Bersambung daripada artikel Cerita projek buku masjid - Membuka perjalanan di Negeri Sembilan.
Sepanjang beberapa tahun rajin mengembara dan sering tidur di masjid-masjid seluruh Semenanjung, saya rasa tiada yang semeriah Masjid Kampung Hulu di tengah bandaraya Melaka. Boleh kata hampir semua masjid yang pernah dilawati akan mula lengang sebaik sahaja tamat solat berjemaah Isyak (kecuali di bulan Ramadhan, itupun sehingga jam 10.30 malam) sedangkan Masjid Kampung Hulu tetap dikunjungi orang silih berganti 24 jam! Mungkin lokasinya di tengah bandar menyebabkan ia menjadi tumpuan sepanjang masa. Tetapi bandar-bandar lain juga ada yang memiliki masjid-masjid di tengah-tengah, tiada pula yang begitu ‘hidup’ seperti Masjid Kampung Hulu ini.
Saya telah beberapa kali bertandang ke masjid ini termasuk datang untuk berehat sebentar jam 3-4 pagi... sentiasa sahaja ada orang datang untuk bersolat malam, berzikir, bermunajat kalau tak pun sekadar melepaskan penat lelah terbaring atau terlelap di serambi. Lebih menarik, ada yang datang awal pagi buta semata-mata untuk mengambil air di kolah. Kalau tidak kerana ada larangan lisan dari pihak masjid, tentu sudah ramai yang mandi terus di situ!
Menurut catatan di hadapan, Masjid Kampung Hulu merupakan salah sebuah masjid tertua di Melaka. Bangunan asal dibina tahun 1728 oleh Datuk Samsudin bin Aroom, kapitan Melayu zaman Belanda dan diperkukuhkan dengan binaan batu tahun 1892. Catatan rasmi itu turut menyebut, selain berperanan sebagai tempat solat, masjid ini mempunyai keistimewaan sendiri. Ia dikunjungi segenap lapisan masyarakat. Ramai percaya hajat mereka akan terkabul dengan berkunjung dan berniat di dalam masjid ini!
Kami datang lewat Jumaat malam Sabtu dengan tujuan mahu bermalam seraya merakamkan keistimewaan masjid ini melalui lensa kamera. Sebaik sahaja sampai, seorang penjaga masjid yang mengenali saya terus membuka cerita kaitan Masjid Kampung Hulu dengan Pulau Besar di mana terdapat banyak makam-makam yang dianggap keramat termasuk makam seorang wali Allah yang dikenali sebagai Sultanul Ariffin Sheikh Ismail. Saya mengaku datang kali ini untuk membuat cerita yang akan dibukukan. Maka kepada Shamsul yang kali pertama bermalam di masjid itu, saya sebut bahawa bagi sesetengah pihak, Masjid Kampung Hulu adalah tempat wajib diziarahi sebelum masuk ke Pulau Besar.
“Nah, ini ada buku tentang Pulau Besar dan Sheikh Ismail,” kata penjaga masjid. “Simpanlah buat sementara dan buat photocopy”. Beliau turut menghadiahkan sebuah buku kecil tentang sejarah Datuk Aroom, bapa kepada Datuk Samsudin yang dikatakan membina Masjid Kampung Hulu tahun 1728. “Ia ditulis seorang waris untuk disampaikan kepada umum...”
Saya meminta penjaga masjid menceritakan serba-sedikit tentang keistimewaan Masjid Kampung Hulu. Dia pun memberi beberapa contoh tentang bagaimana hajat orang termakbul selepas bermunajat di masjid. Ada pula orang berpenyakit teruk seperti lumpuh pulih sehari dua selepas membasuh bahagian yang sakit menggunakan air kolah masjid.
Cerita-cerita ini sudah biasa saya dengar kerana selalu bercampur-gaul dengan golongan yang mengamalkan ilmu perubatan tradisional juga persilatan kebatinan yang menggunakan zikir dan ayat-ayat Al-Quran. Adapun dalam satu perguruan, Masjid Kampung Hulu termasuk antara tempat wajib diziarahi untuk memantapkan ilmu selain Pulau Besar di Melaka, Gunung Ledang di Johor, Masjid Tanah dan Tanjung Tuan di port Dickson.
Apapun, ini tidak menjawab mengapa Masjid Kampung Hulu dianggap istimewa... begitu istimewa sehingga kaum Cina dan India yang mengetahui cerita pun akan mengambil air kolahnya untuk dijadikan air penawar dan sebagainya. Malah ada diceritakan, pernah terjadi pergaduhan antara kaum Cina lalu mereka membuat keputusan untuk masuk sebentar ke Masjid Kampung Hulu lalu hati yang panas sejuk kembali membawa kepada perdamaian.
Setahun lepas, seorang pengunjung tetap ada memberitahu bahawa di hadapan masjid ini terdapat makam seorang ulamak besar bernama Sheikh Abdullah. Katanya ulamak ini adalah Sheikh Abdullah yang pernah bermastautin di puncak Gunung Jerai, Kedah selepas mengIslamkan Sultan Muzaffar Shah Kedah lebih 800 tahun lalu! Tetapi setelah saya bertanya kembali beberapa orang, fakta yang lebih tepat adalah makam itu milik Sayyid Abdullah al-Haddad yang datang selepas Masjid Kampung Hulu didirikan. Pada malam Sabtu itu pula baru saya mendapat kepastian ulamak inilah punca keistimewaan masjid itu.
Menurut penjaga masjid, Sayyid Abdullah ini hidup awal tahun 1800an. Katanya, ibu kepada Munshi Abdullah, orang yang dilabelkan sebagai bapa sastera Melayu moden pernah menghadapi masalah anak meninggal dunia tidak lama selepas dilahirkan. Ini berlaku 2-3 kali sehingga dia hampir putus asa. Sayyid Abdullah mendapat tahu lalu menasihatkan, jika ibu ini mengandung lagi, anak yang akan datang hendaklah diberi nama serupa dengannya, insyaallah akan umur panjang. Itulah anak yang muncul menjadi Munshi Abdullah!
Saya sendiri kurang gemar dengan Munshi Abdullah kerana beliau pernah bekerja dengann Stamford Raffles yang berperanan besar menghancurkan empayar Johor-Riau-Lingga. Munshi Abdullah juga dikatakan telah menterjemahkan kitab Bible ke Bahasa Melayu. Tetapi saya menyebut juga nama itu sebagai contoh satu nama besar sejarah Melayu moden yang boleh dikaitkan dengan kelebihan Sayyid Abdullah.
Diceritakan juga, pada satu hari Sayyid Abdullah masuk ke bilik air pada masa yang sama dengan beberapa orang anak murid. Tiba-tiba beliau ghaib, tidak dapat ditemui. Yang peliknya, apabila anak muridnya keluar bilik air, tiba-tiba juga Sayyid Abdullah muncul keluar bersama. Apabila ditanya ke mana dia menghilang, jawab Sayyid Abdullah beliau ke Mekah untuk menolong memadamkan kelambu Ka'abah yang terbakar!
Penjaga masjid kemudian menyebut Sayyid Abdullah inilah yang menyusun kumpulan wirid dan zikir terkenal, Ratib Al-Haddad. Untuk pengetahuan, ada dua jenis wirid, juga disebut Ratib yang sangat berpengaruh di kalangan orang Arab, terutama golongan ‘Habaib’ (para Sayid keturunan Nabi Muhammad SAW) yang datang ke dunia Melayu. Pertama adalah Ratib Al-Haddad, kedua Ratib Al-Attas. Kedua-dua amalan yang disusun berdasarkan ayat-ayat al-Quran, doa, selawat, istighfar dan sebagainya dapat menenangkan jiwa, memberi keberkatan malah mendapatkan fadhilat yang kadang-kadang mencarik adat.
Saya terdiam panjang. Kalau kata-kata ini benar, maka Sayyid Abdullah yang dimakamkan di Masjid Kampung Hulu memang seorang ulamak malah wali besar. Tetapi kemudian baru saya teringat, Sayyid Abdullah yang meyusun Ratib Al-Haddad wafat di Yaman tahun 1720 sedangkan Sayyid Abdullah di masjid ini hidup lagi pada awal 1800an.
Apapun, Sayyid Abdullah di Masjid Kampung Hulu tetap merupakan insan yang sangat istimewa. Sambil penjaga masjid menamatkan cerita, Shamsul mula terlelap. Saya pun mengundurkan diri untuk membaca buku tentang Pulau Besar dan Sheikh Ismail diikuti buku sejarah Datuk Aroom yang juga mengandungi sejarah Masjid Kampung Hulu.
Baru saya tahu Datuk Aroom adalah Kapitan atau ketua orang Melayu Melaka pertama zaman pemerintahan Belanda (1641-1824). Ini kerana menurut buku tulisan warisnya itu, Datuk Aroom dan orang-orangnya telah membantu Belanda mengalahkan Portugis tahun 1641 lalu dilantik menjadi kapitan dan dianugerahkan sejumlah tanah sekitar Melaka.
Yang menarik, Datuk Aroom asalnya seorang pedagang muda bernama Tan Seek Tiong dari Tiongkok di negeri Cina. Tetapi kapalnya karam dipukul taufan di Selat Melaka sebelum jasadnya yang telah nyawa-nyawa ikan ditemui penduduk kampung di Pantai Kelebang.
Semasa diusung ke rumah ketua kampung, kebetulan laungan azan mula berkumandang. Pemuda Cina itu tersedar lalu bertanya tentang azan. Setelah diterangkan makna seruan di sebalik panggilan azan, beliau pun meminta diIslamkan. Hmm... macam kena pula dengan tajuk buku ini, ... (dirahsiakan) . Sejak itu Tan Seek Tiong memakai nama Islam Harun, kemudian dipanggil Harom, Arom dan Aroom.
Seperti disebut awal tadi, Masjid Kampung Hulu adalah salah sebuah masjid terawal masih wujud di Melaka malah di seluruh Malaysia. Walaupun penduduk Melaka diketahui telah memeluk Islam sejak awal abad ke 15 Masihi lalu telah ada masjid-masjid didirikan sejak itu, rata-rata masjid di Melaka telah diroboh dan dihancurkan sebaik sahaja Portugis memerintah tahun 1511. Zaman pemerintahan Belanda pula menyaksikan dasar yang lebih liberal. Baru penduduk beragama selain Kristian dibenarkan mendirikan rumah ibadat masing-masing.
Masjid Kampung Hulu diwartakan pihak muzium sebagai berdiri tahun 1728 tetapi buku sejarah Datuk Aroom pula menyebut beliau siap mendirikan masjid itu tahun 1670, jauh lebih awal dari mana-mana masjid yang masih wujud di Malaysia. Dalam kepenatan cuba mencerna segala fakta, saya juga akhirnya terlelap. Tetapi tak lama kemudian saya terbangun lalu mendapati Shamsul sedang mengambil gambar di tepian kolah.
Saya melangkah lebih dekat untuk melihat. Seketika itu juga terdengar suara orang dewasa menegur kasar: “Kenapa ambil-ambil gambar ini? Siapa yang suruh?”. Saya terus tampil ke hadapan menerangkan keadaan. Timbul satu perkenalan dengan seorang pengunjung masjid sehingga sempat keluar makan nasi lemak bersama di tempat lain.
Siang kemudian, baru kami tahu pengunjung ini menghidap penyakit mental. Patutlah asyik bercakap bukan-bukan termasuk mengaku pernah berlakun beberapa buah filem dan drama! Hingga saya pula diwar-warkan kepada orang ramai sebagai seorang pelakun yang menyamar. Apapun, banyak yang berlaku malam itu sehingga kami kurang tidur. Shamsul juga sempat menyiapkan kerja lain di komputer laptop sementara saya mula membuka cerita untuk isi buku ini di komputer laptop sendiri, di sisi lain masjid hingga masuk waktu Subuh.
Hasilnya... selepas solat Subuh baru kami betul-betul 'tumbang'. Hampir jam 11 baru Shamsul bangun menyambung kerja sementara saya berjalan kaki di sekitar Jalan Hang Tuah mencari kedai untuk membuat dua salinan fotostat buku tentang Pulau Besar dan Sheikh Ismail yang dipinjamkan juga buku sejarah Datuk Aroom untuk simpanan kami. Maka hampir jam 1 petang, baru kami keluar meninggalkan Masjid Kampung Hulu.
Selepas Masjid Kampung Hulu, masjid terpilih seterusnya ialah Masjid Kampung Keling tak sampai 500 meter dari situ. Dalam lingkungan jarak ini juga terdapat makam yang dipercayai tempat persemadian Hang Jebat, seorang daripada pahlawan empayar Melayu Melaka lima bersaudara yang terbilang gagah berani pada zaman pemerintahan Sultan Mansur Shah (1456-1477). Kami pun ke sana untuk memenuhi tema cerita kembara berkaitan sejarah.
Dicatat di hadapan makam, Hang Jebat dilantik sebagai laksamana untuk menggantikan Hang Tuah yang difitnah pembesar istana kononnya telah berlaku curang dengan dayang sultan. Hang Jebat yang terkenal dengan kata-kata “Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah” telah bertindak melawan raja yang tiada usul periksa menjatuhkan hukuman mati kepada Hang Tuah. Tindakan Hang Jebat ini merupakan satu penderhakaan kepada sultan dan beliau dititahkan untuk dibunuh. Namun tiada seorang pun pahlawan Melaka pada ketika itu berjaya melaksanakannya. Kebetulan keris Taming Sari yang dahulunya milik Hang Tuah berada di tangan Hang Jebat. Ia dipercayai mempunyai kuasa luar biasa. Sesiapa yang memakainya tidak akan binasa mahupun cedera!
Dipendekkan cerita, Hang Jebat akhirnya terbunuh di tangan kawan sepermainan dan saudara seperguruannya sejak kecil iaitu Hang Tuah sendiri yang sebenarnya disorokkan bendahara di Ulu Melaka... apabila beliau dapat merampas kembali keris Taming Sari secara helah. Peristiwa penuh tragik ini menjadi salah satu polemik besar dalam dunia pemikiran orang Melayu hingga kini. Siapakah yang benar? Hang Jebat yang derhaka kepada sultan demi membela nasib saudaranya yang dizalimi atau Hang Tuah yang setia melulu kepada raja...
Tidak jauh dari kawasan ini terdapat juga makam Sheikh Shamsuddin seorang ulamak besar bertaraf wali yang direkodkan sejarah sebagai satu daripada empat ulamak terbesar Aceh sepanjang zaman. Beliau juga dikenali sebagai Sheikh Shamsuddin al-Sumatrani juga Sheikh Shamsuddin Pasai, pernah menjadi anak murid ahli Tasawuf dan pujangga besar Melayu Sheikh Hamzah Fansuri sebelum beliau sendiri menjadi sasterawan ulung dan mufti Aceh semasa zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam (1607-1636).
Sejak Melaka ditawan Portugis 1511, Aceh sering menyerang untuk memerdekakannya. Sheikh Shamsuddin dikatakan terlibat dalam serangan besar Aceh tahun 1629 yang menyaksikan kota Melaka dikepung selama 2 tahun. Malangnya Aceh akhirnya kalah akibat pembelotan dan Sheikh Shamsuddin dipercayai antara pahlawan yang terkorban. Maka ziarah ke makam itu sesuai dibuat untuk mengingatkan apa yang berlaku.
Selepas itu baru kami ke Masjid Kampung Keling. Masjid yang dibina tahun 1748 sebelum ditambah binaan batu tahun 1872 ini memiliki unsur-unsur campuran Cina, India, Melayu Melaka dan Sumatera berserta hiasan dalaman yang ada berunsur Inggeris seperti lampu gantung zaman Ratu Victoria. Kedudukannya di Jalan Tukang Emas bersebelahan Kuil Sri Payyatha Viyanagar Moorthi dan berhampiran Tokong Cheng Hoon menjadikan ia sangat popular di kalangan pelancung luar. Jika Masjid Kampung Hulu terkenal sebagai tempat mengharapkan hajat terkabul, Masjid Kampung Keling pula menjadi contoh hasil pergaulan harmoni pelbagai kaum yang membentuk masyarakat Melaka hingga kini. Peranan dua masjid berdekatan ini mungkin kelihatan berlainan tetapi tetap saling menyokong sehingga kedua-duanya menggunakan khidmat tok siak yang sama untuk menjaga keperluan jemaah.
Selesai itu, kami pun bersedia meninggalkan pusat bandaraya. Tapi singgah dahulu ke makam Hang Kasturi, seorang lagi pahlawan lima bersaudara... selain Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Lekir dan Hang Lekiu yang terkenal semasa zaman kegemilangan kesultanan Melayu Melaka.
Catatan di hadapan makam menyebut, kitab Sejarah Melayu (atau lebih tepat, nama asalnya kitab Sulalatus Salatin karangan Bendahara Johor abad ke 17 iaitu Tun Sri Lanang) menyatakan Hang Kasturi sebagai pahlawan yang menderhaka kepada sultan setelah Hang Tuah dihukum bunuh tanpa usul periksa. Tetapi kitab Hikayat Hang Tuah pula menyebut, Hang Jebat sebagai pahlawan derhaka itu dan inilah yang diterima umum.
Lalu sampailah kami ke Masjid Tengkera, 3km ke utara pusat bandaraya. Adapun berdasarkan tarikh 1226 Hijrah bersamaan 1780 Masihi yang tertera pada pintu gerbang masjid, dipercayai ia dibina seusia tarikh tersebut untuk menggantikan masjid lama yang dibina tahun 1728 tetapi kini tinggal menara di tepian jalan 500 meter ke selatan.
Seperti Masjid Kampung Hulu dan Masjid Kampung Keling, ia juga memiliki senibina campuran Melayu Melaka, Cina juga kepulauan Indonesia. Tetapi kami lebih tertarik dengan sejarah lama yang boleh dikaitkan dengan makam di perkarangan, milik Sultan Hussin Shah yang pernah memerintah sebuah empayar warisasn Melayu Melaka.
Untuk pengetahuan, selepas kota Melaka ditawan Portugis 1511, kebanyakan jajahan takluknya masih dapat dikekalkan. Cuma pusat pemerintahan sahaja beralih ke sebelah Johor. Tercatat di hadapan makam, Sultan Hussin Shah, juga dikenali dengan gelaran Tengku Long (Sulung) dan Tengku Embong adalah putera sulung Sultan Mahmud Shah III (1761-1812) yang memerintah empayar Johor meliputi tanah besar Johor, Pahang, Singapura, Lingga, Riau, Karimun dan kepulauan di sekitar. Apabila Sultan Mahmud Shah III mangkat di Lingga, ibu negeri Johor ketika itu, Tengku Long berada di Pahang. Konspirasi istana telah menyingkir Tengku Long sehingga adiknya dipilih sebagai sultan yang berpusat di Riau.
Sebenarnya apa yang berlaku adalah komplot terancang penjajah Inggeris dan Belanda. Oleh kerana kenaikan adik Tengku Long berlaku dengan sokongan Belanda, Thomas Stamford Raffles yang ingin memiliki Singapura bagi pihak Inggeris mengambil kesempatan membawa Tengku Long ke Singapura lalu menabalkannya sebagai Sultan Johor-Singapura.
Keadaan ini membawa kepada Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 yang memecahkan empayar Johor kepada bahagian naugan Belanda (yang bakal menjadi sebahagian dari Indonesia) dan bahagian naungan Inggeris (bakal menjadi Malaysia). Singapura juga akhirnya dimiliki Inggeris pada tahun yang sama tetapi pada tahun 1834 baru baginda berpindah ke Melaka.
Cerita di sebalik Masjid Tengkera dan kewujudan makam Sultan Hussin Shah asalnya mahu dijadikan pembuka dan pelonjak penceritaan sejarah dalam buku ini. Ia boleh disambung secara bertema dengan cerita di sebalik masjid-masjid untuk membentuk kesinambungan kisah dari zaman kegemilangan kerajaan-kerajaan Melayu membawa kepada penjajahan Barat hingga muncul Malaysia dengan orang Melayu kini yang sedikit keliru . Tetapi seperti disebut pada mukadimah buku, mungkin cara ini kurang memberangsangkan. Lebih elok cerita dibuat secara kembara, lebih senang isinya dicerna sambil kita “melompat-lompat zaman”.
Oh... Satu fakta menarik berkaitan Masjid Tengkera. Adapun kawasan ini dahulu lebih dikenali sebagai Upih dengan sebuah pulau di luar pantai dikenali sebagai Pulau Upih pernah menjadi pusat pengajian Islam yang masyhur abad ke 15. Tetapi apabila Portugis menjajah Melaka, Upih dijadikan kawasan pendudukan tepian bandar terbesar di luar kota berkubu Porta de Santiago (lebih dikenali sebagai A Famosa yang pernah meliputi bukit St. Paul). Tembok berkubu lebih rendah ada dibina sekitar Upih, dipanggil Tranqueira dalam bahasa Portugis. Dari situ timbul sebutan Tengkera yang kemudian menjadi nama kawasan ini.
Masjid seterusnya dalam program ialah Masjid Tanjung Keling, 8km lagi ke utara melalui jalan persisiran pantai. Masjid itu sendiri tiada apa sangat yang istimewa kerana serupa sahaja seperti kebanyakan masjid lama Melaka. Tetapi kedudukannya berdekatan sebuah makam lama yang dinyatakan sebagai Makam Hang Tuah memungkinkan skop cerita menyentuh lagi zaman kegemilangan kesultanan Melayu Melaka seraya mendaulatkan makna Melayu.
Kalau ikutkan, mahu sahaja saya terus ke situ... biar selesai satu lagi kerja. Tetapi Shamsul sudah tidak tahan lapar. Maklumlah sudah masuk jam 4 petang sedangkan kami belum makan tengahari. Kami pun mencari tempat makan dalam perjalanan, kalau boleh yang menghadap laut memandangkan jalan yang dilalui memang jalan persisiran pantai. Tetapi kami ternyata hampa kerana hampir semua bahagian yang dilalui telah ditutupi pasir dan tanah untuk projek tambakan dan tebus-tanah yang membawa hingga 500 meter ke luar pantai.
Kami terus berjalan melepasi Masjid Tanjung Keling untuk mencari tempat makan yang sesuai. Nasib baik terjumpa Pantai Puteri sekitar 3km lagi ke utara. Selesai makan, kami berpatah-balik ke Tanjung Keling. Sedar tak sedar kami telah mengambil satu jalan yang terus membawa ke makam yang dikatakan milik Hang Tuah.
Kenapa saya tidak terus menyatakan makam ini sebagai makam Hang Tuah? Kerana disedari semua yang mengkaji sejarah Melayu, Hang Tuah tidak diketahui meninggal dunia di mana. Malah beliau dipercayai ghaib sejurus sebelum Melaka tumbang dijajah Portugis! Jadi mengapa makam di Tanjung Keling ini dikatakan Makam Hang Tuah?
Kebetulan kami sampai tepat kehadiran sejumlah pelawat luar. Rupa-rupanya mereka orang Melayu Singapura yang baru lepas menziarahi sanak saudara di Melaka. Dalam keriuhan anak-anak kecil mereka turut melihat makam lama panjang, timbul pertanyaan... betulkah ia tempat bersemadi Hang Tuah sedangkan setahu mereka pahlawan Melayu itu ghaib, hilang tanpa berita. Jawab saya memang Hang Tuah tidak diketahui meninggal dunia di mana. Tetapi menurut kitab Sejarah Melayu, sejak pahlawan ini hilang, sultan Melaka sering termenung keluar tingkap istana menghadap ke Tanjung Keling. Maka dibina satu makam sebagai tanda.
“Oh, ya ke?” mereka menyambut. “Apapun, kami tetap ke sini untuk mengimbau sejarah kegemilangan orang Melayu di sebalik cerita Hang Tuah. Biar anak-anak kami tahu menghargainya. Di Singapura segalanya telah diubah agar Melayu jadi kurang bermakna”
Saya merenung ukiran di tepian makam mengandungi ungkapan keramat yang katanya disebut Hang Tuah: “Takkan Melayu hilang di dunia!”. Alhamdulillah, warga Singapura ini sanggup membawa anak-anak untuk mengenali sejarah walaupun di makam tanda, bukan makam sebenar Hang Tuah. Shamsul pula timbul semangat baru. Akan ditulisnya apa yang berlaku di sini sebagai renungan untuk anak bangsa yang semakin lupa makna Melayu.
Kami meninggalkan Makam Hang Tuah seiring pelawat dari Singapura. Rasa bangga juga melihat mereka yang hidup dalam arus pesat pembangunan kelolaan bangsa lain yang cuba menguburkan kenyataan untuk digantikan sejarah berat sebelah versi pendatang lebih prihatin akan nasib bangsa. Sedangkan di Malaysia yang jauh lebih ramai orang Melayu, ada yang sanggup menjual segalanya kepada pihak luar demi meraih sedikit kekayaan dan kekuasaan!
Di Masjid Tanjung Keling, saya meminta Shamsul supaya mengambil sedikit sahaja gambar sekadar untuk dikaitkan dengan makam Hang Tuah. Kemudian kami terus berpatah-balik ke pusat bandaraya sebelum mengambil jalan ke Hospital Melaka untuk sampai ke masjid terpilih seterusnya, Masjid Peringgit tidak jauh dari masjid negeri Melaka.
Peringgit mendapat nama apabila pemerintah Portugis di Melaka (1511-1641) membina pos kawalan di puncak bukit bertujuan untuk mengawal pergerakan serangan orang Naning. Lantas bukit ini disebut sebagai Bukit Peringgi (Peringgi adalah panggilan orang Melaka terhadap orang Portugis), kemudian disebut Peringgit hingga ke hari ini. Masjid asal Peringgit yang dibina tahun 1141 Hijirah bersamaan 1726 Masihi telah musnah. Masjid yang masih berdiri ini pula dibina tahun 1293 Hijrah bersamaan 1868 Masihi. Satu ciri yang unik, masjid ini tidak memiliki menara azan seperti kebanyakan masjid yang ada.
Saya menyertakan Masjid Peringgit kerana dalam catatan rasmi, ia disebut sebagai masjid tertua Melaka. Apabila masjid negeri iaitu Masjid Al Azim siap dibina 1988, Masjid Peringgit tidak lagi digunakan untuk solat Jumaat. Dalam berjalan-jalan di sekitar Bukit Peringgit melihat apa yang ada (rupanya banyak rumah pegawai tinggi kerajaan di atas sana), kami dapat melihat Masjid Peringgit dengan masjid negeri di latarbelakang. Kemudian kami bergegas ke Masjid Kampung Duyung dalam perjalanan menghala ke Muar.
Masjid Kampung Duyung asalnya sebuah surau yang dinaik-taraf, dibina secara gotong-royong... siap tahun 1850 dengan menara azan dibina 1909. Kampung Duyung pula dikatakan tempat Hang Tuah membesar sebelum menjadi hulubalang. Kebetulan tidak jauh dari masjid terdapat sebuah perigi yang dipanggil Perigi Hang Tuah, katanya digali beliau dengan tangannya sendiri! Maka terkaitlah segalanya dengan cerita kegemilangan Melayu lama.
Kami sampai ke masjid seterusnya di Umbai dalam gelap, selepas masuk waktu Maghrib. Cukuplah persinggahan pendek untuk kesinambungan cerita kerana di hadapan masjid yang juga dikenali sebagai Masjid Baginda Ali ini terdapat makam Sultan Ali, raja Melayu yang dicatatkan sesetengah sejarawan sebagai sultan terakhir empayar Johor warisan Melaka.
Untuk makluman, Sultan Ali adalah anakanda Sultan Hussin Shah (yang dimakamkan di perkarangan Masjid Tengkera). Zamannya menyaksikan empayar Johor terus dipecah-belahkan apabila beberapa orang pembesar mengisytiharkan wilayah mereka merdeka dengan mereka sebagai raja, melalui sokongan Inggeris sehingga baginda tersepit di wilayah Kesang. Kemudian kami terus berkejar ke Anjung Batu untuk mendapatkan feri terakhir ke Pulau Besar, feri jam 8.30 malam. Nasib baik cukup masa malah sempat juga makan malam selesa di luar kawasan jeti walaupun asalnya kami terkejar-kejar takut ketinggalan feri...
5 ulasan:
"Dipendekkan cerita, Hang Jebat akhirnya terbunuh di tangan kawan sepermainan dan saudara seperguruannya sejak kecil iaitu Hang Tuah sendiri yang sebenarnya disorokkan bendahara di Ulu Melaka... "
Pada pengetahuan saudara, Ulu Melaka ni kat mana? Pada pengamatan saya takde tempat di Melaka yg ada namanya disebut Ulu Melaka melainkan "Ulu Melaka" di Pulau Langkawi, Kedah.
Jadi mcm mana agaknya Bendahara melaka boleh bawa Hang Tuah sampai ke sana? Melaka yg mana satu sebenarnya kita cuba agungkan? Semenanjung Melaka ini atau Melaka yg kecil mcm skrg ni???
Ulu Melaka itu letaknya bersempadan dengan Air Kuning.
Ini khusus untuk sheikh radzi dan yang lain amnya,
Kalau sudah sampai ulu melaka yang di langkawi itu, sebaiknya cari lah "Pak Lang" insyaallah banyak yang dapat di bukakan oleh nya.
Sheikh Ahmad Qadri Alawi
salam zack..maaf mencelah
satu2nya bukti yg menunjukkn empayar melaka ialah selatnya..dari bandar hilir (melaka) hinggalah ke hulunya (langkawi-ulu melaka)..ini sahaja yang tidak sempat atau tidak perasan oleh orang2 yang cuba utk menutup sejarah ketamadunan islam nusantara (inggeris)
aku yakin bahawa hang jebat tidak mati ditangan hang tuah tetapi diakhir ceritanya..hang tuah juga menyorokkan hang jebat seperti mana bendahara tun perak pernah menyelamatkannya dahulu.
hang tuah pun dh tua masa tuuu..mustahil tuah dapat mengalahkan jebat.
wasalam.
Dalam bahasa orang Melaka, Ulu bermaksud kawasan pendalaman ataupun hutan atau tempat yang jauh daripada bandar. Kalau kata "dia itu pakaiannya macam orang ulu" bermaksud berpakaian seperti orang kampung.
Catat Ulasan