Salam. Artikel ini cadangnya mahu dibuat malam Jumaat iaitu semalam. Sebaliknya saya terasa penat dan mengantuk amat, petang tadi baru dapat memulakan proses membuat artikel sokongan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Bersambung dari Ziarah dan umrah 2013 - Umrah kedua yang memakan masa Asar ke Isyaq.
Pagi Isnin 8 April 2013, selepas sarapan jemaah kami pun keluar dari hotel.
Kami menaiki bas yang disediakan untuk membuat lawatan luar...
Ini dimulakan dengan berhenti di satu tempat melihat bukit atau gunung bernama Jabal Thur, tempat Nabi Muhammad SAW dan sahabat baginda, Saidina Abu Bakar pernah menyembunyikan diri dalam gua daripada buruan puak kafir Quraish yang mahu menghalang mereka dari berhijrah ke Madinah.
Seterusnya kami dibawa ke Padang Arafat. Dalam perjalanan boleh kelihatan landasan kereta api untuk kegunaan musim haji.
Kami berhenti berdekatan bukit kecil bernama Jabal Rahmah, tempat Nabi Adam dikatakan bertemu kembali dengan isteri baginda Siti Hawa setelah terpisah lebih 40 tahun. Saya dan isteri pun mengambil peluang untuk memanjat ke puncak.
Bukit ini terkenal sebagai tempat makbul orang berdoa untuk mendapatkan jodoh. Saya yang pernah naik bersendirian 5 tahun lalu sudah lama menyimpan niat membawa isteri naik ke atas. Lihat artikel (The hill called) Jabal Rahmah dan Views from the hill called Jabal Rahmah.
Selepas itu kami menghala ke Mudzalifah dan Mina. Dalam perjalanan kelihatan binaan sistem perairan bertembok daripada zaman lampau.
Di Mina saya mengambil gambar dari beberapa sudut. Lihat Passing through Mina. Saya tak ingat apa sejarah menara dalam gambar ini. Saya cuma ingat ia juga adalah satu binaan lampau penting yang menandakan sesuatu.
Perjalanan diteruskan ke Jiranah, tempat miqat di sebelah timur Mekah. Saya rasa ketika itu semua ahli jemaah memasang niat untuk menunaikan umrah. Lihat Masjid (Mosque of) Jiranah.
Kami kembali ke pusrt kota melalui jalan berdekatan bukit yang dipanggil Jabal Nur.
Dekat puncak bukit ada Gua Hira', tempat Nabi Muhammad SAW mendapat wahyu pertama lalu dilantik menjadi rasul. Saya berhajat untuk membawa isteri naik ke atas bermalam di gua nanti.
Kami sampai ke hotel sekitar 12 tengah hari. Bas tidak menghantar terus ke Masjidil Haram kerana jemaah disarankan makan tengah hari terlebih dahulu. Selepas itu ada yang bergegas ke masjid sementara saya dan isteri memilih untuk berehat di hotel. Masuk waktu Asar baru kami menuju ke masjid melalui satu terowong short-cut. Lihat The tunnel under the Mecca clock tower. Selepas itu kami pun menunaikan umrah.
Apabila selesai kami keluar melalui pintu Marwah lalu berjalan kaki ke utara.
Saya mahu membawa isteri melihat Masjid Jin. Lihat artikel Masjid Jin (Mosque of the Djinns) dan Masjid Jin yang rasmi (The official mosque of Djinns).
Ini diikuti ziarah ke tanah perkuburan utama di Mekah iaitu Ma'ala. Di sini terdapat makam isteri pertama Rasulullah SAW iaitu Siti Khadijah. Lihat Tanah perkuburan (The burial ground of) Ma'ala dan Makam (Tomb of) Siti Khadijah.
Satu cerita menarik di Ma'ala adalah kami ditahan dua orang berpakaian seragam, tak pasti polis atau pengawal keselamatan tanah perkuburan. Ini kerana kami masuk melalui lubang tembok short cut... kami tidak dapat menemui pintu masuk sebenar. Dan lagi orang perempuan sebenarnya dilarang masuk ke tanah perkuburan. Nasib baik seorang daripada mereka bermuka Melayu dan tahu bercakap Melayu. Kedengaran dari loghatnya seperti berasal dari Kelantan. Isteri cuma diminta keluar balik melalui lubang tadi sementara saya dibenarkan terus masuk ke tanah perkuburan. Kalau tak risau juga kalau kena masuk lokap...
Baru sahaja saya menyambung langkah berhenti sebuah kereta besar. Pemandunya seorang doktor berbangsa Afrika seperti sudah tahu saya mahu ke makam Siti Khadijah lalu mengajak naik. Makam itu terletak di atas bukit. Alhamdulillah, jimat juga tenaga. Selain itu beliau dapat menunjukkan kedudukan tepat makam yang tidak ditanda melalui satu bahagian tembok tepi yang memberikan pemandangan tidak terhalang.
Dari Ma'ala kami mengorak langkah kembali ke Masjidil Haram. Dalam perjalanan tergerak untuk singgah di sebuah masjid berhadapan Masjid Jin. Lihat Masjid (Mosque of) Syajarah. Selepas itu isteri tiba-tiba mengajak saya membuat satu lagi umrah. Kami pun mendapatkan teksi untuk ke masjid di atas, Masjid Taneem atau Tan'im, tempat terdekat untuk miqat.
.
Kami memulakan umrah hampir jam 10.30 malam. Umrah yang merupakan kali keempat dibuat kami suami isteri ini tamat lebih kurang 2 jam kemudian.
Saya mengajak isteri berehat dan tidur di paras dua masjid. Menariknya Masjidil Haram ni kita boleh bersama isteri pergi ke mana-mana bahagian. Kami tidur sebelah menyebelah berkongsi satu beg sebagai bantal pun tiada orang melarang. Cuma waktu solat sahaja harus berpisah ke kawasan laki-laki dan perempuan.
Sekitar jam 3.45 saya terbangun lalu tergerak untuk naik ke paras ketiga, paras paling atas.
Semasa kali pertama menunaikan umrah tahun 2005 saya tidak berpeluang naik ke atas kerana pintunya ditutup. Saya pun melihat pemandangan sekeliling puas-puas. Lihat Views from the top floor of Masjidil Haram.
Setelah beberapa ketika timbul rasa untuk ke bawah mencium Hajarul Aswad. Saya membiarkan isteri tidur kerana tidak mahu menganggu. Hari sebelumnya iaitu siang Ahad saya pernah cuba membawa isteri mendekati batu suci dari syurga itu. Tetapi kami setakat dapat sampai paling dekat pun tinggal satu orang di hadapan sebelum ditolak balik ke belakang.
Apabila isteri tidak lagi dapat tahan bersesak-sesak saya pun mencuba sendirian. Namun saya pun setakat dapat memegang Hajarul Aswad, tidak sempat mengucupnya kerana terasa amat berat ditekan dan ditolak orang. Sungguh, dalam keadaan demam batuk selsema yang melanda diri sejak di Madinah hampir seminggu sebelumnya saya terasa kekuatan untuk menembusi lautan orang demi mencium Hajarul Aswad amatlah kurang. Sungguh ketika itu saya terasa semakin berumur, kurang lasak bertahan dengan gelagat kasar perebutan orang yang terasa semakin ramai.
Dahulu, tahun 2005 saya dapat mencium Hajarul Aswad 11 kali. Kali ini saya berniat dalam hati dapat sekali pun cukuplah. Awal pagi itu, pagi Selasa Allah pun memberi saya peluang mengucupnya. Punyalah terasa suka dan syukur saya tidak berdoa apa-apap tetapi setakat mengucap alhamdulillah 3 kali.
Untuk pengetahuan itulah satu-satu kalinya saya dapat mengucup Hajarul Aswad untuk tahun 2013. Isteri saya pula berpeluang menyentuhnya tapi pada hari lain. Sejurus sebelum masuk waktu Subuh kami dikejutkan agar bersedia untuk bersolat jemaah. Ketika itulah baru kami berpisah tempat.
Selepas solat baru kami mengorak langkah kembali ke hotel.
Dalam perjalanan singgah di sebuah kedai gunting rambut .
Sejak beberapa hari itu saya memang menyimpan niat untuk membotakkan kepala. Cuma fikir saya biar setelah membuat umrah terakhir mungkin hari Rabu atau Khamis? Namun awal pagi Selasa itu saya terasa cukup puas dengan empat umrah yang sudah dibuat ditambah kucupan Hajarul Aswad. Gugurlah rambut panjang yang sudah menghiasi kepala ini buat beberapa lama. Harap gugur juga segala macam dosa, penyakit dan perkara yang tidak baik...