Salam 1 Ramadhan. Selamat berpuasa kepada semua. Semoga dapat bertahan lalu mendapat kepuasan sebenar berbuka. Awal pagi Isnin seorang kawan telah memberikan satu fail pdf. menarik mengandungi kajian dan pembentangan seorang profesor ekonomi yang dibuat dalam bahasa Inggeris. Setelah membacanya sepintas lalu saya pun tergerak untuk berkongsi dengan orang ramai di Facebook. Namun masalah teknikal menghalang pdf. daripada dikongsikan terus ke sana.
Untuk mengatasinya saya menukar format setiap mukasurat pdf. lalu dijadikan satu siri gambar dalam format jpg.. Semua ini, 13 keping gambar untuk 13 muka surat kertas kerja diatur menjadi isi artikel baru pada
blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Artikel ini siap diatur lalu di
publishkan selepas tengah malam itu.
Linknya kemudian diletak pada FB berserta sedikit ulasan. Biar di
copy and paste...
BAGAIMANA DUIT KERTAS DAN SISTEM PERBANKAN MENJATUHKAN EKONOMI ORANG MELAYU SAMBIL MENAIKKAN EKONOMI ORANG CINA
Salam. Saya telah diberikan satu pdf. file mengandungi kajian seorang profesor tentang bagaimana wang kertas dan sistem perbankan yang mula diwujudkan di Tanah Melayu sekitar 150 tahun lalu berjaya menyusutkan ekonomi orang Melayu sambil menaikkan ekonomi orang Cina. Ini adalah salah satu tunggak asas pada usaha penjajah Barat yang dibelakangi puak Yahudi Illuminati untuk menjatuhkan orang Melayu dan Islam seraya menyekat kebangkitan Islam dari Timur akhir zaman. Klik pada link bawah, baca dan fahami...
Selepas beberapa lama saya dapati ramai yang berminat lalu membacanya tetapi bukan semua betul-betul faham. Maklumlah ia adalah kajian akademik seorang pakar ekonomi Islam yang dibuat dalam bahasa Inggeris. Tak semua pembaca Melayu lancar dalam bahasa ini. Malah orang yang pandai berbahasa Inggeris pun belum tentu dapat menangkap segala isi kerana mengandungi konsep-konsep ekonomi dan kewangan serta terma-terma yang memerlukan sekurang-kurangnya sedikit pengetahuan dalam bidang.
Seterusnya ada orang meminta saya menterjemahkannya ke dalam bahasa Melayu. Saya fikir elok juga agar lebih ramai anak Melayu dapat memahaminya. Tetapi ini memerlukan tumpuan istimewa buat satu masa dan saya tidak pasti sama ada akan membuatnya apa lagi bila. Lewat malam semalam, malam pertama bulan Ramadhan saya mendapat gerak untuk memulakan usaha. Alhamdulillah, dengan kuasa Allah dan berkat bulan mulia ia dapat disiapkan sekitar 2 petang sebelum disunting sehingga cukup memuaskan jam 4.30.
Adapun terjemahan cuba dibuat mengikut cara penulisan asal selagi boleh. Tetapi untuk pembacaan awam dan demi pencernaan orang ramai saya telah menambah penerangan pada teks dan mengubah-suai sedikit isi. Apa yang penting semua orang Melayu boleh mendapat ilmu bermanfaat yang boleh dijadikan bekalan jihad akhir zaman demi membela agama, bangsa dan negara. Biar diberitahu ini adalah artikel ke 1,122 di blogspot ini. Selamat membaca... :]
----------------------------
Wang
Fiat dan Keruntuhan Ekonomi Orang Melayu
Terjemahan
oleh Radzi Sapiee, daripada artikel
berbahasa Inggeris “Fiat Money and
Economic Degradation of the Malays” oleh Ahamed Kameel Mydin Meera, profesor dan dekan Institut Kewangan dan
Perbankan Islam, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Beberapa nota kaki
asal telah diterjemahkan secara ringkas untuk disertakan pada teks utama lalu diletakkan dalam kurungan. Penerangan beberapa terma teknikal (tidak wujud
dalam teks asal kerana harus sedia difahami khalayak yang berpengetahuan dalam
bidang) juga diletakkan dalam kurungan.
Abstrak
Artikel ini berhujah
bahawa kekayaan orang Melayu di Semenanjung Malaysia telah dirompak secara
sistematik daripada tangan mereka melalui wang Fiat (kertas yang diberi nilai tanpa
sandaran) yang diterbitkan sistem perbankan berdasarkan riba’. Hal ini juga adalah
benar bagi Bumiputra lain termasuk penduduk asal di Semenanjung dan Malaysia
Timur juga para pedagang awal Arab dan India Muslim yang menetap di sini. Proses
tersebut telah berlangsung sejak bank-bank persendirian terawal ditubuhkan di
Pulau Pinang tahun 1860an hingga sekarang. Ini secara keseluruhan memberi kesan sosio-ekonomi-politik
yang serius terhadap bangsa Melayu,
Islam dan negara. Maka itu artikel ini memanggil pihak kerajaan, NGO-NGO dan
orang ramai yang prihatin agar dapat menghentikan proses perompakan ini
seterusnya mengambil tindakan proaktif dan tegas untuk menterbalikkan proses
demi menggapai keadilan sosio-ekonomi dengan cara menggalakkan keamanan dan
kesejahteraan dalam negara melalui pengagihan saksama kekayaan negara untuk
semua kaum.
Artikel ini menunjukkan
satu daripada banyak aspek wang Fiat, contohnya bagaimana penduduk asal sesebuah
negara boleh kerugian teruk dalam sistem wang Fiat. Beberapa buah negara boleh
dikemukakan sebagai contoh untuk menunjukkan ini. Kita ambil kes Malaysia untuk
artikel.
Kalau kita ambil
perhatian dari tahun ke tahun, Malaysia telah banyak berubah dari segi sosio-ekonomi-politik
. Orang Melayu yang secara asasnya memiliki kebanyakan jika tidak pun semua
Semenanjung pada awalnya sekarang mengalami ketempangan ekonomi. Sebaliknya masyarakat Cina secara khususnya telah berkembang dalam kemewahan berbanding
bangsa lain. Statistik billionaire di Malaysia boleh membuktikan ini. Perbezaan
ekonomi telah secara langsung membawa sejumlah masalah sosio-ekonomi terbit dalam kalangan masyarakat Melayu – kesempitan hidup, kemiskinan, rendah keyakinan
diri, pencapaian akademik yang rendah, ketagihan dadah, mat rempit, masalah
remaja dan berbagai lagi. Maka itu kerajaan telah mencuba sejumlah langkah afirmatif
termasuk Dasar Ekonomi Baru untuk menangani isu. Ia telah membawa hasil yang
terhad namun masalah tetap wujud dan kelihatan terus berkembang. Bagi orang
Cina pula, kemewahan ekonomi telah sedikit demi sedikit memberikan mereka lebih
kedudukan politik.
1.1 Objektif
Artikel ini berdasarkan
fakta sejarah dan pemerhatian terhadap Malaysia selama beberapa dekad. Ia
bertujuan untuk merangsang proses pemikiran, tanpa niat jahat seperti
mewujudkan perpecahan antara kaum. Sebaliknya diharapkan artikel akan
menyumbang pada keharmonian antara kaum, pengagihan saksama kekayaan negara,
paras korupsi yang rendah dan pengurangan masalah berkaitan sosio-ekonomi.
Pada Seksyen 2 artikel
akan diterangkan kenapa sistem perbankan di Malaysia telah membawa ketempangan
sosio-ekonomi yang ketara kepada orang Melayu. Seksyen 3 membincangkan kesan sosio-ekonomi-politik
sistem wang Fiat. Seksyen 4 memberikan
beberapa langkah yang boleh diambil kerajaan untuk menghentikan perompakan dan
menterbalikkan proses. Seksyen terakhir menyimpulkan kertas kerja.
2.0 Wang Fiat Sistem Perbankan Berdasarkan Riba’ dan Melayu – Sejarahnya
Pada asalnya Tanah
Melayu (teks asal menggunakan perkataan Malaya) diduduki Orang Asli, penduduk
asal, serta orang Melayu (merujuk kepada orang tempatan Alam dan Kepulauan Melayu
yang juga telah bercampur-aduk dengan pendatang Arab, India dan bangsa lain sejak
beberapa abad). Dengan kesultanan-kesultanan bertebaran di merata Tanah Melayu,
mereka secara asasnya memiliki Tanah Melayu. Orang Asli secara dasarnya tinggal
di hutan tropika sementara orang Melayu duduk di kampung-kampung. Kehidupan
mereka ringkas tetapi diberkati perhubungan kemasyarakatan yang erat dan
harmoni, dengan pertanian dan perikanan menjadi sumber utama kehidupan.
Tanah Melayu adalah
bumi ‘susu dan madu’ (land of milk and
honey). Ia menarik orang Arab dan India Muslim awal untuk datang mengadu
nasib. Pedagang Arab diketahui telah datang ke Kepulauan Melayu sejak awal abad
ke-7. Mereka diketahui telah sampai ke Sumatera pada 674 Masihi, cuma beberapa
dekad setelah kemunculan Nabi Muhammad SAW di Tanah Arab. Sebaliknya pedagang
India Muslim diketahui telah datang ke Semenanjung Melayu, terutama ke Kedah,
sejak abad ke 12. Pengaruh mereka terhadap istana kesultanan Melaka telah
didokumenkan dengan baik. Parameswara, pengasas Melaka dikatakan memeluk Islam tahun 1411. Orang Melayu tempatan secara rata hidup berasaskan pertanian dan ini
dilengkapkan oleh kepintaran perniagaan orang Arab dan India Muslim. Maka itu
orang India Muslim dan pedagang Arab awal memiliki perniagaan yang maju di
Tanah Melayu dan diterima baik penduduk tempatan kerana agama yang sama iaitu Islam.
Agama Islam adalah faktor
pemberi petunjuk dan pemersatu antara semua. Dengan menurut prinsip Islam, wang
yang digunakan untuk perdagangan adalah wang-wang sebenar (bukan wang kertas
yang boleh dicetak sesuka hati) – kebanyakannya jongkong timah, emas dan
syiling perak. Di bawah sistem wang sebenar sebegitu, setiap pertukaran dagangan
melibatkan pertukaran barangan sebenar dengan barangan sebenar juga dengan
perkhidmatan yang dinilai setara. Maka ia membentuk satu sistem pertukaran yang
adil dan saksama. Logam-logam bernilai memainkan peranan sebagai pengukur harga
dalam dagangan dan kontrak.
Tanah Melayu sebagai
Semenanjung yang kaya dengan hasil bumi juga menarik para penjajah dan
pendatang Cina dan India kemudian. Orang Portugis, Belanda, Jepun dan Inggeris
berada di sini pada masa tertentu dalam sejarah tetapi pengaruh Inggeris adalah
yang paling hebat. Syarikat British India Timur mula ditubuhkan di penempatan
British di Pulau Pinang, pada 1786. Kemudian Pulau Pinang, Singapura dan Melaka
digabungkan menjadi Negeri-negeri Selat 1826, dengan Pulau Pinang sebagai
pusat. Mereka membawa orang India untuk bekerja di ladang getah sementara orang
Cina rata-rata di lombong bijih timah, dua aktiviti ekonomi terbesar zaman itu.
Penghijrahan ke Tanah Melayu adalah mudah bagi orang luar kerana sering
diterima orang Melayu yang bersifat ringkas, bertoleransi, beragama dan memiliki
nilai moral yang tinggi. Daripada segi ekonomi sebenar, kemunculan para pendatang
termasuk pedagang Arab dan India Muslim adalah bagus kerana kedatangan mereka
meningkatkan aktiviti ekonomi dan pengagihan kek ekonomi, semuanya menambah kesejahteraan
ramai.
Tetapi keadaan mula
berubah dengan pengenalan bank-bank persendirian terawal di Pulau Pinang.
Mercantile Bank yang kemudian menjadi anak syarikat Hong Kong Bank (sekarang
HSBC), membuka perniagaan dalam 1860an dan Chartered Bank (sekarang Standard
Chartered) pada 1875. Bank-bank persendirian terawal ini mengeluarkan nota bank
sendiri (kertas yang diberi nilai seperti wang atas jaminan bank). Kerajaan belum mengeluarkan nota serupa ketika
itu. Cuma pada 1897, selepas Badan Pesuruhjaya Mata Wang (Board of Commisioners
of Currency) ditubuhkan, baru kerajaan Negeri-negeri Selat diberikan kuasa
untuk mengeluarkan nota mata wang. Tetapi nota yang dikeluarkan dua bank
persendirian, Chartered Bank dan Hong Kong Bank, turut berkitar bersama nota
keluaran kerajaan. Hak untuk bank-bank ini mengeluarkan nota cuma dilupuskan pada 1921. Pada 1938 Badan Pesuruhjaya Mata Wang Malaya (panggilan British untuk
Tanah Melayu) ditubuhkan sebagai satu-satunya kuasa yang boleh mengeluarkan
mata wang bagi seluruh wilayah naungan. Pada 1952 ia menjadi Badan Pesuruhjaya Mata
Wang Malaya dan British Borneo (Board of Commisioners of Currency Malaya and
British Borneo) yang terus mengeluarkan mata wang walaupun selepas Malaysia
merdeka 1957. Badan ini cuma ditutup secara rasmi lewat 1979. Sejak itu mata wang
hanya dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia. Tetapi kebanyakan wang dicipta
oleh bank komersial melalui sistem yang dipanggil Fractional Reserve Banking
(satu sistem yang menghalalkan bank memberikan pinjaman wang berkali ganda
berbanding simpanan yang ada, diwujudkan melalui kiraan akaun atas kertas
kemudiannya cuma dalam komputer).
Semua yang di atas,
seperti pengeluaran nota bank persendirian, Badan Pesuruhjaya Mata Wang dan
Bank Negara Malaysia dengan sistem Fractional Reserve Banking yang diamalkannya
wujud berdasarkan sistem wang Fiat yang berdiri atas riba’ dan tidak bagus
untuk ekonomi orang Melayu. Kita akan menghujahkan ini pada seksyen seterusnya.
2.1 Satu Prinsip Wang Fiat – Kerugian melalui Seigniorage
Salah
satu prinsip wang Fiat adalah Seigniorage (perbezaan nilai wang dengan kos
menerbitkan juga mengedarkannya) untuk wang Fiat menguntungkan pengguna pertama
wang. Oleh kerana wang Fiat tidak
disandarkan pada emar atau apapun yang bernilai, ia murah untuk dihasilkan
tetapi membawa kuasa beli yang diterbitkan daripada udara kosong (out of thin air). Kuasa membeli
yang diterbitkan secara murah inilah yang dikejar oleh pencetak wang palsu.
Tetapi apabila bank-bank menerbitkan mata wang sendiri, mereka mendapat
Seigniorage ini. Penerbitan wang Fiat yang dibuat mereka membawa bersama kuasa
membeli yang dicipta dengan cara mencukai keseluruhan ekonomi melalui inflasi.
Tidak difahami ramai bahawa hak untuk menerbitkan wang Fiat secara efektiknya
memberikan pemilikan hasil bumi negara dan aset-aset ke tangan bank-bank. Kami
telah berhujah dalam Meera (2005, merujuk pada kertas lama penulis) bahawa
penerbitan wang Fiat itu sendiri adalah riba’ dan ia berlawanan dengan Maqasid
al-Shari’ah. Maka itu negara-negara boleh kerugian melalui Seigniorage jika
mereka membenarkan wang Fiat dari negara lain atau nota terbitan institusi
persendirian untuk digunakan sebagai wang di tanah mereka.
Kedua,
bank-bank mengeluarkan wang Fiat yang dicipta secara bebas sebagai pinjaman –
kepada individu, perniagaan dan kerajaan – yang membawa cas riba’ berganda (compounded interest charges). Dan riba’
adalah dikutuk sekuatnya dalam Islam.
Maka
itu, apabila bank-bank terawal di Semenanjung diasaskan lalu mengeluarkan nota
bank sendiri dengan riba’, kebanyakan jika tidak semua orang Melayu, pedagang
Arab dan India Muslim tidak mahu terlibat langsung dengannya. Tetapi, baik mereka mahupun para pemimpin
Islam tidak menghentikan aktiviti ini di tanah mereka. Pada pendapat kami,
ini adalah kesilapan terbesar dibuat pemimpin Melayu Islam zaman itu merujuk
pada prinsip penggunaan wang dalam Islam. Kesannya begitu nyata pada keadaan
sosio-ekonomi-politik orang Melayu sekarang.
2.2 Keterasingan dari Kewangan dan Pengurangan Berterusan Keterlibatan Kewangan Relatif
Pengeluaran
wang Fiat dengan riba’ oleh bank-bank awal dan pihak berkuasa mengasingkan
secara total orang Islam awal – Melayu, India dan pedagang Arab – daripada berurusan dengan bank. Ini adalah keterasingan kewangan sistemik orang Islam.
Maka itu kami dapati pada zaman itu, akhir abad ke 19 dan awal abad ke 20 telah
menyaksikan kebanjiran pendatang Cina ke Tanah Melayu yang selesa dengan sistem
wang Fiat berdasarkan riba’. Jadi, kebanyakan wang Fiat yang baru diterbitkan
pergi kepada kumpulan ini. Fenomena ini secara sistematik malah berterusan
meningkatkan keterlibatan kewangan pedagang Cina sementara secara berterusan
mengurangkan keterlibatan kewangan relatif kumpulan Islam. Fenomena ini terus
ditonjolkan dengan fakta bahawa masyarakat Cina memiliki kecenderungan untuk
mengitarkan wang dalam kalangan komuniti sendiri.
Maka
itu wang Fiat berdasarkan riba’ telah, dalam sejumlah dekad, mengurangkan
keterlibatan kewangan orang Melayu, India Muslim dan pedagang Arab dan pada
masa yang sama meningkatkannya pada masyarakat Cina. Fenomena ini telah
berlangsung secara eksponensial kerana wang Fiat berdasarkan riba’ berkembang
secara eksponensial. Maka itu melalui struktur sistem kewangan sahaja, kewangan
relatif dan kekayaan orang Melayu, India Muslim dan pedagang Arab harus
berkurangan secara eksponential, sementara ia berkembang bagi masyarakat Cina.
Tentunya, dengan peningkatan kekayaan dan duit, masyarakat Cina boleh terus
mengembangkan perniagaan, meneroka peluang baru, menghantar anak-anak mereka
untuk pendidikan berprestij di luar negara dan lain-lain. Sungguh, kebanyakan
orang Melayu tidak memiliki pun akaun simpanan bank hingga ke 1970an (pegawai
dahulu cuma menerima cek tunai, setelah kerajaan ‘meyakinkan’ mereka tiada
riba’ dalam Bank Simpanan Nasional atau BSN yang merupakan institusi kewangan yang
tidak mencipta wang daripada udara kosong melalui sistem Fractional Reserve
Banking, baru mereka mula menyimpan di bank). Ini menunjukkan lamanya tempoh keterasingan
kewangan orang Melayu, India Muslim dan pedagang Arab berlangsung.
3.0 Kesan Sosio-ekonomi-politik akibat Keterasingan Kewangan yang Berpanjangan
Wang Fiat membawa lari kekayaan
penduduk asal, dalam contoh kita, kekayaan orang Melayu, dengan cara mencipta
inflasi dalam sistem. Maka itu sekarang setelah 150 tahun penubuhan bank-bank
terawal di Malaysia, tidak sedikit kekayaan, terutama tanah, telah diambil alih
daripada tangan orang Melayu. Orang Melayu kini begitu tempang daripada segi ekonomi,
dengan kebanyakan mereka menduduki tempat ke bawah tangga ekonomi, ramai pula
jatuh ke dalam kategori miskin. Maka itu, seperti boleh dijangka, masalah
sosio-ekonomi seperti tiada pekerjaan, jenayah, ketagihan dadah, mat rempit,
pencapaian akademik rendah dan lain-lain adalah secara relatifnya tinggi dalam kumpulan
ini. Terdapat jurang yang luas dalam
pendapatan relatif dan pengagihan kekayaan antara orang Melayu, orang
Cina dan lain-lain dengan masyarakat Cina menikmati bahagian kek ekonomi yang
lebih tinggi dan tidak seimbang. Tidak dinafikan masyarakat Cina adalah
masyarakat perniagaan yang kuat bekerja tetapi ia menguasai kebanyakan
perdagangan yang terlalu dibantu struktur perbankan dan sistem kewangan dengan
sedikit sahaja perbezaan kemahiran, produktiviti buruh dan kepintaran
perniagaan. Pada dasarnya, peralihan kekayaan yang sangat besar telah
berlangsung sehingga sekarang, dibiayai hanya melalui inflasi.
Rajah 1 di bawah memberikan
anggaran bekalan wang di Malaysia yang diwujudkan oleh bank-bank komersial
dalam bentuk pinjaman, pada tempoh 1973 hingga 2011. Perhatikan perkembangan
eksponensial yang ditunjukkan graf.
Data Bank Negara menunjukkan jumlah
Broad Money, M3, pada tahun 2011 adalah RM1.24 trillion (Broad Money adalah
ukuran sejumlah instrumen yang berfungsi seperti/sebagai wang, misalnya demand deposit, satu bentuk dana bank sementara M3 adalah sejenis piawaian untuk menentukan apakah instrumen yang boleh
diliputi sebagai Broad Money, seperti duit kertas, syiling dan akaun bank perseorangan
juga akaun syarikat). Daripada jumlah ini RM53.49 billion adalah mata wang dalam
kitaran (dalam bentuk fizikal, duit kertas dan syiling). Perbezaannya, RM1.19
trillion adalah anggaran wang sedia ada yang diwujudkan oleh bank-bank
komersial daripada udara kosong semata, melalui Fractional Reserve Banking
(yang membenarkan dana atas kertas diwujudkan berkali ganda berbanding nilai
sebenar deposit atau simpanan wang dalam pegangan bank lalu dijadikan pinjaman
yang memberikan pulangan tinggi berdasarkan riba’). Pada tahun 1973 jumlahnya
cuma RM6.6 billion, membayangkan bahawa kadar perkembangan penciptaan wang oleh
bank-bank komersial adalah 14.7 peratus setiap tahun. Isunya adalah siapakah
yang mendapat faedah daripada jumlah wang hampir tidak masuk akal yang
diterbitkan oleh bank-bank komersial itu? Apakah ia telah diagihkan secara
saksama untuk semua kaum? Tatacara yang mana jumlah bekalan wang diagihkan pada
semua boleh menunjukkan tahap keterlibatan kewangan setiap kaum. Mungkin Bank
Negara Malaysia boleh memberikan pencerahan.
Penguasaan ekonomi oleh masyarakat
Cina juga membawa pada peningkatan kehadiran politik mereka dalam negara.
3.1 Penglibatan orang Melayu dan Islam dalam Transaksi Kewangan berdasarkan Riba’
Ketempangan
berterusan yang ditimpakan wang Fiat berdasarkan riba’ terhadap orang Melayu,
India Muslim dan pedagang Arab telah menyebabkan kumpulan ini akhirnya terlibat
di dalam transaksi kewangan berdasarkan riba’. Untuk terus aktif dalam
perdagangan menurut arus zaman, peniaga Muslim harus mengalah, misalnya dengan membuat
deposit dan membuka akaun bank. Di bawah sistem Fractional Reserve Banking, ini
membenarkan bank-bank untuk mengeluarkan pinjaman berdasarkan riba’ kepada
orang lain berkali ganda nilai deposit asal.
Disebabkan
sifat tidak Islami bank, pemilikan dan pengurusan bank secara semulajadi
dikuasai orang bukan Islam. Maka itu orang Islam secara am, pedagang atau lain
darinya, cuma menjadi ‘mangsa’ sistem sebegini. Pengwujudan wang Fiat (yang
bermakna duit tanpa sandaran) menyebabkan inflasi dalam ekonomi, yang mana
harus ditanggung semua orang tidak kira sama ada mereka pernah berurusan dengan
bank atau tidak. Maka itu, sambil menghadapi sedikit demi sedikit keterasingan
(terkeluar daripada penglibatan aktiviti) ekonomi, orang Melayu dan Islam harus
menanggung beban inflasi. Apapun, keterasingan ekonomi yang begitu lama perlahan-lahan
memaksa orang Melayu dan pedagang Islam lain untuk terlibat sama dalam
transaksi kewangan berdasarkan riba’ demi survival ekonomi. Ramai yang mula
mengambil pinjaman untuk pembelian
rumah, kenderaan dan pembiayaan perniagaan. Ramai juga mula mendapat kerja di
bank-bank. Di bawah sistem perbankan sekarang, sejumlah daripada pengerusi dan
ketua pegawai operasi bank-bank konvensyional adalah orang Melayu. Secara dasarnya
mereka mula ‘tidak peduli’ tentang sesuatu yang sangat dilarang dalam agama.
3.2 Pejabat Pemberian Pinjaman – Penabal Raja (king maker) dalam Sistem Fractional Reserve Banking
Tatkala bank
pusat mengawal keperluan fractional reserve
(rizab pecahan?) untuk bank-bank konvensyional, sesungguhnya pejabat pemberi
pinjaman (loan office) sesebuah bank
adalah tempat di mana wang dicipta daripada udara kosong lalu diagihkan kepada
siapa yang dirasakan layak. Maka itu, seseorang boleh melihat permainan politik
dalam bank-bank untuk mengawal pejabat pinjaman. Hak untuk menerbitkan wang daripada
udara kosong adalah satu kuasa tertinggi yang dinikmati pegawai pemberi
pinjaman. Kuasa ini tidak dimiliki secara langsung walau oleh seorang perdana
menteri.
Seperti disebut
lebih awal, sejumlah jawatan tinggi pengurusan dalam bank-bank konvensyional dipegang
oleh orang Melayu. Namun ini malah pemilikan bank pun tidak begitu berfaedah.
Apa yang paling berfaedah adalah siapa yang mendapat duit yang baru dicipta dan
ini adalah di bawah kawalan terus pegawai pemberi pinjaman. Sesungguhnya mereka
adalah ‘penabal raja-raja’ atau king maker
dalam sistem Fractional Reserve Banking.
Oleh itu,
disebabkan signifikannya kesan sosio-ekonomi-politik wang Fiat, komposisi kaum adalah paling
penting untuk pegawai menilai dan membenarkan pinjaman. Walaupun kita boleh
beranggapan mereka akan bertindak secara profesional dalam membuat kerja,
hakikatnya tidak semestinya begitu. Namun begitu, sejak awal lagi jumlah
pegawai pinjaman Melayu dan Islam adalah terlalu kecil disebabkan sifat
semulajadi bank berdasarkan riba’.
Keadaan ini
membawa pada kawalan terhadap pejabat pemberi pinjaman, kecenderungan untuk
mengitarkan wang dalam komuniti sendiri dan undang-undang yang menghadkan
liabiliti. Kami berpendirian bahawa komuniti perniagaan Cina mendapat bahagian
paling besar daripada wang yang dicipta sesuka hati lalu membawa pada
keterlibatan kewangan relatif mereka yang sentiasa berkembang. Sesungguhnya
inilah kuasa sebenar di belakang kenaikan masyarakat Cina berbanding komuniti
lain dan penguasaan mutlak mereka terhadap ekonomi negara. Tetapi, perhatikan
bahawa masyarakat Cina mencapai ini menurut lunas undang-undang.
3.3 Kek Ekonomi yang Mengecut buat orang Melayu dan lain-lain
Sementara
kekayaan orang Cina meningkat secara rata akibat sokongan sistem kewangan, kek
ekonomi untuk orang Melayu dan kaum lain mengecut menurut keadaan. Graf pada
Rajah 1 menunjukkan trend ini bersifat eksponensial. Ketidakseimbangan yang
begitu menjolok mata dalam pengagihan kekayaan dalam kalangan kaum tersebut
menyebabkan satu siri masalah sosio-ekonomi-politik terbit. Kami menyifatkan jurang ini berlaku
akibat rusuhan kaum 13 Mei 1969. Walaupun selepas itu orang Melayu dapat
mengekalkan pegangan kekuasaan politik, ketidakseimbangan dalam pengagihan
kekayaan terus berkembang di bawah status
quo perbankan yang dikekalkan. Sesungguhnya kebanyakan bandar dan kawasan
sekitarnya sekarang ‘dimiliki’ masyarakat Cina. Ambil Pulau Pinang sebagai
contoh. Sementara suatu masa dahulu ia dimiliki sepenuhnya oleh orang Melayu,
sekarang pulau itu secara praktiknya telah hilang daripada tangan mereka. Ini
sesungguhnya didorong secara sistematik melalui perlaksanaan sistem perbankan
dan kewangan. Cerita serupa melanda Johor Bahru, Kuala Lumpur, Ipoh dan bandar
raya juga bandar-bandar lain. Perhatikan harga hartanah yang melonjak tinggi di
kawasan bandar. Fenomena ini tidak sahaja menolak orang Melayu dan penduduk
asli keluar dari kawasan bandar malah menerbitkan satu rintangan tidak nampak
yang menghalang kemasukan ke bandar. Dan tentunya semua ini memiliki implikasi
politik.
3.4 Peningkatan Korupsi dalam kalangan Pegawai Kerajaan berbangsa Melayu
Dalam
tempoh beberapa dekad kebelakangan kita sering dapat mendengar aduan-aduan daripada orang awam mengenai peningkatan korupsi dalam kalangan pegawai kerajaan yang lazimnya
orang Melayu. Kami menyifatkan ini juga kerana ketidakseimbangan dalam
pengagihan kekayaan dalam kalangan kaum. Ini kerana orang Melayu memegang kuasa
dan kedudukan politik, bangsa lain memiliki kelebihan dalam perniagaan dan
kekayaan – resepi ranum untuk pemberian dan penerimaan rasuah. Pegawai Melayu
yang memegang kuasa tetapi lebih rendah taraf ekonominya lebih senang tergoda
untuk menerima rasuah demi menyaingi kesejahteraan ekonomi rakan yang lebih
kaya. Kami tidak membenarkan rasuah di sini. Sesungguhnya ia adalah satu
perbuatan khianat kepada negara, setiap penerima dan pemberi rasuah
kedua-duanya bersalah. Adalah menyedihkan apabila diperhatikan jurang perbezaan
pemilikan kekayaan dapat mengubah sifat orang Melayu yang dahulunya tinggi
keagamaan dan nilai etik.
3.5 Tindakan Afirmatif untuk Melawan Ketidakseimbangan dalam Kekayaan dan Pendapatan
Mantan
perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad diketahui telah mengambil sejumlah langkah
afirmatif untuk melawan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum, terutamanya
langkah yang memihak kepada Bumiputra. Antaranya, beliau menghantar jumlah
besar pelajar Melayu ke luar negara di bawah Pelan Ekonomi Baru, bawah
panji-panji untuk menaikkan status sosio-ekonomi Bumiputra, dengan harapan
mereka akan kembali membawa kemahiran pendidikan dan sosio-ekonomi yang lebih
bagus. Sesungguhnya dasar ini membawa pulangan dan mewujudkan satu kelompok
terhormat Bumiputra berpendapatan tinggi dan sederhana. Juga, beliau
menswastakan beberapa badan kerajaan dengan harapan dapat mewujudkan sejumlah
peniaga tinggi Melayu yang boleh menyaingi kawan mereka daripada bangsa lain,
terutama orang Cina, jika tidak pun menyaingi mereka daripada segi jumlah.
Malangnya,
kek ekonomi untuk orang Melayu dan Bumiputra lain yang mengecut membuatkan
kerajaan tidak mampu untuk mengekalkan dasar afirmatif tersebut. Sejumlah orang
Melayu dan Bumiputra lain terpaksa dipinggirkan. Ini nampaknya telah juga
menerbitkan sejumlah ahli politik Melayu dan peniaga kaya raya pentingkan diri
yang lupakan bangsa. Mereka mengumpulkan kekayaan dan kekuasaan ekonomi untuk
diri sendiri sahaja.
3.6 Kesan-kesan Politik
Semua
natijah wang Fiat di atas seterusnya memberikan kesan-kesan politik. Kami
bertegas di sini bahawa pengecutan ekonomi perlahan tetapi berterusan orang
Melayu itulah yang menyebabkan ramai menyokong parti-parti politik pembangkang,
sesuatu yang sangat nyata dalam pilihanraya lepas, dengan harapan parti-parti
ini dapat menolong mengatasi masalah ekonomi mereka. Tetapi disebabkan struktur perbankan sekarang
masih berkuatkuasa, parti pembangkang juga tidak akan dapat menyelesaikan
masalah mereka. Orang Cina pula sebaliknya sedaya upaya menyokong pembangkang,
bukan kerana keciciran ekonomi tetapi melihat
peluang seumur hidup muncul untuk mendapatkan lebih kawalan yang juga boleh
membawa mereka pergi jauh dalam perjalanan untuk mencapai penguasaan politik ke
atas negara.
4.0 Menangani Akar Permasalahan dengan Dasar Proaktif dan Afirmatif
Untuk
semua pemerhatian di atas, terutama tentang kejatuhan sosio-ekonomi orang
Melayu di Malaysia, kami mahu menunjukkan jari pada sektor perbankan sebagai
masalah akar. Ini kerana sektor itulah yang mencipta jurang luas pendapatan dan
pengagihan kekayaaan antara kaum melalui pengagihan tidak saksama jumlah besar
wang Fiat yang diwujudkan sesuka hati. Pengwujudan wang Fiat oleh sektor
perbankan sesungguhnya adalah ‘hadiah’ yang begitu menjolok mata apabila diberi
di bawah undang-undang liabiliti terhad (sila rujuk artikel kami “Fiat Money
and Interest Groups” yang muncul dalam majalah
THE EDGE, 1 April 2013, muka surat 56) berbanding saguhati jaminan kerajaan
yang diberikan kepada Bumiputra, bertujuan untuk membantu mereka melalui segala
macam ujian dan tekanan akibat penyingkiran ekonomi.
Sekarang
adalah masa untuk kerajaan menghentikan dan menterbalikkan trend ketidaksamaan
teruk dalam pengagihan kekayaan nasional dalam kalangan kaum, disebabkan sektor
perbankan yang kini sudah memakan tempoh seabad setengah. Kerajaan harus
mengambil berat tentang ketidaksamaan ini menggunakan data yang boleh didapati
daripada Bank Negara atau terus mengambil langkah-langkah proaktif. Antara dasar
segera yang kami selalu sarankan adalah memiliknegarakan (nationalisation, menjadikannya milik kerajaan) semua bank komersial
demi menghentikan dengan segera trend memusnahkan ini. Memiliknegarakan bank
boleh juga menolong mengatasi defisit
belanjawan kerajaan kerana duit yang dicipta daripada udara kosong menjadi
milik awam berbanding pemilikan persendirian seperti dalam kes sekarang. Ini
adalah keutamaan tertinggi dan sangat sangat penting. Ia adalah juga resolusi
utama Persidangan ke-3 Tahunan Dunia tentang Riba’ 2012. Di Amerika Syarikat,
usaha diperjuangkan Institut Perbankan Awam pimpinan Ellen Brown (penulis buku
“The Web of Debt”). Beliau sering merujuk pada Dakota Utara yang memiliki
perbankan awam, satu-satunya negeri dalam AS yang tidak mengalami masalah
kewangan ketika berlakunya kegawatan ekonomi AS sekarang.
Untuk
menterbalikkan proses, dasar-dasar boleh meliputi sebagai contoh, pengwartaan
secara rasmi penggunaan hasil minyak dan gas kerajaan untuk menolong mereka
yang ekonominya ketinggalan daripada semua
kaum. Ini dijangka harus termasuk sebilangan besar orang Melayu, Bumiputra
lain, orang India dan sejumlah orang Cina yang keciciran.
Kami
percaya bahawa melalui dasar-dasar sedemikian, kekayaan nasional boleh
diagihkan dengan lebih saksama kepada semua bangsa. Ini seterusnya akan
menggalakkan ekonomi yang lebih stabil dan rancak, membawa kembali perpaduan
orang Melayu, menempa keharmonian kaum, menyusutkan rasuah secara signifikan
juga tahap jenayah dan seterusnya menggalakkan keamanan dan kesejahteraan untuk
semua. Hanya setelah kita menyelesaikan ini dan sewajarnya meratakan padang
permainan ekonomi baru kita boleh bercakap tentang meritokrasi dan seterusnya. Kalau
tidak, dengan dinamik sedia ada yang melanda kita semua, orang Melayu dan
penduduk asal tempatan kemungkinan besar akan menjadi ‘hamba’ di negara
sendiri.
Orang
Melayu membenarkan mereka dikuasai secara ekonomi walaupun memiliki kuasa
politik hanya kerana mereka adalah orang yang sangat bertolak ansur, dibentuk
oleh kepercayaan agama. Cuba pertimbangkan kalau peranan diterbalikkan,
misalnya jika negara ini awalnya dihuni bangsa lain, dan orang Melayu adalah
pendatang yang kemudian meraih kekuasaan ekonomi. Apakah bangsa lain akan
bertolak ansur seperti dibuat orang Melayu selama ini?
Dipendekkan
cerita, oleh itu kerajaan perlu mengambil tindakan-tindakan proaktif untuk
memastikan kekayaan tanah ‘susu dan madu’ ini dapat diagihkan lebih saksama,
dengan cara meningkatkan keterlibatan orang Melayu and pihak lain yang terkesan
demi membawa negara ini ke hadapan menuju pencapaian taraf negara maju pada
2020.
5.0 Kesimpulan
Secara
ringkas, penubuhan bank-bank persendirian pada permulaan 1860an, dan kemudian
Badan Pesuruhjaya Mata Wang Malaya, dan seterusnya Bank Negara Malaysia yang
mengamalkan perbankan komersial berdasarkan fractional
reserve, kesemuanya boleh menerbitkan wang daripada udara kosong, adalah
permulaan proses mencengkam membawa pada ‘kebinasaan’ ekonomi orang Melayu,
penduduk setempat dan pedagang Islam. Pengenalan nota bank Fiat oleh bank-bank
awal di bawah sistem berdasarkan riba’ tidak memihak kepada orang Melayu mahupun
pedagang Islam. Ini adalah kerana pengambilan dan pemberian riba’ dilarang
dalam agama. Pada mulanya, orang Islam tidak mahu bekerja langsung dengan bank.
Maka itu sewajarnya, struktur perbankan memihak kepada bukan Islam, terutama
orang Cina yang meliputi komuniti perniagaan yang luas. Ini melonjakkan
kemewahan ekonomi dan tahap pendidikan orang Cina jauh melebihi orang Melayu
dan kaum-kaum lain.
Oleh
itu, pengwujudan wang Fiat oleh entiti-entiti di atas menyebabkan pengecutan
sistematik keterlibatan kewangan relatif bagi orang Melayu, penduduk tempatan
dan para pedagang Islam. Pinjaman berdasarkan riba’ memburukkan lagi keterasingan kewangan. Ini telah menyebabkan kekayaan amat besar dapat
dipindahkan daripada tangan orang Melayu melalui inflasi. Ia juga membawa pada
kekurangan ekonomi yang terus melanda hingga kini. Seterusnya, ini menerbitkan
kesan-kesan sosio-ekonomi-politik yang kita lihat di Malaysia sekarang.
Sekarang
terpulanglah kepada kerajaan, NGO-NGO dan orang ramai untuk mengambil langkah
yang perlu demi memperbetulkan keadaan.
Dr. Ahamed Kameel Mydin Meera
Dekan
Institut Kewangan dan Perbankan
Islam
Universiti Islam Antarabangsa
Malaysia
6 ulasan:
salamun 'alayk
jika nak kembalikan ekonomi sebenar berbanding ekonomi ilusi sekarang, tidak dapat tidak perlu hapuskan keseluruhan sistem bank dan perbankan termasuk bank pusat dan diganti dengan sekurang-kurangkan sistem pada kerajaan Turki Uthmaniyyah sebelum zaman Tanzimat.
kembar rapat kepada sistem wang fiat iaitu sistem demokrasi juga perlu dihapuskan dari muka bumi, barulah sistem ekonomi sebenar akan kembali tertegak.
tetapi masalahnya, berani ke kerajaan buat? sistem wang fiat merupakan support/ sokongan yang terkuat dalam demokrasi. jika tiada duit, kerajaan boleh mencipta wang baru melalui terbitan bon yang dipanggil sukuk dan juga melalui rizab berkanun (fractional reserve). wang panas/baru ini boleh diedarkan kepada rakyat dalam bentuk bonus 1.5x bulan, BRIM, dan lain-lain supaya rakyat suka dan terus mengundi kerajaan sediaada. sanggup ke kerajaan? oh ya, sebenarnyanya sistem perbankan lebih berkuasa dari kerajaan jadi apa peluang kerajaan nak menghadapi perbankan antarabangsa?
lebih menyedihkan, the so called "ulama-ulama" memberi fatwa harus dan halal keatas wang fiat dan perbankan Islam sedangkan perbankan Islam juga mengamalkan rizab berkanun. ulama ini bukan sahaja memberi fatwa harus dan halal tetapi mereka juga menjadi tulang belakang dan tunjang kepada perbankan Islam serta seluruh produknya dengan menjadi penasihat dan mendapat habuan berpuluh-puluh ribu dari bank setiap bulan. apabila ditanya tentang sistem rizab berkanun ini, terloponglah mereka tidak faham dan yang lucunya ada yang membawakan kefahaman sistem rizab ini mengikut kefahaman mereka sendiri yang tidak sejalan dengan penerangan dalam The Modern Money Mechanic yang dikeluarkan sebagai panduan oleh pencipta sistem rizab ini sendiri. kemudian syok sendiri dan keluarkan fatwa. jika fakta sudah silap dan syok sendiri, bagaimana fatwa boleh betul? kemudian ada pula ulama tradisional yang mendapat pelbagai gelar yang hebat-hebat apabila ditanya tentang sistem ini mereka juga tidak faham. buktinya mereka masih mengatakan wang fiat sekarang masih disandarkan dengan emas sedangkan sejak dari tahun 1971, wang kertas dan emas sudah tiada apa-apa ikatan lagi. Maka kefahaman mereka ketinggalan selama 42 tahun ke belakang tetapi tetap mahu mengeluarkan fatwa untuk zaman sekarang, 42 tahun selepas wang tidak disandar lagi kepada emas atau perak, relevan ke? mereka menjadikan kertas sebagai Nuqud sedangkan Emas dan Perak adalah Nuqud yang asal.
oleh kerana fatwa oleh al kabair as su'udiyah pada tahun 1973 yang menjadikan wang fiat sebagai Nuqud (sedangkan mereka tidak habis mengkaji lagi tentang sistem wang fiat), dan fatwa susulan pada tahun 1985 dan 1986 (juga tidak sempurna kajian tentang sistem ini), maka seluruh umat Islam sedunia terjebak didalam fitnah riba yang besar ini.
bukan itu sahaja, hukum-hukum berkaitan zakat keseluruhannya, qirad, dan sebagainya semua habis rosak disebabkan menjadikan wang fiat sebagai nuqud.
atas alasan apa mereka menetapkan nisab harta simpanan senilai 20 Dinar/ 85gram emas sedangkan emas dan wang kertas sudah 42 tahun sudah tidak apa apa ikatan. Mengapa mereka tidak menetapkan nisab harta simpanan senilai 200 Dirham/ 595gram perak? dahulu sebelum era wang fiat bagi umat Islam, emas dan perak itulah simpanan. fulus tidak dikenakan zakat. jika sekarang mengapa mereka mengatakan wang fiat itu Nuqud dan bukan Fulus lalu menjadikan satu hukum baharu iaitu zakat simpanan. sedangkan emas dan perak itulah simpanan.
InsyaAllah pada Ramadhan kali ini, saya akan mengeluarkan zakat fitrah berbentuk beras mengikut kualiti yang saya makan, sebanyak segantang Baghdad dan lebih, kepada setiap seorang untuk saya, isteri dan anak-anak dan saya menyeru tuan merah silu juga mengeluarkan zakat dalam bentuk asal yang telah ditetapkan dan menyebarkan kepada orang ramai supaya kita kembali kepada sistem yang baginda Nabi SAW ajarkan.
jikalah tiada Rahmah dan Kasih Sayang Allah, pastilah kita sudah hancur binasa.
Wassalam, terima kasih tuan atas penerangan panjang lebar ini. Cuma saya rasa harus mendapat pencerahan. Saudara sebut rizab berkanun adalah fractional reserve sedangkan saya dapati ia adalah statutory reserve, deposit wang wajib yang harus diletakkan setiap bank konvensyional dalam simpanan bank pusat.
Saya tak tahu apakah terjemahan fractional reserve dalam bahasa Melayu. Kalau ikut bahasa, fraction tu pecahan. Apakah rezab pecahan? Apapun maksudnya lain daripada rezab berkanun. Yang saya faham fractional reserve ni, adalah bagaimana peratusan duit simpanan atau duit daripada deposit orang ramai/syarikat2 ke bank diurus. Kebiasaan sekarang 10 peratus disimpang, 90 peratus boleh dijadikan pinjaman, loaned out. Dari sinilah jadi hal seterusnya. Sebuah bank (kononnya) menyimpan 10 peratus, 90 peratus dikeluarkan tapi boleh masuk balik dalam akuan sendiri balik dimana 90 peratus daripada 90 peratus itu dikeluarkan kemudian ulang balik proses. Jadilah ia 90% + 81% + 72.9% dan berterusannya apabila dicampur kesemuanya jadi 1000% bersamaan 10 kali ganda nilai asal. Inilah caranya duit baru dicipta melalui loan dalam fractional reserve banking, setahu saya le.
Apapun, apabila setiap bank kena letak rezab berkanun di bank pusat maka ia akan terkait juga. Saya tak tahu samada Bank Islam sendiri mengamalkan fractional reserve banking. Tapi kalau dah letak statutory reserve kat bank pusat memang terpalit sama le sebab statury reserve tu pula akan digandakan melalui fractional reserve banking untuk bank pusat mengeluarkan duit.
Mengenai zakat beras tu boleh saya tanya saudara buat bagaimana? Apakah dengan membawa segantang satu kepala itu kepada amil sedia atau terus ke pusat zakat? Atau saudara cari ke rumah anak yatim, atau cari sendiri orang miskin?
Oh. Satu gantang Baghdad tu berapa kilo ya?
tuan bertanya soalan teknikal tentang itu sedangkan saya hanya tahu sedikit sahaja. jadi saya bawakan tulisan prof ahamed di blog beliau kerana beliau lebih layak.
"The word ‘fractional reserve’ refers to the fraction from total deposits that banks must keep as reserve. This reserve ratio is determined and used by the central bank as one tool of monetary policy for controlling the money supply in the economy. The Bank Negara Malaysia, for example, imposes this reserve requirement on commercial banks as the Statutory Reserve Requirement (SRR). This reserve requirement determines the amount of money that commercial banks can create (The total = deposit ÷ SRR). The smaller the reserve requirement is, the more the money that can be created."
http://www.ahamedkameel.com/archives/332
SRR=SR=Rizab Berkanun di Malaysia.
saya tidak tahu kadar rizab SRR yang ditetapkan oleh bank negara malaysia ketika ini kerana sudah hilang minat nak mengikuti perkembangan mereka tetapi sebagai catatan saya, kadar rizab sebelum ini adalah seperti berikut (sila cross check dengan BNM jika nak kepastian):
semenjak september 2009, rizabnya ialah 1% sahaja
bermula 1 april 2011, rizabnya dinaikkan kepada 2%
bermula 16 Mei 2011, kadarnya dinaikkan kepada 3%
dan terakhir pada catatan saya, bermula 16 Julai 2011 rizabnya dinaikkan kepada 4%
dahulu, apabila saya mengira mengikut kiraan Prof Ahamed dengan rizab 1%, saya amat terkejut dengan jumlah wang yang boleh dihasilkan oleh bank...cubalah tuan baca tulisan penuh link itu dan cuba kira berapa RM 1 juta boleh hasilkan dengan rizab 1% menggunakan cara kiraan Prof Ahamed.
bank Islam, terpalit atau tidak dengan rizab berkanun, mari kita fikir situasi dibawah.
1. Apabila kita simpan deposit di bank-bank Islam, adakah kita boleh mengambil wang kita pada bila-bila masa? Jawapannya tentu boleh, abaikan had jumlah pengeluaran harian bagi akaun tertentu.
2. Bila wang kita berada di bank, apa yang pihak bank lakukan ke atas wang kita? Beri pinjam kepada orang lain yang dengannya kita juga mendapat keuntungan melalui "mudharabah" atau apa-apa saja?
A. Jika bank memberi pinjam wang kita, perkara No 1 tak mungkin boleh dilakukan kerana wang telah berada pada tangan orang lain yang meminjam.
B. Jika bank memberi pinjam menggunakan modal mereka sendiri tanpa menggunakan deposit orang ramai, maka apa perlu mereka memberi keuntungan ketas pendeposit mereka sedangkan mereka pula menanggung risiko menjaga duit pendeposit mereka. Ramai orang menyangka bank-bank melabur di sektor lain selain perbankan tetapi apa buktinya?
C. Bank menggunakan kaedah rizab berkanun untuk memberi pinjaman kepada orang yang hendak meminjam dengan cagaran rizab para pendeposit dari orang ramai. Dengan ini, perkara No 1 dapat dilakukan (dengan syarat semua pendeposit tidak mengeluarkan wang secara serentak pada satu-satu masa) dan bank mendapat keuntungan yang besar dari apa yang mereka sebut "Profit" ke atas pinjaman-pinjaman (atas nama pembiayaan) yang dikeluarkan.
jadi anatara A, B dan C yang mana jawapannya...
bank pusat otai punya, dia boleh cetak duit anytime tanpa guna rizab berkanun pun.. Itu pun kena ikut perkembangan ekonomi. kalau silap teknik, jadilah Weimar Jerman zaman tok nenek perang dunia dulu dan Zimbabwe zaman millenia ni.. hehe dollar USD tak ada backup apa pun tetapi sekarang ini semenjak tahun lepas (2012) "mencetak" duit baru atas angin sebanyak USD 85 BILLION SEBULAN. Kalau Malaysia buat macam tu, esok nak beli telur sebiji pun mungkin nilai RM 1,000,000.00 (sebut: RM satu Juta) kot sebab jadi inflasi melampau.
Kenapa USD survive walaupun mereka cetak wang bagai nak gila? Kerana pemimpin-pemimpin Arab penguasa telaga-telaga minyak terbesar di dunia telah lama ditipu sejak tahun 1973 lagi. Penguasa Amerika telah pergi ke Arab Saudi dan menawarkan perlindungan dari serangan musuh-musuhnya dan beberapa kelebihan lagi diberi dengan syarat mudah iaitu hanya menggunakan US Dollar dalam transaksi menjual minyak. Jadi bila Arab Saudi setuju (Fatwa Tahun 1973 antara lain untuk menyokong tindakan kerajaan arab saudi ini) maka semua transaksi dagangan minyak dunia menggunakan US Dollar maka demand terhadap US Dollar sentiasa ada dan stabil. Itulah kebodohan? (atau pengkhiatan?) terbesar keatas umat Islam.
saya bukan nak rendahkan sesiapa pun kerana saya juga tidak tinggi tetapi saya benci apabila sesuatu yang jelas salah dan merugikan ummat Islam dikata benar dan mengikut syariat. untuk pengetahuan tuan, terdapat gerakan yang sangat kuat melawan sistem kapitalis sekarang, antaranya dari gerakan murabitun sedunia yang telah menyebarkan luaskan keburukan sistem dajjal aka sistem rizab ini dan selainnya tetapi apakan daya suara mereka terlalu kecil untuk melawan dunia. di malaysia, golongan ini sedang giat untuk mengumpulkan mufti-mufti dan memberi penerangan. seorang mufti berkata "saya tidak tahu tentang ini (maksudnya Dirham)". masalah juga timbul apabila ada sanak saudara terdekat para mufti menjadi penasihat-penasihat kepada bank-bank Islam...
mengenai zakat fitrah, saya membawa beras yang saya makan kepada amil yang akan menyampaikan kepada golongan yang berhak kerana saya tidak tahu siapa yang berhak yang ada dikawasan saya. kadar segantang baghdad pun masih tidak disepakati berapa kilo..
di kedah, segantang baghdad = 3.063kg
di selangor, segantang baghdad = 2.70kg
di johor, segantang baghdad = 2.60kg
dilain-lain negeri/ negara sila semak dengan pusat urus zakat masing2...
dua tahun lepas saya menyukat dengan betul satu gantang yang jika ditimbang bersamaan 3.++kg (maaf saya tak ingat). tetapi pada tahun lepas, saya fikir apa yang saya nak berkira sangat dengan Tuhan sedangkan Dia Memberi, Memberi dan terus Memberi.. jadi saya genapkan zakat+sedekah saya untuk satu kepala = 5kg atau bersamaan dengan satu kampit kecil (5kg) beras yang saya makan (mudah kerana di pasaran ada beras siap dijual dengan kampit kecil bersaiz 5kg).
bila tuan tanya satu gantang berapa kilo, teringat kata guru, satu cupak itu adalah satu cupak kedua telapak tangan Nabi SAW yang mulia yang diisi penuh. maka empat (atau 3 lebih, maaf saya tak ingat) kedua telapak tangan Nabi bersamaan dengan satu gantang dan itulah kadar zakat fitrahnya.
sukat tak sama dengan timbang. sukat dalam hal ini mengikut isipadu yang boleh diisi manakala timbang menentukan beratnya. setiap jenis beras berlainan mempunyai ketumpatan yang berbeza-beza jadi tak hairanlah jika satu gantang yang sama tetapi mempunyai beberapa timbangan berat.
Tidaklah saya lebih tahu dari tuan, semoga tuan dan keluarga dirahmati Allah selalu.
apa hang merapu radzie sapie..
Entah...
Catat Ulasan