Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Friday, November 15, 2019

Spiritualiti Islam dalam Dunia Melayu - Tasawuf dan Wali-wali besar Alam Melayu abad ke-17

Meneruskan gerak penulisan 'berantai'. Bersambung daripada artikel Memperkasakan kembali kedudukan Melayu dan Islam melalui Perlembagaan.


Dari Universiti Malaya saya bergegas kembali ke ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) untuk mengikuti satu lagi majlis ilmu. Ia adalah edisi kedua siri syarahan "Islamic Spirituality in the Malay World" atau "Spiritualiti Islam dalam Dunia Melayu" oleh fellow dan pensyarah ISTAC, Profesor Baharudin Ahmad. Siri bermula pada 24 Okober 2019 iaitu pada setengah bulan lalu. Ia mahu diadakan sekali setiap 2 minggu petang Khamis. Lihat Spiritualiti Islam dalam Dunia Melayu - Dia yang Zahir Dia juga yang Batin.


Syarahan dijadualkan bermula pada jam 2.30 petang. Tetapi ketika itu pun majlis di UM baru sahaja selesai sedangkan ada jarak lebih 10 km perlu ditempuh berserta kesesakan jalan raya. Saya sampai ke bilik syarahan jam 3.02. Ketika itu kedengaran  Baharuddin sedang menyebut nama ulamak besar Aceh bertaraf wali abad ke-17 Masihi iaitu Sheikh Abdul Rauf Singkil. 

Diceritakan beliau kadangkala membuat perjalanan ke luar Aceh, antaranya ke Terengganu di mana terdapat seorang anak murid beliau iaitu Sheikh Abdul Malik. Inilah yang nanti dikenali sebagai Tok Pulau Manis, ulamak besar Terengganu bertaraf wali. Kata Baharuddin, Tok Pulau Manis berasal daripada keluarga diraja. Beliau kemudian keluar merantau ke Aceh untuk mengaji dengan Sheikh Abdul Rauf. Singgah dahulu ke Semarang lalu seorang bernama Sheikh Umar ikut sebagai rakan sepengajian.


Sheikh Abdul Rauf dikenali sebagai guru kepada ramai ulamak besar Alam Melayu. Tok Pulau Manis kemudian disuruh untuk menyambung pengajian di Mekah. Di sana beliau mengaji kitab Hikam karangan Ibnu Ato'ilah yang merupakan seorang khalifah Tariqat Shadziliyah. Tok Pulau Manis kemudian menulis lalu mensyarahkan kitab. Jadilah kitab Hikam Melayu yang menurut Baharuddin adalah kitab agama dan tasawuf paling besar pernah dihasilkan oleh seorang ulamak Melayu. Ia digunapakai dalam banyak sekolah-sekolah pengajian tradisional pondok sehingga ke wilayah-wilayah yang membentuk Indo-China.


Fikir saya syarahan kali ini mahu memanjangkan cerita tentang Tok Pulau Manis. Dalam syarahan terdahulu hadirin telah diperkenalkan dengan dunia falsafah Yunani purba sebelum dibandingkan untuk dicari persamaan dengan tradisi-tradisi pemikiran tinggi di bahagian dunia yang lain seperti di India dan China. Kemudian baru masuk ke dunia falsafah silam Islam yang mengambil pengaruh daripada falsafah Yunani... sebelum membawa kepada dunia Tasawuf ataupun Sufi. Disebut tentang beberapa konsep spiritual tinggi juga kebatinan yang terdapat di dalamnya, belum lagi masuk dunia Tasawuf ataupun Sufi di Alam Melayu...

Disebabkan siri ini sendiri diberi tajuk yang membawa makna "Spiritualiti Islam dalam Dunia Melayu" tentunya ia harus menuju ke situ. Syarahan pertama setengah bulan lalu boleh dikatakan pengenalan dan persediaan sebelum bercerita tentang Alam Melayu. Entah apa yang saya terlepas antara jam 2.30 hingga 3 petang semalam, tahu-tahu sahaja sudah disebut tentang Sheikh Abdul Rauf kemudian Tok Pulau Manis.

Rupa-rupanya syarahan kali ini lebih pada memperkenalkan ulamak-ulamak besar utama bertaraf wali di Aceh. Cuma peliknya tidak sekali pun dalam syarahan ini Baharuddin menyebut perkataan wali atau bahasa Inggerisnya saint. Yang disebut, selain menjadi ulamak mereka adalah insan-insan istimewa tetapi tetap manusia biasa. Ini dibandingkan dengan Nabi yang tentunya lebih daripada insan biasa. Disebut sekali nama Lukmanul Hakim sebagai contoh insan istimewa yang bukan Nabi.

Mungkin Baharuddin terlupa untuk menyatakan bahawa orang-orang seperti Sheikh Abdul Rauf dan Tok Pulau Manis diakui ramai sebagai wali. Kemudian beliau menyebut nama Hamzah Fansuri, ulamak besar yang pertama dan terawal antara 4 nama besar di Aceh. Beliau menyebutnya sebagai mufti pertama Aceh. Tapi setahu saya Hamzah tidak pernah menjadi mufti walaupun beliau ulamak besar yang telah menghasilkan banyak penulisan bersifat keSufian lagi tinggi nilai sastera hingga digelar sebagai pujangga.

Disebut bahawa Hamzah membawa ajaran Sufi bersifat doktrin. Nampaknya Baharuddin merujuk kepada penulisan-penulisan Hamzah yang kelihatan lebih menggambarkan teori dan falsafah Sufi, bukan pada pengalaman sebenar yang bersifat dzauqiah atau rasa memuncak kenikmatan tenggelam dalam ingatan kepada Ilahi. Disebut Hamzah membawa ajaran Wahdatul Wujud yang sering ditafsirkan mereka yang kurang faham sebagai mendakwa cuma Tuhan sahaja yang wujud, tidak ada yang wujud selain itu. Maka itu apa yang kita lihat di sekeliling kita, makhluk-makhluk dan sebagainya tiada lain adalah Tuhan belaka. Nauzubillah. Ini adalah pemahaman yang salah.

Baharuddin melukiskan satu gambar rajah. Batu dibaling ke dalam air lalu muncul riak berupa gelombang bulat yang membesar lapisan demi lapisan sekelilingnya. Riak itu muncul akibat batu. Tetapi ia bukan batu. Namun ia terhasil daripada batu. Tidak ada batu tidak ada riak itu. Nampaknya itulah gambaran yang hendak diberikan tentang ajaran Wahdatul Wujud.

Seterusnya disebut nama Sheikh Shamsuddin Sumatrani sebagai pengganti Hamzah. Yang ini jelas pernah menjadi mufti atau gelaran sebenarnya yang saya tahu Qadi Malikul Adil, jawatan ulamak tertinggi dalam kerajaan Aceh... pada zaman pemerintahan Sultan Iskandar Muda (memerintah 1607-1636 Masihi). Beliau menyebut Shamsuddin yang merupakan anak murid Hamzah membawa doktrin yang sama. Disebut pula nama pengganti Sheikh Shamsuddin iaitu Nuruddin ar-Raniri yang naik semasa zaman pemerintahan pengganti Iskandar Muda iaitu Sultan Iskandar Thani (1636-1641). Namun Nuruddin menentang ajaran dan para pengikut Hamzah dan Shamsuddin. Pada zaman Sheikh Abdul Rauf naik sebagai ulamak kerajaan tertinggi baru semua ini didamaikan sebagai betul belaka tapi kelihatan berbeza kerana lain sudut pandangan.

Pada saya walaupun Baharuddin langsung tidak menyebut perkataan wali tetapi yang diceritakan ini semuanya bertaraf wali (kecuali Nuruddin mungkin). Walaupun ada disebut tentang Sheikh Abul Hassan Shadzili yang mengasaskan Tarikat Shaziliyah abad ke-13 Masihi tidak banyak dihuraikan kecuali beliau adalah pengasas tarikat . Nampaknya ini dibangkitkan dalam konteks penulis kitab Hikam iaitu Ibnu Atho'ilah adalah seorang khalifah Tarikat Shadziliyah, Lalu disebut seorang Barat bernama Victor Danner telah menterjemahkannya menjadi buku berbahasa Inggeris bertajuk "The Book of Wisdom". Danner kemudian pergi ke Morokko (Maghribi). Beliau mengamalkan Tarikat Shadziliyah sehingga meninggal dunia.

Oh. Disebut juga sebuah kitab tulisan Sheikh Shamsuddin telah diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris oleh seorang bernama A.H. Johns dalam JMBRAS (Journal of the Malayan/Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society, satu makalah bersiri tulisan pengkaji-pengkaji Barat tentang Tanah Melayu bermula tahun 1878). Kata Baharuddin John kemudian memeluk Islam. Disebut bahawa sebelum itu seorang bernama Archer telah mengkaji Tasawuf di Aceh tahun 1930s. Disebut pula seorang Belanda bernama Snouck Hurgronje sebagai gigih mengkaji lalu masuk Islam malah mencapai taraf ulamak. Walhal menurut kebanyakan orang yang saya kenal terutama kawan-kawan di Aceh inilah perosak bangsa. Beliau masuk Islam sebagai penyamaran untuk mengaji karakter orang Aceh demi mencari kelemahan. Yang pasti hasil kajian itulah yang digunakan untuk Belanda mengalahkan Aceh awal abad ke-20.

Kata Baharuddin apabila orang Aceh pergi ke Mekah untuk menunaikan ibadah haji mereka bertemu dengan orang Turki lalu saling bertukar cerita. Disebabkan itulah kerajaan Turki Uthmaniyah dapat tahu tentang Aceh lalu menghantar bantuan menangani pencerobohan Barat. Pada saya beliau mungkin terlupa lalu mencampuradukkan zaman. Sehingga Ibnu Battutah dikatakan datang ke Aceh berjumpa raja Aceh yang alim terkenal walhal setahu saya ia sebenarnya merujuk pada raja kerajaan Samudera-Pasai yang wujud sebelum naiknya Aceh.

Untuk pengetahuan Ibnu Batutah sampai ke situ pada tahun 1345 Masihi. Kerajaan Aceh pula naik sebagai reaksi terhadap kejatuhan Kota Melaka ke tangan Portugis tahun 1511. Portugis kemudian menduduki Pasai (ketika itu Samudera-Pasai lebih dikenali sebagai Pasai sahaja) tahun 1521. Aceh mengalahkan Portugis lalu menyerap Pasai masuk ke dalam wilayahnya tahun 1524.

Tak mengapalah. Yang penting banyak cerita tentang ilmu dan keSufian dikongsikan. Disebut tentang konsep Nur Muhammad yang sangat penting dalam Tasawuf falsafah. Kata Baharuddin ibunya ada membaca hikayat berkenaan 60 tahun lalu.

Disebut bahawa Nuruddin ada menulis kitab bertajuk Hikayat Kejadian 7 petala Langit dan Bumi. Hal ini tercatat pada satu bahagian sisi dalam kitab Tajuk Muluk. Nuruddin menulis bahawa kehidupan dunia adalah satu pusingan - manusia bermula lemah dalam keadaan bayi lalu kembali lemah seperti bayi apabila sudah terlalu tua dan begitu juga sejarah. Ibnu Khaldun menulis hal sama dalam menerangkan turun naik suatu kerajaan dan peradaban. Kata Baharuddin, orang Sufi melihat masa juga begitu. Bagaimana ia bermula begitulah akhirnya.

Walaupun banyak perkara disentuh secara rata saya melihat lebih banyak diperkatakan tentang 4 ulamak besar Aceh bertaraf wali yang berperanan pada abad ke-17. Oleh kerana disebut juga nama Tok Pulau Manis yang berasal dari Terengganu biarlah artikel ini diberi tajuk kecil "Tasawuf dan Wali-wali besar Alam Melayu abad ke-17".


Memperkasakan kembali kedudukan Melayu dan Islam melalui Perlembagaan

Salam petang Jumaat 15 November 2019 bersamaan 18 Rabiulawal 1441 Hijriah. Merujuk pada artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Hikmah dan falsafah yang muncul dalam kegelapan  yang dipersembahkan awal pagi semalam. Pada penghujung artikel ada disebut bahawa pada jam 9 pagi saya harus berada di UM (Universiti Malaya) untuk menghadiri satu persidangan meja bulat tentang Perlembagaan Negara, Melayu dan Islam. Ini adalah cerita tentangnya.



Kelihatan adalah poster bagi majlis berkenaan. Tajuk dan panelis yang terlibat boleh dilihat dengan jelas. Ia adalah anjuran NGO bernama MUAFAKAT dengan Mi'raj berserta Akademi Pengajian Islam UM.


Adapun selepas mempersembahkan artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Hikmah dan falsafah yang muncul dalam kegelapan jam 4.04 pagi di tempat saya menginap malam sebelumnya iaitu masjid ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) saya harus melakukan lagi beberapa perkara. Sekitar jam 4.26 baru dapat melelapkan mata, bangunan kembali jam 4.54 untuk bersahur kerana mahu menunaikan puasa sunat hari Khamis. Jam 5.15 sambung tidur sebelum dikejutkan oleh laungan azan Subuh jam 5.38. Selepas solat berjemaah buat sedikit kerja, jam 7.20 sambung lagi tidur. Maka itu dekat jam 9 baru betul-betul bangun lalu bersiap. Jam 9.30 baru meninggalkan ISTAC. Jam 9.51 sampai ke UM melalui pintu belakang dekat Bukit Damansara.


Dari pintu masuk ada lagi jarak untuk sampai ke lokasi majlis iaitu bangunan Akademi Pengajian Islam UM atau singkatannya APIUM.  Gambar ini diambil jam 9.51 dari dalam kereta sebaik sahaja sampai ke perkarangan. Itupun tak pasti di manakah lokasi tepat iaitu satu bahagian bangunan yang dipanggil sebagai CUBE. Di belah manakah ia? Kelihatan beberapa buah bangunan sedangkan ia adalah kali pertama saya sampai. Selama ini saya cuma biasa dengan Jabatan Sejarah dan Akademi Pengajian Melayu (APM) serta tempat-tempat berdekatan di UM.


Saya mengambil sedikit masa untuk mengikat sampin memakai bengkung dan melengkapkan pemakaian busana tradisional Melayu. Nasib saya baik apabila melangkah masuk ke bangunan utama akademi terus ternampak sepanduk-sepanduk menyatakan sudah sampai ke lokasi tepat. Gambar ini diambil jam 10.01. Sekali lagi nasib saya baik kerana ketika sampai itu terdengar pengumuman panelis pertama baru sahaja dipanggil untuk memulakan pembentangan.


Dengan itu saya cuma terlepas upacara pembukaan yang mengandungi ucapan-ucapan alu-aluan oleh tokoh-tokoh berikut. Biar ditulis menurut atur cara terperinci yang diberikan :-


1. Profesor Madya Dr Syarifah Hayaati Syed Ismail, ketua Jabatan Siyasah Syar'iyyah APIUM

2. Dr Wan Adli bin Wan Ramli, presiden MUAFAKAT

3. Datin Profesor Dr Raihanah Abdullah, pengarah APIUM


Menurut atur cara pembentangan kertas kerja pertama harus bermula jam 9.45. Tetapi ia nampaknya terlewat lebih 15 minit untuk memberi peluang bagi saya mengikutinya sejak mula. 





Kelihatan pembentang pertama Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi bin Wan Hussain sedang memuliakan bicara. Beliau yang dinyatakan dalam senarai atur cara sebagai penasihat undang-undang Universiti Malaysia Perlis pernah menjadi penasihat undang-undang Sultan Terengganu dan duduk dalam majlis diraja sana. Beliau juga adalah penasihat Mi'raj.


Tajuk yang dibawa adalah "Sejarah Pemakaian Prinsip Perundangan Islam di Malaysia Menurut Jurispridens Watan". 


Diceritakanlah sejarah perundangan di Malaysia yang sebenarnya sudah bermula selewatnya pada zaman Kesultanan Melayu Melaka lebih 500 tahun lalu. Kita sudah ada undang-undang bertulis dalam bentuk Hukum Kanun Melaka diikuti Undang-undang Johor, Hukum Kanun Pahang, Undang-undang Kedah, Undang-undang 99 Perak dan sebagainya. Malangnya apabila penjajah British datang lalu membawa pengaruh undang-undang Barat undang-undang sedia ada dilonggokkan sebagai sastera undang-undang sahaja lalu tidak diberikan pengiktirafan sewajarnya. Pun begitu undang-undang tempatan negeri-negeri Melayu terus terpakai sekurang-kurangnya dalam wilayah masing-masing untuk mentadbir penduduk sehinggalah undang-undang British jadi terpakai selepas Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan tahun 1957 diikuti pembentukan Malaysia tahun 1963. 

Berdasarkan perkembangan sejarah tempatan inilah Perlembagaan Negara yang mula terbentuk apabila Persekutuan Tanah Melayu diasaskan tahun 1948 sepatutnya dibaca menurut kaca mata anak watan bukan kaca mata asing. Ini kerana sejarah dan perkembangan undang-undang di Tanah Melayu tidak sama dengan di United Kingdom di mana raja pernah dilucutkan kuasa lalu konsep kehendak orang ramai mengatasi undang-undang asal yang berdiri atas kedaulatan dan keabsahan raja sebagai wakil Tuhan di muka bumi. Di Tanah Melayu keabsahan tersebut dengan raja-raja sebagai khalifah untuk mendirikan hukum Allah SWT masih lagi berperanan besar malah paling tinggi jika Perlembagaan dibaca menurut kaca mata yang sepatutnya. Menurut kaca mata tersebut Perlembagaan Negara sebagai sumber undang-undang tertinggi memang sedia mengatasnamakan kepentingan agama Islam juga hak-hak orang Melayu. Ia termaktub jelas dalam beberapa artikel atau perkara Perlembagaan selain tersirat dalam perkara-perkara lain. Daripada segi sejarah pula ia memang kesinambungan daripada undang-undang Tanah Melayu yang berdiri atas hukum Syariah dan agama Islam.


Namun Wan Fauzi yang kepakarannya adalah dalam bidang jurisprudens iaitu falsafah undang-undang menegaskan bahawa berdasarkan prinsip undang-undang, surat-surat perjanjian  negeri-negeri Melayu menunjukkan ia tidak pernah dijajah British. Ia sebaliknya menerima naungan, yang dijajah cuma Negeri-negeri Selat seperti Pulau Pinang dan Melaka. Walaupun perbuatan British masuk campur hal ehwal negeri-negeri Melayu atas nama naungan kelihatan sama seperti penjajahan kerana boleh jadi melampau sehingga dapat menurunkan raja yang tidak disukai untuk digantikan dengan raja pilihan mereka (contoh saya ini)  daripada segi undang-undang ia bukan begitu. Daripada segi perundangan wilayah yang dijajah sudah hilang hak untuk meneruskan prinsip-prinsip perundangannya yang asal. Berbeza dengan negeri-negeri naungan yang mana undang-undang terdahulu masih terpakai kerana merupakan kesinambungan sejarah sejak zaman berzaman. Maka daripada segi itu boleh dikehadapankan bahawa Perlembagaan Negara Malaysia adalah kesinambungan daripada undang-undang terdahulu yang mengutamakan Islam lalu boleh ditafsir melalui kaca mata berkenaan.


OK. Tidaklah berhajat saya untuk menerangkan kesemua isi yang dikongsikan dalam pembentangan kerana banyak perkara teknikal yang walaupun alhamdulillah dapat saya faham tetapi adalah amat memenatkan jika hendak ditulis panjang lebar.


Cukuplah dikatakan, menurut Wan Fauzi perkara-perkara sedia ada dalam Perlembagaan memang mengutamakan Melayu dan Islam juga institusi beraja sebagai badan yang menjalankan amanah pemerintahan berdasarkan hukum-hukum Syariah. Dalam keadaan saya cuma dapat tidur kurang setengah jam sebelum sahur kemudian sambung dalam 23 minit sebelum Subuh kemudian sambung lagi sejam setengah selepas matahari naik iaitu tak sampai 2 jam setengah secara keseluruhan saya amat bersyukur dapat mengikuti pembentangan dengan baik, Apa lagi ketika itu (dan sampai sekarang sebenarnya ketika menulis ini) saya dilanda selsema, sakit gigi dan sakit kepala. Cuma rasa kurang tahan sejuk penghawa dingin akibat faktor-faktor tersebut disertai puasa menyebabkan tiada pembakaran makanan dalam badan yang boleh memberikan kehangatan.








Pembentang kedua Dato' Salehuddin bin Saidin cuma disebut dalam atur cara sebagai peguambela dan peguamcara bagi syarikat guaman Salehuddin Saidin & Associates.


Dalam slaid pula disebut beliau adalah anggota Majlis Agama Islam Selangor. Sebetulnya beliau juga adalah penasihat undang-undang kepada Sultan Selangor dan duduk dalam majlis diraja.


Beliau bermula dengan menerangkan kedudukan Perlembagaan Negara atau Perlembagaan Persekutuan membawa kepada undang-undang Islam negeri.


Umum tahu secara rasminya Sultan adalah ketua agama bagi setiap negeri. Maka undang-undang Islam adalah hak bagi setiap negeri di bawah kuasa Sultan.


Jika Wan Fauzi menerangkan kedudukan undang-undang negara berdasarkan kaca mata ideal anak watan terhadap Perlembagaan Salehuddin pula menunjukkan realiti sebenar pengalaman perundangan di dunia nyata yang mana kita harus berhadapan dengan tafsiran undang-undang dan kekuatan organisasi orang-orang yang meremehkan Islam.


Disebut bagaimana pada tahun-tahun terdahulu Mahkamah Syariah yang berada di bawah kuasa setiap negeri (kecuali di Wilayah Persekutuan - terus di bawah Yang di-Pertuan Agong) boleh menegakkan penghakiman masing-masing tanpa dapat diganggu-gugat Mahkamah Sivil. Tetapi akhir-akhir ini sudah dikacau apabila tafsiran lain diberikan terhadap undang-undang berkenaan. Misalnya kes ibu atau bapa masuk Islam. Apakah boleh mendaftarkan anak bawah umur 18 tahun sebagai penganut Islam? Dahulu cukup salah seorang ibu atau bapa memeluk Islam untuk melakukannya.  Mahkamah Syariah memutuskan begitu lalu tidak boleh disanggah Mahkamah Sivil. Sekarang  undang-undang yang sama ditafsirkan perlukan persetujuan kedua-dua pihak oleh Mahkamah Sivil. Tentunya ini membatalkan pengIslaman anak bawah 18 tahun yang salah seorang ibu atau bapa tidak mahu masuk Islam.


Menurut Salehuddin masalah yang melanda sehingga Mahkamah Syariah dipandang begitu kecil berbanding Mahkamah Sivil adalah antara lain disebabkan undang-undang agama Islam antara negeri tidak selaras.








Lalu diberikan beberapa cadangan bagaimana undang-undang Islam boleh diperkasakan.


Pembentang ketiga adalah Dr Mohammad Zaidi bin Abdul Rahman, pensyarah kanan Jabatan Siyasah Syar'iyyah, APIUM.


Beliau membentang tentang Piagam Madinah yang digubal oleh baginda Rasullah SAW sebagai rujukan terbaik untuk mendirikan undang-undang Islam...




















Seterusnya naik mantan Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz untuk merumuskan semua perkongsian sambil memberikan buah fikiran tambahan Beliau turut menjawab tuduhan sesetengah pengamal undang-undang bahawa Malaysia kononnya adalah sebuah negara sekular, bukan negara Islam. Ini adalah satu perkara yang kebetulan saya lihat sedang diviralkan oleh pihak-pihak tertentu sehari sebelum majlis berlangsung. Hal ini dengan segala alasannya sempat saya panjangkan kepada penganjur melalui WhatsApp apabila terlihat ia dalam Facebook lewat hari Rabu malam Khamis. Biar dicopy paste dakwaan-dakwaan yang dalam tempoh 7 jam naik di FB sudah dapat 58 share...


Mahathir shocked a lot of people when he declared in 2001 that Malaysia was an Islamic state. When Najib became PM, he said the same.

But here is a well-argued case against that.

In a speech delivered at a seminar in Kuching on November 9, retired Court of Appeal judge Mohd Hishamuddin Yunus gives not one but 10 reasons that clearly show why Malaysia is not an Islamic but a secular state.

One, while Islam is declared to be the State religion, the Constitution stipulates that [the position of Islam] is subject to the provisions on fundamental liberties, citizenship, the separation of the legislative, executive and judicial powers in Malaysia, federal-state relations, finances, elections, public services, etc. [Article 3(4)]

Two, the Constitution proclaims itself to be the supreme law of the Federation, as opposed to the holy book of any religion. [Article 4(1)]

Three, the Constitution guarantees the Rule of Law and Separation of Powers i.e. Malaysia’s laws are made, executed and interpreted by three secular institutions, namely, Parliament, the Yang di-Pertuan Agong (or the Cabinet or any other person as determined by Parliament) and the Courts respectively. [Article 39, 44 and 121]

Four, the Constitution confirms that decisions in Parliament are made by a majority; a basic feature of Democracies, and not Theocracies. [Article 62(3)]

Five, the Constitution regards “written law” and “common law” as the applicable laws in Malaysia. Substantive Islamic law is not considered “law” under the present legal framework; it must be legislated for. [Article 160 and 74(2)]

Six, the creation of key religious authorities i.e. the Majlis Agama, the Mufti and the Syariah courts, are all pursuant to laws passed by a secular institution i.e. the State Legislative Assembly. [Item 1 of State List]

Seven, all Ministers of Cabinet, members of the Houses of Parliament and Judges take an oath of office which requires them to “preserve, protect and defend” the Constitution, as opposed to any religion. [Sixth Schedule]

Eight, the Constitution guarantees freedom of religion for all persons. [Article 11(1)]

Nine, the Constitution does not create a Head of the religion of Islam for Malaysia.

Ten, there is no religious qualification with respect to office(s) in Government; thus, a person of any religious affiliation can be a member of the Legislature, Executive or Judiciary in Malaysia.


Butiran dakwaan tersebut dijawab Fairuz satu persatu sehingga butiran atau poin ke-7 di mana beliau berkata tak perlulah dipanjangkan lagu. Secara rata beliau berpendapat ia semua dibuat secara "suka-suka logik entah ke mana" (kata-kata saya ya) demi hendak mengetepikan keutamaan  Islam dalam Perlembagaan. Kemudian masuklah sesi terbuka di mana hadirin termasuk saya sendiri dapat bersoal jawab. Banyak perkara timbul tetapi biar dikongsikan sedikit sahaja...


Ramai tokoh-tokoh besar Melayu hadir menjadikan ini suatu majlis yang penting lagi bersifat intelektual. Kelihatan Tan Sri Abu Zahar Ujang, mantan Yang Dipertua Dewan Negara memberikan maklum balas berdasarkan situatisi politik negara kini. Secara rata beliau menyatakan betapa ahli parlimen sekarang ramai yang tidak berkualiti atau berpelajaran tinggi. Oleh itu mereka perlu 'disekolahkan' terlebih dahulu, baru boleh memahami hakikat sebenar undang-undang negara temasuk Perlembagaan yang secara tersurat dan tersirat meninggikan Islam mengatasi apa-apa agama lain.


Seterusnya seorang peguam muda yang dikenali sebagai Buzze Azam memberikan maklum balas sebelum menimbulkan pertanyaan. Beliau agak terkenal sebagai peguam yang berani mengenengahkan pendapat di Internet berdasarkan pengetahuan undang-undang untuk melawan arus ganas pihak-pihak yang asyik mencabar hak serta kedudukan Melayu dan Islam berdasarkan apa yang mereka dakwa sebagai rule of law (konon) . Baru-baru ini beliau telah memfailkan ke mahkamah cabaran ke atas kewujudan sekolah-sekolah vernakular (menurut kaum seperti sekolah Cina dan India) yang sebenarnya adalah bertentangan dengan Perlembagaan. Kata Azam beliau membuat cabaran kerana pihak-pihak berkenaan sudah melampau sehingga belanjawan negara pun mahu diberikan kepada sekolah-sekolah tersebut walhal yang layak menerimanya cuma sekolah-sekolah kerajaan juga sekolah agama Islam. 


Walapun ia ditolak oleh mahkamah (peringkat Persekutuan kalau tak salah) cabaran masih boleh diangkat melalui mahkamah peringkat lain. Dikongsikan sedikit strategi beliau kepada hadirin. Tak perlulah didedahkan. Buat apa beri pelung untuk musuh siap siaga? Cukuplah dikatakan bahawa cabaran terhadap kewujudan sekolah vernakular cuma yang pertama antara 9 cabaran yang akan dibuat Azam dan kawan-kawan peguam berdasarkan peruntukan-peruntukan sedia ada dalam Perlembagaan.


Perkongsian, maklum balas dan sebagainya menyebabkan majlis yang sepatutnya tamat jam 1  petang berpanjangan sehingga 2.30. Majlis akhirnya ditutup dengan bacaan "7 Wasiat Raja-raja Melayu" oleh budayawan Dr Ibrahim Ghaffar. Secara rata semua bersetuju bahawa Perlembagaan Negara atau Persekutuan memang bersifat menjaga kepentingan Islam dan Melayu. Kedudukan raja-raja juga diletak tinggi sebagai pelindung orang Melayu dan khalifah bagi menjalankan hukum-hukum Islam apalagi Perlembagaan itu sendiri bersumber daripada kuasa raja-raja yang didelegasikan ketika pembentukan Persekutuan Tanah Melayu 71 tahun yang lampau.

Masalahnya adalah  bagaimana hendak menghadapi realiti dunia sebenar di mana  ramai para peguam dan hakim bersikap anti-Islam bermaharajalela menafsirkan perkara lalu bertindak untuk mengatasi apa-apa usaha bagi mendaulatkan Islam. Sesungguhnya senario politik tanah air semakin meruncing meminggirkan Melayu dan Islam dengan naiknya puak-puak cauvinis yang amat membencikan kita lalu berusaha untuk merubah negara menurut selera yang menjahanamkan. Untuk menghadapi ini orang Melayu Islam harus bersatu hati menggabungkan kepelbagaian kepakaran lalu bergerak secara bijak dan berstrategi. Lebih penting lagi bagi saya adalah semua yang berjuang harus memperbaiki diri supaya betul-betul jadi orang Islam yang bertakwa. Dengan itu barulah mendapat nusrah pertolongan Allah SWT selain tidak boleh dibeli, dipermainkan mahupun diugut oleh musuh yang mahu membantutkan perjuangan.



Nota untuk diri sendiri : Ini adalah artikel ke 1,874 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU. Nombor ini mengingatkan pada Perjanjian Pangkor 1874 yang ada disebut sedikit dalam sidang meja bulat di UM sebelum saya bergegas ke ISTAC untuk syarahan yang diceritakan di atas. Rujuk balik artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Hikmah dan falsafah yang muncul dalam kegelapan. Masuk bab campur tangan British yang termaktub dengan perjanjian seorang panelis iaitu Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi memberitahu hadirin bahawa turut bersama dalam majlis adalah keturunan Laksamana Muhammad Amin. Beliau menunjuk pada saya yang sedang memakai busana tradisional Melayu penuh berkeris, bersampin, bertanjak. 

Untuk pengetahuan moyang saya itu adalah salah seorang yang terlibat dalam perjanjian. Tetapi beliau kemudian dibuang negeri ke Pulau Seychelles tahun 1877 bersama Sultan Perak ketika itu, Sultan Abdullah. Sesungguhnya saya melihat Perjanjian Pangkor 1874 sebagai titik penting 'penjajahan' British terhadap Tanah Melayu sehingga terbentuknya Malaysia yang kita lihat sekarang galak dengan cabaran umat bukan Islam terhadap pemiliki asal berbangsa Melayu dan Islam. Fauzi pula melihat perjanjian tidak melunturkan kuasa raja-raja seperti dibaca ramai. Pada beliau syarat yang kelihatan menghadkan kekuasaan raja pada hal agama Islam dan adat Melayu sahaja itu boleh dibaca kembali menurut tafsiran anak watan sebagai meliputi segala sesuatu kerana tersirat dalam makna agama dan adat.



Thursday, November 14, 2019

Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Hikmah dan falsafah yang muncul dalam kegelapan

Tengah hari Khamis 24 Oktober 2019 iaitu pada 3 minggu lalu saya telah mempersembahkan artikel bertajuk Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Tentang wahyu lebah dan antropologi spiritual dari masjid ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Melayu). Kini awal pagi Khamis 14 November saya mahu mempersembahkan artikel seterusnya dalam siri. Menariknya ia juga ditulis dari masjid ISTAC kerana seperti pada 3 minggu lalu saya beriktikaf lagi  supaya mudah mengikuti majlis-majlis ilmu pada siang Khamis setelah mendengar syarahan tentang klasifikasi ilmu pada petang Rabu.


Petang Rabu semalam 13 November 2019 saya sampai ke ISTAC untuk syarahan agak awal berbanding dahulu.


Ketika hendak masuk ke pintu utama siap terserempak dengan bas membawa pelajar dari kampus utama UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) di Gombak, pertama kali ini berlaku buat saya. Untuk makluman UIAM adalah badan induk yang menaungi ISTAC. Pelajar daripada sana boleh mengikuti majlis-majlis di sini begitu juga sebaliknya...


Saya masuk ke ruang syarahan jam 5.10. Pensyarah iaitu Sheikhul Kuliyyah ISTAC, Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar belum lagi kelihatan ketika itu. Pelajar dari Gombak pun belum masuk. Osman muncul lalu memulakan syarahan jam 5.14 dengan mengingatkan  sampai bahagian manakah buku "Classification of Knowledge in Islam" tulisannya  yang membentuk siri telah disyarahkan pada edisi minggu lalu. Maka edisi semalam harus dimulakan selepas bahagian tersebut. Cuma saya tidak dapat hadir minggu lalu kerana kurang sihat. Begitu juga keadaannya pada petang Rabu 2 minggu lalu. Kemudian baru tahu syarahan minggu itu telah dibatalkan lalu saya cuma terlepas satu sahaja syarahan.


Supaya jelas turutan perkongsian biar disebut bahawa syarahan terakhir dihadiri iaitu pada 3 minggu lalu  bermula daripada bahagian tengah muka surat 4 buku membawa ke tengah muka surat 5. Artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Tentang wahyu lebah dan antropologi spiritual menyebut bahawa ia adalah syarahan ke-4 bagi semester ini. Sekadar mengingatkan.  Buku sebenarnya telah disyarahkan selama 7 sesi/edisi pada semester lalu. Tetapi siri dimulakan kembali daripada muka surat 1 kerana muncul ramai muka baru mengikuti semester ini. 

Disebut dalam artikel itu bahawa bahagian yang disyarahkan adalah bersamaan separuh akhir syarahan ke-3 daripada semester lalu. Ini boleh dirujuk dalam artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Skop kajian meluas yang melebihi fahaman sains sekarang yang ditulis lebih 7 bulan lalu. 



Syarahan semalam bermula daripada perenggan kedua muka surat 10 iaitu tentang rujukan-rujukan semasa yang digunakan Osman dalam tesis PhD beliau yang kemudian menjadi buku. Dengan itu boleh dikatakan syarahan minggu lalu yang saya tidak hadir itu, syarahan ke-5 bagi semester ini meliputi pertengahan muka surat 5 hingga awal muka surat 10. Semakan artikel-artikel terdahulu menunjukkan ini adalah bersamaan apa yang telah dikongsikan dalam artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Mula memperincikan al-Farabi iaitu daripada syarahan ke-4 semester lalu. Syarahan semalam pula bermula dengan bahagian yang sama seperti syarahan ke-5 semester lalu. Lihat Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Kehidupan awal al-Farabi... antara ketenteraan dan kesarjanaan. Tetapi ada perbezaan perincian terutama berkenaan tulisan-tulisan yang dirujuk kemudian dilampirkan nama kitab dan penulis (ditandakan sebagai nota). Misalnya nombor 6 (kecil atas) apabila menyebut nama penuh Al-Farabi sebagai Abu Nasr Muhammad ibn Muhammad ibn Tarkhan ibn Awzalagh dalam muka surat 10 yang terpapar di atas.



Penerangan tentang nota ada terdapat pada penghujung bab iaitu pada muka surat 31 dan 32. Di sini tidak perlulah ditunjukkan muka surat 31 kerana boleh dilihat dalam artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Kehidupan awal al-Farabi... antara ketenteraan dan kesarjanaan. Apa yang hendak saya beritahu adalah jika dahulu banyak penerangan diberikan tentang orang-orang seperti Ibn Khalikan dan M.A. Mahfuz (rujuk artikel lama) untuk syarahan semalam ia tidak dipanjangkan. Sebaliknya ada yang tidak disebut dahulu diberi perhatian panjang kali ini. Paling utama adalah Ibn Nadim (nota 8). Kata Osman ini adalah tokoh besar silam Islam dalam ilmu mengatur buku atau ilmu perpustakaan lalu banyak ilmu tentang orang lain boleh dirujuk dalam buku beliau bertajuk Kitab al-Fihrist. Tambah Osman pengetahuan beliau "A to Z". Ini kerana Ibn Nadim (hidup abad ke-10 Masihi) menulis mengenai ulamak-ulamak utama Islam yang sezaman dan sebelumnya.


Secara rata syarahan semalam memang hampir menyamai apa yang telah dikongsikan dalam artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Kehidupan awal al-Farabi... antara ketenteraan dan kesarjanaan. Cuma syarahan lama itu sempat masuk pada muka surat 11 buku sedangkan syarahan semalam 'terbantut' pada pertengahan muka surat 10. Sebab apa? Sebab tiba-tiba berlaku blackout  (saya tak tahu apakah terjemahannya ke dalam bahasa Melayu) jam 5.56 petang. Ini menyebabkan ruang syarahan menjadi gelap gelita. Yang kelihatan cuma cahaya daripada komputer riba saya (kerana masih hidup akibat ada bateri) sebelum beberapa orang hadirin membuka lampu 'picit' telefon pintar masing-masing.


Ternyata seluruh bangunan ISTAC terputus bekalan eletrik, sesuatu yang belum pernah saya alami sejak pertama kali menjejakkan kaki 4 tahun lalu kemudian mula menjadi pelajar September 2018. Hal ini menyebabkan isi buku tidak lagi dapat disyarahkan menurut turutan kerana susah hendak dibaca. Sebaliknya muncul perbincangan panjang spontan tentang makna hikmah dan falsafah.


Hal ini terbit apabila ada yang meminta penerangan tentang pengajian falsafah memandangkan ulamak-ulamak silam yang dibincangkan dalam buku termasuk Al-Farabi semuanya juga adalah ahli falsafah selain menguasai banyak bidang lain termasuk sains dan feqah. Kesediaan ulamak silam untuk mendalami ilmu falsafah lalu turut mendalami ilmu logik ataupun mantik menjadikan mereka  dapat meliputi pelbagai cabang ilmu, tidak seperti ulamak sekarang yang cuma cenderung pada satu dua bidang sahaja lalu tidak dapat melihat suatu perkara dengan secara menyeluruh. 

Oh. Sebelum berlaku blackout Osman sempat memberikan Albert Einstein, saintis Barat terkenal itu sebagai contoh seorang ahli sains-falsafah. Kata beliau Einstein percaya pada konsep kesatuan wujud yang mana semua benda yang wujud dalam alam ini adalah saling terkait. Ini adalah konsep Tauhid kata Osman. Boleh jadi Einstein berfikiran begitu kerana dilahirkan sebagai seorang Yahudi.

Kata Osman, agama Yahudi dan agama Islam memiliki konsep Tauhid yang sama kerana berpegang pada Tuhan yang Satu. Perbezaan adalah lebih bersifat politikal, bukan pada perkara asas Tauhid. Hal ini berbeza dengan agama Kristian (kerana konsep Triniti - Tuhan 3 dalam 1).

Tentang Ibn Nadim seorang hadirin berkongsi pengetahuan bahawa ada para ulamak sibuk menyoalkan apakah orang ini Syiah ataupun Sunni. Kata Osman perkara sebegini tidak pernah diperbesar-besarkan oleh ulamak silam. Yang penting adalah ilmu pengetahuan yang dikongsikan. 

Osman memberitahu satu hari beliau pernah mengikut seorang kawan yang merupakan pensyarah di UM (Universiti Malaya) bertemu bapanya, seorang guru sekolah pondok di Kelantan, Didapati rupa-rupanya ayahnya sangat berpengetahuan dalam ilmu warisan ulamak silam sehingga pengetahuannya tentang ilmu logik (mantik) selain ilmu sufi melebihi para profesor di UM. Antara sebab jadi begitu adalah kerana keterbukaan ulamak silam terdahulu, satu hal yang sudah hilang hari ini. Keterbukaan diperlukan untuk menangani banyak masalah zaman. Ulamak dahulukala akan cuba menjawab apa sahaja persoalan yang ditimbulkan walau kelihatan berlawanan dengan Islam, tidak seperti ulamak sekarang yang terus menolak kalau kelihatan mengancam.  Ini adalah sesuatu yang tidak dapat ditangani dalam bidang fiqh sahaja kerana memerlukan pengetahuan ilmu kalam, sufi dan falsafah.

Falsafah sangat penting kata Osman tetapi ia diabaikan. Dalam kegelapan (yang ini bila dah blackout) yang berterusan sehingga syarahan tamat sekitar jam 7.05 petang (ia berpanjangan sehingga hampir jam 7.30) beliau bercerita bagaimana ketika bertugas sebagai pensyarah matematik di UKM (Universiti Kebangsaan Malaysia) dahulu beliau ada memulakan kelas falsafah sains. Tetapi ini tidak bertahan lama kerana kurang orang berminat. Kemudian apabila Profesor Diraja Ungku Aziz yang menerajui UM mendengar tentang ini ditariknya Osman ke universiti itu pula,. Dihantar Osman ke Amerika Syarikat untuk mendalami bidang falsafah lalu dibuka kuliah berkenaan. Tetapi itu juga tidak bertahan lama.

Kata Osman, Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang pernah membuka jabatan falsafah tetapi tidak bertahan lama. Sebabnya kerana mereka mengajar falsafah Barat. UIAM pun pada awalnya (tahun 1980an) ketika belum memiliki kampus sendiri ada membuka jabatan falsafah  tetapi tidak bertahan lama. Sama juga kesnya, orang kurang minat kerana  yang diajar adalah falsafah Barat. Cuma lebih malang kerana namanya universiti Islam tetapi tidak ada mengajar falsafah Islam.

Ditanya tentang orang mengaji sampai ke peringkat PhD yang bermaksud Doctor in Philosophy (Doktor Falsafah) tetapi tidak berminat pada falsafah kata Osman sebab orang tak faham apakah itu sebenarnya falsafah. Perkataan Arab falsafah adalah terjemahan bagi perkataan Inggeris philosophy sedangkan itu berasal daripada perkataan Greek philo yang bermakna love iaitu sayang atau cinta digabungkan dengan sophos yang bermakna wisdom iaitu hikmah. Itu yang orang sekarang tak faham. Falsafah sebenarnya adalah cinta pada hikmah. Ia lebih tinggi daripada sekadar cinta pada ilmu. Disebutlah hadis yang berbunyi begini :-


Hikmah adalah sesuatu yang hilang dari setiap orang mukmin. 
Di mana saja dia menemukannya, dialah berhak ke atasnya


Disebut juga bahawa Al-Quran mengandungi hikmah malah seluruh isinya adalah berhikmah. Dirujuk ayat-ayat awal Surah Ya Sin...


Ya Sin. Wal Qurannil Hakim 


(Terjemahannya : Ya Sin. Demi Al-Quran yang mengandungi hikmah-hikmah dan kebenaran yang tetap kukuh,)

Kan disebut tentang hikmah kata Osman? (Perkataan Arab hakim itu sebenarnya merujuk pada hikmah atau orang yang berhikmah, bukan orang yang menjatuhkan hukuman seperti faham kita sekarang).

Dalam kegelapan blackout itu dipanjangkan lagi beberapa perkara tentang falsafah dan hikmah. Tetapi cukuplah perkongsian daripada saya. Ketika ayat ini ditulis sudah jam 3.39 pagi. Ketika habis disemak kembali sudah jam 4.04 ( saya mula menulis jam 1.20 pagi). Pada mulanya ingat nak tulis petang nanti tetapi susah pula nak tidur. Jam 9 pagi pula saya harus berada di UM untuk satu persidangan meja bulat tentang perlembagaan negara, Melayu dan Islam. Sekian. Saya sudah menyampaikan.