Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Jumaat, Oktober 13, 2017

Perjalanan jauh bermotosikal besar pertama sejak awal 2013 - Antara Raub dan Janda Baik

Salam pagi Jumaat 13 Oktober 2017, Friday the 13th. Merujuk pada artikel Daripada hal panjat gunung mengimbau pula zaman pentadbiran Tun M membawa ke zaman Najib - Ke manakah hala tuju kita? yang dipersembahkan 3 hari lalu. Pada mukadimah artikel tersebut ada dinyatakan bahawa ketika itu saya baru 2 hari kembali daripada satu perjalanan bermotosikal besar meliputi beberapa tempat termasuk kawasan peranginan tanah tinggi Cameron Highlands. Hari ini biar dimulakan cerita tentang perjalanan itu...


Rabu malam Khamis 4 Oktober 2017. Saya mendapat panggilan telefon daripada seorang kawan yang sudah agak lama tidak ditemui. Beliau mengajak saya keluar mengembara dengan motosikal besar. Katanya seorang kawan yang menetap di Johor Bahru sudah lama menyimpan hajat untuk mengembara menaiki motosikal bersama saya kerana pernah mendengar cerita-cerita tentang pengembaraan saya termasuk bersama kawan lama tersebut.

Masalahnya perjalananan mahu dibuat bernula esoknya hari Khamis meliputi 3 hari 2 malam sedangkan saya sebenarya kurang sihat. Bajet pun tiada, motosikal pula dah lama tak servis. Kali terakhir saya membawa motosikal kesayangan berjalan jauh adalah ke Kota Bahru, Kelantan untuk mengatur satu acara anjuran saya awal tahun 2013. Lihat artikel lama Misi penganjuran HIKMAH IV - Dari perjalanan bermotosikal besar hingga kembali berkereta 2,700 km


Saya pun mencadangkan laluan terbaik yang boleh diliputi dengan puas hati dalam tempoh cadangan 3 hari 2 malam. Oleh kerana mereka mahu singgah di Janda Baik, Pahang saya cadangkan agar selepas itu pergi ke Raub bermalam di sana. Esoknya naik Cameron Highlands melalui Sungai Koyan kemudian bermalam pula di sana. Hari seterusnya turun melalui jalan ke Simpang Pulai. Bolehlah singgah Ipoh sebelum mengorak langkah menghala ke selatan kembali ke rumah.

Kata saya pergilah berdua, saya tak dapat ikut sama. Insyaallah lain kali bila dah ada bajet dan motosikal dalam keadaan lebih baik saya akan turut mengembara. Lagipun saya sedang melakukan puasa putih tengah bulan Islam 13, 14, 15 Muharam bersamaan 4-6 Oktober Rabu hingga Jumaat. Tetapi beliau tetap mahukan saya bersama juga. Kawan ini sanggup menanggung segala belanja perjalanan termasuk untuk servis motosikal. Setelah memikirkan perkara dalam-dalam juga bertanya pendapat isteri saya pun bersetuju.


Pagi Khamis 5 Oktober keluarlah saya daripada rumah memulakan perjalanan menghala ke Kuala Lumpur daripada rumah di Sungai Buaya, Rawang. Sementara itu kawan dari Johor Bahru juga bergerak menuju ke rumah kawan lama dekat sempadan Selangor-Negeri Sembilan.


Sampai ke simpang Sungai Choh saya mengambil satu lorong kampung. Saya hendak meninjau satu kawasan yang sebelum itu cuma pernah dilihat dalam peta. Walhal saya selalu melepasi simpang apabila ke Rawang atau kembali ke rumah.


Motosikal dibawa sampai ke jalan pintas Serendah-Rawang. Setahu saya ia sudah siap dibina sepenuhnya tapi masih belum dibuka kepada awam.


Seterusnya saya ke sebuah bengkel motosikal besar di selatan bandar Rawang. Servis motosikal setelah 2 tahun tidak berbuat begitu kalau tak salah ingatan. Untuk makluman motosikal Yamaha Virago 535 cc ini adalah model tahun 1996. Saya membeli baru pada tahun 1997. Ini bermakna saya telah memakainya selama 20 tahun.


Selesai servis saya bergerak ke pinggir bandar raya KL kemudian masuk ke Lebuh Raya Karak menuju ke negeri Pahang. Sampai di Genting Sempah berhenti sebentar di tepi jalan untuk mengambil gambar...


Adapun jam pada kamera saya menunjukkan gambar tadi diambil pada11.55 pagi. Dari Genting Sempah saya masuk ke jalan lama KL-Pahang menuju ke Janda Baik. 


Di sanalah saya akan bertemu dengan dua orang kawan sebelum meneruskan perjalanan. Saya sampai lebih awal supaya dapat menghabiskan sedikit masa di rumah rehat ayah angkat saya, penulis buku terkenal S.H. Alattas @ Pak Habib Syed Hussein al-Attas. Kebetulan beliau ada di rumah lalu kami berbual panjang. Di celah-celah itu saya meletakkan gambar yang diambil jam 11.55 pagi di Facebook berserta teks ringkas berbunyi "Lama tak keluar riding. Layan....".


Sekitar jam 3 petang saya menaikkan gambar sama di FB, kali ini berserta teks menyatakan ia diambil di Genting Sempah 3 jam lalu. Turut dinyatakan kali terakhir saya berjalan jauh adalah ke Kota Bahru awal 2013 lalu ditambah satu persoalan teka-teki - Agak-agak dah sampai mana saya ketika itu. Geli hati saya membaca maklum balas yang timbul kemudian, Ada yang kata saya dah sampai ke Kuala Lipis, ada kata sampai Kuantan. Yang kata dah sampai Kelantan pun ada. Walhal ketika itu saya masih berada di Janda Baik. 

Gambar atas diambil di kandang kambing milik seorang kawan di sana jam 6 petang,


Adapun kawan-kawan yang mahu mengembara sama dalam perjalanan ini sampai ke rumah Pak Habib sekitar jam 4 petang. Selepas berbual beberapa lama dengan Pak Habib kami berjalan-jalan di Janda Baik termasuk ke rumah kawan pemilik kandang kambing. Kawan tersebut menjadi penyebab utama mereka terasa mesti singgah ke kawasan tanah tinggi rezab orang Melayu itu. Dahulu kami selalu bertemu dalam majlis zikir yang diadakan setiap malam Jumaat di satu kawasan ekslusif di pinggir KL...


Kami juga singgah di sebuah rumah lama milik seorang kerabat diraja terdekat Perak yang dialihkan dari Gunung Semanggol, Perak ke Janda Baik. Ikut rancangan asal selepas puas berjalan-jalan di Janda Baik kami mahu menuju ke Raub.


Tetapi Pak Habib pula mengajak kami bermalam supaya dapat mengikut satu majlis zikir yang akan diadakan selepas Maghrib. Kebetulan saya ada membawa sampin, tanjak dan keris lalu memakainya untuk majlis.


Alhamdulillah malam itu malam Jumaat kami mengambil berkat daripada majlis yang terdiri daripada sesi khatam Quran diikuti bacaan Ratib al-Attas. Selepas itu ada bacaan doa khas untuk kedua ibu bapa. Katanya ia biasa dipraktikkan di Hadramaut, Yaman. Ternyata ini adalah permulaan yang baik bagi perjalanan jauh bermotosikal besar pertama saya sejak awal 2013, pengembaraan yang muncul secara tiba-tiba tanpa dijangka demi memenuhi permintaan seorang kawan lama...


Selasa, Oktober 10, 2017

Daripada hal panjat gunung mengimbau pula zaman pentadbiran Tun M membawa ke zaman Najib - Ke manakah hala tuju kita?

Salam semua. Sukacita dimaklumkan bahawa saya baru 2 hari kembali daripada satu perjalanan bermotosikal besar meliputi beberapa tempat termasuk kawasan peranginan tanah tinggi Cameron Highlands. Ia adalah kali pertama saya berjalan jauh dengan motosikal sejak membuat satu perjalanan ke Kota Bahru, Kelantan lebih 4 tahun lalu. Rujuk artikel lama Misi penganjuran HIKMAH IV - Dari perjalanan bermotosikal besar hingga kembali berkereta 2,700 km. Dalam perjalanan terbaru ini saya sempat mendaki sebuah gunung yang ketinggiannya mencapai hampir 7,000 kaki dari paras laut. Sebelum berkongsi cerita tentang perjalanan 4 hari 3 malam itu biar dilepaskan satu cerita lain yang tercetus akibat mengingati pengalaman naik gunung...


Ini adalah satu gambar yang diambil selepas percutian saya yang terdahulu di Cameron Highlands iaitu bersama keluarga hujung bulan Ogos.  Ia diambil dalam perjalanan turun menuju ke Ipoh melalui Simpang Pulai. Rujuk artikel  Ke Cameron Highlands setelah lebih 4 tahun diikuti Cameron-Ipoh-Kuale : Dari pergunungan Pahang membawa 'rasa' ke Perak. Semalam, ketika mengingat kembali pengalaman terbaru panjat gunung baru saya tahu gunung atau lebih tepat gunung-ganang apakah yang terpapar dalam gambar. Ini terbit setelah timbul rasa untuk menyemak kedudukan beberapa gunung tinggi yang terletak di Cameron Highlands dan kawasan sekitar.


Inilah nama-nama gunung yang kelihatan dalam gambar. Gambar serupa dengan nama-nama gunung tertera ditemui setelah membuat carian imej Google menggunakan kata-kata kunci "Gunung Korbu Gayong". Adapun gunung yang saya baru daki 3 hari lepas terletak ke selatan daripada kedudukan gambar ini diambil. Biar cerita tentangnya dipanjangkan dalam artikel lain. 

Di sini saya hendak memberitahu bahawa ingatan pada pengalaman memanjat gunung telah membawa saya untuk membuat satu update di Facebook semalam menggunakan gambar pertama tadi. Teksnya berbunyi begini :-


UNTUK KAKI PANJAT GUNUNG...

Siapa kaki panjat gunung sila letak nama gunung paling tinggi anda pernah panjat sampai ke puncak dan bila. Kemudian gunung terakhir anda panjat dan bila. Harap letak sekali ketinggian puncak gunung dari paras laut juga lokasi... kat negeri mana misalnya. Mekasih...



Adapun gunung tertinggi pernah saya daki adalah Gunung Kinabalu tetapi tak ingat dengan tepat bila. Yang ingat saya pergi atas tugasan sebagai wartawan di akhbar The New Straits Times (saya di situ  1996-2001) bersama satu rombongan ekspedisi yang disertai ketua menteri Sabah ketika itu, Dato' Yong Teck Lee. Saya pun membuat carian Google menggunakan kata-kata kunci "ekspedisi Gunung Kinabalu Yong Teck Lee". Berikut adalah screen shot sebahagian daripada hasil carian tersebut...



Hasil carian yang menunjukkan pautan ke halaman library.perdana.org menepati ingatan saya tentang ekspedisi. Begini isi yang tertera di dalamnya...


------------

PM isytihar ketinggian gunung

KOTA KINABALU, Ahad - Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad hari ini mengisytiharkan ketinggian rasmi yang baru Puncak Low di Gunung Kinabalu iaitu 4,095.2 meter di atas paras laut. Catatan itu bagaimanapun, 5.8 meter lebih rendah berbanding ketinggian dahulu puncak itu, 4,101 meter.

"Saya mengisytiharkan bahawa Puncak Low adalah puncak tertinggi Gunung Kinabalu pada ketinggian 4,095.2 meter," katanya pada majlis makan malamsempena Kejohanan Badminton Piala Perdana, di sini.  Dr Mahathir kemudian memasukkan beberapa dokumen ke dalam kapsul masa yang akan dibuka pada 25 Jun 2050. Isteri beliau, Datin Seri Dr Siti Hasmah Mohd Ali turut memasuki sesuatu ke dalam kapsul masa itu.

Ketinggian Puncak Low itu diperoleh hasil satu ekspedisi Institut Juruukur Malaysia (IJM) ke gunung tertinggi di Asia Tenggara itu pada 23 hingga 25 Jun lalu, yang turut disertai Ketua Menteri Sabah, Datuk Yong Teck Lee. Ketinggian sebelum ini pada 4,101 meter ditentukan daripada Ekspedisi
Learmont pada tahun 1910.

------------


Memang itulah ekspedisi yang saya sertai. Rupa-rupanya sudah lebih 20 tahun lalu saya memanjat gunung tertinggi di Asia Tenggara itu. Namun saya lebih tertarik pada isi maklumat yang menyebut Perdana Menteri Malaysia ketika itu, Dato' Seri Mahathir Mohamad (sekarang bergelar Tun) telah memasukkan dokumen dalam kapsul masa yang dijadualkan mahu dibuka tahun 2050. Timbul gerak untuk membuat satu lagi update di FB hari itu juga.  Biar kongsikan kembali di sini dengan sedikit suntingan...




WAWASAN 2020 VS TN50 - YANG MANAKAH LEBIH UNGGUL?

Dalam keterujaan selamat kembali daripada memanjat Gunung Irau 2 hari lepas lalu hendak menyemak bilakah saya pernah memanjat Gunung Kinabalu suatu masa dahulu terjumpalah maklumat seperti yang kelihatan dalam gambar. Ia diambil daripada alamat berikut :-


Ada disebut tentang rombongan atau ekspedisi yang saya ikuti ketika memanjat Kinabalu 20 tahun lalu. Menariknya, maklumat turut menyebut Perdana Menteri Malaysia ketika itu Dato' Seri Dr Mahathir telah menanam satu kapsul masa yang dijadualkan mahu dibuka tahun 2050.

Terus teringat tentang program TN50 atau Transformasi Nasional 2050 yang diumumkan oleh PM sekarang, Dato' Seri Najib beberapa bulan lalu. Apa yang saya sedari ketika itu adalah program ini diumumkan sebegitu rupa pada waktu itu untuk menenggelamkan langsung program Wawasan 2020 yang diperkenalkan oleh Mahathir pada tahun 1991. Nah. Seharusnya ramai dapat melihat betapa akibat persaingan politik satu demi satu legasi Mahathir cuba dihilangkan daripada ingatan umum sehingga Najib pula boleh dikatakan "Bapa pembangunan negara". Sedangkan semua yang waras, tidak lupa atau hilang ingatan tahu siapakah lebih layak mendapat gelaran itu.

Wawasan 2020 yang bertujuan untuk menaikkan taraf Malaysia menjadi negara maju tidak lagi disebut kepada umum walhal tinggal 3 tahun sahaja sebelum tahun tersebut menjelma. TN50 yang tempoh masa untuk mencapainya ada 33 tahun lagi pula yang asyik dipalu dan dicanang-cang. Seolah-olah selepas tahun 2019 kita akan terus melompat ke tahun 2021 kalau tidak pun terus ke tahun 2050. Maka itu saya terasa agak ironik apabila mendapat tahu Mahathir ada menanam kapsul masa yang dijadualkan mahu dibuka tahun 2050.

Entah apakah isi di dalamnya. Saya rasa harus ada ramalan tentang keadaan Malaysia ketika itu. Entah apa agaknya yang diramalkan dalam kapsul itu ya? Apakah ketika itu Malaysia dikuasai China? Apakah kita betul-betul dapat 'memajukan' ekonomi Amerika Syarikat seperti dicanang Najib selepas kembali daripada lawatan bertemu presiden baru AS, Donald Trump kira-kira sebulan lalu? Apakah ada disebut tentang kerajaan Imam Mahdi dan Nabi Isa? Apa pula pendapat pembaca dan kawan-kawan?



OK. Saya tidak dapat menemukan tarikh tepat bilakah Wawasan 2020 yang bertujuan untuk mengangkat Malaysia menjadi negara bertaraf maju pada tahun 2020 diumumkan. Setakat dapat tahu ia diumumkan pada tahun 1991 ketika Tun M membentang Rancangan Malaysia ke-6 (untuk tahun 1991-1995) di parlimen. Menariknya tempoh waktu tersebut iaitu 1991-1995 ialah zaman saya mengambil ijazah dalam bidang Mathematics di University College of London, United Kingdom. Berlaku banyak perubahan pesat di Malaysia pada waktu itu. Antara yang nyata saya ingat, ketika kembali bercuti tahun 1992 saya turun di Lapangan Terbang Subang yang terasa begitu ketinggalan zaman, kecil dan third world (dunia ke-3 merujuk pada negara-negara belum maju menurut neraca Barat) berbanding Lapangan Terbang Heathrow di London. Tetapi apabila kembali setelah tamat belajar tahun 1995 saya turun di Lapang Terbang Kuala Lumpur atau KLIA di Sepang yang terasa sangat canggih dan membanggakan bagi mana-mana anak Malaysia walau sudah mengembara ke seluruh dunia maju.

Perubahan pesat yang dibawa melalui Wawasan 2020 sangatlah nyata. Daripada sebuah negara berasaskan pertanian kita bergerak ke arah perindustrian lalu mula muncul sebagai antara negara paling pesat sedang meningkat maju di dunia. Antara yang terus dapat dilihat dengan mata kasar sekembalinya saya ke Malaysia adalah menara berkembar KLCC juga menara telekomunasi Bukit Nenas yang merubah secara mendadak rupa ibu kota kita Kuala Lumpur. Zaman itu saya ingat. Kawan-kawan yang sama belajar di luar negeri, antara golongan elit terpilih dari seluruh negara selalu menyebut antara pekerjaan paling didamba oleh budak-budak pandai adalah dapat bertugas di Unit Perancangan Ekonomi atau selalu disebut sebagai EPU (Economic Planning Unit) di Jabatan Perdana Menteri.

Unit inilah yang terlibat secara langsung dalam merancang perkembangan negara di bawah Wawasan 2020. Mereka yang berkerja di sana dianggap sebagai the cream of the crop malah creme de la creme iaitu terpilih daripada yang terpilih dalam kalangan bijak pandai negara. Tetapi masuk zaman Dato' Seri Abdullah Badawi atau Pak Lah naik menggantikan Mahathir sebagai Perdana Menteri iaitu pada tahun 2003 ini terus berubah. Kelihatan pada saya EPU dianaktirikan dan namanya terus tenggelam. Sebaliknya naik syarikat perunding (consultant) luar seperti Ethos Consulting menjadi antara  peneraju utama hala tuju polisi negara.

Ketika inilah juga naik apa yang dipanggil sebagai 4th Floor Boys atau Budak-budak Tingkat 4 merujuk kepada sejumlah anak-anak muda yang menjadi sangat berkuasa di Jabatan Perdana Menteri. Antara mereka-mereka ini adalah junior-junior saya semasa di United Kingdom dahulu. Kelihatan pada saya mereka seperti mahu menjalankan polisi-polisi baru yang mahu menafikan segala usaha keras Tun M dalam menjadikan Malaysia satu negara yang memiliki kedudukan terhormat dan tersendiri di mata dunia. Timbul cerita-cerita mereka mengikut acuan atau arahan daripada pihak perisikan Singapura malah pihak perisikan Amerika Syarikat agar memutar balik polisi Mahathir yang lantang mengecam negara-negara Barat dalam beberapa isu melibatkan negara-negara Islam juga negara-negara kurang maju.

Diakui polisi Wawasan 2020 Mahathir juga memiliki kelompongannya. Saya sendiri melihat ia terlalu mementingkan perkembangan fizikal negara seperti mendirikan bangunan dan infrastruktur canggih lalu seperti melupakan pembinaan jiwa manusia. Keadaan ini ibarat membina hardware komputer tanpa meningkatkan kemampuan software secara selari. Akibatnya timbul kepincangan kerana kita memiliki kemudahan setaraf negara maju tetapi dijalankan atau dipakai oleh manusia yang memiliki pemikiran lapuk third-world mentality.

Ketika peralihan kuasa Mahathir ke Pak Lah berlaku tahun 2003 saya sedang bekerja membantu penulis buku politik terkenal, Pak Habib Syed Hussein al-Attas atau S.H. Alattas menerbitkan beberapa tajuk buku. Saya masih ingat ada berkongsikan pandangan tentang hal kepincangan tersebut kepada beliau lalu ia dimasukkan ke dalam buku. Tidak lama kemudian timbullah polisi pertama Pak Lah sebagai Perdana Menteri iaitu pembentukan modal insan selain pembawakan Islam Hadhari. Mungkin ini berlaku secara kebetulan namun tak mustahil juga ia terjadi setelah seseorang terbaca buah fikiran saya yang disampaikan melalui buku Pak Habib.

Masuk zaman Najib menjadi PM menggantikan Pak Lah tahun 2009 semakin banyak agensi-agensi luar digunakan untuk menentukan hala tuju negara. Saya rasa tidak mahu memanjangkan cerita lagi kecuali menambah akibat perselisihan politik segala yang pernah dibawa oleh Tun M ketika menjadi PM 1981-2003 seperti mahu dinafikan langsung malah pelbagai usaha dibuat untuk menjatuhkan dan memburukkan nama beliau. Sebagai mengakhiri artikel ini,  artikel ke-1,610 di blogspot ini ingin saya berkongsi sedikit penulisan tentang perubahan dan perkembangan negara yang saya lihat berlaku pada suatu masa. Tulisan yang dibuat sekitar tahun 2004 ini menjadi sebahagian isi buku kedua saya  "Berpetualang ke Aceh : Membela Syiar yang Asal" yang terbit pertengahan 2007...


------------


Sebagai anak muda yang sempat membesar dalam zaman “Buku Hijau” bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak kemudian melalui zaman pentadbiran Tun Hussein Onn, Rasyid merasakan orang Melayu seperti dahulukala yang sangat mesra alam, sayangkan kehijauan kampung halaman serta tidak hairan pada harta menimbun sudah hampir pupus. Sejak akhir tahun 80an, pemuda itu dapat melihat bagaimana anak-bangsanya telah diajar untuk menggunakan segala kebolehan yang ada, segala resources atau hasil dalam tangan lalu menggadai tanah, kebun dan sawah milik keluarga turun-temurun untuk mengejar apa-apa peluang membuat duit, menghambat kekayaan dan kesenangan materialistik zaman sekarang... Walaupun ini akan menyebabkan mereka mulai tamak-haloba dan hilang budi-bahasa kebanggaan bangsa, mulai jadi manusia yang kurang-ajar. Segalanya harus berubah atas nama pembangunan!

Berbagai alasan telah dikemukakan atas nama kemajuan dan kemodenan. Konon ini semua perlu, “anjakan paradigma” dan “perubahan minda” mesti dilakukan supaya orang Melayu dapat bersaing dengan bangsa lain terutama Cina... Kata Orang Putih, to join the rat race, supaya dapat memenuhi sasaran Bumiputera menguasai kek ekonomi negara sekurang-kurangnya 30 peratus, tidak ketinggalan dalam perlumbaan mencari harta. Lalu ramai yang berhijrah ke bandar besar untuk mencari kehidupan lebih sejahtera yang kononnya dapat diukur dari segi pencapaian wang ringgit. Banyak pula yang mula berubah perangai dan jadi lupa diri apabila terasa sudah moden, up to date... Lalu rambut yang hitam arang bertukar jadi blonde, loghat Kedah jadi pelat palsu British dan Amerika, makan pakai tangan sudah geli, mesti pakai sudu dan garfu sahaja!

Natijah perubahan tatacara hidup yang sangat nyata akhir 80an menyaksikan kemunculan ramai OKB – Orang Kaya Baru dalam persada perniagaan juga politik negara. Mereka adalah orang-orang kaya Melayu yang berjaya diwujudkan melalui pelbagai program tajaan kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup Bumiputra termasuk proses pengswastaan yang menyaksikan ramai bekas pegawai kerajaan menjadi ahli perniagaan dan korporat segera... Termasuk di kalangan mereka adalah orang Melayu yang mempunyai “kabel” atau talian politik yang membolehkan mereka memperolehi hasil durian runtuh daripada pengagihan pink slip, saham-saham Bumiputra yang diterbitkan melalui polisi 30 peratus Bumiputra ownership yang diwajibkan terhadap syarikat luar yang ingin beroperasi di Malaysia. Maka pada ketika syarikat-syarikat luar diberi pelbagai insentif menarik untuk melabur dan membuka anak syarikat di Malaysia, ramai mendapat untung atas angin lalu menjadi para OKB dalam sekelip mata!

Pada masa itu juga muncul anak-anak muda gaya baru sebaya Rasyid yang datuk-neneknya dahulu pernah berhempas-pulas berkebun dan bersawah. Atas nama kemajuan, anak-anak berbapakan para OKB ini seolah-olah diajar untuk melupakan sejarah silam keluarga demi mencipta identiti baru yang dikira lebih ranggi dan selari dengan status sebagai orang bandar. Sesetengah daripada mereka masih memiliki sepupu yang leka bermain dengan lumpur di luar bandar tetapi mereka pula mendakwa tidak pernah menjejakkan kaki ke kampung-kampung, kononnya jijik, kotor, tak standard. Maklumlah, mereka dibesarkan di bandar metropolitan seperti Kuala Lumpur dan Johor Bahru, tidak pernah kenal erti kehidupan kampung, tidak tahu keseronokan mengejar anak ayam dan dipatuk angsa berang! Lalu terdapat anak-anak Melayu yang baru beberapa tahun menjejakkan kaki ke luar negara, sesetengahnya setakat pernah duduk setahun dua di England semasa kecil kerana mengikuti ibu-bapa yang menyambung pengajian ke peringkat Masters... Tetapi berani mendakwa kepada kawan-kawan di Malaysia bahawa mereka telah dibesarkan hampir seumur hidup di London dan bila balik kononnya tidak tahu berbahasa Melayu!

Masuk tahun 90an pula, Rasyid melihat suasana kampung dan luar bandar turut berubah apabila budaya “serba moden” bandar mula menyelinap masuk ke dalam. Rumah-rumah kayu yang memilki character tersendiri sebagai identiti dan jati-diri Melayu dari pelbagai daerah dan pecahan ras bangsa banyak telah dirobohkan atau direnovate untuk dijadikan rumah batu seperti di bandar juga. Penduduknya pula semakin mementingkan diri sendiri, nafsu-nafsi belaka sehingga kawasan dan halaman rumah jiran yang dahulu pernah menjadi tempat permainan anak muda itu dan kawan-kawan tergolek dikejar angsa telah dipagar-tutup supaya orang ramai tidak boleh lagi menumpang lalu. Kononnya takut diceroboh pencuri... Maka tidak ada beza lagi kampung dan bandar kecuali dari segi kepesatan pembangunan dan jumlah bangunan tinggi. Semuanya mementingkan diri sendiri, yang tinggal Melayu cuma sifat hasad dan dengki.

Sekarang, kalau mahu merasa suasana aman damai kampung yang suci murni, kita terpaksa pergi jauh mencari kampung terpencil di pinggir hutan. Malah pinggir hutan pun belum tentu selamat daripada arus pembangunan yang membawa kepanasan dosa manusia yang tamak-haloba... Terpaksa pergi lebih jauh masuk ke dalam, barulah ada sedikit kedamaian. Kemajuan material yang dikejar-kejar memang telah memberi banyak manfaat kepada bangsa Melayu yang dahulu sering merasa kerdil selepas hidup lama di bawah ketiak penjajah tetapi apakah harganya? Apakah kesannya terhadap hati dan jiwa kita?

Memang sudah menjadi adat manusia... Mereka yang hidup di kampung kepingin hendak menghirup kehidupan berwarna-warni serba-moden di bandar-bandar besar tetapi mereka yang telah merasa segala macam nikmat duniawi urbanisasi yang disertai hiruk-pikuk yang membingitkan akhirnya ingin kembali mendekati alam semulajadi di kampung. Dulu semasa dibesarkan di Muar, di kawasan pinggir bandar yang bukan kampung tetapi dirasanya seperti kampung, Rasyid selalu bermimpi hendak melihat bandar kelahirannya menjadi sebuah kotaraya besar seperti Kuala Lumpur... Selalu ternanti-nanti bilakah Muar akan memiliki jalan double-lane, jejantas bertingkat juga lampu isyarat kerana seingatnya itupun belum wujud di situ ketika dia masih menuntut di sekolah rendah lebih 25 tahun dahulu. Semasa itu, dia amat mendambakan pembangunan besar di daerah kelahirannya sehingga angan-angan untuk melihat Muar memiliki bangunan pencakar langit terbawa-bawa ke tempat tidur!

Ketika sedang duduk mengelamun di Tanjung Emas, di kuala Sungai Muar sambil menikmati angin laut pula, pemuda ini sering berimaginasi, jika memiliki kuasa ajaib atau superpower, ada kekuatan magic yang boleh mencabut dan mengalihkan bandar-bandar, maka dia akan mengambil secebis kota New York bersama secebis kota London lalu mengaturnya di kedua-dua tebing sungai supaya Muar menjadi kotaraya besar, jauh lebih besar dari Kuala Lumpur yang sering disebut-sebut orang. Semasa itu, Muar yang dianggap bandar kedua terbesar di Johor selepas ibu negerinya Johor Bahru cuma merangkumi sedikit bahagian selatan sungai... Terlalu kecil untuk memuaskan imaginasi suburnya yang sering membayangkan kehebatan serta kepesatan kota-kota besar dunia seperti London dan New York seperti dilihat.dalam buku, poskad dan majalah, juga rancangan televisyen yang menjadi sajian harian zaman kanak-kanaknya.

Lagipun Rasyid cukup berminat dengan bangunan tinggi dan megah menggapai awan, sudah lama tertarik dengan rekabentuk infrastuktur hebat seperti Empire State Building di New York dan Sears Tower di Chicago. Maka dia kecewa kerana semasa itu, sebelum awal 80an, Muar belum lagi memiliki bangunan yang lebih tinggi dari lima tingkat, apalagi pencakar langit 30 tingkat ke atas seperti di Kuala Lumpur ataupun Singapura... Sampailah satu masa nanti, kalau tidak salah ingatan selepas Rasyid masuk sekolah menengah apabila bangunan UMNO Cawangan Pagoh setinggi 12 tingkat didirikan di sebelah stesyen bas. Lalu dia cukup berbangga Muar sudah ada bangunan tinggi, boleh dijadikan modal bercerita kepada kawan-kawan yang datang dari seluruh pelusuk tanah-air di sekolah asramanya, Sekolah Menengah Sains Johor di Keluang..

Sekarang semua itu tidak begitu penting baginya... Bukan keperluan hidup yang dapat menjamin kebahagiaan atau kesejahteraan sesiapa. Rasyid masih sukakan bangunan tinggi lagi megah, cuma tidak lagi kuat seperti dahulu. Sebagai seorang rakyat Malaysia, sudah tentu dia merasa bangga apabila Kuala Lumpur berjaya memiliki bangunan tertinggi di dunia (sekarang entah ke berapa kerana sudah banyak negara lain membangunkan bangunan yang lebih tinggi) iaitu menara berkembar Petronas... Sudah merasa bersantai di zon eksklusif tingkat 88 bangunan itu, juga pernah menikmati hidangan buffet restoran berpusing menara Telekom di Bukit Nenas yang membolehkan pelanggan melihat pemandangan setiap sudut kotaraya daripada aras ketinggian 300m!

Hamba Allah berjiwa halus ini juga masih meminati infrastruktur besar seperti lebuhraya dan persimpangan bertingkat yang boleh didapati hampir di mana-mana bandar besar Malaysia kini, masih boleh terpesona melihat bahu batu gergasi yang menyokong lebuhraya MRR2 (Middle Ring Road) terutama di persimpangan Ampang berhampiran pusat membeli-belah Ampang Point. Tetapi dia lebih merindukan suasana damai aman tenteram, bukan ribut traffic jam, orang kelam-kabut mengejar masa dan duit seperti sering dilihatnya sekarang... Orang lebih banyak menyamakan masa dengan duit, bukannya anugerah Allah Ta’ala untuk manusia mengenali Pencipta dan perbuataanNya.

Banyak perubahan zaman sekarang yang Rasyid rasa kurang berkenan. Dia melihat kesibukan untuk memajukan diri masing-masing telah menyebabkan orang Melayu yang dahulu cukup terkenal dengan adab sopan juga rasa keprihatinan dan semangat ukhuwah yang tinggi sudah tidak berapa pedulikan lagi nasib orang lain walau yang sebangsa dan seagama dengan mereka... Malah kebanyakkannya sudah pandai menipu dan “menyembelih” anak bangsa sendiri demi mencari kekayaan dalam dunia yang semakin kehilangan arah dan pedoman. Pada Rasyid, bangsanya tidak lagi mementingkan budi pekerti elok dan akhlak mulia yang sejati. Kalau ada pun, mereka setakat memandang budi pekerti zahir penuh kepura-puraan yang sering dibuat-buat untuk mencapai sesuatu matlamat, budi pekerti PR atau Public Relations yang menjadi kebanggaan para hipokrit! Maka hatinya sering menjerit.. Ke manakah perginya kejujuran, keikhlasan dan rasa kasih sayang yang sebenar? Apakah yang telah terjadi kepada orang Melayu sekarang? Apakah berbaloi dikorbankan segala sifat mulia yang pernah menghiasi anak bangsa semata-mata untuk menjadi kaya-raya dan berkuasa, supaya di pandang hebat masyarakat? Inikah natijah segala usaha untuk duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan bangsa lain?


Pisang emas dibawa belayar,
Masak sebiji di atas peti,
Hutang emas boleh dibayar,
Hutang budi dibawa mati.


Ke manakah perginya jati diri Melayu sebenar yang tidak hairankan harta dan pangkat, tidak boleh dibeli dengan apa bentuk imbuhan keduniaan apalagi rasuah yang menjadi penyakit manusia sekarang? Ke manakah menghilang hati-budi sejati bersuluh Nur Iman pancaran cahaya Ilahi yang tahu menilai budi pekerti mulia dan keikhlasan diri yang tidak mengharapkan balasan? Apakah terjadi kepada sifat-sifat mulia yang patut menjadi pakaian harian seorang Islam? Betul, zaman telah berubah dan arus kemodenan tidak dapat dielakkan... Tetapi adakah kita harus membuang segala yang lama sehingga hanyut dipukul gelombang kemajuan yang menghakis jati diri kita yang sebenar?

Rasyid sudah merasa hidup di Kuala Lumpur yang merupakan kotaraya terbesar di Malaysia... Pernah juga hidup bertahun di kotaraya London, sebuah kota yang jauh lebih besar dan maju dengan penduduk sekitar 10 juta orang. Dia pernah sampai ke Paris yang tidak kurang hebatnya juga beberapa kota megah lain di Eropah seperti Amsterdam, Brussels dan Frankfurt. Walaupun pemuda ini kagum dengan kepesatan hidup di sana, dia menjadi semakin rindu kepada kedamaian desa juga suasana santai seperti yang dirasakannya di pinggir bandar Muar ketika sedang membesar dahulu... Rindu suasana tahun 70 dan 80an ketika ramai orang masih suka berbasikal ke bandar, sesetengahnya menaiki beca...

Anak muda ini teringat pengalaman di Belanda, semasa hitchiking keliling Eropah selepas tamat pengajian di London tahun 1995. Kota-kota besarnya seperti Amsterdam dan Rotterdam bukan calang-calang, mewah dan kaya-raya lagi pesat dan maju pula. Tetapi beribu-ribu penduduknya masih memilih untuk berbasikal ke tempat kerja, juga bersantai di tengah kota. Kenapa Muar yang baru membesar sedikit meliputi bahagian utara sungai tidak mencontohinya? Apa salahnya terus berbasikal walau sudah berpangkat dan kaya-raya?

Anak mendiang Presiden Amerika, John F. Kennedy Junior, juga waris keluarga Onassis yang memiliki empayar perkapalan Greek bernilai berbillion Dolar pun boleh menunggang basikal ke tempat kerja, di tengah kesibukan kota gergasi New York. Kita yang tidak seberapa ini hendak sombong apa? Betullah cakap bekas Perdana Mentera Tun Dr. Mahathir, Melayu mudah lupa…