Pagi Selasa, 8 Disember 2009, kami makan pagi di sebuah warung di Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang di mana terdapat salah satu hidangan kegemaran saya iaitu pulut dengan sambal hijau...
Eh? Bagaimana pula kami boleh berada di Janda Baik, Pahang sedangkan lewat malam sebelumnya kami sedang berehat malah tidur di Masjid Kampung Hulu di tengah bandaraya Melaka?
Kalau nak tahu begitulah gaya saya berjalan. Alhamdulillah isteri dan anak-anak sudi menurut sama. Kalau ikutkan kami boleh sahaja bermalam sehingga Subuh di Masjid Kampung Hulu... kemudian barulah menyambung perjalanan ke mana-mana. Memang asalnya saya merancang begitu. Cadangnya pagi nanti baru kembali ke rumah kami di Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor.
Namun selesai sahaja beramal kemudian tidur sebentar, timbul rasa yang kuat untuk ke Janda Baik. Terus saya kejut anak isteri suruh mereka masuk dalam kereta... terus saya memandu kereta ke sana, mereka cuma tidur sahaja. Sampai di sebuah surau yang pernah menjadi tempat saya sering berehat dan menginap di Janda Baik, baru saya tidur. Seperti biasa, isteri dan anak-anak menurut sahaja...
Isteri saya pernah mengikut saya bermalam di surau ini sedangkan inilah kali pertama Haziq dan Erin sampai ke Janda Baik. Saya tak ingat jika anak kecil kami Muhammad Al-Aminul Rasyid pernah ke sana atau tidak. Yang pasti saya pernah membawa ibunya bermalam ketika sedang sarat mengandungkannya.
Di atas adalah gambar Haziq dan Erin seronok bermain-main di atas jambatan masuk ke kawasan rumah dan tempat peranginan milik seorang kawan. Yang kelihatan dalam gambar cuma sebuah rumah, di dalamnya terdapat beberapa buah lagi. Saya cukup bangga untuk menyatakan ia dibina sendiri dengan kepakaran kerja-tangan dan tulang empat kerat kawan ini berserta beberapa orang kawan lain, di atas tanah milik keluarganya. Kini ia menjadi salah satu tempat pengunjung bermalam di Janda Baik, ada daripada mereka datang dari Eropah dan tempat-tempat lain nun jauh di luar Asia Tenggara!
Yang berdiri paling kanan itulah kawan yang dimaksudkan, saudara Zaini juga dipanggil Captain, tak pastilah kenapa. Kelihatan duduk di kanannya adalah isteri beliau Suria yang berbangsa Peranchis. Itulah salah satu perkara yang mungkin 'pelik' tentang Janda Baik. Ia betul-betul boleh menemukan asam di darat, ikan di lautan dan segala macam rencah ragam...
Zaini ni dahulu cuma buat kerja kampung sahaja, sekali-sekala mengambil upah membuat binaan dan sebagainya untuk orang-orang kaya yang ramai mendirikan rumah rehat hujung minggu di Janda Baik. Seingat saya pula Suria yang juga dipanggil Fred (macam Fred Flinstone pulak, saya tak ingat nama penuhnya) sedang mengkaji sesuatu, saya tak ingat apa tapi rasanya tentang Melayu. Pengkajian itulah yang membawanya pergi ke Kuala Lumpur. Entah bagaimana ada pula orang membawa masuk ke Janda Baik. Di situlah bermula satu perkenalan...
Saya tidak pasti bagaimana Zaini mula mendapat ilham untuk mendirikan
resort atau rumah tempat peranginan sendiri. Tetapi saya rasa tidak keterlaluan jika dikatakan ia ada kena-mengena dengan kehadiran Fred dalam hidupnya. Daripada seorang pemuda kampung yang setahu saya tidak pernah menjejakkan kaki jauh walau di Malaysia, dia sudah menjadi seorang
towkay atau pemilik rumah peranginan yang dibina dengan tulang empat keratnya. Sejak berkahwin dengan Fred atau nama Islamnya Suria, saya mendapat tahu dia telah beberapa kali pergi ke luar negera termasuk berehat beberapa bulan di Peranchis! Untuk maklumat tentang rumah peranginan Zaini, sila masuk ke
Zaini Guesthouse.
Bayangkan, di sebuah kampung terpencil yang terletak 10 km ke pendalaman dari jalan lama Kuala Lumpur ke Pahang terjadi pertemuan jodoh seorang pemuda Melayu kampung dengan seorang wanita agak ranggi dari Peranchis. Ini belum lagi diceritakan bagaimana surau tempat saya bermalam bersama anak-anak pernah menjadi tempat seorang pemuda dari Turki menginap selama beberapa bulan lalu kami semua menjadi kawan.
Malah surau yang sama pernah menjadi tempat seorang lelaki berbangsa Eropah Timur beragama Islam dari Slovakia mencari ketenangan selama hampir 2 tahun! Bayangkan... kalau anda berjalan-jalan di Kuala Lumpur pun begitu susah untuk mencari mana-mana orang yang berasal dari Slovakia, tiba-tiba di Janda Baik yang terperosok jauh di kawasan pergunungan Banjaran Titiwangsa pula boleh ada seorang. Apahal? Opps. Tahukah anda di manakah letaknya negara Slovakia?
Sebelum itu, biar diberitahu di atas adalah gambar isteri dan anak-anak sedang mandi sungai bersebelahan sebuah pondok terpencil yang dijaga seorang rakan. Bangun tidur dari surau dan selesai bersolat, kami pun menuju ke sana. Rakan yang dimaksudkan pun satu hal... nak kata bekerja rasanya dia tak kerja apa-apa. Memang orang kampung pun, tidur selalu di surau, takda pun rumah milik sendiri. Tapi dengan kuasa Allah, dia boleh juga pergi sampai ke Eropah untuk menonton perlawanan bola Euro 2008. Malah ketika berjumpanya lagi awal Februari setelah lama tidak bersua muka iaitu sejak pertengahan 2009 , dia baru sahaja kembali dari satu perjalanan ke China malah ke Russia sekali. Walaupun aktiviti hariannya cuma beramal, berkebun sedikit dan lepak bersama kawan-kawan, kawan saya ini dapat juga sampai ke tempat-tempat jauh sebegitu. Tapi itu cerita kemudian. Sekarang biar ditunjukkan satu peta Eropah, saya tandakan sekali kedudukan Slovakia supaya semua boleh nampak...
Subhanallah! Kebetulan peta yang saya temui dalam Internet ini, peta yang kelihatan paling menarik dan sesuai untuk menunjukkan kedudukan Slovakia adalah peta Eropah tahun 1995. Pada tahun itulah saya telah membuat satu pengembaraan solo dengan cara
hitchike, iatu menumpang kenderaan orang sekeliling Eropah. Ditambah tidur bersepah di tepian jalan dan kaki lima bangunan, saya berjaya membuat pengembaraan selama sebulan dengan belanja tak sampai RM1,000.
Teringat bagaimana saya mula pergi ke Slovakia dari Republik Czech dengan menumpang bas yang dipenuhi 30 orang peninju yang kemudian cuba menggertak untuk mendapatkan duit. Di Bratislava, ibukota Slovakia saya tidur di tepi sebuah pohon besar di tengah bandar bersama sekumpulan ahli pertubuhan NGO Greenpeace (kalau tak salah ingatan memang Greenpeace) yang sedang menjalankan satu protes. Di ibukota itu juga saya pernah bergaduh dan bergelut dengan 2 orang pemuda tempatan yang bekerja sebagai inspektor tiket... setelah didapati bersalah menaiki tram tanpa membeli tiket. Teringat juga bagaimana saya telah berjalan kaki dari Bratislava sehingga masuk ke negara Austria. Agak-agak le berapa jauh tu?
Lihat
link-link artikel pada atas kanan
blogspot BERPETUALANG KE ACEH, di bawah tajuk "
European hitchiking trip of 1995". Ia adalah sekumpulan artikel berdasarkan pengembaraan tersebut di Eropah, ditulis dalam tahun 1996 atau 1997 gitu, ketika saya baru lagi mempelajari selok-belok menjadi seorang wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times. Hmm... elok juga
copy and paste di sini...
The story begins...
Trouble in Amsterdam...
East-West contrast in Germany
The ugly side of Prague...
Playing the fool in Bratislava...Getting classical (and Merdeka too) in Austria!Alpine frolicking in SwitzerlandGangsters of Genoa...Locked-up in Lyon!Walking 50km in Paris before closing the trip in Brussels...
Sementara saya, isteri, Erin dan Haziq sibuk bermain air sungai, Al-Rasyid yang ketika itu baru berumur sebulan 3 minggu lebih tidur sahaja di atas para di pondok bersebelahan. Berbalik pada cerita kawan dari Slovakia yang menginap di surau. Ah, baru ingat. Namanya Ibrahim! katanya dia dahulu asalnya seorang pensyarah universiti yang baru 2-3 tahun memeluk Islam sebelum datang ke Malaysia.
Ibrahim memang orang Eropah Timur sejati, bukan orang Turki atau Arab yang menetap di Eropah. Saya tidak ingat apakah masalah sebenarnya sehingga boleh terdampar di sini. Yang ingat dia ditemui oleh seorang kawan kami di Kuala Lumpur. Kelihatan dia sedang menghadapi masalah.
Hmm... rasanya barangannya termasuk paspot baru dikebas orang. Lalu kawan itu membawanya masuk ke Janda Baik, duduk di surau yang ketika itu sentiasa terdapat sekurang-kurangnya 10 orang budak-budak Tabligh. Ada yang sudah menetap beberapa lama, ada yang datang hujung minggu sahaja untuk beramal dan merasai suasana 'keluar' ke jalan Allah. Mereka datang dari seluruh pelusuk Malaysia, Sabah dan Sarawak pun ada. Malah ada juga yang datang dari Indonesia, kalau tak salah dari Pattani di Thailand pun ada!
Betul le... Janda Baik ni memang port internasional punya. Ada eloknya penceritaan diteruskan dalam bahasa kutu. Siap le engkau... hehe! :]
OK. Satu perkara yang menarik ialah Ibrahim ni sepatah haram tak geti cakap bahasa Inggeris apalagi bahasa Melayu. Kami pula sudah tentu sepatah haram tak faham bahasa Slovakia. Maklumlah, seperti disebut awal tadi bukan senang nak jumpa orang Slovakia walau di kota metropolitan seperti Kuala Lumpur. Lain le orang Turki, Peranchis, German, apa lagi orang England atau Amerika. Sekurang-kurangnya mereka biasanya fasih berbahasa Inggeris. Kalau kurang fasih pun, orang-orang bukan berbahasa Inggeris seperti daripada Turki, Peranchis dan German masih ada lingkungan orang senegara yang agak ramai di Kuala Lumpur. Dan bahasa serta negara mereka tidaklah begitu terpencil atau tidak dikenali ramai seperti Slovakia.
Namun Ibrahim kuat bercakap dan tidak pernah jemu ingin berkomunikasi walaupun dalam bahasa yang sepatah haram kami tak faham. Walaupun selama itu dia masih kurang menangkap bahasa Melayu... walaupun kami juga terus tak dapat menangkap bahasa Slovakia yang seringkali kedengaran lucu pada telinga kami. Dengan kuasa Allah dapat juga kami berkomunikasi dengan cuba memahami bahasa badan dan lenggok turun naik emosi dalam pertuturan.
Ah! Satu yang saya ingat. Favourite word Ibrahim adalah "A la skebo!". Ya... "A la skebo!". Saya pun tak tak tahu apa kejadahnya "A la skebo!" ni. Tapi rasanya maknanya macam kita cakap "Lek eleh!" le ataupun "Astaga!"... kerana biasanya Ibrahim akan menyebut "A la skebo!" apabila baru menyedari sesuatu perkara yang dia terlepas pandang gamaknya, siap dengan tepuk dahinya sekali. Dan kami sering mengajuknya. "A la skebo!" lalu berderaian ketawa... :]
Puas mandi di tepian pondok kawan, kami berehat di satu bahagian sungai lain pula di sebuah warung. Tentang Ibrahim dari Slovakia (Hmm... Ibrahim Slovakia... bunyi lebih kurang macam Ibrahim Libya lah pulak!), dipendekkan cerita, orang kedutaan Slovakia akhirnya mencarinya di Janda Baik dan saya dengar dia dibawa pulang. Itulah kali terakhir saya melihat Ibrahim, seorang makhluk Allah yang dihantar jauh dari Slovakia untuk memeriahkan erti kehidupan kami di Janda Baik. Kini surau tempat kami bertemu tidak lagi semeriah dahulu... tidak ada lagi para pengikut Tabligh menginap sepenuh masa, mungkin sekali-sekala sahaja datang rombongan 5-6 orang pada hujung minggu...
Dari warung tadi boleh kelihatan sungai yang mengalir bersebelahan rumah Syed Hussein Al-Attas, penulis buku politik yang turut dikenali sebagai Pak Habib juga S.H. Alattas. Generasi muda mungkin lebih mengenali anaknya Syed Abdullah. Adapun Syed Abdullah yang turut dikenali sebagai Uncle adalah orang yang bertanggungjawab menerbit dan memperkenalkan siri "cari hantu" Seekers yang suatu masa dahulu cukup diminati ramai.
Saya pun membawa isteri dan anak berjalan-jalan masuk ke kawasan rumah Pak Habib yang penuh dengan taman berbagai jenis tumbuhan. Maklumlah, saya pernah menumpang duduk di rumah ini dari tahun 2002 hingga 2005. Di situlah saya makan tidur dan mandi (mandi dalam sungai ekkk...) jika tidak bermalam di pejabat Pak Habib di Gombak... atau keluar merayap-rayap mengembara mencari makam dan sebagainya hingga ke seluruh Semenanjung Malaysia (dan Januari 2004 sampai ke Sumatera melalui Medan hingga ke Aceh iaitu sebelum berlakunya peristiwa Tsunami 26 Disember 2004 yang mengubah segala-galanya...)
Diakui Pak Habib banyak menolong saya menghadapi kekeliruan hidup yang melanda diri ini begitu hebat waktu itu. Namun saya bukan menumpang kosong sahaja. Selain menolong menyunting dan memperbaiki isi beberapa buah buku politiknya, sesekali saya turut menjadi kuli yang membersihkan rumah dan menjaga tanam-tanamannya.
Kami berehat di sebuah rumah separuh siap di atas lereng bukit. Untuk makluman, Pak Habib memiliki beberapa bijik rumah di atas tanah seluas 8 ekar, kalau tak salah ingatan. Rumah di lereng bukit pernah menjadi tempat kesukaan saya berehat seraya mencari ilham dan untuk menenangkan fikiran.
Pernah saya bermalam seorang diri di sini tanpa membawa apa-apa lampu (rumah ini tidak memiliki bekalan elektrik ketika itu), di atas lantai kayu dengan memakai sleeping bag sahaja, di kawasan serambi terbuka. Tengah malam terbangun apabila terdengar bunyi orang berjalan, kedengaran ada yang berbisik sesama sendiri. Seketika itu juga mata hati saya dapat melihat sekitar 5 atau 6 orang budak berjalan kaki memakai songkok dengan kain pelikat masing-masing membawa kitab, seolah-olah baru kembali dari mengaji...
Terdengar satu suara memberitahu yang lain sambil menunjuk ke arah saya memberitahu "Eh... ada orang tidur kat situ le." Walhal di sini bukan laluan orang (sekurang-kurangnya bukan laluan orang nyata seperti kita). Dan ketika itu sudah melepasi tengah malam...
Ini adalah pemandangan dari serambi rumah di lereng bukit tadi. Rumah yang kelihatan di bawah baru dibina dalam tempoh setahun dua sedangkan di hadapan sana ada lagi 2-3 rumah baru, semuanya dibuat selepas saya keluar dari rumah Pak Habib (lupa pula tempoh masa sebenarnya, apakah pertengahan tahun 2005 atau awal 2006). Teringat kata-kata Beb Lah (panggilan keluarga untuk Uncle Seekers @ Syed Abdullah AlAttas) bahawa mereka mahu mendirikan sebuah muzium hantu di situ. Pulak dah! Macam le tempat ni tak cukup hantu, hehe... :]
Puas berjalan di rumah Pak Habib kami pergi ke rumah seorang rakan. Di hadapannya ada kolam ikan...
Erin dan Haziq seronok melihat ikan yang datang seperti berderu-deru, banyaknya sehingga bertimpa-timpa apabila kami rapat. Sekarang baru saya boleh bercerita tentang rakan yang menjaga pondok tempat kami mandi tadi... kerana ceritanya boleh dikaitkan dengan rakan yang rumahnya di hadapan kolam ini.
Seperti telah disebut awal tadi, kawan yang disebut lebih awal itu kerjanya cuma beramal, berkebun sedikit dan melepak dengan kawan-kawan. Saya belum menyebut, dia juga sebenarnya ada membuat kerja mengubat orang dan selalu dijadikan rujukan dalam hal-hal kebatinan. Kawan yang lagi sorang pula pernah belajar di Universiti Al-Azhar di Mesir sebelum mengikut seorang rakannya pergi mengembara menaiki kapal layar sehingga ke Itali. Dari situ dia menjelajah Eropah sebelum membuat keputusan untuk menetap di London.
Ketika saya mula mengenalinya tahun 1995 dia sudah beberapa tahun berada di London membuat kerja-kerja biasa (bukan kerja besar atau glamour le...) seperti menjaga restoran. Kawan ini kemudian berkahwin dengan seorang pelajar peringkat PhD. Namun apabila kembali ke Malaysia dia memilih untuk duduk di Janda Baik dan membuat kerja-kerja kampung.
Tu dia... 2 orang kawan yang diketahui hanya membuat kerja-kerja kampung. Kalau ada apa-apa kerja peringkat 'internasional' yang mereka buat, mungkin kerja mengubat orang yang menyebabkan kawan pertama sering dicari mereka yang bermasalah dari seluruh pelusuk Malaysia. Kawan kedua pula pernah membuat design baju dan sebagainya melalui komputer. Namun kedua-dua kerja ini tidak dapat memberikan hidup mewah.
Mereka dapat hidup ala kadar sahaja... macam kais pagi makan pagi. Tetapi dengan kuasa Allah, mereka dibawa oleh kenalan lain berjalan-jalan ke beberapa tempat di Eropah sambil dapat menonton perlawanan bolasepak Euro 2008 di stadium, semua perbelanjaan makan minum ditanggung beres! Begitu juga yang berlaku apabila kawan pertama pergi ke China dan Russia selama sebulan dua gitu... dia baru kembali ketika saya, isteri dan Al-Rasyid selesai membuat perjalanan ke Aceh bulan Januari.
Itulah kuasa Allah. Sesungguhnya dalam tempoh masa saya di berada di Janda Baik dahululah saya mula betul-betul dapat melihat bagaimana Allah mengatur rezeki untuk setiap makhluknya. Jangan ingat kita semua dapat mencari rezeki dengan qudrat (kekuatan) dan iradat (kehendak) kita sendiri. Seringkali apa yang kita sangkakan adalah hasil penat-lelah kita sebenarnya adalah hak atau rezeki orang lain... sehingga kadangkala kita harus bertungkus-lumus mencari orang itu dan menyampaikan bahagian rezeki untuknya walaupun kita tidak pernah mengenalinya sebelum ini... walaupun apabila kita mengenalinya, ternyata dia adalah jenis manusia yang tidak pernah membuat apa-apa kerja untuk mencari rezeki seumur hidupnya.
Saya teringat cerita seorang rakan yang pernah duduk beberapa tahun, rasanya ada dalam 5 tahun di surau tempat saya, isteri dan anak-anak bermalam. Rakan ini datang dari Perak. Saya tak tahu apakah sebab atau masalahnya... seingat saya dalam tempoh itu dia tidak pernah kembali ke kampung. Duduk di Janda Baik pun tak da kerja, setakat membuat sedikit kerja-kerja kampung dan beramal di surau. Selain daripada apa itu dia banyak kelihatan duduk sama melepek bercerita dengan kawan-kawan di warung berdekatan. Apapun makan minum di surau tak pula pernah kurang. Ada sahaja yang menyumbang. Kadang-kadang tak perlu masak apa-apa langsung walaupun bahan mentah masih banyak ada. Rezeki panas boleh datang siap berhidang dibawa orang dari luar sana...
Saya ingat betapa surau kecil itu pernah menjadi tempat ramai pengikut Tabligh (juga orang lain seperti saya) mencari ketenangan seraya memperbetulkan diri dalam mencari arah baru dalam hidup. Ada di antara mereka bekas penagih dadah, pernah terlibat dengan jenayah. Yang pasti mereka menginap di surau seolah-olah sudah terputus daripada keluarga asal. Kami-kami yang menjadi pengunjung tetap suraulah yang menjadi "ahli keluarga". Ada di antara mereka-mereka ini sudah berumur lewat 30an, ada yang 40an tetapi tidak pernah pun merasa hidup berkahwin. Lalu ada yang sebelum tidur berzikir panjang lebar dengan harapan dapat bertemu bidadari dalam mimpi malam hari.
Kawan dari Perak ini termasuk dalam golongan mereka yang berharap dapat bertemu dengan bidadari. Begitulah harapannya setiap malam. Kalau kita yang tak faham keadaan melihat dari luar, besar kemungkinan kita akan mengejek dalam hati: "Begini punya rupa dengan janggut misai berterabur, muka pun tak hensem mana, kerja dan kelulusan tak ada... ingat dengan beramal berzikir tu saja boleh dapat mana-mana perempuan nak buat bini, apalagi bidadari?".
Pada tahun 2006 atau 2007 gitu, saya tak pasti, saya kembali masuk ke Janda Baik setelah beberapa bulan, mungkin lebih setengah tahun tidak ke sana. Yang pasti, ketika itu saya sudah berjaya menyajikan buku atau novel pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari diri dan erti" (terbit Jun 2006). Subhanallah! Elok dinyatakan bahawa sebahagian besar isi ketiga-tiga novel dalam siri trilogi "Berpetualang ke Aceh" ditulis dalam tempoh masa saya menetap di Janda Baik. Di sinilah saya akhirnya membuat keputusan untuk memecahkan teks asal yang merupakan kajian peribadi sejarah setebal lebih 1,000 mukasurat menjadi 3 jilid buku... dan di sinilah juga saya mula mengubahnya menjadi novel dengan harapan ia lebih senang dibaca.
Maka saya pun bertemu beberapa orang kawan lama di surau. Ternyata kawan dari Perak itu sudah tiada lagi di situ. Rupa-rupanya setelah sekian lama dia telah bertemu jodohnya. Bukan sahaja itu, dia telah menjadi menantu seorang pemilik pasaraya Bumiputera di Pantai Timur!
Menurut ceritanya pemilik ini adalah seorang pengikut Tabligh juga. Ketika kawan ini keluar berjalan untuk satu majlis selama beberapa hari di tempat orang, si pemilik yang hadir sama berkenan melihat cara kawan ini tekun beribadat lalu merekapun berkenalan. Dia juga memperkenalkan anak perempuannya dengan kawan ini. Nah, tidak lama kemudian mereka bukan sahaja dikahwinkan bahkan sang rakan yang sudah lama tidak bekerja dengarnya mendapat pekerjaan selesa sebagai menantu pemilik pasaraya...
Allah! Artikel ini asalnya dibuat sekadar untuk menutup siri "Jalan-jalan anak-beranak" demi memberi laluan kepada cerita perjalanan-perjalanan terbaru ke Aceh yang akan datang. Lalu saya bercadang cuma mahu menerangkan perlakuan di sebalik setiap gambar kemudian menutup cerita. Namun gerak daripada Allah telah membuatkan saya teringat banyak perkara berkaitan lalu saya tiada pilihan kecuali melepaskannya. Maka itu saya ingin mengambil peluang untuk menyatakan di sini... kepada Pak Habib @ S.H. AlAttas... kepada orang yang saya panggil Abah tetapi sudah lebih setahun rasanya tidak bertemu muka, biar diluahkan kata-kata ini sejujur-jujurnya...
Saya akui rasa marah saya terhadap Abah atas beberapa perkara yang pernah berlaku dahulu telah membuat saya keluar meninggalkan rumah Abah tahun 2006 (hmm... nampaknya tempoh masa ini lebih tepat). Saya akui kemudian ada meluahkan rasa marah dalam beberapa penulisan saya di Internet terutama melalui sebuah forum yang saya mulai aktif sebagai ahli penghujung tahun itu. Saya akui ada cara-cara Abah yang masih tidak saya senangi sehingga kini dan saya rasa Abah juga ada rasa begitu terhadap saya. Saya ingat lagi Abah menyebut saya sombong kerana tidak mahu mengikut cara yang disarankan Abah dalam mencari pengaruh dan rezeki di dalam dunia penulisan.
Abah... saya rasa kita sudah lama memahami prinsip masing-masing dan memangpun sudah lama berpegang pada kata-kata Inggeris ini let's agree to disagree. Namun bab cara gerak-kerja dan pandangan tentang dunia itu hal lain. Perkara sebenar yang membuat saya kecil hati dengan Abah lalu mula membawa diri adalah apabila Abah mengherdik suruh saya mencerminkan diri mengatakan saya tak layak berkahwin dengan artis.
Untuk isteriku Nor Afidah binti Yusof, jika Sayang membaca segala ini biar Abang meneruskan luahan. Jangan khuatir tentang kasih-sayang Abang terhadap Sayang. Biarlah Abang meluahkan rasa yang bakal membuka pintu perjalanan hidup kita seterusnya, Insyaallah sentiasa dalam penjagaan dan restu Allah belaka!
Berbalik kepada Abah. Saya tahu keadaan saya ketika itu begitu teruk kerana kehilangan arah hidup, selain berlaku beberapa perkara yang amat mencengkam jiwa. Namun saya bukanlah kokak sangat sehingga Abah rasa patut menghina saya begitu sahaja. Walaupun saya belum lagi menulis buku sendiri ketika itu, walaupun dalam keadaan amat tak terurus seperti orang gila isim yang sering berjalan-jalan ke sana ke mari dengan pakaian buruk compang-camping, saya masih lagi seorang graduan Matematik daripada University College of London. Saya juga pernah mencipta nama sebagai wartawan di The New Straits Times. Walaupun saya tidak lagi memiliki apa-apa wang dan harta ketika itu, saya tetap memiliki harga diri.
Seharusnya kalau Abah rasa saya tak layak berkahwin dengan artis, Abah sebagai orang yang dipanggil Abah, tempat seorang anak menaruh harapan patut menolong saya menjadi stabil kembali... sehingga sampai ke tahap yang Abah katakan layak itu. Ingat tak Abah berjanji akan menolong saya membuat buku dan menerbitkannya? Itu yang membuat saya bersemangat untuk bekerja dengan Abah. Sebaliknya saya terasa segala tenaga dan buah fikiran saya dipergunakan begitu sahaja. Janji-janji Abah cuma gula-gula sahaja agar saya terus membuat kerja tanpa gaji... dapatlah sedikit elauns untuk makan-minum yang kalau dihimpunkan untuk sebulan pun baru dapat 1/20 gaji saya sebulan di The New Straits Times dahulu. Itupun Abah pernah beberapa kali ungkit, konon saya tidak mengenang budi!
Apapun, saya kini sudah kembali berkeluarga dan sudah ada anak baru. Setelah sekian lama, baru saya betul-betul reda, hilang rasa marah dan kecewa terhadap Abah. Saya akui saya banyak belajar cara-cara membuat buku ketika bekerja dengan Abah. Dari kerja menyunting buku-buku Abah lah saya dapat menangkap cara-cara menggunakan Adobe Pagemaker dan Photoshop sehingga mampu menyiapkan mock copy atau buku contoh sendiri.
Daripada saranan dan duit RM70 yang diberikan Abah lah saya mendaftarkan syarikat kecil penerbitan sendiri di ROC. Cuma selepas meninggalkan rumah Abah baru saya mengambil inisiatif menerbitkan buku sendiri, mencari kilang percetakan yang patut seterusnya pengedar yang sudi menyampaikan buku-buku yang terbit ke kedai-kedai di seluruh Malaysia. Akhirnya terbitlah "Berpetualang ke Aceh : Mencari diri dan Erti". Buku sambungan dengan tajuk kecil "Membela syiar yang asal" dan "Sirih pulang ke gagang?" menyusul dalam tempoh setahun lebih kemudian...
Dengan ini saya menyusun jari memohon ampun dan maaf atas segala apa perbuatan saya yang menyakitkan hati Abah. Saya akui mungkin terlalu mengambil masa untuk saya menerima dan memahami perbuatan Abah, walaupun perbuatan itu mungkin dibuat secara tidak sengaja kerana hakikatnya semua perbuatan kita berasal daripada Allah jua. Untuk Beb Lah, nah... sekarang aku harap engkau faham kenapa aku boleh bang Abah dalam Internet dulu. Ele... adik lu sorang pun dulu pernah merajuk kena herdik ngan Abah kan? Sampai bawak diri ke London lagi!
Adapun gambar di atas menunjukkan Haziq di hadapan sebuah rumah lama yang dibawa dari Perak lalu dipasang balik di Janda Baik. Rumah lama milik seorang kerabat diraja terdekat Perak ini menjadi tempat persinggahan terakhir kami sebelum kembali ke Bandar Tasik Puteri di mana Erin dan Haziq harus bersedia untuk kembali ke Kelantan. Rumah lama ini pernah dijadikan latarbelakang satu fasa penceritaan yang lebih berbentuk mistik dalam buku "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?". Biar beberapa mukasurat daripada bab dalam buku, bertajuk "Impian seorang petualang : Melangkaui adat dan masa" menutup siri "Jalan-jalan anak-beranak" ini.
---------------
Malam tujuh likur pada suatu bulan Ramadhan... Tiba-tiba Rasyid terbangun daripada tidur yang agak nyenyak, tidur yang dapat memberikannya sedikit kerehatan setelah lama hidup terpinga-pinga mencari jawaban kepada segala persoalaan yang membelenggu jiwanya.
Lima hari lepas, anak muda berdarah Aceh ini baru sahaja selesai mengolah-kembali buku ketiga “Berpetualang ke Aceh”, setelah masuk dua tahun berhempas-pulas mengusahakan siri bukunya itu. Sedar tidak sedar, buku-buku yang meliputi 1,200 tahun sejarah keSultanan Perlak, Samudera-Pasai, Melaka, Aceh dan Perak sehingga ke pergolakan politik Timur Tengah juga peristiwa-peristiwa melibatkan para Ahlul Bait anak cucu Rasulullah SAW terutama cucu sulung baginda, Saidina Hassan yang pernah menjadi Khalifah umat Islam 1400 tahun dahulu juga membawanya untuk mengupas peristiwa Perang Salib, pembebasan Baitul Muqaddis malah grand design atau rancangan besar Zionis untuk menakluki dunia!
Proses penulisan buku telah beberapa kali tergendala dirundung berbagai masalah, daripada hal peribadi sampai ke gangguan pihak tertentu. Buku ini asalnya siap ditulis (sebelum diolah-balik) dalam tempoh kurang dua bulan, pada 18 Ramadhan 1425 atau tahun Masihi 2004... Tetapi terpaksa dipecahkan kepada tiga jilid kerana penulisan asal yang dimuatkan ke dalam progam Adobe Pagemaker telah melangkaui 1,000 mukasurat!
Dahulu, ada pihak berjanji untuk menolong menerbitkan siri buku ini tetapi tidak menunaikannya. Kalau tidak, mungkin semuanya telah terbit bermula Disember 2004. Seorang penerbit lain pula pernah merancang mengeluarkannya September 2005 tetapi orang yang mengenalkan Rasyid dengannya pula memutuskan perhubungan mereka, tak pasti kenapa. Yang nyata, keluarga orang ini mula menunjukkan rasa tidak senang terhadap pemuda itu apabila penerbit yang merupakan kenalannya menunjukkan lebih minat terhadap siri buku “Berpetualang ke Aceh” daripada buku usahanya sendiri yang ingin diketengahkan kepada penerbit yang sama.
Yang membuat anak kelahiran Muar, Johor itu sedih, kedua-dua pihak yang berjanji untuk menolongnya mengaku saudara sehingga menganggap pemuda itu anak kandung sendiri. Lalu Rasyid pernah bermunajat di hadapan Ka’abah memohon petunjuk dan beristikharah samada buku mengenai Aceh dan peristiwa-peristiwa berkaitan itu boleh diterbitkan untuk tatapan umum atau sekadar dibuat simpanan peribadinya sahaja.
Lebih sebulan kemudian, baru dia mendapat petunjuk untuk menyambung usaha. Seterusnya Rasyid terjumpa seorang penerbit yang lebih komited. Cuma pihak ini ada mengemukakan satu syarat... Olah-balik ia dalam bentuk novel supaya lebih senang dicerna dan difahami semua golongan. Kalau tidak mungkin isinya terlalu berat...
Walaupun mereka akhirnya tidak jadi bekerjasama kerana berselisih pendapat tentang beberapa bahagian isi cerita, itulah langkah pembuka yang menyebabkan bukunya mendapat bentuk yang sesuai. Setelah berbulan bersengkang-mata lagi sampai demam-demam dan bisa badan di samping menepis pelbagai gangguan, terbitlah buku “Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti” Jun 2006 atas nama syarikat penerbitan sendiri. Baru terasa beban pengetahuan yang dipikul selama ini dapat dilepaskan.
Bersantailah Rasyid di pusat bandaraya Kuala Lumpur menyusuri Jalan Tuanku Abdul Rahman, singgah di beberapa tempat sebelum bertandang ke Masjid India kemudian menaiki LRT ke KLCC. Di bawah naungan Menara Berkembar Petronas, sempat bermain chap teh, permainan Melayu tradisional menimbang bulu ayam yang dilekatkan pada getah keras mengunakan kaki bersama beberapa orang pemuda yang bertugas membuat demonstrasi permainan. Rupa-rupanya ada juga yang belum selesai. Itulah yang membuat anak muda ini tiba-tiba terjaga satu malam...
-------------------
Rasyid mengesat mata lalu mencapai bumbag yang mengandungi dompet, telefon bimbit serta beberapa set kunci untuk mengambil jam-tangan...
“Ah… Jam 4 lagi!” bisik hatinya. “Macam tak ada time lain nak terjaga.”
Memang dia selalu ‘dihantui’ jam 4. Samada susah hendak tidur, cuma dapat lelap kemudian atau dapat tidur awal kemudian terjaga pada waktu itu. Tak tahulah kenapa... Kata orang Cina, nombor 4 ini menandakan mati! Mungkin sebab dia pernah menyimpan hasrat untuk mati cepat?
Anak muda yang sudah lama teringin hendak menamatkan zaman kembaranya ini bangun mengensotkan diri keluar daripada sleeping bag yang digunakan untuk menahan sejuk di rumah tradisional Melayu lama tempatnya menginap malam itu. Rumah dari Perak yang dicabut papan, tiang dan bumbungnya satu persatu lalu diangkut kemudian dipasang balik di Kampung Janda Baik, Pahang itu dimiliki seorang kerabat diraja Perak.
Ada orang memberitahu, rumah usang tidak berpaku dengan seni awan-larat terukir indah serta empat tiang seri ini adalah sebuah istana lama berusia lebih 100 tahun yang berasal daripada Gunung Semanggol. Pada Rasyid, ia adalah salah satu tempat kesukaannya untuk berehat dan bermalam apabila perlu bersendirian dan tidak mahu diganggu orang. Lokasinya yang terpencil di apit sungai, bukit-bukau juga hutan menghijau dengan bunyi unggas yang menghiburkan cukup ideal sehingga dia merasakan ada secebis perasaan home sweet home setiap kali bertandang...
Entah kenapa, Rasyid juga dapat merasakan ada suatu kaitan peribadi yang kuat antara dirinya dengan rumah yang dibina dengan kayu cengal ini. Dia pernah berkelana seorang diri ke Gunung Semanggol semata-mata untuk mencari sejarah dan asal-usul rumah ini... Sayangnya, bekas pemilik rumah yang berjaya dijejaki di sebuah kampung di belakang madrasah terkenal Ma’ahad Ihya El-Sharif tidak dapat memberikan jawaban yang memuaskan. Pakcik berumur lebih 70 tahun itu setakat boleh memberitahu rumah tersebut adalah milik keluarganya turun-temurun... Itulah tempatnya lahir dan membesar. Kemudian ia dijual kepada seorang Raja Bergelar Perak, melalui seorang ahli keluarganya yang dikenali sebagai Minah Lawa.
“Minta maaf nak!” katanya. “Pakcik cuma tahu kami ada keturunan Raja campur Sayyid. Pakcik tak ingat sejarah panjang rumah dan keluarga.”
Adalah juga petunjuk kenapa rumah itu terasa begitu selesa...
———————
Rasyid keluar dari pintu hadapan rumah untuk ke serambi...
“Wow! Kabus!” dia teruja melihat laman rumah diselimuti kabut.
Pemuda itu turun tangga berlari-lari anak. Ada satu pemandangan menarik yang jarang terlihat menunggu di bawah – Sinaran lampu kuning keluar menyelinap daripada celahan awan larat, kelihatan seperti beratus panahan cahaya sangat cantik menembusi kabus tebal. Pemandangan yang mengasyikkan ini membuatkannya duduk bersila di atas sebuah batu hampar. Tidak lama kemudian, tergerak pula hendak menunaikan solat sunat lalu melangkah ke anak sungai yang menjadi sempadan kawasan.
Selesai mengambil wuduk, Rasyid mula kesejukan. Dia berlari naik ke rumah terus ke sejadah yang sedia terbentang di ruang hadapan. Walaupun badannya menggelatar kuat kerana kedinginan air yang melekat di tubuh-badan, pemuda ini telah membiasakan diri membiarkan air wuduk kering sendiri... Terus melafazkan niat, mengangkat takbir lalu ‘menghilangkan’ diri di dalam solat. Selesai itu, dia duduk bersila kemudian mula berwirid.
Dalam berwirid itu, tiba-tiba fikirannya terimbas kembali perjalanan ‘petualangan’ ke Aceh yang bermula dari Kuala Lumpur malam Tahun Baru 2004... Pergi ke Perak untuk menziarahi beberapa lokasi terpilih termasuk makam-makam lama kemudian ke Pulau Pinang, tidur di Masjid Lebuh Aceh tiga malam sebelum menaiki feri ke pelabuhan Belawan.
Rasyid juga teringat lawatannya ke Masjid Raya Al-Mansun dan Istana Maimoon di Medan, seterusnya ke Masjid Raya Azizi di Tanjung Pura sebelum bermalam di Kampung Babussalam, pusat Tariqat Naqsyabandiah-Khalidiyah. Terbayang dirinya ditahan askar di sempadan Aceh lalu ‘terbawa’ ke Pengkalan Brandan seterusnya Pulau Kampai setelah diberitahu akan kewujudan sebuah makam lama di sana iatu Makam Mas Merah.
Ini diikuti perjalanan kembali ke Medan demi mendapatkan surat sokongan masuk ke Aceh daripada Kedutaan Besar Malaysia. Walaupun mereka sebenarnya melarang, dia dapat juga bertapak di bumi Serambi Mekah walau setakat di Langsa, 40km dari sempadan... Sebelum dideport imigresyen tiga hari kemudian, ketika hendak melangkah ke Perlak!
Rasyid bermalam lagi di Pengkalan Brandan tetapi disoal-siasat pihak tentera. Terpaksa turun ke Medan terus ke Batu Bara demi memenuhi pesanan almarhum Nenek agar mencari saudara-mara. Dari sana dia pergi ke Tanjung Balai... Setelah mendapati tiada jalan untuk masuk lagi ke Aceh, pemuda itupun menamatkan pengembaraan lalu kembali ke tanah air.
Tiba-tiba Rasyid terasa kepalanya sakit dengan mata berpinar-pinar. Dalam kesamaran rumah usang yang cuma diterangi mentol lampu kuning yang sedikit malap, muncul beribu bintik putih bercahaya seperti bintang-bintang kecil yang berkelipan memenuhi ruang pandangan. Sedikit demi sedikit, bintang-bintang kecil ini mula membesar menjadi bulatan-bulatan cahaya yang bergemerlapan sebelum semuanya menyatu menjadi sebuah medan gemilang. Serta-merta pula medan cahaya itu menjadi silau amat seperti menumbuk mata kemudian hilang, terus jadi gelap-gelita!...Tidak kelihatan lagi apa-apa walau sedikit bayangan... Ibarat kertas hitam tanpa kelabu, malam tanpa bulan dan bintang, segalanya hitam-legam.
“Ah! Apa ini?” pemuda ini tertanya-tanya kebingungan...
Dia masih sedarkan diri, dapat merasai setiap gerak-geri tubuh badan tetapi tidak mampu melihat apa-apa lagi, hilang langsung penglihatan. Apakah Rasyid sudah buta? Atau ini adalah sebahagian daripada proses kematian? Apakah dia telah direhatkan setelah lama menanggung derita?
Di sebalik semua ini, terasa semacam ketenangan yang menyeramkan. Tenang kerana tiada apa-apa gangguan, hilang sakit-sakit kepala, demam-demam, bisa-bisa badan dan rasa perut tidak selesa, rasa kembung angin dan sakit menyucuk-nyucuk di perut dan kepala yang selalu dialaminya beberapa tahun kebelakangan. Tiada risau atau gelisah mengganggu fikiran tetapi seram kerana tidak pasti apakah yang sebenarnya terjadi...
Apapun, Rasyid pasrah menerima segala kemungkinan. Dia sudah lama memikirkan tentang mati kerana kecewa terhadap apa yang dilihatnya sebagai kepincangan hidup manusia zaman sekarang – Materialistik, selalu mementingkan diri sendiri sehingga ramai orang sanggup menjual maruah agama, bangsa dan negara tetapi cukup pandai berpura-pura bertopengkan akhlak yang mulia. Anak muda lurus bendul ini kecewa melihat ramai manusia serigala berselindung di sebalik kulit kambing biri-biri (meminjam ungkapan daripada buku The Prince karangan Nicolo Machiavelli yang menggalakkan pemimpin berpura-pura baik, matlamat menghalalkan cara), sanggup menganiaya dan membusukkan nama orang-orang jujur sepertinya yang cuma ingin menegakkan kebenaran hakiki yang diyakini...
Pemuda itu sudah terlalu penat melayan kerenah dunia sehingga dia seringkali berdoa supaya riwayatnya di muka-bumi ini cepat-cepat ditamatkan... Ada masanya dia meminta supaya kepalanya dipijak suatu kaki besar dari langit sehingga leper ketika bersujud dalam solat!
Dalam keadaan tertanya-tanya itu muncul satu cahaya di hadapan seolah-olah disuluh dari atas, seperti lampu pentas pertunjukan teater atau kemunculan UFO... Rasyid meneliti cahaya yang bersinar sangat terang tetapi terasa ‘lembut’ dan menyejukkan itu. Tenang, tidak menimbulkan rasa takut ataupun hairan. Dari dalam cahaya itu, sedikit demi sedikit muncul suatu bentuk yang semakin lama semakin jelas menjadi suatu kelibat manusia. Makin lama, kelibat itu menjadi semakin nyata sehingga terserlahlah rupa seorang wanita yang berseri-seri diselubungi cahaya.
“Nenek!” tiba-tiba terpacul perkataan dari mulut anak muda itu.
“Ya Rasyid!” kelibat itu menjawab. Memang saling tak tumpah seperti almarhum nenda tetapi sedikit muda dan lebih berseri-seri. Siap berbaju kurung Kedah dengan kain batik kegemarannya! Lama sungguh tidak menatap wajah lembut penuh simpati ini. Tetap tenang seperti dahulu...
p/s: Semasa meletakkan gambar-gambar, baru saya tersedar gambar terakhir nama failnya adalah PC080131. Ada faktor 131 ni... home sweet home... :]
3 ulasan:
Bestnya citer.....
setuju!
salamssss .. .. mengimbau kisah silam .. .. membuka tirai tirai hikmah yang penuh rahsia .. .. hari ini kita mengenal diri dan erti .. .. ;-) .. ..
JIWA
Catat Ulasan