Salam hari Rabu malam Khamis 1 Syawal. Adapun selepas mempersembahkan artikel Iktikaf penghujung Ramadhan tahun 2021 - Dari Hulu Selangor ke Hulu Bernam jam 2.48 petang saya fikir mungkin dapat mengeluarkan artikel-artikel seterusnya sehingga siap sebelum masuk waktu Maghrib. Tengok-tengok artikel sambungan iaitu cerita tentang hari kedua perjalanan pun tak sempat siap. Malah hendak mengeluarkan artikel-artikel sokongannya iaitu 6 di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan 7 di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) pun jam 10.08 baru selesai. Selepas memilih gambar-gambar yang mahu digunakan baru perenggan ini dapat ditulis jam 10.43. Takpa. Kita jalan je terus.
Tengah hari Sabtu 8 Mei 2021 bersamaan 26 Ramadhan. Saya mengambil gambar di masjid ini. Alhamdulillah dapat menginap di dalamnya. Selepas meninggalkan Masjid Sheikh Ismail iaitu selepas menunaikan solat Tarawikh pada malam sebelumnya risau juga dapatkah bermalam di mana-mana masjid pada zaman PKP (Perintah Pergerakan Terhad) ini.
Walaupun sudah bersedia dengan kemungkinan cuma dapat menginap dalam kereta saya teringin sangat untuk menginap dan beriktikaf di masjid. Ini kerana itulah tujuan utama membuat pengembaraan ini. Tengok-tengok pintu masjid tak berkunci lalu saya pun masuk. Cuma lewat malam ada kena black-out sehingga jam 6.30 pagi. Lihat artikel Lawatan baru ke (New visit to) masjid (mosque of) Sungai Selisek.
Pemandangan dari bahagian atas masjid. Ia terletak sangat dekat dengan Sungai Bernam yang merupakan sempadan semulajadi antara negeri Selangor dan Perak. Dari masjid cuma perlu bergerak dalam 110 meter menyeberangi jambatan lalu masuk ke daerah Tanjung Malim di Perak dekat-dekat Behrang. Lihat Views from the top of Sungai Selisek mosque....
Selepas mengambil gambar saya meneruskan perjalanan yang secara geografinya adalah menghilir Sungai Bernam. Rupa-rupanya ia akan menjadi kembara jejak sungai...
Ada suatu macam perasan riang dan gembira timbul dalam hati apabila melalui jalan yang ada hutan kiri kanan.
Selepas itu masuk kawasan ladang. Tidak begitu meriangkan tetapi perjalanan perlu diteruskan.
Faktor hujan yang semakin lebat diserta kenyataan tidak pernah masuk ke kawasan ini walau sudah lebih 10 kali rasanya mengambil jalan berdekatan membuatkan saya masuk ke Felda Gedangsa.
Bila dah reda sedikit hujan baru menyambung perjalanan.
Sampai di satu tempat yang dah target setelah melihatnya dalam Google Map saya pun masuk mengambil lorong.
Ke hadapan lagi dalam beberapa kilometer ada lagi satu bahagian sungai agak dekat dengan jalan besar. Dalam Google Map ia ditanda sebagai
port memancing ikan Toman. Saya pun mengambil lorong berkenaan untuk menikmati lagi pemandangan sungai. Lihat
A part of the Bernam river for giant catfish.
Sampai ke Jalan Tok Khalifah baru wajah beliau pudar. Timbul pula pertanyaan siapa itu Tok Khalifah.
Walaupun pernah memasuki kawasan ini 2-3 kali sebelum ini saya tidak pernah begitu serius memikirkan siapakah dia orangnya ini. Ini kerana tumpuan sering diberikan pada pengasas masjid lama Lubuk Pusing iaitu Sheikh Marzuki yang dikatakan orang alim lagi keramat. Lalu apabila terlihat satu surau dengan nama Tok Khalifah terus saya singgah. Ia adalah masjid atau surau yang ke-8 disinggahi sejak meninggalkan kawasan rumah petang Jumaat 25 Ramadhan. Lihat
Surau (Praying hall of) Al-Hidayah, Jalan Tok Khalifah.
Ke hadapan lagi dalam 1.3 km sahaja jarak terjumpa lagi surau dengan nama Tok Khalifah. Ah. Sudah. Dah terasa perlu singgah menjadikan ia masjid/surau ke-9. Sedangkan nombor itu asalnya mahu 'disimpan' untuk masjid di Lubuk Pusing. Lihat
Surau (Praying hall of) Tok Khalifah.
Disebabkan itu terasa perlu mencari satu masjid/surau lain untuk disinggahi supaya jadi yang ke-10. Gila-gila nombor saya menyatakan walau apapun masjid Lubuk Pusing harus mendapat nombor ganjil, sebelum itu ke-9, sekarang mesti jadi yang ke-11. Setelah menyemak dalam Google Map ternyata ada satu tetapi kena keluar sedikit daripada laluan lalu masuk ke satu kawasan bernama Ganda Suli. Ia merujuk pada Pulau Ganda Suli. Ada sebab kenapa disebut sebagai pulau walau tidak dikelilingi perairan.
Sampai ke satu bahagian yang boleh dilihat dalam paparan satelit seperti bekas sungai tergerak untuk mengambil snapshot paparan telefon bimbit lalu dikongsikan di Facebook berserta teks berikut :-
Sedang memasuki kawasan yang dahulunya termasuk dalam negeri Perak. Tempat saya berhenti lalu mengambil snapshot peta ini dahulu adalah di tengah Sungai Bernam.
Tidak disedari ketika itu bahawa ia masih berada di dalam negeri Perak! Rupa-rupanya saya telah membuat perjalanan rentas negeri tetapi tidak menyedari. Sehingga sampai ke surau yang menjadi persinggahan/tempat beriktikaf yang ke-10 pun masih tak tahu lagi. Cuma menariknya di surau ini saya
deja vu panjang. Keadaan dan perbualan dengan seorang pakcik seperti pernah dilalui sama ada dalam mimpi atau bayangan beberapa tahun lalu. Lihat
Surau (Praying hall of) Radiah, Pulau Ganda Suli.
Daripada pakcik tersebut saya mendengar cerita tentang asal usul Pulau Ganda Suli. Beliau ada menyebut ia terletak di dalam negeri Perak tapi saya pula yang beranggapan itu mungkin kesilapan disebabkan ingatan pada zaman lebih muda. Apapun saya pergi ke penghujung jalan kemudian berjalan kaki 200 meter untuk sampai ke satu tanjung menghadap Sungai Bernam. Fikir saya untuk sampai ke bahagian terdekat ke negeri Perak. Sehingga sanggup melaung macam orang gila "Perak!" ke arah tanah seberang sungai, kononnya suatu macam sambungan ke negeri asal nenek moyang. Lihat
The part of the Bernam river which used to be land connected to the rest of Perak.
Di tanjung inilah saya berbuka puasa dengan tiga biji kurma dan beberapa teguk air sambil masuk tarikh 27 Ramadhan atau Malam Tujur Likur. Di situlah menyambut ulang tahun kelahiran saya yang ke-52 menurut kiraan Hijriah lalu menunaikan solat Maghrib.
Malam itu di masjid Lubuk Pusing yang menjadi masjid/surau ke-11 disinggahi baru tahu cerita sebenar. Rupa-rupanya sungai yang dilihat di hadapan tanjung itu asalnya adalah daratan menyambung ke tanah besar negeri Perak. Setelah beberapa lama baru dipotong penduduk untuk membentuk terusan, Tujuannya untuk memendekkan perjalanan dengan perahu dan lain-lain kenderaan air. Tidak perlu melalui liku-liku penuh sungai yang beberapa kali ganda lebih jauh.
Lama-lama terusan menjadi besar akibat tekanan air sungai berserta hakisan lalu membentuk sungai lebar sekarang. Lalu kawasan tanah berkenaan dikelilingi air menjadi pulau. Apabila aliran semakin kerap mengambil 'shortcut' bahagian berliku pun mengecil sehingga sampai masanya mudah ditambak orang. Tak perlu tambak sepanjang sungai cukup di 2-3 tempat strategik untuk memotong langsung aliran. Hasilnya air semakin kurang akibat sejat, masuk ke bumi dan tidak diganti air baru. Bahagian berliku mengecil kemudian menjadi paya lalu lebih mudah ditambak untuk membentuk muka bumi sekarang.
Tentang kenapa dipanggil Pulau Ganda Suli, katanya kerana ditemui banyak pokok suli. Asal sebenar kawasan sebelum ada terusan membentuk aliran sungai sekarang membawa pada pembentukan pulau adalah ia satu tanjung dengan penghujungnya di tempat saya membuat snapshot peta atas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan