


Tadi apabila melihat gambar itu lagi, isteri saya meminta agar saya memasukkannya ke dalam akaun FaceBook miliknya. Setelah itu saya tergerak pula untuk meletakkannya di FB saya. Seterusnya saya terasa ingin memfokuskan kepada gambar isteri yang kalau diceritakan dalam bahasa Inggeris untuk menerangkannya, saya harus menyebut "My wife looks like an angel!" (dan memang itulah yang saya rasa)... jadilah gambar paling atas.
Ya. Saya rasa itulah deskripsi atau cara penerangan yang paling sesuai dan terus terbetik di hati apabila melihat gambar itu. Saya rasa terjemahan bahasa Melayu "Isteri saya kelihatan seperti malaikat!" kurang sesuai. Lagipun saya tidak ingin mempermain-mainkan takrif malaikat. Sebab itu perkataan Inggeris "Angel" lebih sesuai... kerana selain bermakna malaikat, ia juga digunakan untuk menerangkan seseorang yang kita rasa baik... atau kalau orang lain rasa tak cukup baik pun, sekurang-kurangnya dia itu baik untuk kita. Maka itu muncul ungkapan "She is my angel" dan lain-lain yang sewaktu dengannya.
Alang-alang sudah menulis begini, biar diungkapkan terus di sini... betapa saya rasa amat sayang pada isteri lebih-lebih lagi setelah melahirkan anak lelaki kami. Saya rasa tak salah untuk meluahkan rasa sayang ini di hadapan ramai di blogspot ini kan? Saya rasa kalau anda ada kemampuan dan keberanian untuk mengungkapkan rasa kasih sayang di hadapan seramai orang yang mungkin, anda pun akan berbuat begitu terutama apabila perasaan itu muncul melimpah-ruah di hati!
Oh. Gambar ketiga atau terakhir di sini baru ada saya muncul di hadapan isteri. Dalam gambar ini sudut yang diambil sudah lain, tak dapat lagi gambar "Angel" seperti sebelum tadi. Apapun, saya juga ingin berkongsi rasa bahawa saya sukakan gambar ini dan suka berkerjasama dengan saudara Faiz dan ibunya Aina serta syarikat Karnadya... kerana selain ada satu kefahaman yang serupa tentang pelbagai perkara terutama berkenaan Ahlul Bait, rupa-rupanya dua rakan lama saya turut terlibat dengan mereka.
Rakan lama yang dimaksudkan, berdiri dari kiri adalah Taufiq Khalid yang bertindak sebagai peguam bagi pihak syarikat dan saudara Shamsul Yunos, penulis dan jurugambar bebas yang turut membuat kerja untuk syarikat Karnadya. Kedua-dua Taufiq dan Shamsul pernah duduk satu bilik dengan saya ketika zaman kolej "A" Levels di Damansara Utama lebih 20 tahun lalu. Kemudian kami bertemu kembali di England di mana saya mengambil jurusan matematik di University College of London sementara Taufiq dan Shamsul pergi ke Leeds kalau tak salah ingatan.
Untuk makluman, Shamsul yang pernah menjadi wartawan akhbar Malay Mail ketika saya pula menjadi wartawan akhbar The New Straits Times bertindak sebagai jurugambar untuk buku "Rumah Azan" yang ditulis oleh saya tetapi dikeluarkan oleh Karnadya. Lihat artikel Buku "Rumah Azan" dan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2009 di PWTC . Dengan ini lepaslah gerak rasa saya bercerita buat masa ini, dengan penuh rasa kasih sayang terhadap isteri iaitu Nor Afidah binti Yusof, Alhamdulillah! :]
p/s: Semasa gambar-gambar ini diambil, isteri saya sedang mengandung hampir 8 bulan. OK kan? Oh... kemudian baru saya mendapat teguran dari pembaca bahawa ungkapan "Angel" dalam bahasa Inggeris itu boleh juga disamakan dengan "bidadari" dalam bahasa Melayu. Jika begitu, ayat "Isteri saya kelihatan seperti bidadari" juga amat sesuai di sini!