkinan dinar emas Melaka juga tersorok dalam perbendaharaan di Pulau Nangka yang berdekatan Pulau Besar itu. Tapi itu dah masuk bab mistik, harta akhir zaman. Selagi boleh biarlah cuba cari yang nyata dahulu ya... :]


Ralat : Disedari apabila membaca kembali artikel ini akibat perbincangan tentang dinar dirham dan khalifah apabila ada kawan seperjuangan datang bertandang ke rumah pagi Selasa 7 Mei 2024. Pada permulaan artikel saya ada menulis bahawa kerajaan Uthmaniyah naik sebagai pusat kekhalifahan umat Islam setelah mengalahkan kerajaan Mamluk yang berpusat di Mesir, pada tahun 1512.Yang sebenarnya ini berlaku pada tahun 1517. Tapi saya tak boleh ubah pada teks atas kerana ia adalah salinan bulat-bulat daripada satu posting di Facebook pada sekitar waktu itu, 10 tahun lalu. Bukan polisi saya mengubah sesuatu yang sudah lama terpampang di mana-mana. Sebaliknya lebih elok dipaparkan sebagai ralat.


5 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Assalamualaikum Tuan Merah Silu.

Kalau Kedah pula ada tak dinar emas.Kalau tak silap Sultan Kedah iaitu Sultan Muhammad adalah biras kepada Sultan Malikul Dzahir.

Unknown berkata...

As Salam Tuan Merah, sangat2 saya terharu menemukan blog tuan ini. Terima kasih.

Tanpa Nama berkata...

Syabas abg atas penulisan ini - kalau dapat ditemukan dr Sufian dan juga individu penemu dinar2 mas johor yg diclaim dapat dari sungai johor bagi verifikasi apakah benar ia antik ataupun buatan baru - amatlah besar ertinya bagi dunia melayu dan dunia numismatik. Semoga darajat dinar melayu tidak diperkotak katikkan manusia ya rakus mengaut untung dgn memanipulasikan cerita - Insyallah

ZEDY berkata...

Assalamualaikum Tuan Merah Silu.Nak tanya.Kalau Kerajaan Umayyah Andalusia pula dari tahun berapa ke berapa?

Radzi Sapiee berkata...

Wassalam. Penguasaan Islam di Sepanyol/Andalusia bermula dengan penaklukan Tariq bin Ziad 711. Semasa itu memang zaman kekhalifah Bani Umaiyyah. Islam dihalau keluar dari sana 1492. Tapi pemerintahn Umayyad telah runtuh lebih awal apabila ia berpecah2 menjadi negeri2 kecil tahun 1031.