Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Friday, February 27, 2015

Perjalanan ke-7 di Aceh - Makam para Merah, punca batu nesan Aceh dan makam Hamzah Fansuri

Salam malam Jumaat. Masuklah penceritaan pada hari ke-3 perjalanan di Aceh 13-19 Februari baru ini. Bersambung daripada Perjalanan ke-7 di Aceh - Hol Tuan di Kandang dan Emansipasi Citra Lamuri.



Pagi Ahad 15 Februari 2015 kami keluar awal menuju ke lapangan terbang.


Kumpulan GPTD yang bersama saya berjalan-jalan di Aceh harus kembali ke Malaysia. Begitu juga seorang rakan yang datang bersama daripada Melaka.


Tinggallah saya seorang diri untuk terus melihat Aceh kerana mahu berada di sini sehingga 19 Februari. Selepas berehat sejam dua di hotel baru saya keluar bersama seorang rakan orang Aceh yang kami biasa panggil sebagai Agam.


Kali ini kami berjalan menaiki motosikal.


Beliau membawa saya ke kawasan pendalaman menghampiri pergunungan selatan Banda Aceh, kawasan yang katanya dahulu terletak di dalam lingkungan kerajaan lama yang dipanggil Darul Kamal.





Kami masuk ke kawasan kampung terus ke satu lot tanah. Ada meuseraya atau gotong-royong sedang dilakukan oleh anak-anak muda Aceh.


Ia dilakukan oleh satu NGO bernama MAPESA, Masyarakat Peduli Sejarah Aceh. Hampir setiap minggu mereka melakukan kerja-kerja membaikpulih atau membersihkan makam-makam lama bersejarah. Kali ini mereka mahu mendirikan kembali batu-batu nesan yang sudah jatuh lalu tenggelam ke dalam tanah. Lihat artikel Erecting fallen Aceh tombstones to preserve history di blogspot BERPETUALANG KE ACEH diikuti artikel Sebuah kawasan makam yang baru didirikan kembali (A recently re-erected tomb area) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)
.


Antara paling terserlah selepas didirikan adalah batu nesan ini. Kelihatan seorang ahli arkeologi tempatan sedang membuat salinan tulisan pada batu untuk kajian. Bentuk batu nesan serupa dengan apa yang terdapat di makam Tok Sego Aceh, Perak. Mungkin ada kaitan apalagi apabila difikirkan rentetan peristiwa yang membawa kepada perjalanan ke Aceh 13-19 Februari ini, satu perjalanan tak diduga. 


Pada artikel Misi HIKMAH Beruas - Jejak Malikul Mansuryang ditulis lebih 2 minggu lalu saya ada memberitahu telah mendapat tawaran untuk berangkat ke satu tempat menarik. Tawaran diterima ketika menulis artikel sebelum itu, Misi HIKMAH Beruas - Faktor Tok Sego Aceh. Ia adalah tawaran untuk membuat perjalanan ke Aceh dengan segala kos ditanggung beres dan ini diterima sejurus selepas selesai perenggan menyebut tentang Tok Sego Aceh.


Seterusnya saya dibawa seorang rakan lain bernama Muammar ke satu kawasan pemakaman berdekatan yang beberapa batu nesannya lebih tinggi daripada saya. Lihat Makam (Tomb of) Meurah II. Meurah (sebutan Aceh) atau Merah merujuk pada bangsa raja-raja di Aceh dahulukala. Bangsa Merah ini dikatakan berketurunan Arab. Saya percaya mereka juga memiliki darah Parsi.



Di satu makam lain tapi berkaitan berdekatan, saya telah melelapkan mata beberapa minit sambil menunggu Agam untuk kembali bersama. Lihat Makam (Tomb of) Meurah I. Selepas bangun, Muammar bertanya jika saya ada bermimpi apa-apa. Saya saya tiada. Cuma semasa meninggalkan makam timbul rasa untuk memandang kembali ke arahnya. Ketika itu mata hati saya terlihat seorang lelaki sederhana tinggi berjubah berserban putih dengan muka Arab memandang sambil tersenyum, badannnya sedikit bersandar pada satu-satunya batu nesan yang diikat kain putih di situ, satu-satunya batu nesan sana yang saya dapat lihat serupa bentuknya dengan apa yang terdapat di makam Tok Sego Aceh di Perak.


Apakah makna semua ini? Yang saya tahu banyak perkara baik mula terbuka buat saya selesai  sahaja perjalanan ke Beruas lebih 2 minggu lalu, perjalanan yang dibuat untuk mengatur penganjuran satu acara HIKMAH di sana. Dalam perjalanan itulah timbul rasa untuk menziarahi makam Tok Sego Aceh walhal sebelum itu tak terfikir pun dalam kepala. Selepas ziarah ke makam para Merah saya membonceng motosikal Agam memotong satu laluan bukit ke barat sambil Muammar ikut dengan motosikalnya di belakang. Oh, sebelum itu kami ada singgah di satu tempat peranginan. Lihat The pools of Mata Ie.


Perjalanan tersebut memotong bahagian rendah bukit yang kelihatan. Muammar memberitahu puncak tertinggi iaitu di sebelah kanan gambar ada disebut dalam kitab lama Bustanus Salatin karangan Sheikh Nuruddin ar-Raniri hampir 400 tahun lalu sebagai Jabal A'la, bukit yang tertinggi.


Agam mahu membawa saya ke satu kawasan pemakaman berdekatan Lautan Hindi yang batu-batu nesannya tidak memiliki hiasan juga tulisan. Lihat Makam-makam dengan batu nesan Aceh tak lengkap (Tombs with incomplete Aceh stones). Beliau percaya berdekatan makam itu terdapat satu pusat pembuatan batu nesan Aceh. Tetapi ia telah lama ditutup atau ditinggalkan, mungkin akibat pencerobohan askar Belanda yang bermula tahun 1873. Akibat tiada lagi tukang untuk menyempurnakan kerja  batu-batu nesan belum cukup sifat digunakan untuk menandakan makam...


Kata Agam hal ini disokong kewujudan batu mentah belum dipotong kecil seperti ini yang terdapat di sebuah masjid berdekatan. Saya telah meneliti batu tersebut lebih dekat lalu mendapati ia memang jenis yang biasa digunakan untuk batu nesan Aceh.


Batu jenis ini bukan boleh didapati di semua tempat. Seterusnya kami menziarahi makam seorang menteri Aceh dahulukala yang katanya pandai menjinakkan binatang, pernah menjadi guru kepada Sultan Iskandar Muda (memerintah 1607-1636) mengajar ilmu gajah dan haiwan lain. Ketika ini Muammar telah berpecah arah menuju ke Banda Aceh. Lihat Makam (Tomb of) Maharaja Gurah


Tujuan utama saya mahu ke kawasan ini adalah untuk menziarahi makam wali besar Aceh abad ke-16 dan 17 Masihi iaitu Sheikh Hamzah Fansuri. Lalu di sebuah masjid, kelihatan sebuah tugu menunjukkan aras air semasa ombak besar Tsunami melanda Aceh 26 Disember 2004. Lihat Masjid (Mosque of) Indrapurwa.


Dalam lawatan ke Aceh kali ini baru saya sedar tugu-tugu sebegitu bukan menandakan ketinggian ombak tetapi paras genangan air iaitu air yang bertakung beberapa lama selepas ombak surut. Ini bermakna ombak jauh lebih tinggi! Apapun perjalanan ke makam Hamzah Fansuri harus melalui tepian satu barisan bukit. Sepanjang barisan boleh kelihatan jenis batu yang biasa digunakan untuk membuat batu nesan Aceh.


Perjalanan juga melalui tepian laut lalu memberikan pemandangan yang agak mengasyikkan. Lihat Views towards Ujong Pancu.



Sampai ke hujung jalan kami meletakkan motosikal lalu mula berjalan kaki. Untuk pengetahuan makam Hamzah terletak sekitar 1 km gitu ke dalam hutan.


Dalam perjalanan boleh kelihatan lagi jenis batu yang biasa dibuat batu nesan Aceh. Nampaknya seluruh barisan bukit sini adalah sumber untuk mendapatkan batu. Patutlah satu kawasan bernama Meuraksa tidak jauh dari sini dicatat sebagai pusat pertukangan dan bekalan batu nesan Aceh.


Tidak lama kemudian sampailah ke makam. Alhamdulillah sempat sampai ketika hari masih terang. Dahulu saya pertama kali sampai penghujung 2011 dalam kekaburan waktu senja. Lihat Makam Hamzah Fansuri dalam keadaan lebih terang (Tomb of Hamzah Fansuri in clearer condition).


Selepas itu ada lagi satu tempat di sekitar yang saya rasa perlu diziarahi sebelum betul-betul boleh merasa puas hati, sebuah kubah yang tercabut daripada bumbung masjid lalu dihanyutkan jauh oleh air deras. Lihat Kubah Masjid Tsunami (Tsunami Mosque Dome), Peukan Bada. Sebelum hari gelap kami sempat singgah di satu masjid yang mencuri perhatian. Lihat Masjid (Mosque of) Teungku Chik Maharaja Gurah..


Tuesday, February 24, 2015

Perjalanan ke-7 di Aceh - Hol Tuan di Kandang dan Emansipasi Citra Lamuri

Masuk ke hari kedua perjalanan. Bersambung daripada Perjalanan ke-7 di Aceh - Memberi rasa dan cinta kepada penggiat muda...


Sabtu 14 Februari 2015. Selepas sarapan kami menyambung lawatan ke tempat-tempat bersejarah.



Lokasi pertama adalah Masjid Baiturrahman. Hari sebelumnya cuma orang lelaki yang sampai untuk solat Jumaat. Kali ini orang perempuan turut melawat.


Di satu bahagian halaman masjid kelihatan anak-anak sekolah tadika berdiri mengelilingi sebuah kotak hitam.


Rupa-rupanya mereka diajar tentang umrah dan Kaabah.


Seronok budak-budak boleh 'tawaf'... :]


Di hadapan masjid ahli kumpulan GPTD menyatakan misi utama perjalanan mereka ke Aceh - Emansipasi Citra Lamuri, Mereka mahu melacak atau menelusuri sejarah kerajaan lama Lamuri yang merupakan cikal bakal Kesultanan Aceh. 


Pusat kerajaan tersebut terletak 40 km perjalanan ke timur Banda Aceh. Kita lihat dahulu apa yang ada dalam kawasan bandar, antaranya Pintu Khop yang merupakan pintu gerbang ke taman larangan istana terutama ketika Sultan Iskandar Muda memerintah 400 tahun lalu.


Ini pula Gunongan, taman permainan yang dibina Iskandar Muda untuk isterinya, seorang puteri dari Pahang.


Semasa di sini saya diberitahu oleh pemandu pelancong, sahabat kami Ustaz Mujib bahawa kami telah mendapat jemputan untuk 4 acara Maulidur Rasul. Untuk pengetahuan Aceh memiliki tradisi di mana tanggal kelahiran junjungan besar kita, Nabi Muhammad SAW disambut selama 100 hari. Kampung-kampung mengambil giliran untuk mengadakan acara. Dengan itu orang kampung lain dapat datang memeriahkan sambil merapatkan silaturrahim.


Ustaz Mujib kata kita boleh pergi ke keempat-empat acara jika mahu. Tapi mana sempat kerana kami ada misi melawat tempat-tempat bersejarah terutama tapak kerajaan Lamuri. Dia pun meminta saya untuk memilik satu. Apabila mendengar nama Kampung Kandang antaranya, saya terus memilih itu kerana tahu nilai sejarahnya yang tinggi. Kelihatan di atas kami sampai ke kampung tersebut disambut ketua Disbudpar Banda Aceh. Disbudpar adalah singkatan untuk dinas (jabatan) budaya dan parawisata (pelancongan).


Kedatangan kami malah disambut oleh para pemuka kampung dan sekitarnya.


Rupa-rupanya acara Maulud di kampung ini disambut bersama majlis haul seorang tokoh ulamak yang katanya pernah hidup 900 tahun lalu. Majlis diadakan di sebelah kawasan makam tokoh tersebut.


Layan makan tengah hari dahulu sebelum ke makam.



Turut hadir beberapa orang wartawan tempatan. Apabila mendapat tahu kami datang dari Malaysia mereka pun menemuramah.



Saya sudah sampai di kawasan pemakanan ini sekurang-kurangnya 2 kali. Tapi baru kali ini tahu siapakah yang dipanggil Tuan di Kandang. Itulah tokoh yang katanya hidup 900 tahun lalu. Pada majlis hol, namanya disebut sebagai Al Maqdum Abi Abdullah Sheikh Abdurrauf al Mulaqqab, berasal daripada keturunan Bani Seljuk Turkistan yang bermastautin di Baghdad.


Makam dan sekeliling juga kelihatan lebih cantik berbanding dahulu. Lihat artikel Rupa baru makam Tuan di Kandang (New look of the tomb of Tuan di Kandang) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).



Selepas bersolat di masjid berdekatan kami pun mengorak langkah ke tapak kerajaan Lamuri...


Sebelum sampai ke Teluk Lamreh yang pada tanjung di timurnya terdapat tapak kerajaan kami singgah di dua buah benteng atau kota perang  di barat teluk. Lihat artikel On to Indrapatra and Iskandar Muda forts di BERPETUALANG KE ACEH,


Jam 5 petang baru kami masuk ke kawasan yang dikatakan tapak pusat Lamuri.


Untuk sampai ke sini kami harus berjalan kaki sedikit naik bukit. Ternyata ini sangat berbaloi. Pemandangan cantik menunggu sesiapa sahaja yang berusaha. Lihat Savouring a bit of the beauty of Lamuri.


Di sekitar terdapat sejumlah makam-makam lama milik raja-raja, pembesar dan ulamak. Satu terletak di puncak bukit yang kelihatan, satu di belakangnya. Lihat Makam lama di puncak bukit di Lamuri (Old tomb at the top of a hill in Lamuri) juga Makam seorang Sultan Lamuri yang bertakwa (Tomb of a pious Sultan of Lamuri).


Hampir senja kami singgah di Benteng Inong Balee, juga dikenali sebagai Benteng Malahayati. Lihat Malahayati fortress at almost sunset.


Sebelum malam menjelmap kami pergi ke makam Laksamana Kemalahayati, panglima perang perempuan terulung Aceh yang namanya diabadikan pada benteng tadi.



Tapi cuma saya dan seorang sahaja lain betul-betul menziarahi makam yang terletak di atas bukit. Lain-lain menunggu dalam van di halamam kompleks makam sambil menghilangkan penat...





Monday, February 23, 2015

Melacak Daulah Shalihiyyah di Sumatera


Pada artikel Perjalanan ke-7 di Aceh - Memberi rasa dan cinta kepada penggiat muda yang disajikan separuh hari tadi saya ada menunjukkan gambar mesyuarat silaturrahim bersama sejumlah aktivis budaya dan sejarah Aceh. Salah seorang daripada mereka adalah Ustaz Taqiyuddin Muhammad, seorang pakar epigraf, boleh membaca segala macam bentuk tulisan khat yang rumit-rumit pada batu nesan Aceh yang sering menandakan makam raja-raja, para bangsawan, panglima dan ulamak besar di Alam Melayu. Beliau telah menulis buku di atas lalu meletakkan beberapa naskah di atas meja. Kami yang datang daripada Malaysia berenam pun membelinya.

Buku ini saya dapat tahu kewujudannya beberapa bulan lepas lalu menyimpan hajat untuk memilikinya sekian lama. Tajuk Daulah Shalihiyyah merujuk kepada Sultan Malikus Saleh yang dikatakan mengasaskan kerajaan Samudera dan Pasai (kemudian diserap ke dalam Aceh) lebih 700 tahun lalu dan keturunannya yang mewarisi takhta. Saya mula membacanya selepas hari ke-3 berada di Aceh dalam perjalanan ke-7 itu. Ketika kembali ke Malaysia petang Khamis saya sudah membaca dan menelaah lebih separuh 308 muka surat yang ada.

Pembacaan akhirnya dapat ditamatkan petang tadi dalam kereta ketika menghantar seorang anak kembali ke asrama di Sungai Besar, Selangor. Oleh kerana ketika itu saya agak sibuk mahu mengikuti perkembangan projek tertentu melalui komputer, isteri saya pun memandu. Saya duduk di sebelah menelaah apa yang patut. Selesai kerja itu saya menyambung pembacaan buku. Dengan selesainya bacaan saya rasa harus memberikan sedikit maklum balas sebelum dapat beralih kepada beberapa kerja lain.

Penulis cuba mengenengah satu teori baru asal-usul Sultan Malikus Saleh berdasarkan bacaan pada beberapa batu nesan yang dikira ada kena-mengena. Baginda cuba dikaitkan dengan dinasti raja-raja Islam yang pernah memerintah India 800 tahun lalu. Walaupun tidak bersetuju dan ada teori lain tentang asal-usul Malikus Saleh saya kira ia percubaan yang menarik, memiliki hujah yang tersendiri. Yang pasti buku ini memiliki kekuatan kerana dapat melacak perjalanan pemerintahan kerajaan Samudera dan Pasai berdasarkan bukti bertulis daripada batu nesan yang dipadankan dengan sumber-sumber lain termasuk hikayat dan cerita-cerita lisan.

Paling menarik saya kira berdasarkan catatan pada batu nesan adalah kewujudan satu watak bernama Manshur atau Mansur, dipercayai anak kepada seorang Sultan Pasai bernama Zainal Abidin Ra-Ubahdar (ada sekurang-kurangnya 4 orang pemerintah sana memakai nama Zainal Abidin). Dipadankan dengan beberapa peristiwa sezaman berkenaan perkembangan Islam di Alam Melayu penulis percaya Manshur ini tidak lain adalah Sultan Mansur yang memerintah Melaka, 1456-1477 mengikut kiraan yang digunakan sejak lama, 1379-1451 gitu menurut kiraan baru yang diketengahkan kerajaan Melaka 4-5 tahun lalu berdasarkan tempoh pemerintahan raja-raja yang disebut di dalam kitab Sulalatus Salatin versi Raja Bongsu. Penulis nampaknya membuat telahan berdasarkan tarikh pemerintahan lama. Beliau menjelaskan Sultan Mansur diarahkan oleh bapanya Zainal Abidin untuk menjaga Kota Melaka yang menurut beliau sebenarnya adala bahagian daripada kerajaan Samudera Pasai.

Saya sendiri pernah mencapai kesimpulan bahawa Melaka terbit daripada kegemilangan Pasai. Lihat artikel Melaka di dalam Samudera-Pasai sebelum Sultan Mansur Syah menaiki takhta 1379 Masihi? yang ditulis setahun setengah lalu. Namun saya sekadar mengatakan Melaka adalah bawahan Pasai yang memerdekakan diri selepas Mansur menjadi raja. Belum terfikir pun baginda mungkin adalah anak Sultan Zainal Abidin Pasai. 

Selepas ini saya harus mengkaji perkara ini dengan lebih teliti dan mendalam. Ternyata buku ini, walaupun ada bahagian seperti dakwaan asal-usul Malikus Saleh saya tidak setuju, adalah buku yang baik untuk melacak perjalan pemerintahan Daulah Shalihiyyah, keturunan raja agung yang memiliki tempat istimewa dalam perkembangan agama Islam di Alam Melayu.