Dalam zaman moden di mana kaedah melihat anak bulan telah banyak digantikan dengan kiraan falak pun masih wujud perbezaan. Misalnya pada hari Rabu 1 Jun 2011 program bernama Dator yang saya gunakan untuk menterjemah tarikh dari kalendar Gregorian (kalendar Mat Saleh yang kita gunakan dalam kehidupan seharian) kepada kalendar Hijrah dan sebaliknya menunjukkan hari itu sudah 29 Jamadil Akhir 1432 Hijrah sedangkan apabila disemak pada suratkhabar Melayu seperti Utusan Malaysia, 1 Jun itu adalah bersamaan 28 Jamadil Akhir. Namun faktor kiraan falak yang berbeza kadangkala terseleras kembali akibat bulan Islam ada masanya merangkumi 29 hari, ada pula 30 hari. Khamis siang tadi iaitu 2 Jun 2011, Dator menunjukkan tarikh 30 Jamadil Akhir sedangkan Utusan Malaysia 29 Jamadil Akhir. Tetapi masuk sahaja hari Jumaat kedua-kedua sumber menunjukkan tarikh 1 Rejab.
Oleh kerana bulan Islam tidak sampai 31 hari maka memang mengikut Dator 1 Rejab harus jatuh Jumaat iaitu hari ini. Tetapi apa kata Utusan Malaysia atau mana-mana agensi rasmi Islam di Malaysia? Kalau Jamadil Akhir di negara kita cukup 30 hari, maka 1 Rejab harus jatuh hari Sabtu. Di manakah saya mahu merujuk dengan tepat kerana di tangan saya tidak ada kalendar penuh menunjukkan tarikh Hijrah?
Sebenarnya semasa menulis ayat di atas baru saya terfikir tentang kalendar yang boleh dicari di mana-mana. Rasanya isteri saya ada menyimpan satu kalendar sebegitu untuk tahun 2011 yang menunjukkan juga tarikh Hijrah. Namun 2-3 hari lepas hingga tengah malam tadi tidak terfikir langsung tentang itu. Sebaliknya saya harus menunggu masuk jam 12 tengah malam, apabila tarikh berubah jadi 3 Jun 2011 sebelum dapat melihat website Utusan Malaysia menunjukkan ia bersamaan 1 Rejab.
Maha suci Allah. Penterjemahan tarikh yang berbeza antara Dator dengan apa yang boleh dilihat melalui Utusan Malaysia sudah kembali terselaras Oh. Kita harus ingat bahawa perubahan tarikh dalam kalendar Islam bermula selepas Maghrib sedangkan dalam kalendar Gregorian ia bermula selepas tengah malam. Ini bermakna 1 Rejab sudah bermula sekitar 5 jam tadi (ayat ini ditulis pada jam 1:35 pagi). Namun perubahan tarikh pada mana-mana website yang menunjukkan tarikh Hijriah rata-rata cuma dapat dilihat apabila tarikh Gregorian berubah. Maka masuk tengah malam baru saya yakin Jumaat ini sudah 1 Rejab.
Adapun saya ada menyimpan beberapa azam berkaitan tarikh ini dengan harapan mahu mendapatkan keberkatan bulan yang disebut milik Allah (Sya'aban untuk Nabi Muhammad SAW, Ramadhan untuk ummah). Antaranya adalah menamatkan penceritaan hari ke 6 perjalanan ke Pantai Timur penghujung 2010 sebelum masuk bulan Rejab. Separuh penceritaan sudah dilepaskan melalui artikel Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur : Dari Tanah Serendah Sekebun Bunga ke Bukit Marak yang dibuat hari Rabu). Oleh kerana hari ini Jumaat sudah masuk 1 Rejab, sekurang-kurangnya saya harus menyiapkan bahagian seterusnya hingga tamat sebelum masuk Maghrib.
Namun saya ada satu lagi azam yang lebih penting menjelang 1 Rejab melibatkan satu projek baru berkenaan siri buku "Berpetualang ke Aceh". Untuk itu saya harus keluar rumah sehari suntuk, maka rasanya mustahil saya dapat menyiapkan artikel sambungan sebelum masuk 2 Rejab. Maka itu untuk hari yang mulia ini biar dipaparkan dahulu sebahagian isi yang asalnya dicadangkan mahu diletakkan dalam artikel penamat hari ke 6 perjalanan ke Pantai Timur. Ia merupakan 2 klip video yang dibuat ketika melawat Masjid Brunei sambil melihat Danau Tok Uban di Pasir Mas, Kelantan sekitar 6:30 petang... dalam keadaan hujan lebat masih mencurah-curah akibat permulaan gelombang kedua musim tengkujuh yang menyebabkan kawasan Pantai Timur dilanda banjir besar sekali lagi dalam tempoh kurang sebulan.
Para pembaca sekalian. Adalah menjadi harapan saya agar dengan berkat 1 Rejab ini Allah akan memimpin diri saya yang dhaif dengan Qudrat dan Iradatnya yang berserta kelembutan dari Asma Al-Latif agar diri ini dapat disucikan sesuci-suci dari segala kelemahan dan kealpaan zahir dan bathin, nyata mahupun tersembunyi. Sesungguhnya perkataan La Hawlawala Quwwata'ila Billa hil Aliyil Azim itu disebut sesetengah ulama sebagai bermaksud Tiada Daya membuat kebaikan mahupun Upaya mengelakkan kesalahan kecuali dari Allah. Walaupun kita cuba berusaha sebaik mungkin untuk berubah dari jahat menjadi baik dengan mudah sahaja kita boleh terpalit balik dengan dosa dan maksiat kerana sudah disebut juga hati kita ini berada di celah dua jari Allah, boleh dibolak-balikkan begitu sahaja. Pada satu hari kita boleh bersolat sunat berjam-jam dan berzikir beribu kali tetapi petang itu juga boleh terbetik di hati untuk berbuat maksiat kalau pun tidak melaksanakannya. Mungkin kerana ibadat yang dibuat telah menimbulkan rasa bagus, ujub dan riak? Lalu kita dibawa terjebak lagi dalam maksiat agar kembali rasa rendah diri. Agar penyesalan selepas berbuat maksiat itu dapat membakar balik sifat-sifat buruk tersembunyi halus dalam hati?
Tuan-tuan dan puan-puan. Saya meminta Allah memimpin saya dengan Qudrat dan Iradatnya yang berserta kelembutan dari Asma Ya Latif kerana Allah juga boleh memimpin dengan kasar dengan memberikan kita mudharat dan malapetaka ibarat bapa yang harus merotan dan menyepak anak setiap kali memberi tunjuk ajar. Kalau ikut kaedah dan amalan perjalanan seorang Salik dalam mencari keredhaan Allah, kita sebagai hamba tidak layak menyoal apa-apa malah harus menerima sahaja segala yang dilontarkan kepada kita walau seburuk dan sesulit manapun sebagai ujian dalam perjalanan. Malah ianya hak mutlak Allah untuk memperlakukan kita sebagaimana yang Dia suka. Namun saya juga hamba yang sangat lemah, sangat-sangat lemah. Kemampuan untuk menahan dan menerima ujian berat-berat yang menyakitkan ada batasnya...
Apapun biar dipersembahkan 2 klip video yang menunjukkan keadaan di Masjid Brunei dan Danau Tok Uban pada satu petang hujan ya. Permintaan saya kepada para pembaca sekalian... tolong aminkan permintaan dan doakan saya. Sesungguhnya diri ini amat jauh dan begitu buruk dari keadaan sepatutnya yang layak memikul amanah. Doakan saya agar betul-betul dapat mengubah diri lalu mencapai makam yang layak untuk berbakti kepada keluarga, bangsa, ummah, agama dan negara.
2 ulasan:
Insyaallah sama-sama kita doakan yang terbaik...
Catat Ulasan