Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Saturday, March 01, 2008

Di Kuala Kangsar untuk memperbaharui wasilah...

OK... Rasanya semua pembaca sudah dapat menghayati dengan penuh tekun dan kusyuk kumpulan doa munajat Wali besar Sheikh Abul Hassan al-Syadzili yang diletakkan di dalam posting Ambik kau... Terjemahan Hizib Bahr... Maka kita sambung balik cerita pengembaraan di Perak yang akhir sekali dinyatakan dalam posting Taiping dan akibat Perjanjian Pangkor 1874...



Selesai "membuka" apa yang patut di Kota Ngah Ibrahim, saya pun kembali ke Taiping... Terus mendapatkan bas ke bandar diraja Kuala Kangsar... Dalam perjalanan itu, kalau tak salah selepas kawasan Bukit Gantang, saya terlihat bukit di dalam gambar ini yang kelihatan menarik...


Tetapi setelah beberapa kali cuba mencari sudut yang sesuai daripada dalam bas buruk yang selalu terhegeh-hegeh bergerak dengan menggunakan kamera digital murah yang gambarnya selalu blur jika tersilap sedikit pergerakan, saya cuma boleh mendapatkan gambar yang agak elok apabila bas telah betul-betul berhenti... Ketika mengambil atau menurunkan penumpang... Maklumlah, ketika bas sedang bergerak bukan sahaja kedudukan saya selalu bergoncang, seringkali apabila kita sudah mendapat ruang dan sudut yang agak cantik, tiba-tiba bas yang bergerak "membawa" tiang lampu atau pokok masuk mengepung ke dalam fokus kamera pula!

Sampai satu ketika, bas tersebut melalui sebuah kawasan yang latar-belakangnya terbuka menunjukkan keadaan bukit kelihatan tersergam cantik tanpa apa-apa yang menghalang. Tetapi apabila bas betul-betul berhenti, ternyata kedudukannya ketika berhenti seolah-olah telah "diatur" sebegitu rupa dengan sebuah pokok menghalang pandangan pula! Padahal jika ia berhenti cuma 10 meter sahaja ke belakang sedikit, sudah pasti saya akan mendapat gambar yang cantik untuk menunjukkan bukit ini! Alahai...


Akhirnya, inilah gambar terbaik yang saya boleh dapat apabila bas itu berhenti di tempat lain... Kena kepung dengan tiang letrik pun, tiang letrik lah... Sekurang-kurangnya pemandangan ini lebih terang berbanding jika ada pokok dengan dedaunnya di hadapan...


Tidak lama kemudian, saya pun sampai ke stesyen bas Kuala Kangsar... Terus saya melangkah menghala ke Bukit Chandan sambil mencari tempat makan... Maklumlah, perut sudah berkeroncong belum makan sejak pagi...

Suatu ketika, ternampak pula sebuah warung yang agak teratur di belakang barisan kedai. Di belakang warung pula ternyata kelihatan Bukit Chandan dengan sebuah jambatan menyeberangi sungai... Kelihatan seperti ada jalan untuk ke makam diraja Perak dan Masjid Ubudiyah di puncak bukit melalui sebuah sekolah perempuan, kalau tak salah ingatan Sekolah Raja Perempuan Mazwin...


Ternyata, jalan bawah selepas menyeberangi jambatan tadi untuk ke tangga menaiki bukit telah ditutup dan kawasan sekelilingnya dipagar semuanya. Nampaknya, saya tidak ada pilihan... Terpaksa juga ikut jalan biasa yang memerlukan saya berjalan kaki sekitar 2km menaiki bukit... Ingatkan bolehlah shortcut... Kalau ikut kepenatan badan akibat berjalan di Kedah dalam tempoh 3 hari sebelum ke Taiping dan Matang bercampur ini pula, mahu sahaja saya mengalah... Surrender atau give-up... Tetapi saya terpaksa meneruskan juga tak kiralah penat macamana... Bukankah tujuan utama saya turun di Taiping adalah supaya kemudian boleh ke Kuala Kangsar?

Bukankah saya masuk ke Perak untuk menziarahi sekali lagi makam moyang saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di kawasan pemakaman diraja Perak di puncak Bukit Chandan? Bukankah saya perlu ke sana untuk merekod kembali gambar makam itu, kerana gambar-gambar yang sempat diambil sebelum masuk ke Kedah dahulu semuanya telah hilang akibat kerosakan kamera seperti diceritakan dalam artikel Kamera short-curcuit di Makam Daeng Parani dan 2 insan bernama Badrul... ?

Kalau nak senang, tak payah langsung saya turun ke Perak. Daripada Kedah hari itu, lebih elok ikut sahaja Bad kembali ke rumahnya di Ipoh kemudian terus ambil bas ataupun keretapi di Kuala Lumpur. Lupakan sahaja tentang mengambil gambar. Di sana, di rumah ibu saudara di Ampang tempat saya menumpang atau sebuah rumah keluarga di Kajang, bolehlah saya berehat puas-puas. Tapi kalau dah kaki kembara tu tetap kembara jua. Apa boleh buat? Nak tak nak, berjalanlah juga saya ke puncak Bukit Chandan dengan menurut jalan jauh...


Kalau ikutkan, semasa itu sekitar jam 2 petang begitu matahari masih terik panas... Nasib baik ada beberapa buah pokok yang memberi perlindungan daripada panas di sepanjang jalan... Walaupun sedikit dan jarang-jarang (teringat pula kata P. Ramlee dalam cerita Nujum Pak Belalang. Jarang-jarang... Heh! :]), ada lah juga daripada tiada langsung. Dan nasib baik juga pemandangan lembah Sungai Perak memang menarik dan cantik... Dapat juga menolong saya cuba untuk melupakan kepenatan dan panas terik lalu terus berjalan...


Pemandangan jambatan baru yang menyambungkan bandar Kuala Kangsar dengan kawasan Kota Lama Kanan dan Sayong di seberang kanan... Setiap kali melihat Sungai Perak, tak kiralah daripada mana, mesti saya akan terpana sekejap... Kerana aliran sungai ini dan sepanjangnya mempunyai kaitan tertentu yang sangat rapat dengan keluarga dan keturunan saya terutama sebelah ayah sejak zaman berzaman...


Akhirnya, kelihatanlah Masjid Ubudiyah. Dalam kepenatan itu, terfikir juga mahu ke sana dahulu dan tidur sebentar untuk mengembalikan sedikit tenaga...


Tetapi apabila difikirkan lebih dalam, lebih elok singgah dahulu di makam diraja Perak dan selesaikan apa yang patut. Kan selepas itu akan lebih senang untuk tidur dan berehat di masjid? Sekurang-kurangnya takda lah terfikir-fikir, ada perkara yang belum selesai. Lagipun dah tentu kena lalu di hadapan kawasan makam dahulu sebelum ke masjid...

Apalagi, selesaikan ini terlebih dahulu... Pertama, ambil gambar makam moyang saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin yang kedudukannya sangat hampir dengan sisi masjid. Selesaikan tujuan utama saya perlu menjejakkan kaki ke Perak dan kemudian baru duduk menghadiahkan bacaan Yasin... Lalu disambung kembali atau refresh wasilah kerohanian kepada nenda empunya makam... Talian kerohanian yang membolehkan seseorang itu membuka kembali sedikit cerita dan peristiwa dahulukala yang berkenaan terutama sekitar Perjanjian Pangkor 1874 dan akibatnya kepada bumi Melayu ini.

Itulah yang menyebabkan tercurahnya cerita Taiping dan akibat Perjanjian Pangkor 1874... berkenaan makna Melayu, penjajahan Barat terhadap bumi sebelah sini yang merupakan kesinambungan Perang Salib di Timur tengah untuk memberi jalan puak Yahudi Zionis merampas kembali Baitul Muqaddis lalu menjadikannya pusat untuk menakluki seluruh dunia akhir zaman. Setelah selesai menulis cerita itu, timbul pula rasa untuk menceritakan akan perihal sebenar Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin yang kurang dikenali orang.

Antaranya yang perlu dinyatakan, kenapa pula orang yang menurut catatan rasmi ini "sekadar bangsawan biasa" telah dibawa kembali ke makam diraja di Bukit Chandan? Kenapa tidak di kawasan persendirian keluarga Laksamana di Teluk Intan? Apakah yang tersirat ini adalah satu kes "sirih pulang ke gagang?"... Apakah ini bermakna sudah sepatutnya "bangsawan biasa" ini kembali ke kedudukan sebenarnya di kalangan raja-raja? Untuk mengetahui kisahnya, sila masuk ke blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan baca cerita In Perak's royal mausoleum to give justice to Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin ...


Kemudian barulah saya boleh berehat sebentar di masjid sebelum mandi membasuh peluhan dan menghilangkan rasa badan yang berlengas. Barulah selesa bersolat kemudian mengambil sedikit gambar Masjid Ubudiyah yang boleh dikongsi bersama para pembaca sekalian. Ceritanya telah saya siap tuliskan di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) tadi, cerita yang kebetulan adalah posting ke 100 di blogspot itu! Atas tajuk Masjid Ubudiyah di (The Ubudiyah mosque in) Kuala Kangsar, Perak...

Cukup sesuailah keluar cerita tentang masjid ini, masjid diraja Perak lagi... Setelah posting ke 99 di sana bertajuk Senjata lama di Kota Ngah Ibrahim (Old weapons at the fort of Ngah Ibrahim) buat kali pertamanya memaparkan gambar-gambar keris dan pedang dalam mana-mana blogspot saya! Seolah-olah semuanya teratur begitu cantik... Ada makna tersurat dan tersirat yang boleh memberikan akan arah tujuan hidup saya akan datang nanti...

Memang hidup semua manusia telah diatur melalui Qada' dan Qadar Allah yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui lagi tahu apakah yang terbaik buat hamba-hambaNya, walaupun yang diberi itu pada mulanya kelihatan seperti musibah belaka... Kerana lemahnya akal kita untuk melihat hikmah di sebalik setiap perbuatanNya... Maka itu, jika kita tidak mampu melihat, belajarlah untuk yakin akan perancanganNya. Insyaallah segala perkara yang kita rasa sia-sia atau berlaku secara kebetulan selama ini rupa-rupanya semuanya mempunyai makna. Kerana tiada perbuatan Allah yang sia-sia... Dia bukan suka membuang masa. Cuma kita sahaja yang perlu belajar meletakkan sesuatu pada tempatnya... Di manakah letaknya kejahatan, di mana kebaikan... Di manakah perkara-perkara neutral yang turut menghias makna hidup. Kalau tak semuanya kita main "boh", main terjah sahaja dengan alasan semuanya sudah diatur Allah!

Jangan cuba-cuba sekali-kali membuat jahat dan maksiat lalu menyalahkannya kepada Allah! Ingat, memang semua yang berlaku hatta kita berak dan kencing sekali pun cuma boleh berlaku dengan izin Allah, dengan Qudrat dan Iradat yang dipinjamkan daripadanya... Begitu juga seorang penjahat boleh membunuh atau merogol perempuan dengan Qudrat dan Iradat yang dipinjamkan daripada Allah. Tetapi apakah Allah menyuruh kita membunuh dan merogol? Di manakah letaknya pilihan yang perlu dibuat oleh kita jika segalanya telah diatur di dalam ilmu Allah? Mengajilah pada yang lebih tahu... Walaupun segalanya datang daripada Allah iaitu dengan izinNya jua, kita perlu beradab dengan mengisbatkan atau menetapkan segala yang baik itu datang daripada Nya, yang jahat itu pula datang daripada diri sendiri...

Berbalik ke Masjid Ubudiyah... Oh, lupa pula nak beritahu... Ubudiyah itu bermakna penghambaan... Rasulullah SAW sering menekankan akan penghambaan kepada Allah. Apabila diberi pilihan samada mahu menjadi Rasul yang bersifat raja atau Rasul yang bersifat hamba, baginda memilih untuk menjadi hamba... Mengapa tidak raja? Mengapa tidak menjadi seperti Nabi Sulaiman dan Nabi Daud yang masing-masing memerintah kerajaan yang luas?

Nabi Muhammad SAW adalah kekasih Allah dan ciptaanNya yang terbaik di kalangan semua makhluk-makhluk baik malaikat, mahupun manusia dan jin. Tetapi baginda tidak memilih untuk menjadi raja sebaliknya tetap mahu menjadi hamba... Kenapa? Dan kenapa juga Rasulullah SAW selalu menekankan jalan syumul Tauhid Ubudiyah yang membawa kepada pengEsaan Allah melalui pemahaman mantap dan makrifat akan betapa kerdilnya kita sehingga sebenarnya tidak memiliki wujud hakiki... Tiada daya dan upaya dalam segala sesuatu. Kenapa baginda tidak menekankan Tauhid Rububiyah yang saya lihat begitu digemari oleh ramai yang kononnya pakar Tasawuf? Jalan Tauhid yang kononnya akan membawa seseorang ke martabat "Kun Fayakun"... Apabila dia berkata sesuatu maka jadilah ia... Satu keadaan yang disebut sebagai mulut masin?

Hmm... Cukuplah bab ini. Mungkin saya sekadar hendak memberi perumpaan...

Jika saya mengamalkan Tauhid Rububiyah, mungkin saya boleh "memakai selendang kebesaran" Allah. Maklumlah mulut masin, kata orang, itulah bukti orang bertaraf wali... Tak payahlah saya susah-susah berjalan jauh mengembara sana-sini mencari kebenaran akan makna Islam dan Melayu sejati yang digelapkan... Kalau nak berjalan, mungkin saya perlu "makrifat" diri sahaja macam cerita wayang Jumper. Sekelip mata sahaja dah sampai ke Bukit Chandan... Apa perlu susah-susah berjalan?

Atau saya ikut sahaja cara mereka-mereka yang kononnya telah mencapai taraf Muntahi atau taraf tertinggi dalam pengajian Tasawuf. Buat apa jalan-jalan jauh sedangkan alam yang terbentang ini malah segala-galanya terletak di dalam diri? Buat apa pergi Mekah dan Madinah seperti orang-orang awam yang belum "sampai"... Kan Mekah dan Madinah itu ada dalam diri sendiri, kata mereka? Maka mengembaralah dalam diri ini sendiri sahaja... Bertawaflah berpusing mengelilingi Ka'abah di dalam kalbu. Tak payah susah-susah cari duit naik kapalterbang pergi ke Mekah... Bukan setakat Mekah dan Madinah boleh pergi, naik ke langit ke tujuh sehingga melepasi syurga dan neraka seterusnya Sidratul Muntaha seperti yang dibuat oleh Nabi Muhammad SAW ketika perjalanan malam Israq dan Mikhraj pun boleh! Malah mahu melihat isi Loh Mahfuz dan apa yang ditulis oleh Qalam, menjangkaui Qursi sehingga ke Arash pun boleh sebab semuanya terletak di dalam "diri". Peh... Dasyat!

Atau satu lagi cara mereka.. Panggil sahaja wali-wali datang bertemu kita. Ya... Tak payah pergi jauh hendak tahu cerita Gunung Ledang.. Panggil sahaja Puteri Gunung Ledang datang ke mari "menghadap" kamu pula... Malah Sultanul Awliya Sheikh Abdullah Qadir al-Jilani juga para Rasul dan Nabi boleh dipanggil begitu sahaja katanya... Inikan lagi setakat hendak memanggil Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin untuk bercerita...

Kononnya mereka boleh buat semua ini sebab manusia itu adalah khalifah... Memanglah Allah jadikan kita sebagai khalifah di mukabumi tetapi itukah kerja khalifah, panggil roh para wali ajak borak-borak minum teh? Inilah bahana belajar ilmu Tasawuf separuh masak yang membawa seseorang itu "perasan" boleh memakai selendang Allah... Adapun mengikut bahasa kiasan Tasawuf, selendang Allah itu bermaksud kesombongan dan kemegahan! Patutlah saya selalu terjumpa malah terlihat dalam Internet di berbagai forum di mana orang-orang yang kononnya mengaji tinggi boleh memaki-hamun orang, sampai ke peringkat mencarut ikut sedap kepala bapak dia pun ada... Maklumlah, sudah pakai selendang kebesaran Allah!

Terus terang cakap, saya tidak ada semua ini... Ilmu saya sangat rendah malah sebenarnya takda langsung. Semasa meninggalkan Masjid Ubudiyah, hendak pergi ke mana seterusnya pun saya tak tahu dan tak pasti. Yang saya tahu, nanti saya perlu pergi lagi ke Ipoh untuk bertemu dengan Bad kerana payung yang saya bawa daripada Kuala Lumpur (ketika itu asyik hujan-hujan di KL sedangkan apabila sampai di Kedah, sudah macam kemarau pula) tertinggal di dalam kereta Bad. Selain itu, saya mungkin mahu memenuhi hajat seorang pembaca daripada Sungai Siput yang teringin sangat untuk berjumpa dengan saya.

Sekali lagi, kalau nak senang saya boleh terus ke Ipoh mengambil payung kemudian menyambung perjalanan atau kembali ke KL. Lagipun bukankah misi mengambil gambar terbaru makam Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin sudah pun selesai? Sebaliknya saya mendapat "arahan" baru supaya pergi singgah ke beberapa tempat lagi di Perak tanpa mendapat lagi gambaran, yang manakah tempat patut pergi dahulu ataupun bila...

Saya meninggalkan masjid dalam keadaan tertanya-tanya... Apakah mungkin saya harus bermalam di Kuala Kangsar dahulu? Biasanya jika perlu bermalam, saya akan berjalan kaki sejauh lebih kurang 3 km ke Masjid Kota Lama Kanan dan tidur di sebelah sebatang batu nesan dalam masjid yang menandakan tempat ghaibnya Sultan kedua Perak, Sultan Mansur Shah semasa bersolat Juma'at hampir 500 tahun lalu. Atau saya boleh menaiki bas/ teksi 7km menghala ke Kati dan turun bermalam di surau Kampung Temong, berdekatan makam Tok Temong, seorang pembesar perempuan yang terlibat di dalam pertabalan Sultan pertama Perak, Sultan Muzaffar Shah tahun 1528.

Tetapi sejak beberapa bulan kebelakangan ini, saya sudah jarang tidur di masjid dan surau kerana sering kepenatan... Saya seringkali lebih selesa tidur di hotel murah di mana saya boleh tidur lebih nyenyak tanpa gangguan nyamuk dan sebagainya... Dan tidak seperti di masjid ataupun surau, saya tidak perlu bangun seawal jam 4.30 pagi demi menghormati tok siak atau orang masjid yang datang awal berkemas untuk solat Subuh berjemaah. Sekarang, ke mana saya harus pergi sebenarnya? Dalam pada itulah, saya mendapat satu gerak hati...


Dalam pada itu, timbul rasa untuk mengambil gambar batu tanda di luar pagar masjid ini dengan informasi yang terpampang di atasnya... Semoga boleh dikongsi dengan pembaca dan ia telah pun diletakkan di dalam blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) , dalam cerita Masjid Ubudiyah di (The Ubudiyah mosque in) Kuala Kangsar, Perak...

Selesai mengambil gambar, kelihatan 2 orang lelaki seperti baru keluar daripada masjid masuk ke dalam sebuah kereta 4x4, satu-satunya kenderaan yang kelihatan ketika itu berada di kawasan letak kereta Masjid Ubudiyah. Saya pun mengejar dan menegur mereka lalu minta untuk menumpang sampai ke kaki Bukit Chandan. Seorang daripada mereka memandang saya sedikit was-was lalu melihat rakan di sebelah. Setelah berfikir sejenak, mereka pun bersetuju...

Dalam kereta, saya bertanya mereka hendak ke mana? Jawab mereka balik ke KL... Tetapi apabila sampai sahaja ke kaki bukit lalu ke bulatan jalan, mereka bukan mengambil jalan untuk ke Lebuhraya Utara-Selatan sebaliknya masuk ke jalan lain.

Terus saya bertanya: "Eh, kata nak balik KL... Ni nak pergi ke mana pula?"...

Jawab mereka: "Kami memang hendak ke KL tetapi suka-suka nak ikut jalan lama..."

Hah, ikut jalan lama fikir saya? Ternyata yang dimaksudkan adalah jalan melalui Ipoh... Malah melalui Sungai Siput sebelum itu... Seketika itu juga teka-teki rancangan perjalanan kali ini terjawab... Maka ditetapkan saya tidak perlu tidur di Kuala Kangsar tetapi harus turun di Sungai Siput demi memenuhi permintaan seorang peminat siri buku "Berpetualang ke Aceh" yang sudah lama ingin bertemu dengan saya...

Oh, lagi satu... Dalam perjalanan itu, apabila ditanya, baru saya memberitahu bahawa saya ke Kuala Kangsar untuk menziarahi makam diraja Perak. Lelaki yang memandu terus membuat pengakuan, dia juga sering menziarahi makam. Dan dia juga sebenarnya sekadar singgah di Kuala Kangsar (sudah lupa dia sedang berjalan daripada mana) supaya dapat berehat dekat di sekitar Masjid Ubudiyah dan makam diraja di sebelah!

Cerita punya cerita, dia mengaku sebagai seorang anak cucu Sultan Abdullah I (yang dibuang ke Pulau Seychelles tahun 1877 selepas disabitkan terlibat dengan pembunuhan J.W.W. Birch tahun 1875)... Katanya daripada nasab Raja Chulan tetapi kaum keluarganya sudah lama terpisah daripada lingkungan istana...

Allah! Tadi selepas menziarahi makam moyang saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin, terus sahaja saya menuju ke makam Sultan Abdullah sekitar 10 meter sahaja jaraknya kemudian makam Raja Chulan di sebelah makam ayahandanya Sultan Abdullah. Untuk makluman, semua makam ini terletak di sebelah kanan bangunan utama makam (jika dilihat daripada hadapan) dan paling dekat dengan Masjid Ubudiyah... Adapun yang ditanam di sini adalah kaum kerabat terdekat Sultan Abdullah jua...

Ah... Elok juga pembaca menelaah kembali cerita In Perak's royal mausoleum to give justice to Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin yang dibuat dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH 2 hari lepas. Rasanya cukuplah saya bercerita di sini kali ini ya. Sekian! :]

Thursday, February 28, 2008

Ambik kau... Terjemahan Hizib Bahr...

Gambar hiasan...

Subhanallah. Tadi seorang teman telah bertanya apakah saya akan membuat apa-apa posting di blogspot ini hari ini? Katanya tarikh hari ini cantik... 28 Februari 2008 bersamaan 28.2.2008... Saya jawab nanti petang karang...

Sebenarnya saya memang mahu membuat posting di sini awal pagi tadi jam 5. Bukan 1 malah 2... Sebuah posting untuk menceritakan perjalanan di Taiping setelah meninggalkan Kedah telah pun dimulakan tetapi terpaksa dibiarkan dalam bentuk draft dahulu... Tenyata saya sudah tidak larat lagi hendak menyambungnya kerana sebelum itu telah membuat 3 posting sejak selepas tengah malam... Posting-posting bertajuk Sekitar Kota Ngah Ibrahim (Around the fort of Ngah Ibrahim) dan Senjata lama di Kota Ngah Ibrahim (Old weapons at the fort of Ngah Ibrahim) di blogsot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) diikuti The main players of the Perak-British war as depicted at the fort of Ngah Ibrahim... di blogspot BERPETUALANG KE ACEH ...

Sepatutnya ia tidaklah begitu memenatkan kerana posting The main players of the Perak-British war as depicted at the fort of Ngah Ibrahim... asalnya mahu dibuat sekadar meletakkan gambar-gambar yang telah pun mengandungi banyak informasi. Sebaliknya timbul gerak yang mengalir kuat untuk meluahkan apa yang saya lihat terjadi melibatkan nasib orang Melayu setelah berlakunya Perjanjian Pangkor 1874.

Apapun, cadangnya selepas sahaja siap sahaja artikel itu, maka sebuah artikel mengenai perjalanan di Taiping yang turut akan menggulung isi posting-posting tadi akan dimuatkan di blogspot ini. Seterusnya timbul gerak untuk membuat posting tentang terjemahan Hizib Bahr yang rasanya sudah lama ditunggu ramai pembaca.

Sebaliknya petang ini, saya rasa lebih elok menyiapkan posting terjemahan itu terlebih dahulu sebelum beralih kepada posting Taiping. Tetapi jangan hairan jika sekitar sejam daripada sekarang, posting tentang Taiping itu akan muncul di bawah posting ini kerana ia sebenarnya telah dimulakan lebih awal iaitu sekitar jam 5 pagi tadi tetapi disimpan dalam bentuk draft... Oh... Tentang terjemahan Hizib Bahr di bawah... Saya ambil dan taip sendiri daripada sebuah kitab daripada Indonesia milik saya tentang Al-Imam Abu Hassan Al-Syadzili, pengasas Tariqat Syadziliah yang hidup sekitar 800 tahun lalu di Maghribi. Untuk pemahaman pembaca, saya sudah edit sedikit supaya lebih terang maknanya...

Adapun bahagian Arabnya itu saya copy and paste daripada Internet. Sebagai peringatan, bahagian Arab itu ada tambahan "Innallahu wamala ikatu yusolluna alannabi..." sedangkan Hizb Bahr sebenarnya berakhir dengan 3 kali bacaan "La haulawala..."

Untuk mendengar bacaannya, boleh klik sini. Sekarang bacalah terjemahan yang diberikan dengan tertib dan kusyuk... Nescaya anda akan nampak akan betapa "power" sebenarnya Hizib ini. Silakan... :]


Nota tambahan:

Adapun perkataan samudera di dalam terjemahan Hizib ini bukan sekadar bermaksud lautan yang mengandungi air malah bermaksud "lautan" alam-alam... Iaitu setiap alam-alam ciptaan Tuhan setiap satunya boleh diibaratkan sebagai sebuah lautan di mana terdapat makhluk-makhluk tertentu bermain-main di dalamnya...

Tentang tajuk artikel ini, "Ambik kau... Terjemahan Hizib Bahr...", maaflah jika bunyinya agak kasar. Saja suka-suka... Lagipun rasanya sangat kena dengan keadaan di mana ada yang tertunggu-tunggu terjemahan ini, ada pula pihak yang mungkin belum dapat menghayati tujuan saya sering bersengkang-mata membuat penulisan percuma di blogspot-blogspot saya lalu masuk ke dalam c-box dan sebagainya dengan gaya menerjah seolah-olah sedang berinteraksi di mana-mana forum biasa yang sering dipenuhi dengan kanak-kanak mentah lalu menimbulkan suasana kurang enak yang boleh mengganggu ketenteraman pembaca lain. Harap maklum...



بِسْمِ اللهِ الَّرحْمَنِ الرَّحْيْمِ. اَللَّهُمَّ يَاالله يَاعَلِيُّ يَاعَظِيْمُ يَاحَلِيْمُ يَاعَلِيْمُ. اَنْتَ رَبِّيْ وَعِلْمُكَ حَسْبِيْ فَنِعْمَ الرَّبُّ رَبِّيْ وَنِعْمَ اْلحَسْبُ حَسْبِيْ تَنْصُرُ مَنْ تَشَاءُ وَاَنْتَ اْلعَزِيْزُ الرَّحِيْمُ. نَسْاَلُكَ الْعِصْمَةَ فِى الْحَرَكَاتِ وَالسَّكَنَاتِ وَالْكَلِمَاتِ وَالْاِرَادَاتِ وَالْخَطَرَاتِ.مِنَ الشُّكُوْكِ وَالظُّنُوْنِ وَاْلاَوْهَامِ السَّاتِرَةِ لِلْقُلُوْبِ عَنْ مُطَالَعَةِ الْغُيُوْبِ فَقَدِ (ابْتُلِيَ الْمُؤْمِنُوْنَ وَزُلْزِلُوْا زِلْزَالاً شَدِيْدًا)(وَاِذْ يَقُوْلُ اْلمُنَافِقُوْنَ وَالَّذِيْنَ فِى قُلُوْبِهِمْ مَرَضُ مَا وَعَدَنَا اللهُ وَرَسُوْلُهُ اِلاَّغُرُوْرًا) فَثَبِّتْنَا وَانْصُرْنَا وَسَخِّرْلَنَا هَذَا اْلبَحْرَ كَمَا سَخَّرْتَ اْلبَحْرَ لمُوْسَى وَسَخَّرْتَ النَّارَ ِلاِبْرَاهِيْمَ وَسَخَّرْتَ اْلجِبَالَ وَاْلحَدِيْدَ لِدَاوُدَ وَسَخَّرْتَ الرِّيْحَ وَالشَّيَاطِيْنَ وَاْلجِنَّ لِسُلَيْمَانَ وَسَخِّرْلَنَا كُلَ بَحْرٍهُوَ لَكَ فِى اْلاَرْضِ وَالسَّمَاءِ وَاْلمُلْكِ وَ اْلمَلَكُوْتِ وَبَحْرَ الدُّنْبَا وَبَحْرَ اْلاخِرَةِ وَسَخِرْلَنَا كُلََّ شَيْءٍ. يَامَنْ بِيَدِهِ مَلَكُوْتُ كُلُّ شَيْءٍ (كهيعص)(ثَلاَثًا) اُنْصُرْنَا فَاِنَّكَ خَيْرُ النَّاصِرِيْنَ وَافْتَحْ لَنَا فَاِنَّكَ خَيْرُ الْفَاتِحِيْنَ وَاغْفِرْلَنَا فَاِنَّكَ خَيْرُ اْلغَافِرِيْنَ وَارْحَمْنَا فَاِنَّكَ خَيْرُ الرَّاحِمِيْنَ وَارْزُقْنَا فَاِنَّكَ خَيْرُ الرَّازِقِيْنَ وَاهْدِنَا وَنَجِّنَا مِنَ اْلقَوْمِ الظَّاِلمِيْنَ وَهَبْ لَنَا رِيْحًا طَيْبَةً كَمَا هِيَ فِى عِلْمِكَ وَانْشُرْهَا عَلَيْنَا مِنْ خَزَاِئنِ رَحْمَتِكَ وَاحْمِلْنَا بِهَا حَمْلَ اْلكَرَا مَةِ مَعَ السَّلاَمَةِ وَ الْعَافِيَةِ فِي الدِّ يْنِ وَالدُّنْيَا وَاْلآخِرَةِ اِنَّكَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيْرُ. اَللَّهُمَّ يَسِّرْلَنَا اُمُوْرَنَا مَعَ الرَّاحَةِ لِقُلُوْبِنَا وَاَبْدَانِنَا وَالسَّلاَمَةِ وَاْلعَافِيَةِ فِى دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَكُنْ لَنَا صَاحِبًا فِى سَفَرِنَا وَخَلِيْفَةً فِى اَهْلِنَا, وَاطْمِسْ عَلَى وُجُوْهِ اَعْدَائِنَا وَامْسَخْهُمْ عَلَى مَكَانَتِهِِمْ فَلاَ يَسْتَطِيْعُوْنَ اْلمُضِيَّ وَلاَاْلمجَِيْ ءَ اِلَيْنَا (وَلَوْ نَشَاءُ لَطَمَسْنَا عَلَى اَعْيُنِهِمْ فَاسْتَبَقُوْا الصِّرَاطَ فَانَّى يُبْصِرُوْنَ* وَلَوْنَشَآءُ لمََسَخْنَاهُمْ عَلَى مَكَانَتِهِمْ فَمَااسْتَطَاعُوْا مُضِيًّا وَلاَيَرْجِعُوْنَ (يس وَاْلقُرْآنِ الْحَكِيْمِ* اِنَكَ لَمِنَ اْلمُرْسَلِيْنَ* عَلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيْمٍ* تَنْزِيْلَ اْلعَزِيْزِ الرَّحِيْمِ* لِتُنْذِرَ قَوْمًا مَا اُنْذِرَ آبَاؤُهُمْ فَهُمْ غَافِلُوْنَ* لَقَدْحَقَّ اْلقَوْلُ عَلَى اَكْثَرِهِمْ فَهُمْ لاَيُؤْمِنُوْنَ* اِنَاجَعَلْنَا فِى اَعْنَاقِهِمْ اَغْلاَلاً فِهَيَ اِلَى اْلاَذْقَانِ فَهُمْ مُقْمَحُوْنَ* وَجَعَلْنَا مِنْ بَيْنِ اَيْدِيْهِمْ سَدًّا وَمِنْ خَلْفِهِمْ سَدًّا فَاَغْشَيْنَهُمْ فَهُمْ لاَيُبْصِرُوْنَ* شَاهَتِ اْلوُجُوْهُ(ثَلاَثًا) وَعَنَتِ اْلوُجُوْهُ لِلْحَيِّ اْلقَيُّوْمِ. وَقَدْ خَابَ مَنْ حَمَلَ ظُلْمًا(طس)(حم. عسق)(مَرَجَ اْلبَحْرَيْنِ يَلْتَقِيَانِ* بَيْنَهُمَا بَرْزَخٌ لاَيَبْغِيَانِ)(حم)(سَبْعًا) حُمَّ اْلاَمْرُ وَجَاءَ النَّصْرَ, فَعَلَيْنَا لاَ يُنْصَرُوْنَ (حم* تَنْزِيْلُ الْكِتَابِ مِنَ اللهِ الْعَزِيْزِ الْعَلِيْمِ* غَافِرِالذَّنْبِ وَقَابِلِ التَّوْبِ شَدِيْدِ الْعِقَابِ ذِى الطَّوْلِ لآ اِلَهَ اِلاَّهُوَ. اِلَيْهِ الْمَصِيْرُ)(بِسْمِ اللهِ)باَبُنَا(تَبَارَكَ) حِيْطَانُنَا(يَس) سَقْفُنَا(كَهَيَعَصَ) كِفَايَتُنَا(حم.عسق) حِمَايَتُنَا(فَسَيَكْفِيْكَهُمُ اللهُ وَهُوَالسَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ)سِتْرُ الْعَرْشِ مَسْبُوْلٌ عَلَيْنَا وَعَيْنُ اللهِ نَاظِرَةٌ اِلَيْنَا بِحَوْلِ اللهِ لاَيُقْدَرُ عَلَيْنَا (وَاللهُ مِنْ وَرَائِهِمْ مَحْفُيْطٍ . بَلْ هُوَ قُرْآنٌ مَجِيْدٌ . فِى لَوْحٍ مَحْفُوْظٍ) (فاللهُ خَيْرٌ حَافِظًا وَهُوَ اَرْحَمُ الرَّاحِمِيْنَ) (ثَلاَثًا) (اِنَّ وَلِيِّيَ اللهُ الَّذِيْ نَزَّلَ الْكِتَابَ . وَهُوَ يَتَوَلَّى الصَّالِحِيْنَ) (حَسْبِيَ اللهُ لآ اِلَهَ اِلاَّهُوَ عَلَيْهِ تَوَكَّلْتُ وَهُوَ رَبُّ الْعَرْشِ الْعَظِيْمِ) (ثَلاَثًا) بِسْمِ اللهِ الَّذِيْ لاَ يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَيْءٌ فِى اْلاَرْضِ وَلاَ فِى السَّمَآءِ وَهُوَ السَّمِيْعُ الْعَلِيْمُ (ثَلاَثًا) وَلاَحَوْلَ وَلاَقُوَّةَ اِلاَّبِا للهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيْمِ ( اِنَّ اللهَ وَمَلآ ئِكَتَهُ يُصَلُّوْنَ عَلَى النَّبِيِّ , يَآ ايُّهَا الَّذِيْنَ آمَنُوْا صَلُّوْا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوْا تَسْلِيْمًا) (الله لآ اِلَهَ اِلاَّهُوَ الْحَيُّ الْقَيُّوْمُ ....)

Terjemahannya...

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Wahai yang Maha Tinggi, wahai yang Maha Besar, wahai yang Maha Santun, Engkaulah Tuhanku, dan ilmuMu yang mencukupi akan diriku, dan sebaik-baik Tuhan adalah Tuhanku, dan sebaik-baik Pencukup adalah yang mencukupi diriku, Engkau adalah Penolong kepada siapa yang Engkau kehendaki dan Engkaulah yang Maha Mulia lagi Maha Bijaksana.

Kami mohon kepadamu Al-'ishmah (tersuci daripada kesalahan) dalam gerak dan diam, dan dalam bertutur kata dan berkemahuan, dan dari lintasan hati yang disebabkan wasangka, dan dari ragu dan waham (khayalan) yang menjadikan hati tertutup daripada mentelaah perkara-perkara yang ghaib. Di situlah orang-orang Mukmin diuji, dan mereka digoncang dengan goncangan yang keras.

'Dan (ingatlah) ketika orang-orang munafiq dan orang yang dalam hatinya ada penyakit berkata: "Allah dan Rasulnya tidak menjanjikan pada kita kecuali tipuan."'(Al Ahzab 33: 11-12)

Maka teguhkan dan tolonglah kami dan tundukkan samudera ini sebagaimana Engkau telah menundukkan laut kepada Musa, dan sebagaimana Engkau telah menundukkan api kepada Ibrahim, dan Engkau menundukkan bukit-bukit dan besi kepada Daud, dan Engkau tundukkan angin dan syaitan serta jin kepada Sulaiman, dan tundukkan kami segala samudera, yang mana kesemuanya itu adalah milikMu baik yang ada di bumi mahupun di langit dan segala kekuasaan di laut dunia mahupun laut akhirat, dan tundukkan untuk kami segala sesuatu, wahai yang di tanganNya kekuasaan segala sesuatu.

Kaaf, Haa, Yaa, 'Ain, Sod (3x)

Tolonglah kami kerana Engkau sebaik-baik Penolong, dan bukalah untuk kami, kerana Engkau adalah sebaik-baik Pembuka, dan ampunilah kami, kerana Engkau sebaik-baik Pemberi Ampunan, dan kasihanilah kami, kerana Engkau sebaik-baik yang mengasihi, dan berilah rezeki kepada kami, kerana Engkau sebaik-baik Pemberi rezeki, dan berilah petunjuk dan selamatkan kami dan anugerahilah kami dengan hembusan angin yang baik sebagaimana yang ada dalam ilmuMu, dan sebarkanlah atas kami khazanah-khazanah rahmatMu dan angkatlah kami dengan pengangkatan kemuliaan bersama keselamatan dan afiat dalam agama, baik di dunia mahupun di akhirat, sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa atas segala sesuatu.

Wahai Allah, mudahkanlah bagi kami segala urusan kami hingga hati kami dapat beristirehat, begitu juga halnya jasad kami dan kami mohon kemudahan berkenaan dengan afiat di dalam dunia dan agama. Berlakulah terhadap kami sebagai kawan dalam safar (perkelanaan) dan sebagai khalifah dalam keluarga, dan robahlah wajah musuh-musuh kami dan bekukan mereka di tempatnya masing-masing agar tidak dapat mendatangi tempat kami.

'Dan kalau Kami menghendaki, nescaya Kami hapuskan penglihatan mata mereka, lalu mereka berlumba-lumba menuju ke jalan tapi bagaimana mereka dapat melihat?
Dan kalau Kami menghendaki. Kami robah bentuk mereka di tempat mereka berada, maka tiadalah mereka maju dan tioada mereka dapat kembali.'

(Yasin 36: 66-67)

'Yaa Siin. Demi Al-Quran yang penuh hikmah. Sungguh engkau adalah seorang Rasul... Dari para Rasul atas jalan yang lurus-lempang (sebagai wahyu). Yang diturunkan oleh yang Maha Perkasa, yang Maha Penyayang. Agar engkau peringatkan suatu kaum yang bapak-bapak mereka belum mendapat peringatan. Kerana itu mereka lalai, sungguh ketentuan (Tuhan) telah berlaku atas kebanyakan mereka kerana mereka tidak beriman. Sungguh telah Kami pasang belenggu di lehernya sampai dagunya, lalu mereka termengadah. Dan Kami adakan di antara tangan-tangan mereka (di hadapan) bendungan dan di belakang mereka bendungan (pula) dan Kami tutup pandangan mereka sehingga tidak dapat melihat.'
(Yasin 36:1-9)

Seburuknya wajah-wajah (3 x)

'Dan sekalian wajah tunduk merendah demi untuk Tuhan yang Maha Hidup, yang Maha Berdiri sendiri, sungguh tiada harapan bagi siapa yang memikul kezaliman.'(Thaha 20:111)
Thaa Siin. Haa Miim. 'Ain, Siin, Qaaf

'Ia alirkan kedua lautan itu, antara keduanya ada sempadan, masing-masing tiada berlawanan'(Ar-Rahman 55: 19-20)

Haa Miim (7x)

Haa Miim. Persoalan itu sudah ditetapkan dan kemenangan telah tiba, maka mereka atas kami takkan dimenangkan.

'Haa Miim. Turunnya kitab (Al-Quran ini) dari Allah yang Maha Perkasa, yang Maha mengetahui. Yang Maha Mengampuni dosa, dan Menerima Taubat lagi amat keras hukumNya dan besar kekuasaanNya, tiada Tuhan selain Dia, kepadaNya tujuan kembali."(Al-Mukmin 40: 1-3)
Bismillah pintu bagi kami;

Tabaroka dinding perisai kami;

Yaa Siin atap menaungi kami;

Kaaf Haa Yaa 'Ain Sod pencukup keperluan kami;

Haa Miim, 'Ain Siin Qaaf penjagaan diri kami.

Maka Allah akan memelihara engkau dari mereka, dan Dia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui (3x)

Tabir penutup Arash dilabuhkan atas kami;

Dan mata pengawasan Allah melihat pada kami;

Dengan daya Allah kami tak terkalahkan.

'Dan Allah mengepung mereka dari belakang. Bahkan itu adalah Al-Quran yang mulia... Yang termaktub dalam Loh Mahfudz'
(Al-Buruj 85: 20-22)

'Allah adalah sebaik-baik pemelihara. Dia Maha Penyayang dari orang-orang yang paling penyayang.' (3x)
(Yusuf 12:64)

'Sungguh pelindungku adalah Allah yang menurunkan kitab (Al-Quran). Dia melindungi para orang salih.' (3x)
(Al-A'raf 7:196)

'Allah cukup bagiku, tiada Tuhan selain Dia, kepadaNya aku bertawakal. Dialah Tuhan pemilik Arash yang Agung' (3x)
(Al-Bara'a 9:129)

Dengan nama Allah, yang bersama namaNya tiadalah sesuatu akan membawa malapetaka baik di bumi mahupun di langit dan Ia Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui... (3x)

Dan tiada daya dan tiada upaya melainkan dengan Allah yang Maha Tinggi lagi Maha Agung... (3x)



Taiping dan akibat Perjanjian Pangkor 1874...

Assalamualaikum semua. Kenapa saya pilih tajuk ini? Kerana timbul satu gerak tertentu yang akan dibawa ke cerita ini akibat selesainya membuat sebuah posting bertajuk The main players of the Perak-British war as depicted at the fort of Ngah Ibrahim... di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) tadi.
Kalau ikutkan, saya sudah penat sangat. Untuk posting The main players of the Perak-British war as depicted at the fort of Ngah Ibrahim... tadi, saya sebenarnya bercadang setakat mahu meletakkan gambar-gambar para pejuang Melayu di Perak dengan cerita berkaitan boleh dibaca sendiri kerana sudah terdapat pada gambar yang diberi. Sebaliknya, saya tidak dapat menahan diri daripada meluahkan rasa dan pandangan akan apa yang terjadi sehingga membawa kepada Perjanjian Pangkor 1874, pembunuhan J.W.W. Birch 1875 serta gerakan besar-besaran melawan orang Melayu sehingga Datuk Maharajalela dan orang-orangnya dihukum bunuh, Sultan Abdullah dan beberapa orang pembesar dibuang ke Pulau Seychelles dan sebagainya tahun 1877. Bayangkan, daripada jam 12 pagi tadi menulis termasuk membuat 2 postings bertajuk Sekitar Kota Ngah Ibrahim (Around the fort of Ngah Ibrahim) dan Senjata lama di Kota Ngah Ibrahim (Old weapons at the fort of Ngah Ibrahim) untuk blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) ... Tetapi saya nampaknya masih tidak dapat berhenti bercerita...

Nota:
Adapun perenggan-perenggan di atas ditulis pagi tadi sekitar jam 5 pagi. Hajat hati mahu terus menyambung cerita tetapi ternyata saya kemudian tak larat lagi. Sekarang ini, setelah selesai sebuah posting bertajuk Ambik kau... Terjemahan Hizib Bahr... yang sepatutnya cuma dibuat setelah posting mengenai Taiping ini siap disiarkan, baru saya ada sedikit Qudrat dan Iradat untuk meneruskan cerita ini. Mari...

Cerita ini bersambung daripada posting Jalan-jalan Kedah: Menamatkan satu bab perjalanan di Gunung Jerai! ... Perjalanan ke Kedah yang sebenarnya langsung tidak dirancang itu tamat dengan pendakian ke Gunung Jerai. Selepas itu, saya, Bad yang membawa saya ke Kedah dan Pak Chak tuan punya rumah tempat kami menginap di sana pun kembali ke rumah Pak Chak untuk bersiap-siap.

Bad mahu kembali ke Ipoh sementara isteri Pak Chak iaitu Mak Chak mahu menumpang sampai ke sana bersama seorang adiknya yang mahu diambil di sekitar Sungai Petani, juga anak perempuan adiknya. Mereka mahu menaiki bas (baru teringat... Dalam Jalan-jalan Kedah: Menamatkan satu bab perjalanan di Gunung Jerai! saya menyebut mereka ingin menaiki keretapi. Silap tu...) dari Ipoh ke Kuala Lumpur kerana seorang anak perempuan Mak Chak baru melahirkan seorang lagi anak di sana...

Di atas adalah sebuah bangunan rumah kedai lama di Taiping. Saya tertarik dengan rimbunan pokok yang tumbuh daripada celahan bumbung...

Sebuah jalan di Taiping... Saya cukup suka melihat latar-belakang Bukit Larut setinggi sekitar 5,000 kaki yang menghiasi pemandangan bandar ini.

Seperti yang disebut di atas tadi, perjalanan ke Kedah itu langsung tak dirancang. Ketika itu saya baru sahaja 2 minggu selesai perjalanan di Johor... Badan masih terasa begitu penat tetapi apabila mendapat tahu Bad akan pergi ke Kedah terutama di Yan, rasa rugi pula tak ikut. Ini kerana saya baru sekali sahaja sampai ke daerah tersebut iaitu setahun lalu. Ceritanya ada di In Yan to find the Aceh connection..., juga Yan again... The call of Gunung Jerai... dan The surau of Kampung Setul, Yan...

Walaupun terasa penat, saya pergi juga dengan rancangan untuk terus kembali ke Kuala Lumpur selepas itu. Tetapi masalah kamera yang berlaku di Makam Daeng Parani (lihat Kamera short-curcuit di Makam Daeng Parani dan 2 insan bernama Badrul... ) sehingga sejumlah gambar yang diambil langsung hilang menyebabkan saya harus singgah kembali ke Kuala Kangsar untuk mengambil sekali lagi gambar terbaru makam moyang saya, Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di kawasan pemakaman diraja Perak di Bukit Chandan.

Saya sudah pasti mahu ke Kuala Kangsar tetapi rasanya, kerosakan kamera yang berlaku memberikan isyarat, saya harus juga singgah lagi di tempat-tempat lain di Perak... Lebih-lebih lagi kerana setelah siap menyajikan ketiga-tiga trilogi siri buku "Berpetualang ke Aceh" iaitu buku satu (atau BKA I), "Mencari Diri dan Erti" yang terbit Jun 2006, buku dua, "Membela Syiar yang Asal" atau BKA II (terbit Mei 2007) dan BKA III, "Sirih Pulang ke Gagang?" (November 2007), saya belum lagi menziarahi negeri kelahiran ayah iaitu Perak.

Soalnya di manakah hendak dimulakan... Ketika kereta Badrul memasuki kawasan Seberang Perai baru saya dapat jawabannya. Taiping...

Daripada lebuhraya utara-selatan ataupun PLUS, Bad masuk ke Taiping melalui Kamunting lalu meninggalkan saya di stesyen bas. Di sana, saya sempat makan petang sebelum berjalan-jalan di sekitar Taiping, salah satunya untuk mencari tempat yang sesuai untuk dibuat menginap malam itu. Ini kerana saya dapat merasakan, sebab utama saya ke Taiping kali ini adalah untuk pergi ke Kota Ngah Ibrahim di Matang, 8km jalan ke Kuala Sepetang demi menyusuri sejarah lama termasuk beberapa perkara yang sebelum ini tidak saya endahkan, mungkin kerana belum sampai masanya...

Petang itu juga saya singgah sebentar di Masjid lama Melayu di tengah bandar di mana saya sering menumpang tidur apabila mengembara dan singgah di Taiping. Masjid yang didirikan Ngah Ibrahim lebih 120 tahun lalu ini menempatkan makam-makam ramai orang ternama kawasan ini dahulukala termasuk isteri Ngah Ibrahim, Toh Puan Halimah yang merupakan anakanda kepada Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin.

Adapun sejak beberapa bulan kebelakangan ini, saya sudah jarang sedikit tidur di masjid-masjid apabila mengembara. Mungkin kerana umur yang sudah meningkat menghampiri 40 tahun... Mungkin kerana saya masih belum mendapat istirehat yang benar-benar cukup kerana masih mendambakan home sweet home ataupun rumahtangga/ kampung halaman sejati yang masih belum sampai masanya untuk dikecapi. Yang pasti, saya lebih cepat penat dan sakit demam-demam berbanding dahulu. Dalam keadaan ini, lebih senang menginap di hotel berbanding di masjid-masjid di mana sering terdapat nyamuk banyak yang mengganggu tidur, kemudian perlu bangun pagi seawal sebelum jam 5 lagi lagi akibat tok siak masjid sudah datang untuk bersiap solat Subuh berjemaah.

Di Masjid lama Melayu bandar Taiping itu saya berehat sebentar di satu sisi. Terasa juga mahu menginap di sana tetapi apabila difikirkan semula, saya perlu berehat tanpa apa-apa gangguan dan tekanan untuk mengembalikan tenaga yang hilang demi menyambung pengembaraan esok...


Lalu berjalan-jalanlah saya mencari hotel murah...


Kalau boleh, saya mahu mencari hotel murah di dalam bangunan rumah kedai lama kerana minat dengan senibina lama, tak kiralah Melayu ataupun Cina... Yang pasti, tidak ada hotel sebegitu di Taiping juga di kebanyakan bandar-bandar di Malaysia yang milik Melayu...


Dalam jalan-jalan itu, terlihat bangunan lama yang sangat menarik ini... Ternyata ia sebuah hotel... Apalagi saya pun masuk ke dalam...

Di dalamnya, saya pelik melihat kehadiran perempuan-perempuan yang "lain macam" rupanya... Kemudian turun naik pula anak-anak muda (yang saya nampak bangsa India ramai), ada yang memakai helmet. Ah... Apa ini? Rupa-rupanya hotel "ayam"...


Saya terasa agak kecewa kerana hotel ini memang cantik pada pandangan saya. Kalau tidak disebabkan "perdagangan ayam" di dalamnya, sudah tentu saya akan menginap di sini... Di kala sebegini, saya tidak melihat samada yang dipaparkan itu senibina China ataupun mana-mana bangsa etnik... Yang saya lihat adalah seni hasil nukilan Allah SWT yang juga memiliki nama Al-Lathif... Yang Maha Seni.

Ingat... Saya tidak melihat Melayu dalam kerangka sempit etnik satu kaum yang kononnya datang daripada Yunnan lalu menolak penduduk "asal" Proto-Malay masuk ke pendalaman menjadi orang-orang Asli... Tak kira apa yang cuba "diperjuangkan" sesetengah orang, saya tetap percaya, Melayu adalah gabungan bangsa-bangsa bersatu yang diikat oleh Islam, budaya dan bahasa Melayu seperti yang disebut dalam perlembagaan Melayu.

Maka seni yang kelihatan boleh sahaja menjadi seni Melayu... Jika sahaja orang yang membuatnya, baik Cina, India mahupun Eropah memeluk agama Islam yang syumul lalu sedia mengamalkan budaya Melayu dan bertutur dalam bahasa itu... Bukan Melayu yang sempit tetapi Melayu yang lebih luas maknanya - mereka yang melarikan diri... Melarikan diri daripada segala kekalutan di tempat asal lalu bertembung di bumi sebelah sini di mana terdapat banyak pohon-pohon rendang dengan sungai-sungai mengalir di dalamnya seperti gambaran syurga yang diberikan di dalam Al-Quran...

Melayu... Gabungan bangsa-bangsa bersatu yang bukan sahaja Islam tetapi Mukmin lagi Ihsan berjiwa halus Tasawuf. Sebab itu orang-orang lama yang saya temui sering mengingatkan, kalau ikut ukuran sebenar, rasanya dah takda lagi orang zaman sekarang yang layak dipanggil Melayu!

Sebab itu kita pernah mendengar perkataan "masuk Melayu". Cina boleh "masuk Melayu", India juga boleh. Syaratnya tersurat dan tersirat dalam perlembagaan negara yang masih ada... Islam, mengamalkan budaya Melayu juga bertutur dalam bahasa Melayu...

Apa itu budaya dan bahasa Melayu? Kajilah betul-betul... Mereka yang tidak faham menuduh Melayu itu bangsa "cedok" kerana perkataan "asli"nya sedikit, lain semuanya dipinjam daripada bahasa dan bangsa lain, begitu juga budayanya yang ada unsur-unsur Parsi dan Hindi. Mengapa jadi begini? Sebabnya Melayu itu memang bangsa campuran! Maka budaya dan bahasanya juga adalah hasil gabungan interaksi bangsa-bangsa bersatu seluruh dunia!


Sebuah lagi hotel bangunan lama yang sangat menarik perhatian. Sayang, ia juga ternyata sebuah hotel "ayam"... What a waste of fine art and architecture...

Berbalik pada soal Melayu sebagai gabungan bangsa-bangsa bersatu. Fahamilah ini betul-betul, maka anda faham kenapa kita boleh ada Raja-raja Melayu yang berasal daripada keturunan Raja Iskandar Zulkarnain... Sedangkan Iskandar Zulkarnain dikatakan berasal daripada Greece di Eropah (menurut satu pendapat yang menyatakannya sebagai Alexander the Great daripada Macedonia), lagi satu pendapat pula adalah daripada keturunan Cyrus the Great daripada Parsi. Yang pasti, daripada luar nun jauh di belah Barat atau Timur Tengah...

Lalu mereka yang tidak memahami akan hakikat sebenar bangsa Melayu sebagai bangsa-bangsa bersatu lebih senang menuduh Melayu sebagai bangsa hamba... Sebab itu bertuankan raja-raja yang datang daripada luar sedangkan hakikatnya, raja-raja daripada luar ini juga "masuk Melayu"!... Bahasa lembut orang Melayu yang sering membahasakan diri sendiri sebagai "hamba" dan orang lain "tuan hamba" turut disertakan kononnya sebagai bukti orang-orang Melayu itu berjiwa hamba...

Ya... Memang Melayu itu berjiwa hamba! Tetapi bukan hamba kepada manusia atau apa-apa sistem manusia seperti demokrasi dan kapitalis. Melayu dalam ertikata sebenar adalah hamba kepada Yang Maha Esa!

Adapun bahasa pertuturan "hamba" dan "tuan hamba" ini adalah sebenarnya bahasa tinggi, bahasa orang-orang Tasawuf yang sebenarnya mengEsakan keWujudan Allah jua... Ini adalah bahasa orang-orang yang "berenang" di dalam lautan musyahadah ataupun penyaksian semata melihat hakikat alam yang sebenar... Bahawa apa yang kita lihat sekeliling bermacam warna dan ragam ini semuanya adalah perbuatan ataupun af'al Allah jua! Maka dengan penuh adab merendah diri, kita membahasakan diri sendiri sebagai "hamba" dan orang lain sebagai "tuan hamba"... Kerana melihat hakikat sebenar di sebalik perbuatan orang lain sebagai pengzahiran serta pernyataan perbuatan Allah di alam ini jua!

Mungkin ada yang akan bertanya... Kalau begitu kenapa pula raja-raja membahasakan diri sebagai "beta", bukannya "hamba"? Sebenarnya raja-raja pun ada masanya membahasakan diri sebagai "hamba"... Kaji balik hikayat-hikayat lama... Tetapi apabila berbahasa dengan rakyat-jelata, raja-raja itu ibarat akan zahir sifat-sifat Jalal atau keagungan Allah... Kerana seorang raja (raja yang sebenar ya, bertaraf Wali dan telah Fana' dan Baqa' di dalam keWujudan Allah, bukan raja-raja sekarang yang rata-rata tidak layak menaiki takhta kerana telah hilang sifat-sifat sebenar seorang raja) itu adalah Zilullah Fil Alam... Bayang-bayang Allah di alam ini... Atau Zilullah Fil Ardh. Bayangan Allah di mukabumi. Sebab itu ada kitab-kitab lama tafsir mimpi menyebut, bermimpi berjumpa dengan raja itu maknanya berjumpa dengan Allah jua!

Masalahnya berapa ramai orang yang sedar akan hakikat ini setelah beratus tahun dihimpit dakyah Barat hasil kajian dan saranan puak Yahudi Zionis yang tidak mahu bangsa Melayu menjadi berdaulat melalui wasilah kerajaan sebenar yang mengundang naungan daripada langit? Sejarah Melayu sendiri telah dikaburkan sebegitu rupa akibat kedangkalan dalam memahami makna Melayu itu sendiri... Para Orientalis cuba menyempitkan bahawa Melayu itu datang daripada Yunnan. Ini dilakukan untuk merendahkan martabat Melayu sebagai satu daripada sub-etnik orang Cina selain untuk menghikis hak ketuanan Melayu ke atas Tanah Melayu kerana orang-orang Melayu mahu digambarkan sebagai pendatang, malah penceroboh yang "menghalau penduduk asal" Proto-Malay ke pendalaman. Ini dibuat supaya bangsa lain yang bukan Islam pun boleh menuntut hak "yang sama rata", kerana kita semuanya adalah "bangsa pendatang" jua...

Ya, itu memang benar... Melayu juga ramai bangsa pendatang... Tetapi yang membuat mereka mempunyai hak ke atas apa yang dinamakan sebagai Tanah Melayu ini adalah setelah menjadi anggota, masuk membership sebagai ahli kesatuan bangsa-bangsa dunia yang diikat oleh Islam, budaya Melayu dan penggunaan Bahasa Melayu... Itulah yang memberikan hak ketuanan kepada mereka, hak yang tidak layak dikecapi mereka yang belum lagi "masuk Melayu"....

Fikirkan akan makna Melayu yang sebenar... Maka kita tidak akan hairan kalau disebut bahawa pusat kerajaan Melayu Melaka di Kota Melaka yang jatuh ke tangan Portugis tahun 1511 itu kalah bukan kerana Melayu itu mundur... Tidak... Melayu sudah lama mempunyai persenjataan canggih. Zaman itu, kita sudah lama berhubung dengan tamadun-tamadun besar dunia termasuk kerajaan keKhalifahan Uthmaniyah (yang merupakan kerajaan paling kuat seluruh dunia zaman itu) serta kerajaan China Dinasti Ming (yang sebenarnya merupakan kerajaan Islam, sebab itu ia menyokong Melaka... Bukan sebab kerana ancaman Siam semata seperti yang disebut dalam buku-buku sejarah).

Ketika itu, Eropah baru sahaja keluar daripada zaman kegelapan... Setelah lama dipekup pihak Gereja yang anti-Sains. Dan mereka berjaya mengecapi kemajuan yang kemudian dikenali sebagai Renassaince, zaman kebangkitan Eropah setelah mengutip ilmu daripada institusi-institusi Islam yang jauh lebih maju ketika itu seperti yang terdapat di kerajaan Sepanyol dan Portugal Islam terutama di Cordova ataupun Andalusia... Kita bangsa Melayu pula sudah lama menerima bekalan teknologi terbaru baik daripada kerajaan Uthmaniyah yang berpusat di Turki mahupun Dinasti Ming yang tidak kurang canggih. Siapa kata Melayu itu mundur dan bodoh, setakat berharap pada senjata-senjata purba yang ketinggalan zaman? Siapa kata? (teringat pulak iklan Celcom kat TV. Siapa kata... Heh! :])

Lagipun seperti yang sudah disebut awal tadi, Melayu itu adalah BANGSA-BANGSA BERSATU. Maka itu segala teknologi dan pengetahuan canggih bangsa-bangsa lain turut disatukan menjadi teknologi sebenar Melayu... Itulah rahsia sebenar Melayu yang satu hari nanti akan membawa kepada kebangkitan sebenar Islam di akhir zaman, Insyaallah!

Sebab itu catatan Portugis, kalau tidak salah daripada Alfonso Albuquerque sendiri meyebut mereka telah merampas dan membawa balik 3,000 pucuk meriam daripada Kota Melaka. Dan itu menurutnya baru separuh sahaja... Jadi kenapa Melaka boleh kalah? Kalau nak tahu, sebab sebenarnya adalah kerana pembelotan bangsa Melayu sendiri... Pembelotan yang bagaimana?

Adapun bangsa-bangsa Barat yang datang ke Tanah Melayu untuk menjajah ini sebenarnya berbuat begitu atas dendam dan perancangan jangka-panjang Perang Salib... Semuanya untuk memutuskan rangkaian ukhuwah Islam yang turut termasuk di dalamnya rangkaian sokongan strategi perang yang meluas ke seluruh bumi di mana sahaja ada penganut Islam dengan angkatan yang boleh didatangkan daripada jauh termasuk daripada Tanah Melayu ini! Percaya atau tidak, semasa Perang Salib 1,000 tahun lalu sudah ada orang-orang Melayu turut berjihad melawan angkatan Barat... Manakan tidak? Melayu sebenar adalah bangsa yang sangat gagah berani, sedia berkorban jiwa dan raga kerana memahami hakikat sebenar kehidupan yang fana' ini... Dan sejak dahulu mereka adalah para pelayar dan pengembara yang hebat, tentu biasa sampai ke Mekah untuk umrah dan haji atau ziarah juga ke Madinah. Lalu apabila terdengar panggilan jihad, apalah susah sangat untuk turut mara ke Baitul Muqaddis termasuk bersama angkatan Sultan Salahuddin Al-Ayubi! Bukankan Melayu itu adalah bangsa-bangsa bersatu yang sudah semestinya ISLAM?

Barat sedar akan makna sebenar Melayu yang menggabungkan pelabagai bangsa ini... Maka itu untuk memecah-belahkan serta membawa Melayu untuk membelot, mereka kaji balik sifat-sifat etnik... Bagaimana sifat Cina masuk Melayu semasanya Cina nya masih menebal... Bagaimana sifat India sebelum masuk Melayu... Maka dicari kelemahan ini lalu dicucuk-jarumnya sehingga menjadi punca pergaduhan. Lalu apa yang terjadi sebenarnya adalah pergaduhan Cina dengan India tetapi yang dapat nama buruk adalah Melayu kerana mereka sudah masuk Melayu... Sebab itu bangsa Melayu terkenal dengan hasad dengki terhadap bangsa sendiri. Faham sekarang?

Taktik serupa turut digunakan untuk mengekang apa-apa kemungkinan kebangkitan Melayu di Singapura.... Lalu mereka cuba dipecah-pecahkan dengan label Bugis, Boyan dan sebagainya, bukan dengan label Melayu sebenar yang patut menyatukan segalanya... Tetapi apabila bergaduh dan tidak bersatu, yang disabitkan tetap nama Melayu juga. Nampak tak?

Allah... Mungkin ini juga agaknya kenapa malam tadi, buat pertama-kalinya dalam mana-mana blogspot saya, saya tergerak untuk memaparkan gambar-gambar senjata Melayu lama seperti keris dan pedang. Tajuknya ialah Senjata lama di Kota Ngah Ibrahim (Old weapons at the fort of Ngah Ibrahim) ... Kebetulan pula ia adalah posting saya yang ke 99 di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Apakah ini semua ada kena-mengena?


OK... Malah tadi saya telah membuat sebuah posting tentang Kota Ngah Ibrahim di Matang, Taiping, Perak. Adapun itu adalah kali ke 3 saya ke sana tapi baru kali itulah saya betul-betul melihat apa yang terdapat di dalamnya...

Hmm... Kebetulan juga pendakian Gunung Jerai yang dibuat seperti yang diceritakan dalam Jalan-jalan Kedah: Menamatkan satu bab perjalanan di Gunung Jerai! adalah yang kali ke 3. Dan baru kali itu juga saya rasa betul-betul puas kerana sempat melawat tempat-tempat yang sebelum ini saya tidak temui kerana tidak tahu arah... Hmm...

Apapun, pada hari itu juga, selepas turun Gunung Jerai, saya bermalam di sebuah hotel murah di Taiping... Tetapi bukan bangunan lama ya... Apa boleh buat, tak dapat hotel murah bangunan lama yang menarik. Lainlah kalau hendak tidur dengan "ayam"... Teruk kena "patuk" kat Neraka besok. Sisih malaikat 44... Keesokan paginya baru saya bergegas menaiki bas untuk ke Matang...


Ternyata terdapat satu lagi pembaharuan di sana... Makam Ngah Ibrahim sudah siap dibina semula dengan batu-batu asal yang dibawa daripada Singapura ketika pemindahan jenazah... Pemindahan yang turut diadakan selari dengan pengembalian jasad Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin ke kawasan pemakaman diraja Perak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar pada 9 September (9.9) 2006.

Ceritanya sudah lama saya nukilkan di Pengembalian jenazah Laksamana Muhammad Amin ke Makam diraja Bukit Chandan... . Untuk melihat posting terbaru tentang Kota Ngah Ibrahim yang dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) malam tadi, sila klik Sekitar Kota Ngah Ibrahim (Around the fort of Ngah Ibrahim) ...


Dalam lawatan kali ini juga, barulah saya tergerak untuk melihat senjata-senjata Melayu lama yang dipaparkan. Lihat ceritanya di Senjata lama di Kota Ngah Ibrahim (Old weapons at the fort of Ngah Ibrahim)... Kebetulan, ia bukan sahaja kali pertama saya tergerak untuk memaparkan gambar-gambar senjata Melayu lama di mana-mana blogspot saya malah ia juga adalah posting ke 99 bagi blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) . Menurut kata seorang pembaca (juga pembaca lain nampaknya), itu maknanya saya akan bertemu jodoh tidak lama lagi. Hmm...

Yang pasti, saya rasa semakin sukar bertahan membuat kerja-kerja pelik yang saya buat sekarang ini iaitu mengembara ke sana ke mari menurut gerak hati cuba menggali semula makna Melayu yang sebenar untuk diwar-warkan kepada orang ramai... Bayangkan membuat semua ini tanpa gaji dalam keadaan dunia materialistik yang memerlukan banyak belanja... Bayangkan membuat segala kerja penat ini yang banyak memakan tenaga dan kewarasan jiwa tanpa sokongan lembut seorang insan (atau 2-3? Jangan mare ye... Hehe! :]) bernama isteri yang dapat memberikan sokongan yang sepatutnya dengan rumahtangga yang betul-betul memberikan istirehat daripada segala masalah...

Ya, Saya memang memerlukan jodoh. Sampai satu masa, mustahil saya dapat meneruskan perjuangan ini seorang diri. Maka jika Allah SWT telah menetapkan jalan hidup saya sebegitu rupa, jika masih banyak lagi yang perlu diperjuangkan, maka mesti Allah juga telah menyediakan sokongan yang sepatutnya. Soalnya bila... Tapi ada yang dah menyebut tahun 2008 ini juga mesti diselesaikan hal ini. Hmm...



Dalam lawatan kali ini juga baru saya tahu di ruangan atas Kota Ngah Ibrahim yang telah dijadikan muzium itu terdapat lakaran rupa-paras para pahlawan Melayu yang pernah melawan British abad ke 19 Masihi... Antara nama-nama terkenal yang turut dilakarkan adalah Datuk Maharajalela, Datuk Sagor dan Pandak Indut...

Adapun saya percaya, apa yang berlaku zaman itu adalah hasil perancangan licik penjajah Barat yang membawa rancangan besar Yahudi Zionis untuk menguasai Baitul Muqaddis seterusnya dunia. Antara mangsa-mangsa yang WAJIB dicantas adalah bangsa Melayu yang kuat menjunjung Islam, lagi Mukmin dan bersifat Ihsan... Melayu yang satu masa dahulu cukup faham akan makna Mim di dalam perkataan Melayu... Mim yang membawa makna Muhammad lalu sentiasa diutamakan sebagai kepala kepada seluruh Melayu...

Tahun 1824 menyaksikan Belanda dan Inggeris memecah-belahkan bumi Melayu kepada 2 bahagian yang perlu ditangani masing-masing... Inggeris sebelum itu telah mendapat pengkalan utama di Pulau Pinang tahun 1786, setelah "dibuka" oleh Francis Light, sebenarnya hasil pencerobohan penuh strategi tipu-muslihat diplomatik ya, bukan atas dasar persahabatan yang sebenar. Mereka pun mula menujukan jarumnya ke Perak, satu bumi yang keSultanannya mewarisi darah Raja-raja Melaka yang turut mengandungi darah kerajaan lama Singapura, Samudera-Pasai dan Perlak... Darah-darah istimewa yang menggabungkan genetik kebesaran Raja Iskandar Zulkarnain dengan darah penuh barakah para Ahlul Bait keturunan Nabi Muhammad SAW.

Ruang di Perak terbuka luas dengan penemuan bijih timah secara besar-besaran di Larut. Kemasukan para pelombong Cina yang dibawa ke sini melalui Pulau Pinang dengan kerjasama tokeh-tokeh Cina yang dilindungi penjajah British mula mengubah keadaan sosio-politik setempat.

Dahulu, bukan tidak pernah datang orang-orang Cina atau bangsa-bangsa lain ke Tanah Melayu... Bukankah Melayu itu "lubuk" bangsa-bangsa bersatu? Tetapi jika dahulu, bangsa-bangsa luar senang berinteraksi dengan bangsa Melayu lalu sesiapa yang memilih untuk menetap di sini pun "masuk Melayu", keadaan mula berubah dengan hasil perancangan British.

Dahulu, bangsa luar yang datang lebih senang "masuk Melayu" lebih-lebih lagi setelah memahami hakikat sebenarnya... Bahawa Islam bukan setakat bermula 1,400 tahun lalu tetapi ia adalah agama asal fitrah manusia yang bermula sejak Nabi Adam, cuma diupgrade dari masa ke semasa dengan Syariat-syariat baru untuk memperbetulkan mana-mana landasan yang lari.

Proses pembaharuan ini terus berlaku sehingga Islam itu betul-betul lengkap untuk manusia seluruh dunia menuju akhir zaman dengan kedatangan Nabi Muhammad SAW sebagai penutup para Rasul dan Nabi. Tetapi sejak British memulakan campurtangan, bangsa pendatang diasingkan dan pada masa yang sama, dakyah anti Islam ditekankan di seluruh dunia! Kenapa? Supaya para pendatang ini tidak akan "masuk Melayu"... Tidak ada lagi new membership untuk menjadi ahli kesatuan besar yang dikenali sebagai Melayu ini! Kerana mereka tahu akan hakikat sebenar asal-usul Melayu sebagai bangsa-bangsa bersatu sedangkan untuk menguasai bumi ini (kerana British juga adalah proksi Yahudi Zionis sebenarnya), mereka perlu melaksanakan dasar pecah-dan perintah.

Hmm... Kalau nak cerita secara teliti, memanglah panjang. Biar dipendekkan bahawa daerah Larut (ya, yang mengandungi Taiping) ini menjadi tempat utama British memasukkan jarum penjajahan di Semenanjung... Mereka lebih licik daripada Portugis dan Belanda dahulu dengan menggunakan taktik yang bakal memadamkan makna sebenar Melayu itu sendiri!

Dalam keadaan itulah, mereka berjaya menerbitkan kekacauan-kekacauan di Perak yang dikenali sebagai Perang Larut, kononnya kerana pelombong Cina yang berlainan etnik seringkali bergaduh... Ya, memang golongan-golongan etnik ini ada sedikit masalah suka berpuak-puak sejak daripada Tanah Besar Cina lagi tetapi agaknya siapakah yang mengapi-apikan mereka sehingga sering terjadi pergaduhan besar? Ingat lagi akan cerita penglibatan gangster-gangster Ghee Hin dan Hai San di Perak seperti dipelajari di sekolah dahulu? Apakah mereka bertindak sendirian ataupun sudah ada rancangan jangka panjang?

Pada masa yang sama, timbul pula masalah pertikaian takhta di Perak. Kalau dikaji dengan lebih teliti, permulaannya juga berkait dengan Larut apabila Raja Muda Jaafar yang nampaknya tidak sabar bertindak merampas kuasa daripada Sultan Abdullah I (bukan yang dibuang ke Pulau Seychelles ya), Sultan Perak ke 22 yang bersemayam di Teluk Intan. Lalu walaupun Raja Muda (kemudiannya naik menjadi Sultan ke 23 setelah kemangkatan Sultan Abdullah 1857) belum ditabalkan menjadi Sultan, baginda boleh memberi surat kuasa kepada Long Jaafar untuk mentadbir Larut. Untuk pengetahuan, Long Jaafar kemudian digantikan oleh Ngah Ibrahim...

Masalah pertikaian takhta menjadi nyata apabila pengganti Sultan Jaafar iaitu Sultan Ali Al-Mukamal mangkat tahun 1871. Ketika itu, Raja Muda ialah Sultan Abdullah II, anakanda Sultan Jaafar sedangkan menurut giliran sebelum Sultan Jaafar merampas kuasa daripada Sultan Abdullah I, sudah sampai masanya untuk Raja Yusuf anakanda Sultan Abdullah I memerintah Perak. Sebaliknya Raja Ismail yang sebenarnya adalah putera Raja Siak yang beribukan kerabat diraja Perak pula diangkat menjadi Sultan Perak yang ke 25, menurut ceritanya dengan sokongan Ngah Ibrahim yang tidak gemar jika Raja Abdullah menaiki takhta.

Apapun, kekalutan yang berlaku akhirnya membawa kepada Perjanjian Pangkor 1874 di mana Raja Abdullah dapat menjadi Sultan ke 26 dengan sokongan British sementara bekas Sultan Ismail diberikan pencen. Tiba-tiba juga kaum-kaum pendatang Cina yang bertelagah dapat didamaikan... Yang peliknya, ketua-ketua gangster Cina yang terlibat membuat kacau telah diangkat menjadi ketua-ketua masyarakat! Kenapa agaknya ya!

Sekarang baru saya teringat... Dokumen asal yang saya pernah lihat di Istana Hinggap Bukit Chandan yang kemudian dijadikan muzium menyebutnya sebagai Perjanjian Dinding... Kerana ia dilakukan di Pulau Pangkor yang dahulu dikenali sebagai Pulau Dinding, dan memang daerah sekelilingnya yang meliputi Lumut dan Sitiawan dahulu dikenali sebagai Dinding... Apakah ia diubah menjadi Perjanjian Pangkor sempena nama Chek Peng Kor yang saya lihat terpampang megah di sebuah bangunan di pekan utama Pulau Pangkor?

Lebih menyedihkan adalah bagaimana Perjanjian Pangkor 1874 itu sebenarnya merampas hak ketuanan Melayu. Seorang Residen British MESTI dipakai dan "nasihatnya" MESTI dilaksanakan kecuali dalam hal-ehwal agama Islam dan adat-istiadat Melayu... Itulah asal mula konsep raja-raja berpelembagaan di Malaysia di mana kuasa eksekutif dan pentadbiran kini dipegang Parlimen dan Perkhidmatan Awam.

Ternyata Residen pertama British ke Perak, J.W.W. Birch adalah seorang yang tidak bertimbangrasa terhadap perasaan orang Melayu sehingga seringkali menjatuhkan air muka Sultan dan para pembesar. Hasilnya buat pertama kali setelah sekian lama, semua pembesar Melayu bersatu untuk menghapuskan ancaman ini lalu terbunuhlah Birch di Pasir Salak 1875. Hasilnya juga, terjadi perang besar-besaran orang Melayu Perak dengan British, perang yang menurut catatan rasmi dimenangi British tahun 1877 kerana memiliki kelengkapan yang lebih canggih... Sedangkan apa yang sebenarnya berlaku ialah sekali lagi orang Melayu belot terhadap orang Melayu juga!

Di atas adalah model gambaran pendakwaan di mahkamah yang dibuat oleh British terhadap pahlawan-pahlawan Melayu yang dikatakan terlibat dengan pembunuhan Birch. Adapun proses pendakwaan itu memang berlaku di sini, di Kota Ngah Ibrahim ini!

Apa yang terjadi, Datuk Maharajalela, Datuk Sagor dan Pandak Indut dihukum gantung sehingga mati. Sultan Abdullah II, Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin, Shahbandar Uda Ma'amor dan Ngah Ibrahim dibuang negeri ke Pulau Seychelles di Afrika sementara bekas Sultan Ismail dibuang negeri ke Singapura! Gambar-gambar mereka (tak semuanya ya) ada dipaparkan di artikel The main players of the Perak-British war as depicted at the fort of Ngah Ibrahim... yang dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH pagi buta tadi (atau malam semalam, ketika saya menulis ini, sudah lepas jam 9 malam!)...

Ketiadaan mereka menyebabkan orang-orang Melayu Perak hilang kekuatan perjuangan yang terarah. Dalam pada itu, Raja Yusuf anak Sultan Abdullah II yang mula menjadi Raja Muda apabila Sultan Abdullah I menaiki takhta hasil Perjanjian Pangkor 1874 terus memegang jawatan tersebut. Akibatnya, nama Sultan Abdullah yang dalam buangan dapat digunakan sebagai rubber stamp untuk British melaksanakan program demi program "pembangunan" yang akan mengikis ketuanan Melayu sementara Raja Yusuf yang tidak mempunyai kuasa sebenar jadi tukang angguk sahaja! Baginda cuma dapat menjadi Sultan 10 tahun kemudian, itupun setakat dalam tempoh 3 bulan sahaja apabila mangkat tahun 1887.

Dalam tempoh inilah bandar Taiping yang menurut bahasa Cina bermakna "keamanan yang berkekalan" dapat dibentuk... Bandar yang buat pertama kalinya dalam tempoh entah beribu tahun (selain Melaka dan Pulau Pinang yang telah lebih dahulu jatuh ke tangan penjajah) dibina seratus-peratus untuk mengutamakan bangsa lain lalu meminggirkan bangsa Melayu ke kampung-kampung dan pendalaman...

Allah! Sedih dan sakit saya mengingatkan ini... Lalu Taiping dijadikan model perbandaran baru (moden menurut mereka. Chis!) yang bakal dicontohi seluruh Tanah Melayu. Bandar-bandar Melayu yang telah wujud lama dahulu di merata tempat dirobohkan dan kesannya cuba dihilangkan... Ada yang kembali menjadi hutan belukar, ada yang tenggelam "ditelan" estet-estet yang didirikan British dengan sokongan buruh daripada India... Oh, sejak itu juga banyak lagi orang-orang bangsa Cina dan India juga lain-lain yang bukan beragama Islam dibawa masuk ke Tanah Melayu tetapi terus diasingkan daripada warga asal supaya mereka tidak "masuk Melayu"...

Sebab itu banyak makam-makam lama milik Raja-raja Melayu terletak di dalam hutan dan estet-estet kelapa sawit. Mereka yang tidak tahu hakikat sebenar menyebut, inilah bukti orang-orang Melayu adalah orang-orang hutan yang tidak bertamadun. Yang sebenarnya, makam-makam ini dahulu terletak di dalam KOTA-KOTA MELAYU... Struktur binaan kota-kota Melayu terutama di mana raja-raja bersemayam memerlukan sesebuah kota itu diterajui sebuah istana di tengah-tengah... Kemudian berdekatan, baru ada masjid utama di mana di sebelahnya terdapat kawasan pemakaman diraja... Baru di sekeliling ada perkampungan orang-orang besar yang mengandungi rumah para pengikut masing-masing dan di celah-celahnya kawasan pasar tempat masyarakat banyak berjual-beli dan berinteraksi.

British cukup licik mengubah sejarah. Hasilnya, anak bangsa kita sekarang celik mata sahaja sudah melihat kedai-kedai Cina menguasai perdagangan di setiap bandar. Sehingga kita tidak dapat membayangkan lagi bagaimanakah keadaan orang Melayu menguasai perniagaan... Malah tak terfikir pun orang Melayu benar-benar mampu berniaga... Apa yang kita tahu tanpa orang Cina, ekonomi negara kita akan lumpuh! Begitu teruk sekali jiwa Melayu ini dijajah sehingga bagi sesetengah orang Melayu sendiri, tidak masuk akal orang Melayu pernah menguasai segala bidang...

Ah, cukuplah... Saya sudah meluahkan rasa dengan cukup panjang lebar kali ini. Ingat, apa yang saya ceritakan bukan hendak melaga-lagakan Cina dengan Melayu! Kan saya dah cakap, Melayu itu bangsa-bangsa bersatu! Apa yang saya mahu, marilah kita kembali kepada hakikat sebenar bangsa kita yang bersatu, lagi Islam, Mukmin dan Ikhsan.

Sudah... Saya sudah tak kuasa lagi menerangkan... Menulis cerita ini sahaja sudah memakan begitu banyak masa dan tenaga... Maka Ya Allah ya Tuhanku sekali lagi saksikanlah... Hambamu yang lemah lagi bergelumang dosa ini sudah cuba memikul amanah menyampaikan setakat yang boleh. Amin dan wasalam semua! :]

Wednesday, February 27, 2008

Jalan-jalan Kedah: Menamatkan satu bab perjalanan di Gunung Jerai!

Sebuah peta Kedah sebagai hiasan...




Assalamualaikum semua... Setelah bermalam 4 malam di Kajang dengan malam tadi saya hampir terperangkap dalam banjir kilat di tengah bandar Kajang, selepas hujan lebat yang tidak saya sedari kerana sibuk membuat posting di Cyber-Cafe sehingga hampir jam 4 pagi, setelah petang tadi dihabiskan di sebuah CC lain di sekitar Jalan Ipoh menambah posting-posting lain pula sehingga apabila selesai ternyata saya telah duduk 4 jam 40 minit di situ, dapat pula malam ini meneruskan gerak penulisan apabila komputer sepupu di rumah ibu saudara di Ampang dapat digunakan. Tadi, saya telah membuat sebuah posting bertajuk Views on top of Gunung Jerai... Enter Padang Tok Sheikh. Is it? di dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH ... Sekarang tibalah masanya untuk menutup cerita-cerita Kedah di sini dengan sedikit pengalaman di atas Gunung Jerai...







Sejak 3 hari lepas sampai ke Kedah dalam perjalanan terbaru ini, Gunung Jerai seakan-akan mendayu-dayu memanggil supaya saya naik lagi ke atas... Kali pertama saya sampai ke atas adalah tahun 1997 dengan menaiki motosikal besar, kali kedua setahun lepas dengan "menapak" seorang diri di sebalik kegelapan malam Jumaat menaiki sehingga jalan kilometer 8. Kemudian baru dapat hitchike sebuah kereta hingga ke atas...

Sememangnya Gunung Jerai dapat dilihat daripada sebahagian besar pelusuk negeri Kedah. Pada ketinggian lebih 1,200 meter atau sekitar 4,000 kaki, ia adalah gunung tertinggi di negeri ini lalu telah digunakan sebagai tempat rujukan dan panduan untuk para pengembara zaman- berzaman menjelajah dunia sebelah sini...






Gambar-gambar di atas ini diambil dalam perjalanan kembali daripada Alor Setar ke Kampung Ruat di Yan. Perjalanan ini berlaku sebaik sahaja selesai perjalanan menziarahi beberapa buah tempat terutama makam-makam lama di sekitar Alor Setar dan Jitra seperti yang diceritakan di posting bertajuk Jalan-jalan Kedah: Sekitar Alor Setar pula... yang siap dibuat awal malam tadi...




Perjalanan menghampiri simpang tiga, kanan ke Yan, kiri ke Guar Chempedak. Mana-mana pun, Gunung Jerai tetap memenuhi ruang pemandangan. Apakah akan ada pendakian kali ketiga buat saya nanti? Yang pasti, saya terasa ada "hutang" yang perlu dilunaskan. Ada tempat tertentu yang perlu dijejaki tetapi tidak sempat sampai dalam perjalanan yang lalu...

Lagipun bukan perlu mendaki berjalan kaki untuk ke atas. Walaupun jika mahu tentu boleh tetapi saya rasa sejak kebelakangan ini sudah agak malas berjalan begitu lasak... Masih lagi lasak tetapi kurang berbanding dahulu... Umur pun sudah semakin menghampiri 40... Ambil jalan senang jadilah.... Bukankah ada jalanraya kecil naik sehingga ke atas Gunung Jerai? Cuma saya tidak memiliki kenderaan sendiri. Eh... Tapi Bad kan ada kereta? Tengoklah nanti bagaimana...


Saya dan Badrul sampai ke Kampung Ruat, Yan... Kelihatan di latar-belakang adalah sebahagian Gunung Jerai yang menjulur masuk ke laut melalui tempat yang dipanggil Tanjung Jaga, kalau tak salah ingatan...


Kami pun sampai ke rumah Pak Chak tempat kami menginap 2 malam kebelakangan. Latar-belakangnya masih lagi Gunung Jerai... Bagi orang macam saya yang sejak kecil cukup minat dengan gunung, sungai dan hutan, mana boleh tahan tiap-tiap hari tengok gunung yang memang kita suka tapi tak naik-naik ke atasnya?

Sebenarnya saya telah bertanyakan Bad jika dia mahu naik ke atas. Jika mahu, bolehlah pergi bersama menaiki kereta. Bad pun baru pernah sampai sekali sahaja ke atas, itupun setakat ke rumah rehat dan sekejap sahaja menghantar orang pada waktu malam entah beberapa tahun yang lampau... Lagipun dia tidak perlu bekerja hari Rabu kerana telah selesai segala assignment yang perlu Isnin dan Selasa... Cuma takut dia kena balik awal ke Ipoh kerana "panggilan rumahtangga"... Hehe! :]

Bad pun teringin naik ke atas tetapi dia tidak biasa dengan jalan atas gunung yang sempit. Jadi tak jadi sekarang bergantung pada Pak Chak, samada dia sudi ikut atau tidak... Kalau tak, mungkin saya perlu pergi seorang diri ke kaki bukit di sebelah Guar Chempedak dan mendapatkan kenderaan sewa ke sana... Atau perlu saya berjalan kaki naik ke atas seperti tahun lepas? Rasanya adalah kudrat sedikit lagi tapi kurang larat... Lagipun ada perjalanan lain yang perlu dibuat nanti.

Yang pasti saya perlu singgah lagi ke Makam Diraja Perak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar untuk mengambil gambar terbaru makam moyang saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di sana... Kerana gambar yang diambil pada hari Ahad sebelum sampai ke Kedah semuanya hilang akibat kerosakan kamera seperti yang diceritakan dalam Kamera short-curcuit di Makam Daeng Parani dan 2 insan bernama Badrul...


Rabu pagi, Pak Chak menyatakan persetujuan untuk turut naik ke Gunung Jerai. Cuma masa yang dihabiskan di dapur berbual hingga selepas jam 11 membuat saya risau takut perjalanan tergendala pula... Ternyata pagi itu Pak Chak baru mendapat seorang lagi cucu apabila anak perempuannya melahirkan seorang bayi (lupa pula perempuan ke laki-laki) di Kuala Lumpur. Lalu isterinya Mak Chak telah membuat rancangan untuk pergi ke KL bersama seorang adiknya dengan menumpang kereta Bad sampai ke Ipoh petang itu juga...

Nasib baiklah rancangan saya tidak tergendala. Sekitar jam 12 tengahari, sampailah kami ke tempat yang hendak dituju. Di atas adalah gambar stesyen telekomunasi di puncak tertinggi Gunung Jerai. Kawasannya berpagar dijaga askar, orang awam dilarang masuk langsung...



Denai untuk masuk ke Padang Tok Sheikh, tempat yang ingin dituju terutama oleh saya setelah tidak terjumpa jalan masuknya dalam perjalanan tahun lepas (ketika itu tiada papan-tanda ini) terletak sekitar 100 meter lebih sahaja daripada kawasan berpagar yang menutupi puncak tertinggi Gunung Jerai. Puncak yang menempatkan Padang Tok Sheikh pula mungkin tingginya sekitar 10-20 meter lebih rendah daripada puncak tertinggi itu!

Gambar-gambar perjalanan kaki melalui denai ini dan 2-3 kawasan lain telah saya kumpulkan dalam artikel Views on top of Gunung Jerai... Enter Padang Tok Sheikh. Is it? , dalam blogspot BERPETUALANG KE ACEH yang dibuat lebih awal tadi. Biarlah cerita di blogspot ini pula melihat segala yang berlaku daripada sudutnya yang tersendiri...



Setelah sekitar 15 minit meredah denai, sampailah kami ke kawasan lapang berbatu-batu yang dikenali ramai sebagai Padang Tok Sheikh... Ia dipanggil begitu kerana menurutnya pernah digunakan oleh seorang ulamak dahulukala iaitu Sheikh Abdullah untuk beriadah... Yang dimaksudkan adalah Sheikh Abdullah yang dikatakan telah mengIslamkan Sultan Muzaffar Shah Kedah lebih 800 tahun lalu. Sedikit cerita berkaitan telah saya buat beberapa bulan lalu dengan tajuk Sultan Muzaffar Shah, the first king of Kedah?).

Saudara Bad kita pula nampaknya sedang terpegun dengan rupa-bentuk pokok-pokok yang kelihatan bagai ular dipalu-palu! Kata orang, di sekitar ini terdapat salah satu pintu masuk utama ke istana ghaib kerajaan bunian... Apakah Bad sedang mengintai dayang-dayang di sana? Hehe! :]

Ah! Apakah ini Tok Sheikh tiba-tiba datang menjelma? Allah! Kalau orang lemah semangat boleh putus nafas dibuatnya...

Wahai Tok Sheikh... Janganlah murka di atas kedatangan kami anak-anak yang hingus masih meleleh tidak tahu adat masuk Padang Tok Sheikh ini! Janganlah kami dipersalahkan jika "termengendap" anak-anak dara di sebalik istana lama!

Tiba-tiba teringat panggilan Pak Sheikh yang sering ditujukan pada bekas Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Apakah Nurul Izzah sudah dapat anak? Apakah Pak Sheikh sudah layak dipanggil Tok Sheikh? Hehe! :]


Kalau nak tahu, "Tok Sheikh" tadi sedang bersolat di atas Batu Sajadah, batu yang menurut ceritanya pernah menjadi tempat Tok Sheikh yang sebenar bersolat dan memanjangkan sujud... Ada yang kata Tok Sheikh ini akan datang ke sini sekali-sekala... Maklumlah Wali Allah yang boleh mencarik adat melangkah ruang dan masa! Cuma berhati-hatilah. Seringkali makhluk lain seperti jin dan syaitan termasuk jin Islam sendiri suka menyamar sebagi Wali Allah yang dikenali ramai kerana suka disanjungi orang. Manusia yang suka menganggap dirinya sudah begitu tinggi dalam alam kerohanian sehingga kononnya senang-senang boleh berjumpa dan memanggil para wali lah yang sering tertipu.

Semuanya akibat sifat ujub yang kagum akan pencapaian diri sendiri konon... Lupa untuk membuat muhasabah diri dengan menilik dalam-dalam ke dalam diri sendiri (bukan tilik orang lain ya...) lalu nyatalah diri itu masih banyak cacat-cela... Sehingga timbul rasa malu, apakah diri ini layak bertemu para kekasih Allah?

Dengan rahmat Allah, apapun boleh terjadi. Dengan izinnya, jangankan para Wali, para Nabi yang diketahui secara zahir telah mati pun boleh kita temui... Jika tidak, kenapa kita selalu memberikan salam kepada para Nabi dan orang-orang Salih ketika bersolat? Kenapa kita disarankan memberi salam dan menghadiahkan Fatihah kepada roh orang di dalam kubur?

Memang hukum alam mewajarkan para almarhum dan arwah ini terasing daripada dunia zahir kita sehingga ada yang kata telah putus semua hubungan kecuali amal soleh anak-anak, sedekah dan amal jariah serta ilmu bermanfaat yang disampaikan... Tetapi itu untuk umum. Kita lupa, sebagai insan istimewa yang berjasa, bukan mereka yang bergelumang dosa, roh para Wali dan Nabi yang telah mati ada masanya diberikan "pelepasan" untuk menjalankan peranan tertentu di alam zahir kita demi menolong dan memimpin manusia yang masih hidup ini ke jalan yang benar. Lalu memang tak mustahil kita boleh bertemu mereka... Kecuali seseorang itu berpegang kuat pada amalan Wahabi yang sering membidaahkan serta mengkhurafatkan banyak perkara... Sampai sambutan maulud Nabi yang dibuat untuk menyatakan kasih sayang hormat terhadap junjungan besar kita pun boleh dikatakan bidaah lantaran sifat mereka yang suka mengkafirkan sesama Islam dan amat gemar bertegang-leher menegakkan benang yang basah dengan hujah-hujah bersulamkan ayat-ayat Al Quran yang kelihatan cantik daripada segi mantiq akal tetapi busuk berulat daripada segi maksud tujuan dan nilai kerohanian!

Ketahuilah wahai anak Adam! Sesungguhnya bertemu roh orang yang telah mati terutama para Wali itu tidak mustahil. Cuma sebagai adab, walaupun kita telah bertemu, janganlah dijaja intan pengalaman itu keliling merata pasar borong untuk diwar-warkan kepada khalayak orang ramai sehingga menimbulkan fitnah dan pertelagahan. Dan lagi sebagai adab, sentiasa kita merasa rendah diri tidak layak bertemu mereka walaupun hakikatnya mungkin tiap-tiap hari kita "bertepuk-tampar" dengan para Wali. Takut dalam merasakan diri itu bagus kerana kononnya sudah tinggi taraf kerohanian, kita senang tertipu dengan makhluk halus yang cukup licik membuat penyamaran jadi orang alim dan sebagainya.

Ingat... Iblis itu jauh lebih alim dan tinggi ilmunya daripada mana-mana manusia... Bumi mana yang tidak pernah disujud atasnya sedangkan ia lagi hidup sejak manusia dijadikan sehingga sampai kiamat nanti... Segala tipu helah ia begitu pakar apalagi yang melibatkan nafsu... Janganlah nak melawannya dengan ilmu mahupun amal.... Jangan harap... Satu-satunya cara melawan tipuan syaitan juga penyamaran jin Islam adalah merendahkan diri sendiri... Kerana mereka sudah dijadikan daripada unsur api dan api memang sifatnya mahu menegak dan menyemarak, lalu tidak dapat turut merendahkan diri...

Sebab itu juga walau jin Islam yang paling alim kita mesti berhati-hati. Kerana setinggi mana amalnya, dia itu tetap jin yang bersifat api. Sebab itu disebut, sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia... Dah sifatnya begitu... Macam harimau makan daging... Takkan Tuhan nak hukum dan marah harimau makan daging waima daging orang sekalipun kerana sifatnya sudah dijadikan sebegitu? Lainlah kita manusia, ada empat unsur - api, angin, tanah dan air... Pandai-pandai le kita adjust ikut kesesuaian semasa...

Eh... Banyak jugak keluar khutbah saya malam-malam ni. Sedangkan apa yang hendak disebut sebenarnya cuma ini... Gambar di atas adalah gambar Batu Sajadah tempat Sheikh Abdullah pernah bersolat dahulukala dan sejak mengetahui tentang kewujudannya, saya begitu teringin mahu bersolat di atasnya.

Tengahari itu tercapailah hajat saya. Setelah "Tok Sheikh" tadi selesai bersolat dan bermunajat, dapatlah saya menunaikan solat Dhuha dengan air wudhuk yang diambil di Perigi Tok Sheikh sekitar 2km jalan ke bawah tadi... Untuk melihat gambar perigi itu, sila masuk ke artikel On to the summit of Gunung Jerai to close a chapter... yang dibuat berdasarkan perjalanan menaiki gunung ini tahun lepas...


Di belakang Batu Sajadah pula terdapat garisan-garisan atas permukaan batu (entah semulajadi entah dibuat orang...) yang selari dengan barisan jemaah bersolat menghadap kiblat. Maka tempat ini juga dikenali sebagai Batu Saf!


Belakang ke kanan daripada barisan saf tadi terdapat sebuah kolam kecil yang boleh digunakan untuk bersuci. Kalau tahu kolam ini wujud, mungkin saya tidak akan mengambil wudhuk di Perigi Tok Sheikh tadi.

Sekarang cerita ini hampir habis, biarlah saya sebut. Menurut cerita orang-orang yang biasa keluar masuk Gunung Jerai, kawasan ini bukanlah Padang Tok Sheikh yang sebenar. Padang Tok Sheikh yang sebenar terletak lebih 1 batu daripada sini memasuki hutan untuk sampai ke sebuah puncak yang lain, masih lagi puncak Gunung Jerai tetapi bukanlah yang tertinggi. Dan padang ini sebenarnya berumput, bukannya berbatu-batu.... Lebih sesuailah dengan panggilan sebagai padang sedangkan kawasan dalam gambar ini pula lebih kena dengan nama Batu Saf yang menjadi tempat orang bersolat.

Apapun, saya cukup puas hati kerana sudah sampai ke sini dan dapat bersolat di Batu Sajadah, setelah menyimpan hajat lebih setahun lama. Insyaallah saya akan sampai ke Padang Tok Sheikh yang sebenar suatu hari nanti... Lagipun saya pernah sampai ke tempat itu dalam mimpi, ketika sedang tidur di rumah rehat di puncak bawah sedikit Gunung Jerai tahun lalu, dalam perjalanan yang menyebabkan ternukilnya cerita-cerita bertajuk Gunung Jerai calling out loud... dan On to the summit of Gunung Jerai to close a chapter... .

Selepas selesai berjalan di Gunung Jerai, kami pun kembali ke Yan untuk bersiap-siap. Petang itu bergeraklah Bad ke Ipoh dengan membawa Mak Chak, adik Mak Chak dan seorang anak saudara menumpang kereta sebelum mengambil keretapi ke KL.

Saya juga menumpang sama tetapi tidak ke Ipoh. Sebaliknya dalam perjalanan itu, saya mendapat "arahan"untuk turun ke Taiping. Lalu bermulalah perjalanan terbaru di Perak pula, berakhirlah perjalanan di Kedah dengan rasa puas hati yang amat sangat kerana mana-mana tempat yang sebelum ini saya kempunan nak pergi di Kedah tetapi tak sempat atau tak jumpa berjaya dijejaki dalam 3 hari itu. Sekian! Yippeee!!! :}

p/s: Subhanallah... Cerita ini dan segala perkataan yang keluar secara spontan siap dinukilkan ketika jam di komputer menunjukkan waktu 3:13 pagi. Subhanallah! Tapi bila campur editting, lepas 3.30 le baru siap...