Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Jun 06, 2008

Kembara ke Negeri Sembilan... Makam Sheikh Muhammad Said Linggi

Assalamualaikum... Kita sambung lagi proses penceritaan pengembaraan ke Negeri Sembilan melalui klip-klip video. Bersambung daripada posting Kembara ke Negeri Sembilan... Meriam Datuk Undang Abdullah! , kita ke Seremban pula untuk menziarahi makam seorang ulamak besar bertaraf wali iaitu Sheikh Muhammad Said Linggi di kawasan empangan.

Rasanya nama Sheikh Said Linggi ini sudah cukup terkenal di kalangan mereka yang mengikuti sedikit-sebanyak kisah-kisah ulamak besar di Tanah Melayu terutama mereka yang ada membaca tentang Tariqat Ahmadiyah. Untuk pengetahuan, Sheikh Muhammad Said Linggi adalah orang terawal membawa tariqat ini ke Negeri Sembilan sedangkan kaum-keluarganya terus dihormati lalu diberi jawatan-jawatan tinggi seperti mufti besar untuk menunjuk jalan yang benar kepada ummah di negeri ini.

Kebetulan posting tentang ulamak yang turut dinyatakan sebagai satu daripada 7 wali utama Melayu ini dibuat pada malam Jumaat, masuk pula 1 haribulan Jamadil Akhir tahun 1429 Hijiriah. Semoga dengan barakah dan karamah almarhum, kita-kita di sini dapat menerima kebahagian hidup dunia dan akhirat ya! Dan semoga pula mereka-mereka yang sakit jiwa dan raga sehingga tidak mampu lagi menahan sakit yang amat lalu terpaksa melepaskan bebanan dalaman dengan meraung-raung membuat kacau di tempat orang dapat disembuhkan. Insyaallah! :]






Melihat sekitar kawasan perkuburan besar di Ampangan, Seremban yang dikenali sebagai kawasan tanah perkuburan Sheikh Muhammad Said Linggi...






Makam Said Linggi dan ulasan yang terkeluar di sana... Hmm... Saya rasa elok juga di copy and paste satu cerita mengenai almarhum yang saya temui di Internet tadi, rasanya pernah dipaparkan dalam sebuah akhbar tempatan. Ini dia... Sekian! :]


Syekh Muhammad Said Linggi Al Jawi

Oleh : Ismail Che Daud

Pada tahun 1905, masyarakat Melayu Kelantan menjadi gempar dengan sebab "telah jatuh di dalam negeri sahaya satu pekerjaan yang pelik, tiada pernah jatuh lagi dahulunya iaitu datang seorang nama Haji Encik 'Id bin Haji Jamaluddin Linggi ke Kelantan mengajarkan ilmu tariqat Ahmadiyah ".

Demikianlah, antara salinan isi warkah pertanyaan(1) daripada Raja Kelantan (2), bertarikh 14 Ramadhan 1323 (bersamaan 12 November 1905) yang diutus "kepada orang tua sahaya, Wan Ahmad bin Haji Wan Din (3) Patani, seorang tokoh ulama besar Alam Melayu yang menetap di kota Makkah". Haji Encik 'Id - tokoh kontroversi yang telah mencetuskan keresahan tersebut itulah yang hendak kita perkenalkan pada kali ini.

Latar Diri Keluarganya

Nama penuh Haji Encik 'Id ialah Haji Muhammad Said bin Haji Jamaluddin bin Haji Idris. Dikenali juga dengan panggilan al-Syaikh Muhammad Said al-Linggi al-Jawi. Datuknya, Haji Idris anak Hajjah Rahimah binti Khatib Musa bin 'Amaluddin bin Awaluddin� Dato' Awal bin Faqih @ Daeng Abdul Malik adalah seorang alim yang salih lagi keramat. Hampir separuh dari usianya dihabiskan di kota ilmu Makkah kerana menuntut ilmu. Haji Idris berketurunan campuran Minangkabau-Bugis Linggi. Ini kerana isteri Khatib Musa yang bernama Zalikha itu adalah anak seorang pembesar di Kampung Semabuk, Minangkabau. Manakala Dato' Awaluddin pula disebut-sebut sebagai peneroka daerah Linggi (1783) di Negeri Sembilan.

Satu sumber lain mengatakan nasab sebelah datuk bapanya sampai kepada saidina Abdullah bin Abbas, sepupu Rasulullah s.a.w. Dikatakan demikian kerana suami Hajjah Rahimah, iaitu Haji Abdul Mu'min Linggi bin Syaikh Muhammad Nakhoda Minangkabau bin Ahmad bin Umar bin Saleh bin Abdullah adalah berasal dari Hadramaut.

Bapanya sendiri, Haji Jamaluddin (1835 - 1888) adalah seorang tokoh ulama' Melayu Negeri Sembilan yang pernah diberi kepercayaan mengajar di Masjid al-Haram semasa bermukim di kota Makkah. Dia masyhur zahid, berpendirian memada dan dikurniakan pelbagai kararnah yang pelik-pelik. Diceritakan, pada hari matinya, dia tidak meninggalkan sebarang wang - walau sesen pun!

Ibunya, Hajjah Safiah binti Haji Muhammad Saleh al-Fatani adalah seorang Qurra' yang terkenal elok bacaannya lagi penyantun. Pernah menjadi guru Qira’at al-Quran - baik semasa tinggal di Makkah, mahupun ketika berada di Patani. Murid-muridnya tidak terbilang kerana terlalu ramai.

Manakala datuk sebelah ibunya, Haji Muhammad Saleh al-Fatani yang masyhur keramat itu adalah seorang guru pondok yang terulung pada zamannya. Murid-muridnya tidak kurang 500 orang pada satu-satu masa. Haji Muhammad Saleh berkahwin dengan Hajjah Mariam, juga terkenal dengan kesalihannya. Bapa Hajjah Mariam, Syaikh Abdul Rashid al-Fatani (4) pun seorang tokoh ulama' yang termasyhur pada zamannya, dianugerahi Allah dengan beberapa banyak keistimewaan yang tersendiri. Ringkasnya, Muhammad Said lahir di tengah-tengah rumpun keluarga alim ulama' yang terkemuka dan yang alim turun-temurun.

KelahirannyaMuhammad Said dilahirkan di perkampungan Syi'b Ali Makkah "pada hari Sabtu yang keempat atau yang ketiga daripada bulan Syaban tahun 1292" (5) yang bersamaan dengan 25 atau 18 September 1875. Dipelihara ibu dan neneknya (Hajjah Mariam) kerana ketika itu bapanya sedang berkhidmat di Tanah Jawi.

Zaman remajanya:

Pada tahun 1882, ketika berusia 7 tahun, Muhammad Said dibawa pulang ke Patani, tanah tumpah darah ibunya. Beliau dibesarkan di sana sehinggalah umurnya meningkat 12 tahun.

Muhammad Said sungguh bertuah kerana ibunya seoraag yang fasih dalam bidang qira'at al-quran. Ibu yang salihah inilah yang mendidik dan membentuk peribadinya. Lantaran itu tidak hairanlah jika beliau tergolong seorang kanak-kanak yang sangat elok akhlaknya lagi cerdas pula akalnya.

Guru-guru Awalnya:

Pada tahun 1887, barulah beliau dihantar mengaji di luar rumah. Empat orang guru awalnya ialah Syaikh Zainal Abidin bin Muhammad al-Fatani (Tuan Minal), Haji Awang (Tuan Semela atau Dato' Semela), Dato' Nahu dan Syaikh Muhammad Nuh yang berasal dari negeri Kedah. Beliau mempelajari ilmu-ilmu fiqh, usuluddin, tasawwuf, nahu dan macam-macam ilmu lagi. Dikecualikan Tuan Minal, ketiga-tiga orang guru yang akhir itu adalah bekas murid datuknya, Syaikh Abdul Rashid al-Fatani.

Muhammad Said adalah seorang pelajar yang bercita-cita tinggi, tekun belajar, malah pernah tidak tidur malam sampai terbit fajar kerana tidak menyedari matahari telah naik. bahkan, ada "ketika-ketika mengalir kedua matanya akan darah daripada terlampau banyak menilik kepada kitab-kitab" (6). Setahun kemudian (1888), bapanya meninggal dunia semasa berusia 54 tahun (Hijri). Dikebumikan di tanah perkuburan Linggi, Negeri Sembilan.

Ke Makkah

Pada tahun 1982, ketika berumur 17 tahun, Muhammad Said belayar ke kota ilmu Makkah bertujuan mendalami pengajiannya. Antara puluhan gurunya tersenarailah nama-nama seperti berikut :

�1. Syaikh Muhammad bin Sulaiman Hasbullah al-Makki.

�2. Syaikh Muhammad Nawawi al-Bantani.

�3. Sayyid Abi Bakr Syata.

�4. Syaikh Ahmad al-Manshawi.

�5. Syaikh Umar al-Shami.

�6. Syaikh Muhammad Said bin Muhammad Babasil (Mufti Shafi'i)

�7. Syaikh Abdul Karim al-Daghastani.

�8. Syaikh Muhammad bin Yusuf al-Khayyat.

�9. Syaikh Umar bin Abi Bakr Bajunid.

10. Syaikh Muhammad Said bin Muhammad al-Yamani.

11. Syaikh Ahmad Khatib bin Abdul Latif Minangkabau.

12. Syaikh Zainuddin Sumbawa.

13. Syaikh Wan Muhammad Ali Kutan.

14. Syaikh Wan Ahmad bin Muhammad Zain Patani.


Ke Madinah :

Muhammad Said termasuk seorang penuntut yang gigih dan bersemangat waja. Pernah bermusafir secara berjalan kaki ke Madinah kerana ziarah makam Rasulullah (sesudah bermimpi menemui baginda). Semasa berada di Madinah beliau berpeluang berguru dengan Sayyid Ja'far al-Barzanji, Mufti Shafi'i.

Ke Mesir :

Kemudian meneruskan perjalanan ke Bait al-Maqdis dan akhirnya ke negara Mesir rmelanjutkan kefahaman tentang selok-belok ilmu fiqh empat mazhab. Di sana beliau mendalami ilmu-ilmu syara', naql dan aqal. Antara lainnya berguru dengan Syaikh al-Jami' al-Azhar iaitu Syaikh Shamsuddin al-Anbani dan dengan Syaikh Ahmad al-Rifa"i al-Maliki, iaitu sebesar-besar ulama' Mazhab Maliki di dalam Azhar zaman itu (1896).

Pulang Ke Makkah :

Selanjutnya beliau pulang semula ke Makkah. Belajar ilmu tariqat dengan Syaikh Muhammad bin Ahmad al-Dandarawi (7) (meninggal dunia di Madinah pada 19 Februari 1909). Akhir sekali Muhammad Said diberi ijazah tariqat Ahmadiyah, iaitu pada hujung tahun 1318 Hijrah {bersamaan pertengahan April 1901).

Alhasilnya, guru Muhammad Said berjumlah 50 orang lebih. Beliau diketahui alim dalam ilmu-ilmu alat, usuluddin, fiqh empat mazhab; juga ilmu ruhani, hikmat, falsafah, al-Quran dan sebagainya.

Sahabat-sahabatnya

Antara sahabat-sahabat seperguruan termasuk Tuan Mukhtar Bogor, Tuan Husain Kedah, Pak Wan Sulairnan Kedah, Haji Abdullah Pak Him Seberang Perai, Syaikh Uthman bin Abdul Wahhab Sarawak (meninggal 29 Julai 1921), Sidi Muhammad al--Azhari Makkah dan ramai lagi.

Pulang Ke Tanahair :

Sekitar tahun 1320 H/1902 M, beliau pulang ke Negeri Sembilan lalu menetap di Ampangan, Seremban. Mengajar ilmu-ilmu ugama, juga zikir tariqat Ahmadiyah kerana tokoh sufi ini telah dilantik menjadi khalifah dan wakil peribadi Syaikh Muhammad al-Dandarawi di Kepulauan Melayu.

Disamping itu, beliau dengan begitu beraninya cuba mengikiskan perbuatan bid'ah, pegangan khurafat dan amalan adat yang bertentangan dengan syariat yang banyak bersarang dalam masyarakat. Pada peringkat awalnya tindakan Haji Mnhammad Said itu ditentang hebat oleh orang-orang Islam sendiri. Namun berkat kesabarannya pemimpin tariqat ini akhirnya dapat mengumpul ramai pengikut setia. Selain bergiat di Negeri Sembilan beliau juga banyak merantau sambil menyebarkan ilmn-ilmu keislaman, khususnya ilmu sufi dan kerohanian. Antaranya ke negeri Kedah, Pahang, Johor, Singapura, Indo China (Saigon), Siam (Ayuthia) dan Kelantan.

Di Kelantan:

Ketika Haji Encik 'Id (panggilan lazim anak muridnya di Kelantan) tiba di Kota Bharu pada tahun 1905, beliau dapati Sidi Muhammad al-Azhari, rakan seperguruannya telah pun mengembangkan ajaran tariqat di sekitar Kota Bharu, termasuk di Pulau Kerbau, Kampung Laut dan di Langgar.Walaupun seguru, pemahaman dan pendekatan mereka berdua banyak berbeza. Haji Encik 'Id menurunkan ilmunya kepada semua lapisan murid, tanpa mengira peringkat umur, baik golongan atasan mahapun bawahan, lelaki dan perempuan, orang kebanyakkan atau terpelajar. Seiring dengan itu beliau juga ada mengedarkan karya terjemahannya. Risalat al-Fawa’id sebagai teks panduan. Perselisihan mereka jelas ketara bilamana banyak kalimat dan pengertian ayat di dalam Risalat al-Faw’id telah dipinda / dipadam terus kemudiannya oleh Sidi Muhammad al-Azhari.

Berlainan dengan cara penyampaian Sidi Muhammad al-Azhari, kaedah pengajaran Haji Encik 'Id terlalu cepat menimbulkan rasa majdhub (semacam mabuk) di kalangan pengikut-pengikutnya. Sebab itu ia ditentang keras oleh sebahagian besar ulama' Kelantan pada zaman itu, kecuali Tok Wali Haji Ismail Lundang Paku, anak-anak Tuan Tabal dan segelintir ulama' yang lain. Kemuncaknya dibawa ke pengetahuan Sultan yang kemudiannya mengemukakan masalah ini kepada Syaikh Wan Ahmad al-Fatani sebagaimana yang telah disebut pada awal tulisan ini. Dan seperti yang diharap-harapkan oleh Raja Kelantan, Syaikh Wan Ahmad memberi jawapan yang panjang lebar (8) - bertarikh 5 safar 1324 (bersamaan 30 Mac 1906).

Selama berada di Kota Bharu, beliau tinggal di rumah Haji Awang Alim, (9) bapa mertuanya. Haji Encik 'Id telah berkahwin dengan Hajjah Wan Safiah binti Haji Awang semasa masih berada di Tanah Suci lagi. Ketika itu Hajjah Safiah sudah pun janda, berikutan kematian suami pertamanya di Makkah, iaitu Haji Yusuf bin Haji Puteh(10)

Anak-anaknya:

Sepanjang hayatnya Syaikh Muhammad Said disebut-sebut berkahwin sembilan kali dan dikurniakan 32 orang anak. Salah seoraug isteri utamanya ialah Siti Zubaidah binti Haji Said Rembau.

Berikut disenaraikan anak-anaknya yang agak terkenal :

1. Haji Abdullah (1905 - 1956), Kampung Gedung Latang, Ampangan, Seremban. Anak sulung yang mengambil alih tugas khalifah tariqat Ahmadiyah selepas kematiannya.

2. Haji Ahmad (6 April 1910 - 7 Januari 1964). Khalifah yang kedua selepas Haji Abdullah. Pengasas Pondok Rasah (1935) dan Mufti Negeri Sembilan yang pertama (semenjak 1950); mendalami pengajian di Makkah dan mewarisi sifat kealiman bapanya. Mempunyai empat orang isteri dan 37 orang anak - 8 orang telah lulus universiti dalam negeri dan 8 orang lagi lepasan Universiti al-Azhar. Menghasiikan puluhan karya penulisan, termasuk Kanz al-Mu’id yang mengisahkan manaqib Syaikh Muhammad Said, juga merupakan sumber utama penulisan makalah ini.

3. Haji Abdul Rashid, Teluk Kurau, Singapura. Khalifah yang ketiga selepas Haji Abdullah dan Haji Ahmad. Sangat dihormati dan disegani orang-orang Melayu Singapura.

4. Haji Mansor, Ampangan, Seremban (meninggal 1981).

5. Haji Muhammad Nor (meninggal 1981)

6. Haji Muhammad Hamid.

7. Haji Ibrahim (dengan isterinya, Hajjah Wan Safiah Kota Bharu) - bapa kepada Haji Idris Ibrahim, bekas Abli Parlimen Setapak, Wilayah Persekutuan.

8. Haji Mahadi (1914 - 20 Februari 1983), Taman Maluri, Kampung Pandan, Kuala Lumpur. Anak kelapan dari 15 orang adik beradik dan yang paling manja sekali dalam keluarganya Lulusan Madrasah al-Fatah, Makkah. Seniman terkenal, berlakon dalam 76 buah filem. Lakonan sulungnya adalah secara kebetulan, iaitu sebagai pelakon tambahan dalam filem Penghidupan (1951). Anak Melayu yang pertama menjadi pengarah filem - Permata di Perlimbahan (1952). Semasa mudanya (1939) pernah bertugas sebagai wartawan Utusan Melayu. Berkebolehan mengubat orang sakit, tetapi tidak mahu dipanggil 'bomoh".

Peribadinya:

Syaikh Muhammad Said adalah seorang tokoh ulama' yang berperibadi sederhana. Tidak inginkan kemegahan dan kesenangan hidup. Bersifat zahid, qana’ah, pemaaf, sabar, taqwa, tawadhu', pemalu, pemurah, wara'; kuat beramat dan berkhalwat Dianggap sebagai seorang wali Allah dan doanya makbul.

Beliau suka menolong orang yang dalam kesusuhan. Memandang makhluk-makhluk lain dengan penuh timbang rasa dan kasih sayang. Semenjak menuntut ilmu di Mekkah dan di Mesir lagi telah terzahir kelebihan-kelebihan wara’, salih serta keramatnya.

Sebagai seorang ulama' yang amat dihormati dan dikenali di Negeri Sembilan beliau sangat dikasihi Tuanku Muhammad, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan (mangkat 1 Ogos 1933) dan amat disayangi Dato' Kelana Ma'mur (1889 - 1945).

Karya Tulisnya:

Walaupun Syaikh Muhammad Said ada menghasilkan beberapa banyak karangan sendiri juga terjemahan, kebanyakkannya belum dicetak dan sukar diperolehi. Antara yang sudah dapat dikesan adalah seperti berikut :

1. Syarh Kunuz al-Jawahiral al-Nurniyyat fi Qawa’id al-Tariqat al-Shadhilliyah. Disebut juga Risalat al-Fawa’id atau Rasa’il Jawiyyah Selesai terjemah pada akhir Rabiulawal 1323 (3 Jun 1905). Membicarakan keistimewaan Sidi Ahmad bin Idris dan cerita-cerita yang bersangkutan dengan ajarannya, termasuk cara beramal dan pelbagai faedah lainnya. Tercap di tepi al-Ahzab� al-Irfaniyyah.

2. Al-Ahzab al-'Irfaniyyat wa al-Awrad al-Nuraniyyah. Siap tulis di bandar Singapura pada 15 Rabiulawal 1323 (18 Jun 1905). Berukuran 18 x 14 sentimeter dan tebalnya 200 muka. Mengandungi himpunan doa dan hizb.

3. Kashf al-Ghiba an Haqiqat al-Riba.

4. Sullam al-Ta'rif ila ’Iim al-Tasrif (ilmu sarf).

5. Risalah Path (juga mengenai ilmu sarf).

6. al-Kashf wa al-Tanfis an Ashab Sidi Ahmad bin Idris.

7. Makalah Kaifiat mengerjakan Tarawih yang 10 rakaat.

8. Perjalanan mendirikan Jumaat.

9. Wazifah-wazifah bagi orang yang salik pada permulaan suluknya.

10. Manuskrip syair Arab tanpa tajuk, sepanjang 142 baris yang ditulisnya di Tanah Melayu. Mengupas tentang kesesatan Kaum Wahabi dan kekarutan mereka.

Meninggal Dunia:

Ajalnya tiba pada malam, 12 Rabiulawal 1345 bersamaan 18/19 September 1926, ketika berusia 53 tahun (Hijriyah). Lebih 5000 orang mengiringi jenazahnya, termasuk Tuanku Muhammad, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Dikebumikan di tanah perkuburan Islam Ampangan, iaitu sebuah kawasan berbukit di bandar Seremban.

Beliau meninggalkan seorang ibu, (11) seorang saudara perempuan kandung, seorang anak saudara dan beribu-ribu orang murid yang bertebaran di seluruh semenanjung. Sebagai mengenangkan jasa baktinya maka Sekolah Ugama Menengah Tinggi Negeri Sembilan (ditubuh 1959) yang mulai 1977 diambil alih pentadbirannya oleh Kementerian Pendidikan dilambangkan sempena namanya : SMKA Sheikh Haji Mohd Said, Seremban.

1 ulasan:

Unknown berkata...

Alhamdulillah,semoga Allah memberkati hidup anda as your writing about Almarhum Tn Guru Hj Said Linggi telah memberi banyak munafaat untuk saya sebagai anak murid tareqat Ahmadiah.