Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1, Buku 2 dan Buku 3.


Saturday, February 23, 2008

Dari Tangkak ke Kuala Lumpur... Sangkut sebentar di Linggi...

OK... Gerak hati ini memaksa saya terus bercerita walaupun mood sedikit terganggu akibat masalah virus komputer yang menyerang pen-drive hingga saya nyaris-nyaris kehilangan 1,000 buah gambar yang diambil dalam penat-lelah siri pengembaraan di Johor mahupun di Kedah dan Perak... Beginilah keadaan saya, apabila "disuruh" (tentu pelik bukan, entah siapa yang suruh?), maka berjalanlah saya... Kemudian berkongsi cerita pula dengan harapan ada yang mendapat manfaat... Dan mungkin juga apa yang saya terlepas pandang dalam gambar-gambar yang dipaparkan ini dapat dilihat orang lain lalu mereka boleh menegur atau memberi komen untuk faedah semua?
Cerita ini boleh dikatakan kesinambungan daripada cerita-cerita Johor... Pada 7 haribulan Januari, setelah tamat berjalan-jalan di Muar seperti yang dipaparkan dalam artikel Sedikit lagi tentang Muar. Jalan Junid, Bukit Mor dan beberapa kenangan lama... kemudian ke Gunung Ledang( lihat A quick trip up Gunung Ledang... ), saya pun bermalam di Tangkak (lihat Tangkak, the textile town! ). Keesokannya, saya meninggalkan Tangkak, melalui jalan yang seingat saya tidak pernah saya lalui sebelum itu seumur hidup...


Tengahari itu, setelah check out daripada hotel, saya pun berjalan-jalan di sekitar bandar Tangkak. Kemudian menghala ke stesyen bas, ngam-ngam sebuah bas ke Melaka baru sahaja meninggalkan stesyen... Nasib baik saya berjalan ke stesyen melalui lorong yang sering dilalui bas ketika keluar stesyen dan sempat bertembung... Kalau tidak, tak tahu le berapa jam lagi baru dapat...



Setelah beberapa ketika, masuklah ke negeri Melaka... Bas ini singgah sebentar di sebuah bandar yang dekat dengan sempadan Melaka/ Johor @ Muar, lupa pula nama bandar ini. Tetapi daripada bandar ini, seseorang boleh sampai ke Asahan di mana terletaknya sebuah lagi laluan utama untuk mendaki Gunung Ledang...



Hmm... Kalau tak salah, ini di sekitar Jasin. Hmm... Mungkin bandar yang disinggahi tadi adalah Jasin? Saya tak pasti...

Kemudian baru sampai ke bandaraya Melaka... Saya tergerak turun bas di Tesco dan makan tengahari di sana sebelum menaiki jejantas pejalan kaki ini untuk ke stesyen Melaka Sentral...

Bentuk jejantas in mengingatkan saya akan rupa dalam kapal angkasa cerita Star Wars juga Battle Star Galactica. Hati-hati! Mungkin penjahat merbahaya seperti Darth Vader dan askar Cylon sedang menunggu di balik sana...



Sebahagian bandaraya Melaka dilihat daripada jejantas pejalan kaki di Melaka Sentral...

Stesyen Melaka Sentral... Daripada sini, saya boleh mengambil bas ekspres terus untuk kembali ke Kuala Lumpur. Tetapi semasa perjalanan daripada Tangkak tadi, timbul pula rasa untuk pergi ke Pengkalan Kempas di Linggi, Negeri Sembilan, satu tempat yang saya belum pernah kunjungi sebelum itu. Seharusnya saya sudah lama pergi ke sana kerana nilai sejarahnya. Ternyata daripada stesyen ini, ada bas lompat-lompat (ertinya bukan ekspress le tu) sehingga ke Pengkalan Kempas...

Di sana, terdapat makam seorang ulamak dahulukala yang dikenali sebagai Syeikh Ahmad Majnun, katanya hidup semasa zaman pemerintahan Sultan Mansur Syah Melaka pertengahan abad ke 15 Masihi...


Di sana juga terdapat batu-batu hidup yang agak menarik, menjadikan tempat di Pengkalan Kempas ini sangat terkenal sehingga ceritanya ada disebut dalam buku-buku teks sejarah sejak saya berada di sekolah rendah lagi. Tapi baru kali inilah berpeluang menziarahi tempat ini walaupun saya sudah mengembara merata tempat seluruh Malaysia (kecuali Sarawak) juga beberapa negera lain termasuk di Eropah. Untuk melihat banyak lagi gambar-gambar batu sebegini, sila klik The megalithic stones of Pengkalan Kempas


Di sebelah bangunan makam tadi, terdapat bangunan seperti surau kecil terbuka di mana para pengunjung boleh berehat. Timbul rasa ingin bermalam di sini jika tidak kerana saya harus kembali ke KL untuk menunaikan janji berjumpa seseorang keesokan harinya, hari Rabu...

Lihat, betapa enaknya saudara-saudara kita ini terbongkang membuat taik mata di sini... Mesti mereka tersenyum jika terbaca...

Selepas mengambil gambar candid ini, saya pergi ke tandas sebelah untuk menunaikan hajat. Apabila keluar dan melalui kawasan ini lagi, ternyata salah seorang mereka sudah bangun tidur lalu menegur.

Kami pun berkenal-kenalan... Namanya saya masih ingat, Helmi... Tetapi nama rakan seorang lagi saya tidak ingat.

Helmi kemudian menghantar saya menaiki motor ke pekan Linggi di mana katanya lebih senang untuk mendapatkan bas untuk ke Seremban. Sementara menunggu dan minum petang, kami bertukar-tukar cerita... Rupa-rupanya dia ini salah seorang pembaca blogspot ini!

Setelah lebih sejam menunggu dan saya pula terasa tidak sabar bergerak lalu mahu meninggalkan kedai makan untuk berjalan kaki dengan harapan akan dapat hitchike kereta orang nanti, Helmi menawarkan untuk menghantar sehingga ke pekan Rantau hampir 20km daripada situ. Katanya di situ lebih senang mendapatkan bas... Jika perkhidmatan bas ke Linggi dan Pengkalan Kempas sudah tamat sekali pun (kerana dia tidak pasti akan jadual bas di sebelah sini yang jarang-jarang), sudah pasti ada bas pergi balik Seremban-Rantau yang lebih kerap.

Dalam perjalanan itu, Helmi menunjukkan ke arah sebuah surau lama yang ada aura tersendiri. Kami pun singgah ke sana... Katanya, surau lama yang tidak digunakan ini adalah sebuah tempat persinggahan wali-wali! Sila klik Sebuah surau lama di Linggi (An old praying hall in Linggi) ...


Daripada situ, timbul pula rasa untuk melawat sebuah masjid lama yang ada kaitan dengan keluarga Sheikh Muhammad Said Linggi, seorang ulamak Negeri Sembilan yang terkenal awal abad ke 20 Masihi. Ulamak yang dikatakan bertaraf wali ini disenaraikan sebagai seorang daripada Tujuh Wali Melayu moden!


Tidak jauh daripada masjid, terdapat makam ayahanda kepada Sheikh Muhammad Said Linggi iaitu Sheikh Jamaluddin. Untuk cerita lanjut, klik Masjid lama (old mosque of) Linggi ...

Setelah itu kami pun ke Rantau... Di Rantau, Helmi dan rakannya sudi menunggu di perhentian bas sehingga bas dari Seremban sampai. Rupa-rupanya ada lagi bas ke Pengkalan Kempas tetapi disebabkan jadual tidak menentu, kelihatan seperti sudah tamat untuk hari itu... Tetapi belum ada jaminan lagi bas ini akan kembali ke Seremban. Maka mereka terus menunggu sehingga ternyata bas ini kembali ke Rantau untuk menghala ke Seremban dan saya pun naik...

Kata mereka, jika ternyata tidak ada bas ke Seremban malam itu maka mereka akan terus menghantar saya ke sana, 20km lagi daripada Rantau. Terimakasih saya ucapkan kepada Helmi dan rakan... Juga mereka yang seperjuangan daripada pondok ahli Tasawuf di Linggi. Insyaallah saya akan bertandang lagi. Tak tahu bila tetapi rasanya saya patut bermalam sekurang-kurangnya satu hari di sebelah makam lama di Pengkalan Kempas. Sekian! :]

Friday, February 22, 2008

Sedikit lagi tentang Muar. Jalan Junid, Bukit Mor dan beberapa kenangan lama...

Assalamualaikum semua. Dalam keghairahan mahu menutup cerita-cerita Johor secepat yang mungkin, saya terlupa hendak menyertakan satu bab perjalanan yang dibuat pada hari terakhir di bandar Muar setelah kembali dari Segamat. Rasanya cerita ini juga penting kerana ia ada menyentuh sejarah lama Muar yang mengaitkan ia dengan satu bangsa yang kita mungkin tidak pernah mendengar lagi zaman sekarang iaitu bangsa Bugis Kembayat...

Adapun posting yang dibuat sebelum ini iaitu Dari Segamat kembali ke Muar... Berakhirlah satu episod pengembaraan... sudah tepat apabila ia menggulung pengembaraan kembali Segamat ke Muar dengan cerita yang terkeluar selepas berjumpa dengan seorang guru yang telah bersara. Tetapi kemudiannya saya menyebut pula akan perjalanan ke Gunung Ledang (lihat A quick trip up Gunung Ledang... ) dan Tangkak (lihat Tangkak, the textile town! ) lalu cuba menggulung terus cerita-cerita pengembaraan keliling Johor sedangkan ada perjalanan di Muar yang berkait dengan kisah Bugis Kembayat yang patut dikemukakan terlebih dahulu kerana perjalanan ini dibuat sejurus sebelum melangkah ke Gunung Ledang. Ini dia...


Di atas adalah gambar persimpangan Jalan Abdul Rahman/ Jalan Junid yang terletak sekitar 100 meter daripada rumah lama saya di Muar. Kereta-kereta yang kelihatan itu mahu keluar daripada Jalan Junid menghala ke bandar...



Ini pula adalah bulatan yang membawa kepada Jalan Abdul Rahman dan Jalan Khalidi, lebih kurang 1 km selatan daripada simpang tadi. Kedua-dua gambar di atas ini diambil daripada sebuah posting yang dibuat sekitar 2 bulan lalu bertajuk Tempat jatuh lagi dikenang... . Kerana dalam perjalanan berkaitan Bugis Kembayat yang dibuat sejurus sebelum menaiki Gunung Ledang lebih sebulan lalu, saya tidak mengambil apa-apa gambar sehinggalah sudah hampir ke Parit Jawa...

Kenapa saya sertakan gambar-gambar ini? Kerana ia berkaitan nama satu watak lama di Muar yang dikenali sebagai Orang Kaya Junid dan orang ini pula membawa satu keturunan yang dikenali sebagai Raja-raja Bugis Chempa atau Bugis Kembayat... Ceritanya begini...

Adapun pada pagi sebelum menaiki Gunung Ledang iaitu pada 7 Januari 2008, adik saya mahu menghantar saya ke stesyen bas... Dalam perjalanan itu tiba-tiba saya mendapat rasa yang kuat untuk berjalan masuk ke Jalan Khalidi (pada arah jam 12 dalam gambar atas) lalu bertemu dengan Jalan Junid.

Di simpang Jalan Junid/ Jalan Khalidi itu anda boleh masuk ke kanan menghala ke Sekolah Dumpar Tinggi lalu jalan itu membelok sebelum menegak melepasi Sekolah Rendah Perempuan Sultan Abu Bakar (SAB) lalu sampai ke simpang Jalan Abdul Rahman/ Jalan Junid yang dipaparkan dalam gambar pertama. Atau masuk ke kiri melepasi Sekolah Maahad lalu sampai jalan yang saya sudah lupa namanya tetapi boleh sampai ke stadium.

Saya memilih untuk ke kiri kerana sudah begitu lama tidak lalu jalan sebelah sana... Teringat zaman sekolah rendah lebih 25 tahun lalu menaiki van juga bas pergi/balik ke sekolah, van dan bas yang sering lalu di jalan ini untuk mengambil beberapa orang murid yang naik kenderaan yang sama. Hmm, kalau tak salah ingatan, pemandu van itu dikenali ramai sebagai Pak Man Kuyu sementara pemandu bas yang agak rock orangnya ala-ala band boy kumpulan Sweet Charity ini dikenali sebagai Mizad, rasanya dua-dua dah arwah dah...

Tapi jika dahulu, saya melalui jalan itu setakat sampai ke simpang menghala ke stadium, kali ini saya berjalan terus menghala ke selatan... Tak sangka rupa-rupanya Jalan Junid itu begitu panjang... Panjangnya mungkin sampai 10km dan selama ini saya tidak pernah lalu di sini sedangkan saya dilahirkan, membesar dan menetap di Muar daripada tahun 1970 sehingga 1987, Masyaallah... Tak sangka jua, lama selepas meninggalkan Muar, baru saya tahu siapakah dia Orang Kaya Junid yang namanya dijadikan nama jalan itu...


Semakin jauh kami berjalan Jalan Junid akhirnya menjadi semakin sempit sehingga tinggal sebesar lorong bertar di tengah kampung... Rupa-rupanya Jalan Junid ini panjangnya sampai ke Parit Jawa! Selama ini saya ingat cuma Jalan Abdul Rahman dan Jalan Temenggung Ahmad sahaja yang sampai ke Parit Jawa, masing-masing selari dengan Jalan Junid. Cuma Jalan Junid yang paling dekat ke garisan pantai menghadap Selat Melaka di sebelah barat dengan Jalan Abdul Rahman di tengah, Jalan Temenggung Ahmad sedikit ke pendalaman...

Sebelum sampai ke Parit Jawa, penghujung Jalan Junid itu membawa ke satu simpang menghala ke laut di mana kelihatan sungai (juga kualanya) di gambar atas ini...




Berdekatan sungai tadi, terdapat pula sebuah kuil Cina... Ah, saya deja vu lagi!




Ini pula pekan Parit Jawa... Kelihatan sedikit di latar-belakang gambar adalah lereng Bukit Mor, satu-satunya bukit yang terdapat di situ, boleh kelihatan nyata daripada bandar Muar terutama daripada bangunan yang sedikit tinggi.

Adapun kawasan daripada bandar Muar sehingga ke Parit Jawa ini agak landai tanpa ada sedikit pun tanah tinggi di antara. Beberapa tahun lalu, setelah mula berminat mengkaji sejarah berkaitan Melayu, baru saya tahu kawasan sepanjang 10km (mungkin lebih) dan selebar sekitar 5km ini dahulu dikenali sebagai Padang. Sekarang, orang lebih mengenali nama tempat-tempatnya yang bermula dengan perkataan Parit, contohnya Parit Khadi, Parit Jamil, Parit Bakar dan sebagainya.

Oh... Sebelum terlupa... Mungkin maklumat ini berguna kepada mereka yang berminat terutama ahli-ahli silat. Di salah satu Parit yang terdapat antara bandar Muar dengan Parit Jawa ini terdapat Makam Panglima Lidah Hitam. Adapun Panglima Lidah Hitam atau nama sebenarnya Tuanku Zahiruddin, dikatakan berasal daripada Pagar Ruyung adalah pengasas Silat Lintau.

Menurut satu cerita, panglima inilah yang membelah batu besar di puncak bukit tertinggi di Pulau Besar, Melaka, batu yang dikenali sebagai Batu Belah... Ketika orang lain menunjukkan kehandalan ilmu persilatan batin dengan membelah batu-batu besar menggunakan tangan mahu pun jari, Panglima Lidah Hitam pula membelah batu yang terbesar menggunakan lidahnya sahaja... Itulah ceritanya, entah betul entah tidak...




Ini adalah sebahagian daripada pekan kecil di kaki Bukit Mor sekitar 3km daripada pekan Parit Jawa yang jauh lebih besar. Saja je saya letak gambar ini memandangkan demam Pilihanraya ke 12 telah pun bermula walaupun saya bukanlah penyokong DAP malah penyokong apa-apa parti politik.

Mungkin kerana lambang roket itu mengingatkan saya akan angkasawan pertama Malaysia Sheikh Muszaphar (betul ke ejaan ni?...) yang telah merasa naik ke angkasa lepas dengan roket Russia yang berlepas daripada tempat pelancaran roket di Baikonur, Kazakhstan lalu dapat menginap beberapa hari di ISS (International Space Station) atau pengkalan angkasa antarabangsa hasil kerjasama beberapa buah negara... Apakah roket DAP itu sama dengan roket Russia? Atau mungkin ideologi DAP itu ada persamaan dengan ideologi komunis Russia? Hehe!




Akhirnya, inilah Bukit Mor yang memiliki sejarah uniknya yang tersendiri. Sekian lama sejak kecil, apabila melalui Parit Jawa dan terlihat bukit ini, saya sering terasa ada yang begitu istimewa tentangnya... Dari segi fizikal, mungkin ia begitu menonjol kerana kawasan sekitar jejari 10km daripada pusat bandar Muar boleh dikatakan rata belaka kecuali Bukit Treh yang terletak 5km ke timur dan bukit ini di selatan. Tetapi saya dapat merasakan ia ada menyimpan rahsianya yang tersendiri.

Kalau tak salah ingatan, kali pertama saya sampai ke Bukit Mor ini adalah sekitar 10 tahun lalu dengan menaiki motosikal besar. Tetapi cuma 3 atau 4 tahun lalu baru saya tahu betapa pentingnya ia dalam kedudukan sejarah lama Muar.

Adapun diceritakan, pada suatu zaman yang lampau paras air di Muar ini lebih tinggi sehingga garisan pantai terletak lebih jauh ke pendalaman berbanding sekarang... Satu zaman lampau di mana dikatakan telah berlaku satu cerita yang hampir serupa dengan kisah Si Tanggang yang derhaka, kisah yang menyaksikan seorang anak dagang menjadi kaya lalu lupa asal-usul di sumpah ibunya sendiri lalu kapal mewah yang dinaikinya terbalik kemudian menjadi batu...

Menurut ceritanya, kapal yang menjadi batu itulah yang muncul menjadi Bukit Treh. Ketika disumpah, kapal itu sedang berlabuh di luar pantai. Bukit Treh sendiri terletak sekitar 5km daripada pusat bandar Muar, atau 6-7km daripada Kuala Sungai Muar dan Selat Melaka. Maka bayangkanlah di manakah terletaknya garisan pantai ketika zaman yang dimaksudkan ini... Rasanya jauh sebelum kemunculan keSultanan Melaka yang dikatakan didirikan Parameswara sekitar tahun 1400 Masihi. Untuk melihat gambar-gambar Bukit Treh, sila klik Pictures in Muar 3 ...

Pada zaman yang dimaksudkan, Bukit Mor dikatakan adalah sebuah pulau. Lalu ada cerita legenda menyebut pada zaman itu telah datang satu rombongan raja atau anak raja yang membawa diri daripada kerajaan Kembayat Negara (katanya di belah Indo China) lalu membuka negeri baru di Bukit Mor!

Yang lebih menarik, mereka dikenali sebagai orang-orang Bugis Kembayat... Ait... Camana ni? Setahu saya, orang Bugis itu berasal daripada Pulau Sulawesi di timur Pulau Borneo sedangkan Kembayat pula di Indo China, jauh ke utara menghampiri China! Lebih menarik lagi, kalau tak salah ingatan, saya pertama kali mendengar nama Bugis Kembayat ketika membaca Hikayat Malim Deman. Haah... Confirm daripada Hikayat Malim Deman. Tadi saya sempat buat google search lalu terpampanglah sebuah sajak daripada hikayat itu, sajak yang menceritakan perihal pakaian kebesaran Malim Deman...


Seluar intan di karang
Karangan Husin dan Hasan:
Tidak dapat zaman sekarang.
Nantikan angin bergilir musim:
Bajunya beledu tengkok kuning,
Kain cindai berambut kuning,
Selempang kain Bugis Kembayat:
Kerisnya jalak jantan,
Berkerawang dipangkalnya,
Dihujung: Subhanallah,
Tengkolok kumpuh pelangi,
Bukan pelangi zaman ini,
Pelangi zaman dahulu,
Tiap sudut ada hikmat,
Salah piah dalin buruh,
Sipedih, tikam tak kena,
Alimunan berhati munan,
Awang lebih, Sipalit gila,
Asyik sekampung bandung sekota,
Bukan buatan orang sini,
Buatan orang di udara,



Hmm... Baru teringat. Bekas guru yang saya temui setelah selesai perjalanan daripada Segamat ke Muar ada menyebut, kawasan rumahnya itu pernah terletak di tepian pantai pada satu zaman dahulu... Sedangkan rumahnya itu terletak sekitar 5km tenggara daripada Kuala Sungai Muar. Apabila saya bertanya, apakah ini berlaku pada zaman Malim Dewa dan Malim Deman? Dia tersenyum lalu mengangguk-anggukkan kepala. Hmm...

Saya cuba melihat Bukit Mor daripada sudut lain di sebelah barat-daya. Ternyata lereng sebelah sana dipenuhi kubur-kubur Cina... Bagaimana pula kesan peninggalan daripada zaman Malim Dewa? Apakah ia memang betul-betul wujud atau sekadar cerita hikayat belaka?

Apapun, itu mungkin berlaku pada suatu zaman yang berada di luar kefahaman kita. Maka cuba kita lihat pula cerita-cerita dalam keadaan zaman di mana tercatat peristiwa-peristiwa yang diakui sejarahwan seperti terpapar dalam kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karangan Bendahara Tun Sri Lanang.

Menurut Sejarah Melayu, pada zaman Sultan Mansur Shah memerintah atau sekitar (pertengahan abad ke 15 Masihi), muncul seorang anak raja daripada Kembayat dan pengikutnya membawa diri dan berlindung di Melaka atas sebab tertentu. Kalau tak salah ingatan, namanya Shah Pauli ke Pau Gelang begitu... Apapun menurut pihak lain, anak raja ini ada kena-mengena dengan keturunan diraja Bugis Kembayat yang berkerajaan di Bukit Mor.

Dalam zaman yang lebih dekat pula, memang nyata ada keturunan raja-raja Bugis Kembayat yang pernah bersemayam di Bukit Mor. Cuba lihat sedikit fakta yang saya copy and paste daripada Internet ini...

Orangkaya Junid, telah mentadbir Padang Muar selama 28 tahun dari tahun 1862 hingga 1890. Orangkaya Junid adalah berasal dari keturunan kerabat Raja Chempa Bugis iaitu Daeng Ahmad atau nama timang-timangan Wak Minah. Selepas Raja Bugis mangkat, baginda meninggalkan dua orang putera. Putera pertama Daeng Seriok (Seriwa Raja) dan putra kedua bernama Daeng Indera Perma. Nenek Orangkaya Junid bernama Tok Manis adalah anak perempuan kepada Orangkaya Ali.

Adapun inilah dia Orang Kaya Junid yang namanya diabadikan pada Jalan Junid yang disebut tadi. Salasilah beliau ialah begini... Orang Kaya Junid bin Penghulu Haji Ibrahim bin Tok Manis bin Orang Kaya Ali bin Orang Kaya Fatah bin Orang Kaya Ma'amun bin Orang Kaya Tok Nil bin Daeng Seriwa raja (katanya pernah menjadi Bendahara Melaka!) bin Daeng Ahmad @ Wak Minah, Raja Chempa Bugis di Bukit Mor, Muar.

Nampak sudah kaitan perjalanan yang dibuat melalui Jalan Junid sehingga ke penghujung lalu masuk ke Parit Jawa kemudian Bukit Mor? Apapun, tentang apa itu Bugis Kembayat, saya buka kepada para pembaca untuk mengkaji dan memberikan pendapat. Sila! :]



Dari Bukit Mor, saya dan adik saya menuju kembali ke Muar melalui jalan yang membawa ke Bakri. Lalu di sebuah estet hampir ke pekan Bakri (di Batu 6 Jalan Bakri), terlihat sebuah rumah tinggal di estet ini dan di tepi jalan bertarikh 1934...


Hampir ke bandar Muar melalui Jalan Bakri, saya tergerak untuk masuk ke sebuah jalan yang menghubungkan ke Jalan Temenggung Ahmad lalu singgah berhenti di tepian jalan untuk melihat bangunan sekolah lama saya...

Adapun bangunan-bangunan ini dahulu menempatkan 2 buah sekolah rendah iaitu Sekolah Ismail 1 dan Sekolah Ismail 2... Dua buah sekolah ini bergilir waktu persekolahannya... Jika Ismail 1 sebelah pagi pada satu tahun itu, maka Ismail 2 sebelah petang. Masuk tahun depan, Ismail 1 pula petang, Ismail 2 pula pagi. Begitulah seterusnya...

Kini, bangunan-bangunan dalam gambar di atas ini adalah untuk kegunaan Sekolah Ismail 1 sepenuhnya. Sekolah Ismail 2 telah beralih ke kawasan sebelah yang dahulunya (kalau tak salah ingatan) adalah Sekolah Agama Parit Khadi...


Inilah dia Sekolah Ismail 2 sekarang. Saya setakat melihat sambil mengenangkan sedikit nostalgia lama sekolah rendah tahun 1977-1982 dahulu...

Hmm... Nak cerita ke tidak. Ah, lepaskan sahajalah apa yang terbuku...

Adapun semasa perjalanan Johor ini malah sepanjang pengembaraan dalam tempoh setahun ini, saya sering "ditemani" suara 2 orang teman wanita... Pertama adalah gadis yang dipanggil sebagai Nur dalam siri buku "Berpetualang ke Aceh"... Seorang lagi, gadis yang saya mula kenali setelah selesai perjalanan 2 bulan meliputi Pantai Timur, Selatan dan Utara pada hujung Februari tahun lepas. Gadis yang boleh dipanggil sebagai Nur kedua ini boleh diibaratkan sebagai pengganti kepada Mas, gadis kesayangan lama yang ceritanya ada saya luahkan dalam siri buku saya.

Mereka ini selalu menghubungi saya bertanyakan khabar. Ada masanya mereka mengadukan resah-gelisah masalah mereka sendiri dan saya pula terpaksa memasang telinga lalu cuba memberikan kata-kata yang boleh meredhakan keadaan... Walaupun ketika itu saya sendiri sedang menghadapi masalah dan/atau sedang sibuk mengembara. Kadang-kadang saya tersepit antara melayan mereka berdua. Masing-masing sedar akan kewujudan pihak yang lagi satu, lalu ada masanya ini menjadi punca perselisihan, ada masanya mereka boleh menerima...

Hendak dijadikan cerita, ketika saya sedang mengambil gambar sekolah lama di atas ini, Nur pertama membuat panggilan lalu mengadukan khabarnya... Tidak payah lah dipanjangkan ya, hubungan kami memang complicated disertai masalah keluarga...

Sebenarnya, Nur setakat mahu mengadu akan keadaannya ketika itu. Dalam pada itu, saya pula sedang kepenatan selain cuba concentrate pada kerja merekod pengembaraan ke lensa kamera. Dalam sedikit kekalutan antara memberi perhatian kepada orang yang tersayang dengan perhatian terhadap perjalanan yang penting untuk diri sendiri, Nur telah menceritakan satu perkara yang membuat saya marah. Sepatutnya saya tidak begitu marah tapi dalam keadaan semasa, itulah yang berlaku. Hasilnya, sampai sekarang kami tidak berhubung, sudah hampir 2 bulan tidak bertukar khabar berita.

Bukan saya tidak mahu menghubungi Nur. Sebagai insan yang sudah lebih 12 tahun dikenali dan sering berkongsi susah-senang, sudah tentu saya merindukan khabar berita daripadanya. Cuma mungkin saya tidak mahu mendengar lagi masalah sama yang belum selesai, masalah yang sering membawa saya saling berganti rasa antara simpati dan sakit hati... Mungkin juga lebih elok kami membuat hal sendiri masing-masing sehingga selesai segala masalah yang mengganggu perhubungan? Itulah kali terakhir kami bercakap, di hadapan sekolah lama saya pada hari saya ingin meninggalkan bandar Muar. Sementara kali terakhir mendapat sms daripadanya adalah ketika berada di Gunung Ledang petang itu juga...

Rasanya, selama kami saling mengenali semenjak tahun 1995, inilah paling lama kami tidak saling menghubungi... Selain selepas saya berkahwin hujung tahun 1999 di mana hubungan kami putus langsung sehingga tahun 2002, satu tahun penuh ujian yang akhirnya membawa saya berpisah dengan isteri, juga anak yang masih kecil.

Nur kedua pula muncul dalam keadaan saya amat keletihan selepas selesai mengembara 2 bulan dan hubungan saya dengan Nur pertama sedikit renggang akibat permainan pihak berkepentingan. Lalu dia banyak menyokong saya di dalam susah dan senang dan sampai satu masa pula sokongan yang diterima kedua-dua Nur boleh kata sama rata.

Kini dengan Nur pertama sudah lama tidak berhubung sedangkan saya sudah mendapat isyarat untuk merenggangkan sedikit hubungan dengan Nur kedua kerana hubungan kami juga ada halangan dan masalahnya yang tersendiri... Perlu direnggangkan bukan kerana kasih sayang berkurangan tetapi kerana itulah keadaan yang perlu ditempoh atas perjalanan hidup ini. Semoga akan terbit sesuatu yang lebih indah dan bermakna apabila sampai masanya nanti!

Selepas kali terakhir melihat anak perempuan saya minggu lepas (kini memasuki umur 6 tahun), saya telah bermalam di rumah seorang bapa saudara. Di sana, bapa saudara ini telah bertanya apakah saya pernah terfikir mahu kembali dengan bekas isteri? Saya jawab ya, kerana selalu merindui anak saya... Kalau semata-mata kerana bekas isteri, rasanya mungkin tidak... Terlalu banyak perkara yang tidak dapat kami kongsi lalu sering sahaja berbalah dan berselisih pendapat. Cuma sejak setahun kebelakanganlah saya terasa sejuk hati sikit... Sejak 2-3 bulan kebelakangan pula, anak yang jarang saya temui menunjukkan kemesraan yang sering membuat saya terasa cair, gembira yang amat sangat bercampur menangis dalam hati... Disebabkan anaklah hati ini terfikir untuk kembali dengan isteri. Tetapi bagaimana pula dengan teman lain yang rasanya lebih senang berkongsi rasa suka-duka dengan saya?

Ibu saudara saya pula geleng kepala kerana dia tahu tentang perhubungan saya dengan wanita-wanita lain... Bagaimana ini? Mana satu, dengan Nur pertama, Nur kedua atau kembali dengan bekas isteri? Atau akan ada orang lain nanti? Allah, saya pun tak mampu menjawabnya... Mungkin kelihatan seperti saya ini tamak dan ramai pacar. Saya cuma boleh memberitahu, ini kira jauh lebih baik daripada dahulu di mana saya memang seorang kaki perempuan. Kini saya cuma ada 3 orang mereka ini dalam hati ini. Dan tidak seperti dahulu di mana saya memiliki ramai teman wanita kerana sukakan perhatian dan dikagumi ramai, sekarang saya memang benar-benar sayangkan mereka...

Sekarang apa yang saya mampu buat adalah melaksanakan kerja-kerja yang saya telah digerakkan untuk melaksanakannya satu demi satu. Teringat semasa perjalanan keliling Johor, saya ada terfikir bila dan bagaimana hendak mendapatkan wang bayaran buku yang telah saya bekalkan kepada beberapa buah kedai buku. Terus terang cakap, saya cukup lemah dalam bab menuntut bayaran... Sedangkan segala hal berkaitan pembuatan buku, penulisan sehingga ke penerbitan, pemasaran dan pengiklanan pun dah cukup penat dibuat seorang diri, ini nak minta lagi duit bayaran yang selalunya liat untuk didapatkan. Nasib baik selama ini Nur kedua banyak juga menolong dalam hal buku...

Tetapi dengan kuasa Allah, selesai perjalanan Johor dan sekitar seminggu kemudian diikuti perjalanan ke Kedah seterusnya Perak yang telah selesai lebih 2 minggu lalu, tiba-tiba sahaja perkara ini jadi senang. Tanpa dirancang, saya telah singgah di kedai-kedai berkenaan dan tanpa dipinta mereka sedia terus membuat bayaran yang tertunggak.

Rasanya begitu juga soal jodoh dan rumah-tangga saya yang akan datang. Jangan pecah kepala sangat memikirkan apakah yang akan terjadi, bagaimanakah penyelesaiannya nanti. Selama ini saya telah mengembara jauh menghadapi pelbagai cabaran seorang diri atas sifat tawakal yang kental serta kepercayaan akan Qada' dan Qadar dan perancangan Allah, maka itu saya harus percaya Dia juga telah menyediakan apa yang patut dalam soal jodoh dan hal-hal berkaitan.

Sekarang tumpukan pada gerakan di hadapan mata... Menulis dan meluahkan perkara ini di blogspot juga termasuk antara gerakan di hadapan mata. Selepas ini, saya harus mengembara ke Pantai Timur lalu menutup terus siri pengembaraan yang mesti dibuat setelah selesai menyajikan trilogi siri buku "Berpetualang ke Aceh"... Kemudian terserahlah pada Allah untuk mengatur segalanya...

Untuk Nur pertama, Nur kedua malah bekas isteri juga, kalau terbaca luahan kata-kata ini maka meminjam cara cakap penyanyi Indon, saksikanlah: "Aku sayang kamu!"... Sesungguhnya tiada niat lagi hati ini untuk mengundang sesiapa lagi dalam hidup ini kecuali kamu bertiga... Sekian... Eh, tidak...


Hampir terlupa. Sebelum membuat perjalanan melalui Jalan Junid ke Parit Jawa seterusnya ke Bukit Mor tadi, saya telah pergi naik ke atas bangunan Umno Pagoh yang pernah menjadi bangunan tertinggi di Muar, kini nombor dua. Mari lihat sedikit gambar-gambar Muar yang diambil daripada atasnya... Sila klik Views from on top of Muar town...

Selesai semua ini, barulah saya ke Gunung Ledang dan Tangkak seperti yang terpapar dalam cerita-cerita A quick trip up Gunung Ledang... dan Tangkak, the textile town! . Maka itu setelah siap cerita ini berserta cerita tentang perjalan ke Gunung Ledang dan Tangkak, barulah cerita-cerita Johor ini lengkap lalu boleh digulung dengan beberapa perenggan akhir seperti yang sedia terpapar dalam artikel Dari Segamat kembali ke Muar... Berakhirlah satu episod pengembaraan... .

OK... Insyaallah bila ada kelapangan dalam masa terdekat, saya akan menceritakan pula apa yang berlaku setelah meninggalkan Tangkak... Masuk Melaka kemudian melalui pekan Lubuk Cina seterusnya Linggi ke Negeri Sembilan untuk melihat sebuah makam dan batu-batu hidup di Pengkalan Kempas sebelum kembali ke Kuala Lumpur. Kemudian barulah boleh dipaparkan cerita-cerita pengembaraan ke Kedah dan Perak menurut aturan yang sepatutnya.

Dan ini mungkin dibuat selari dengan pengembaraan baru ke Pantai Timur yang bakal bermula tidak lama lagi, dalam musim kempen Pilihanaraya Malaysia ke 12 ini. Insyaallah akan saya atur kesemuanya sebaik mungkin lalu dibahagi-bahagikan untuk ketiga-tiga blogspot saya iaitu BERPETUALANG KE ACEH , SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) dan CATATAN SI MERAH SILU ini. Sekian! :]

p/s: Baru teringat nak bagitahu... Umum mengetahui Tun Abdul Razak dan Tun Hussein Onn berbesan (ke berbiras? Saya pun tak pasti perkataan yang tepat)... Apapun Tun Razak beristerikan Tun Rahah, Tun Hussein dengan Tun Suhaila. Tun Rahah dan Tun Suhaila adalah anak kepada Tan Sri Mohammad Noah dan Tan Sri ini adalah cucu kepada Orang Kaya Junid yang diceritakan di sini!

Seorang lagi ahli keluarga berkenaan yang dikenali ramai ialah Tun Dr Ismail (yang namanya diabadikan pada Taman Tun di KL), cuma cabangnya lain. Jika Orang Kaya Junid adalah daripada keturunan Daeng Seriok bin Daeng Ahmad, maka Tun Dr Ismail pula daripada anak cucu Daeng Indera Perma iaitu adinda (atau kekanda? Terlupa pula... Rasanya adinda) Daeng Seriok. Itu aje...

Tuesday, February 19, 2008

Dari Segamat kembali ke Muar... Berakhirlah satu episod pengembaraan...

Setelah berjaya menyiapkan artikel-artikel bertajuk Tangkak, the textile town! dan A quick trip up Gunung Ledang... dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH barulah saya dapat menyambung daripada cerita Dari Segamat kembali ke Muar... Apa ada dari Lenga ke Pagoh? . Cerita ini penting kerana ia bukan sahaja bakal menamatkan siri cerita-cerita "Segamat ke Muar" malah keseluruhan cerita-cerita Johor yang meliputi 8 daerah utama (mungkin 9, nanti kita bincang) di negeri selatan semenanjung ini.


Lihat gambar di atas ini... Kenapa begitu kabur? Kenapa pula gambar kabur ini diletakkan di sini? Untuk pengetahuan inilah Makam Panglima Mat Berani berhampiran Kuala Sungai Pagoh. Saya sampai di sini hampir waktu Maghrib... Eh... Rasanya sudah masuk pun waktu Maghrib.
Makam ini dihiasi batu nesan Aceh berkepak, sedikit serupa dengan batu nesan Aceh di makam Sultan Alauddin Riayat Shah tetapi lebih kecil. Saya tak tahu siapakah nama sebenar Mat Berani tetapi begitulah namanya dikenali. Apabila sampai, baru saya tahu Panglima Mat Berani adalah seorang pahlawan Melayu yang gugur setelah kejatuhan Kota Melaka tahun 1511 oleh Portugis... Gugur apabila tentera Portugis mengejar askar-askar Melayu yang berundur lalu berkubu di Muar, Sultan Ahmad di Bentayan dan ayahandanya Sultan Mahmud di Pagoh sekitar kawasan ini.
Makam Panglima Mat Berani ini terletak tidak jauh daripada Kuala Sungai Pagoh, kuala yang ada dipaparkan dalam gambar terakhir artikel Dari Segamat kembali ke Muar... Apa ada dari Lenga ke Pagoh? . Untuk melihat kaitan semua ini, elok saya copy and paste satu sedutan daripada Internet... Hmm, nampaknya aturan dan ejaan perlu di edit sedikit. Tak pa...

Pagoh maksudnya 'bagus' mengikut Bahasa Melayu Tua. Ianya dibuka oleh Dato' Bendahara Wan Sulaiman dari Kota Tinggi pada tahun 1707. Anak Dato' Bendahara Wan Sulaiman bernama Dato' Bendahara Hassan (Tok San) menggantikannya. Penduduknya terdiri daripada orang Jawa, Minangkabau dan Bugis. Pagoh adalah asas penempatan kawasan hulu Muar dengan beberapa kesan sejarah silam yang menjadikan Sungai Muar sebagai penghubung utama dengan Empayar Kerajaan Melayu Melaka.

Pagoh merupakan satu-satunya tempat terpenting yang mempunyai kaitan rapat dengan kerajaan Empayar Melayu Melaka. Terletak di pinggir sungai terdapat sebuah kubu yang kini hanya terdapat kesan - kesannya sahaja. Kubu ini adalah kubu terakhir angkatan Melaka apabila diserang oleh Portugis pada tahun 1511. Kubu ini terletak di Kuala Sungai Pagoh dan terdapat sebuah lagi kubu yang disebut Kubu Malini di satu kawasan tidak jauh dari kubu tersebut.
Terdapat sebuah perkuburan di kawasan ini yang dikenali dengan pusara Pahlawan Mat Berani, yang dikatakan salah seorang pahlawan Melayu dari negeri Pahang yang datang membantu angkatan Sultan Melaka bagi mempertahankan kawasan ini, tetapi telah kecundang dan telah dikuburkan di situ. Di tepi Sungai Pagoh kira - kira 2 kilometer dari Kuala Pagoh terdapat Makam Sultan Alauddin Riayat Shah (I), yang dimakamkan di dipinggir Sungai Pagoh bersama adindanya yang terkenal sebagai Al - Marhum Berdarah Putih.
Kedua - duanya mangkat di situ dan dimakamkan di tanah perkuburan kawasan masjid Jamek Kampung Raja. Sultan Alauddin adalah Sultan Merdeka yang memerintah Melaka 1477- 1488, merupakan salah seorang raja yang tegas menjalankan tugasnya dan baginda sendiri dikatakan berkawal menghapuskan perompak lanun yang mengganas di Melaka semasa pemerintahannya. Satu batu peringatan telah dibina oleh pihak Muzium Negara dan telah dirasmikan makam ini dalam satu upacara penuh khusyuk pada tahun 24 Disember 1971.

Selepas berhenti sebentar menziarahi Makam Panglima Mat Berani, kami pun mula bergerak untuk menghala ke Muar. Sebenarnya, saudara Khairul dari Segamat mengikut saya ke Muar kerana ingin menziarahi Kota Buruk, sebuah kota yang menurut ceritanya telah didirikan Parameswara di Muar sebelum baginda membuka Melaka... Baca artikel The legendary Kota Buruk (ruined fort) of Muar... yang dibuat hujung tahun lepas. Itulah kali pertama saya sampai di sana, 2-3 hari setelah menyambut Hari Raya Aidil Adha bersama keluarga di Kampung Temiang, berdekatan Bukit Treh...
Berbalik pada perjalanan Segamat ke Muar... Pagi itu Khairul seolah telah menjangkakan kami akan sampai (jika sampai...) ke Kota Buruk pada waktu malam. Sebabnya, kami cuma dapat meninggalkan Segamat selepas makam tengahari akibat kawan-kawannya mahu lama bersoal-jawab dengan saya. Dan Khairul sudah pun diberitahu, kami perlu singgah ke beberapa tempat sebelum pergi ke Kota Buruk.

Bayangkan, kami sampai ke Makam Panglima Mat Berani pun sudah waktu Maghrib, bagaimana pula ke Kota Buruk yang terletak lagi 20km menghala ke bandar Muar? Bagaimana sedangkan gerak hati saya menyatakan ada beberapa tempat lagi yang perlu disinggahi walau tak pasti di mana...
Tak jauh selepas meninggalkan Makam Mat Berani, tiba-tiba saya rasa terpanggil melihat sebuah bukit. Terus saya keluar daripada kereta seraya menyuruh Khairul menunggu... Terus meredah sebuah kawasan ladang lalu memanjat bukit sehingga melepasi tiang eletrik yang terpapar di dalam gambar di atas...

Di atas sana, saya dapat melihat puncak bukit yang tidak berapa tinggi sekitar 100 meter daripada tempat saya berdiri... Kelihatan juga sebuah rumah batu 2 tingkat. Ait??? Betulkah apa yang saya lihat ini? Apakah ia cuma bayangan atau rumah orang bunian. Kelihatan ia seperti rumah yang agak moden. Mahu sahaja saya melangkah melihat lebih dekat jika tidak memikirkan hari semakin gelap... Susah nanti hendak kembali ke kereta kerana tidak membawa lampu picit. Dan Khairul pula sudah lama menunggu...

Oh... Kenapa saya paparkan 2 gambar di atas yang tidak cukup terang? Kerana mahu memberitahu, apa yang berlaku seterusnya boleh dikatakan dalam keadaan gelap belaka...

Setelah kembali ke kereta, kami singgah di sebuah masjid berdekatan. Di situ, melalui seorang jemaah baru saya dapat tahu bahawa bukit yang saya naiki itu dipanggil Bukit Setaki. Dan memang di atas itu ada rumah orang, rumah pengurus ladang...

"Bukit Setaki?" ajuk Khairul yang sangat teruja. Baru dia tahu inilah Bukit Setaki kerana pernah membaca tentangnya di dalam sebuah buku tentang sejarah Muar yang turut dibawa bersama... Dinamakan Setaki sempena nama seorang pengurus ladang berbangsa Inggeris zaman penjajah iaitu S. Tacky.

Rupa-rupanya memang patutlah Khairul ikut sama... Bukan sekadar memudahkan saya berjalan kerana dia memiliki kereta, rupanya orang Melayu yang pernah membuka kawasan ini dahulukala adalah saudara maranya, kalau tak salah ingatan dipanggil Tok San... Namanya ada disebut dalam cerita tentang Pagoh yang dipetik di atas.

Hmm... Eloklah Khairul ikut sama. Dia pun rajin menziarahi makam tetapi di belah Johor. Ini kerana menurutnya, bapanya berasal daripada keturunan Bendahara Pahang yang mana satu cabangnya muncul menjadi Sultan-sultan Pahang hingga sekarang. Ibunya pula daripada keturunan Sultan Ali (cuba baca Makam (tomb of) Baginda Ali ) yang kekuasaannya ke atas Johor kemudian diambil Temenggung Abu Bakar.

Masing-masing bermoyangkan Bendahara Tun Habib Abdul Majid (lihat Makam (tomb of ) Bendahara Tun Habab ). Tun Habib adalah adinda kepada Sayyid Jaafar yang membawa kepada keturunan Raja-raja Temenggung Muar (lihat Makam-makam lama di (The old tombs at) Lubok Batu,... ) lalu terkaitlah dia dengan beberapa makam dan tempat yang diziarahi sepanjang perjalanan ini...

Daripada masjid, kami naik ke puncak Bukit Setaki. Di sebalik kegelapan malam yang diterangi sedikit dengan lampu kuning rumah yang penghuninya mungkin tidak menyedari kehadiran kami, saya deja vu lagi... Segala yang kelihatan daripada rupa rumah, suasana sekeliling sehingga ke kambing-kambing bertanduk pusing yang duduk di bangsal pernah saya lihat dalam mimpi atau bayangan bertahun lalu.

Allah, seketika itu juga saya dapat merasakan bukit ini pernah menjadi kubu kuat orang Melayu dahulukala. Yang pasti kedudukannya sangat strategik kerana ia adalah satu-satunya bukit yang saya lihat dekat dengan Kuala Sungai Pagoh lalu boleh digunakan untuk memantau pergerakan turun naik keluar masuk Sungai Muar... Lebih penting lagi dalam keadaan Portugis sedang mengejar ketumbukan askar Melayu pimpinan Sultan Mahmud yang berkubu di Pagoh!

Hmm... Nak cerita banyak takut panjang sangat pula. Cukuplah dikatakan kami kemudian sampai dan singgah di Panchor untuk membeli 2 set lampu picit sebagai persediaan untuk memasuki Kota Buruk. Oh, lupa hendak beritahu... Kebetulan malam itu malam Juma'at.

Daripada Panchor, Khairul mahu terus Kota Buruk. Saya ingatkan ada jalan short-cut tapi akhirnya tersilap jalan hingga menyeberangi Sungai Muar lalu berlegar-legar di Gerisik... Akhirnya terpaksa mengalah dan ikut jalan yang biasa diketahui orang... Perlu turun ke selatan ke simpang jalan menghala timur ke Pagoh, barat ke Bukit Pasir...

Ketika itulah saya dapat "panggilan" untuk masuk ke kawasan kuari sebelum Bukit Pasir. Semuanya kerana untuk mendapatkan kepastian tentang beberapa bukit yang pernah dilihat dalam mimpi... Sila baca The hill I saw in a recent dream? untuk memahaminya... Nyaris kami tersangkut dalam gelap-gelita (kecuali kehadiran lampu kereta) apabila kereta Khairul tersilap reverse lalu tayar tersangkut ke dalam lekukan tanah merah.

Selesai itu barulah kami masuk ke Kota Buruk, kalau tak salah ingat sekitar jam 11 malam. Malas hendak memanjangkan cerita lagi... Baca Kota Buruk (the ruined fort) in Muar... dan bayangkan membuat ziarah termasuk ke makam lama di tempat sebegitu jauh di dalam estet kelapa sawit pada jam 11 malam Jumaat yang gelap-gelita, setakat ada cahaya lampu picit sahaja...

Akhirnya tercapailah impian Khairul untuk ke Kota Buruk. Malam itu kami bermalam di rumah seorang bekas guru, kenalan Khairul yang berumur 70an... Orang tua ini amat meminati sejarah dan katanya biasa berhubung dengan pihak-pihak ghaib... Yang pasti, dia memiliki banyak koleksi bahan bacaan sejarah yang susah didapati di tempat lain selain menyimpan koleksi senjata-senjata lama seperti keris, pedang Arab dan rencong. Dan koleksi wang dinar lama yang dimiliki, tidak kurang 20 keping sama dengan apa yang saya pernah lihat terpapar di Internet... Dinar lama yang telah dikatalogkan, termasuk daripada zaman keSultanan Samudera-Pasai lebih 700 tahun lalu!

Orang tua itu menguji saya... "Lihat apa yang terdapat di bawah rumah ini..." Saya jawab saya tidak tahu menilik ataupun scan... Orang tua itu menyuruh juga. "Beritahu sahaja apa yang terpancar di hati"... Saya jawab saya lihat berpeti-peti kotak harta karun tertanam dengan di dalamnya terdapat pinggan-mangkuk emas juga tembaga merah. Orang tua itu tersenyum lalu mengiyakan. Lalu banyaklah perbualan kami malam itu di mana saya "dipaksa" menceritakan perihal senjata-senjata lama yang disimpannya... 


Lihat peta di atas ini untuk mendapatkan gambaran liku-liku perjalanan kami dalam satu hari dan malam itu... Elok juga ditelaah balik dengan membaca cerita Dari Segamat kembali ke Muar... Peristiwa Bukit Kepong... dan Dari Segamat kembali ke Muar... Apa ada dari Lenga... sekali lagi diikuti cerita yang ini...

Oh... Rasanya saya harus memberitahu. Tulisan ini dibuat untuk menutup semua cerita-cerita Johor yang dibuat kebelakangan ini, cerita berdasarkan perjalanan mengharungi 8 daerah utama negeri iaitu Muar diikuti Batu Pahat, Pontian, Johor Bahru, Kota Tinggi, Mersing, Kluang dan Segamat. Lalu perjalanan kembali ke Muar boleh dikatakan sebagai penutup perjalanan melawan arah jam ini.

Dalam perjalanan, ada seseorang mengingatkan agar turut melawat Gunung Ledang. Katanya mungkin ada "talian" dengan bukit yang saya mimpikan hujung tahun lepas, mimpi yang ada terkeluar nama Tanjung Olak sehingga saya cuba mencarinya 2-3 hari selepas Aidil Adha dan cuba memastikan lagi dalam perjalanan Segamat kembali ke Muar ini.

Maka itu saya memutuskan untuk ke Gunung Ledang selepas puas berehat di rumah keluarga di Kampung Temiang. Lalu saya juga bermalam di Tangkak dan mungkin kedua-kedua perjalanan ini harus diambil kira, barulah lengkap cerita-cerita Johor. Ini kerana mungkin Tangkak sudah berdiri sendiri sebagai daerah yang terpecah daripada Muar. Mungkin tidak... Saya tak pasti tapi itulah yang disebut orang.

Untuk memastikannya, saya membuat sedikit kajian ringkas melalui google. Ternyata Tangkak sudah memiliki Majlis Daerah sendiri. Tetapi apakah ia sudah betul-betul berdiri sebagai daerah sendiri? Tadi saya masuk ke laman web kerajaan Johor dan mendapati laman yang diperuntukkan untuk Majlis Daerah Tangkak ternyata kosong. Dan saya tidak dapat menemui siapakah Pegawai Daerah Tangkak, apakah sudah ada atau masih bernaung di bawah Pegawai Daerah Muar? Mungkin pemecahan ini masih baru dan belum diwartakan sepenuhnya.

Jika telah diwartakan, maka jadilah Tangkak daerah ke 9 Johor. Apa hendak dihairankan? Suatu masa dahulu, Segamat juga terletak di dalam daerah (atau negeri?) Muar... Sebab itu Hikayat Malim Dewa dan Hikayat Malim Deman menyebut pemerintahan mereka ke atas kerajaan Kuala Bandar Muar sedangkan orang Segamat turut mengakui kedua ini sebagai watak legenda yang pernah berkuasa ke atas daerah mereka... Sebab itu juga Raja Temenggung Muar ada dimakamkan dan pernah berkuasa ke atas Segamat.

Perjalanan ke Gunung Ledang dan Tangkak nampaknya perlu untuk melengkapkan cerita-cerita Johor samada ia sudah diwartakan sebagai daerah ke 9 di Johor atau tidak... Atau ia masih daerah kecil merangkap daerah bawahan Muar. Apapun, ia nampaknya tetap perlu dijejaki. Mana mungkin mengaku berjalan seluruh Johor tanpa menziarahi gunungnya yang paling terkenal, gunung penuh legenda sehingga kekuasaan mistiknya dikatakan meliputi seluruh Tanah Melayu atau bumi Nusantara ini?

Maka itu saya telah siap-sediakan cerita-cerita berkenaan di dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Jangan lupa baca A quick trip up Gunung Ledang... dan Tangkak, the textile town! untuk melengkap cerita-cerita Johor dan mendapatkan kefahaman yang tersurat dan tersirat di dalamnya... Hmm... Elok saya letak sedikit gambar berkenaan supaya lebih menarik untuk pembaca...


Untuk melihat lebih banyak gambar-gambar di Gunung Ledang, sila klik A quick trip up Gunung Ledang...



Untuk melihat keadaan Tangkak yang kini sudah memiliki Majlis Daerah sendiri, sila klik Tangkak, the textile town! Semasa bermalam di Tangkak lah saya rasa terpanggil untuk membuat posting bertajuk http://merahsilu.blogspot.com/2008/01/salam-daripada-tangkak-ledang.html , setelah mendengar aduan serta melihat sendiri bagaimana chatbox yang disediakan di blogspot ini telah dijadikan medan kecaman dan memaki-hamun oleh mereka-mereka yang kurang kesedaran...


Apapun, berbalik pada persoalan samada Tangkak sudah "merdeka" daripada Muar. Peta-peta Johor yang sempat saya lihat tidak menunjukkan Tangkak sebagai daerah sendiri. Mungkin belum lagi... Lihat peta di bawah yang saya diambil daripada Wikipedia, peta yang ternyata digunakan beberapa laman web lain di Malaysia juga.


Lihat peta ini dan bayangkan pergerakan pengembaraan saya menaiki pengangkutan awam, berjalan kaki juga menumpang kenderaan orang... Daripada Muar ke Batu Pahat ke Pontian ke Johor Bahru ke Kota Tinggi ke Mersing ke Kluang ke Segamat lalu kembali ke Muar... Selepas itu baru ke Gunung Ledang dan Tangkak kemudian masuk ke Melaka lalu tamatlah perjalanan Johor...


Perjalanan ini asalya sekadar untuk kembali menyambut Hari Raya Aidil Adha di Muar kemudian mungkin ke Kluang sahaja (itupun kalau pergi) untuk bertemu rakan daripada KL yang sering berulang-alik bekerja di Kluang... Ke Kluang juga kerana berhasrat untuk menziarahi sekolah lama saya, Sekolah Menengah Sains Kluang... Hmm... Sila juga jenguk kembali Memori lama pahit getir SMSJ, Kluang, Johor... Sebaliknya buat pertama kalinya di Muar saya pergi melawat Kota Buruk yang ternyata tidak begitu jauh daripada kampung saya... Sempat juga buat pertama kali menaiki Gunung Banang, pergi ke Pantai Minyak Beku melihat punca nama Batu Pahat kemudian bermalam di rumah Habib Ali, seorang Sayid yang disebut orang bertaraf Wali, setaraf dengan Almarhum Habib Nuh yang dimakamkan di Singapura!

Di Pontian, saya sempat menziarahi Muzium Bugis lalu mendapat kepastian secara zahir dan batin akan kaitan seorang anak Raja Bugis yang pernah "bermain-main" di Kota Buruk dengan keluarga sebelah ibu di Kampung Temiang. Di Johor Bahru saya menyusuri sedikit nostalgia lama sebelum ke Kota Tinggi lalu buat pertama kali menziarahi makam raja-raja daripada keturunan keSultanan Melaka di sana... Raja-raja yang selama ini saya tidak ambil peduli kerana dirasakan tidak ada kena-mengena... Disebabkan terlalu mengutamakan cabang keturunan Sultan Melaka yang beraja di Perak, yang banyak terkait dengan darah diraja Aceh.

Saya berehat menikmati udara laut di Mersing sebelum menyusuri nostalgia membesar di Kluang. Lalu ke Segamat di mana bermulalah proses penyambungan kembali wasilah diri ke darah keturunan Sayid lama belah sana yang kebanyakannya tidak lagi memakai nama Sayid... Ada pula kaitan tertentu dengan cerita Hikayat Malim Dewa dan Hikayat Malim Deman lalu berkait juga dengan anak-anak Raja Bugis seperti Daeng Lima Bersaudara, Daeng Parani, Daeng Kemasi, Daeng Merewah, Daeng Menambun dan Daeng Chelak.

Sebenarnya sejak kembali ke Muar untuk Aidil Adha lagi saya sering terfikir akan kaitan lama keluarga Ahlul Bait anak cucu Rasulullah SAW di sebelah Muar dengan yang di Perak dan Aceh, kaitan yang tersirat melalui cerita dalam Hikayat Malim Dewa di mana Tuanku Gombang Malim Dewa dikatakan membawa diri daripada Aceh lalu membuka negeri di Muar. Kebetulan pula saya ada terdengar tentang satu cerita yang tidak dapat disahihkan tetapi rasanya sangat berkait... Tentang seseorang bernama Sultan Muhammad Al-Kamil yang meninggalkan Bandar Khalifah di Perlak (dalam Aceh sekarang) abad ke 13 Masihi lalu berkerajaan di Muar.

Semasa bermalam di rumah bekas guru setelah selesai perjalanan Muar ke Segamat, saya ada menyebut tentang hasrat mencari kaitan pengembaraan di Johor ini dengan cerita Malim Dewa dan Malim Deman. Lalu terpacul perkataan "Sultan Muhammad Al-Kamil" daripada mulutnya... Hati saya pula mula berkata Sultan Muhammad Al-Kamil ini juga ada kena mengena dengan Terengganu... Ini mungkin menjawab persoalan kenapa seperti di Terengganu, rumah-rumah Melayu tradisional di Muar juga ada memakai ukiran batang kayu di sudut atas bumbung yang dikenali sebagai buah potong...

Kemudian, baru saya terbaca, mengikut sumber-sumber kajian kerajaan lama Batak, Sultan Malikul Mansur iaitu cucu Sultan Malikus Salih (pengasas kerajaan Samudera-Pasai) pernah merajai kerajaan Aru Barumun yang dibanggai orang-orang Batak dan berkahwin dengan anak Sultan Muhammad Al-Kamil. Tetapi ini bukan bermakna Malikul Mansur juga Malikus Salih adalah keturunan Batak seperti yang cuba diperjuangkan sesetengah pihak... Tidak, mereka cuma merajai beberapa golongan orang Batak seperti mana Yang di Pertuan Agung sekarang yang berasal daripada keturunan Tun Habib Abdul Majid, seorang berdarah Rasulullah SAW adalah juga raja bagi semua orang-orang Asli seluruh Malaysia.

Beginilah... Tak semestinya rakyat yang diperintah dengan raja atau bangsawan sesuatu negeri itu sama keturunannya. Saya bagi contoh terdekat, ibu mertua makcik di Ampang tempat saya menumpang... Katanya keturunan Mandailing, bukan calang-calang Mandailing... Datuknya adalah Datuk Setia Raja yang mendirikan Rumah Kuning di Batu Gajah.

Kata orang, Mandailing adalah orang-orang Batak yang masuk Islam... Dan orang-orang Batak sering digambarkan sebagai berwajah seperti orang Asli, Negrito dan sebagainya sedangkan muka ibu mertua ini yang saya panggil opah (sudah meninggal dunia hampir setengah tahun lalu) adalah putih bersih dengan ciri-ciri muka perempuan Arab.

Orang Batak juga sering dikatakan suka makan orang... Tak pa... Mungkin ia fitnah sepertimana orang Bugis dituduh lanun belaka sedangkan mereka berbuat begitu kerana selalu menyerang kapal-kapal Inggeris dan Belanda yang pernah memporak-porandakan tanah-air mereka. Tak pa.. Apa yang saya nak bagitahu adalah betapa jauhnya opah saya itu dengan sifat-sifat yang selalu digambarkan sebagai sifat orang Batak... Batak yang masuk Islam jadi Mandailing.

Soalan ini terjawab apabila saya melihat sendiri salasilah keluarga opah... Datuk Setia Raja di Perak membawa kepada Bendahara apa entah, saya lupa tetapi pernah berperang di Selangor abad ke 19 Masihi... Membawa pula kepada beberapa nenek-moyang di Sumatera yang sesetengahnya ada memakai nama raja disertai nama-nama berbunyi pelik yang mungkin memang nama-nama Batak.

Apa yang memeranjatkan adalah nama yang teratas... Menurut salasilah itu, mereka semua sebenarnya berasal daripada Saidina Ali Karamallahuwajha... Cuma daripada isteri yang lain iaitu bukan Saiditina Fatimah binti Rasulullah SAW. Jadi apakah Ali itu Batak ataupun Arab? Fahamkan betul-betul penerangan saya ini yang membawa kepada satu cabang keturunan bangsawan yang dikaitkan dengan Batak, setelah ia dikaji sehingga 1,400 tahun dahulu..

Suami opah pula adalah anak kepada seorang pahlawan Melayu terkenal di Perak iaitu Ngah Jabor. Ngah Jabor yang juga adik-beradik susuan Sultan Idris yang membuka Bukit Chandan diketahui berasal daripada keluarga Maharajalela yang dikatakan Bugis...

Ngah Jabor dikatakan hilang setelah selamat daripada hukuman gantung dan buang negeri yang dikenakan terhadap para pejuang Melayu yang disabitkan atas kesalahan membunuh J.W.W. Birch tahun 1875. Dalam masa itu, muncul satu watak pemimpin perang melawan penjajahan Inggeris yang dikenali sebagai Imam Perang Jabarumun atau Jabaranum, katanya orang Mandailing...

Ada sumber keluarga menyebut, Imam Jabarumun itu adalah Ngah Jabor dalam penyamaran. Maka apakah beliau itu orang Batak masuk Islam jadi Mandailing ataupun orang Bugis? Atau persoalan ini tidak begitu penting jika kita menyusur lebih jauh beberapa generasi ke atas lalu menyedari akan identiti nenek-moyang sebenar yang berasal daripada Tanah Arab?

Ah... Sudah banyak sangat pula saya menulis mengikut gerak hati. Cukuplah saya kata cerita-cerita Johor dan kaitan dengan Hikayat Malim Dewa dan Hikayat Malim Deman ini boleh ditutup dengan satu nama... Sultan Muhammad Al-Kamil...

Selebihnya, kajilah siapa itu keluarga Al-Kamil yang pernah datang ke Tanah Melayu sejak lebih 1,000 tahun lalu... Fikirkan nama ini... Abdullah bin Hassan Al-Muthanna bin Saidina Hassan, cucu sulung Rasulullah SAW. Hassan Al-Muthanna telah berkahwin dengan sepupunya iaitu puteri kepada Saidina Hussein, adinda Saidina Hassan. Lalu bercantumlah kembali darah Rasulullah SAW menjadi darah Abdullah, juga dikenali sebagai Abdullah Al-Kamil...

Abdullah meninggalkan banyak keturunan, antaranya Muhammad Nafs Az-Zakiyah atau Muhammad bin Abdullah yang juga dikenali sebagai Al-Mahdi semasa zaman peralihan keKhalifan Bani Umaiyah beralih ke Bani Abbasiyah. Daripada cabang Muhammad juga seorang adik (atau abang? saya tak pasti) muncullah para pemerintah di Maghribi sampai sekarang juga wali-wali besar seperti Sheikh Abul Hassan as-Shadzili, pengasas Tariqat Shadziliyah dan Sayid Ahmad bin Idris, pengasas Tariqat Ahmadiyah. Daripada seorang adik-beradik lain iaitu Imam Musa Al-Jaun muncul pula cabang yang membawa kepada Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir al-Jilani, juga satu cabang yang mewujudkan Sharif-sharif Mekah, cabang yang seterusnya membawa kepada keSultanan Brunei sampailah sekarang.

Keluarga anak cucu Abdullah Al-Kamil adalah besar, sangatlah besar... Sangat besar sehingga ramai yang tidak tahu mereka memiliki darah yang berkait walaupun sekarang mungkin dikenali sebagai orang Aceh, Bugis, malah Mandailing yang dikatakan keturunan Batak makan orang tapi masuk Islam. Sekian! :]


p/s: Peh... Lega dah settle cerita ni. Penat woo...

Ya Allah ya Tuhanku, saksikanlah... Hambamu ini telah cuba menjalankan amanah sebaik mungkin walaupun diri ini sendiri begitu lemah dan masih bergelumang dengan dosa. Selamats!


Dari Segamat kembali ke Muar... Apa ada dari Lenga ke Pagoh?

Sambung terus daripada posting bertajuk Dari Segamat kembali ke Muar... Peristiwa Bukit Kepong... yang dibuat malam tadi...


Dari Bukit Kepong, kami terus menghala ke Muar lalu sampai ke pekan seterusnya...


Di sini ada sebuah masjid (atau surau, lupa pula...) yang mengandungi sebuah kawasan perkuburan...


Di dalamnya, bersemadi jasad seorang ulamak Nusantara yang sangat terkenal iaitu Sheikh Fadhil Banten, juga dikenali sebagai Kiyai Fadhil Banten daripda Banten, Jawa. Kata orang, dia ni banyak gak karamah, pernah jadi guru pada Sultan Ibrahim Johor.

Nak tahu lebih lanjut, elok baca serba sedikit cerita tentang ulamak terkenal ini. Tadi saya buat google search... Sila baca tulisan di http://ulama.blogspot.com/2005/03/sheikh-fadhil-banten.html... Rasanya oleh almarhum Ustaz Wan Saghir...


Kemudian kami menziarahi makam seorang ulamak yang pernah hidup lebih dahulu, saya tak pasti bila tapi sekitar 150-200 tahun dahulu. Beliau ialah Sheikh Abdullah Sabihu yang datang daripada Pasai (sekarang dalam Aceh) di Pulau Sumatera lalu membuka kampung di Lenga. Kalau tak salah, sebab itu beliau juga dikenali sebagai Moyang Lenga...

Alfatihah... Baru sekarang terasa nak menyebut. Apapun seharusnya kita memberi hadiah bacaan Al-Fatihah kepada para almarhum dan arwah (bukan sedekah ya, mereka bukan pengemis. Silap adab tu). Rasanya cukuplah peringatan ini. Setiap kali saya mengenengahkan gambar makam-makam di mana-mana blogspot saya, anggaplah secara automatik saya sudah menyarankan setiap pembaca menghadiahkan Fatihah tanpa perlu lagi menyebut tentangnya...


Sampai masanya untuk meninggalkan pekan Lenga. Jalan utama tetapi begitu sempit yang berselekoh di hujung pekan ini menarik perhatian saya...


Hmm... Jarang saya jumpa jalan utama yang kelihatan begitu sempit. Untuk makluman, ini adalah sebahagian jalan utama Bukit Kepong ke Muar, dari Bukit Kepong pula boleh sampai ke Labis lalu ke Yong Peng juga Segamat...



Jalan utama dari Lenga menghala ke Muar tadi seterusnya akan membawa ke pekan Pagoh melalui jalan darat yang melalui kawasan berbukit. Sebaliknya kami memilih untuk melalui jalan lain yang lebih dekat ke Sungai Muar lalu sampai ke Kampung Gombang...


Kebetulan ketika itu sudah bermula pasar malam atau lebih dikenali di Muar sebagai pasar lambak, kami pun turun untuk bersiar-siar. Lagipun memang saya teringin melihat apa yang terdapat di Gombang... Kerana nama Gombang itu membuat saya teringat pada kisah Hikayat Malim Dewa yang ada menyebut bahawa nama sebenar pemerintah legenda kerajaan lama Muar ini adalah Tuanku Gombang Malim Dewa...


Setelah meninggalkan pasar lambak, baru kami ternampak sesuatu yang menarik dan mungkin boleh menerangkan sejarah Gombang. Letaknya sekitar 100 meter daripada pasar lambak yang diadakan mungkin seminggu sekali di kawasan pekan dalam kampung tersebut. Untuk huraian lanjut, sila baca artikel Masjid (mosque of) Kampung Gombang, Muar... yang baru dibuat semalam dalam blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) ...


Melalui jalan yang sama menghala ke Pagoh, kami sampai pula ke Liang Batu...


Seperti Bukit Kepong, Lenga dan Gombang, Liang Batu juga terletak di tepian Sungai Muar. Menurut ceritanya, tempat ini pernah menjadi tempat menetap atau bermastautin Lima Daeng Bersaudara (Daeng Parani, Daeng Merewah, Daeng Kemasi, Daeng Menambun dan Daeng Chelak) ketika mula-mula sampai ke Johor abad ke 18.

Hmm... Kenapa mereka memilih tempat ini ya? Apakah untuk "recharge power" melalui saluran wasilah keluarga dahulukala? Mungkin ada satu rahsia di sini... Mungkin ada satu rahsia yang boleh menerangkan hubungan persaudaraan kerabat diraja Bugis dengan Aceh zaman berzaman dahulukala. Hmm...


Sudah... Ada pula tempat bernama Rencong... Mereka yang meminati dunia persilatan serta senjata-senjata tradisional Melayu mesti pernah mendengar tentang senjata unik orang Aceh bernama rencong... Kalau nak tahu bagaimana rupanya, search sendiri pakai Google ya...


Tidak lama kemudian, baru kami bertemu kembali dengan jalan utama Bukit Kepong ke Muar...


Singgah sebentar di pekan Pagoh seterusnya pergi ke Kampung Raja untuk menziarahi Makam Sultan Alauddin Riayat Shah yang dikatakan mangkat tahun 1488 Masihi (kalau tak salah ingatan). Makam ini adalah satu-satunya Makam Sultan Melaka yang masih wujud hingga kini...

Gambar makam tidak disertakan kerana pernah diletakkan di dalam salah satu blogspot saya, tak ingat yang mana. Dan rasanya telah dipaparkan beberapa kali. Kalau mahu melihatnya, sila cari sendiri ya... Tak rugi menelaah balik cerita-cerita lama yang pernah dipaparkan di mana-mana blogspot saya sambil cuba mencari gambar makam itu kerana setiap cerita mengandungi sesuatu yang tersirat yang mungkin membawa makna baru apabila dibaca lagi...


Daripada Kampung Raja, kami melalui jalan kampung untuk pergi ke Muar, kalau tak salah ingatan melalui pekan Panchor. Tetapi sebelum itu, kami singgah di sebuah masjid lama di Kampung Olak Sepam...


Tu dia, siap diwartakan lagi. Mesti ada ceritanya yang tersendiri.

Saya pula teringat cerita seorang tua yang ditemui di Jorak lebih 2 minggu sebelum itu, ketika mencari tempat bernama Tanjung Olak... Setelah mendapat sebuah mimpi yang agak bermakna di mana saya menaiki sebuah bukit kemudian terkeluar pula nama Tanjung Olak. Tetapi apabila saya pergi ke tempat yang dinyatakan di dalam peta rasmi sebagai Tanjung Olak, ternyata tidak terdapat apa-apa bukit di sekitarnya.

Sekembali daripada Tanjung Olak untuk ke bandar Muar, saya singgah sebentar di Jorak untuk mengisi perut. Di situlah saya berjumpa orang tua yang memberitahu Tanjung Olak yang saya pergi itu bukan Tanjung Olak yang sebenar. Tanjung Olak yang sebenar seperti dikenali orang dahulukala terletak lebih jauh menghala ke timur-laut di sebalik liku-liku Sungai Muar... Apakah Olak Sepam ini tempat letak sebenar Tanjung Olak?


Yang pasti, Kampung Olak Sepam itu membawa kepada Kuala Sungai Pagoh yang bertemu dengan Sungai Muar. Di sini ada kesan sejarah lamanya yang tersendiri kerana daripada Sungai Pagoh lah seseorang itu boleh menaiki sampan (mungkin juga kapal) untuk masuk ke Kampung Raja di mana pernah bersemayamnya seorang Sultan Melaka yang dinyatakan sebagai seorang wali Allah terpilih, Sultan Alauddin Riayat Shah.

Sekian... Cerita ini akan disambung setelah saya dapat menyiapkan cerita-cerita mengenai bandar Tangkak dan Gunung Ledang yang akan dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH sebentar lagi. Semoga cerita-cerita Johor ini dapat disiapkan lalu ditutup hari ini. Selamats! :]

Monday, February 18, 2008

Dari Segamat kembali ke Muar... Peristiwa Bukit Kepong...

Subhanallah! Sampai masanya kita menutup cerita-cerita Johor dengan menyambung kembali daripada apa yang telah ditulis dalam artikel Segar yang amat sangat di Segamat... Ya ke? 10 hari lepas. Setelah bermalam di Masjid Lubuk Batu, Segamat (sila lihat artikel Makam-makam lama di (The old tombs at) Lubok Batu, Segamat... di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) ) sampailah masa untuk melangkah kembali ke Muar.
Petang tadi sebuah cerita bertajuk From Segamat to Muar, a stop around the village of Tenang telah dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH . Ia tentang beberapa tempat yang disinggahi dalam perjalanan kembali ke Muar tetapi sebelum masuk ke daerah Muar. Antara tempat yang disinggahi ialah Makam Tok Tenang, Hutan Lipur Taka Melor dan kolam air panas di Pekan Ayer Panas. Elok juga dibaca untuk kesinambungan sebelum diteruskan cerita di sini...

OK... Selesai berjalan-jalan di sekitar Labis terutama di Kampung Tenang, saya dan host saya di Segamat, Khairul pun memasuki Muar melalui mukim Bukit Kepong... Dalam perjalanan, terlihat sebuah bukit yang menarik hati, tak pasti kenapa... Lalu saya terasa wajib mengambil gambar. Mungkin satu masa nanti akan kelihatan apakah yang sebenarnya menarik tentang bukit ini? Sepertimana tanpa dirancang di Pulau Besar, Melaka, saya telah mengambil gambar tepian hutan bakau yang jika dilihat sekali lalu tidak ada apa-apa yang istimewa, tetapi apabila gambarnya dilihat setelah kembali ke rumah, ternyata ada sesuatu yang luarbiasa? Untuk memahami maksud saya, sila lihat Orang kenit di Pulau Besar, Melaka?


Setelah beberapa ketika, sampailah kami ke pekan kecil Bukit Kepong, pekan yang menjadi terkenal akibat Peristiwa Bukit Kepong di mana balai polisnya telah diserang komunis lalu ramai polis berbangsa Melayu terbunuh, semasa zaman darurat, kalau tak salah ingatan pada tahun 1960an dahulu...

Gambar ini diambil daripada atas jambatan menyeberangi Sungai Muar. Bangunan putih di kanan gambar adalah ibupejabat polis yang diserang komunis dalam Peristiwa Bukit Kepong itu, peristiwa yang menjadi lebih terkenal setelah difilemkan oleh Jins Shamsuddin dalam tahun 1980an gitu...


Saya mengajak Khairul menziarahi satu tempat terlebih dahulu. Letaknya menghala ke Durian Chondong... Dia pernah beberapa kali sampai ke sini...

Tempat yang dimaksudkan terletak di sebuah kampung bernama Pengkalan Kota... Letaknya di tepi Sungai Muar. Untuk mendapat gambaran kedudukannya, lihat bukit di latar-belakang gambar yang ada menara pemancar. Bandingkan dengan gambar yang diambil di atas jambatan tadi. Nampak tak bukit yang sama?

Kami turun untuk makan tengahari. Sebenarnya ketika itu sudah hampir jam 4 petang (atau lebih? Lebih kuranglah itu) tetapi kami belum makan apa-apa sejak pagi di Segamat tadi. Dan memang kami lapar setelah singgah di beberapa tempat, sempat mandi air terjun di Taka Melor kemudian mandi air panas seperti yang diceritakan di From Segamat to Muar, a stop around the village of Tenang ...


Selesai makan, baru kami ke sini untuk menziarahi Makam Raja Temenggung Saleh, pemerintah daerah Muar penghujung abad ke 19 kalau tak salah ingatan. Adapun kawasan ini dikenali sebagai Pengkalan Kota kerana ia pernah menjadi ibukota bagi daerah Muar yang memiliki pemerintahan tersendiri, pemerintahan oleh Raja-raja Temenggung Muar yang berasal daripada keturunan Sayid Ja'afar, kekanda kepada Bendahara Tun Habab. Sila masuk Makam-makam lama di (The old tombs at) Lubok Batu, Segamat... dan Makam (tomb of ) Bendahara Tun Habab untuk cerita berkenaan)...

Oh teringat saya kali pertama sampai di sini tahun 2005... Sampai saya boleh ditahan polis lalu dibawa pergi kerana dikhuatiri saya mungkin seorang penyamun ataupun perompak.

Apa yang berlaku, pada suatu hari saya telah menaiki teksi daripada Kampung Temiang ke bandar Muar. Entah kenapa, saya boleh tergerak untuk bertanya pemandu teksi apakah dia ada berdarah keturunan Bugis. Dalam sedar tak sedar, terkeluar cerita pasal Raja Haji dan keturunannya yang wujud di Muar, terkeluar juga sedikit cerita tentang kesukaan saya menziarahi makam-makam lama. Lalu pakcik itu menyarankan saya agar pergi ke Bukit Kepong dan mencari satu makam di sekitar Durian Chondong. Katanya, Sultan serta kerabat diraja Johor (yang dikenali ramai sebagai berketurunan Bugis) pun sering melawat makam tersebut.

Dipendekkan cerita pada satu hari keluarlah saya menaiki pengangkutan awam ke Bukit Kepong. Untuk pengetahuan ia terletak lebih 40km daripada bandar Muar. Saya pula sampai ke sana hampir jam 4 petang... Lalu terpaksa berjalan kaki kemudian hitchike beberapa kali menumpang kereta dan motosikal sebelum sampai ke tempat yang hendak dituju... Itupun selepas beberapa kali bertanyakan orang tentang tempat yang ada wujud makam lama, maklumlah, bukan semua orang tahu dan bukan semua mahu ambil tahu...

Masalahnya saya sampai ke Pengkalan Kota malam hari... Ternyata penduduk kampung kecil ini agak curiga, maklumlah malam-malam masuk kampung orang. Tetapi ada juga yang menerima kehadiran saya... Saya merancang untuk bermalam di makam malah selepas jam 9 malam, telahpun melabuhkan badan di atas tembok sebelah makam seorang diri! Tetapi kemudian datang beberapa orang kampung dengan lampu suluh menyuruh saya menurut ke jeti...

Kata mereka lebih selesa bermalam di jeti. Di sana, ada yang menceritakan bahawa kedatangan Temenggung Saleh ke Pengkalan Kota ini ada kena-mengena dengan Hikayat Malim Dewa dan Hikayat Malim Deman. Katanya lagi, setiap kali buaya-buaya di Sungai Muar lalu di Pengkalan Kota, mereka akan timbul di liku sungai yang terdekat seolah-olah memberi tabik hormat sebelum menyelam kembali setelah melepasi liku.

Kemudian tinggal saya keseorangan di jeti menunggu masa melelapkan mata. Tidak lama selepas itu, datang pula 2 orang polis berpakaian biasa tetapi menaiki kereta Kancil peronda lalu bertanyakan bermacam-macam soalan kepada saya... Datang dari mana? Buat apa? Ternyata ada yang tidak percaya dengan kehadiran saya... Rupa-rupanya Pengkalan Kota dan sekitarnya sedang menghadapi masalah penyamun dan perompak, katanya orang Indonesia... Yang pasti orang luar kampung dan saya memang pun orang luar...

Dipendekkan cerita saya disuruh menaiki kereta peronda mengikut ke balai. Kata mereka, demi menjaga hati orang kampung dan mengelakkan rasa curiga, elok saya tidur sahaja di balai. Mereka berjanji, esoknya akan hantar saya kembali ke Pengkalan Kota. Saya menurut sahaja... Yang peliknya balai polis terdekat adalah di Bukit Kepong tetapi mereka membawa saya ke sebuah tempat bernama Kebun Bunga pula, lebih 10km (mungkin 20km!) daripada Pengkalan Kota dan sudah menghampiri sempadan Segamat pula!

Di balai polis Kebun Bunga, saya disoal-siasat lagi. Setelah mendapati saya bukan pesalah, penyamun atau penyangak (malah mereka menghubungi ibu-bapa saya untuk memastikan cerita yang saya berasal daripada Muar tidak dibuat-buat), saya dibenarkan pergi... Pergi ke mana? Kata mereka, suruhlah ahli keluarga atau saudara-mara ambil. Ah, apa ini? Saya tidak mahu menyusahkan keluarga... Ketika itu sudah melepasi jam 2 pagi, dan jarak tempat ini hampir 60km daripada bandar Muar! Cakap memang senang... Mereka tidak tahu masalah saya dengan keluarga ketika itu... Maklumlah seorang graduan daripada London, bekas wartawan akhbar terkemuka berbahasa Inggeris tetapi kemudian tidak bekerja, merayap-rayap pula ke makam-makam lama... Berapa ramai keluarga yang tahan dengan kerenah anak sebegini?

Saya minta kebenaran untuk bermalam di balai tetapi mereka tak kasi pula... Agaknya mereka ingat saya orang gila. Apapun saya terima apa yang berlaku sebagai satu arahan daripada Allah untuk pergi ke tempat lain pula. Memandangkan sudah hampir ke Segamat, saya pun berjalan kaki dalam gelap-gulita melalui jalan utama yang berbelit-belit membelah kawasan ladang yang dikatakan tempat pontianak menyakat orang.

Dalam berjalan itu saya cuba menahan kereta dan lori yang lalu-lalang. Lagi berdesup laju mereka ada le... Terpaksalah saya terus berjalan menghala ke Segamat. Nasib baik akhirnya ada hamba Allah kesihan. Ceritanya, dia sudah bergerak jauh melepasi saya tetapi terdetik hati merasa kesihan lalu berpatah kembali mengambil saya, diturunkan di Jementah di mana masjidnya ada tempat orang musafir berehat.

Dipendekkan cerita sekali lagi, saya terus ke Segamat menaiki bas keesokan pagi. Itulah kali pertama saya melawat makam di Lubuk Batu (lihat Makam-makam lama di (The old tombs at) Lubok Batu, Segamat... ), setelah lama mendapat tahu akan kewujudan makam keluarga Raja Temenggung Muar di sana...

Oh, berbalik pada cerita di Pengkalan Kota. Khairul yang telah beberapa kali ke sini menunjukkan sebahagian daripada batu-batu yang pernah menjadi tembok kota lama...


Selesai ziarah di Pengkalan Kota, kami kembali ke pekan Bukit Kepong untuk masuk ke jalan utama menghala ke Muar melalui Lenga. Berhenti sebentar untuk mengambil gambar balai polis Bukit Kepong yang pernah diserang komunis dalam Peristiwa Bukit Kepong...


Ini pula kedudukan balai polis itu (yang kelihatan putih) dengan sungai dan jambatan. Sekian... Cerita akan disambung kemudian...