Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Friday, November 22, 2019

Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Socrates... nabi atau hukamah?

Salam petang Jumaat 22 November 2019 bersamaan 25 Rabiulawal 1441 Hijriah. Malam ini sekali lagi saya akan bermalam di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) bagi memudahkan mengikut majlis-majlis ilmu. Malam ini ada satu syarahan bersiri, esok pagi ada majlis akademik tentang keris. Sebelum itu biar dilepaskan satu cerita daripada majlis ilmu di ISTAC petang Rabu.


Adapun daripada hari Selasa hingga Khamis semalam saya telah melepaskan 3 cerita berturut seperti berikut :-





Sekadar memberitahu. Majlis pertama berlaku di ISTAC petang Isnin 18 November, majlis kedua berlaku di Muzium Negara pagi Selasa 19 November diikuti majlis ketiga di ISTAC pada petangnya. Selepas itu baru kembali ke rumah setelah menginap malam sebelumnya di ISTAC. Petang Rabu 20 November ke ISTAC lagi untuk satu syarahan bersiri.


Ia adalah edisi ke-7 semester ini bagi siri syarahan "Classification of Knowledge in Islam". Siri ini mengulas buku  tulisan Sheikhul Qulliyah ISTAC Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar dengan tajuk sama. Syarahan 2 hari lalu bermula daripada bahagian tengah muka surat 10 buku, setelah syarahan minggu sebelumnya terganggu akibat berlaku black out atau putus bekalan eletrik. Ini menyebabkan seluruh ISTAC bergelap daripada jam 6  petang hingga sehingga selepas 7.30 malam. Rujuk cerita berkenaan dalam artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Hikmah dan falsafah yang muncul dalam kegelapan.


Muka surat tersebut bercakap tentang latar belakang pendidikan dan kesarjanaan ulamak silam Al-Farabi (hidup  872-950 Masihi). Syarahan berpanjangan sehingga ke hujung perenggan kedua muka surat 12 sambil nota-nota berkenaan pada muka surat 32 dan 33 diulas sekali. Daripada segi ini ia boleh dikatakan bersamaan separuh akhir syarahan ke-5 semester lalu membawa ke syarahan ke-6. Walaupun tidak hadir pada syarahan ke-6 tersebut saya boleh menebak isinya berdasarkan bagaimana syarahan ke-7 (bagi semester lalu) bermula. Rujuk artikel-artikel berikut :-



Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Meninggalkan kedudukan sebagai qadi untuk mendalami falsafah dan logik


Seperti biasa muncul ulasan-ulasan baru tentang perenggan-perenggan yang sama (syarahan semester ini dimulakan kembali daripada muka surat 1 kerana muncul muka-muka baru yang tidak ada pada semester lalu). Ini boleh berlaku kerana proses soal jawab yang berbeza. Satu adalah tentang pelbagai dimensi Al-Quran atau dalam memahami isi Quran. Osman selalu menyebut bahawa kitab suci itu adalah sintesis atau penggabungan daripada semua ajaran-ajaran Tauhid terdahulu.

Oleh itu Quran memiliki dimensi ajaran Confucian (Cina), ajaran Nabi Ibrahim juga ajaran pemikir Yunani purba Pythagoras (hidup 570–495 Sebelum Masihi, dikenali kerana menerbitkan formula panjang sisi pada segi tiga tepat - Pythagoras Formula). Dipanjangkanlah bagaimana ulamak-ulamak silam Islam dahulukala tidak pernah mengkafikan para pemikir Yunani purba seperti halnya pada hari ini di mana mereka semua dituduh sebagai penyembah berhala lalu tidak patut diambil tahu. Ulamak dahulukala percaya nama-nama seperti Aristotle (384-322 SM), Plato (428/427-424/423 SM), Plato dan Socrates (470–399 SM) adalah pengamal agama Tauhid. Bahkan mereka adalah hukamah atau para ahli hikmah!

Osman pun menyebut tentang Omar Khayyam (1048-1131). Menurut beliau, ulamak silam tersebut adalah ahli matematik paling hebat dalam dunia Islam. Tetapi Barat mengenalinya sebagai ahli puisi sahaja, bukan pakar matematik. Hmm. Teringat semasa di London  awal tahun 1990an saya sangat meminati buku puisi Omar bertajuk Rubaiyat kerana bahasa tinggi yang penuh makna keSufian. Kata Osman,  Omar adalah pengikut Pythagoras. Pythagoras dikenali membawa ilmu matematik yang memiliki dimensi spiritual bersifat keTuhanan.

Pemikir besar Yunani ini belajar ilmu hikmah purba di Alexandria, Mesir. Ilmu itu dipercayai diwarisi daripada Nabi Sulaiman AS. Barat selalu mengatakan Yunani menerbitkan ilmu pengetahuan mereka sendiri (tanpa campur tangan pihak lain). Sekarang baru sejarawan mereka tahu Yunani belajar daripada Mesir.

Kata Osman ilmu-ilmu hikmah lama turut diperolehi daripada ajaran Nabi Idris AS yang dikenali sebagai Enoch. Dalam tradisi Islam disebut bahawa Allah SWT telah menunjukkan isi seluruh alam kepada Idris dan bagaimana ia berfungsi. Lalu Idris juga dikenali sebagai  Abul Hukama, bapa kepada semua ahli hikmah atau para pendita.

Disebut bahawa satu kumpulan intelektual silam Islam dipanggil Ikhwan as-Safa juga menganggap diri mereka sebagai murid Pythagoras. Kata Osman matematik adalah bahasa khas agama. Disebut pula tentang minat Al-Farabi terhadap ajaran dan pemikiran Plato and Aristotle. Tentang  ulamak tersebut mengikuti cara ajaran Aristotle yang menerbitkan sekolah pemikiran atau aliran Mashaikh dalam dunia Islam telah disebut banyak kali oleh Osman dan ini ada ditekankan dalam buku. 

Walaupun Al-Ghazzali (turut dibincangkan dalam buku, hidup 1058-1111 M) mengkritik ajaran dan pemikiran Aristotle beliau percaya tokoh besar Yunani itu tetap percaya pada Tuhan yang Satu. Aristotle  berguru dengan Plato, Plato dengan Socrates. Tentunya ada unsur-unsur sama dalam kepercayaan teras mereka.

Osman pun bercerita tentang kematian Socrates akibat dijatuhkan hukuman bunuh. Kata beliau setiap kali satu masyarakat itu mula menyembah berhala Tuhan akan hantar seorang Nabi untuk membetulkannya. Masyarakat Yunani zaman itu percaya kepada banyak tuhan ataupun dewa terutama 12 paling besar bawah apa yang dikenali sebagai Greek Pantheon.  Dewa-dewa ini juga dikenali sebagai 12 Olympian. Kepercayaan terhadap mereka menjadi agama rasmi negara. Ketua mereka dikatakan Zeus, bapa kepada dewa-dewa.

Datang Socrates bercakap melawan sistem dan negara. Beliau yang selalu mengadakan kelas untuk orang muda dihadapkan ke mahkamah atas 2 tuduhan :-


1- Merosakkan pemikiran anak muda Athens (kota utama Yunani)

2. Menyebar Assabiah (ya, ini perkataan Yunani). 


Kata Osman beliau tidak terperanjat jika perkataan Arab Assobiyah  datang daripada situ kerana membawa maksud yang sama iaitu kepercayaan bersifat sekterian atau berpecah-belah. Socrates didapati bersalah lalu dijatuhkan hukuman bunuh.

Kata Osman, kalau bagi orang Islam ini adalah mati Syahid kerana mempertahankan Tuhan yang Satu. Socrates menyebarkan ajaran Tauhid. Hal ini sama seperti di Tanah Arab di mana Nabi Muhammad SAW membawa ajarah Tuhan yang Satu menentang bangsa Arab yang sedang menyembah 360 tuhan ataupun dewa.

Banyak lagi perkara berkenaan dipanjangkan tetapi biar ditambah beberapa ini sahaja. Apakah Socrates adalah seorang nabi (merujuk pada hakikat bahawa 124,000 orang nabi telah diutuskan bagi pelbagai umat, yang kita wajib tahu cuma 25)? Kata Osman kita tidak tahu. Yang pasti beliau memang seorang hukamah/ahli hikmah ataupun pendeta. Setiap nabi adalah hukamah. Tetapi tidak setiap hukamah adalah nabi.

Ditanya tentang kepercayaan sesetengah pihak bahawa Socrates adalah Lukmanul Hakim yang disebut dalam Al-Quran kata Osman cuba siasat dahulu ciri-cirinya. Lukmanul Hakim diketahui memliki seorang anak laki-laki yang selalu dinasihatinya. Apakah Socrates begitu ceritanya?

Penulisan yang dibuat di ISTAC ini dimulakan jam 6.20 petang. Kini sudah jam 7.50 sedangkan jam 8.15 saya mahu mengikut satu syarahan bersiri yang diadakan 2 minggu sekali. Cukuplah perkongsian ya. Selamat malam.


Thursday, November 21, 2019

Pelancaran pembacaan baru Hikayat Raja Pasai oleh Timbalan Perdana Menteri

Meneruskan penceritaan tentang majlis-majlis ilmu yang menjadi asbab saya menginap di masjid ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) Selasa malam Rabu seperti diceritakan dalam artikel Berceloteh tentang bermalam di ISTAC sebelum menyusuri kaitan Parsi dalam sejarah Islam China. Bersambung daripada artikel Negara Kota Yang Hilang - Satu tajuk yang menyuburkan imaginasi.


Selepas makan tengah hari di Muzium Negara kemudian berborak dengan kawan-kawan saya bergerak kembali ke ISTAC lalu sampai jam 1.48 petang. Saya membawa seorang kawan dari Aceh yang datang ke muzium untuk mengikuti bicara sana. Beliau memang mahu ke ISTAC sekali untuk mengikuti majlis seterusnya.


Ada tempoh lebih 40 minit sebelum ia dijadualkan bermula seperti kelihatan poster. Kami pergi ke masjid untuk menunaikan solat. Jumpa dua orang rakan sepengajian di ISTAC lalu berbual-bual lama. Fikir kami tak perlulah ke majlis awal. Kami tidak mahu bersesak-sesakkan dengan orang ramai yang dijangka memenuhi ruang kerana kedatangan Timbalan Perdana Menteri  (TPM) Malaysia untuk merasmiskan perkara. Yang mahu kami ikuti adalah diskusi buku.


Setelah beberapa lama baru dapat tahu bahawa perasmian dilambatkan kerana TPM cuma dapat sampai pada jam 3.30 kerana ada urusan tertentu. Oleh itu diskusi buku dimulakan dahulu. Saya dan kawan Aceh pun bergerak ke bilik majlis lalu sampai jam 2.50.


Kelihatan Profesor Baharudin Ahmad daripada ISTAC sedang mengulas buku. Disebutlah bahawa beberapa pihak terdahulu terutama Orientalis Barat telah terlebih awal membuat transliterasi terhadap manuskrip Jawi kitab yang sedang dibincangkan ini. Itupun tiada siapa memiliki manuskrip asal, yang ada adalah salinan-salinannya. Hasilnya muncul dua versi utama transliterasi atau buku dalam tulisan Rumi berdasarkan cerita yang sama tetapi ada sedikit beza. Satu dipanggil Hikayat Raja Pasai satu lagi Hikayat Raja-raja Pasai.


Sesungguhnya kitab Hikayat Raja Pasai ini memiliki kaitan yang sangat dekat dengan darah daging saya. Hal ini ada disebut beberapa kali dalam blogspot ini malah menjadi satu asas utama dalam penceritaan buku-buku tulisan saya yang terawal iaitu siri trilogi "Berpetualang ke Aceh" (terbit 2006-2007). Yang dipersembahkan kini adalah satu bacaan merangkap usaha transliterasi baru oleh Profesor Emeritus Dato' Dr Ahmat Adam. Difahamkan sebelum Baharuddin mengulas, Ahmat telah memberikan pengenalan selama 10 minit sahaja.


Rupa-rupanya Ahmat menyimpan 'buah' untuk majlis perasmian yang sepatutnya berlaku sebelum diskusi buku tetapi telah dialih ke selepas itu. Jam 3.30 TPM iaitu Dato' Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail pun sampai untuk perasmian itu.


Beliau mengambil tempat di hadapan bersama orang-orang penting majlis. Kelihatan dalam gambar dari kiri Sheikhul Kulliyah ISTAC Profesor Datuk Dr Osman Bakar diikuti Wan Azizah dan Ahmat.


Osman memberikan ucapan alu-aluan dengan menyatakan bagaimana usaha terbaru mentransliterasikan  Hikayat Raja Pasai adalah selari dengan misi ISTAC kerana kami juga mengkaji tentang Melayu. Kami ada Unit Tamadun Melayu.


Sampai giliran Ahmat hadirin diberitahu bahawa beliau memakan masa 2 tahun untuk mengkaji dan mentransliterasikan hikayat. Ini menyambung usaha orang-orang terdahulu seperti Teuku Alfian dari Aceh yang juga telah mengkajinya. Tetapi seperti halnya dia (Ahmat) mengkaji  teks-teks lama tentang Hang Tuah untuk memberikan tafsiran baru beliau melihat para sarjana  tempatan sudah tersilap baca kerana terikut cara bacaan Orientalis Barat. Diulanglah tentang hal Hang Tuah (kerana beliau sudah menyebutkannya banyak kali sehingga menimbulkan kontroversi beberapa tahun lalu) yang katanya sepatutnya dibaca Tuha yang bermakna ketua.. bukan Tuah yang katanya belum muncul dalam kosa kata Alam Melayu pada waktu laksamana itu wujud (abad ke-15 Masihi).

Kata Ahmat banyak salah faham berlaku kerana Orientalis tidak mengerti hal-hal bersangkutan Islam dan spiritual seperti doktrin Tasawuf. Oleh itu semua hasil kajian Orientalis terhadap manuskrip Melayu harus disemak semula. Ahmat pun memberikan beberapa contoh bagaimana beberapa perkataan bertulisan Jawi dalam teks asal hikayat harus dibaca dalam melakukan transliterasi. Menurut beliau banyak perkataan yang sebenarnya ada makna dalam bahasa Parsi dan sebagainya disilap baca lalu hilang makna.


Wan Azizah pula menyebut sedikit tentang sejarah kerajaan Samudera dan raja-rajanya yang terkenal seperti Sultan Malikus Saleh dan Sultan Malikul Zahir. Pasai disebut sebagai pusat antarabangsa sebelum Melaka lalu keadaannya cuba disamakan dengan Malaysia pelbagai bangsa pada hari ini.


Apapun saya melihat majlis ini ada keistimewaan tersendiri yang tersirat dan tersurat buat diri. Ini kerana Hikayat Raja Pasai memang ada kaitan peribadi. Kebetulan saya hadir bersama kawan dari Aceh. Apa lagi 1 September lalu bersamaan 1 Muharram 1441 Hijriah saya telah melaksanakan satu acara bersifat mendaulatkan Melayu dan Islam di Kompleks Makam Sultan Malikus sebelum memanjangkannya ke Banda Aceh. Lihat artikel Acara kedua puluh satu HIKMAH di Kompleks Makam Sultan Malikus Saleh membawa ke Muzium MAPESA/Pedir, Aceh 1-3 September 2019 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).

Majlis perasmian pula berlaku pada satu tarikh cantik iaitu 19 November 2019 atau 19/11/19. Ketika minum petang selepas majlis tamat saya duduk di satu kawasan set sofa bersama sejumlah pelajar wanita ISTAC. Osman ternampak saya yang sedang memakai busana Melayu tradisional penuh bersampin, bertanjak dan berkeris itu lalu berseloroh mengatakan ini Raja Pasai. Saya cuma tersenyum sahaja. Sebelum meninggalkan ISTAC saya bersalaman dengan Osman lalu memberitahu - Memang saya keturunan Raja Pasai. Menurut cerita keluarga, Sultan Malikus Saleh adalah moyang kami. Cukup. :]




Wednesday, November 20, 2019

Negara Kota Yang Hilang - Satu tajuk yang menyuburkan imaginasi umum

Menyambung gerak penulisan berkenaan daripada artikel Berceloteh tentang bermalam di ISTAC sebelum menyusuri kaitan Parsi dalam sejarah Islam China yang dipersembahkan dari masjid ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) selepas jam 6 petang semalam. Artikel baru ini dimulakan jam 4.30 petang di bahagian lain ISTAC sementara menunggu satu syarahan bermula jam 5.


Dalam Berceloteh tentang bermalam di ISTAC sebelum menyusuri kaitan Parsi dalam sejarah Islam China ada disebut bahawa pada malam sebelumnya Selasa malam Rabu saya telah menginap di masjid untuk memudahkan mengikuti dua majlis ilmu pada siang Rabu semalam. Artikel mula ditulis di masjid selepas menunaikan solat Subuh. Di celah-celah itu saya menyemak laluan untuk ke tempat majlis pertama iaitu Muzium Negara. Harapan saya dapat menyiapkan artikel sebelum bertolak ke sana.


Harapan itu ternyata meleset. Pada jam 7.47 ia baru sepertiga ditulis sedangkan saya sudah terasa penat lalu perlu melelapkan mata. Bangun jam 8.30  baru bersiap, mandi dan sebagainya lalu mengorak langkah ke muzium 5 km perjalanan. Jarak itu tidaklah jauh sangat tetapi perlu meredah kesesakan orang masuk kerja.


Jam 9.25 sampai ke muzium lalu pergi auditorium melalui jalan belakang bagi kakitangan dan urusan khas.


Saya dapat menggunakan laluan kerana isteri telah memberitahu pihak muzium bahawa saya akan menjual buku lalu diberikan meja...


Inilah poster majlis. Dinyatakan bahawa ia dijadualkan bermula jam 9. 


Tengok-tengok ketika selesai mengangkat buku dari kereta lalu diatur ke atas meja jam 9.33 majlis masih belum bermula. Alhamdulillah ada masa untuk bersarapan pagi di cafeteria muzium. Apabila kembali ke auditorium jam 9.53 majlis baru sahaja beberapa minit bermula.


Kelihatan ketua pengarah Jabatan Muzium Malaysia (JMN) Datuk Kamarul Baharin bin A. Kasim sedang memberikan ucapan pembukaan. Satu perkara menarik disebut adalah bagaimana tajuk majlis iaitu "Negara Kota Yang Hilang" atau bahasa Inggerisnya "The Lost Kingdoms" tidak disenangi pihak luar. Ini kerana pihak tersebut (atau pihak-pihak... saya tahu sekurang-kurangnya 3 buah negara di Asia Tenggara yang terpalit dalam hal ini) merupakan pihak yang sebenarnya berasal daripada luar, bukan penduduk asal tetapi membina sejarah baru menurut mereka atas tamadun sebelumnya. Pihak ini lebih sukakan tajuk "The Ancient Kingdoms" (Kerajaan-kerajaan Silam) kerana "The Lost Kingdoms" membayangkan usaha menggali kembali sejarah yang sudah ditutup.


Jam 10.12 para panelis mengambil tempat. Mereka ialah (daripada kiri) :-


1. Dr Nasha bin Rodziadi Khaw daripada Universiti Sains Malaysia

2. Pak Budi Istiawan daripada Kementerian Pendidikan dan Kebudayaan Indonesia

3. Dr Yunus bin Sauman daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris


Kelihatan paling kanan adalah Encik Nasrulamiazam bin Mohd Nasir, pengarah Muzium Adat. Untuk pengetahuan ia adalah salah satu daripada lebih 20 muzium di bawah JMN.


Selepas semua ahli panel diperkenalkan panelis pertama iaitu Dr Nasha naik ke podium jam 10.15. Beliau membawa tajuk "Kedah Tua Berdasarkan Prasasti Kepingan Leiden Besar : Satu Tinjauan Semula"


Diberikan latar belakang Kedah Tua berdasarkan catatan-catatan luar diikuti penemuan-penemuan arkeologi di Sungai Batu. Rasanya ramai sudah tahu bagaimana telah ditemui tapak peleburan besi dengan segala macam tinggalan alatan dan bahan berkenaan didapati telah wujud sejak zaman Sebelum Masihi. Ini adalah berdasarkan pentarikhan makmal menurut kaedah tertentu. Beberapa pentarikhan telah dilakukan membawa kepada sejarah Kedah Tua diputar semakin lama semakin jauh ke belakang. Terbaru didapati ia sudah wujud selewatnya pada abad ke-8 Sebelum Masihi.


Masalahnya tidak ditemui catatan begitu lama dan seterusnya yang jelas tentang Kedah Tua. Menurut Nasha paling sahih adalah prasasti (tulisan pada batu atau objek keras seperti besi) oleh kerajaan Chola di selatan India.


Disebutlah tentang kepentingan India (atau benua Hindi) terhadap Kedah Tua. Kedatangan pedagang-pedagang India ke pelabuhan Kedah seperti tercatat dalam beberapa teks menunjukkan ini.


Menurut Nasha, rekod India telah menyebut nama Kedah walau dengan sebutan lain (Kadaram dan sebagainya) sejak apa yang dipanggil sebagai Zaman Sanggam. Ini merujuk pada tempoh masa Sebelum Masihi hingga 2 Masihi di India.


Pun begitu beliau melihat rekod jelas cuma ada pada zaman kemuncak kerajaan Chola abad ke-11 Masihi.



Salah satunya ada pada apa yang dipanggil sebagai Prasasti Kepingan Leiden Besar.


Disebutlah latar belakang Prasasti yang katanya ditulis atau dikeluarkan pada tahun 1006 Masihi.


Ia melibatkan kerajaan Melayu Srivijaya yang sedang menguasai hampir seluruh Alam Melayu ketika itu.


Prasasti in ditulis sebahagiannya dalam bahasa Sanskrit, sebahagian lagi dalam bahasa Tamil. Nampaknya yang berbahasa Sanskrit itu untuk bacaan golongan pentadbir, orang atasan dan sebagainya. Yang bahasa Tamil untuk rakyat biasa.


Prasasti itu merupakan tulisan pada kepingan-kepingan logam yang dikepilkan bersama. Lebih kurang beginilah tulisan dialih ke dalam komputer.


Beberapa tingkat proses perlu dilakukan supaya dapat dibaca umum...





Yang menarik perhatian adalah bagaimana ia menunjukkan kedudukan Maharaja Srivijaya dan hubungan dengan Kedah Tua. Untuk pengetahuan Kedah adalah satu daripada 3 pusat pentadbiran dan pelabuhan terpenting di Srivijaya. Ini menunjukkan kepentingannya pada masa itu. Ia juga menunjukkan kedudukan Maharaja Srivijaya sebagai setaraf dengan Maharaja Chola, bukan bawahannya. Dikatakan Chola adalah kerajaan paling berkuasa di India ketika itu. Jajahan takluknya sampai ke pantai Barat Afrika dan beberapa bahagian Lautan Hindi.


Jam 11 sampai giliran panelis kedua, Pak Budi untuk berkongsi ilmu. Beliau memilih untuk bercakap terus daripada tempat duduk membawa tajuk "Dari Dharmmasraya ke Surawasa".






Ia merujuk kepada kerajaan Dharmmasraya yang pernah wujud dan berpusat di wilayah Sumatera Barat.








Dua orang puteri kerajaan Dharmmasraya pernah dibawa ke Pulau Jawa lalu dikahwinkan dengan bangsawan kerajaan Majapahit. Seorang melahirkan anak dikenali sebagai Adiyatvarman. Orang ini dikenali sebagai pendiri kerajaan bernama Melayu atau Melayupura. Pak Budi mahu mengatakan pusatnya adalah di suatu tempat bernama Surawasa. Alhamdulillah saya pernah sampai. Lihat artikel Jejak kerajaan lama tengah Sumatera - Sekitar Pagaruyung lagi sebelum ke Pariangan dan lain tempat yang ditulis hampir 3 tahun lalu.


Jam 11.22 sampai giliran Dr Yunus untuk bercakap. Beliau juga memilih untuk membentang dari tempat duduk... 


Tajuk yang dibawa iaitu "Politi di Borneo yang Dilupakan" ada kelainan kerana merujuk pada satu wilayah yang jarang disentuh.


Selepas memberikan definisi politi sebagai satu entiti politik yang disokong sejumlah manusia (ia boleh jadi suatu negeri, boleh jadi negara, boleh jadi suatu wilayah kecil asal ada suatu struktur pemerintahan atau pentadbiran yang tersusun) disebutlah beberapa politi yang pernah wujud di Borneo.


Pengkhusuan diberikan terhadap "Tuaran" satu wilayah yang masih wujud kini sebagai daerah tidak jauh dari Kota Kinabalu. Diceritakan Tuaran pernah memiliki kedudukan penting sebagai satu wilayah dalam kerajaan Brunei (nama pulau Borneo berasal daripada nama Brunei kerana dahulu pernah menjadi kerajaan paling besar dan penting di pulau besar itu). Malah menurut Yunus dipercayai kerajaan Brunei pernah berpusat di Tuaran buat suatu tempoh waktu.


Ditunjukkan bahawa Tuaran ada disebut oleh oleh beberapa penulis Arab lama dahulu...








Cukuplah berkongsi setakat ini. Saya sedang kepenatan selepas mengikuti syarahan petang tadi hingga jam 7.10. Sebelum syarahan bermula sedikit lewat jam 5.20 saya cuma sempat menulis sedikit sahaja. Selepas menunaikan solat Maghrib penulisan disambung kembali hingga siap dalam keadaan lapar belum makan malam. Isteri pula berpesan jangan makan di luar. Nasi dan lauk masih banyak di rumah. Selamat malam dan wassalam. :]


----------------------


Nota tambahan : Bahagian berikut ditambah pada petang Khamis 21 November. Asalnya ia mahu disertakan semalam tetapi dah tak larat dah sebab malam semakin lewat dan saya sudah kelaparan. Artikel perlu dipersembahkan di ISTAC setelah mencapai tahap yang cukup memuaskan. Selesai itu baru rasa boleh balik ke rumah lalu makan (sampai rumah pun dekat jam 10 malam) walaupun artikel sebenarnya kurang lengkap. Berikut adalah pelengkapnya...


Artikel yang dipersembahkan malam semalam sudah cukup siap daripada segi perkongsian ilmu. Tetapi tidak daripada segi hal 'sisi' yang sebenarnya sangat penting dalam penceritaan. Hal sisi ini adalah tentang munculnya ramai rakan-rakan aktivis dalam dunia persilatan dan busana tradisional Melayu ke majlis. Kelihatan dalam gambar saya duduk berbusana lengkap di hadapan.


Boleh kelihatan terserlah orang lain pun ada berbusana tradisional Melayu penuh, bersampin, berkeris dan bertanjak. Kalau setakat saya sahaja tu biasalah. Ini kalau tak salah ada lebih 30 orang laki-laki dan perempuan berpakaian begitu.


Ia berlaku atas inisiatif isteri saya mewar-warkan kepada rakan-rakan aktivis setelah kami menerima undangan terus daripada pihak muzium. Ingatkan cuma 5 orang sahaja akan memberikan nama untuk datang. Sampai tarikh majlis tengok-tengok ada 30 nama mendaftar. Ada pula menyatakan mahu datang secara walk-in...


Kedatangan kami amat dialu-alukan oleh pihak muzium. Bermula dengan acara ke-18 HIKMAH yang dianjurkan oleh pihak saya 3 tahun sudah ada hubungan antara aktivisi silat dan busana dengan muzium. Lihat artikel Acara kelapan belas HIKMAH di Muzium Negara, Kuala Lumpur 22 Oktober 2016 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Cuma jarang mereka mahu mengikut wacana ilmu seperti halnya pada majlis ini apa lagi pada pagi Selasa, hari orang bekerja. 


Biasanya yang ramai-ramai ini cuma suka hadir pada majlis-majlis yang ada pertunjukan silat. Sedikit sahaja yang sanggup duduk lama dalam dewan untuk mengikuti majlis ilmu yang bersifat akademik dan pemikiran. Kali ini begitu ramai muncul turut serta tanpa perlu dipujuk. Yang perlu cuma ditunjukkan poster acara dan bagaimana kedatangan kami dialu-alukan oleh pihak muzium.


Sebetulnya saya ada dimaklumkan oleh seorang pemegang tinggi jawatan satu persatuan gabungan silat bahawa memang mereka sedang berusaha untuk menggalakkan ahli pergi ke majlis-majlis ilmu sebegini. Takkan hendak bersilat memanjang aje kerjanya? Hadirlah pula ke acara-acara yang menambahkan ilmu pengetahuan dan boleh mencambahkan pemikiran. Kebetulan tajuk majlis iaitu "Negara Kota Yang Hilang" boleh menyuburkan imaginasi semua. Saya diberitahu itulah antara sebab ramai aktivis silat dan busana muncul kali ini. Kredit kepada tuan Zainuddin Ahmad atau Pak Lang untuk gambar-gambar. Beliau yang sudah berumur lebih 60 tahun cukup rajin hadir ke majlis-majlis yang ada kawan-kawan persilatan dan busana lalu mengambil gambar.