Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Ahad, November 12, 2006

Mukadimah: Kenapa Berpetualang?



Pernah dengar tidak perkataan "Berpetualang"? Apakah makna "Berpetualang?" Kenapa memilih tajuk buku "Berpetualang ke Aceh"? Kenapa sampai sanggup mendaftarkan syarikat penerbitan sendiri dengan nama Wasilah Merah Silu Enterprise semata-mata untuk menerbitkan buku ini? Kenapa pula syarikat penerbitan lain mahu menggugurkan perkataan "Berpetualang" daripada tajuk buku jika mahu mereka menerbitkanya?

Bacalah sedutan daripada bab bertajuk "Mukadimah: Kenapa Berpetualang"... Disedut daripada buku "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti". Silakan!


MUKADIMAH:

MENGAPA BERPETUALANG?


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,
Segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam,
Maha Pengasih dan Maha Penyayang,
Yang menguasai hari pembalasan,
Engkau sahaja yang kami sembah
dan Engkau sahaja tempat kami meminta pertolongan,
Tunjukkanlah kami jalan yang lurus,
Jalan mereka yang telah Engkau anugerahi nikmat,
bukan jalan mereka yang dimurkai
atau mereka yang sesat.

- Surah Al-Fatihah


Jam 4 pagi. Entah mengapa, Rasyid terasa begitu gelisah, susah sungguh hendak melelapkan mata. Sudah beberapa kali menukar posisi, berhempas-pulas memaksa diri tidur tetapi masih tidak berjaya. Daripada sekejap duduk sekejap baring termangu-mangu, lebih baik buat sesuatu yang berfaedah. Dia pun bangun ke ruang tamu lalu mencapai komputer laptop Compaq Presarionya yang sudah berbulan-bulan tidak disentuh.

“Agaknya aku harus mula menulis balik ni,” getus hatinya.

Pemuda itu teringat pengalamannya mengembara ke Aceh dua tahun lalu, ketika bumi Serambi Mekah itu masih darurat di bawah pemerintahan tentera. Satu perjalanan yang dilalui demi mencari jawaban kepada beberapa persoalan yang telah lama bermain di dalam kotak fikirannya.

Memang semenjak kebelakangan ini Rasyid selalu teringatkan Aceh. Jika penghujung tahun 2004 menyaksikan dunia kecoh akibat peristiwa Tsunami 26 Disember yang menelan hampir 200,000 nyawa di wilayah yang sudah lama sengsara dilanda perang itu, sejak kebelakangan ini pula 4 juta penduduknya yang masih hidup mula digamit sinar harapan.

Rupa-rupanya bencana itu ada juga hikmahnya. Di sebalik kemalangan jiwa dan kemusnahan yang melanda bumi Serambi Mekah, kerajaan Republik Indonesia yang sudah lama bertelagah dengan GAM, Gerakan Aceh Merdeka telah dibawa ke meja rundingan, disaksikan para pemerhati luar. Lalu terlaksanalah perjanjian paling kukuh di antara kerajaan induk yang berpusat di Jakarta dengan mana-mana pihak dari Aceh semenjak Republik Indonesia tercipta 1945. Dan perjanjian yang dimetrai mula membuahkan hasil apabila puak pemisah GAM rela melepaskan senjata yang sudah bertahun-tahun dipikul sementara Tentera Nasional Indonesia (TNI) mula mengundurkan diri daripada wilayah itu secara berperingkat.

Anak muda yang sudah hampir empat tahun ‘menanam anggur’ inipun teringat kembali azamnya untuk menulis sebuah buku mengenai Aceh. Usaha itu bakal mengandungi kisah-kisah lama yang terpendam, disulami sejarah bumi Serambi Mekah dan Nusantara, juga pengalaman peribadinya mengembara serta peristiwa-peristiwa berkaitan.

Sebenarnya Rasyid telah lama menyiapkan bahan-bahan yang ingin dimuatkan malah telah memulakan penulisan lebih setahun lalu. Tajuk buku juga sudah lama tersemat, tajuk yang tiba-tiba muncul ketika pertama kali sampai di sempadan Sumatera Utara-Aceh. Tetapi kesempitan hidup dan masalah yang tidak henti kunjung tiba seringkali membantutkan usahanya sehingga sampai satu peringkat, segalanya terasa terlalu berat. Dugaan demi dugaan yang mendatang membuatkannya terasa begitu kecewa seolah-olah dunia ini sendiri berpakat menghambatnya. Lalu pemuda ini patah hati, tidak nampak lagi jalan manakah yang patut dituju.

Dia menghidupkan laptop dan mencari kembali folder “Petualang”. Alhamdulillah, sebaik sahaja terlihat cover design buku yang direka hampir setahun lalu menggunakan perisian Adobe Photoshop di pejabat bapa angkatnya Pak Syed, muncul azam baru untuk menyambung kembali penulisan yang sudah lama terperap. Sangat-sangat lama… Jari-jemarinya pun mula menari mengorak cerita sambil menikmati muzik tradisional Asyik yang tersimpan di dalam komputer...

“Berpetualang ke Aceh? Lain macam saja bunyinya,” tegur Asri, seorang kawan. “Mengapa berpetualang? Takkah jahat maknanya?”

“Bukankah ‘Petualang’ itu membawa maksud pengacau? Orang yang membikin kerosakan serta huru-hara? Kamu tidak risaukah apa orang akan kata? Ini dah macam komunis gayanya...” anak muda dari Lenggong, Perak itu menyambung lalu mencadangkan tajuknya ditukar kepada “Berkelana ke Aceh.” Atau “Mengembara ke Aceh”. Tak pun “Jejak-jejak Aceh” memandangkan ia mengisahkan pengembaraan ke sana di samping mempamirkan cerita-cerita dan sejarah lama.

Rasyid berfikir sejenak. Boleh tahan juga. Tidak salah menggunakan tajuk-tajuk ini. Sedap juga kedengaran di telinga... Tetapi, padanya, ia tidak cukup kuat untuk menggapai maksud tersurat dan tersirat yang ingin diutarakan malah terasa santai, jinak... Hampir sahaja seperti “Cuti-cuti Malaysia” sedangkan cerita-cerita yang tertera memang ada kaitan dengan pemberontakan, satu pergolakan yang ingin diketengahkan. Pemuda itupun menerangkan. Asri pula mula kelihatan hairan...

“Janganlah terperanjat!” Rasyid menegur. “Pemberontakan yang dimaksudkan adalah pergelutan jiwa dalam memahami erti diri yang sejati. Pemberontakan dalaman yang telah membawa aku ke Aceh... Lagipun, perkataan ‘petualang’ juga mempunyai maksud yang baik, maksud yang menjurus ke arah perjuangan untuk menegakkan yang hak.”

“Tengok ini...” anak muda itu menyuakan sebuah rencana bertajuk “Musik Tutur dan Futtuwah Aceh” tulisan Otto Syamsuddin Ishak dalam majalah mingguan Indonesia, Tempo 12-18 Julai 2004.


Hikayat pra-kolonial lazimnya memuat petualangan anak raja budiman dalam meudagang (menuntut ilmu) hingga mendapatkan pengalaman sufistik, sebelum petualangan meraih kembali takhtanya. Banta Beuransah berada dalam petualangannya memasuki sebuah dunia aneka hayati yang penuh makna simbolis hingga terjelaskan selepas seorang aulia hadir. Dalam hikayat lain, Malem Diwa mengalami pengalaman sufistik. Dalam petualangannya untuk menolong para putri, ia selalu mengendarai Buraq, kenderaan Nabi Muhammad SAW saat berisra’-mikraj.


“Nah. Mengapa pula tidak boleh ‘Berpetualang ke Aceh’?”

“Buku ini ditulis dengan beberapa tujuan,” Rasyid meneruskan. “Pertama, aku mahu berkongsi cerita-cerita dan sejarah lama berkaitan Aceh untuk tatapan umum. Supaya tak hilang ditelan zaman...”

“Apa maksud kamu gunakan perkataan ‘berkaitan’?” Asri memotong.

“Adalah tu... Kerana cerita-cerita ini bukan sahaja berkenaan Aceh malah meliputi peristiwa-peristiwa dan watak-watak berkaitan di Malaysia. Cerita-cerita yang setakat aku tahu belum lagi diketengahkan atau dihuraikan dalam bentuk rasmi, baik di buku mahupun di makalah.”

“Contohnya?”

“Hmm… Pernah dengar nama Sultan Alauddin Riayat Shah Melaka?”

“La… takkanlah tak pernah dengar... Sekolah rendah lagi aku sudah belajaq,” kata Asri menggeleng-gelengkan kepala.

“Hah… Baguih la tu,” kata Rasyid saja-saja pakai loghat Utara mengajuk kawannya “Senang sikit aku berchegita...”

“Ini aku nak habaq kat hang,” dia memulakan penerangan. “Kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang ada menyebut baginda meninggal dunia di Istana Melaka, selepas mewasiatkan takhta kepada Sultan Mahmud. Tapi ada oghang lain dok ceghita Sultan Alauddin ni sudah lama keluaq dari Melaka hang tau… Sebab ada komplot nak jatuhkan dia!. Lagipun ada waris yang lebih layak menaiki takhta tapi diaorang pi tolaq tepi. Apa, diaorang ingat macam naik keghetapi? Kalau tak suka, boleh tukaq gerabaq nanti?” sempat juga Rasyid berseloroh.

Asri terdiam sejenak. Nampaknya dia mula berminat untuk mengetahui lebih lanjut. Menarik juga bercerita tentang kisah-kisah sebegini, kisah bangsa Melayu juga tetapi…

“Hang yakin ke dengan ceghita-ceghita ini?” rakan itu meminta kepastian. “Bagaimana kalau oghang dok cabaq, mana hang dapat semua ni? Nanti ada yang kata hang dok pandai-pandai nak lawan interpretasi rasmi sejarah, nak buat ceghita baru pula... Apa hang nak jawab?”

Rasyid tersenyum mendengar pertanyaan itu. Dia sudah menjangka soalan sebegini mesti akan terbit nanti.

“Ait? Apasal pulak hang senyum?” Asri hairan lagi. “Aku tanya serius ni. Apa hang nak jawab kalau orang dok tanya...”

“Hang ni tak sabaq la...” baru pemuda itu menjawab. “Benda-benda yang aku chegita ni kena ambik masa nak faham, kena teliti dengan tekun. Bukan boleh masuk sekali lalu. Itulah yang aku tulis buku nak bagitau.”

Sebenarnya bukan Asri sahaja yang terasa begitu. Rasyid selalu mengemukakan ‘teori-teori’nya tentang beberapa peristiwa bersejarah, amnya tentang Melaka, Tanah Melayu dan Nusantara, khususnya sejarah raja-raja lebih-lebih lagi yang melibatkan bumi Serambi Mekah. Lalu rakan-rakannya terpaksa menjadi ‘mangsa’ setiap kali terdapat kesempatan, hampir setiap kali mereka bersua muka...

Tidak dapat dinafikan, semenjak tiga tahun kebelakangan, anak kelahiran Muar, Johor ini begitu ‘kemaruk’ asyik hendak bercerita tentang kisah-kisah lama. Sehingga boleh dikatakan dia tiada minat langsung untuk bercakap tentang perkara-perkara biasa seperti hal-hal yang melibatkan kerjaya dan keluarga. Sudahlah begitu, kebanyakan kisah yang diperolehinya memang tidak wujud dalam mana-mana catatan rasmi. Maka itu tidak hairanlah jika ramai yang mula-mulanya mempersoalkan.

Memang kecenderungannya itu boleh dikira ganjil, macam tidak ada perkara lain yang boleh diketengahkan. Di kala kebanyakan orang sibuk memandang ke hadapan dalam dunia IT langit terbuka dan kemajuan sains teknologi kini, Rasyid pula seolah-olah ingin kembali ke zaman purba, sibuk dengan kisah-kisah lama yang tidak wujud dalam sejarah rasmi pula! Tetapi pemuda ini tetap yakin dengan setiap cerita dan pandangan yang diutarakan, disertai alasan-alasan tersendiri yang agak kukuh walaupun mungkin tidak sekukuh bukti ilmiah para pengkaji sejarah.

“Lagipun aku tidak pernah kata aku ini pakar sejarah,” dia sedia mengaku. Sedar dirinya tidak memiliki apa-apa tauliah untuk melayakkan pandangannya diambil berat, apalagi diakui sebagai kebenaran sejarah.

“Tetapi ini tidak bermakna aku main tulis ikut sedap hati aje,” katanya membela keyakinan diri. “Aku ada ijazah walaupun bukan dalam bidang sejarah. Dan pernah lima tahun berkhidmat sebagai wartawan akhbar mainstream berbahasa Inggeris terkemuka di tanahair. Dilatih untuk meneliti setiap maklumat secara terperinci supaya boleh dipertanggungjawabkan. Bukan main dengar cakap-cakap kedai kopi, bukan setakat pakai khabar angin atau main hentam aje...”

Menurut pemuda itu lagi, dia telah menghabiskan banyak masa dan tenaga menziarahi pelbagai lokasi dan berjumpa aneka ragam manusia. Mengkaji cerita-cerita lama yang diperolehi daripada pelbagai arah dan sudut sebelum berani mengemukakannya kepada khalayak ramai.

“Apapun, bacalah dahulu buku ini sampai habis. Barulah comment.”


3 ulasan:

Panaharjuna berkata...

Mukadimah ni menarik, insyaallah saya akan dapatkan sebuah buku ini nanti, di MPH ada tak?

ASSA berkata...

Saya telah mendapatkan kedua-dua buku saudara. BKA I saya dah selesai membacanya. Sekarang ni saya tengah membaca BKA II. Tahniah, satu percubaan yang menarik... saya beli BKA I semasa book Fair kat PWTC tahun ni. bila selesai membacanya saya tercari-cari BKA II.. saya membelinya di Jalan Masjid India, 1 jUlai 2007 yang lalu.

Radzi Sapiee berkata...

La... Baru sekarang perasan komen kat sini. Maklum le, dah ada 150+ postings kat sini... Malam ni baru tergerak nak tengok postings yang dulu-dulu.
Untuk Panaharjuna, MPH n Popular Bookstores ada jual BKA... Kalau takda, cuba tanya kat kaunter... Mungkin ada kat cawangan terdekat lain.
Untuk Shanana, terimakasih kerana membaca BKA I dan II. Semoga maklumat juga ceritanya berguna. Yang baik jadikan teladan, yang buruk sebagai sempadan. Yang paling utama, semoga kita tidak ragu-ragu lagi akan jatidiri sebenar Melayu bertunjangkan Islam yang mendalam dengan ilmu Tasawuf lalu kita cuba hidupkan kembali permata dalam diri untuk membela nasib anak bangsa sendiri agar tidak terus dimamah dakyah Yahudi Zionis. Insyaallah! :]