Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Friday, April 25, 2008

Masuk ke markas sebuah kumpulan "perjuangan akhir zaman"... Apa yang ingin dibuat di sana?

Alhamdulillah, setelah membuat beberapa luahan perasaan beberapa hari kebelakangan ini, jiwa dan raga saya terasa semakin ringan dan bertenaga... Terutama luahan dalam artikel bertajuk Derita manusia-manusia genius... Apakah yang menyebabkan orang sepandai Sufiah boleh jadi keliru dalam hidup? yang dibuat hari lalu... Sudah bertahun saya tidak merasa begini senang akibat begitu lama menanggung beban cuba menyembunyikan hakikat sebenar fitrah diri sendiri agar tidak dikata orang... Sekarang nak kata apa pun katalah, saya telah berterus-terang. Yang penting, hilang satu sekatan jiwa dalam mood penceritaan... Sekarang, bolehlah kita menyambung kembali cerita-cerita tentang pengembaraan terbaru ke Pantai Timur... Setelah 10 hari tersangkut dengan cerita Kuala Terengganu dan makam-makam lamanya... Tapak untuk cerita ke Kuala Berang... Mari! :]

Ini adalah gambar sebuah tempat tertentu di Kuala Berang... Di bahagian akhir cerita Kuala Terengganu dan makam-makam lamanya... Tapak untuk cerita ke Kuala Berang... , saya ada menyebut... ( Copy n paste balik ya!)...

---------------

Sebagai satu hint untuk cerita yang akan datang, biar saya paparkan kembali komen seorang pembaca yang dibuat di bawah artikel Sedikit kata-kata aluan sempena Maulud Nabi... hampir sebulan lalu. Hmm... Biar dipaparkan sekali jawaban saya kepada komen itu ya... Ini dia...


Anonymous said...


salam...abang radzi klu pegi pantai timur nanti,tlg lah pantau kump tasawuf sesat spt yang abg radzi cterkan dlam buku BKA tu.sebab pengaruh ustaz makin mnjadi di kedah.di a.setar n jitra.dulu da kena tangkap.terlepas g2 jer.smpai sy pun hampir jd pengikut.lgu dendang yg mereka bawakan memang merdu.tp syg,ternyata mereka sesat.ader ke plak malaikat2 dtg jauh dr mesir nun,msuk dalam jasad manusia,pas 2 marah2.fyi,putri gunung ledang da dapat kt org len.yg lama da insaf kot.


Thursday, March 20, 2008 8:42:00 PM


Radzi Sapiee said...


Wassalam. Insyaallah tentang kumpulan tersebut nanti saya lihat.Susah jugak sebab ramai yang percaya kat diaorang ni termasuk pihak keselamatan Malaysia sendiri. Takpa... Tentunya ada hikmah di sebalik semua ini. Apabila sampai masanya, yang haq tetap akan muncul dan yang bathil akan gugur dengan sendirinya... Ada masanya, dengan hikmah Allah, dibenarkan dahulu kumpulan sebegini bertapak dan membina pengaruh. Sekurang-kurangnya dapat juga mengembleng dan menyatukan ramai anak Melayu bermasalah di bawah satu bendera walaupun ketuanya sebenarnya mahu menggunakan mereka. Apabila anak-anak muda ini sudah biasa dengan adab Melayu lama yang tahu menjunjung tinggi hakikat sebenar seorang Sultan sebagai wakil Allah yang mengatur kehidupan bermasyarakat di muka bumi ini, barulah kepala sebenar muncul untuk mengembalikan arah. Insyaallah! :]


Saturday, March 22, 2008 5:49:00 PM


Pengembaraan saya ke Kuala Berang akan melibatkan diri ini masuk jauh ke dalam markas sebuah kumpulan yang katanya mendukung perjuangan Islam akhir zaman, kumpulan yang mana orang-orang kanannya tidak menyenangi saya atas sebab-sebab tertentu... Ingat tidak di akhbar harian Metro (ataupun Kosmos? Antara dua tu le), pernah beberapa kali keluar cerita tentang Ustaz Zul yang dikatakan membawa ajaran sesat lalu merogol beberapa orang perempuan? Ini adalah markas kumpulannya... Dan biar saya berterus-terang, seorang teman wanita yang dahulu amat saya sayangi pernah dibawa lari mereka... Kononnya untuk diisi dengan sesuatu lalu menjadi Puteri Balqis (isteri Nabi Sulaiman) yang boleh mendokong misi kumpulan ini!

Cerita tentang kumpulan ini ada saya nyatakan dalam buku kedua saya iaitu "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" atau BKA II. Nanti saya akan cerita sedikit pula di sini apabila tiba gerak dan sampai masanya ya...

-----------------------

Itu adalah apa yang saya sebut 10 hari lalu... Sekarang sampailah masanya untuk mengenengahkan apa yang berlaku...

Tempat yang dimaksudkan terletak di tepian Sungai Terengganu di bahagian hulu. Biar cerita ini disambung dengan sedutan-sedutan berkenaan daripada buku kedua saya "Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal" atau BKA II... Daripada bab bertajuk "Hamzah Fansuri dan Iskandar Muda: Puncak kegemilangan Aceh".

-----------------

Rasyid termenung keseorangan memikirkan apakah yang patut dibuat. Jiwanya terasa begitu sesak sedangkan penulisannya kebelakangan ini asyik tersangkut dihambat penyakit writer’s block… Entah kenapa, anak muda itu juga sering diserang penyakit demam dan sakit-sakit badan. Perutnya selalu memulas, terasa kembung seperti masuk angin, kadang-kala menyucuk-nyucuk bisanya ke dalam... Kepala pula selalu pening diserang migraine!

Pada mulanya, anak kelahiran Muar, Johor ini ingin mengajak Nasri, Nizam dan Azlan berbual-bual serta berbincang mengenai sejarah kegemilangan bumi Serambi Mekah sambil mencari bahan tulisan baru untuk siri buku “Berpetualang ke Aceh” yang sedang diusahakannya. Malangnya, masing-masing sibuk dengan tugas, juga hal-hal keluarga.

Rakan-rakan lain juga tidak dapat meluangkan masa. Maklumlah, masing-masing memegang jawatan penting yang memerlukan mereka sentiasa di tempat kerja, ada anak isteri dan keluarga... Ada rumahtangga yang memerlukan perhatian, bukan seperti Rasyid yang tidak punya apa-apa. Nasib baik ada Nur sebagai tempat mengadu… Tetapi kali ini, wanita kesayangannya pula sibuk dengan kerjaya dan masalah peribadinya...

Nur setakat boleh memasang telinga memberikan sedikit perhatian. Dan dia belum cukup faham untuk dibawa berbincang. Wanita ini cuma mampu menolong dengan sedikit sokongan moral serta wang ringgit kemudian menyuruh lelaki yang bertakhta di hatinya itu berehat seketika.

“Awak tukarlah angin dahulu,” Nur memujuknya. “Pergi mengembara ke mana sahaja awak suka. Kesihan tengok awak. Nampak sangat penat... Kurus, muka cengkung macam tak cukup makan. Pergilah jalan-jalan!”

Pemuda itu tersenyum memandang wajah gadis manis itu. Memanglah elok keluar berjalan menenangkan fikiran tetapi bagaimana pula dengan kerjanya? Lalu dia menolak cadangan itu dengan alasan masih banyak penulisan yang perlu dibuat, banyak lagi perkara yang belum selesai.

“Saya mesti siapkan siri buku ini secepat mungkin,” kata Rasyid. “Masa hadapan saya, masa hadapan awak juga serta peluang kita untuk betul-betul bersama banyak bergantung kepada kejayaan buku ini. Sekurang-kurangnya, saya dapat membina kembali kehidupan yang sudah hancur. Biar keluarga saya, juga keluarga awak hormat sedikit... Lagipun saya sudah letih merantau, mengembara ke sana-ke mari. Sampai bila mesti begini? Orang lain tak faham. Saya letih tau, penat. Merana...” anak muda itu merintih...

Memang dia terasa penat, sangatlah penat… Walaupun sudah beberapa bulan tidak merantau lama, paling jauh pun sekadar ke kampung ibu di Muar dua minggu lepas dan singgah di Seremban dan Melaka, pemuda itu belum mendapat rasa istirehat... Punggung yang sering terasa panas menyebabkanya sentiasa sahaja mahu merayap walau dalam jarak dekat.

Pada awalnya, Rasyid ingin menetap lama di Janda Baik, di rumah ayah angkatnya Pak Syed sambil menyiapkan kerja. Mungkin pintu ilham untuknya akan terbuka lebih luas... Tetapi di tempat sebegitu indah dengan taman mengandungi berbagai jenis pohon bunga harum lagi berwarni-warni pun dia resah. Sungai-sungai berjeram mengalir jernih di celah lembah-lembah Banjaran Titiwangsa serta pemandangan gunung-ganang yang menghijau pun tidak dapat memberikan ketenangan yang diharapkan...

Sesekali pemuda itu turun ke Kuala Lumpur untuk bertukar angin, sekejap di rumah saudara, sekejap rumah kawan... Ada masanya di Ampang, hari lain di Bukit Damansara, Taman Tun, Cheras, Kajang kemudian naik balik ke Janda Baik. Begitulah keadaannya beberapa bulan kebelakangan... Walaupun tempat-tempat ini tidaklah begitu jauh antara satu sama lain, kalau dicampur jarak perjalanan kesemuanya sekali datang angin mengembara, mungkin sudah boleh sampai ke Perlis. Manalah tak penat?

Rasyid belum dapat mengekang nalurinya untuk sentiasa berkelana. Nasib baik ada komputer riba miliknya yang boleh diusung ke sana ke mari untuk membuat kerja. Kalau tak, satu benda pun tak menjadi agaknya!

“Saya faham keadaan awak,” kata Nur. “Saya tahu awak letih berjalan. Tapi bagaimana hendak siapkan buku kalau kepala asyik jam, badan sakit-sakit, demam, bisa-bisa? Apa guna jalan dekat-dekat kalau awak tak dapat berehat? Sudahlah. Pergilah jalan jauh sedikit dan lupakan kerja buat sementara. Saya kesian tengok awak tahu... Bagilah diri awak segar...”

Pemuda itu senyap merenung muka gadis kesayangannya kemudian mengalihkan pandangan ke arah hutan yang menghijau di hadapan.

Look!” Nur menegur. “Kalau awak tak kesihan diri sendiri, sekurang-kurangnya kesihanilah saya yang sedih tengok awak begini. Please, just do it for me please... Do it for us... Do it for our love...” katanya dengan muka sayu.

Rasyid masih mendiamkan diri... Sedih pula melihat keadaan wanita itu. Sepertinya, muka Nur juga sudah jadi cengkung dan dia juga selalu sakit-sakit. Kedua-duanya sedang merana walaupun mereka sering berlagak sihat walafiat. Anak muda itu tahu kasih-sayang mereka sering diuji. Hubungan mereka telah beberapa kali terputus kerana halangan yang menimpa tetapi kasih tetap bertaut kembali apabila rindu tidak tertanggung lagi.

Ramai yang tidak menyenangi perhubungan ini termasuk beberapa orang lelaki yang menaruh hati terhadap Nur. Mereka cuba memburuk-burukkan peribadi Rasyid lebih-lebih lagi dalam keadaannya sedang “gila”, suka menziarahi makam-makam lama dan tidak henti bercerita tentang para wali dan raja-raja. Lelaki-lelaki ini juga sanggup “membeli” keluarga si gadis dengan kata-kata manis berserta hadiah mewah di kala Rasyid tidak mampu membuat apa-apa persembahan. Lebih dasyat lagi, ada yang sanggup menggunakan sihir, guna-guna dan ilmu pemujaan semangat untuk mendapatkan wanita cantik idaman ramai ini di samping menghantar pukulan secara batin untuk menamatkan riwayat lelaki kesayangannya!


Kali pertama saya masuk ke kawasan ini adalah sebelum pertengahan tahun 2004, tidak lama selepas membuat pengembaraan masuk ke Aceh walaupun wilayah itu sedang darurat akibat perang berterusan antara Tentera Nasional Indonesia (TNI) dengan golongan pemisah Gerakan Aceh Merdeka (GAM). Kawasan ini adalah pintu masuk ke markas sebuah kumpulan tertentu yang terletak jauh ke dalam hutan. Saya masuk ke situ untuk melihat aktiviti di dalamnya dalam usaha untuk menyelamatkan seorang teman yang tersayang daripada terus-menerus "dicucuk-hidung" orang-orang yang berkepentingan.

Kali terakhir saya sampai ke sini pula adalah penghujung tahun 2006 tetapi tidak masuk ke markas. Kedudukannya di tempat yang sukar memerlukan seseorang itu masuk melalui Sungai Terengganu sedangkan keadaan laluan sungai di jeti pada masa itu sedikit bermasalah akibat longgokan tanah-tanah yang mencetekkan sebahagian sungai serta menyekat laluan biasa... Kalau tak salah ingatan, bot yang biasa digunakan juga sedang rosak ketika itu... Kalau mahu juga masuk, kemungkinan besar saya harus menunggu beberapa hari sedangkan saya perlu bergegas di ke tempat lain lagi...

Alhamdulillah, dalam perjalanan terbaru saya ke Kuala Berang ini (ketika itu 29 Mac 2008), dapat juga saya masuk ke sini lagi dengan menaiki bot kumpulan ini... Biar cerita disambung dengan sedutan seterusnya daripada BKA II...

------------------------------

Rasyid masih ingat bagaimana seorang pemuda yang disokong sebuah kumpulan pengamal ilmu kebatinan Tasawuf sesat berjaya membuatkan mereka selalu bergaduh sehingga putus hubungan. Kumpulan itu berlindung di sebalik gerakan agama berbentuk Tabhliq yang kononnya ingin memulihkan anak Melayu bermasalah. Mereka juga mendakwa diri mereka sebagai pejuang akhir zaman yang akan menyokong kebangkitan Imam Mahdi. Ketua kumpulan ini telah berjaya menarik beribu orang pengikut. Mengikut ceritanya, dia pernah mengikuti gerakan Tabhliq serta Tariqat Naqsyabandiah sebelum menerima ijazah amalan kebatinan tertentu lalu “diangkat menjadi Sultan” yang kononnya akan menyatukan seluruh ummah di Nusantara ini untuk kebangkitan Islam akhir zaman.

Ramai pengikut kumpulan adalah bekas penagih dadah yang berjaya “dipulihkan” melalui “pengisian” kebatinan, berkat naungan sang “Sultan”. Tetapi mereka yang cuba meninggalkannya akan datang rasa ketagih dan terjebak semula dengan najis dadah... Lalu perlu dibawa kembali ke pangkuan ketua kumpulan yang juga dikenali sebagai seorang ustaz untuk “dipulihkan”. Dengan cara ini, sang “Sultan” berjaya membina sebuah “empayar” yang terdiri daripada beribu anak Melayu bermasalah, disokong para pembantu sealiran. Para ibu-bapa pula merasa senang hati melihat anak-anak mereka mula bersolat dan mengamalkan Sunnah Rasulullah SAW, pandai pula menghormati orang tua dan sangat beradab. Ini kerana kumpulan ini mengambil pendekatan yang zahirnya menyerupai gerakan Tabligh... Dengan menekankan cara kehidupan mengikuti Sunnah seperti memakai celak dan minyak wangi, bersugi, sentiasa bersolat jemaah, mendengar tazkirah serta memperbanyakkan zikir dan amalan sunat.

Apa yang ibu-bapa ini tidak tahu, anak-anak muda itu telah digunakan untuk memajukan rangkaian perniagaan “Sultan”. Mereka juga terlibat dalam sebuah rangka-kerja besar berunsur militan untuk menerbitkan sebuah Daulah Islamiah tersendiri yang disokong “kerajaan langit”. Ahli kumpulan yang telah lama mengikuti program lalu dikira layak untuk memasuki peringkat seterusnya pula akan disuruh bertapa di dalam gua atau mana-mana tempat sunyi yang dikira sesuai. Di sanalah mereka menerima ujian seperti diganggu hantu pocong, harimau jadian ataupun perempuan jelmaan yang ingin menggoda “keimanan” mereka. Ahli yang lebih maju akan di bawa berjumpa “para wali dan Nabi-nabi” malah ada yang mendakwa telah naik “Mikhraj” lalu “bertemu” Allah Subhanahuwata’ala!


Allah! Memang cantik kawasan tersembunyi yang terletak di Hulu Terengganu ini... Indah, Subhanallah... Cukup sesuai untuk mereka yang mahu mendekatkan diri kepada Allah mengasingkan diri daripada hiruk-pikuk orang ramai dan panas dosa kehidupan masyarakat sekarang!

Cuma kadangkala disebabkan kurang ilmu atau terdesak, kita tidak dapat menilai dengan sebenar-benar penilaian akan hakikat sesuatu keadaan ataupun kebenaran satu-satu ajaran... Lalu muncullah pihak-pihak yang sanggup menggunakan mereka yang jujur mahu mencari ketenangan dan kedamaian... Pihak yang jujur inipun dikumpulkan untuk menguatkan cita-cita peribadi orang-orang tertentu untuk berkuasa, orang-orang yang sanggup bersengkongkol dengan kuasa-kuasa alam ghaib seperti jin dan sebagainya demi mendapat kelebihan yang dapat menundukkan manusia lain!

Sedutan cerita BKA II yang seterusnya...

-----------------------------------

Pengaruh “Sultan” begitu kuat sehingga berjaya menarik seorang personaliti terkenal tanah-air untuk “diisi” dengan “roh” Puteri Gunung Ledang, kononnya dialah jelmaan puteri legenda itu! Kebetulan personaliti tersebut adalah kenalan Nur... Melaluinya, gadis kesayangan Rasyid itupun terjebak sama, setelah menghadiri beberapa acara kelolaan mereka. Ketua kumpulan dapat melihat kelebihan tertentu yang ada pada Nur lalu ingin “menjadikannya” sebagai Puteri Balqis. Seorang pengikut kanan kumpulan pula sangat meminati gadis itu... Maka sang “Sultan” pun menggunakan segala ilmu dan kebolehan yang ada untuk “menggandingkan” mereka.

Sejak itu, Nur sering hilang ingatan dan resah tidak tentu pasal. Dia mula berulang-alik ke Pantai Timur untuk menziarahi markas kumpulan di dalam hutan. Rasyid tidak tahu bagaimana hendak menolongnya... Gadis itu sering naik angin tidak tentu pasal apabila dihubungi. Manakan tidak, setiap kali ke sana, dia diberi makan-minum yang “diisi” dengan sesuatu. Semangatnya pula dipuja secara batin supaya terus mengikuti kumpulan!

Nur yang semakin parah kerana tidak sedar diriya telah diremote-control hampir terjebak menghisap dadah. Jiwanya seolah “diseru” supaya mencuba! Nasib baik dia sempat mengadu kepada Rasyid walaupun ketika itu mereka sudah putus hubungan... Jika tidak, sudah tentu gadis itu akan terikat kerana ketagihan yang timbul cuma dapat diubati sang “Sultan”...

Rasyid sudah dapat menghidu sesuatu yang tidak kena lalu bergegas ke Pantai Timur membawa seorang kawan yang lebih arif tentang ilmu kebatinan berkenaan pemujaan semangat. Kawan itu juga agak mahir dalam ilmu berkaitan Qarin dan jin yang menjadi permainan kumpulan. Dipendekkan cerita, Nur yang sedang dalam keadaan separuh sedar dapat dikeluarkan daripada lingkungan pengaruh mereka sebelum dipulihkan. Tetapi kumpulan itu pula berdendam dengan Rasyid… Sudahlah sebelum itu, sang “Sultan” tidak menyukainya apabila mendapat tahu pemuda itu berasal daripada keturunan tertentu yang boleh menyanggah dakwaannya sebagai “Sultan”, kini “Puteri Balqis”nya pula telah dibawa lari keluar…

Tidak lama kemudian, anak kelahiran Muar, Johor itu mendapat satu “kunjungan mesra”. Ketika sedang berbaring antara tidur dan sedar, tiba-tiba mata-hatinya dapat melihat beribu lelaki bertubuh sasa muncul, masing-masing dengan pedang siap terhunus untuk memenggal kepalanya!


Kelihatan dalam gambar ini sebuah batu yang terbelah dua... Menurut ceritanya, batu ini telah dibelah dengan tangan oleh seorang wali Allah dahulukala bernama Sharif Muhammad Al-Baghdadi, orang yang dikatakan menulis Batu Bersurat Terengganu lebih 700 tahun lalu!

Kita sambung lagi sedutan daripada BKA II... Beberapa mukasurat ke hadapan setelah menceritakan beberapa pengalaman hidup watak utama Muhammad Al-Aminul Rasyid menangani perkara-perkara ghaib termasuk gangguan-gangguan yang pernah disebut oleh seorang bapa saudara sebagai satu usaha pihak berkepentingan untuk melenyapkan nasab keturunan mereka!

-----------------------------

Beratus, mungkin beribu pemuda bersenjatakan pedang mula mengepung lalu membuka langkah untuk menyerang... Kecuali di sekitar tempat Rasyid berdiri, setiap ruangan dipenuhi mereka, maka susah untuk meneka berapa ramaikah kesemuanya. Sekonyong-konyong itu, mereka bergerak ligat melompat-lompat sambil melibas-libaskan pedang-pedang tajam lagi berkilauan... Semakin lama semakin laju lalu membentuk sebuah puting-beliung besar diselang-selikan gerakan-gerakan liar yang tidak dapat lagi diekori dengan mata kasar... Mahu berpinar mata memandang...

Rasyid sedar mustahil dia boleh melawan… Pemuda itu cuma bertangan kosong sedangkan lawan yang dihadapi terlalu ramai dan tidak dapat lagi dihidu pergerakan - terlalu laju bertari perang lagi bersimpang-siur hingga menutup setiap sudut walaupun sekadar untuk lari melepaskan diri. Nasib baik belum ada lagi serangan yang dapat melekat ke tubuhnya, tidak tahulah kenapa… Mungkin kerana penyerang-penyerang ini masih mengacah-acah? Sebab itu tidak ada satu libasan pun yang mengena? Apapun, bukankah segalanya berlaku dengan Qudrat dan Iradat serta izin Allah jua? Hmm... Mungkin Tuhan belum mahu mengizinkannya cedera...

Pemuda berhati kering yang sudah hilang rasa takut mati kerana mempunyai pegangan Tasawuf yang amat kental terutama dalam bab tawakal inipun memejamkan mata. Kalau dibuka pun tiada gunanya... Bukannya dapat menduga serangan yang begitu laju menderu-deru. Dia menenangkan jiwa-raga lalu melangkah ke dalam hakikat kalimah Lahaulawaquwataillah billahil aliyil azim – Tiada daya dan upaya kecuali daripada Allah. “Kalau hendak matipun matilah. Aku bukannya punya apa-apa lagi…” bisik hatinya redha menerima segala yang bakal terjadi.

Seketika kemudian baru Rasyid membuka mata... Terus dia mendapati dirinya berada di tengah putaran serangan musuh tetapi cukup jauh dan selamat untuk disentuh. Walaupun putaran itu masih liar dan ligat, pemuda itu dapat merasakan dirinya begitu tenang, seolah sedang berada di tengah-tengah mata puting beliung, the eye of the storm di mana tidak ada pergerakan angin walau sedikit pun. Tiba-tiba gerakan laju di sekeliling itu hilang... Seketika itu juga kelihatan, seorang lelaki berambut panjang jatuh melutut di hadapan, ahli kanan kumpulan ajaran Tasawuf sesat yang menaruh minat terhadap gadis kesayangannya Nur. Di tangan kanan Rasyid pula tergenggam sebilah pedang, rasanya milik hamba Allah itu yang mengetuai serangan... Entah bagaimana pula boleh beralih ke tangannya pula!


Beberapa ketika kemudian, sampailah saya ke markas kumpulan yang dimaksudkan... Markas yang diketahui penduduk tempatan sebagai sebuah pusat pemulihan para remaja juga orang dewasa bermasalah terutama penggunaan najis dadah. Tetapi berapa ramai yang tahu tentang kaedah pemulihan yang digunakan, bagaimana mereka yang mencari pengubatan akan diisi dengan "sesuatu"?

Sambung lagi sedutan daripada BKA II, sedutan terakhir yang sesuai dengan penceritaan...

----------------------

Rasyid mengangkat pedang itu tinggi-tinggi untuk memancung kepala lelaki durjana yang hampir berjaya menyesatkan gadis pujaannya. Timbul rasa geram mengenangkan betapa dia dan Nur telah dianiaya permainan batin lelaki ini serta konco-konconya - maka memang dia ada hak untuk membalas dan membunuhnya. Nasib baik anak kelahiran Muar, Johor itu lembut jiwa... Hati kecilnya sempat menahan sehingga dirinya tersentak.

“Astaghfirullah! Apa sudah jadi pada aku?” terpacul kalimah istighfar berserta kesedaran yang mendalam. “Nenek-moyangku begitu pemaaf sehingga sanggup mendoakan kebahagian manusia-manusia yang telah menganiaya, meracuni dan membunuh mereka. Kenapa pula aku mesti bersikap kejam dan memancung kepala lelaki di hadapanku ini?”

Seketika itu juga Rasyid terkeluar daripada keadaan antara sedar dan tidur di mana semua ini berlaku lalu kembali ke alam dunia nyata. Tidak tahulah apa yang akan terjadi jika dia betul-betul menghayunkan pedang di tangannya lalu menceraikan kepala lelaki itu daripada badan walaupun sekadar di dalam mimpi… Lama kemudian, baru dia tahu apakah akibatnya jika dia meneruskan niat memancung kepala. Kata seorang tua yang amat arif tentang hal-hal kebatinan, besar kemungkinan lelaki itu akan meracau-racau di alam nyata... Kemudian menggelupur lari tidak tentu arah, langgar dinding, langgar segala benda di sekeliling kerana tidak dapat lagi melihat, seolah-olah sudah tidak ada lagi kepala di badannya…

“Nasib baiklah kamu tidak pancung,” dia memberitahu. “Kalau tidak kamu juga yang teruk nanti, rugi serugi-ruginya!”“Kenapa pula begitu?” Rasyid hairan. “Bukankah lelaki ini yang mencari bala?” Masih ada sedikit rasa tidak puas-hati terhadap apa yang berlaku...Orang tua itu memandang serius. Katanya ini adalah ujian Allah untuk pemuda itu. “Walaupun kamu ada hak untuk membunuh lelaki tersebut kerana dia lebih dahulu cuba menganiaya kamu, kamu akan dikira gagal kerana tidak berjaya menahan nafsu amarah. Akibatnya perjalanan kerohanian kamu akan tersekat dan hidup kamu akan semakin celaru. Maka berpusing-pusinglah kamu kerana terhalang daripada rahmatNya…”

Bagaimana pula kalau penyerang ini berjaya membunuh Rasyid dalam keadaan mimpi separuh sedar itu? Orang tua ini menggelengkan kepala. Katanya, ada kemungkinan pemuda itu akan putus nafas dalam tidur!

Di sini biar dimaklumkan, tujuan saya ke tempat ini lagi tahun 2008 bukanlah untuk melihat sangat kumpulan itu atau mahu menyelamatkan sesiapa... Tujuan saya ke tempat ini adalah untuk menziarahi sebuah makam yang menurut beberapa orang tua ada kena-mengena dengan susur-galur salasilah keluarga saya, juga wasilah penyampaian ilmu dan amalan Tasawuf...

Mungkin ada yang akan melihat cerita-cerita sedutan daripada buku BKA II yang dipaparkan di sini sebagai satu cerita dongeng... Mungkin ada yang menganggapnya mustahil... Tetapi percayalah, ia benar-benar telah berlaku... Cuma cara penyampaian cerita itu sahaja yang diolah sedikit lain...

Tuan-tuan dan puan-puan... Disebabkan sedutan cerita itulah seorang pembaca telah membuat komen yang dipaparkan pada permulaan artikel ini... Biar saya copy n paste kembali komen itu...

Anonymous said...


salam...abang radzi klu pegi pantai timur nanti,tlg lah pantau kump tasawuf sesat spt yang abg radzi cterkan dlam buku BKA tu.sebab pengaruh ustaz makin mnjadi di kedah.di a.setar n jitra.dulu da kena tangkap.terlepas g2 jer.smpai sy pun hampir jd pengikut.lgu dendang yg mereka bawakan memang merdu.tp syg,ternyata mereka sesat.ader ke plak malaikat2 dtg jauh dr mesir nun,msuk dalam jasad manusia,pas 2 marah2.fyi,putri gunung ledang da dapat kt org len.yg lama da insaf kot.


Thursday, March 20, 2008 8:42:00 PM

Komen ini membuat saya terasa bertanggungjawab perlu melakukan sesuatu... Tetapi apa yang saya boleh lakukan dengan kudrat yang tak seberapa ini seorang diri? Terhadap sebuah kumpulan yang sudah lama bergerak lancar yang saya percaya memiliki ribuan pengikut termasuk orang-orang yang berkuasa?

Apa yang mampu saya buat adalah sekadar berdoa di hadapan makam ini... Ya Allah ya Tuhanku, dengan berkat seorang wali mu yang besar yang bersemadi di sini, dengan salasilah serta wasilah keturunan yang ada dalam diriku, dengan kemuliaan serta syafaat kekasih Mu, junjungan besar kami Muhammad SAW, dengan pemuka para Ahlul Bait nya Saidina Ali, Saiditina Fatimah, Saidina Hassan dan Saidina Hussein dan segala keturunan mereka yang baik-baik, aku mohon engkau perbaikilah orang-orang ini... Keluarkan mereka, juga diri aku sendiri daripada apa-apa bentuk kesesatan dengan penuh kasih sayang Mu ya Allah...

Jika beberapa tahun dahulu, saya mungkin akan meminta supaya Allah melaknat kumpulan ini terutama ketua-ketua mereka yang saya lihat telah begitu jauh menyeleweng dalam pemahaman akidah dan pembawakan Tasawuf, kini saya terasa lebih tenang dan memahami dalam melihat keadaan ini. Dulu, saya begitu marah kerana mereka-mereka inilah saya anggap perosak jiwa teman wanita kesayangan saya sehingga kami selalu bergaduh dan berpisah... Tapi itu dahulu, ketika keadaan jiwa saya terasa begitu sempit akibat banyak perkara yang tidak dapat dilepaskan dari dalam sanubari... Kini saya telah berjaya meluahkan banyak perkara yang selama ini terkunci melalui siri buku "Berpetualang ke Aceh" dan sejak itu, saya rasa lebih ringan dan Insyaallah semakin ringan walaupun beban yang digalas masih belum hilang 100 peratus...


Selepas selesai melihat makam dan kawasan sekeliling dengan pengawasan ahli kumpulan, saya pun bersedia untuk meninggalkan kawasan ini... Jika dahulu saya melihat ahli-ahli kumpulan ini sebagai musuh-musuh yang perlu dihapuskan suatu hari nanti, kini saya melihat mereka sebagai manusia biasa yang amat memerlukan pertolongan dan kasih sayang...

Tuan-tuan dan puan-puan... Mereka-mereka ini semuanya pernah terjebak dalam permasalahan hidup yang menyebabkan sesetengahnya jadi penagih dadah, ada jadi mat rempit, minah bohsia, mat bohjan, gangster jalanan dan sebagainya... Jika dilihat dari satu segi sahaja, mereka boleh dianggap sebagai para penjahat yang perlu dihukum, apalagi jika terlibat dalam usaha melarikan orang yang anda sayang... Cuba pula melihat daripada segi kemanusiaan dan hubungan sesama insan... Nescaya anda akan nampak bahawa mereka-mereka ini sekadar manusia biasa yang kehilangan arah dan amat memerlukan kasih-sayang dan simpati masyarakat umum... Fikirkan... Bagaimana jika anda pula berada di tempat mereka? Mahukah dihukum orang atau anda mengharapkan talian bantuan mereka yang simpati juga?


Bot milik kumpulan sedang disediakan untuk membawa saya keluar dari markas... Kalau tak salah ingatan, semasa ini cuma terdapat paling banyak pun 30-40 orang di tempat ini sedangkan ia mampu menampung ratusan orang dengan bekalan makanan dan keperluan yang dibawa masuk daripada Kuala Berang...

Pada awal artikel ini, dalam copy n paste daripada cerita Kuala Terengganu dan makam-makam lamanya... Tapak untuk cerita ke Kuala Berang... saya ada menyebut tentang nama Ustaz Zul yang dikehendaki polis atas beberapa kes cabul dan rogol... Untuk makluman, Ustaz Zul adalah ketua kumpulan ini... Beliau juga bertanggungjawab ke atas beberapa buah markas yang terletak di seluruh Malaysia termasuk beberapa yang saya diberitahu terletak jauh di dalam hutan...

Saya pernah beberapa kali berjumpa dengan Ustaz Zul sekitar tahun 2004 dan 2005... Ketika itu, beliau memberitahu mahu membela para remaja Melayu yang tersesat jalan untuk ditarbiyah kembali dan dibina menjadi insan-insan yang berguna terutama dalam perjuangan akhir zaman... Saya faham sangatlah tentang perjuangan akhir zaman ini kerana saya sendiri beriya-iya mahu menyediakan diri untuk masa hadapan yang akan datang seperti termaktub dalam hadis-hadis Nabi mengenai kemunculan watak jahat Dajjal melawan watak penyelamat Al-Imam Mahdi dan Nabi Isa nanti... Lalu Ustaz Zul menyebut anak-anak didiknya ini akan dilatih kembali menjadi seperti orang Melayu lama yang penuh beradab seperti dahulukala demi menyokong perjuangan akhir zaman... Katanya, untuk melakukan itu, dia harus menampilkan diri sebagai seorang Sultan... Kemudian dia berjanji akan menyerahkan "pemerintahan" itu kembali kepada seorang Sultan sebenarnya yang akan muncul nanti!

Sebelum meninggalkan markas, saya sempat duduk sebentar dengan Amir atau ketua yang menjaga kawasan ini serta beberapa penghuni lain... Cerita punya cerita rupa-rupanya mereka masih ingat lagi tentang saya yang pernah masuk ke sini 2 kali tahun 2004... Pertama kali seorang diri dan bermalam di masjidnya, kali kedua dengan seorang kenalan daripada Singapura serta seorang ahli kerabat diraja tua Terengganu bernama Engku Sayyid Mokhsin...

Rupa-rupanya mereka juga masih ingat bahawa saya ini seorang bekas wartawan... Lalu saya hadiahkan sebuah poster promosi siri buku "Berpetualang ke Aceh"... Jika sahaja mereka tahu beberapa isi yang telah diterapkan di dalam siri buku ini seperti yang disedut lalu dipaparkan di sini... Entah mereka akan membenarkan saya masuk ataupun tidak? Atau mungkin sahaja saya akan dipancung mereka?

Apapun, saya bukan marah pada mereka lagi... Apalah salah mereka kecuali menurut apa yang dibawa ketua mereka? Itupun bukan apa... Mereka menurut segalanya kerana tidak tahu lagi arah hidup sendiri, sedangkan apa yang sangat mereka perlukan adalah pemulihan berserta kasih-sayang... Kalau masuk pusat Serenti dan sebagainya, jangan hairanlah jika mereka-mereka ini teruk dipukul warden dan sebagainya... Itu yang biasa saya dengar le... Seorang sepupu saya pernah bekerja menjaga pusat Serenti dan dia sendiri mengaku dahulu dia suka memukul para penagih dadah sebegini...

Mereka-mereka ini bila keluar pusat pemulihan biasa pun belum tentu akan diterima baik oleh masyarakat mahupun keluarga... Itulah hakikat dunia kita ini... Tetapi di sini, di bawah program penjagaan Ustaz Zul termasuk di markas Hulu Terengganu ini, mereka terasa diri mereka seperti amat dihargai dan disayangi, tak kiralah jika orang yang menaungi itu setakat menggunakan mereka untuk kepentingan diri sendiri... Tak kiralah jika Ustaz Zul betul-betul pernah mencabul dan merogol ramai wanita dan anak gadis...

Pada mereka ini, mustahil orang seperti Ustaz Zul yang berjaya memberikan mereka harapan baru dalam kehidupan sanggup membuat kerja-kerja keji sebegitu... Begitu juga orang ramai selalu tertipu dengan tokoh-tokoh politik yang pandai memainkan sentimen dan perasaan!


Apapun, sampailah masanya untuk meninggalkan tempat ini...

Tuan-tuan dan puan-puan, membuat cerita sebegini ada risikonya, mungkin risiko nyawa! Mungkin ada yang tidak akan senang dengan kenyataan-kenyataan yang dibuat di sini lalu akan cuba mencari jalan agar saya jadi "senyap" buat selama-lamanya... Apapun, saya tetap ceritakan di sini untuk difikirkan juga dijadikan iktibar untuk semua orang... Lagipun seperti yang disebut awal tadi, saya rasa bertanggungjawab untuk berbuat sesuatu apabila melihat komen seorang pembaca yang meminta saya memantau aktiviti serta pergerakan kumpulan ini...

Lihat balik jawaban saya pada komen tersebut...

Radzi Sapiee said...


Wassalam. Insyaallah tentang kumpulan tersebut nanti saya lihat.Susah jugak sebab ramai yang percaya kat diaorang ni termasuk pihak keselamatan Malaysia sendiri. Takpa... Tentunya ada hikmah di sebalik semua ini. Apabila sampai masanya, yang haq tetap akan muncul dan yang bathil akan gugur dengan sendirinya... Ada masanya, dengan hikmah Allah, dibenarkan dahulu kumpulan sebegini bertapak dan membina pengaruh. Sekurang-kurangnya dapat juga mengembleng dan menyatukan ramai anak Melayu bermasalah di bawah satu bendera walaupun ketuanya sebenarnya mahu menggunakan mereka. Apabila anak-anak muda ini sudah biasa dengan adab Melayu lama yang tahu menjunjung tinggi hakikat sebenar seorang Sultan sebagai wakil Allah yang mengatur kehidupan bermasyarakat di muka bumi ini, barulah kepala sebenar muncul untuk mengembalikan arah. Insyaallah! :]


Saturday, March 22, 2008 5:49:00 PM

Seperti saya ada sebut tadi, kalau dahulu mungkin saya akan meminta laknat ke atas mereka, kini saya cuma berdoa agar mereka ditunjukkan jalan yang benar... Mereka-mereka ini perlukan petunjuk dan pembelaan, bukannya hukuman yang terus membawa penderitaan... Kalau Ustaz Zul ditangkap pihak berkuasa dan kumpulan ini dihancurkan, ke mana pula mereka-mereka ini hendak lari? Kembali kepada keluarga dan masyarakat serta keluarga yang belum tentu dapat menerima mereka dengan senang? Kembali ke luar sana tanpa pengawasan ghaib kumpulan (tak kiralah guna jin ke Qarin ke) lalu terjebak balik dengan masalah-masalah sosial atau gian dadah kembali? Fikirkan... Apakah anda sanggup menawarkan diri ke hadapan untuk menjaga mereka-mereka yang akan jadi seperti anak yatim nanti?

Terus-terang saya cakap sesungguhnya saya tidak ada apa-apa kemampuan untuk menjaga mereka semua... Yang mampu menjaga mereka sebenar-sebenarnya cuma Allah sahaja sebenarnya... Buat masa ini, penjagaan itu datang dalam bentuk program anjuran seorang insan bernama Ustaz Zul walaupun dia dikatakan telah mencabul dan merogol ramai orang... Maka mungkin sebab itu pihak berkuasa tidak betul-betul mahu menangkapnya?

Saya tidak hairan jika ini benar kerana saya kenal sungguh dengan beberapa orang individu yang pernah rapat dengannya... Adapun saya juga tahu tentang bilik kuning di Lembah Klang di mana cuma Ustaz Zul sebagai "baginda Sultan" serta seorang personaliti tanahair terkenal perempuan sahaja boleh masuk di dalamnya... Ini cerita 3-4 tahun dahulu le, tak tahu le apakah perkembangan seterusnya... Soalnya, bagaimana mereka boleh masuk bersama ke dalam satu bilik tanpa ada orang lain bersama, apalagi atas nama sebuah pergerakan yang memperjuangkan Islam akhir zaman sedangkan personaliti yang dimaksudkan adalah isteri orang?

Apapun, mari kita doakan kebaikan untuk mereka semua demi kebangkitan umat Islam akhir zaman nanti... Sesungguhnya kita memerlukan lebih ramai orang yang sanggup berjuang untuk kebenaran... Mungkin mereka-mereka ini tersilap arah lagi akibat terlalu bergantung kepada seorang manusia biasa yang masih mempunyai nafsu rendah untuk berkuasa dan sebagainya... Tetapi siapa tahu, apabila berlaku musibah besar yang mengancam keselamatan negara, mereka-mereka ini juga yang akan bangkit berjuang di barisan hadapan kita nanti? Sekian! :]

p/s: Biasanya saya akan membuat cerita rumusan perjalanan di sesuatu tempat untuk dipaparkan di blogspot ini, setelah berjaya mengagih-agihkan gambar-gambar yang berkenaan untuk dipakai sama-rata di ketiga-tiga blogspot saya.... Tetapi kali ini, memandangkan ada cerita tentang markas kumpulan Ustaz Zul ini, maka cerita rumusan perjalan Kuala Berang telah saya buat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH , dengan tajuk Visiting old tombs in Kuala Berang... . Harap maklum...

Wednesday, April 23, 2008

Derita manusia-manusia genius... Apakah yang menyebabkan orang sepandai Sufiah boleh jadi keliru dalam hidup?

Rasanya ramai yang pernah melihat betapa "mengancam"nya gambar ini sebenarnya... Maka biar ditutup auratnya sedikit agar sesuai dengan penceritaan serta luahan perasaan saya kali ini... Maaf le senget-senget... Edit pakai Paint je tadi...

Assalamualaikum. Saya terasa masih ada sesuatu yang perlu diluahkan sebelum dapat meneruskan cerita-cerita pengembaraan... Sebelum itu biar dicopy n paste beberapa sedutan daripada buku pertama saya, "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti" yang diterbitkan Jun 2006... Daripada Bab 1 yang merupakan pengenalan akan diri watak utama Muhammad Al-Aminul Rasyid.

Rasyid dibesarkan dalam lingkungan keluarga yang sangat mementingkan pencapaian akademik serta didikan agama. Secara semulajadi pula, dia amat berminat membaca dan menimba pelbagai jenis ilmu, tidak kira dalam bidang apa jua... Suka ‘menelan’ bermacam-macam buku dan ensaiklopaedia, menelaah berbagai-bagai subjek, dari ilmu sains, matematik, falsafah, sejarah dan budaya masyarakat sampailah ke cerita-cerita dongeng rakyat, juga lagenda dan mitos orang-orang dahulukala.
Tetapi lebih penting lagi, anak muda ini ingin mengenali Siapakah yang mencipta semua ini. Siapakah yang menyata di sebalik semua ilmu yang dicari... Sampai keluarga pun naik pening kerana dia selalu bertanyakan soalan yang bukan-bukan, soalan-soalan yang tak terjawab dek orang.
Ini tidak menjadi masalah jika dia setakat bertanya Siapakah yang mencipta alam ini. Semua orang boleh jawab Tuhan, Allah. Tetapi kalau bertanya Tuhan itu bagaimana rupanya, di manakah letaknya, bagaimana Dia mencipta, kenapa dijadikan sesetengah benda begini, kenapa ada yang dijadikan begitu, kenapa perlu ada baik dan jahat dan berbagai lagi soalan berbentuk theology, apakah penerangan yang dapat memuaskan seorang anak pintar yang selalu ingin mengorek jawaban sampai ke akar umbi?
Kebetulan pula, Rasyid kurang berminat pada harta benda dan wang ringgit. Ketika ramai orang mengidam untuk menjadi hartawan atau jutawan, dia lebih selesa hidup seperti seorang pengembara yang tidak punya apa-apa. Maka lagilah ramai orang pening bila diceritakan minat dan kecenderungannya... Dan yang paling pening adalah keluarga yang mengharapkan anak sulung daripada lima beradik ini mencapai kejayaan yang nyata, kejayaan hidup yang boleh dibuktikan dengan pangkat, nama dan harta, sesuai dengan bakat, kebolehan dan kelulusan yang ada.
Anak muda ini juga mempunyai cita-cita yang agak pelik. Sejak berumur 18 tahun, dia mengidam untuk hidup di dalam sebuah negara berperadaban tinggi dengan rakyat yang sayangkan ilmu. Sebuah negara yang aman, tiada masalah sosial dan jenayah dengan penduduk yang tidak gilakan harta, tidak suka bercakap perkara yang remeh-temeh malah lebih suka berbincang tentang ilmu tinggi, kejadian alam, keTuhanan dan sebagainya. Tidak tahulah bagaimana rupa negara ini tetapi apa yang dapat dibayangkan, suasananya lebih kurang seperti Andalusia, sekarang dalam Sepanyol sekitar Cordova, semasa zaman kegemilangan Islam di bumi Eropah, ketika tokoh Tasawuf Ibnul Arabi masih hidup 800 tahun dahulu.
Memang Andalusia terkenal dengan peradaban keilmuan yang tinggi. Penuh dengan bangunan-bangunan seni dan indah, dihuni pula manusia yang tinggi budi pekerti. Kemasyhurannya mengatasi Baghdad, pusat ketamadunan Islam zaman itu. Peradaban tingginya bakal menjadi contoh yang akan menyemarakkan kebangkitan tamadun Eropah, gerakan yang dikenali sebagai renaissance nanti. Tetapi di manakah hendak dicari negara seperti itu sekarang? Dalam mimpi? Atau angan-angan di siang hari?
Sebenarnya, sejak zaman kanak-kanak lagi Rasyid selalu mengimpikan sebuah dunia utopia yang serba sempurna, seperti Andalusia yang dibayangkannya. Tetapi di ambang dewasa ini, barulah ia menjadi satu cita-cita gila yang menghantui fikiran dan jiwa...
Pemuda itu begitu terpengaruh dengan cerita-cerita mengenai masyarakat bertamadun tinggi dengan bangunan-bangunan yang canggih dan indah seperti terpapar dalam kisah-kisah sains fiksyen seperti Logan’s Run, Buck Rogers in the 25th Century dan Battlestar Galactica, siri-siri televisyen kegemarannya zaman kanak-kanak dahulu. Maka itu, apabila terjumpa apa-apa set enksaikopaedia ataupun buku pengetahuan am terbaru, dia selalu mencari rencana-rencana di bawah kata nama future atau utopia untuk mendapatkan gambaran ideal dunia serba sempurna di dalamnya.
Disebabkan pemikiran semulajadinya beginilah hamba Allah berbintang Sagittarius ini sering merasa kesepian, tiada teman yang benar-benar mengerti apa yang sebenarnya bersarang di fikirannya apa lagi untuk diajak berkongsi cita-cita dan rasa. Sudahlah tidak pandai bercakap bohong, lurus bendul macam watak cartoon... Akhirnya, Rasyid ‘terpaksa’ menjadi budak nakal yang suka menyampuk dan mengajuk cakap guru, suka bercerita merapu yang bukan-bukan, buat lawak dan jenaka demi mencari perhatian... Kerana kawan-kawan nampaknya lebih senang dengan ini daripada melayan kerenah seorang manusia yang lain pemikirannya.
Inilah realiti kehidupan. Berapa ramaikah rakan mahu mengambil tahu tentang jisim bulan berbanding bumi ataupun bintang? Berapa keratkah anak-anak mahu mendengar huraian ilmiah tentang galaksi, sistem solar dan perjalanan alam? Siapa pula hendak diajak berbincang tentang Tuhan, Malaikat dan alam-alam ghaib? Lainlah kalau cerita hantu, magic, "Bercakap dengan Jin" dan perkara-perkara yang ‘sewaktu’ dengannya. Cerita-cerita mengarut, lawak jenak, kutuk orang, tabur pula perkataan mencarut sana-sini sering menarik perhatian... Barulah ramai kawan!
Rasyid masih teringat bagaimana sukarnya membesar dengan jiwa sebegini di kalangan remaja biasa yang cuma menurut kelaziman umum.
Tahun 1983, semasa menuntut di Tingkatan Satu Sekolah Menengah Sains Johor, Keluang, anak kelahiran Muar, Johor ini adalah satu-satunya pelajar muda yang diberi keistimewaan menjadi ahli kelab komputer sekolah, sebuah kelab ekslusif yang cuma dianggotai pelajar Tingkatan Empat ke atas yang dikira pintar... Kerana dia sudah mampu mencipta perisian komputer sendiri, di suatu zaman di mana komputer masih begitu asing di pejabat-pejabat di Malaysia, apalagi di sekolah dan rumah.
Rasyid belajar membuat perisian sejak berumur 12 tahun lagi, melalui pembacaan dan kaedah trial and error menggunakan komputer Sinclair ZX81 yang dibawa dari England oleh seorang bapa saudara, komputer ringkas dengan RAM 1K (add-on 16K, kelajuan microchip Zilog Z80 3.5 MHz) menggunakan televisyen biasa sebagai monitor. Di sekolah itu pula, dia mula membiasakan diri dengan model komputer lebih canggih buatan Taiwan (tidak ingat brand apa) berasaskan ciri-ciri komputer Apple II.
Oleh kerana guru yang menyelenggara kelab (seorang guru sains dan matematik) kurang mahir dalam penggunaan komputer dan masih merangkak belajar lagi, beberapa perisian biasa kegunaan pejabat seperti word processor dan spreadsheet bersama beberapa buah naskah buku komputer telah ditinggalkan di atas meja untuk kegunaan ramai dengan harapan ahli kelab dapat meningkatkan kemahiran sendiri. Perisian games untuk riadah yang lebih disukai kebanyakan pelajar pula disimpan di dalam almari berkunci, dikeluarkan sekali-sekala atas kebenarannya.
Seperti biasa, selepas selesai aktiviti wajib sukan yang menjadi kelaziman sekolah berasrama penuh, Rasyid akan ke bilik komputer waktu petang untuk meningkatkan kemahiran mencipta program menggunakan bahasa perisian BASIC dan sedikit machine language. Setelah sebulan menjadi satu-satunya ahli kelab komputer berumur bawah 16 tahun, kehadirannya mula diterima ahli-ahli senior yang ternyata lebih senang bermain games daripada menambah ilmu pengetahuan. Cuma dua tiga orang sahaja daripada lebih 20 ahli kelab mampu membuat program. Yang lain setakat tahu menggunakan perisian biasa... Lalu mereka tidak segan-silu mendedahkan ‘aktiviti’ biasa mencuri-pakai perisian games malah mengalakkan anak muda itu turut sama, diajar pula cara mengeluarkan floppy disk, cakera liut games yang tersimpan di dalam almari berkunci.
Pada awalnya, anak muda itu cuma memerhatikan sahaja kerana lebih asyik dengan dunia pemikirannya mendalami cara-cara mencipta program komputer. Tambahan tidak ada orang lain yang dapat memberikannya tunjuk-ajar kerana tidak ada pelajar mahupun guru yang lebih mahir. Tetapi sebagai seorang anak lelaki yang baru melepasi umur 12 tahun, sedikit sebanyak dia tertarik juga untuk mencuba terutama sebuah game (tidak ingat namanya) yang berkonsepkan sukan olimpik, memaparkan teknik-teknik penggunaan graphics yang agak canggih pada zaman itu.
Ketika itu, dia sudah mampu mencipta program games atau permainan ringkas seperti Hangman yang banyak melibatkan penggunaan perbendaharaan kata atau Mastermind (memerlukan kemahiran logik dalam meneka susunan warna yang disembunyikan) versi komputer from scratch, daripada tiada kepada ada, Insya’allah dengan sekali duduk tanpa memerlukan apa-apa rujukan. Tetapi anak muda ini masih kurang mahir dalam teknik penggunaan graphics untuk animasi yang lebih berkesan.
Kebetulan beberapa buah naskah buku komputer yang menerangkan teknik-teknik programming yang lebih advanced atau lebih lanjut juga disimpan di dalam almari berkunci. Lalu anak muda yang pernah menyimpan cita-cita untuk menjadi pencipta games komputer profesional inipun tergerak untuk mendapatkan rujukan tambahan dan mula menjadi ‘terbiasa’ mengeluarkan perisian dan buku dari dalam almari.
Ditakdirkan suatu hari, semasa mengeluarkan sebuah cakera liut daripada celah cermin almari, guru penyelia kelab komputer pula masuk ke bilik. Rasyid pun ditangkap dan dituduh tidak amanah, mensia-siakan peluang sebagai ahli kelab komputer paling muda semata-mata untuk bermain games. Apabila disoal-siasat, anak muda lurus bendul yang tidak pandai berbohong ini membuat pengakuan telah ‘diajar’ oleh pelajar-pelajar senior. Akibatnya, dia telah dilucutkan keahlian kelab. Kalau tidak salah ingatan, beberapa orang ahli yang lebih tua turut menerima bahana...
Peristiwa itu menyebabkan mereka yang dikaitkan berdendam. Rasyid masih mentah terhadap realiti kehidupan yang memerlukan seseorang itu ‘berbohong sunat’ demi menutup kesalahan. Sudahlah dia terserlah kerana dilahirkan berkulit putih-merah dengan rambut sedikit perang, sejak sekolah rendah selalu diejek sebagai ‘Mat Saleh Celup’. Anak muda ini juga sudah lama menarik perhatian kerana suka bercerita perkara ‘bukan-bukan’, tentang future, bulan, planet dan bintang, juga tentang Tuhan...
Sejak itu teruklah dia kena ragging, dibuli sesuka-hati... Setakat kena ketuk ketampi, pumping, jumping-jack berpuluh kali, kena tiup lampu kalimantang ‘sampai padam’, basuh baju kotor, cadar, kasut senior dan sebagainya itu perkara biasa, realiti kehidupan sekolah berasrama. Tetapi bila sudah diblack-list, bertambah-tambahlah lagi beban yang terpaksa dipikul kerana sering menjadi sasaran orang melepaskan geram. Itu belum dicampur maki-hamun, tengking dan sumpah-seranah... Ada masanya, anak muda ini terpaksa menjadi punching-bag, kena penumbuk, penampar, sepak-terajang kerana tidak pandai ‘menghormati’ senior, tidak faham-faham lagi bila perlu menjadi pak turut... Hendak melawan, dia masih budak-budak. Mana terlawan para pelajar yang dua hingga empat tahun lebih tua, yang selalu datang membuli secara berkumpulan? Takut kena lebih teruk lagi sebab ramai senior akan memandangnya serong... Ramai lagi yang akan membuli sedangkan tempoh menetap di asrama masih panjang. Manusia memang selalu bersikap buruk terhadap mereka yang lain dari yang lain...

Di bawah ini pula daripada bab bertajuk "Warkah untuk Nenek", satu pengaduan Rasyid dan luahan rasa kepada almarhum Nenek yang sudah meninggal dunia...

30 September 2005 bersamaan 26 Sya’aban 1426

Assalamualaikum nenek. Semoga berbahagia di alam Lahut sana...
Ada masanya cucunda terasa mahu cepat kembali ke pangkuan Ilahi kerana selalu melihat tanah perkuburan dan makam-makam lama nampak begitu tenang, indah dan aman damai sentiasa. Bukan seperti jiwa cucunda yang asyik berserabut, selalu sakit kepala... Sekurang-kurangnya boleh jumpa nenek, Mak Muar, adik, Atuk Perak dan Atuk Muar. Insya’allah, boleh juga berjumpa Keramat Kuala Bidor, boleh dapat jawaban sebenar kepada segala persoalan yang membelenggu jiwa cucunda selama ini.
Nenek tahu tak, walaupun saya jarang berjumpa nenek, walaupun selama ini saya berat sebelah kerana asyik kembali ke kampung ibu, yalah sebab atuk sana yang bela sejak kecil, saya sebenarnya sangat rindu dan sayangkan nenek? Banyak perkara saya mahu bertanya tetapi apa boleh buat, tak sempat... Masa yang diberi Tuhan untuk mengenali diri nenek yang sebenar terlalu singkat.
Tak mengapalah nek... Mungkin telah ditakdirkan saya harus mencari jawaban sendiri, tempuhi setiap dugaan sehingga semuanya berjaya dilepasi. Sampai suci kembali diri ataupun mati? Cuma saya minta tolong nenek satu perkara saja... Kalau boleh, nenek menjelmalah dalam mimpi ayah atau berjumpa dia dengan apa-apa cara. Tolong beritahu dia saya bukan sengaja mahu mengecewakannya...
Saya tahu selama ini saya banyak menyusah dan memalukan ayah dan ibu. Saya minta ampun sangat-sangat... Ayah marah sangat sebab saya sudah lama tidak bekerja. Tak tahu apa nak dijawab bila orang bertanya apakah cerita terbaru anak sulungnya yang belajar di London dahulu, yang pernah mencipta sedikit nama sebagai wartawan sebuah akhbar berbahasa Inggeris terkemuka.
Sudahlah marah dahulu kerana dibuang sekolah belum selesai, masuk kolej pun kena buang juga walaupun dapat masuk kembali kerana study OK, salah seorang best student terutama dalam bidang Matematik. Pinjaman first year study untuk ke London yang dibuat menggunakan duit peribadinya juga belum selesai dibayar, muncul pula masalah lain menyebabkan ayah pening kepala...
Nenek, pada awalnya saya ada membayar duit pinjaman ayah setiap bulan, semasa tiga tahun pertama bekerja sebagai wartawan. Selepas itu saya minta tangguh setahun dua kerana baru mendirikan rumahtangga, banyak juga yang perlu dibelanja. Tetapi sekarang kerja pun tiada, mahligai pun sudah runtuh, Dan anak ayah ini masih tidak bekerja, bukan sekejap tetapi sudah masuk empat tahun! Tidak cukup itu, lepas satu, satu lagi masalah timbul. Selepas 10 tahun senyap, penaja yang membiayai pengajian tahun dua dan tiga di London pula tiba-tiba muncul kembali meminta bayaran bulanan dibuat mulai April sampai tahun 2023 , hampir RM400 sebulan! Mana saya hendak cekau duit dalam keadaan saya sekarang ni, nenek? Akhirnya ibu pula yang kena tanggung. Mana ayah tidak mengamuk?
Itulah bahana memutuskan biasiswa asal penaja untuk menanggung sendiri perbelanjaan pengajian tahun pertama di England kemudian menyambung kembali pembiayaan untuk tahun kedua dan seterusnya dengan penaja. Sejak tahun 1992, penaja ini cuma memberi pinjaman boleh-ubah sahaja, tidak ada lagi biasiswa penuh.. Kalau ikut rancangan asal tentu ayah tidak perlu mengeluarkan duit. Masalahnya saya harus menyertai program NCUK (Northern Consortium of United Kingdom) di Shah Alam selama setahun sebelum boleh menyambung tahun kedua pengajian dan seterusnya di UK. Dan program yang diselia gabungan universiti-universiti utara UK ini tidak menyertakan pusat-pusat pengajian tinggi di bawah University of London.
Tetapi saya tetap mahu ke London untuk menyambut tawaran sebuah universiti terkemuka lalu sengaja tidak mendaftar untuk program NCUK. Setelah pendaftaran ditutup, baru pujuk ayah supaya menaja tahun pertama ke England. Ayah ada menegur, kalau hendak sangat belajar di London, mengapa tidak dapatkan keputusan cemerlang untuk peperiksaan A levels dahulu? Ini tidak, tiga bulan lagi nak periksa buat masalah disiplin sehingga ditendang kolej. Selepas itu, dapat sambung balik pengajian pada tahun seterusnya tetapi tidak memanfaatkan peluang kedua pula...
Dahulu saya ingat boleh tampung balik kos ini, nenek. Sebab walaupun keputusan A Levels saya agak mengecewakan, dapat satu A sahaja, itupun untuk subjek Matematik yang diduduki sebelum dibuang kolej , saya tetap percaya yang saya masih memiliki kemampuan untuk mendapatkan ijazah first class. Boleh dapat biasiswa tambahan universiti untuk pelajar cemerlang dan boleh tampung balik duit yang ayah keluarkan. Rupa-rupanya tidak juga... Jangankan nak dapat biasiswa tambahan, Bsc (Hons) yang diperolehi pun tidak cukup bagus untuk melayakkan pinjaman boleh-ubah penaja ditukar menjadi biasiswa separuh apalagi penuh...
Apapun, saya ingatkan selama ini masalah pembayaran biasiswa sudah selesai atas ihsan penaja. Sebab saya terus melaporkan diri dua minggu selepas kembali dari UK dan mereka tahu saya nyaris-nyaris tidak memperolehi apa-apa ijazah kerana masalah peribadi yang dialami selama ini.. Bukannya saya sorok-sorok dengan mereka, nenek... Kalau mahu, mereka boleh menghalalkan pinjaman boleh-ubah itu atas penilaian istimewa kerana tidak sampai tiga minggu sebelum peperiksaan akhir ijazah, saya telah mendapat surat universiti mengatakan saya tidak boleh menduduki peperiksaan akibat penaja tidak mahu membayar yuran pengajian tahun akhir. Bukankah ini berlaku apabila mereka mendapat tahu saya tidak melaporkan diri kepada mereka setelah gagal dalam peperiksaan tahun dua sehingga terpaksa mengulang semula? Yuran univerisiti setahun dekat 7,000 Pound nenek, hampir RM35,000. Mana hendak korek?
Saya betul-betul susah hati. Sudahlah setahun terpaksa berhempas-pulas membuat bermacam-macam kerja untuk menampung kos sara hidup sebab pembiayaan sudah diberhentikan, pihak penaja pula boleh buat tak layan apabila saya merayu. Tidakkah pecah kepala jadinya? Tarikh peperiksaan pula semakin dekat. Kalau tidak selesai dalam seminggu itu juga, alamatnya melahulah saya, menangis tidak berlagu di luar dewan peperiksaan. Nasib baiklah Malaysian Student Department tolong selesaikan yuran. Kalau tidak habislah pengajian jadi habuk belaka...
Nenek, saya mengaku bersalah kerana tidak melaporkan diri kepada penaja semasa disuruh mengulang-balik tahun dua. Tetapi akhirnya mereka dapat tahu juga dan saya telah pun dihukum apabila terpaksa bekerja hampir setiap masa di samping sibuk menghadapi pengajian tahun akhir dalam keadaan tertekan, nyaris tidak dapat menduduki peperiksaan. Dalam keadaan ini kira OKlah masih boleh dapat Honours... Maka itu, selama ini saya fikir pihak penaja telah melupuskan kos penajaan kerana saya ingatkan para pegawai yang berurusan dengan saya dahulu faham keadaan yang terpaksa saya lalui sepanjang tempoh pengajian. Saya terlupa untuk meminta jaminan hitam putih, terlupa kes pinjaman boleh-ubah yang sudah senyap begitu lama boleh datang menghantui kembali apabila pegawai lain mengambil-alih...
Yang teruknya masalah ini muncul selepas saya sudah empat tahun tidak bekerja. Kepala pula sedang gila mencari jawaban di makam-makam lama. Mengapa tidak minta bayaran kembali ketika saya masih bekerja dan sedang menikmati gaji bulanan yang agak lumayan? Mengapa baru sekarang?
Bila cerita pada ayah, saya teruk dimarahi lagi. Katanya, mengapa tidak laporkan diri semasa terpaksa mengulang-balik tahun dua? Mengapa masih tidak bekerja, kalau bekerja tentu boleh bayar wang penaja? Mengapa buat masalah semasa jadi wartawan, bergaduh pula dengan pegawai atasan? Degil sangat, tak mahu ikut budaya pejabat. Mengapa tidak ikut sahaja program NCUK? Nak sangat pergi London sampai ayah pula terpaksa keluar duit? Dahulu kata boleh dapatkan biasiswa pelajar cemerlang tetapi lain pula jadinya. Mengapa boleh ditendang dari kolej? Sampai tujuh kali masuk mahkamah pelajar kerana bermacam-macam kesalahan disiplin? Ponteng kelaslah, masuk asrama perempuanlah... Mengapa semasa sekolah asrama dahulu pun boleh kena tendang juga, asyik panjat pagar keluar masuk sekolah? Mengapa itu, Mengapa ini... Banyak sangat benda ayah marah sampai tak tahu hujung pangkalnya lagi. Bukankah lebih senang menuduh saya bersalah kerana dilahirkan ke dunia ini? Bukankah lebih elok saya mati? Apa gunanya hidup kalau setakat untuk menyakitkan hati?
Sebenarnya bukan saya tidak mahu beritahu penaja apabila disuruh mengulang-balik tahun dua tetapi saya takut nanti harus kembali ke Malaysia dan duduk selama setahun. Harus bersemuka dengan saudara-mara dan kawan-kawan yang menganggap saya mesti sudah kembali dengan segulung ijazah first class, sebab selama ini mereka mengenali saya sebagai seorang pelajar pintar, otak first class...
Sebaliknya apa yang terjadi, diri yang pernah dianggap genius oleh hampir semua pihak yang mengenali, diri yang jika diberi peluang dahulu mungkin sudah mampu memasuki universiti sebelum berumur 15 tahun sudah ketinggalan dua tahun pelajaran berbanding rakan-rakan sebaya. Sebab ditendang kolej dahulu, kemudian ulang setahun di universiti. Tetapi tiada yang lebih menakutkan daripada terpaksa bersemuka dengan ayah dalam keadaan begini. Saya rasa tidak sanggup melalui semua ini...
Terus terang saya cakap nek, dari kecil sampailah besar, saya selalu terasa ayah cuma boleh menerima saya bila ada berita gembira, dapat markah tinggi , kedudukan bagus dalam peperiksaan ataupun cemerlang dalam ko-kurrikulum. Kalau hendak mengadu masalah saya tidak berani sebab silap-silap jadi bertambah disembur ayah lagi. Saya sakit nenek... Dari kecil sampai besar panjang asyik kena marah sahaja. Bila masanya nak rasa tenang jiwa? Rasa dihargai dan disayangi sepenuh hati? Saya cuma manusia biasa yang perlukan belaian kasih sayang keluarga yang nyata, bukan setakat kata-kata tanpa simpati untuk memahami keadaan diri....
Selama inipun saya sudah melalui berbagai-bagai masalah yang susah hendak dikongsi bersama orang lain. Tidak ada yang betul-betul dapat memahami keadaan diri ini dan segala yang dilalui. Bagaimana dari seorang yang dianggap genius Matematik daripada sekolah rendah sampai ke kolej boleh tiba-tiba jadi ‘kosong’ seperti hilang ingatan, tidak nampak apa-apa lagi. Dari first class material, akhirnya cuma boleh dapat third class sahaja. Bukankah itu memalukan ayah?

OK... Panjang bukan luahan saya kali ini? Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul...
Semalam saya terlihat dalam satu rancangan televisyen, kalau tak salah ingatan 360 di TV3 menyebut tentang apa yang berlaku kepada beberapa kanak-kanak yang dianggap genius kerana memiliki kepintaran luar biasa... Mula-mula dipaparkan tentang seorang (lupa namanya) yang pernah berlakon sebagai kanak-kanak pintar dalam satu filem Jins Shamsuddin dekat 30 tahun lalu.
Dalam kehidupan sebenar pun memang kanak-kanak ini begitu pintar sehingga pernah dijadikan anak angkat selain bahan kajian untuk Profesor diraja Ungku Aziz. Tetapi itu dahulu, lama dahulu... Kini dalam umur 37 tahun, hidupnya tidak maju ke mana. Sekurang-kurangnya menurut ukuran biasa di mana kemajuan serta pencapaian hidup seseorang sering diukur dengan harta benda serta wang yang dimiliki selain pangkat dan nama juga kehadiran isteri serta keluarga yang "cantik", dia sepatutnya sudah menjadi seorang "somebody"... Sebaliknya kalau tak salah ingatan, dia sekadar dapat menjadi seorang peniaga menjual roti canai dan pernah masuk pusat pemulihan kerana penyalahgunaan dadah...
Seterusnya, cerita mengenai kanak-kanak genius yang kini sangat terkenal iaitu Adi Putra pula dipaparkan... Kalau tak salah ingatan, umurnya kini adalah 9 tahun tetapi kepandaian semulajadinya telah pun diakui semua... Katanya telah belajar 9 jenis bahasa dan telah mencipta 20 formula matematik peringkat universiti...
Lalu bergerak cerita pada berita sensasi terkini, tentang gadis warga Britain yang beribukan seorang wanita Melayu daripada Muar, kisah Sufiah Yusof yang semasa umur 13 tahun mencipta sejarah apabila berjaya mendapat tempat di universiti terkemuka University of Oxford tetapi kini, 10 tahun kemudian telah menjadi seorang pelacur!
Fikirkan... Seorang kanak-kanak pintar 30 tahun dahulu pernah berada di bawah perhatian serta asuhan seorang profesor diraja yang diiktiraf sebagai salah seorang pemikir terpintar di Malaysia... Tetapi kini hidupnya tidak ke mana malah pernah masuk pusat pemulihan dadah.. Kemudian ada Adi Putra yang kita pun sebenarnya belum tahu keadaannya apabila meningkat dewasa... Setakat ini dia bernasib baik kerana dikelilingi orang-orang yang sensitif tentang keadaannya yang luar biasa terutama keluarga yang bertungkus-lumus mencari lalu memberi segala kemudahan yang perlu agar mindanya terus berkembang jaya... Lalu kita melihat pula kes Sufiah... Daripada seorang begitu pintar boleh terjebak dalam kerjaya yang begitu hina? Mengapa ini?
Saya melihat lagi program TV itu... Lalu dipaparkan beberapa orang "pakar" yang menyatakan pendapat masing-masing tentang bagaimana mahu mendidik pelajar-pelajar pintar ini... Sebenarnya super pintar kerana taraf kepintaran mereka jauh melebihi kanak-kanak atau remaja biasa... Kalau pintar sahaja, memang boleh dapat banyak A dalam peperiksaan seperti yang diimpikan ramai pelajar juga ibubapa tetapi super pintar? Mereka sebenarnya telah jauh melangkaui kurikulum pelajaran biasa lalu ada yang sebenarnya amat pintar tetapi tidak berminat lagi untuk mencapai keputusan elok di dalam peperiksaan biasa lantaran rasa jemu dengan kadar pembelajaran biasa...
Apa yang saya maksudkan dengan keadaan super pintar di mana seseorang itu diberi anugerah semulajadi kepandaian sehingga dapat melihat jauh melangkaui kebiasaan? Kita ambil contoh para Nabi... Percayalah, semua Nabi-nabi itu genius... Kata pujangga Barat tersohor iaitu Shakespear, genius is like a bird weaving its nest... Genius adalah seperti seekor burung membuat sarangnya... Ia tidak perlu membuat apa-apa ukuran dan sebagainya, sebaliknya secara semulajadi terus sahaja membuat sarang lalu jadi... Begitulah hakikat seorang genius di mana buah fikirannya datang begitu sahaja, begitu juga Nabi-nabi dijadikan sejak kecil agar memikirkan kebesaran serta kejadian ciptaan Tuhan di kala kebanyakan kanak-kanak biasa masih sibuk bermain-main lagi...
Ingat lagi cerita tentang Nabi Ibrahim mencari Tuhan ketika kecil? Maaf, saya lupa urutan ceritanya tetapi saya ingat betapa baginda pernah kagum melihat bulan di langit lalu berfikir, mungkin bulan ini adalah Tuhan... Tetapi apabila ia luput masuk siang hari, ternyata bagi baginda bulan bukannya Tuhan kerana Tuhan tidak akan luput sampai bila-bila... Kemudian baginda berfikir mungkin matahari dengan sinarnya yang lebih terang-benderang itu adalah Tuhan... Tetapi ternyata matahari juga tidak memenuhi kriteria Tuhan kerana ia luput apabila sampai masanya sedangkan Tuhan itu kekal buat selama-lamanya! Dan pemikiran sebegini dalam mencari kebenaran mutlak dialaminya ketika rata-rata masyarakatnya menyembah patung-patung berhala sebagai Tuhan mereka...
Dari tradisi lain pula kita boleh ambil cerita Gautama Buddha... Ingat, ada yang percaya bahawa Buddha adalah salah seorang Nabi kalau tidak pun Rasul... Kerana para Nabi itu sebenarnya berjumlah 124,000 orang dan Rasul 313 orang... Cuma kita diajar di sekolah supaya menghafal nama 25 Rasul sahaja!
Gautama Buddha atau nama asalnya Sidharta adalah seorang anak raja. Adapun baginda membesar penuh kemewahan di istana tetapi baginda sebenarnya seorang yang banyak berfikir tentang makna kehidupan. Menyedari kecenderungan ini, bapanya sang raja berusaha sedaya-upaya untuk mengelakkan Siddharta daripada melihat hakikat kehidupan yang ada "kekurangan" seperti sakit, jatuh lemah kerana tua dan sebagainya... Lalu ke mana sahaja Siddharta pergi apabila di luar istana, bapanya akan memastikan di sepanjang perjalanan putera raja itu tidak akan bertemu apa-apa selain yang muluk-muluk belaka...
Dipendekkan cerita, pada suatu hari terjumpa juga Siddharta dengan orang-orang tua dan orang-orang sakit di negerinya... Itu yang menyebabkan baginda sedar akan wujudnya penderitaan, bukan kesenangan dan kemewahan semata-mata lalu baginda sanggup keluar mengembara meninggalkan istana menjadi musafir kelana yang hina-dina semata-mata untuk memahami hakikat kehidupan yang sebenar lalu turut juga mencari makna keTuhanan...
Apapun, ini setakat contoh... Yang mahu diketengahkan adalah seorang genius seringkali berfikir lain daripada kebiasaan umum... Dalam keadaan tertentu, pemikiran mereka yang melangkaui kebiasaan umum boleh menimbulkan masalah dan kecurigaan ramai sepertimana Nabi Ibrahim pernah cuba dibakar Namrud apabila mempersoalkan tentang berhala-berhala yang masyarakatnya sembah sebagai Tuhan... Seperti Siddharta meninggalkan istana sedangkan kebanyakan orang, asal diberi sahaja sedikit kepandaian, sedikit sahaja, bukan taraf super pintar pun malah jauh sungguh daripada menjadi seorang genius terus ia mahu mencari jalan untuk mencapai hidup senang-lenang dan dapat duduk dalam rumah seperti istana...
Allah! Saya telah melangkah ke hadapan pula dalam penceritaan... Berbalik pada kes pelajar genius yang kecundang dalam kehidupan seperti si Sufiah... Berbalik kepada beberapa pendapat yang diberi lalu ditunjukkan dalam TV juga di dada-dada akhbar dalam merungkai permasalahan mereka...
Adapun kebanyakan pendapat-pendapat ini menyebut tentang betapa pelajaran agama berserta perkembangan emosi yang seimbang perlu diterapkan kepada para pelajar sepintar mereka ini supaya hidup mereka tidak akan sia-sia di masa hadapan nanti... Lebih kurang begitulah rata-rata nada nasihat-nasihat serta pandangan-pandangan pakar yang diberikan sejak kes Sufiah menjadi pelacur mula diketahui ramai...
Hati saya memberontak... Saya rasa mereka ini iaitu kebanyakan orang tidak faham masalah sebenar budak-budak begitu pintar atau yang dipanggil genius ini...
OK... Sebelum itu biar saya berterus-terang supaya lebih senang memahami apa yang ingin diutarakan... Ketahuilah, saya tidaklah sepandai mereka... Saya cuma pernah dianggap genius oleh kebanyakan orang yang mengenali saya daripada zaman tadika hinggalah masuk ke universiti di London di mana sesuatu berlaku kepada saya sehingga kepandaian luarbiasa dahulu menjadi pudar lalu mereka yang mengenali saya ketika dan selepas itu tidak tahu pun satu masa dahulu saya pernah dianggap genius... Tetapi saya rasa saya tahu apa yang berlaku di dalam fikiran seseorang yang membesar sebagai seorang genius... Pernah lihat cerita filem A Beautiful Mind yang menonjolkan watak seorang pakar matematik bertaraf genius yang jadi gila akibat melihat formula dan nombor di sekeliling? Sekurang-kurangnya saya pernah merasa dan melihat sendiri keadaan itu di mana saya boleh nampak sekurang-kurangnya 20 baris formula matematik seolah-olah hadir seperti tulisan warna hijau di hadapan mata...
Saya tahu dengan merasai sedikit pengalaman sebegini bahawa orang-orang genius tidak berfikiran seperti orang biasa... Ya, mereka masih lagi makan, minum, menyedut udara, perlu bergaul dengan orang ramai seperti orang biasa tetapi selain daripada itu, keperluan jiwa mereka tidak sama... Jika rata-rata manusia lebih senang keluar mencari duit dan mengumpul harta, orang-orang genius lebih cenderung duduk dalam dunia sendiri mengaji bermacam ilmu dan pecahannya... Dan lagi, orang-orang genius biasanya lurus-bendul, tidak mahu berbohong kerana ini melanggar prinsip keilmuan dan cara pemikiran mereka yang luar-biasa itu...
Orang-orang genius juga selalu memikirkan perkara-perkara yang selalu berada di luar lingkungan manusia umum... Di sinilah letaknya suatu perkara di mana seorang genius itu boleh jadi berjaya atau jadi rosak nanti... Walaupun fikirannya nyata jauh melangkaui fikiran manusia kebanyakan, tetapi dari segi keperluan pergaulan sosial dan kehendak untuk berkongsi rasa, dia juga ingin supaya ada orang lain yang dapat memahami lalu berbual-bual tentang perkara-perkata yang bermain-main di dalam fikirannya...
Di sinilah terletak satu perbezaan besar orang-orang genius terutama ketika zaman remaja... Ketika kebanyakan orang lain mahu berbual tentang kasut Adidas atau Nike terbaru, atau mengumpat tentang rakan yang ditangkap khalwat minggu lalu, seorang remaja genius mungkin ingin berbual tentang kesan sebuah planet yang disedut masuk ke dalam black hole...
Di sini, timbul risiko dia akan dianggap pelik... Kedua dianggap mengada-ngada kerana tidak menurut kebiasaan ramai... Ketiga dianggap menunjuk-nunjukkan kepandaian sedangkan apa yang terbetik di fikirannya cuma fikiran harian biasanya... Seperti kata Shakespear, genius is like a bird weaving it's nest... Itu sahaja... Tetapi pada orang lain pula, mungkin fikiran sebegini cuma akan dapat dicapai setelah lama bertungkus-lumus memikirkan dan mempelajari sesuatu... Tiba-tiba orang genius tanpa belajar dengan sewenang-wenangnya dapat mengemukakan buah fikiran yang mencabar fikiran semua orang lain... Mana boleh!
Lalu timbul satu lagi masalah lain yang merupakan realiti kehidupan biasa... Irihati daripada pihak lain... Irihati kerana mereka perlu berhempas-pulas hendak menyelesaikan satu-satu masalah, tiba-tiba muncul seorang genius tunjuk pandai dengan senangnya dapat menyelesaikan masalah itu... Irihati ini apabila terjadi pada seorang kanak-kanak genius yang sedang membesar boleh menyebabkan segolongan rakan-rakan sebaya mencari-cari jalan untuk memulaukannya mahupun mengenakannya sentiasa... Yang mahu membuli pun ada dan selalunya memang ada jika sang genius tidak ada kemampuan fizikal untuk mempertahankan diri sendiri! Pendek kata, jangan hairanlah jika seorang genius terpaksa membesar dalam keadaan yang jauh lebih mencabar daripada orang lain... Sudahlah tidak dapat berkongsi fikirannya yang sebenar kerana jauh jangkauan fikiran yang tidak dapat digapai semua orang, orang lain pula boleh menjadi irihati lalu mahu membuat hidupnya jadi susah belaka...
Kalau keluarganya jenis memahami dan sedia memberikan sokongan, eloklah juga... Bagaimana jika keluarga pun marah kerana kita ini pada mereka telah menimbulkan masalah di sekolah? Bagaimana jika dalam kes Adi Putra yang kalau tak salah ingatan saya pernah dituduh mengada-ngada di sekolah kerana bosan dengan apa yang dipelajarinya, ibu bapanya tidak menyokongnya? Memanglah dia bosan kerana fikirannya sudah lebih jauh pergi ke hadapan... Bukan semua orang faham ini... Bagaimana jika keluarga Adi Putra tidak tahan lalu memaksa anaknya supaya jadi "normal" seperti orang lain agar tidak menyusahkan mereka, agar tidak terus "mengada-ada"?
Tuan-tuan dan puan-puan... Sepatutnya kita bersyukur apabila ada manusia pintar yang mampu memberikan buah fikiran yang bernas lagi terkehadapan, apalagi jika dapat menyelesaikan sesuatu masalah kita... Tetapi hakikatnya dalam kehidupan sebenar, seringkali orang ramai merasa tercabar lalu cuba pula menghancurkan pihak yang memberikan penyelesaian seperti yang berlaku pada watak kanak-kanak Hang Nadim dalam cerita Singapura diserang todak yang dikatakan berlaku sekitar 700 tahun lalu...
Satu lagi yang sering membuat orang biasa terutama golongan tamak kuasa kuat bermain politik risau tentang orang-orang genius... Seperti yang saya sebut tadi, golongan genius biasanya lurus bendul dan tidak suka berbohong... Kepandaian luarbiasa mereka pula membolehkan mereka melihat jauh dalam sesuatu keadaan lalu dapat melihat percubaan pembohongan, makan rasuah, salah guna kuasa dan sebagainya yang orang lain boleh terlepas pandang dan mahu pula dilaporkan kepada semua...
Ah... Begitu berat sebenarnya saya hendak menulis luahan kali ini... Walaupun siang tadi, dengan izin Allah, Nur pertama datang berjumpa mencari saya di Kajang untuk berbual-bual setelah berbulan-bulan tidak bertemu dan dapat pula saya membuat dia dan Nur kedua berbual-bual di dalam talipon, saya tahu ada sesuatu lagi yang perlu diluahkan di sini sebelum saya dapat merasa sedikit tenang untuk meneruskan proses penceritaan pengembaraan juga kerja-kerja lain...
Tuan-tuan dan puan-puan... Begitu lama, rasanya lebih 10 tahun saya tidak pernah bercakap dengan sesiapa tentang keadaan saya yang pernah digelar genius dahulu... Kecuali dalam siri buku "Berpetualang ke Aceh" dengan bersandarkan watak rekaan yang bernama Muhammad Al-Aminul Rasyid... Tetapi kini saya mahu luahkan, mungkin kerana suasana panas yang pernah melanda blogspot ini sehingga saya boleh dituduh sekadar ingin berbangga diri dan mahu disanjungi sebagai raja... Masyaallah!
Sebenarnya yang saya hendak tekankan cuma ini... Sesuatu yang saya percaya tentu pernah berlaku pada Sufiah, juga pada watak pintar yang pernah menjadi anak angkat Profesor Ungku Aziz dan kini mungkin berlaku pada Adi Putra... Bahawa jangkauan pemikiran mereka tidak sama dengan orang biasa sedangkan hakikatnya seperti orang lain, mereka juga perlu berkongsi dan meluahkan rasa...
Saya ingat zaman-zaman semasa saya masih dikenali sebagai seorang genius... Yang saya suka sebenarnya adalah satu bentuk pengiktirafan yang membenarkan saya jadi diri sendiri... Ya, saya boleh berkata tentang konsep dunia dalam dimensi ke 4 dan bagaimana ia boleh menyebabkan orang keluar masuk melompat masa kepada ramai dan orang ramai tetap tidak faham... Tetapi apabila ada pengiktirafan, orang tidak akan mengutuk saya... Sebaliknya jawaban mereka senang: "Dia tu genius, memang le dia fikir lain daripada orang lain"...
Cuba kalau orang tidak tahu tentang kepandaian kamu yang luarbiasa itu... Cukup senang mereka kata: "Ah... Mengada-ngadalah bercerita tentang himpunan alam lain yang terjadi bersama proses Big Bang... Seharusnya dia berfikir tentang cara-cara mencari duit untuk menanggung anak perempuannya yang dijaga bekas isteri, bukan berangan yang bukan-bukan..." Faham tidak betapa bezanya keadaan?
Begitu juga jika saya bercerita tentang mengumpulkan Ahlul Bait lalu berusaha untuk menghidupkan satu kerajaan bertamadun tinggi yang dapat membela ummah seluruh dunia... Dulu saya tak tahu pun apa itu Ahlul Bait tetapi semasa umur 18 tahun, saya sudah terfikir tentang mahu mendirikan kerajaan sebegini...
Dahulu, para kenalan mungkin akan menganggap saya gila-gila lalu akhir katanya begini... "Fly tu dah memang genius... Memang apa yang difikirkannya tak terjangkau dek kita, biar sahajalah dia dengan dunianya. But he sure has got something to say!"... Sekarang pula, setelah lama saya menjadi manusia kera sumbang dengan berbagai mental block sekatan jiwa akibat apa yang berlaku dalam tempoh 20 tahun kebelakangan lalu ramai yang tidak tahu sejarah saya yang lebih popular dahulu, jika saya bercerita benda yang sama tentang mahu mendirikan kerajaan sebegini, cukup senang untuk pihak yang tidak tahu untuk menuduh saya syok sendiri, ingin berbangga diri dan ingin disanjung seperti raja... Masyaallah lagi!
Allah... Saya sebenarnya dah tak tahu bagaimana nak menyatakan keadaan sebenar diri... Nak kata saya genius, bukannya saya ada sijil... Tidak seperti Adi Putra yang mendapat sokongan kuat ibubapa, kepandaian saya dahulu lebih banyak cuba "diperap" keluarga kerana sifat yang banyak bertanya ingin merungkai pelbagai masalah lebih kelihatan sebagai beban, bukannya kurniaan Tuhan yang patut dipupuk bagi bercambah... Apabila kepandaian semulajadi menjadi beban buat keluarga dan membuat saya boleh jadi tersisih daripada rakan sebaya kerana kelihatan janggal, jalan yang mudah supaya diterima ramai adalah menjadi budak nakal... Ramailah kawan menerima... Kemudian jadi pandai pun tak apa, asal jangan jadi bookworm ataupun nerd yang selalunya tidak pandai bersosial... Budak nakal yang genius memang ramai kawan berbanding budak genius yang cuma dapat hidup dalam dunia sendiri... Tetapi hakikatnya saya tetap tidak dapat berkongsi apa yang sebenarnya berada di benak fikiran... Saya cuma menurut kelaziman biasa agar dapat diterima umum...
Allah... Teringat saya buah hati lama Mas yang turut pergi ke London sama... Dengan dialah, ketika masuk umur saya 20 tahun baru saya dapat merasa begitu aman dengan seorang teman. Jika dengan wanita lain, saya pertontonkan sedikit kepandaian berserta tutur-bicara petah dengan rupa-paras yang dimiliki untuk mendapatkan perhatian lalu "memenangi" mereka, dengan Mas baru saya dapat berkongsi apa yang tidak pernah saya kongsi pun dengan orang lain... Tentang kejadian bintang-bintang, tentang dinosaurs, tentang pemikiran saya yang sebenar dan Alhamdulillah dia dapat berkongsi rasa... Maklumlah, gadis ini memang ada sijil MENSA yang menunjukkan taraf IQ nya adalah 165... Adapun taraf orang biasa adalah IQ 90-110 dan dalam skim MENSA, IQ 148 ke atas sudah boleh dikira genius.
Namun disebabkan segala "penyakit" hati yang telah melanda saya begitu lama, saya tidak betul-betul menghargai cinta yang diberi lalu kami berpisah setelah 6 tahun begitu bersama... Terus-terang saya nyatakan, sejak itu, dalam bab percintaan dan berpasangan, hidup saya jadi terumbang-ambing... Sehingga hancur satu perkahwinan, sehingga saya masih merasa begitu kesepian sehingga kini.

Adapun pencarian salasilah dan wasilah yang berlaku beberapa tahun kebelakangan memberikan saya kefahaman baru tentang apa yang berlaku... Allah... Baru saya tersedar, Mas seawal tahun 1991 telah nampak akan ada sesuatu tentang darah saya yang berkaitan keturunan raja, darah yang membentuk sahsiah diri ini tetapi saya pula selepas tahun 2001 baru menyedari ini...
Sesungguhnya saya bercerita tentang keturunan raja dan darah Ahlul Bait bukanlah untuk berbangga-bangga mengharapkan sanjungan ramai seperti yang mungkin sesetengah orang silap faham... Tidak... Ia soal peranan dan untuk memahami kenapa saya diberikan fikiran begini kemudian harus pula melalui liku-liku hidup tertentu... Itu sebenarnya... Mencari diri dan erti... Bukan setakat mengenal Allah yang merupakan Awaluddin Makrifatullah sahaja.... Awal agama itu mengenal Allah... Itu satu bahagian sahaja... Kemudian kita seharusnya pergi pula pada peranan masing-masing di mukabumi yang sebenarnya melibatkan perjanjian peribadi setiap makhluk ketika di alam roh... Jika tidak, lebih elok duduk sahaja di alam roh, tidak perlu turun ke alam bumi yang penuh dengan segala macam kepayahan ini... Tidak perlu juga Allah mencipta segalanya... Kan lebih elok duduk sahaja dalam keadaan kuntun kanzan makhfiyan, Aku ini harta yang tersembunyi? Kan elok sahaja Nabi semasa Mikhraj terus tinggal di atas Sidratul Muntaha? Kenapa perlu turun lagi, bergaduh berperang di alam biasa ini?
Bila saya tahu susur-galur nenek-moyang saya yang sebenar, baru saya faham kenapa sejak kecil lagi saya selalu memikirkan tentang satu kerajaan Islam bertamadun tinggi... Dan pada umur 18 tahun saya bercita-cita pula untuk membinanya... Kerana kerajaan-kerajaan sebegini sebenarnya pernah didirikan nenek-moyang saya dahulukala! Lalu "kenangan" itu turut terpancar di dalam darah serta genetik diri saya...
Senang cerita beginilah rumusan saya dalam memahami keadaan ini... Jika saya dilahirkan di istana lalu bercerita tentang kerajaan bertamadhun tinggi, kemungkinan besar orang akan bercakap begini: "Ya lah, dia tu anak raja... Memang le dia berfikir tentang kerajaan bertamadhun tinggi"... Lebih kurang begitulah keadaannya semasa saya masih diiktiraf orang-orang yang mengenali sebagai seorang genius... Malah tak mustahil, mereka akan berkata saya adalah seorang anak raja yang amat merendah diri kerana sanggup berkelana ke sana ke mari seorang diri dengan berpakaian buruk, ada masanya compang-camping lagi untuk mengenali kehidupan sebenar rakyat marhain di sana-sini...
Sebaliknya disebabkan pergolakan cabang-cabang keluarga diraja dahulukala yang menyebabkan sesetengah ahli keluarga tersisih jauh daripada istana, saya dilahirkan di kalangan rakyat biasa... Kalau zaman masih dikenali sebagai seorang genius kira OK lagi... Ini zaman setelah berlaku beberapa perkara besar dalam hidup saya yang mengubah rencana hidup... Sehingga seorang yang dahulu dianggap genius boleh pula tidak lulus periksa di universiti lalu dipaksa mengulang kembali... Malah nyaris-nyaris tidak dapat menamatkan pengajian kerana menghadapi berbagai-bagai masalah termasuk beberapa lapisan mental block yang menumpulkan kekuatan daya pemikiran akibat begitu lama menghadapi tekanan jiwa... Boleh dibuang kerja, bercerai, hancur rumah-tangga... Boleh hidup beberapa tahun dalam kawasan berdekatan hutan dengan badan kurus misai janggut kusut-masai seperti orang gila sampailah saya kembali sedikit waras apabila dapat menyajikan siri buku "Berpetualang ke Aceh"... Walaupun begitu, fikiran saya daripada dahulu sampai sekarang masih lagi memikirkan tentang kewujudan kerajaan bertamadhun tinggi... Lalu saya masih lagi menyatakan buah-buah fikiran yang serupa...
Mereka yang telah lama mengenali saya tidak akan mengutuk kerana tahu, begitulah diri saya sejak dahulu lagi tak kiralah samada saya "berjaya" sebagai seorang yang pernah dikenali sebagai genius ataupun tidak... Ia bukannya pemikiran yang dibuat-buat, bukan perkara yang dikemukakan secara semberono, bukan juga diatur supaya saya kelihatan pandai agar dapat meraih sanjungan ramai... Tetapi cukup senang untuk mereka yang tak tahu semua ini menuduh saya yang bukan-bukan kerana "kesalahan" mengenengahkan buah pemikiran saya yang kelihatan keluar begitu sahaja seolah-olah tanpa pertimbangan secukupnya... Pada saya, apa yang keluar itu terjadi secara semulajadi, ia sekadar a bird weaving its nest tetapi pada orang lain, ia mungkin adalah kata-kata yang dirancang untuk menang cakap-cakap, untuk kelihatan istimewa dan hebat! Mungkin sebab itu dalam seminggu ini saya asyik terasa begitu sedih sehingga timbullah luahan-luahan ini.
Dahulu, tidak pernah timbul soal pendapat itu lawan pendapat ini... Dahulu senang sahaja ceritanya... "Dia tu genius... Jangan ingat dia main boh aje bagi pendapat... Tak sama taraf pendapatnya dengan pendapat orang lain"... Bukanlah saya menyebut ini kerana mahu menolak pendapat orang lain atau sekadar meninggikan pendapat sendiri... Tetapi apabila saya menceritakan tentang Ahlul Bait serta pembinaan tamadhun seterusnya, saya sebenarnya tiada masa lagi bercerita tentang pendapat tetapi mahu bergerak ke hadapan secepat mungkin... Rasanya kalau mahu mendefinisi pemikiran saya yang terdahulu, seharusnya mereka yang hendak menyatakan pendapat di sini telah membaca posting-posting saya yang terdahulu, lebih baik lagi jika telah membaca dan memahami isi dan segala yang ingin diutarakan di dalam ketiga-tiga buku siri "Berpetualang ke Aceh"...
Pada saya, kalau mahu bagi pendapat pun biarlah "qualified opinion" iaitu pendapat yang ada kelayakan telah betul-betul menempuhi pelbagai perkara... Kalau setakat kerana semua orang ada hak memberi pendapat maka jenuhlah jadinya... Budak 3 tahun pun boleh masuk bagi pendapat sedangkan kita mahu bergerak daripada pendapat kepada keyakinan... Keyakinan yang telah diuji apabila kita betul-betul telah menempuh sesuatu perkara sehingga sanggup mengorbankan jiwa dan raga...
Adapun saya membuat cerita dalam siri buku "Berpetualang ke Aceh" serta menyatakan apa yang saya rasa di sini bukan sekadar secara semborono sahaja... Jika mahu melihat dari sudut intelektual sosial sahaja, maka saya telah khatam buku-buku ideologi seperti Das Kapital karangan Karl Marx, beberapa karangan falsafah seperti daripada Plato dan Frederick Nietzsche juga karangan berunsur pyschoanalytical daripada Sigmund Freud dan Carl Jung ketika berumur sekitar 14-15 tahun lagi... Tentang ilmu Tasawuf pula, saya telah menelaah kitab-kitab orang-orang seperti Hamzah Fansuri, Omar Khayyam dan Jalaluddin Attar sejak umur 18 tahun... Cuma pada umur 20an baru saya berjumpa orang-orang tua yang boleh menyampaikan pelajaran ini secara berwasilah dan ada perguruan sedangkan pengalaman-pengalaman ghaib termasuk pergi ke alam-alam lain telah saya lalui sejak kecil lagi... Belum dikira pelajaran saya dalam bidang matematik dan beberapa cabang ilmu sains lain serta pengalaman-pengalaman tertentu yang membolehkan saya melihat keadaan dunia lebih jauh lagi...
Apapun kini terutama di blogspot ini, saya lebih memusatkan pada cerita-cerita pengembaraan perjalanan sebagai wadah menyarankan segala sesuatu termasuk dari sudut pandangan ilmu Tasawuf... Saya rasa tidak suka lagi bercerita benda yang tinggi-tinggi terutama bab keTuhanan seperti yang banyak terdapat dalam forum-forum di Internet kerana terus terang saya kata, setelah keluar berjumpa dengan ramai daripada mereka yang bercerita tinggi-tinggi ini, saya dapati bahawa kenyataan sebenar diri yang berkata dengan apa yang dikata seringkali jauh panggang daripada api... Atau cakap tak serupa bikin... Itupun masih lagi ramai yang suka bercerita yang tinggi-tinggi tanpa sebenar-benarnya mengalami apa-apa yang diceritakan itu kecuali setakat dengar-dengar cerita orang dan baca di kitab-kitab selain copy n paste daripada Internet. Tetapi biasalah itu... Cukup seronok memberikan pendapat agar kelihatan seperti orang yang tinggi ilmu dan banyak pengalamannya terutama dalam dunia Cyber di mana sesiapa pun boleh menyamar, muka pecah pintu jadi Tom Cruise, badan "3G" boleh jadi Angelina Jolie!
Sekian... Cukuplah... Anggaplah ini semua sebagai sampah luahan rasa sahaja untuk menghilangkan apa yang tersekat di jiwa. Harap selepas ini dapatlah saya menyambung cerita pengembaraan dengan lebih tenang ya... Wassalam! :]



Tuesday, April 22, 2008

Siapa dia Raja Ahmad di Kuala Lipis?

Makam Raja Ahmad di Kampung Relong, Kuala Lipis ditunjukkan kepada saya oleh seorang waris terletak di bawah pokok ini... Kawasannya begitu bersemak... Menurut waris yang menunjukkan jalan ini iaitu seorang pelajar sekolah menengah, dia sendiri kali terakhir sampai ke sini 3 tahun lalu walaupun dia warga Kampung Relong ini... Jadi bayangkanlah jika waris terdekat pun sudah lama tidak menjenguk, apa lagi yang jauh-jauh...

Sebenarnya cerita mengenai Raja Ahmad yang juga dikenali sebagai Tok Linggi ini hanya akan saya paparkan di sini setelah selesai membuat cerita-cerita mengenai Terengganu (tinggal bab Kuala Berang, kembali ke Kuala Terengganu seterusnya Kuala Besut) diikuti cerita-cerita di Kelantan (ada sekitar Tok Bali, Bachok, Kota Bahru, Danau Tok Uban, Bukit Marak, Kuala Sungai Kelantan, Dabong dan beberapa lagi)... Tetapi tadi saya terlihat ada perbincangan panjang tentang Raja Ahmad ini di chatbox. Maka biar dipaparkan gambar ini dahulu lalu apa-apa maklumat tambahan tentang Raja Ahmad, juga apa yang baru ditemui harap tambah dalam komen ya... Sila! :]



Ke mana aku selepas ini? Pening le!

Gambar hiasan... Aku tengok macam OK je, aku suka maka aku letak le...

Assalamualaikum semua. Izinkan saya meluahkan perasaan... Dan izinkan ia keluar dalam apa-apa bentuk bahasa walaupun bahasa kutu... Ikut apa sahaja yang senang keluar ya...

Adapun beberapa hari ini saya sebenarnya sangat penat dan bingung... Penat kerana segala pengembaraan ke Selatan kemudian ke Utara seterusnya ke Timur yang dibuat dalam tempoh 4 bulan kebelakangan memang memakan banyak tenaga... Bingung kerana walaupun umur saya sudah mahu masuk 38 tahun, saya sebenarnya belum dapat merasakan kerehatan yang sebenar, kerehatan yang selalu saya bayangkan dapat dikecapi apabila sudah ada home sweet home...

Biarlah saya berterus-terang... Adapun saya membuat ketiga-tiga buku dalam siri novel "Berpetualang ke Aceh" dan menyiarkan begitu banyak topik dan ilmu di dalamnya dengan harapan terlepaslah segala beban ilmu serta tanggungjawab berkenaan yang dipikul selama ini... Kalau ikut daripada aspek penceritaan yang biasa diamalkan dalam dunia penerbitan, setiap buku dalam siri BKA ini mempunyai cukup topik dan isi untuk dikembangkan jadi 10 buah novel, maka 3 buku BKA cukup isi untuk membuat 30 buah novel! Ini bukan setakat dakwaan saya ke atas karya sendiri sahaja... Beberapa orang yang tahu tentang dunia penerbitan menyatakan ini kepada saya... Menurut novelis Aina Emir yang sekali lagi menghubungi saya petang tadi untuk bertukar-tukar cerita dan bertanyakan perancangan masa hadapan saya, cerita tentang sesat di hutan Gunung Nuang yang memakan paling banyak pun 4 mukasurat dalam buku pertama saya (saya lupa berapa mukasurat kerana tidak membawa buku itu ke Cyber Cafe tempat saya menulis ini) sahaja sudah boleh dijadikan satu cerita novel yang menarik...

Ya... Kalau diikutkan, banyak betul saya boleh buat dengan modal cerita yang telah diluahkan dalam siri BKA... Selain daripada banyak novel, boleh dijadikan skrip drama bersiri malah ada cerita yang boleh dikembangkan jadi koleksi sajak dan puisi jika mahu... Tetapi saya tetap melonggokkan ke semuanya jadi 3 buku, dalam format tersendiri yang agak padat sehingga menyakitkan mata para pembaca biasa... Cuma para pembaca serius sahaja yang benar-benar dapat bertahan dan menikmati lalu mendapat iktibar daripada apa yang ingin diluahkan. Semuanya kerana apa? Kerana saya mahu segalanya dilepaskan daripada dada secepat mungkin... Harapan saya, selepas itu dapatlah saya berehat mengecapi kebahagian sejati rumahtangga atau home sweet home yang saya dambakan selama ini...

Saya akui telah lama harapan untuk mengecapi kebahagian itu saya sandarkan pada seorang individu yang dinamakan sebagai Nur dalam siri buku BKA... Harapan saya, semoga segala yang menghalang kami daripada dapat bersatu setelah lebih 10 tahun saling-mengenali akan terungkai selepas ketiga-tiga buku BKA berjaya disajikan kepada khalayak ramai... Tetapi ternyata halangan itu masih belum terungkai malah wujud pula keadaan baru. Muncul pula individu yang boleh dipanggil Nur kedua dalam hidup saya untuk mengisi kesepian yang wujud tetapi antara kami juga ada halangan yang serupa.

Kebingungan yang datang memikirkan semua ini (sampai bila harus begini?) membuatkan saya keluar berkelana lagi... Mungkin ia perlu untuk melengkapkan penyajian buku? Harapan saya selepas selesai pengembaraan terbaru ini iaitu pengembaraan "post-BKA" (setelah selesai menyajikan ketiga-tiga siri buku), maka dapatlah berlaku sesuatu yang memberikan harapan bahawa home sweet home yang sangat didambakan sudah hampir dapat digapai kini...

Hakikatnya, saya masih kesepian, begitu kesepian... Sama keadaannya semasa zaman saya kanak-kanak, sama juga zaman remaja, dewasa dan sehingga kini... Tidak... Saya bukan kesepian kerana tiada keluarga dan kawan. Seperti ada disebut dalam buku pertama "Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti", saya ada ramai kenalan dari banyak peringkat hidup... Dan saya ialah jenis manusia yang popular di kalangan rakan sebaya sejak zaman tadika lagi... Jadi dari segi luaran, tiada yang kurang dari segi keupayaan berinteraksi untuk menjalinkan hubungan kemasyarakatan yang meluas...

Apapun hakikatnya saya tetap merasa kesepian... Sebenarnya kerana tidak dapat berkongsi semuanya tentang diri saya kepada sesiapa, diri saya yang sedikit pelik ini... Kecuali kepada mungkin 2-3 orang wanita seumur hidup yang mana disebabkan keadaan (juga kesilapan saya masa lalu yang tidak tahu menilai cinta orang akibat leka diminati ramai wanita), tidak seorang pun berakhir sebagai teman hidup saya yang sah. Sia-sia sahaja saya sudah memiliki lebih 100 orang teman wanita apabila masuk umur 18 tahun sedangkan sebenarnya jiwa saya masih kesepian begini...

Allah! Setelah itu, lebih 10 tahun pula saya jadi kera sumbang mengasingkan diri kerana cuba mengubah perangai buruk lalu sambil mencari diri dan erti. Berapa hari ini pula, timbul rasa sedih kerana belum dapat lagi apa yang diidam-idamkan.

Oh... Sebelum menyambung cerita, biar saya copy n paste sesuatu yang baru saya jumpa tadi, ditulis oleh seorang novelis bernama Aina Emir di dalam blogspot beliau... Ini dia, daripada http://aina-emir.blogspot.com/2008/04/asal-usul.html

---------------------------

Monday, April 21, 2008

ASAL USUL

Pernahkah kita bertanya tentang asal usul diri kita? Pernahkah kita menyoal ibu bapa kita, datuk dan nenek kita tentang hal ini? Tak mahukah kita tahu salasilah diri kita, keturunan kita? atau sudahkah kita tahu semuanya?
Semasa di tapak pesta buku, saya telah didekati seseorang pemuda kerana mahu menumpang tiang banner KarnaDya. Rupa-rupanya, pemuda itu adalah seorang penulis yang telah meminta Fajar Pakeer (Jiran KarnaDya) di tapak pesta untuk mengedarkan buku-buku penulisannya. Semasa hendak meninggalkan tapak pesta (ketika itu pesta buku sudah hampir tamat), dia datang mengucapkan terima kasih kepada saya. Saya pun bertanya tentang buku-bukunya itu. Dia pun bercerita. Katanya, dia menulis novel tentang pencarian asal usul dirinya itu. Ada tiga jilid. Saya tertarik bila katanya penulisannya itu ada kaitan dengan 'Ahlul Bait'... keturunan Nabi Muhammad SAW.
"Kak Aina ambillah buku saya ni... saya nak beri percuma. Bolehlah Kak Aina baca." Dia berkata kepada saya.
Saya menjawab, "Oh ya, saya memang teringin nak baca, tapi tak apa, biar saya beli." Saya pun membeli ketiga-tiga buah novelnya itu.
Kebetulan, apabila saya tiba di rumah, saya mula sakit-sakit dan kerana itu saya tak mampu untuk menulis. Pun begitu, saya masih berdaya untuk membaca dan buku pemuda itulah yang menjadi bacaan saya. Alhamdulilah, saya seronok membaca bukunya. Sebuah novel yang mempunyai tulisan yang serius. Bukan sekadar novel biasa-biasa. Penulis adalah seorang graduan matematiks, juga bekas wartawan NST, tetapi kini menjadi seorang penulis dan juga seorang pengembara. Dia mahu mencari identiti dirinya dan dalam pencarian itulah penulis telah membongkarkan pelbagai kisah sejarah yang ada kaitan dengan kewujudan bangsa Melayu dan agama Islam yang dimiliki oleh orang Melayu Nusantara.
Saya kagum dengan tulisannya itu kerana saya sedar bahawa penulis telah bersusah payah ke merata ceruk untuk mengorek rahsia yang lama tersembunyi. Penulis juga berani untuk membongkarkan rahsia ini! Mungkin ada yang mahu mempertikai cara pemikirannya, namun bagi saya, penulis mempunyai hak untuk membongkarkan rahsia seperti apa yang difahaminya. Saya tabik kepadanya kerana mampu memaparkan sebuah cerita, yang telah menyusun pelbagai fakta lama, membawa kita menjelajah semula kepada kerajaan Pasai, Melaka, dan macam-macam lagi dan mendedahkan pelbagai peristiwa kebangkitan kerajaan Aceh, bumi serambi Mekah.
Apabila membaca tulisan penulis ini, sebagai pembaca, kita perlulah membuka minda dan mengizinkan penulis ini menyampaikan apa sahaja pandangan dan pendapatnya, kerana kita juga tahu terlalu banyak pembohongan dalam kajian sejarah yang menjadi peninggalan buat kita semua. Kebanyakan fakta sejarah sudah diputar-belitkan untuk kepentingan kerajaan yang wujud ketika itu dan kerana itu juga, kita berhak untuk melihat kembali segala fakta yang ada untuk kita menilai.
Saya percaya ramai yang akan melihat tulisan Radzi Sapiee (Penulis muda yang saya maksudkan) dalam novel-novelnya yang berjudul 'BERPETUALANG KE ACEH' sebagai sesuatu yang mencabar kematangan pemikiran kita dan tentu sekali penulisannya itu akan membuat kita tertanya-tanya tentang banyak hal dalam kewujudan bangsa Melayu yang beragama Islam. Bacalah! Saya tidak menyesal menelaah novel-novelnya ini.

Posted by Aina Emir at 10:58 AM

-----------------

Subhanallah... Terimakasih atas kata-kata Kak Aina tu. Sedikit sebanyak dapat memberikan saya semangat... Sedikit cerita tentang apa yang berlaku di pesta buku (termasuk perkenalan dengan Kak Aina) telah diluahkan dalam posting Perjumpaan di Pesta Buku Antarangsa Kuala lumpur di PWTC 2008 ...

Berbalik pada luahan rasa... Minta maaf le kalau bersimpang-siur ceritanya... Maklumlah luahan perasan.

Daripada satu segi, saya tidak perlu lagi berasa kesepian... Kalau mahu bercampur orang, tanda-tanda dari luar seolah-olah mahu saya keluar daripada perangai "kera sumbang" yang saya buat sendiri lebih 10 tahun ini demi memperbaiki diri sendiri... Tanpa saya duga, semakin ramai orang di luar sana yang cuba mencari, menghubungi lalu ingin berkenalan dengan saya. Kawan-kawan zaman remaja yang sudah lama tidak dihubungi pun dah ada ajak buat reunion setelah 20 tahun kami tidak berkumpul sama... Lihat posting Kenangan PPP/ITM "A Levels" batch 7 tahun 1988... Calling all 51C guys...

Hmm... Saya dah tak tahu hendak bercerita tetapi setakat mahu meluahkan rasa bingung... Apa ni? Kawan-kawan lama dah mula ajak berjumpa... Tadi ada kenalan baru daripada Brunei yang ditemui ketika pesta buku minggu lepas baru memberitahu, pihak perpustakaan Brunei berminat untuk mendapat beberapa naskah buku BKA... Kak Aina pula menalifon petang tadi dan antara yang diutarakan adalah kemungkinan menulis-balik isi BKA dalam bentuk yang lebih senang dibaca (antaranya tidak perlu diketengahkan begitu banyak informasi dalam satu buku) untuk diterbitkan pihaknya pula...

Allah! Sebenarnya banyak peluang sudah terbuka di hadapan mata... Cuma apa yang saya idam-idamkan sahaja iaitu home sweet home belum kunjung tiba dan itulah yang membuatkan saya merasa penat dan bingung... Seperti yang pernah saya sebut dahulu juga dalam buku, saya ada ramai ahli keluarga dan kenalan yang berada... Jika kesenangan material lah yang saya perlukan, Insyaallah tak susah mana bagi saya untuk mendapatkannya... Cuma ada ketikanya kesenangan itu memerlukan saya mengorbankan sedikit prinsip hidup, itu yang saya tak mahu...

Ah... Nur baru sahaja menghantar sms mengaku timbul rasa rindu walaupun kami sekali lagi cuba membawa arah masing-masing akibat keadaan yang menghalang. Nur kedua pula kadang-kadang bertanyakan tentang Nur pertama... Apakah kehadirannya (Nur kedua) yang menghalang perhubungan kami (saya dengan Nur pertama) semenjak dua menjak ini sedangkan dalam tempoh setahun ini, Nur kedua lah yang paling banyak menemani diri ini mengharungi segalanya...

Dalam pada itu, teringat anak perempuan saya yang kali terakhir ditemui lebih sebulan lalu... Teringat juga ibunya yang pernah menjadi satu-satunya isteri saya yang sah dari segi hukum syariat... Dan sejak lebih setahun ini memang ada terfikir untuk cuba berbaik semula!

Allah! Cukuplah luahan... Sepatutnya saya telah memulakan posting cerita-cerita tentang Kuala Berang sebagai kesinambungan proses penceritaan apa yang berlaku dalam pengembaraan ke Pantai Timur tapi nantilah ya... Bukan senang hendak membuat cerita, lebih-lebih lagi dalam keadaan sebegini... Saya penat-penat mengembara menyajikan berbagai cerita siap dengan gambar lagi di mana siapa sahaja boleh ambil sedangkan saya tidak menerima apa-apa bayaran pun... Yang saya harapkan cuma dapat meluahkan apa yang dirasa dengan sedikit apresiasi atau penghargaan daripada para pembaca... Tetapi orang yang tidak faham pula boleh menuduh saya macam-macam!

Orang ramai bukannya tahu masalah sebenar saya... Nama aje kecik-kecik dulu orang panggil genius sampai masuk zaman universiti, sampai timbul konflik dalaman berbentuk kepercayaan kepada Sains berlawan dengan kepercayaan tentang Tasawuf yang mula timbul sehingga saya jadi bingung... Tetapi ramai kawan masih mengenali saya sebagai seorang genius kerana kepandaian saya dahulu terutama dalam bidang matematik yang dikira luarbiasa... Lalu ramai orang menyebut, kalaulah mereka ada otak seperti saya, sudah lama mereka jadi jutawan, orang ternama lagi berkuasa sekurang-kurangnya di persada tanahair ini kalau tidak pun di peringkat dunia... Tapi orang ramai bukannya dapat merasai betapa sulitnya diberi cara pemikiran yang lain tetapi harus hidup di kalangan masyarakat yang lebih senang menghukum mereka tidak menurut cara pemikiran biasa... Bukan orang betul-betul tahu betapa sepinya jiwa ini... Ah... Dah lah... Selamats!