Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Saturday, November 09, 2013

Kenangan zaman UK : Mengimbau melalui paspot

Adapun pada ketika ini sudah masuk hari Sabtu 9 November. Petang karang saya dijadualkan berangkat ke Aceh dan akan berada di sana sehingga petang Khamis minggu depan yang kebetulan jatuh pada 10 Muharram, satu tarikh yang sangat bermakna dalam sejarah Islam. Sebelum itu saya rasa wajib meluahkan sesuatu dari zaman belajar di UK. Ikut rancangan asal saya mahu bercerita panjang lebar tentang universiti tempat saya belajar dan hari-hari di sana.

Tetapi ini boleh membawa pada penceritaan yang agak berat merungkai pelbagai perkara yang meliputi pasang surut hidup. Sedangkan saya terasa penat, perlu bersedia untuk perjalanan ke Aceh. Kebetulan tadi saya cuba mencari student card lama tapi tak jumpa, mungkin dah dibuang atau tak sengaja terbuang agaknya. Tergerak pula untuk melihat paspot lama yang dipakai ketika di UK 1991-1995. Maka biarlah kenangan diimbau melalui paspot. Bersambung dari Kenangan zaman UK : Keriangan hari pertama di London


Ini paspot antarabangsa yang pertama saya miliki, dibuat semata-mata untuk menyambung pelajaran di UK. Masa tu saya setakat membuat untuk satu tahun. Tetapi tempoh sah boleh dilanjutkan sehingga 5 tahun atas kebenaran imigresyen.

Bayangkan masa itu, umur 20 tahun nak masuk 21, masih lagi pelajar yang semasa zaman kolej biasa terima elaun sekitar RM250. Tiba-tiba diberi RM5,000 untuk belanja persiapan awal ke UK, untuk buat paspot, beli baju sejuk, beg pakaian dan belanja kehidupan untuk sebulan dua terawal sebelum dapat elaun bulanan yang disalurkan melalui bank tempatan. Elaun bulanan 305 Pound Sterling yang bersamaan sekitar RM1,500 itu terasa begitu besar. Walhal bila dah sampai baru tahu, ia sebenarnya sangat kecil, lebih rendah daripada belanja yang diterima sebulan oleh penduduk UK yang tidak bekerja tetapi boleh hidup dengan duit welfare, elaun kebajikan...


Tentang paspot boleh ditambah tempoh lanjut zaman itu ditunjukkan pada muka surat seterusnya. Kalau sekarang ni tak boleh buat lagi macam ni, kalau nak 5 tahun kena buat paspot baru dan bayar lebih. Di satu lagi muka  kelihatan apa yang dipanggil Schengen Visa, dipohon dari kedutaan Peranchis di London 1995. Ia membenarkan kita masuk ke 12 negara di Eropah (kalau tak salah ingatan) menggunakan visa yang sama. Saya buat ini untuk perjalanan hitchhiking seorang diri keliling benua musim panas tahun itu.


Saya pertama kali pergi ke UK ketika penghujung musim panas 1991. Dah nak masuk musim luruh dan cuaca sudah menyejuk. Bila melihat paspot ini baru saya tahu tarikh tepat bertolak dari Malaysia adalah 6 Okt dan sampai di London 7 Okt. Yang saya ingat naik pesawat 13 jam tanpa henti.

Adapun tempoh pengajian yang dijadualkan adalah selama 3 tahun. Maka tertera di paspot saya dibenarkan berada di sana sehingga 31 Okt 1994. Siapa sangka akan berlaku beberapa hal yang menyebabkan saya berada di sana setahun lebih lama?


Di sini kelihatan tarikh saya kembali untuk bercuti musim panas tahun 1992. Cap-cap menunjukkan saya meninggalkan UK 2 Jul dan sampai ke tanah air 3 Jul, masuk kembali ke UK 25 Sept. Melihat ini baru saya teringat. Saya asalnya adalah pelajar tajaan JPA, Jabatan Perkhidmatan Awam. Namun keputusan peperiksaan A-Levels iaitu waktu zaman kolej di Malaysia tidak cukup baik untuk masuk tahun satu universiti  di UK. 

Sebaliknya kebanyakan pelajar disuruh mengikuti tahun satu  di Shah Alam di bawah program yang dipanggil NCUK (Northern Consortium United Kingdom). Ia adalah program twinning atau berkembar dengan sejumlah universiti terutama di utara UK, dibuat untuk menjimatkan belanja. Dengan membuat tahun pertama di Malaysia, yuran universiti dapat dikurangkan,. Lebih ketara adalah penjimatan kos sara hidup yang sangat berbeza, jauh lebih mahal di negara orang. Masuk tahun kedua baru boleh ke sana.

Dengan kuasa Allah SWT saya telah mendapat tawaran untuk masuk University College of London (UCL), salah sebuah universiti paling terkemuka di UK malah di dunia. Mungkin tawaran dibuat kerana melihat potensi diri yang tercermin pada keputusan peperiksaan-peperiksaan sebelumnya juga karangan yang dibuat ketika memohon tempat. Untuk pengetahuan saya mempunyai rekod pelajar cemerlang sekurang-kurangnya dari segi kepandaian ilmu terutama dalam bidang matematik sejak sekolah rendah. Tetapi akibat masalah disiplin saya pernah dibuang kolej dan ini mengganggu pencapaian pada peperiksaan yang diambil selepas itu.

Namun UCL tidak termasuk dalam NCUK. Ini bermakna kalau ikut program NCUK saya akan terlepas peluang belajar di UCL sedangkan saya tidak layak untuk ditaja terus tahun pertama di sana. Kemudian saya mendapat satu jalan. Kita boleh pergi tahun pertama di UK dengan penajaan sendiri kemudian menyambung dengan JPA. Syaratnya mesti lepas tahun pertama tanpa masalah dan apabila disambung ia bukan lagi biasiswa penuh tetapi bertukar menjadi pinjaman bersyarat iaitu pinjaman ditukar jadi biasisawa jika mendapat ijazah kelas tertentu. 

Saya berjaya memujuk keluarga untuk menaja. Balik musim panas 1992 itu adalah untuk mengatur penyambungan semula pembiayaan dengan JPA. Turut kelihatan pada gambar tarikh 2 Okt 1995. Ia adalah tarikh saya sampai kembali ke tanah air setelah selesai tempoh belajar.


Mukasurat seterusnya menunjukkan kebenaran untuk menetap di UK pernah ditambah satu tahun lagi ke 1995. Ini disebabkan berlaku beberapa perkara yang merenjatkan pembelajaran lalu saya terpaksa mengulang setahun. Kebenaran dipanjangkan dari tarikh asal 31 Okt 1994 (lihat gambar ke-3) ke 30 Sept 1995. Di sebelahnyaada menunjukkan penambahan 2 bulan menetap. Saya tak ingat untuk apa. Mungkin ia dibuat 1994 sementara menunggu keputusan peperiksaan tahun dua yang diulang sekali lagi, apakah saya dibenarkan untuk masuk tahun ketiga merangkap terakhir pengajian...

Turut kelihatan cap menunjukkan saya masuk ke Ramsgate 18 Sept 1995 iaitu salah satu pintu masuk ke UK melalui feri dari Peranchis. Ini haruslah tarikh saya menamatkan pengembaraan sebulan pusing Eropah. Pengembaraan ini akan diceritakan di blogspot ini selepas tamat siri "Kenangan zaman UK". Sementara itu pembaca boleh mengikut cerita berkenaan di blogspot berbahasa Inggeris BERPETUALANG KE ACEHIa dibuat sekitar 1996-1997 untuk dimasukkan ke dalam The New Straits Times ketika hari-hari awal saya berkhidmat sebagai wartawan akhbar itu. Lihat Europe hitchiking trip of 1995 compilation of stories.


Ini pula adalah beg-beg lama yang terlihat semasa mencari student card universiti tadi. Beg-beg ini kalau tak salah adalah dari zaman pengembaraan 2003- 2011 atau 2012 gitu. Ia mengingatkan saya juga memiliki beg-beg serupa dari zaman UK tapi nampaknya dah dibuang kerana rosak terusk setelah beberapa lama. Apapun saya pasti masih ada 2-3 beg dari zaman itu tersimpan di rumah keluarga. Cuma ia bukan jenis haversack yang selalu digunakan dalam pengembaraan lasak.


Thursday, November 07, 2013

Bersendirian Maal Hijrah di Hulu Selangor

Salam. Cerita kecil sekitar hari Maal Hijrah baru ini...

Adapun untuk hari pertama tahun baru Islam itu ada yang mengajak agar malamnya saya ikut ke majlis agama tertentu, untuk siangnya pula diajak berbusana untuk sambutan Maal Hijrah peringkat nasional di Putrajaya. Tetapi sejak beberapa hari kebelakangan ini saya rasa ingin menyendiri di tempat yang agak sunyi dan ada masjid lama. Tengah hari Isnin saya pun mengorak langkah dengan motosikal besar kesayangan...


Ini adalah kali pertama saya akan menunggang jauh setelah setengah tahun 'berehat' akibat kecederaan patah kaki.  Ambik gambar sendiri sat. Bila dilihat balik terasa macam 'road warrior' tua pula... :]


Setelah 10 km keluar dari rumah ada juga rasa nak patah balik, satu apabila melihat langit mendung di hadapan... untuk pengetahuan dah lebih seminggu asyik hujan lebat petang, rasanya badan dah tak berapa larat nak redah hujan. Kedua, baru saya perasan tertinggal telefon bimbit di rumah. Bagaimana kalau isteri atau sesiapa nak berhubung?


Nasib baik semangat saya masih cekal. Pantang berundur kalau dah melangkah keluar. Saya dapati kalau pandai pilih laluan dapat juga mengelak hujan lebat. Kalau setakat kena rintik-rintik tu biasa le. Tentang telefon bimbit tertinggal kan saya mahu bersendirian? Tak mengapa. Sampai ke destinasi utama iaitu di Kuala Kubu nanti boleh hubungi isteri menggunakan telefon awam untuk memberitahu telefon bimbit saya tertinggal, agar beliau tahu keadaan dan tak risau.

Dalam perjalanan ini saya mahu meninjau satu laluan potong yang pernah dilihat dalam peta Google Earth. Ada bahagian yang jalannya kurang cantik, sekitar 300 meter gitu. Tapi saya dapati ia dapat memotong jarak sebanyak 2 km selain mengelakkan kesesakan lalu lintas yang biasa melanda jalan dari Rawang ke Sungai Choh. Lihat artikel Cutting to Bukit Beruntung via Garing.di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Menggunakan jalan itu kita boleh masuk ke Bukit Beruntung di mana terdapat pula laluan ke Rasa. Lihat From Bukit Beruntung to Rasa.



Dari Rasa dah tak berapa jauh ke satu simpang masuk ke Kuala Kubu.


Makan tengah hari yang lambat di Kuala Kubu... dekat 5 petang baru nak makan daaa...


Suasana pekan ini terasa begitu segar. Sambil itu ada ketenangan tertentu apabila mengembara bersendirian berbanding keluar bersama keluarga atau mana-mana orang.


Memang Kuala Kubu adalah destinasi utama kerana ada masjid lama mahu dijadikan tempat beriktikaf. Tapi sementara ada siang eloklah berjalan lebih ke dalam masuk kawasan pergunungan Banjaran Titiwangsa. Berhenti sebentar di tasik buatan empangan Hulu Selangor. Airnya kelihatan surut teruk, saya anggarkan 15-20 meter di bawah paras normal...


Lebih jauh ke pendalaman menghala ke Bukit Fraser terdapat sebuah air terjun di bawah jambatan. Saya pun singgah bermandi-manda. Lihat A stop at Chiling waterfall


Hampir waktu senja sempat bersiar-siar di kampung orang asli di Pertak. Kelihatan rumah-rumah mereka begitu cantik, mungkin sebagai pampasan kawasan berdekatan ditenggelami air empangan.


Dahulu Pertak sangat terkenal sebagai tempat bermain rakit lasak atau white river rafting kerana jeramnya yang panjang dengan laluan batu-batu. Namun air yang diempang membentuk tasik besar telah menenggelamkan laluan. Kini ia 'timbul' kembali akibat paras air empangan surut teruk. Kalau paras normal, kawasan berumput yang kelihatan harus ditenggelami air.


Ketika bergerak ke hadapan sedikit menghala kembali ke Kuala Kubu saya lihat meter motosikal menunjukkan nombor-nombor menarik. Kalau tak salah ketika itulah masuk waktu Maghrib juga tahun Hijrah 1435. Ketika itu saya masih berada di sekitar tasik.


Solat Isyak di masjid jamek Kuala Kubu.


Lewat malam baru ke tempat iktikaf iaitu masjid lama di Ampang Pecah.


Saya sudah banyak kali singgah di masjid ini tapi rasanya baru pertama kali itu bermalam. Teringat satu update yang dibuat di Facebook tentang Nabi Adam AS dan satu benua besar zaman purba yang dipanggil Pentas Sunda hampir 2 minggu lalu. Entah kenapa saya menggunakan Kuala Kubu dan Ampang Pecah sebagai contoh...


PENTAS SUNDA, TEMPAT ASAL USUL MELAYU DAN TURUNNYA NABI ADAM AS

Sebut pasal asal usul Melayu yang bermacam2 teori itu? Saya tambah sikit rencah. Perkara ni dah ramai tahu tapi cuma agak ragu2 sebab takda fakta backing agaknya. Apa itu Melayu pun ramai masih celaru. Saya sebut aje le tanpa perlu membuktikan apa2...

Di sini, di sini Tanah Melayu dan kepulauan2nya bermulalah tamadun manusia. Di sinilah Nabi Adam AS diturunkan dari syurga. Kerana tanah ini ketika ia masih lagi sebuah benua besar yang dikenali pengkaji sebagai Benua Sunda pernah dikenali sebagai Lanka. Sebelum nama itu dipakai oleh sebuah pulau di India yang dikenali sebagai Sri Lanka, sedangkan nama Lanka di sini hilang. Lalu Nabi Adam pun dikatakan turun di Srin Lanka merujuk pada pulau benua Hindi sana.

Contoh mudah nama tempat berganti sedangkan tempat asal pula namanya berubah adalah Kuala Kubu, pekan yang biasa orang lalu sebelum naik Bukit Fraser dari arah barat Semenanjung. Tahukah anda di mana Kuala Kubu yang sebenar? Ia adalah di tempat bernama Ampang Pecah, dekat masjid lama, sekitar 3 km dari Kuala Kubu yang kita kenali.

Kuala Kubu sebenarnya mendapat nama sebab di situ terdapat kuala Sungai Kubu, masuk ke Sungai Selangor. Namun kawasan ini senang banjir. Dalam satu peristiwa sekitar 1880an kalau tak salah banjir besar telah menyebabkan empangan berdekatan yang dibuat penduduk tempatan pecah lalu selepas itu kawasan lebih dikenali sebagai Ampang Pecah.

Pada tahun 1930an kalau tak salah bandar baru dibina di tempat lebih tinggi lalu menjadi Kuala Kubu yang kita kenali sekarang. Sebab itu nama penuhnya Kuala Kubu Baru. Tak mustahil kisah Lanka juga begitu. Selepas berlaku beberapa peristiwa yang mengubah bentuk geografi terutama Banjir Nabi Nuh, ada serpihan penduduk membina penempatan baru lalu membawa nama Lanka itu ke tempat yang dikenali sebagai Sri Lanka. Pentas Sunda yang dah banyak ditenggelami air lalu membentuk banyak pulau pun dikenali dengan nama lain.

Namun banyak bangsa2 serpihan membawa kenangan tamadun tinggi Pentas Sunda yang mana disebabkan turunnya Nabi Adam AS di situ membawa ilmu dari syurga dapat membina tamadun tinggi dengan cepat. Memori tamadun tinggi itu dikenali dengan pelbagai nama misalnya kisah Atlantis yang diceritakan oleh Plato pada orang Greek, kisah tamadun Punt yang dikenali orang2 Mesir2 purba. Dari Nabi Adam AS manusia berpecah menjadi pelbagai bangsa. Selepas beberapa lama hingga kini ramai anak cucu keturunan baginda terpanggil untuk kembali ke motherland. Misalnya Sam, seorang dari 3 anak Nabi Nuh yang memimpin masyarakat selepas Banjir Besar membawa satu kelompok kembali ke bumi sebelah sini.

Lain2 kelompok terpanggil kemudian, misalnya Bani Jawi dari keturunan Siti Keturah, isteri ketiga Nabi Ibrahim. Kemudian datang kelompok Bani Israel, misalnya keturunan Nabi Sulaiman dari perkahwinan Ratu Balqis yang dikatakan menjadi raja2 Bugis, juga darah daging Raja Iskandar Zulkarnain. Masuk zaman Nabi Muhammad SAW datang pula keturunan Ahlul Bait berasimilasi membentuk bangsa besar yang dipanggil Melayu. Kerana apa? Semuanya terpanggil untuk kembali ke tempat turunnya Nabi Adam juga kembali pada fitrah asal bertauhid Islam sejak turun-temurun. Asimilasi yang mahu kembali pada fitrah asal, inilah yang kita panggil MELAYU. Cukup.


Di masjid ini saya dapat merasakan kehadiran kuat sejumlah makhluk yang tidak kelihatan. Tapi saya buat hal sendiri je. Beriktikaf, bertafakur dan membuat sedikit amalan.


Suasana waktu Subuh.


Hampir tengah hari baru bersedia untuk meninggalkan masjid. Sempat melihat lebih dekat sebuah makam di perkarangan masjid. Lihat artikel Makam di Masjid Ampang Pecah (Tomb at the mosque of Ampang Pecah) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Melihat sebentar tempat pertemuan Sungai Kubu dengan Sungai Selangor, tempat yang memberikan nama Kuala Kubu.


Singgah makan di Batang Kali...


Seterusnya mengambil jalan menghala ke Genting Highlands untuk ke satu destinasi...


Nak mandi air panas di Hulu Tamu sebelum kembali ke rumah, kali pertama ke situ. Rupa-rupanya ada jalan lebih dekat dari Batang Kali tapi saya tak tahu. Lihat Hulu Tamu hot spring


Sunday, November 03, 2013

Kenangan zaman UK : Keriangan hari pertama di London

Sudah sampai masanya untuk mengembangkan cerita di zaman UK. Sementara ada baki 2-3 minit untuk tarikh 3 Nov yang boleh ditulis dengan nombor cantik 3.11.13 ini biar disambung penceritaan daripada Kenangan zaman UK : Mukadimah 1144. Untuk pengetahuan saya telah mengambil masa yang agak lama untuk membuat artikel-artikel sokongan di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Oleh kerana ada bahagian dalam buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih Pulang ke Gagang?" (terbit Nov 2007) menceritakan pengalaman pertama kali menjejakkan kaki di kota London, awal musim luruh tahun 1991 biarlah ia dicopy paste, di celah-celahnya diselitkan gambar-gambar yang sesuai. Mari. :]



Fasten your seatbelt. We are now approaching Heathrow airport, London!” teringat pengumuman ketua juruterbang setelah lebih 13 jam membelah udara tanpa-henti. Pesawat Jumbojet Boeing 747 yang dinaiki mula bergegar akibat penurunan laju daripada paras ketinggian 11,000 kaki ke paras laut. Dada pemuda itu berdebar-debar penuh harapan setelah lebih lima tahun mengidam untuk ke England - Dia pernah dibuang kolej kerana masalah disiplin dan nyaris-nyaris tidak dapat menyambung pengajian ke sana.

Kapalterbang  mendarat lalu mengisi tempat yang disediakan. Aerobridge disambungkan kepada pintu pesawat dan penumpang mula keluar.

“Wow!” terkeluar reaksi awal melihat lapangan terbang utama Britain itu, salah sebuah lapangan terbang paling sibuk di dunia. “Canggih!”

Kelihatan beberapa blok bangunan gergasi dikelilingi berpuluh pesawat pelbagai jenis dan saiz milik pelbagai syarikat. Terasa jauh bezanya dengan Lapangan Terbang Subang (ketika itu KLIA belum wujud) yang terasa begitu kecil dan third-world, begitu ketinggalan zaman.

Rasyid yang berpakaian segak dengan sepasang suit hitam lengkap milik almarhum Atuk Muar berserta kemeja putih bertali-leher (ramai juga orang menyangkakannya seorang businessman!) berjalan keluar menuju ke tempat pemeriksaan immigresyen. Setelah beratur lebih kurang 15 minit sampailah gilirannya untuk diperiksa. Pemuda itupun menghulurkan paspot dan embarkation pass. Sambil itu bersiap-sedia dengan financial guarantee letter, surat sokongan yang menyatakan dia mempunyai sumber kewangan yang cukup untuk bermastautin di London, dikepilkan bersama surat tawaran untuk mengikuti pengajian ijazah sarjana muda dalam bidang Matematik di University College of London, sebuah universiti terkemuka di England yang termasuk di dalam kelompok besar University of London.

Pegawai yang bertugas meneliti rupa-paras pemuda itu sambil membandingkannya dengan gambar serta maklumat yang tertera di dalam paspot. Tak banyak beza gambar dengan orangnya...

I see, you come here for study, sir…” katanya seraya membelek visa pelajar di dalam paspot. “May I see your other supporting documents?” dia bertanya pula.

Rasyid menghulurkan surat-surat sokongan yang disediakan. Nampaknya teliti juga pegawai ini. Takut pemuda ini  terrorist agaknya…

I see you got everything in order,” katanya, puas-hati setelah meneliti segala dokumen yang di beri lalu mengecop paspot.

Welcome to London, sir! Enjoy your stay here!” ucapnya dengan senyuman mesra seraya memulangkan semua dokumen-dokumen itu.

Anak muda itu melangkah lega. Secara rasmi, dia sudah berjaya memasuki London. Awal tadi, ada juga rasa takut kalau terjadi apa-apa yang tidak diingini. Dia pernah mendengar cerita ada orang Malaysia yang ditahan pihak immigresyen lalu dihantar-balik dengan penerbangan seterusnya kerana masalah tertentu. Tak pastilah kenapa...

Rasyid pergi ke ruang bersebelahan untuk mengambil beg-beg pakaian dan keperluan di ruang menunggu bagasi lalu melangkah masuk ke ruang utama terminal. Sebaik sahaja melangkah keluar, terdengar satu laungan dengan satu suara yang agak familiar, biasa didengarnya…
“Abang! Sini, sini!”

Ah… Buah hati lamanya yang sampai seminggu lebih awal sudah sedia menunggu. Kota London, sudah sampai masa untuk kita berkenalan...



Banyak sungguh pengalaman baru hari itu. Setelah pertama kali menaiki kapal-terbang, pertama kali ke seberang laut, pertama kali ke London, pertama kali melihat lapangan terbang canggih seperti Heathrow, itulah pertama kali dia merasakan cuaca selain iklim khatulistiwa di tanah-air... Ketika itu England  baru masuk  musim luruh . Suasananya berangin sejuk dengan suhu sekitar 15 darjah Celsius., terasa berbeza sungguh dengan suhu 30 darjah di Malaysia.

Rasyid juga buat pertama kali merasa naik keretapi bawah tanah London Underground yang sering diceritakan orang. Pemuda itu masih ingat perasaan pelik tetapi seronok apabila keretapi sampai di stesyen bawah tanah Heathrow di bawah lapangan terbang diikuti pengumuman aneh: “Mind the gap!”

Perkataan sama tertera di beberapa tempat sepanjang tepian pelantar.

“Apa ini, ‘Mind the gap!’, Mind the gap!’” dia bertanya seraya mengajuk… 

Rupa-rupanya ia satu peringatan supaya berhati-hati apabila melangkah masuk ke dalam keretapi... Jangan sampai terjatuh kerana ada ruang sehingga selebar 1 kaki di antara pelantar dan keretapi.

Buah hati lamanya seronok melihat Rasyid  begitu teruja. Itulah kali pertama  dia melihat pemuda yang biasanya suka berseluar jeans dan t-shirt itu begitu segak memakai suit lengkap! Penumpang lain pula kelihatan hairan melihat seorang ‘businessman’ dengan beg-beg besar serta haversack di belakang memeluk seorang gadis berpakaian ranggi dengan muka seperti pelajar 15 tahun. Sudahlah masing-masing buat perangai macam jakun, seperti rusa masuk kampung pun ada, seorang kelihatan begitu dewasa, seorang lagi seperti bawah umur…

Setengah jam kemudian, keretapi bawah tanah itupun sampai ke Marble Arch, stesyen terdekat ke Malaysia Hall, tempat tumpuan pelajar dan warga-kerja Malaysia di London. Rasyid dan buah hati lama keluar menaiki escalator naik ke permukaan. Kelihatanlah sebuah arca besar yang diperbuat daripada batu mar-mar (sebab itu dipanggil Marble Arch)  di tengah persimpangan jalan, bersebelahan taman terkenal kebanggaan rakyat tempatan Hyde Park.

Dari situ, mereka berjalan kaki menghala ke utara melepasi Malaysia Hall dan beberapa blok bangunan untuk ke rumah sewa wanita itu di Baker Street, sebuah kawasan perumahan yang agak ekslusif, terkenal dengan watak khayalan detektif ternama Sherlock Holmes ciptaan penulis Arthur Conan Doyle. Selepas berehat sebentar dan bertukar pakaian yang lebih selesa  (apalagi, seluar jeans dan t-shirt kegemaran Rasyid lah tetapi mesti memakai sweater sekali kerana sejuk), pemuda itupun memulakan penjelajahan pertamanya di kota itu.. Destinasi pertamanya - Oxford Street, lebuh membeli-belah utama London.



Memang seronok bersiar-siar di sepanjang lebuh membeli-belah terkenal dunia yang menjangkau jarak 3km itu sambil singgah window shopping, cuci-cuci mata di gedung-gedung membeli-belah gergasi seperti Selfridge’s, Marks & Spencer dan Debenham’s. Pasangan yang memang suka berjalan kaki jauh bersama-sama sejak mereka berkenalan di Kuala Lumpur itu juga menjenguk beberapa kedai lain... Sambil melepasi lebuh-lebuh terkemuka seperti Regent Street dan menyelit-nyelit di tengah kebanjiran penduduk tempatan dan pelancong yang memenuhi hampir setiap inci kaki lima, rasanya tidak kurang lima kali lebih padat daripada keramaian di Jalan Tuanku Abdul Rahman ketika hujung minggu!

Pemandangan lautan manusia yang mengkagumkan itu dihiasi pula dengan deretan bas-bas dua tingkat London Transport berwarna merah, juga teksi-teksi besar berwarna hitam yang rupanya saling tak tumpak seperti kereta Rolls Royce lama. Masing-masing menjadi identiti tersendiri kota metropolitan terkenal dunia yang menampung sekitar 10 juta penduduk itu. Sampai ke stesyen Tottenham Court Road di penghujung timur Oxford Street, sebuah kawasan yang juga dikenali sebagai West End, Rasyid dan buah hati lama berjalan menghala ke utara sehingga menghampiri kawasan kampus University College of London yang akan menjadi tempat pemuda itu menyambung pengajian tinggi.

Mereka singgah sebentar di kedai buku kedua terbesar di London iaitu Dillion’s bersebelahan bangunan University of London Union, sebuah bangunan tiga tingkat sebesar pasaraya Batu Road Supermarket di Chow Kit ataupun gedung membeli-belah Mydin di Masjid India tetapi penuh dengan buku-buku pelbagai tajuk dan bermacam-macam subjek yang belum pernah ditemui pemuda itu di Malaysia. Apa yang membuat dia lebih seronok, itulah kedai buku pertama yang ditemuinya seumur hidup di mana seseorang itu boleh membaca apa-apa buku selama mana mereka suka sambil duduk bersila di atas lantai atau bersandar di tepi dinding. Malah pemuda itu cuba berbaring di atas lantai yang beralas permaidani... Tiada pula pembantu kedai yang menegur atau menghalaunya keluar. Ah... Terasa bagai berada di syurga dunia pula!

Rasyid keluar dengan senyuman lebar sampai ke pipi.

Tiba-tiba dia menoleh ke arah buah hati lama. “Cubit saya!” katanya...

“Hah? Apa dia?” wanita itu bertanya hairan.

“Cubit saya!”

“Kenapa?”

“Alah… Cubit sahajalah… Jangan banyak tanya!”

Gadis cantik berwajah budak sekolah menengah itupun mencubitnya.

“Kuat lagi! Kuat-kuat!” kata pemuda itu.

Buah hati lamanya menurut sehingga terbeliak mata…

“Adoi!” baru dia menjerit.

“Eh, kenapa awak ini? Buang tebiat ke?” wanita itu semakin pelik.

“Tidak ada apa-apa,” kata Rasyid tersengih seperti kerang busuk. “Sahaja-sahaja, hendak pastikan saya tidak bermimpi!”



Mereka ketawa riang lalu meneruskan perjalanan... Kali ini menghala ke selatan melepasi School of Oriental, African and Slovanic Studies, British Museum, seterusnya stesyen Holborn untuk menyusuri lebuh Kingsway hingga ke Aldwych, lokasi sebuah universiti pengajian ekonomi yang terkemuka di dunia, London School of Economics, tempat buah hati lama itu menuntut.

Dalam hari pertamanya di London, pemuda itu juga sempat bersantai di tempat-tempat tumpuan pelancong terkemuka yang sering menghiasai poskad antarabangsa, tempat-tempat seperti Trafalgar Square dan Piccadily Circus. Hari itu sahaja, dia berjalan kaki lebih 10km! Belum dikira hari-hari berikutnya membelek barangan antik di Camden Town atau menikmati hiburan jalanan termasuk orkestra kecil four piece  classical music di Covent Garden, tempat tumpuan warga seni jalanan di kota London, tempat yang pernah memberi rakyat Malaysia yang sealiran ilham untuk menerbitkan Central Market di Kuala Lumpur. Belum dicampur hari-hari kemudian santai di taman-taman bunga seperti Hyde Park dan Regent’s Park atau menikmati angin tepian Sungai Thames sambil melihat jam besar Big Ben atau jambatan tergantung Tower Bridge. Pendek kata, cukup banyak tempat menarik di sana. Sesetengahnya begitu unik membuatkan seseorang itu tersenyum lebar sampai ke pipi. Boleh ditulis sebuah buku semata-mata untuk menceritakan semua ini...

Ah... Memang indah rasanya berjalan di tempat begini... Tetapi itu di London, kota megah yang namanya sahaja boleh dikatakan dikenali seluruh penduduk bumi. Cuma terdapat beberapa buah kota sahaja di dunia yang boleh diletakkan sebaris dengannya seperti kota New York, Paris dan Tokyo… Berapa ramai pula manusia yang mengenali kota Langsa di Aceh? Siapa pula yang teringin sangat hendak pergi ke bandar yang terletak 40km ke utara sempadan Sumatera Utara-Aceh itu selain mereka yang mempunyai keluarga di sana?




OK. Cerita yang dipersembahkan tadi diambil dari bahagian yang dipanggil Bab 10 dalam buku (siri buku BKA agak pelik sikit sistem pengaturan bab), muka surat 28-32. Ia sebenarnya mahu menunjukkan rasa indah yang dirasai apabila dapat masuk ke kota Langsa, Aceh awal 2004 setelah beberapa lama tersangkut untuk masuk ke negeri Aceh yang ketika itu sedang dilanda darurat perang. Cerita berkenaan boleh dirujuk pada artikel Ke makam Sultan Malikus Salih - Menggamit kenangan lama di Langsa... (berdasarkan perjalanan 2009) dan Jejak "Berpetualang ke Aceh" : Mengenang 3 malam di Langsa, tempat pertama kali bertapak di Aceh (perjalanan 2011).





Kembali pada cerita zaman UK. Di atas ditunjukkan kedudukan Lapangan Terbang Heathrow ke pusat bandar raya London. Klik pada peta untuk melihatnya besar. Garisan tegak kuning lapangan ke pusat berjarak sekitar 20 km. Lebuh raya lingkaran ditanda kerana ia hampir tepat meliputi kawasan besar pembangunan yang dikenali sebagai Greater London atau London Besar. Diibaratkan seperti Kuala Lumpur campur Petaling Jaya, Kajang dan beberapa kawasan sekitar yang meyokong perkembangan KL, lingkaran itu meliputi kawasan sebesar negeri Melaka.



Peta ini mula menunjukkan laluan yang diambil dengan berjalan kaki pada hari pertama saya sampai di London. Ukuran melalui Google Earth menunjukkan lebih 11 km telah diharungi, lebih dari anggaran yang dibuat dalam cerita iaitu 10 km. Cuma cerita tersilap menganggarkan Oxford Street adalah sepanjang 3 km sedangkan ia sebenarnya sepanjang 2 km. Gambar tempat-tempat yang diceritakan telah diletakkan dalam artikel sokongan. Lihat :-








Proses bercerita sambil mengingatkan laluan dan tempat-tempat membuat saya rasa harus menangani beberapa lagi perkara tambahan selain yang sudah disenaraikan pada artikel Kenangan zaman UK : Mukadimah 1144. Antaranya :-

1. Suasana sekitar menumpang di Baker Street

2. Suasana setelah berpindah di Bermondsey (dekat Tower Bridge), boleh dicampur sekali lawatan ke Greenwich di mana terletaknya garisan Greenwich Meridian yang digunakan untuk menandakan waktu piawai (waktu Malaysia adalah + 8 jam GMT - Greenwich Meridian Time).

3. Zaman menetap di Archway - zaman itu saya lebih rajin ke Camden Town kerana terletak dalam perjalanan.

4. Zaman menetap di Sheperds Bush - selalu singgah Notting Hill Gate dalam perjalanan (ingat filem dengan tajuk itu lakonan Julia Roberts). Teringat sekali saya selalu ke kedai kaset dan CD second hand sekitar itu, pernah juga membeli gadget terpakai untuk gitar eletrik...

5. Ada satu tempat saya pernah menetap, atas restoran India, dekat restoran Turki. Saya tak ingat lokasi tapi rasanya tak jauh dari Hampstead Heath.

6. Zaman menumpang di Edgeware Road. Ketika itu juga saya ada bekerja di Malaysia Hall ke kemudian? Banyak nak kena ingat ni yang mana dulu yang mana kemudian.

7. Zaman menetap di Chepstow Road/Place. Selalu turun ke Bayswater. Masa tu pernah kerja cuci serombong di Mara House lewat malam.

8. Zaman menumpang dekat-dekat Queensway

9. Zaman menumpang di Leytonstone. Ish... banyak beno saya menumpang. Ada le sebabnya.

10. Sesekali main kawasan mewah Knightsbridge di mana terdapat gedung membeli-belah Harrod's. Tak jauh dari Imperial College kalau tak salah ingatan.

11. Rasanya boleh juga dibuat satu artikel semata-mata untuk bercerita tentang pengangkutan awam di London. Beli kad bulanan mudah. Naik bas, kereta api, kereta api bawah tanah. Ada satu laluan tu lingkaran pusat pertengahan London dipanggil Circle Line. Kadang-kadang bila terasa jemu saya sengaja duduk dalam kereta api sampai satu pusingan. Jaraknya dianggarkan sekitar setengah pusingan Lebuh Raya MRR II di KL.

Masuk bab pengangkutan awam ni teringat ada gak cerita tertentu zaman nakal tapi rasanya tak elok le diceritakan. Simpan sebagai kenangan untuk iktibar diri sendiri dah le. Saya menulis siri ini pun untuk mengingatkan banyak perkara yang sudah lupa. Mungkin ada perkara lama tak berapa selesai yang mengganggu tanpa disedari. Dan sudah sampai masa untuk saya menangani dan menyelesaikannya secara baik sebelum dapat bergerak masuk ke fasa kehidupan seterusnya. Itu aje...