Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Sunday, February 25, 2007

Samudera Pasai: Bumi para Wali (bahagian V)

Kebetulan wasiat mengenai Samudera itu disempurnakan anak cucu Nabi sendiri dan orang-orang terdekat dengan baginda. Misalnya Sharif Mekah yang menitahkan Sheikh Ismail supaya pergi mencari negeri Samudera untuk melaksanakan wasiat itu.
Tahukah anda siapa itu Sharif atau Raja Mekah? Kalau hendak tahu kajilah sejarah awal Islam dalam-dalam! Mereka ini adalah keturunan anak cucu Nabi daripada sebelah Saidina Hassan...
Selepas keKhalifahan Islam jatuh ke tangan Bani Umaiyah, kekuasaan ke atas Mekah telah ditarik-balik daripada Bani Hashim iaitu kaum kerabat Nabi yang telah berkurun-kurun menjadi penguasa Mekah, bermula dengan moyang mereka Nabi Ismail AS yang menemui telaga Zam-zam. Penindasan demi penindasan terhadap anak cucu Rasulullah SAW diteruskan pula oleh para pemerintah Bani Abbasiyah yang berjaya menjatuhkan keKhalifahan Bani Umaiyah abad ke 8 Masihi, selepas mendapat sokongan rakyat dengan memakai nama seorang anak cucu Saidina Hassan bernama Muhammad Nafs Al-Zakiyah, kononnya untuk diangkat sebagai Khalifah pertama berketurunan Nabi selepas Saidina Hassan dijatuhkan oleh Muawiyah.
Tetapi penguasaan pemerintahan Bani Abbasiyah terhadap wilayah-wilayah Islam yang semakin membesar akibat penaklukan demi penaklukan yang berterusan tidak sekuat cengkaman Bani Umaiyah dahulu. Tidak lama selepas memegang tampuk kekuasaan, beberapa wilayah telah melepaskan diri lalu menerbitkan keSultanan-keSultanan sendiri. Apapun, kecuali dua tiga pihak yang ingin mendirikan daulah bebas malah bersaing pula sebagai keKhalifahan sendiri seperti Daulah Fatimiyah di Mesir, mereka masih menerima keKhalifahan Bani Abbasiyah yang berpusat di Baghdad sebagai penaung seluruh umat Islam walaupun hanya sebagai lambang.
Sekitar abad ke 13 Masihi, telah terjadi satu kekacauan besar akibat pergolakan politik di Mekah. Rakyat yang tidak senang dengan keadaan ini telah meminta seorang pembesar berketurunan Saidina Hassan bernama Qitada untuk campur tangan menenangkan keadaan. Lalu pembesar yang berpusat di Yanbu ini telah mengarahkan anak-anaknya untuk membawa sebuah angkatan untuk menawan Mekah.
Sejak itu, kota suci inipun jatuh ke bawah kekuasaan keturunan Saidina Hassan yang juga merupakan cabang keturunan Bani Hashim. Mereka mendapat pengiktirafan Bani Abbasiyah sebagai khadamul haramaian atau penguasa dua kota suci Islam, Mekah dan Madinah lalu mula memakai gelaran Sharif di pangkal nama, seperti yang pernah digunakan nenek-moyang mereka Bani Hashim yang memerintah Mekah dahulukala. Maka timbullah gelaran bangsawan yang dikenali sebagai Sharif Mekah...
Ada pihak percaya, Sharif Mekah mendapat tahu tentang kewujudan Samudera daripada para jemaah haji Nusantara yang datang ke Mekah. Tetapi tidak dapat dipastikan daripada manakah baginda mendapat wasiat Nabi mengenai negeri itu, apakah ia melalui keluarganya daripada jalur keturunan Saidina Hassan atau ada pihak lain yang menyimpan wasiat itu lalu menyampaikannya apabila sampai masanya...
Apapun, sudah ditakdirkan negeri Samudera yang diasaskan Sultan Malikus Salih sekitar tahun 1250an (ada yang kata awal 1260an) muncul beberapa tahun selepas Mekah mula diperintah keturunan Saidina Hassan. Maka wasiat Rasulullah SAW inipun disempurnakan Sharif Mekah seperti yang diceritakan di dalam Hikayat Raja-raja Pasai.

—————————
“Kamu tahu tak, selain Sharif Mekah, wasiat itu juga disempurnakan oleh seorang Sultan berketurunan Saidina Abu Bakar Al-Siddiq iaitu Sultan Muhammad yang sanggup turun takhta menjadi fakir semata-mata untuk turut serta menjalankan amanah Nabi?” Rasyid masih cuba meyakinkan Badrul. “Ini diperkuatkan dengan kehadiran Sultanul Ariffin, Sultan orang-orang arif iaitu Sheikh Ismail yang diketahui memiliki nasab keturunan Saidina Hassan daripada sebuah jurai yang amat diagung-agungkan dalam dunia pengajian Tasawuf dan orang-orang Sufi iaitu keturunan Sultanul Awliya, raja para wali Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani!”
“Bukankah ini menunjukkan Sultan Malikus Salih itu sendiri mempunyai hubungan kekerabatan ataupun pertalian kerohanian yang sangat kuat dengan Rasulullah SAW?” dia bertanya pula. “Kalau tidak mengapa wasiat mengenai Samudera ini disempurnakan dua orang bertaraf Sultan daripada keturunan Nabi melalui Saidina Hassan iaitu Sharif Mekah dan Sheikh Ismail, ditambah dengan kehadiran seorang Sultan berketurunan Saidina Abu Bakar Al-Siddiq, sahabat karib Nabi dan Khalifah pertama seluruh umat Islam? Bukankah ini satu pengiktirafan yang kuat?”
“Mereka juga disuruh membawa perkakas dan alat-alat kerajaan daripada Mekah untuk menabalkan Sultan Malikus Salih menurut adat pertabalan Raja-raja Islam,” pemuda itu menyambung. “Apakah ada raja lain di Nusantara atau mana-mana pun yang pernah menerima pengiktirafan sebegini?” katanya lalu merenung tepat muka rakan itu.
Badrul sudah tidak terkata apa lagi. Walaupun apa yang diceritakan kawan lama ‘sepermainan’ di London itu memang menarik perhatian, bekas ustaz ini kurang senang kerana kaitan segala persoalan ini dengan sebuah wasiat Nabi yang tidak dapat dipastikan kesahihannya...
“Lantak kamulah,” jawabnya agak kasar. “Aku sudah beritahu setakat yang boleh mengenai hadis dan penerimaannya. Sebagai kawan, aku cuma hendak ingatkan kamu... Berhati-hatilah jika menulis tentang ini. Jangan sampai menimbulkan kontroversi. Takut kamu juga yang susah nanti!”
Rasyid tersenyum nakal. Tahu pensyarah ini mula meluat...
“Oh... Nanti dulu!” tiba-tiba Badrul terfikir sesuatu lalu bertanya: “Apa kamu nak jawab jika orang ramai bertanya bagaimana pula wasiat Nabi yang tidak wujud dalam sumber lain boleh muncul dalam kitab Hikayat Raja-raja Pasai? Mungkin kamu boleh mengenepikan nasihat aku tetapi apakah alasan kamu di hadapan beribu, mungkin berjuta umat Islam nanti?”
Nampaknya rakan ini juga tidak mahu mengalah. Maklumlah, bekas ustaz sekolah menengah kemudian pensyarah pengajian ilmu wahyu universiti terkemuka tanahair. Dan sebagai seorang graduan Universiti Al-Azhar yang memiliki Masters dan PhD dari universiti terkemuka London, sudah tentu dia juga memiliki ego yang mahu dipertahankan...
Rasyid telah menjangkakan lambat-laun soalan sebegini pasti akan timbul juga. “Seperti dihuraikan awal tadi, kemungkinan wasiat ini tidak pernah disiarkan kepada umum, cuma berlegar di sekitar keluarga anak cucu Nabi sahaja memang ada... Pergolakan politik Islam di Timur Tengah pula menyebabkan ramai Ahlul Bait dan para penyokong mereka melarikan diri ke Nusantara, khususnya bumi Serambi Mekah di mana mereka diterima baik malah diangkat sebagai raja dan para penguasa. Maka apalah yang hendak dihairankan jika wasiat ini akhirnya diabadikan dalam Hikayat Raja-raja Pasai, (kemudian Sejarah Melayu)? Lebih-lebih lagi selepas ia selamat disempurnakan dengan kemunculan kerajaan Samudera yang diasaskan Sultan Malikus Salih abad ke 13 Masihi?”
Sekali lagi Badrul menggeleng-gelengkan kepala. Ada-ada sahaja jawaban rakannya itu. Tanya begini jawabnya begitu, tanya begitu dia dok pusing corner ikut jalan lain pula. Susah... “Inilah jadinya kalau sudah genius sangat, “getusnya dalam hati. “Tak kuasa aku hendak melayan lagi. Asyik nak menang sahaja. Macamlah dia saja yang betul...”
Rasyid dapat menduga apa yang bermain di fikiran bekas ustaz itu. Dia tahu walaupun Badrul berfikiran luas, dia amat berhati-hati apabila bercakap apa-apa perkara berkenaan ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis Nabi. Maka tidak hairanlah pensyarah itu susah hendak menerima kenyataannya tentang wasiat Nabi yang menyentuh negeri Samudera selagi tidak ada bukti tentang kewujudannya daripada kitab-kitab para ulamak muktabar. Apapun, anak muda ini telah cuba mendapatkan second opinion daripada orang yang berkelayakan dalam bidang agama dan mempunyai ilmu hadis seperti yang disarankan Nasri. Sekarang sampailah masanya untuk mengupas lebih lanjut tentang peristiwa-peristiwa berkaitan wasiat itu. Tetapi bukan dengan Badrul lagi, rasanya lebih elok dengan Nasri...
Oh... Hampir terlupa... Apahal pun, berdamailah dulu dengan si Badrul ni... Takkanlah sebab wasiat Nabi, kawan bertukar jadi lawan pula?

—————————
“Ada pengkaji menganggap pertabalan Sultan Malikus Salih ini tidak lebih daripada pengiktirafan kerajaan Mekah terhadap Samudera.” Nasri memberikan pandangan dalam perjumpaan terbaru mereka. “PengIslaman negeri Samudera pula dianggap sekadar pertukaran mazhab daripada Syiah kepada Shafie. Kerana Mekah dikatakan telah lama menjunjung Mazhab Shafie sedangkan kajian rasmi sejarah menyebut, negeri-negeri di Sumatera sudah lama memeluk agama Islam versi Syiah.”
“Contohnya, keSultanan Perlak yang diasaskan tahun 840 Masihi dirajai Sultan Alaiddin Sayyid Maulana Abdul Aziz Syah, cicit kepada Imam Ja’afar Al-Sadiq yang dikultuskan sebagai salah seorang imam maksum Syiah,” lulusan Undang-undang dari England ini mempamerkan pengetahuan. “Selain itu, telah muncul beberapa penempatan awal Islam seperti Barus di pantai barat Sumatera yang juga dikatakan sejarawan telah diterajui golongan Syiah, para penyokong kepimpinan Saidina Ali dan Ahlul Bait. Maka itu tidak hairanlah jika kerajaan-kerajaan di Sumatera dahulu dikatakan menganut fahaman Syiah lalu perlu ditukarkan mazhab. Lebih-lebih lagi kerana kerajaan Mekah pimpinan para Sharif anak cucu Saidina Hassan mahukan penganut Islam bertaut semula di bawah panji-panji Ahlus Sunnah Wal Jamaah demi kesejahteraan umat sejagat.”
Ternganga juga Rasyid mendengarnya. Nampaknya rakan yang pernah bersama mengurat perempuan ketika di kolej dahulu semakin faham arah tujuan dan sebab-musabab pemuda itu meminati kisah-kisah lama. Pengetahuannya tentang sejarah Melayu serta kedatangan Islam di Nusantara juga menjadi semakin mendalam semenjak mereka sering bertukar cerita, kebetulan setelah persahabatan lama bertaut kembali...
Dahulu, Nasri pernah ‘merajuk’ kerana rakan lamanya tidak pernah membalas suratnya ketika mereka mula-mula masuk universiti, seorang di Wales, seorang di London. Kemudian Rasyid tidak menunjukkan simpati apabila dia mengaku putus cinta dengan gadis yang telah dikenalinya sejak dari Malaysia lagi, ketika mereka terserempak kembali di ibukota Great Britain apabila Nasri menyambung pengajian undang-undangnya ke peringkat kelulusan professional Bar di Lincoln’s Inn. Tetapi Nasri akhirnya sedar rakan lamanya bersikap begitu kerana persoalan-persoalan hidup yang membelenggu jiwanya selama ini... Persoalan-persoalan yang menjadi semakin kalut ketika dia melangkah ke universiti lalu membawanya menggali cerita-cerita lama berkaitan Aceh nanti.
“Memang Sumatera, terutama bumi Serambi Mekah telah beberapa kali didatangi rombongan demi rombongan para ulamak dari Tanah Arab dan Timur Tengah... Kerana ia diketahui melindungi ramai anak cucu Nabi,” Rasyid pula mengemukakan hasil pengkajiannya. “Salah-satunya, rombongan Sheikh Abdullah Arif yang dikatakan datang ke Aceh sekitar 1166 Masihi (ada yang kata 1177), bersama anak muridnya Sheikh Burhanuddin yang akan berdakwah ke wilayah Minangkabau nanti.”
“Eh... Bukankah orang ini juga bertanggungjawab membawa sebuah kitab Tasawuf bertajuk Bahr Lahut (lautan keTuhanan) ke Nusantara?,” Nasri menyampuk. Memang kisah ini agak terkenal di kalangan mereka yang pernah membaca sejarah awal kedatangan Islam ke Nusantara.
“Dialah orangnya itu!” jawab kawannya teruja. “Tetapi kitab itu dikatakan berbau falsafah Syiah kerana menjunjung konsep Nur Muhammad sebagai sumber penciptaan alam, lalu membayangkan kelebihan dan keutamaan Rasulullah SAW serta para Ahlul Bait keturunannya ke atas makhluk-makhluk lain! Apakah kerana orang-orang Sumatera dahulu menjunjung tinggi kemuliaan dan kedaulatan anak cucu Nabi maka mereka semua dikira Syiah?” Rasyid bertanya pula. “Kalau begitu, ingatlah kata-kata Imam Shafie ‘Kalau aku dikatakan Syiah Rafidhah (Syiah sesat) kerana mencintai Ahlul Bait, maka saksikanlah bahawa aku ini Syiah Rafidhah.’”
Nasri seronok mendengar ulasan ini. “Mungkin peristiwa pengIslaman Samudera dan rajanya Merah Silu seperti diceritakan Hikayat Raja-raja Pasai sebenarnya adalah proses meluruskan akidah?” dia mengulas wasiat Nabi mengenai Samudera dari sudut lain pula. “Bukankah hikayat itu menyatakan ayahandanya Merah Gajah adalah anak angkat kepada seorang pemerintah bernama Raja Ahmad? Bondanya Puteri Buluh Betong pula adalah anak angkat Raja Muhammad? Bukankah mereka memakai nama-nama Rasulullah SAW yang terang-terang berbau Islam?”
“Itu memang logik,” Rasyid bersetuju. “Mungkin mereka memang sudah lama memeluk Islam tetapi pengetahuan agama Merah Silu kurang lengkap. Kerana baginda telah menjadi anak yatim piatu selepas bondanya hilang dan ayahandanya terbunuh. Kemudiannya negerinya pula hancur akibat peperangan di antara Raja Ahmad dan Raja Muhammad. Lagipun ada kajian akademik menyatakan Sultan Malikus Salih ini berasal daripada keturunan Dinasti Makhdum di Perlak yang diasaskan oleh Sultan Abdul Qadir Syah Johan Berdaulat tahun 918 Masihi,” pemuda itu menambah.
“Kajian ini juga menyebut ayahandanya Merah Gajah sebenarnya bernama Makhdum Malik Abdullah, anakanda Makhdum Malik Ibrahim bin Makhdum Malik Mesir bin Makhdum Malik Ishaq bin Sultan Makhdum Malik Ibrahim Syah Johan Berdaulat (memerintah Perlak 976-1012 Masihi),” Rasyid mendedahkan hasil satu kajian yang tidak diketahui umum malah kurang disedari para sejarawan. “Nah... bukankah ini nama-nama Islam? Lebih-lebih lagi Dinasti Makhdum ini diakui sejarah rasmi sebagai pembawa fahaman Ahlus Sunnah Wal Jamaah ke Perlak?”
Nasri mengangguk bersetuju. Rasyid pula gembira kerana ternyata rakan yang mula-mula dikenalinya 17 tahun dahulu, pernah duduk sebilik di asrama program “A” Levels KPP/ITM selama hampir dua tahun amat serasi dibawa berbincang, seringkali sependapat dalam mengupas sejarah Islam dan cerita-cerita lama Melayu walaupun adakalanya mereka bertikam-lidah juga. Teringat pula zaman kolej dahulu, ketika sama-sama suka mengurat dan menyakat pelajar-pelajar perempuan, suka keluar ke kelab-kelab malam dan lain-lain tempat ‘gelap’ bersama pasangan masing-masing melayari kehidupan remaja, membuat pelbagai perkara mengarut...

—————————

Kereta Honda Accord merah model 1985 milik Nasri pernah menjadi saksi bagaimana Rasyid selalu bertukar pasangan (Nasri kurang aktif kerana lebih setia kepada pasangannya), apa yang sering berlaku di tempat duduk belakang, apa pula yang ditemui tuan-punya kereta setelah pemuda itu meminjamnya sebentar untuk ‘beriadah’ di tempat-tempat seperti parking lot di luar disko Faces, Jalan Ampang. Kereta itu jugalah yang sering digunakan untuk menyusup keluar kawasan asrama bersama rakan-rakan lain untuk berseronok hujung minggu, pernah naik lapan orang sekaligus, tiga pasangan di belakang dengan yang perempuan duduk bertenggek atas yang laki-laki sehingga ditahan polis ketika road-block. Banyak juga kena soal, nasib baik lepas...
Mereka juga telah beberapa kali bersama berdesup lari macam lipas kudung dikejar pengawal keselamatan kolej ketika cuba menyeludup masuk kembali ke asrama setelah semalaman berdansa dan ber... entah apa-apa lagi di luar. Pernah sekali muka Rasyid bengkak sebelah dengan bibirnya pecah kerana terhentak besi railing tangga dalam gelap ketika lari menuju ke bilik di tingkat empat. Terpaksalah bertahan seminggu dua dengan muka lebam...
Rasyid, Nasri serta beberapa orang kawan rapat lain juga pernah menyakat para pelajar junior yang duduk bersama di bilik 51C dengan kisah-kisah hantu yang menyeramkan. Kemudian melaksanakan sebuah rancangan teratur yang berjaya menakut-nakutkan mereka sehingga anak-anak muda yang mudah terpedaya ini nyaris-nyaris melaporkan perkara itu kepada pihak pengurusan kolej, meminta untuk ditukarkan ke bilik lain.
Pemuda itu masih ingat bagaimana Nasri telah membakar kemenyan secara senyap, dia pula berlagak sebagai hero yang mencabar ‘hantu-hantu’ supaya menonjolkan diri sementara rakan-rakan di atas bumbung bilik menyorong batu-bata di atas atap genting lalu mengeluarkan bunyi yang menyeramkan sebelum menyemburkan minyak wangi masuk ke dalam bilik. Lakonan mereka dengan sound effects yang diterbitkan sungguh berkesan sehingga pelajar-pelajar junior ini, kalau tidak salah ingatan 15 orang, semuanya anak orang berada telah berpelukan beramai-ramai ketakutan sambil melaungkan azan kemudian membaca Yasin dengan nyaring. Sedangkan ramai di antara mereka tidak tahu pun membaca Al-Quran! Bukankah kelakar jadinya?
Apa yang Rasyid dan Nasri tidak tahan nak tergelak (tetapi terpaksa control, buat-buat serius), adik-adik ini masih tidak dapat mengesan gurauan para senior sehingga boleh terpedaya pula dengan lakonan seorang lagi kawan yang berlagak sebagai seorang ustaz. Kawan itu datang siap berjubah dan berkopiah tiga hari kemudian untuk “menghalau hantu”, satu lakonan yang terpaksa dilakukan supaya mereka tidak jadi melaporkan perkara ini kepada pihak pengurusan. Kalau tidak Rasyid dan rakan-rakannya juga yang kena... Turun-naik mahkamah pelajarlah jawabnya nanti... Kan susah?
Anak muda ini juga pernah mengetuai satu sesi ‘suai-kenal’ buatan sendiri bersama lebih 50 orang pelajar junior yang terpaksa datang “menyerahkan diri” setelah dia memberikan amaran akan datang menyerang bilik-bilik mereka jika tidak muncul di bilik 51C sebelum jam 6 petang.
Ini berlaku apabila ramai rakan-rakannya mengadu kepadanya bahawa para pelajar elit di bawah program BTU (British Top University) yang bakal terbang ke England tiga bulan lagi tidak tahu menghormati pelajar senior, langsung tidak mengendahkan mereka. Lalu sekitar 10 orang kawan-kawan rapat termasuk Nasri telah menyaksikan bagaimana pemuda berdarah Aceh ini berjaya menggertak kesemua anak-anak muda ini, siap mencabar sesiapa sahaja yang berani untuk bertumbuk dengannya! Ajar mereka supaya respect sedikit, belajar hormat kepada mereka yang lebih tua.
Walaupun sesi itu bermula dengan kasar, adalah beberapa buah almari pecah dalam proses, Rasyid berjaya menukarkannya menjadi satu sesi “riang-ria” setelah pasti adik-adik ini telah mendapat sedikit pengajaran. Sejak itu, pelajar-pelajar junior ini akan memberi salam dan bertegur-sapa setiap kali berselisih dengan para senior. Hubungan mereka juga menjadi lebih erat kerana saling bertukar-tukar fikiran dan pandangan.
Ah... Begitu banyak sekali kenangan zaman kolej, daripada sesi-sesi permainan snooker di sebuah kelab berdekatan, santai minum teh tarik di mapley ( warung-warung di hadapan asrama) sambil mengurat gadis-gadis cantik dan berbagai lagi aktiviti muda-mudi pra-universiti. Dan selalunya Nasri juga turut serta lebih-lebih lagi jika membuat hal-hal yang mengarut, sesetengahnya tidak boleh diceritakan dalam mana-mana media... Lalu seluruh warga kolej mengenali mereka dan kawan-kawan, kira famous lah kata orang. ‘Saham’ pula meningkat naik tinggi, maka lagi senanglah dapat teman-teman perempuan... Siapa sangka, setelah hubungan mereka terputus sejak ke luar negara, lebih 10 tahun kemudian baru bertemu kembali, itupun terserempak di sebuah warung minuman, kini mereka telah sama-sama insaf, boleh pula berbincang tentang sejarah Melayu dan kedatangan Islam dengan begitu mendalam.

—————————

“Bro... Aku ada satu lagi perkara nak confirm tentang Samudera,” tiba-tiba Nasri memotong lamunan. “Aku ada terjumpa sebuah kajian yang menyebut bukan Sultan Malikus Salih yang mengasaskan kerajaan ini pada abad ke 13 Masihi tetapi seorang raja bernama Mahmud Syah yang membuka Samudera tahun 1042 Masihi, 200 tahun lebih awal. Apabila Mahmud Syah mangkat tahun 1078, baginda digantikan pula oleh Mansyur Shah yang memerintah sehingga tahun 1133. Kemudian Khiyasyuddin Shah (1133-1155) diikuti Nuruddin Sultan Al Kamil (1155-1210)...”.
“Hmm... Teruskan,” Rasyid memberi jalan.
“Menurut kajian ini lagi, selepas Sultan Al Kamil mangkat, telah berlaku satu kekecohan besar, tidak pastilah apa yang menyebabkan Samudera tidak beraja dalam satu tempoh yang agak lama. Sampailah Sultan Malikus Salih muncul untuk memimpin kerajaan itu tahun 1261. Maka Sultan ini bukanlah pengasas Samudera seperti disebut Hikayat Raja-raja Pasai tetapi boleh dikira sebagai penyelamat kerajaan itu.”
Rasyid tersenyum mendengar pendedahan rakannya lalu membuat pengakuan: “Aku juga pernah terbaca kajian akademik yang menyebut hal yang sama tetapi aku tetap yakin Sultan Malikus Salih lah pengasas sebenar Samudera. Nak tahu mengapa?”
“Silakan,” jawab Nasri.
“Baiklah,” kata rakannya. “Tetapi ini bukanlah hasil kajian akademik OK. Cuma kajian rambang hasil penelitian fakta sejarah yang diketahui.”
“No problem,” sahut Nasri. “Asalkan plausible, boleh diterima akal, sudah! Aku kan lawyer... Berikan hujah yang berkesan dan aku sedia menerimanya... Principals of modern justice... Siapa pandai berkata dialah pemenangnya...”
Rasyid pun meneruskan: “Sejarah keSultanan Perlak menyebut, selepas kedatangan Sultan Abdul Qadir Syah Johan Berdaulat yang mengambil-alih kekuasaan (tahun 918 Masihi) daripada keturunan Sultan Maulana Sayyid Abdul Aziz Shah, kerajaan itu pernah terpecah menjadi dua tahun 976 – Perlak Baroh yang diperintah Sultan Mahmud Syah dari Dinasti Sayyid dan Perlak Tunong, diperintah Sultan Ibrahim Syah dari Dinasti Makhdum. Eh... Atau terbalik kot? Mahmud Syah yang dari Dinasti Makhdum, Ibrahim Syah Dinasti Sayyid, aku tak ingat pula... Apapun Perlak pernah berpecah dua pada zaman itu,” katanya lagi.
“Apa kebendanya Perlak Baroh dan Perlak Tunong tu?” Nasri sedikit pelik. Inilah kali pertama dia mendengar perkataan-perkataan ini.
“Entahlah,” jawab rakannya jujur. “Aku pun tak tahu. Agaknya Perlak Hulu dan Perlak Hilir lah kot? Atau Perlak Utara dengan Perlak Selatan? Tak tahulah mana yang betul tetapi rasanya lebih kurang begitulah...”
“Sultan Mahmud Syah pula dikatakan memerintah sehingga tahun 988 Masihi sedangkan Sultan Ibrahim Syah akhirnya berjaya menyatukan kembali Perlak dan terus memerintah sehingga tahun 1059,” dia meneruskan. “Sekarang cuba kamu lihat nama-nama dan tarikh yang disebutkan. Perhatikan bagaimana nama Mahmud Syah muncul dalam tempoh masa yang selari dengan kemunculan kerajaan Samudera dalam kajian yang kamu sebut tadi. Mungkin raja inilah yang dikatakan telah mengasaskan kerajaan Samudera tahun 1042? Mungkin apa yang sebenarnya berlaku adalah baginda telah kehilangan Perlak Baroh kepada Sultan Ibrahim Syah tetapi berjaya mempertahankan sedikit wilayah yang kebetulan mengandungi tapak pusat kerajaan Samudera akan datang? Atau baginda lari membuka negeri lain tetapi di tapak yang sama juga?”
“OK,” kata Nasri. “Logik juga telahan kamu ini... Tetapi bagaimana pula Sultan-sultan lain yang dikatakan memerintah Samudera sebelum Sultan Malikus Salih? Dari manakah mereka ini datang?”
“Well, mungkin mereka berasal daripada keturunan Mahmud Syah? Atau mereka adalah raja-raja dari keturunan lain yang datang mengambil-alih kekuasaan sepertimana Dinasti Makhdum pernah menggantikan Dinasti Sayyid untuk menguasai Perlak.” jawab Rasyid. “Mungkin dari satu keturunan yang asal-usulnya telah digelapkan?”
“Ah... Mungkin juga Nuruddin Sultan Al Kamil yang dikatakan memerintah Samudera sehingga tahun 1210 Masihi itu adalah gelaran bagi samada Raja Ahmad ataupun Raja Muhammad dalam Hikayat Raja-raja Pasai!” anak muda itu membuat ‘teori’ baru pula. Tiba-tiba dapat ilham... “Bukankah hikayat itu menyebut raja-raja ini berperang sehingga negeri mereka musnah dan mereka sendiri terkorban? Agaknya sebab itu, selepas tahun 1210 wilayah yang terbabit ini tidak mempunyai raja sampailah Sultan Malikus Salih muncul 50 tahun kemudian.” dia meneruskan ‘thesis’nya.
“Tetapi pada aku, ini tidak bermakna mereka adalah raja-raja yang memerintah Samudera,” baru Rasyid menekankan keyakinannya tentang asal-usul kerajaan itu. “Mungkin benar mereka telah menguasai wilayah yang sama tetapi semasa itu, ia dikenali dengan nama lain sepertimana Singapura dahulu pernah dikenali dengan nama Temasik. Walaupun Temasik mungkin memiliki raja-rajanya sendiri, hakikatnya Singapura tetap diasaskan oleh Sang Nila Utama kerana ia adalah nama yang diberikan baginda. Begitu juga asal-usul kerajaan Samudera... Bukankah Hikayat Raja-raja Pasai menyebut, nama Samudera ini muncul berdasarkan semut besar yang ditemui oleh Merah Silu atau Sultan Malikus Salih?”
“Lagipun jika kerajaan itu telah dikenali sebagai Samudera sebelum zaman Merah Silu, tentu wasiat Nabi mengenai kerajaan itu telah disempurnakan lebih awal lagi,” pemuda itu menambah. “Ia patut dilaksanakan sekurang-kurangnya pada zaman Sultan Al Kamil kerana ketika itu Mekah telah pun diperintah oleh Qitada (1201-1220) yang berasal dari keturunan Saidina Hassan. Mengapa perlu menunggu lama sehingga kemunculan Sultan Malikus Salih, selepas Mekah diperintah Muhammad Abu Numay (1254-1301)?” Rasyid menyimpulkan persoalan.

—————————
Wasiat Rasulullah SAW dalam Hikayat Raja-raja Pasai juga menyebut negeri Samudera mesti diIslamkan kerana di sana nanti ramai orang akan jadi wali. Jika ramai rakyatnya akan jadi wali, siapakah pula raja yang layak memerintah kalau baginda sendiri bukan raja bertaraf wali atau raja para wali? Bukankah pemimpin mesti lebih arif daripada yang dipimpin?
Selain ini, hikayat yang dianggap teks tertua Melayu Islam itu juga menyebut Nabi sendiri yang memberikan nama Sultan Malikus Salih yang bermakna Sultan dan raja kepada orang-orang salih. Walaupun ini berlaku dalam mimpi, tidakkah ia menunjukkan Merah Silu adalah seorang manusia yang berdarjat tinggi, baik sebagai pemerintah mahupun sebagai seorang Islam dan Mukmin sejati?

—————————

Seorang tua educated, memiliki Masters in Education daripada University of Harvard, sebuah univeristi terkemuka Amerika tetapi kemudian lebih selesa menjadi petani di sebuah kampung terpencil di Negeri Sembilan pernah memberitahu, raja bertaraf wali ini boleh diibaratkan seperti seorang Brahmin Hindu yang diangkat menjadi raja. Dalam sistem kasta Hindu, raja-raja biasanya berasal daripada golongan Kesatria yang juga mengandungi pahlawan, pendekar dan hulubalang sedangkan Brahmin yang merupakan golongan alim ulamak lebih mementingkan akhirat daripada dunia.
“Maka kasta Brahman ini adalah kasta yang tertinggi dalam hierarki agama Hindu, lebih setingkat daripada golongan Kesatria termasuk raja-rajanya kerana mereka lebih dekat kepada Sang Pencipta,” dia menambah. “Maka itu juga, seorang raja dari golongan Brahmin adalah lebih tinggi kedudukan dan tarafnya daripada seorang raja Kesatria, ibarat kelebihan seorang raja bertaraf wali ke atas raja-raja biasa, tidak kiralah berapa tinggi pun daulat raja itu.”
Kata pakcik itu lagi, adab seorang raja wali juga berbeza dengan raja biasa. Lebih dekat kepada cara Rasulullah SAW yang pada hakikatnya adalah raja segala raja walaupun penampilannya sekadar seperti seorang hamba.
“Raja biasa lebih menunjukkan kebesaran yang diringi berbagai perhiasan seperti sering dikaitkan dengan Iskandar Zulkarnain yang dikatakan moyang Raja-raja Melaka sedangkan seorang raja wali lebih mendekati kezuhudan, amat merendah diri dan sangat ringkas penampilannya walaupun peribadinya jauh lebih terserlah kerana keakrabannya dengan hadirat Ilahi.”
Sultan Malikus Salih yang mangkat tahun 1297 Masihi (ada yang menyebut 1292) telah mendirikan kerajaan Samudera kemudian Pasai untuk meneruskan perjuangan Rasulullah SAW, bukan untuk bermegah-megah. Baginda memakmurkan kerajaan dengan asas Iman dan Takwa, bermula daripada diri baginda sendiri sebagai Ulil Amri, pemerintah dan ulamak pewaris Nabi yang layak memerintah bumi para wali.
Maka itu tercatat di batu nesan baginda di makamnya di tapak pusat kerajaan Samudera, terjemahan dari bahasa Arab: “Ini kuburan almarhum yang diampuni, yang taqwa, yang menjadi penasihat, yang terkenal, yang berketurunan, yang mulia, yang kuat beribadat, penakluk yang bergelar Sultan Malik Al-Salih.” Sifat-sifat seperti inilah yang akan diwarisi anak-cucu baginda nanti, meneruskan perjuangannya menegakkan syiar Islam di muka bumi ini, perjuangan yang juga diwarisi dari Nabi...
Sebuah catatan menyebut, pengembara Arab, Ibnu Batuttah yang melawat Pasai sekitar tahun 1345 Masihi menggambarkan pemerintahnya Sultan Malikul Zahir sebagai seorang yang sangat soleh, pemurah dan rendah hati. Selalu memberi perhatian terhadap fakir miskin meski pun telah menaklukkan banyak kerajaan. Sikap ini ditunjukkan baginda apabila menyambut rombongan Ibnu Batuttah. Mereka dipersilakan duduk di atas hamparan sedangkan baginda sendiri duduk di atas tanah.
Seperti kata pepatah Melayu: Ular menyusur akar takkan hilang bisanya... Cucu Sultan Malikus Salih ini tidak merasa perlu dimuliakan walaupun baginda adalah seorang raja besar yang memerintah kerajaan Islam terulung di bumi Timur zaman itu.
Sultan Malikul Zahir juga dikatakan selalu pergi bersolat Jumaat berjalan kaki sedangkan Sultan-Sultan Melaka sering digambarkan pergi ke masjid menaiki gajah dengan segala macam pengiring, alat kebesaran dan kemegahan. Lalu Ibnu Batuttah yang juga seorang duta keSultanan Delhi mencatatkan Sultan Malikul Zahir sebagai seorang raja yang terkenal kerana kealimannya, sangat mengambil berat tentang perkara yang bersangkut-paut dengan Islam. Baginda dikatakan sangat arif dalam ilmu Fiqah, selalu mengadakan majlis agama bersama para pembesar dan rakyat jelata pada hari Jumaat. Istananya pula sering dikunjungi para alim-ulamak dan bijak pandai daripada seluruh pelusuk dunia Islam!

—————————
“Kemakmuran dan kesejahteraan Samudera Pasai telah diakui para sejarawan sejak awal lagi,” kata Rasyid dalam satu pertemuan dengan beberapa orang rakan lama di sebuah kedai makan di Sri Hartamas. “Pengembara dari Itali, Marco Polo mencatatkan beliau pernah sampai ke sana tahun 1292 Masihi, ketika Sultan Malikus Salih masih memerintah. Katanya, beliau dan ahli rombongan kapalnya yang telah berlepas dari negeri China sedang menunggu pertukaran angin untuk kembali ke Eropah. Lalu mereka terpaksa menetap beberapa bulan dan dalam tempoh itu, mereka telah dilayan dengan baik seperti sebuah keluarga Islam.”
Rakan-rakannya seronok mendengar cerita ini. Maklumlah ada cerita tentang seorang pengembara Mat Saleh yang terkenal di seluruh dunia...
Anak muda itu menambah. “Marco Polo juga menyatakan kemewahan kerajaan ini adalah hasil perniagaan lada hitam daripada ladang-ladang yang luas dicampur pungutan cukai daripada kapal-kapal yang berlabuh di situ, kebanyakannya datang untuk berniaga. Pentadbiran kerajaan pula berjalan lancar teratur dan aman, tidak terdapat pergaduhan dan kecurian.”
Nasri yang hadir sama terasa musykil. Macam ada yang tidak betul...
“Eh, Acid... Bukankah negeri yang Mat Saleh itu singgah adalah Perlak? Bukannya Pasai ataupun Samudera” dia menegur jujur...
“Bagaimana pula?” Rasyid bertanya balik. “Setahu aku, dia memang pergi ke Samudera. Bukankah ia adalah kerajaan utama di Sumatera? “
“Yakah?” Nasri tidak puas-hati. “Aku pun sudah kaji tentang ini, sudah meneliti beberapa kisah sejarah awal bumi Serambi Mekah. Banyak sumber menyatakan dia singgah ke Perlak, atau dalam catatannya Ferlec.”
Rasyid tersenyum mendengar ini. “Betullah apa yang kamu katakan itu. Aku tidak boleh hendak nafikan... Memang catatan perjalanannya menyebut dia singgah secara khusus di Perlak,” pemuda itu sedia mengaku. “Tetapi Marco Polo juga menyebut ada sekurang-kurangnya enam buah pelabuhan besar dan sibuk di Utara Sumatera selain Perlak, salah satunya, Samudera,” sambungnya. “Takkanlah pengembara ini boleh sampai ke sana tanpa singgah juga di Samudera? Lagipun, kalau dikaji balik, Perlak telah pun diserapkan ke bawah pemerintahan kerajaan Samudera Pasai sejak Sultan Malikus Salih memerintah, sebelum kedatangan Marco Polo lagi. Maka singgah di Perlak boleh dikira juga sebagai singgah di Samudera!”

—————————
Samudera Pasai juga diketahui pernah menjalinkan hubungan rapat dengan banyak kerajaan Islam termasuk beberapa buah kerajaan besar dari benua Hindi dan Timur Tengah. Sebagai seorang pengembara terkenal dan duta terhormat keSultanan Delhi, Ibnu Batuttah pernah beberapa kali menghadiri majlis-majlis kerajaan di istana Pasai selain majlis-majlis ilmu yang dipenuhi ulamak serata dunia. Maka itu dalam catatan-catatannya yang setanding dengan kisah pengembaraan Marco Polo, meliputi perjalanan dan persinggahan ke hampir seluruh dunia bertamadun zaman itu , beliau telah menyebut terdapat para pembesar dari Delhi dan Parsi menolong Sultan Malikul Zahir dalam pemerintahannya.
Ketika itu, kerajaan Samudera yang berpusat tidak jauh daripada pusat pemerintahan Pasai telah diserapkan ke bawah kekuasaan Sultan Malikul Zahir. Maka kerajaan itu juga dikenali sebagai Samudera Pasai, kemudian diringkaskan kepada Pasai...
Menurut sebuah riwayat, cucu Sultan Malikus Salih ini telah berkahwin dengan Puteri Chandana, anakanda seorang raja besar yang dikenali dengan nama Raja Chermin. Mengikut ceritanya, raja ini menguasai sebuah empayar lama yang mewarisi jajahan takluk kerajaan purba Langkasuka lalu merangkumi negeri-negeri Pattani, Kelantan dan Kedah!
Puteri ini pula adalah saudara kandung kepada Chek Siti Wan Kembang, pemerintah perempuan kerajaan lama Tanah Serendah Sekebun Bunga yang amat dibangga-banggakan rakyat Kelantan sampai sekarang sedangkan seorang lagi saudara mereka, Puteri Linang Cahaya telah berkahwin dengan seorang pendakwah terkenal, Sayyid Jamadil Kubra. Beliau adalah anakanda Sayyid Ahmad Syah Jalal, seorang gabenor keSultanan Delhi semasa zaman pemerintahan Dinasti Tughluq (1325-1551 Masihi).
Maka itu tidak dapat dinafikan, memang terdapat jalinan ikatan diplomatik juga pertalian kekeluargaan yang kuat di antara keSultanan Samudera Pasai dengan kerajaan-kerajaan tersebut. Dan tentunya mereka juga mempunyai hubungan dengan kerajaan Mekah dan Madinah yang dipimpin para Sharif... Kerana anak cucu Saidina Hassan inilah yang bertanggungjawab menjalankan wasiat Rasulullah SAW untuk mengIslamkan Samudera zaman Sultan Malikus Salih dahulu.

—————————
Sebagai biras Sultan sebuah kerajaan yang menjunjung tinggi syiar serta penyebaran Islam ke seluruh Nusantara, Rasyid percaya Sayyid Jamadil atau Jamaluddin Kubra yang dikenali sebagai pendakwah besar berketurunan Nabi tentu pernah singgah dan bermastautin di Pasai.
“Maka saudara-saudara seangkatannya seperti Sayyid Qamaruddin, Sayyid Majduddin dan Sayyid Thanauddin (yang menurut sesetengah pendapat adalah Adi Putera, guru Hang Tuah) juga pernah bertapak di bumi para wali itu sebelum bertebaran ke merata tempat,” pemuda itu memberi penerangan sambil menyanggah sedikit pendapat seorang anak Kelantan yang baru dikenalinya ketika singgah minum kopi di sebuah warung di Chow Kit. “Maka itu tidak hairanlah jika kerajaan Pasai yang mengandungi bumi Samudera terus dikerumuni ramai pendakwah termasuk para Ahlul Bait dan melahirkan ramai wali,” tambahnya lagi.
Ketika itu, hamba Allah dari Kota Bharu itu sedang giat memperbesar-besarkan sejarah negeri kelahirannya. Lalu terkeluarlah nama Sayyid Jamadil Kubra yang diketahui bakal menurunkan ramai pendakwah Ahlul Bait termasuk para Wali Songo, pelopor penyebaran Islam di Tanah Jawa, Mengikut ceritanya, Sayyid Jamadil juga menurunkan Sultan Qumbul Ali Nurul Alam yang dikatakan nama sebenar Perdana Menteri Majapahit atau Patih Gajah Mada. Pembesar ini sangat terkenal dalam sejarah sebagai orang yang bertanggungjawab meluaskan kekuasaan kerajaan Majapahit hingga meliputi hampir seluruh Nusantara. Ali Nurul Alam juga dikatakan moyang kepada Raja-raja Kelantan dan Pattani sampai sekarang. Mendengarkan cerita ini, Rasyid yang berada di sebelah pun mencelah lalu memusingkannya menjadi cerita kebesaran Aceh pula.
Hamba Allah itu kurang senang ceritanya diganggu tetapi dia terus terdiam apabila menyedari kawasan itu dikuasai para peniaga dari Aceh yang seronok mendengar kisah bumi Serambi Mekah. Lagipun apa yang dikatakan itu ada juga kebenarannya. Lalu dia terpaksa mendengar bagaimana Maulana Malik Ibrahim yang dicatatkan sebagai Wali Songo pertama diketahui memang berasal dari Pasai, begitu juga Sunan Gunung Jati atau Sharif Hidayatullah yang datang ke Pulau Jawa kemudian.
“Sunan Giri yang dilahirkan dan dibesarkan di Jawa pula adalah anakanda Maulana Ishaq yang berasal dari Pasai dengan seorang puteri Jawa. Malah ada riwayat menyatakan ayahandanya ini sebenarnya bekas Sultan Pasai yang turun takhta menjadi fakir!” pemuda itu menambah.
Rasyid juga menceritakan bagaimana Pasai yang telah terlebih dahulu menjadi pusat perdagangan seluruh Nusantara, juga payung agama Islam di bumi Timur telah menyerahkan peranannya kepada Melaka apabila kerajaan itu memeluk Islam. Ini kerana keSultanan Pasai dan Melaka mempunyai hubungan kekeluargaan melalui perkahwinan Sultan Megat Iskandar Shah yang memerintah Melaka sekitar tahun 1414 hingga 1423 Masihi dengan seorang puteri Raja Pasai.
Cuma peranannya sebagai pusat ilmu tidak boleh diganti. Kerana Pasai yang termasuk di dalamnya tanah asal Samudera adalah bumi para wali yang tidak ada galang ganti, tiada yang sepertinya di sebelah Timur ini...
“Sebab itu kitab Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu karangan Tun Sri Lanang menyebut Melaka akan bertanya ke Pasai setiap kali terdapat masalah mengenai agama yang tidak dapat ditanganinya,” kata anak kelahiran Muar, Johor itu lagi. “Sehingga diceritakan kitab Tasawuf bertajuk Darul Mazlum tulisan Maulana Abu Ishaq dari Tanah Arab yang telah dipermudahkan bahasanya dari bahasa zat ke bahasa sifat, kemudian ke bahasa af’al terpaksa dihantar ke Pasai untuk diertikan, barulah boleh difahami dan diajarkan untuk orang-orang Melaka.”
Anak Kelantan di sebelah terus terkunci mulut. Jika pada awalnya dia memang berniat mahu memperbesarkan negeri kelahirannya sebagai bumi Serambi Mekah yang asal, Rasyid pula menyatakan Kelantan cuma mendapat gelaran itu sejak muncul ulamak negeri itu yang terkenal iaitu Tok Kenali, hujung abad ke 19 Masihi. Sebaliknya Aceh telah beratus tahun, mungkin lebih seribu tahun (sejak zaman kerajaan Perlak) diakui sebagai bumi Serambi Mekah... Kalau dilihat pada peta pun memang Aceh lebih dekat ke Mekah! Setiap kapal yang mahu keluar melepasi Nusantara menghala ke Tanah Arab mesti melalui perairannya. Kalau dari Kelantan pula, mesti turun ke selatan melalui perairan Terengganu, Pahang dan Johor, kemudian baru membelok ke utara masuk ke Selat Melaka menyusuri Pulau Sumatera. Terpaksa juga melalui Aceh, baru boleh sampai ke laut lepas...
“Maka itu yang manakah sebenarnya Serambi Mekah... Aceh atau Kelantan? Atau kedua-duanya sekali kerana ada orang lama menyebut kedua bumi itu pernah bercantum menjadi sekeping tanah suatu masa dahulu?” Rasyid meninggalkan teka-teki sebelum berangkat pergi.

—————————
4 Oktober 2005 bersamaan 1 Ramadhan 1426 Hijrah. Badrul duduk di hadapan televisyen menunggu waktu berbuka puasa sambil menyelak helaian kitab versi moden Hikayat Raja-raja Pasai yang ditemuinya awal pagi tadi. Ketika itu, dia sedang mencari bahan bacaan untuk anak-anaknya di gedung buku Books Kinukuniya Suria KLCC. Sampai ke bahagian buku-buku berbahasa Melayu khusus untuk sastera dan agama, terjumpa pula beberapa cetakan baru kitab-kitab Melayu lama seperti Hikayat Merong Mahawangsa, Hikayat Aceh, Tuhfat al Nafis serta hikayat itu...
Pensyarah itu teringat pertemuannya dengan Rasyid dua minggu lepas. Dia pun tergerak untuk membaca wasiat Rasulullah SAW tentang Samudera lalu meneliti setiap perkataan yang tertera satu demi persatu.

Sepeninggal aku telah wafat kelak, akan muncul sebuah negeri di bawah angin, Samudera namanya. Apabila terdengar kamu nama negeri itu, maka suruhlah sebuah bahtera untuk membawa perkakas dan alat kerajaan ke negeri itu, serta kamu Islamkan sekalian isi negeri itu, serta ajar mereka mengucap dua kalimah syahadat. Kerana dalam negeri itu kelak banyak orang yang akan jadi wali Allah. Tetapi semasa kamu hendak pergi ke negeri itu, hendaklah kamu singgah mengambil seorang fakir di negeri Mengiri, bawalah fakir itu bersama-sama.

“Hmm.... Dahsyat juga kandungan wasiat ini,” fikirnya. “Dalam sungguh maknanya... Macam ada petunjuk tertentu tentang peristiwa akhir zaman nanti. Tetapi betulkah kata-kata ini pernah dituturkan Rasulullah SAW?”
Lama Badrul memerah otak memikirkannya. Tadi, dia telah membaca mukadimah buku yang menyatakan betapa bernilainya hikayat itu dalam dunia pemikiran Melayu. Pensyarah ini terfikir, jikalau kata-kata Nabi ini palsu, bagaimana pula ia boleh dikekalkan dalam penulisan yang dianggap sebagai teks sastera tertua bahasa Melayu? Boleh pula dikutip Bendahara Johor, Tun Sri Lanang untuk disertakan dalam kitab karangannya Sulalatus Salatin atau Sejarah Melayu... Kalau kata-kata ini adalah hadis yang dibuat-buat, kenapa tidak dilupuskan terus daripada kedua-dua buah kitab yang menjadi bahan rujukan utama sejarah Melayu lama? Kenapa dibiarkan terus ditelaah berjuta manusia dari dahulu sampailah sekarang? Sehingga muncul pula cetakan-cetakan moden daripada institusi-institusi berwibawa seperti Dewan Bahasa dan Pustaka, juga Yayasan Karyawan lalu boleh didapati di gedung-gedung besar buku seperti Books Kinokuniya?
Dalam pada itu, terngiang-ngiang pula nama Sultan Malikus Salih, orang yang dikatakan bertanggungjawab mengasaskan kerajaan Samudera. Sejak pertemuannya dengan Rasyid di Janda Baik dahulu, bekas ustaz ini tidak dapat melupakan nama itu, juga perbincangan mereka yang berjela-jela sehingga terkeluar nama tokoh-tokoh besar seperti Saidina Ali, Saidina Hassan, Saidina Hussein juga Sheikh Ismail dan Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani yang nampaknya amat disanjungi pemuda itu.
Tiba-tiba Badrul tersentak apabila nama Sultan itu dilaungkan di televisyen. “Eh... Betulkah apa yang aku dengar ini?” getus hatinya.
Rupa-rupanya ada sebuah rancangan sedang bercerita tentang Sultan Malikus Salih. Keluar pula beberapa footage, gambar-gambar rakaman yang berkenaan termasuk gambar makam Sultan itu di tapak pusat kerajaan Samudera dengan batu nesan Acehnya yang berkepak... Makam yang tidak disentuh ombak Tsunami yang melanda Aceh 26 Disember 2004.
“La... Program Jejak Rasul terbaru, Jejak Rasul ke-11, Sicupak dari Istanbul rupanya,” terpacul perkataan ini sambil dia menepuk dahi...
Baru pemegang ijazah doctorate dalam bidang comparative religion atau perbandingan agama dari London itu mendapat tahu kaitan di antara Sultan Malikus Salih dengan raja-raja lain yang pernah memerintah Aceh. Kaitan yang menyebabkan semua Raja-raja Aceh juga memiliki titisan darah Rasulullah SAW. Sekali lagi dia teringat pertemuannya dengan Rasyid, bagaimana pemuda itu begitu beriya-iya mahu membela kelebihan dan kepimpinan Ahlul Bait bagai ‘hendak rak’, sanggup berhujah tentang hadis-hadis Nabi yang digelapkan yang menurutnya disebabkan angkara pemerintahan Bani Umaiyah, kemudian Bani Abbasiyah yang membenci keturunan Rasulullah SAW. Semuanya dikemukakan rakan lama itu dengan penuh semangat semata-mata untuk menyokong kesahihan wasiat Nabi mengenai Samudera dalam Hikayat Raja-raja Pasai!
Ayah kepada lima orang anak itu juga teringat penerangan Rasyid tentang peranan Sharif Mekah dari keturunan Saidina Hassan, Sheikh Ismail dari keturunan Sultanul Awliya Sheikh Abdul Qadir Al-Jilani dan Fakir Muhammad dari keturunan Saidina Abu Bakar Al-Sidiq sebagai orang-orang yang bertanggungjawab melaksanakan wasiat Nabi dan menabalkan Sultan Malikus Salih... Bagaimana ini menunjukkan kaitan Sultan itu dengan Rasulullah SAW. Baru dia sedar betapa beratnya amanah yang dipikul mereka tidak kiralah jika wasiat itu bukan hadis Sahih...
Ah... Baru Badrul faham... Patutlah rakannya itu begitu bersemangat bercerita tentang semua ini. Patutlah anak muda itu ingin menulis buku berkaitan Aceh dan peristiwa-peristiwa perkaitan sehingga menjangkau kisah-kisah lama di sebalik pergolakan politik Islam jauh di Timur Tengah! Rupa-rupanya dia memiliki kaitan tersendiri dengan semua watak-watak tersebut, satu kaitan peribadi yang tidak dimiliki semua orang...
“Hmm... Sekarang, baru aku faham kenapa Rasyid begitu marah apabila mengenangkan segala penindasan yang pernah berlaku ke atas para Ahlul Bait anak cucu Nabi. Ini rupanya alirannya...”
Aliran apakah yang dimaksudkan bekas ustaz itu? Apakah hubungan sebenar Muhammad al-Aminul Rasyid dengan watak-watak tersebut? Kita ikuti nanti apabila cerita-cerita dalam buku “Berpetualang ke Aceh” ini berkembang meliputi banyak lagi kisah-kisah lama yang telah digelapkan atau dipinggirkan daripada sejarah rasmi... Termasuk kisah Malikul Mansur, pewaris takhta yang disisihkan. Teruskan membaca... Amin.

Samudera Pasai: Bumi para Wali (bahagian IV)

“Bercakap tentang keburukan Muawiyah bin Abu Sufyan ini perkara sensitif!” kata Badrul. “Bukankah sejarah rasmi mencatatkannya sebagai seorang sahabat? Bukankah umat Islam dilarang memburuk-burukkan para sahabat? Bukankah Nabi juga pernah bersabda sahabat-sahabatku ibarat bintang-bintang di langit, ikutlah yang mana satu, nescaya kamu tidak akan sesat? Lagipun dia pernah menjadi Khalifah seluruh umat Islam!”
Rasyid terdiam sejenak. Bukan mudah menyentuh isu mengenai pengasas keKhalifan Bani Umaiyah ini kerana ia adalah salah-satu perkara utama yang telah membuat umat Islam berpecah-belah menjadi dua golongan besar yang bertelagah, Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan Syiah.
“Sekarang aku pula hendak bertanya,” dia mengatur kata-kata. “Apakah seorang sahabat akan sanggup memerangi menantu dan sepupu Nabi iaitu Saidina Ali? Sanggup meletakkan lembaran ayat-ayat suci Al-Quran di hujung tombak ketika hampir kalah dalam Perang Siffin? Bagaimanakah manusia yang bertanggungjawab menjatuhkan cucu Nabi iaitu Saidina Hassan dari takhta keKhalifahan kemudian meracuni baginda hingga mati boleh dikatakan sahabat apalagi untuk dinyatakan sesetengah pihak sebagai seorang daripada 10 yang dijanjikan syurga? Jika dahulu, Abu Sufyan banyak menyusahkan Rasulullah SAW dan umat Islam di Mekah, apa kurangnya Muawiyah yang sentiasa memusuhi Saidina Ali serta keluarganya? Malah sikap Muawiyah lebih teruk lagi kerana dia melakukan semua ini selepas mengaku Islam! Apakah dia betul-betul ikhlas memeluk Islam atau dia setakat mengaku Islam selepas Fathul Mekah demi menyelamatkan kemudian menaikkan kaum kerabatnya Bani Umaiyah?”
Badrul pula terdiam panjang. Apa yang disebut rakannya memang diketahui ramai. Cuma dakwaan bahawa Muawiyah bertanggungjawab meracuni Saidina Hassan dan dia tidak jujur memeluk Islam sahaja yang boleh dipertikaikan kerana ini selalu dikemukakan para ulamak Syiah yang secara terang-terangan amat membenci Muawiyah dan Bani Umaiyah.
Sejarah rasmi Islam menyebut Muawiyah telah mempersoalkan pengangkatan Saidina Ali sebagai Khalifah, salah satunya dengan menyalahkan baginda kerana tidak mendedahkan orang-orang yang terlibat dalam pembunuhan Khalifah Saidina Uthman, seorang saudara rapat Muawiyah. Sejak itu dia sentiasa mencari jalan untuk menjatuhkan menantu Nabi ini sehingga terjadinya Perang Siffin yang menyaksikan lembaran ayat-ayat suci Al-Quran disangkutkan di hujung tombak.
Sebagai seorang pengkaji agama sehingga ke peringkat PhD, Badrul tentu tahu, selepas Saidina Ali mangkat kerana ditikam puak Khawarij ketika menunaikan solat di sebuah masjid di Kufah, Muawiyah memusuhi anakanda dan penggantinya pula, Saidina Hassan. Anak Abu Sufyan itu sanggup menggunakan kekuatan dan pengaruh politik sebagai Gabenor Damsyik serta harta kekayaannya untuk mempengaruhi orang ramai supaya menyokongnya sehingga berjaya menjatuhkan Saidina Hassan.
Sesetengah ulamak terutama dari golongan Syiah menyatakan orang ini juga bertanggungjawab mengupah salah seorang isteri Saidina Hassan untuk meracuni baginda sehingga mati! Cuma bekas ustaz itu tidak menyangka Rasyid yang dahulunya begitu westernised, kurang mengambil-tahu sejarah Islam, boleh menjadi begitu fanatik tentang semua ini.
Lebih memusykilkannya, kenapa rakan itu begitu marah apabila mengenangkan peristiwa Saidina Hassan melepaskan takhta keKhalifahan kepada Muawiyah? Bukankah baginda berbuat begini supaya umat Islam tidak terus berpecah-belah? Rasyid menyatakan Muawiyah telah diberi takhta dengan beberapa syarat, salah satunya supaya keKhalifahan diserahkan kembali kepada Saidina Hassan atau adindanya Saidina Hussein selepas tamat satu tempoh. Lalu dia menuduh anak Abu Sufyan ini mahu mengekalkan keKhalifahan dalam lingkungan keluarga dan kaum kerabatnya sehingga sanggup meracuni Saidina Hassan sampai mati. Kemudian mengisytiharkan anaknya Yazid sebagai putera mahkota pula. Memanglah ini terjadi tetapi kenapa Rasyid perlu marah-marah begini?
Badrul tidak hairan jika mana-mana umat Islam mengutuk dan membenci Yazid kerana putera Muawiyah itu memang dikenali sejarah rasmi Islam sebagai seorang kaki perempuan dan peminum arak yang memerintah kerajaan Islam dengan dasar kuku besi. Orang ini juga telah menggunakan kuasa dan kedudukan untuk meremehkan lagi anak cucu Nabi serta kaum kerabat mereka kaum Bani Hashim. Keadaan inilah yang menyebabkan Saidina Hussein serta sekitar 70 orang Ahlul Bait keluar mengangkat pedang untuk mempertahankan maruah keluarga serta menuntut keadilan untuk umat Islam. Mereka pun mati syahid di Karbala, dibunuh beribu orang tentera Yazid. Kepala baginda pula dipancung untuk dipersembahkan kepada putera Muawiyah itu! Peristiwa ini terus memecahkan umat Islam kepada dua kem besar sehingga terciptalah golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaah dan Syiah yang sering bertelagah sampailah sekarang...
Pada Badrul, Yazid memang layak menerima kutukan seluruh umat Islam. Tetapi apabila Rasyid juga menunjukkan kebenciannya terhadap hampir seluruh keturunan Muawiyah, anak muda kelahiran Keluang, Johor yang pernah menjadi guru agama sekolah menengah sebelum menyambung pengajian ke London ini mula merasa sangsi. Lebih-lebih lagi kerana Rasyid juga tidak senang hati dengan keKhalifahan Bani Abbasiyah walaupun mereka itu keturunan bapa saudara Nabi, Saidina Abbas!
“Jangan-jangan kawan aku ini sudah masuk Syiah tak?” Badrul tertanya-tanya dalam hati. “Bahaya ni... Hampir semua penganut Syiah mempertikaikan keKhalifahan Saidina Abu Bakar, Umar dan Uthman malah ada yang sanggup mengkafirkan mereka atas tuduhan para Khulafak al-Rasyidin ini telah merampas hak kepimpinan Saidina Ali. “
Bekas ustaz itu ada mendengar desas-desus bahawa kepercayaan Syiah sudah menular jauh di kalangan orang Melayu di Malaysia terutama golongan intelektual berpengajian tinggi. Tak mengapalah, dia memujuk diri... Kita dengar dan lihat dahulu bagaimana pemikiran Rasyid seterusnya.
“Kamu pun tahu bukan, selepas Yazid menggantikan Muawiyah, takhta keKhalifahan pun terus dipegang Bani Umaiyah dan pencapaian mereka diperbesar-besarkan pihak yang menyebelahi mereka sedangkan para Ahlul Bait keturunan Nabi terus dipinggirkan dan cerita-cerita keutamaan mereka digelapkan,” Rasyid terus mengemukakan pandangan.
Badrul mengangguk sahaja. Memang ada ulamak menyebut, selama pemerintahan mereka yang menjangkau hampir 100 tahun, kaum Bani Umaiyah telah menggunakan masjid-masjid di seluruh jajahan takluk empayar Islam untuk mengutuk dan memperkecilkan Ahlul Bait. Maka takkanlah mereka hendak membiarkan sesiapa menyiarkan hadis-hadis yang menyatakan kelebihan anak cucu Nabi, terutama dalam soal kepimpinan ummah? Orang yang ingkar boleh disiksa dan dibunuh sedangkan mereka yang memperbesar-besarkan Bani Umaiyah dan kelayakan mereka untuk memerintah pula akan diberikan ganjaran.
“Maka apalah hendak dihairankan jika Muawiyah dinyatakan sebagai seorang daripada 10 orang sahabat Nabi yang dijanjikan syurga? Padahal perbuatannya banyak menyalahi sifat ahli syurga, apalagi seorang sahabat Nabi,” kata Rasyid meluat. “Apalah hendak dimusykilkan jika terdapat hadis-hadis Rasulullah SAW yang sengaja digelapkan oleh Muawiyah dan keturunannya sehingga kewujudan hadis-hadis ini terus diragui umum?”
Sekali lagi Badrul mengangguk. Dia tahu fakta-fakta ini biasa dikemukakan para penganut Syiah atau penyokong Ahlul Bait. Lalu bekas ustaz itu terus memasang telinga untuk memastikan apakah rakannya sudah lari daripada akidah Ahlus Sunnah Wal Jamaah ataupun tidak...
“Sedangkan Abu Hurairah yang sering diperbesar-besarkan sebagai sahabat Rasulullah SAW yang paling banyak mengumpul hadis pun pernah mengisytiharkan dia ada mengumpul dua karung hadis. Satu disiarkan kepada orang ramai, satu lagi tidak. Kerana, katanya, jika disiarkan isi karung ini, lehernya akan dipancung.” Rasyid terus bercerita. “Ini ada disebut di dalam kitab Sahih Muslim dan Sahih Bukhari, dalam bab ilmu. Siapakah yang akan memancungnya? Muawiyah, anaknya Yazid atau mana-mana penguasa Bani Umaiyah yang amat membenci para Ahlul Bait?”
Anak muda itu berhenti sejenak mengambil nafas. Kemudian bertanya Badrul: “Pernah dengar tak cerita Muhammad Nafs al Zakiyah, cicit Saidina Hassan yang memberontak dengan sokongan orang-orang Bani Abbas? Sehingga mereka berjaya menjatuhkan Khalifah terakhir Bani Umaiyah iaitu Marwan sekitar tahun 132 Hijrah atau 750 Masihi?”
“Pernah,” jawab kawannya. “Muhammad telah dibai’at sebagai Khalifah seluruh umat Islam oleh para penyokongnya terutama para Ahlul Bait dan kaum Bani Abbas. Tetapi apabila pemerintahan Bani Umaiyah berjaya digulingkan, orang-orang Bani Abbas mungkir janji lalu mengangkat Abul Abbas Al Saffah pula sebagai Khalifah.”
“Bagus,” kata Rasyid. “Jadi kamu mesti tahu bagaimana Khalifah Bani Abbasiyah itu juga telah menafikan ketokohan dan hak anak cucu Rasulullah SAW lalu menekan Ahlul Bait dan para penyokong mereka sehingga sanggup membunuh entah berapa ramai orang, sehingga dia digelar Al-Saffah yang bermakna ‘orang yang menumpahkan darah’”
Badrul mengangguk bersetuju. Dia juga mempercayai cerita ini walaupun umum tidak mengetahuinya. Tidak ramai masyarakat Islam mengkaji lebih mendalam bagaimana keKhalifahan Bani Umaiyah telah digantikan dengan pemerintahan Bani Abbasiyah, apakah berlaku sebelumnya, kenapa ia terjadi, siapakah tokoh-tokoh yang terlibat dan sebagainya. Atau beberapa peristiwa berkaitan diketahui ramai tetapi dari sudut lain, misalnya pandangan para penganut Syiah. Apapun, penglibatan Muhammad Nafs al Zakiyah ada dicatitkan sesetengah sejarawan Islam walaupun kisah mengenainya banyak digelapkan atau dipinggirkan...
“Pengganti Abu Abbas al Saffah, iaitu Abu Ja’afar Al-Mansur juga meneruskan polisi yang sama meminggirkan serta berlaku kejam terhadap Ahlul Bait, “ Rasyid meneruskan. “Pada tahun 145 Hijrah, Muhammad Nafs al Zakiyah tidak dapat bersabar lagi lalu memberontak. Malangnya cicit Saidina Hassan ini gagal. Akibatnya baginda dan kaum kerabatnya ditangkap dan dibunuh. Lalu apalah hendak dihairankan jika Bani Abbasiyah juga menggelapkan hadis-hadis mengenai hak dan kelebihan anak cucu Nabi? Malah perbuatan mereka lebih dahsyat lagi kerana mereka juga berasal dari keturunan Bani Hashim. Dan pemerintahan mereka menjangkau 500 tahun, lima kali lebih lama daripada Bani Umaiyah!”
“Hmm...” Badrul tersenyum panjang. “Tidak sangka ya, boleh tahan juga pengetahuan kamu tentang sejarah Islam,” dia membuat pengakuan. Di samping itu, pensyarah itu juga lega kerana ternyata rakannya bukan seorang penganut Syiah atau terpengaruh dengan pandangan mereka yang menyimpang daripada pegangan golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Kerana para penganut Syiah selalunya sangat memperbesar-besarkan perjuangan jurai keturunan Saidina Hussein, jarang mahu menyebut peranan anak cucu Saidina Hassan dalam membela Islam sehingga meminggirkan langsung keturunan cucu sulung Nabi itu, seolah-olah mereka tidak wujud! Oleh itu tidak mungkin para penganut Syiah mahu mengakui ketokohan Muhammad Nafs Al-Zakkiyah yang hidup sezaman dengan Imam Ja’afar Al-Sadiq, seorang daripada 12 Imam Syiah yang dikira maksum.
Apa yang nyata pada bekas ustaz itu, Rasyid amat menganggung-anggungkan para Ahlul Bait, kaum keluarga anak cucu Rasulullah SAW. Selalunya orang yang suka berbuat begini berasal dari golongan Sayyid sedangkan setahunya, rakannya itu bukan bergelar Sayyid...
“Setahu aku, dahulu kamu tidak pernah berminat tentang sejarah Islam, lebih suka bercerita tentang sains, matematik dan falsafah. Kalau sebut tentang Islam pun, asyik keluar cerita Tasawuf aje! Tentang syair Jalaluddin Rumi, kupasan Ibnul Arabi dan sebagainya... Bagaimana pula kamu boleh meminati sejarah Islam sampai begini sekali?” Badrul cuba menduga.
Rasyid pula tersengih seperti kerang busuk. “Adalah sebabnya,” dia menjawab. “Satu hari nanti aku akan cerita, Insya’allah. Buat masa ini, aku cuma mahu meminta pendapat kamu tentang sebuah hadis Nabi yang nampaknya tidak wujud dalam mana-mana kitab yang diiktiraf ulamak. Sebab aku hendak gunakan dalam buku yang aku sedang tulis...”
“Wah... Kamu sedang menulis buku ya?” Badrul bertanya. Baru sekarang dia tahu... “If you don’t mind me asking, buku tentang apa itu?”
“Alah... Buku mengenai cerita-cerita lama dan sejarah berkaitan Aceh. Tak ada apalah sangat,” jawab Rasyid. “Tetapi sebelum itu aku mahu pastikan hujah aku mengenai kewujudan hadis-hadis yang sengaja digelapkan adalah kukuh, boleh diterima sekurang-kurangnya oleh mereka yang berfikiran terbuka dan sanggup mengkaji lebih jauh dan mendalam. Jika zaman Bani Umaiyah sendiri sudah cukup lama untuk menenggelamkan kebanyakan hadis-hadis yang menyentuh kelebihan titisan zuriat Nabi, berapakah agaknya yang tinggal apabila pemerintahan Bani Abbasiyah tamat abad ke 13 Masihi? Apalagi zaman sekarang selepas ramai umat Islam dipengaruhi fahaman Wahabi yang dipelopori ejen-ejen Barat yang memang tidak mahu kelebihan zat Rasulullah SAW diakui...”
Badrul tersentak seketika. Nampaknya jauh juga pandangan rakannya... Dia sudah lama tahu tentang kekuatan jangkauan pemikiran rakan lamanya itu tetapi berkenaan Islam? Ini sesuatu yang baru...
“Kalau sampai pun, hadis-hadis yang menyentuh peranan dan kelebihan keturunan Nabi sering diragukan sanad dan matannya,” Rasyid belum habis bercerita. “Senang-senang sahaja dituduh sebagai hadis-hadis Syiah yang bertentangan dengan fahaman Ahlus Sunnah Wal Jamaah. Padahal hadis-hadis ini banyak menyentuh nasib umat Islam akan datang, terutama tentang akhir zaman dan peranan kepimpinan Ahlu Bait untuk mengembalikan kedaulatan umat Islam!”
Suasana senyap seketika. Mungkin anak muda itu sudah puas meluahkan perasaan? Badrul pula mula sibuk memikirkan sesuatu. Tadi, dia terfikir rakannya ini mungkin seorang penganut Syiah tetapi nampaknya pemuda itu adalah seorang penyokong Ahlul Bait daripada aliran tertentu yang selari dengan pengajaran Imam Mazhab yang empat.
Sebagai seorang Melayu, Badrul yakin rakannya masih berpegang teguh dengan Mazhab Shafie, mazhab utama di Nusantara juga di Mekah sebelum kenaikan keluarga Bani Saud yang menerbitkan kerajaan Saudi Arabia. Tetapi gaya, pengetahuan serta pegangannya yang sangat kuat terhadap kelebihan anak cucu Rasulullah SAW menunjukkan dia ada mengamalkan pelajaran daripada satu aliran yang lebih mendalam. Aliran apakah agaknya ya? Mungkin satu aliran Tasawuf, satu bentuk tariqat tertentu kerana dia sudah lama tahu Rasyid cenderung ke arah itu?
Rasa ingin tahu Badrul semakin memuncak. Tetapi dia tidak mahu berterus-terang, takut juga menyinggung perasaan rakan lamanya. Atau mungkin pemuda itu mahu merahsiakan pegangannya, tidak akan mendedahkannya kepada sesiapa? Tak mengapa, kita cuba duga lagi pemikirannya... Ah... Tentang hadis Nabi yang mahu dibincangkannya... Mungkin di situ ada satu petunjuk yang akan mendedahkan aliran pemikiran sebenarnya, apakah fahaman yang dianutinya...
Lalu Badrul pun bertanya: “Apakah dia hadis yang kamu hendak ketengahkan dalam buku kamu itu? Sehingga kamu sanggup bercerita panjang lebar berliku-liku dengan aku, sanggup pula menjadi pengkaji sejarah Islam tidak rasmi mengorek pelbagai kisah yang jarang diketahui orang termasuk cerita Muhammad Nafs al Zakiyah demi mencari hujah sokongan? Kamu kata buku itu adalah mengenai cerita-cerita lama dan sejarah berkaitan Aceh. Apa pula kena mengenanya dengan hadis Nabi?”
Rasyid tersenyum pendek lalu menghulurkan senaskah kitab Hikayat Raja-raja Pasai sambil membuka halaman yang mengandungi wasiat Rasulullah SAW. “Kamu tengok ini... Lihat betul-betul. Jangan terperanjat pula mendengarnya! Nabi bersabda akhir zaman nanti akan muncul negeri bernama Samudera lalu berpesan, hantarlah orang ke sana dan Islamkan penduduknya kerana di situ akan muncul ramai wali Allah.”
Kawannya pun meneliti wasiat itu. Mukanya berkerut-kerut seperti berat memikirkan sesuatu, cuba menyelami kembali ingatan tentang hadis-hadis yang diketahui. “Hmm... Pelik! Aku tidak pernah terjumpa hadis atau mana-mana kata Nabi sebegini dalam mana-mana kitab mahupun secara lisan daripada mana-mana pihak. Tak tahulah jika ada kitab ulamak muktabar yang aku miss... Bagaimana pula boleh ada di sini?”
“Itulah yang aku musykil semasa mula-mula melihatnya,” jawab rakan itu jujur. “Bukan kamu seorang sahaja terasa pelik. Dan aku juga pernah meneliti sumber-sumber hadis yang diakui umum seperti kitab Sahib Bukhari, Muslim dan Tirmidzi. Memang tidak berjumpa wasiat ini.”
“Habis itu negeri Samudera ini di mana? Badrul bertanya pula.
“Hah... Itulah yang aku lebih musykil.” jawab Rasyid. “Sebab ia terletak di bumi Serambi Mekah, dalam wilayah Aceh sekarang!”

—————————
“Kaedah mengkaji hadis yang diguna-pakai semenjak proses pengumpulan rasminya bermula semasa zaman pemerintahan Khalifah Umar ibnu Aziz sendiri cenderung untuk menghukum hanya hadis-hadis yang diutarakan ramai perawi tertentu sahaja boleh diterima sebagai sahih,” Rasyid meneruskan hujah. “Selalunya ini merupakan kata-kata baginda yang disuarakan di hadapan ramai. Maka itu ramailah periwayatnya, senanglah dipastikan kesahihannya. Sesuatu hadis itu boleh dikira sahih hanya selepas isinya disahkan serupa walaupun datang daripada beberapa sumber yang berlainan, berbagai periwayat yang dapat dikesan dari manakah mereka mendengar hadis ini dan dapat pula disahkan setiap periwayat sebagai orang yang layak dipercayai serta kuat ingatan.”
Pemuda itu memandang Badrul serius. “Sekarang, bagaimanakah kalau hadis, sabda atau wasiat itu cuma disampaikan kepada orang tertentu sahaja? Seperti menantu baginda Saidina Ali, puteri baginda Fatimah Az-Zahrah, dan cucu-cucu baginda Saidina Hassan dan Saidina Hussein? Bukannya semua pertuturan Nabi disaksikan ramai. Maka itu apakah tidak mungkin, hadis mengenai kemunculan negeri Samudera ini cuma berlegar di dalam lingkungan keluarga sahaja, maka sebab itulah ia tidak wujud dalam Sahih Bukhari, Sahih Muslim atau mana-mana koleksi rasmi hadis?”
Badrul termenung serius lalu menarik nafas panjang. “Bahaya ni,” dia menjawab berhati-hati. “Perkara ini tidak boleh dibuat main-main, tidak boleh tersilap cakap... Walaupun hujah kamu memang masuk akal, kamu masih tidak boleh mengenepikan cara dan kaedah yang telah berkurun-kurun diguna-pakai ulamak untuk menentukan kesahihan sesuatu hadis,” bekas ustaz itu menambah.”Sekurang-kurangnya kamu mesti berhujah menurut kaedah yang diterima umum untuk mengelakkan fitnah. Kalau tidak senang-senang sahaja orang boleh mereka-reka hadis palsu kemudian mengaku ia termasuk dalam hadis-hadis yang telah digelapkan.”
Bekas ustaz inipun menyenaraikan jenis-jenis hadis seperti yang tersebut dalam kitab . “Pertama sekali hadis Marfu’,” katanya. “Hadis yang diriwayatkan daripada Rasulullah SAW oleh seorang perawi kepada perawi yang lain sampai kepada ulamak bertauliah yang diiktiraf ramai seperti Bukhari, Muslim, Ahmad dan Abu Daud. Hadis yang sanadnya sampai kepada Nabi tanpa putus pula dinamakan Maushul atau Mut-tashilus-sana. Contohnya apabila ulamak berkata Imam Tirmidzi washalkan hadis itu, ertinya beliau bawakan dengan sanad yang tidak putus.”
“Kemudian ada pula hadis Mauquf iaitu fatwa sahabat atau anggapan mereka sendiri yang diriwayatkan mereka tetapi tidak sampai kepada Nabi. Ada hadis Mursal iaitu apabila seorang tabi’in yang tentunya tidak pernah bertemu Nabi kerana hidup selepas kewafatan baginda meriwayatkan kata-kata Rasulullah SAW melalui perantaraan sahabat yang ditemuinya.”
Badrul berhenti sejenak untuk berfikir. Ilmu pengkajian hadis ini ada banyak pecahannya dan boleh dilihat daripada pelbagai sudut, bergantung kepada pendapat dan kajian ulamak mana yang dipegang atau sekadar menerima mana yang disepakati umum. Kalau hendak diceritakan semuanya memang panjang, paling kurang beberapa hari baru selesai!
Setelah memikirkan cara pintas terbaik untuk menerangkan, baru dia menyambung: “Ada banyak lagi jenis hadis yang dikategorikan para ulamak. Ada hadis Mudallas, Maqthu’, Munqathi, Mu’allaq dan berbagai-bagai lagi... Tetapi sebelum zaman Imam Tirmidzi, hadis-hadis Nabi umumnya cuma terbahagi kepada dua sahaja iaitu hadis Sahih dan hadis Dhaif, hadis-hadis yang boleh dipegang kerana kesahihannya lawan hadis-hadis yang boleh diragukan kerana memiliki kecacatan.”
Ya... Penerangan begini lebih senang. “Seperti diketahui umum, setiap hadis Sahih diterima tanpa ragu-ragu lagi kerana memenuhi syarat-syarat berikut – setiap perawinya dikenali bukan pendusta, tidak pernah dituduh pendusta, diketahui tidak fasiq, bukan ahli bida’ah, kuat hafalannya dan dikenali sekurang-kurangnya oleh dua orang ahli hadis sezamannya. Dan sesuatu hadis Sahih itu datang pula daripada berbagai sumber, kemudian urutan perawi ke perawinya adalah jelas, tidak berlawanan dengan mana-mana hadis Sahih lain dan tidak bertentangan dengan isi-isi Al-Quran. Tetapi syarat-syarat ini agak ketat dan boleh menyebabkan kebanyakan hadis yang telah dikumpulkan daripada pelbagai sumber dibuang begitu sahaja,” Badrul memberitahu. “Maka Imam Tirmidzi yang hidup sekitar 2 abad selepas Nabi wafat menambah sebuah lagi kategori iaitu Hadis Hassan. Hadis ini memenuhi beberapa syarat hadis Sahih kecuali dalam satu atau dua perkara, misalnya urutan perawi kurang jelas. Sejak itu, ulamak-ulamak lain pun mula mengupas hadis-hadis yang selama ini dianggap Dhaif,” bekas penuntut Universiti Al-Azhar itu mendedahkan. “Maka muncullah kategori-kategori tambahan seperti hadis Ahad yang boleh dipecah kepada tiga jenis iaitu hadis Gharib yang cuma mempunyai satu sanad atau rantaian perawi, Aziz (dua sanad) dan Masyhur (tiga sanad).”
Rasyid ‘menelan’ setiap maklumat yang diberi dengan teliti. Walaupun sejarah, kaedah pengumpulan serta proses mengkategorikan hadis yang disebut Badrul telah diringkaskan menjadi beberapa mukasurat buku sahaja, ia cukup padat untuk mencakupi seluruh kaedah yang diguna-pakai ulamak dari dahulu sampailah sekarang. Tetapi selain untuk menjimatkan masa dan meringkaskan penerangan, pemuda itu merasakan ada sebab lain rakannya sengaja memilih untuk bercerita begitu. Rasanya dia sudah dapat menangkap ke mana perbincangan ini ingin dibawanya... Bekas ustaz itu mahu mengingatkan jangan bercerita sembarangan tentang hadis atau apa-apa bentuk perkataan Nabi. Walaupun ia pernah muncul dalam kitab-kitab Melayu lama seperti Hikayat Raja-raja Pasai dan Sejarah Melayu, seperti wasiat tentang Samudera yang dikemukakan tadi...
“Imam Bukhari sendiri telah mengkaji 600,000 hadis dalam tempoh 16 tahun dan menghafal 15,000 semasa remaja lagi,” Badrul memberi contoh. “Itupun disaringnya lagi dan lagi sehingga tinggal beberapa ribu sahaja, barulah boleh menjadi kitab Sahih Bukhari. Dan dia menyaring bukan setakat memakai kepandaian akal fikiran semata, harus selalu Solat Istikharah memohon petunjuk daripada Allah Subhanuwata’ala.”
Ah... Betullah telahannya. Kalau sudah menyebut bagaimana telitinya Imam Bukhari memilih hadis, terang lagi bersuluhlah ini semuanya satu peringatan. Kedua-dua rakan lama itupun saling pandang-memandang seolah-olah hendak menduga pemikiran lawan. Kalau dibiarkan terus begini, mahu mereka bertelagah pula... Syaitan memang suka mengambil peluang melaga-lagakan manusia lebih-lebih lagi apabila suasana hangat...
“Kita minum dulu,” tiba-tiba Rasyid memotong dengan gaya kanak-kanak dalam iklan susu tin di televisyen. Kebetulan pula isteri Badrul yang menghilang ke dapur sepanjang perbincangan tadi telah siap menyediakan kopi pekat Cap Gajah dengan sedikit juadah untuk makan petang.
Tuan rumah pun mempersilakan tetamu menjamu selera. Elok juga mengisi perut setelah lama berbincang serius. Mereka beralih dari serambi rumah ke meja makan. Senyap tanpa kata, setakat terdengar bunyi orang mengunyah dan air dihirup. Sesekali, terdengar jeritan riang anak-anak Badrul seronok bermain di belakang. Selesai menjamu selera, baru Rasyid teringat, dia belum bersolat Asar. Badrul pun terlupa juga sebab tadi dok asyik berhujah... Mereka pun mengambil wuduk lalu solat berjemaah. Kemudian baru kembali ke serambi menyambung balik perbincangan.
“Eh, Badrul! Aku ada satu soalan,” Rasyid membuka kata-kata. “Tapi aku harap kamu jangan marah kalau aku bertanya...”
“La... Kamu ni, apasal pula aku nak marah?” Badrul menjawab lalu ketawa kecil. “Kita kan kawan lama. Apalagi, shoot... Go on...”
“Betul kamu takkan marah?” kawan itu meminta kepastian.
“Hish kamu ni... Tanya sajalah...”
“OK! Kalau kamu tahu kamu dah nak mati esok, mana tahu dapat alamat atau kamu sudah terlalu nazak... Apakah yang kamu akan pesan kepada anak-anak dan isteri kamu?” Rasyid mengubah topik.
Kawannya kelihatan hairan. Seperti ada tanda-soal besar di atas kepala. Apahal pula ini? Tiba-tiba sahaja bertanyakan soalan tentang mati?
“Bukan apa,” pemuda itu menyambung. “Saja-saja bercerita. Kita kan kawan lama? Lagipun inikan realiti kehidupan? Setiap yang hidup pasti akan merasai mati. Itu sudah pasti! Ada kaitan dengan agama juga...”
Badrul terdiam sejenak. Memanglah mereka kawan lama, sudah lebih 10 tahun mengenali diri masing-masing walaupun jarang berjumpa sejak beberapa tahun kebelakangan. Tetapi pertanyaan itu agak pelik bagi sesiapa pun walau ahli keluarga sendiri. Mesti ada apa-apa ni... Ada udang di sebalik mee bandung Muar kot... Tak mengapa, biar kita lihat ke mana dia mahu menuju dengan soalan sebegini...
Pensyarah pengajian ilmu wahyu itupun bersuara: “Biasa-biasalah, jaga diri baik-baik, jangan tinggalkan solat, benda-benda begitu. Macam orang lain juga... Tak ada apa-apa yang luarbiasa...”
“Selain dari itu?” Rasyid bertanya lagi.
“Lain bagaimana pula?” kawannya bertanya balik.
“Yalah, rumah, tanah, harta-benda, duit simpanan kamu, KWSP. Takkanlah kamu nak harapkan Amanah Raya, harap hukum fara’id saja? Bukan senang mahu memecahkan harta peninggalan...”
“Eh, kamu ini tanya bukan-bukanlah. Aku belum fikir ini lagi...”
“Let’s regard this as a hypothetical question. Anggap yang ia tetap akan berlaku juga suatu hari nanti. Lagipun mati itu pasti.... At least for argument’s sake, untuk perbincangan terbuka antara kawan. Apa akan kamu buat?”
Lama Badrul berfikir. Bukan setakat berkerut, sampai terherot-berot kulit dahinya. “Hmm... Betul juga cakap kamu tu,” baru dia menjawab. “Sekurang-kurangnya aku kena standby wasiat juga. Supaya tidak wujud pergaduhan anak-beranak, tidaklah menjadi masalah nanti...”
“OK...” kata Rasyid. “Sekarang bayangkan kalau kamu ada sesuatu hajat ataupun nazar yang tertunda. Misalnya jika kamu ada rezeki lebih, kamu berjanji mahu mendirikan sebuah masjid baru di sebuah kampung yang terpencil. Atau mungkin kamu ada sesuatu pelaburan yang boleh digunakan untuk membina masjid itu tetapi hasilnya cuma akan matang 10 tahun lagi. Mungkin kamu tidak akan sempat menunaikannya... Adakah kamu akan sampaikan hajat atau nazar ini sebagai wasiat juga?”
Kawannya berfikir lagi. Kali ini jawabannya cepat: “Kalau begitu, aku mestilah beritahu orang. Supaya ada yang dapat menunaikan hajat itu.”
Rasyid tersenyum lebar. Nampaknya dia sudah merancang soalan-soalan ini. He’s on to something, kata Orang Putih. Memang ada arah tertentu yang hendak dituju. Lalu dia bertanya lagi: “Habis tu, apakah kamu akan menceritakan hajat kamu kepada semua orang? Untuk memastikan semua orang tahu supaya tidak akan ada pihak yang terlupa?”
Badrul terus menjawab: “Tentulah tidak. Sebab ini perkara private, agak peribadi. Takkanlah aku hendak beritahu satu dunia? Orang lain apa kena-mengena? Setakat beritahu keluarga terdekat sahaja sudahlah. Sekurang-kurangnya aku akan amanahkan kepada anak lelaki yang sulung kerana dia adalah pewaris keluarga...” Tiba-tiba dia terhenti sejenak lalu memandang kawannya. “Wait a minute... Ini ada udang di sebalik mee nampaknya ni,” dia bertanya pula. “Kamu hendak kenakan aku ya?”
“Ha! Ha! Ha!” Rasyid tergelak. “Memanglah ada udang di sebalik mee kari... Tetapi aku bukan hendak mengenakan kamu,” dia menyambung. “Aku cuma hendak ajak kamu berfikir lebih jauh, itu sahaja... Bukan semua yang perkara kita mesti beritahu semua orang lebih-lebih lagi hal-hal peribadi, masalah keluarga dan perkara-perkara rahsia. Begitu juga wasiat Rasulullah SAW dalam Hikayat Raja-raja Pasai,” baru anak muda itu membuka tujuan sebenarnya. “Sabda Nabi itu bukannya untuk semua orang... Bukannya maslahat umum yang mesti disampaikan kepada semua lapisan masyarakat atau setiap penganut Islam untuk dijadikan hadis, baik Sahih, Hassan, Ahad atau apa-apa sahaja jenis hadis. Cuma berkisar di dalam keluarga sahaja, malah dirahsiakan pula daripada orang lain.”
“Lagipun, namanya pun wasiat,” tambah Rasyid lagi. “Hikayat Raja-raja Pasai pun tidak pernah menyebutnya sebagai hadis walaupun hakikatnya wasiat atau sabda Nabi itu juga adalah hadis juga kerana ia merupakan kata-kata yang keluar daripada mulut baginda sendiri.”
Badrul cuma menggeleng-gelengkan kepala. Rupa-rupanya rakannya masih mahukan pensyarah itu menyokong pandangannya.
Rasyid tetap mempercayai kewujudan wasiat Nabi mengenai Samudera, tidak kira apapun alasan dan hujah yang dikemukakan untuk mempertikaikannya. Lalu dia mahu menguatkan lagi isi buku yang sedang ditulisnya menggunakan pengakuan Badrul pula. Maklumlah bekas ustaz itu memiliki kelayakan tinggi dalam bidang agama, bukan sepertinya, tidak ada apa-apa tauliah untuk bercakap tentang agama tidak kiralah betapa luas pun ilmu pengetahuannya, berapa jauh dia sudah mengkaji, apakah yang pernah dialaminya selama ini... Lebih kuat lagilah isi bukunya nanti kalau pensyarah itu sedia memberikan sokongan ataupun endorsement....
“Sukahati kamulah hendak tulis bagaimana,” akhirnya Badrul menjawab. “Apa hal pun, aku sudah beri warning awal-awal. Perkara-perkara yang melibatkan hadis ini jangan dibuat sembarangan tidak kiralah apapun alasan yang kamu miliki. Kalau terjadi apa-apa masalah nanti pandai-pandailah kamu jawab sendiri. Aku tak mahu masuk campur...”

Samudera Pasai: Bumi para Wali (bahagian III)

Tiba-tiba Rasyid teringat seorang kawan lamanya Badrul, graduan sarjana muda Usuluddin daripada Universiti Al-Azhar, Mesir yang pernah melanjutkan pengajian peringkat sarjana dan doctorate di School of Oriental, African and Slovanic Studies (SOAS), London dalam bidang Comparative Religion, ilmu perbandingan agama. Bekas pelajar Kolej Islam Kelang ini memiliki pengetahuan yang mendalam tentang berbagai cabang ilmu agama termasuk sejarah awal penyebaran Islam serta berbagai cabang pengajian Tasawuf dan tariqat-tariqat yang terlibat. Tetapi tidak seperti sesetengah ustaz dan para penuntut pengajian formal agama, beliau mempunyai pandangan yang luas tentang konsep keagamaan, lebih tepat Ad-Din atau cara hidup... Kerana Badrul percaya terdapat kebenaran di sebalik setiap agama yang pernah wujud di muka bumi ini, disebabkan semuanya berasal daripada agama Tauhid yang dibawa para Rasul terdahulu walaupun banyak yang telah diselewengkan para penganut kemudian.
Seperti Rasyid, rakan yang telah melepasi umur 40an inipun agak adventurous, boleh tahan kuat mengembara. Pernah mengikuti beberapa orang rakyat Mesir dan Itali menaiki kapal layar menyeberangi Laut Mediterranean dari Iskandariah di Mesir lalu menziarahi beberapa negara persisiran Eropah seperti Greece, Italy dan selatan Peranchis. Sebab itu Badrul sanggup ke London untuk mengkaji agama Kristian, Yahudi malah Buddha dan Hindu untuk dibandingkan dengan Islam. Dan sebab itu juga kawan itu amat sesuai untuk dibawa berbincang tentang kewujudan wasiat Nabi mengenai Samudera. Ya... Badrul mesti dicari...
“Seperti yang diketahui ramai dalam sejarah rasmi Islam, proses pengumpulan hadis dimulakan semasa zaman pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz, lebih 80 tahun selepas Rasulullah SAW wafat,” Badrul menjawab pertanyaan rakannya tentang sejarah pengumpulan hadis dalam satu pertemuan di rumah rehatnya di Kampung Janda Baik, Pahang. “Sahih Bukhari dan Sahih Muslim yang menjadi pegangan umum sehingga sekarang pula muncul 200 tahun selepas baginda wafat. Begitu juga kitab-kitab hadis lain yang terkenal karangan Imam Tirmidzi, Abu Daud, Al-Nasai dan Ibnu Majah, kerana mereka semua hidup sezaman.”
Rasyid tersenyum senang kemudian mencelah: “Aku pun tahu tentang ini. Masyarakat umum diajar bahawa pengumpulan hadis ini berlaku kerana kematian para sahabat yang menghafal hadis, samada kerana perang atau sebab-sebab lain. Maka sudah sepatutnyalah ia dilakukan kerana hadis Nabi adalah sumber pedoman dan hukum-hakam Islam selain Al-Quran.”
Lulusan sarjana muda Matematik daripada University College of London itu telah membuat sedikit kajian mengenai sejarah hadis. Seperti kebanyakan orang, dia juga pernah terperanjat apabila terbaca wasiat Nabi mengenai Samudera yang muncul dalam kitab Hikayat Raja-raja Pasai. Lalu anak muda itu telah menghabiskan banyak masa dan tenaga untuk mengesahkan kewujudan wasiat itu dari sumber-sumber lain termasuk kitab Sahih Bukhari, Tirmidzi dan Muslim. Kebetulan pula kajiannya mengenai sejarah bumi Serambi Mekah menunjukkan kaitan yang mendalam di antara kerajaan-kerajaan di situ dengan pergolakan politik Islam di Timur Tengah. Maka Rasyid juga terbawa untuk mengkaji sejarah awal perkembangan Islam di samping menerokai asal-usul pecahan-pecahan mazhab baik dari golongan Ahlus Sunnah Wal Jamaah mahupun Syiah. Cuma tidak seperti Dr. Badrul (PhD), dia tidak memiliki apa-apa bentuk tauliah untuk mengemukakan pengetahuannya tentang agama.
Rasyid cuba menduga keadaan. “Tetapi berapa ramaikah umat Islam yang sedar bahawa kebencian Bani Umaiyah yang memerintah ummah selama hampir 100 tahun terhadap anak cucu Nabi telah menyebabkan banyak kata-kata baginda digelapkan?” dia membuka langkah. “Berapa ramaikah yang tahu kebencian ini wujud kerana faktor politik, disebabkan persaingan untuk memimpin kaum Arab, seterusnya umat Islam di antara dua puak bangsawan Quraish iaitu Bani Umaiyah dengan Bani Hashim yang mengandungi kaum kerabat Rasulullah SAW?”
Badrul, bekas ustaz yang kini menjadi pensyarah pengajian ilmu wahyu di sebuah universiti terkemuka tempatan pula tersenyum mendengar semua ini. Sedar kawan yang mula dikenalinya di kedai buku Dillon’s di London 10 tahun lalu masih seperti dahulu, passionate. Begitu bersemangat apabila mengemukakan hujah, tidak kira dalam bidang apa jua. Kebetulan cawangan terbesar rangkaian kedai buku ini terletak di antara universiti-universiti mereka dan kebetulan juga kedua-dua anak Malaysia itu rajin membaca. Maka sejak itu mereka sering terserempak dan bertukar cerita.
Rasyid belum puas menduga. “Kata-kata Nabi yang menyentuh keutamaan para Ahlul Bait keturunan baginda termasuk hadis-hadis tentang kelebihan menantu baginda Saidina Ali Karamallahuwajha turut digelapkan kaum Bani Abbasiyah yang berasal dari Bani Hashim juga, keturunan bapa saudara Nabi, Saidina Abbas,” dia menambah.”Malah mereka berjaya merampas takhta keKhalifahan daripada Bani Umaiyah dengan menggunakan nama Ahlul Bait, kononnya untuk mengangkat anak cucu Rasulullah SAW sebagai pemimpin tetapi akhir berlaku khianat!”
Sekali lagi Badrul tersenyum. Nampaknya rakan lamanya itu adalah penyokong kuat kepimpinan Ahlul Bait, tidak pasti pula sejak bila... Lalu dia menegur: “Aku rasa aku tahu apa yang kamu ingin kemukakan, where are you going. Kerana aku juga tahu cerita-cerita mengenai kebencian Bani Umaiyah terhadap Bani Hasyim ini. Tetapi kamu harus bijak, be wise bila bercakap tentang semua ini kerana ia adalah perkara sensitif! Lebih-lebih lagi kamu juga menyalahkan Bani Abbasiyah apabila bercakap tentang keturunan Nabi dipinggirkan dari kekuasaan. Kalau tidak, aku takut orang akan tuduh kamu ini penganut Syiah... Senang-senang sahaja orang boleh kata kamu sesat, boleh diambil tindakan oleh Jabatan Agama Islam!”
Dalam pada itu, bekas ustaz ini beristighfar panjang. Rasyid... Rasyid... Masih terlalu berani meluahkan isi hatinya sesedap rasa. Seperti tidak pernah mengukur bagaimanakah penerimaan orang lain nanti terhadap kata-katanya yang seringkali pedas mencabar sensitiviti, tidak sedar perangainya boleh menyusahkan diri sendiri. Rasyid terlalu asyik dengan dunianya sendiri sehingga situasi yang dikira merbahaya oleh orang lain pun kadangkala dirasakannya kelakar pula. Lalu Badrul teringat Leicester Square di London, sebuah dataran seperti Dataran Merdeka di Kuala Lumpur tetapi kecil sedikit dengan taman bunga yang dibuka siang hari, di kelilingi restoran dan pusat hiburan yang hidup sampai ke awal pagi...
Selain penuh dengan aksi pelbagai ragam manusia termasuk para penghibur jalanan yang pakar bermain alatan muzik juga orang bermain api dan sebagainya, dataran yang sering sarat dengan pelancong dan warga kota kebanggaan Inggeris itu juga berperanan sebagai tempat pengikut pelbagai agama dan fahaman bertukar-tukar pendapat dan bertikam-lidah.
Walaupun kota London mempunyai sudut bercakap khas atau Speaker’s Corner di Hyde Park yang diwujudkan semata-mata untuk sesiapa sahaja yang berani berucap di khalayak ramai membuka apa-apa topik yang boleh menarik perhatian umum, Leicester Square memiliki tarikan tersendiri untuk mereka yang dahagakan perbincangan-perbincangan intelektual. Tidak seperti Speaker’s Corner yang cuma dibuka siang Ahad, perbincangan di sana boleh berlaku bila-bila masa... Maka apabila berpeluang, tidak ada apa-apa assignment ataupun urusan, bekas ustaz itu akan ke sana terutama pada waktu malam untuk mengikuti perbincangan-perbincangan yang diadakan.
Selain menambah ilmu pengetahuan, Badrul juga dapat menghilangkan penat-lelah dengan berbagai hiburan percuma di samping melihat kerenah manusia. Di sana juga dia selalu terserempak dengan Rasyid yang suka melepak atau menyelit sama mengemukakan pendapat... Termasuk regular faces, muka-muka yang selalu kelihatan adalah beberapa orang pemuda Kristian, Orang Putih dan Negro yang suka berbalas hujah dengan beberapa orang pemuda Islam berketurunan Pakistan dan Timur Tengah hampir setiap malam. Seringkali perbincangan mereka menjadi begitu hangat apabila masing-masing begitu bersemangat mempertahankan fahaman yang dianuti dengan hujah-hujah daripada kitab Bible dan Al-Quran. Sangat hangat mencabar kelakian sehingga adakalanya terkeluar kata-kata kesat...
Kalau di Malaysia kemungkinan besar ini akan menyebabkan orang bergaduh bermati-matian, bergolok-berparang malah boleh timbul rusuhan agama dan perkauman.Tetapi perkara sebegini adalah satu kelaziman di kota metropolitan Barat seperti London yang menggalakkan pergaulan dan pemikiran bebas. Tidak ada Jabatan Agama Islam untuk menghalang atau menjatuhkan fatwa sesat, tidak ada ISA atau Akta Keselamatan Dalam Negeri untuk mengekang apa-apa bentuk pertemuan. Tidak tahulah jika sekarang ini lain, sejak peristiwa 11 September 2001 di World Trade Centre, New York yang menyebabkan orang Islam sering dikambing-hitamkan sebagai terrorist ataupun pengganas... Mungkin keadaan sudah jauh berubah sekarang? Mungkin sesiapa yang kuat membela Islam boleh ditangkap atas alasan keselamatan?
Apapun, seingat Badrul, walau sehangat mana sekalipun perbincangan dan perdebatan, walau keluar segala macam maki-hamun yang tidak patut kedengaran dalam mana-mana forum intelektual, pertelingkahan pendapat di Leicester Square sering diakhiri dengan semua pihak bersalam-salaman sebelum beransur pulang. Kemudian esok berjumpa dan bergaduh lagi tetapi tidak pernah sampai mencederakan diri. Begitu juga keadaannya apabila orang Islam pelbagai mazhab dan aliran bertegang-leher mempertahankan fahaman masing-masing. Misalnya apabila pengikut Ahlus Sunnah Wal Jamaah bertemu penganut Syiah, kadangkala bercampur-aduk pula dengan semangat Assobiyah perkauman dan tempatan apabila orang Arab bertemu orang Iran ataupun orang India. Kalau ada pergaduhan fizikal pun, jarang sekali berlaku kerana agama tetapi disebabkan hal-hal lain, selalunya melibatkan orang mabuk yang biasanya cepat tersinggung... Mudah sangat terasa...
Pernah sekali Badrul terserempak Rasyid sedang duduk melepak di atas lantai bersandarkan pagar taman bersama beberapa orang pemuzik jalanan dan orang-orang homeless, mereka yang tidak mempunyai rumah atau apa-apa bentuk penginapan, selalu tidur di tepian jalan, kadang-kadang di dalam kotak. Kebetulan pula berlaku pergaduhan di antara dua orang pemuda Inggeris, tidak tahulah kenapa... Lalu orang-orang di sekeliling pun beredar jauh membuka ruang, takut terlibat sama kerana nampak gayanya kedua-dua mereka ini betul-betul marah dan mabuk, boleh jadi merbahaya. Mana tahu tiba-tiba mereka mengeluarkan pisau pula? Tak ke naya nanti?
Tetapi Rasyid pula boleh bangun menuju lebih dekat sambil ketawa terbahak-bahak. Inilah satu perangai gila anak kelahiran Muar, Johor ini. Ketika orang lain mahu lari meninggalkan situasi yang boleh mencederakan diri, dia pula boleh mara untuk meneliti... Gelihati agaknya melihat dua orang pemuda Inggeris begitu beriya-iya mahu bertumbuk macam gangster sedangkan masing-masing kelihatan pening-lalat, bergerak perlahan seperti slow motion pula... Lupa, ini boleh membangkitkan lagi kemarahan mereka...
Dalam sedar tidak sedar, tiba-tiba sebuah penumbuk sulung hinggap ke muka pemuda Melayu itu, betul-betul kena batang hidungnya. Nampaknya salah seorang pemuda Inggeris yang sedang bergaduh itu tersinggung melihat Rasyid ketawa seperti mengejek. Seketika itu juga, beberapa orang pemuda Barat yang berhampiran terus masuk ‘gelanggang’ meleraikan pergaduhan. Dua tiga orang lagi pula datang membantu anak Malaysia itu yang sedang terpinga-pinga... Ramai juga ‘sukarelawan’ yang sedia tampil ke hadapan!
“Are you hurt mate, tanya seorang hamba Allah yang kelihatan prihatin sambil membelek-belek muka Rasyid untuk memastikan tiada luka. Mat Saleh pun ada yang baik-baik orangnya. “Are you alright?” tanyanya lagi.
Nasib baik anak muda itu tidak mengalami apa-apa kecederaan malah sakit pun tidak. Cuma dia sedikit tergamam atas perbuatan itu lalu bertanya kepada pemuda Inggeris yang memberikannya ‘hadiah cabutan bertuah’ tadi : “Why did you punch me mate? What did I do wrong?”
Pemuda Inggeris yang sedang ditarik ke tepi itu tidak menjawab. Nampaknya dia kurang sedar apa yang telah dilakukannya. Badrul yang melihat dari jauh pun rapat lalu bertanya: “Kenapa kamu tidak mengelak? Bukannya laju sangat penumbuknya. Kenapa kamu biarkan sahaja?”
Rasyid kembali tersenyum lalu tertawa sebelum menjawab: “Entahlah... Aku pun tak tahu. Padahal aku nampak penumbuknya datang slow motion, nampak terang semua pergerakan tubuh-badannya. Gelihati sangatlah kot sampai penumbuk macam itupun aku tidak tergerak nak mengelak?”
Atau pemuda itu tidak tergerak hendak mengelak langsung kerana merasakan tidak ada apa-apa bahaya yang perlu ditakuti? Berani sangat sehingga tak peduli langsung walaupun penumbuk itu boleh tahan kuat juga? Badrul tahu rakannya pernah menjadi punching-bag tempat pelajar senior di sekolah asrama melepaskan geram. Lagipun dia biasa dihentam dari pelbagai arah semasa menjadi pemain ragbi sekolah dan daerah, tidak hairan dengan sedikit pukulan ke tubuh badan. Semasa kecil pun sudah biasa dirotan dan disebat dengan talipinggang sebab nakal sangat...
Dahulu di Piccadilly Circus bersebelahan Leicester Square, di sebuah restoran makanan segera, Rasyid pernah dihentam dari belakang dengan kerusi besi, oleh seorang pemuda Inggeris juga. Tetapi orangnya lebih besar dan tegap. Dan seperti di Leicester Square, ini berlaku kerana anak Melayu ini dengan selambanya melangkah masuk ke medan pergaduhan ketika orang lain semuanya telah beredar keluar atau lari ke sisi...
Apapun, manusia keras kepala ini tidak terasa apa-apa malah hampir tidak sedar dirinya telah dipukul! Mungkin kerana badannya dilindungi knapsack di belakang atau dia sudah hilang deria rasa? Yang best nya, pemuda ini telah diberi sebuah cawan besar saiz L minuman Fanta Grape percuma dari pihak restoran yang meminta maaf atas kejadian itu!

————————
Sesetengah sejarawan Islam mencatatkan, bermula dari zaman Muawiyah bin Abu Sufyan yang telah merampas takhta keKhalifahan daripada Saidina Hassan melalui tipu-helah, kebencian yang ditunjukkan Bani Umaiyah terhadap anak-cucu Nabi sangatlah nyata.
“Kecuali Khalifah Umar ibnu Aziz yang diketahui adil dan warak, pemerintah Bani Umaiyah telah menggunakan khutbah di masjid-masjid untuk mencerca para Ahlul Bait dan merendahkan martabat mereka,” Badrul mengambil pendekatan sejarah penyokong Ahlul Bait. “Maka itu, tidak hairanlah jika hadis-hadis yang menyentuh kelebihan titisan zuriat Nabi sengaja digelapkan demi menghalalkan pemerintahan mereka yang berdendam dengan keluarga baginda... Kerana merasakan mereka lebih layak memimpin kaum Arab dan seluruh umat Islam. Tetapi kamu mesti ingat, berapa ramaikah umat Islam yang mengkaji sampai ke tahap ini?” pensyarah itu menyoal. “Apa yang orang tahu, sesiapa sahaja yang membela keturunan Nabi lalu menyatakan kelebihan serta hak para Ahlul Bait untuk memerintah sampai mendedahkan keburukan Bani Umaiyah selalunya adalah penganut Syiah, berlawanan dengan Ahlus Sunnah Wal Jamaah.”
Rasyid tahu semua ini. Memang sejarah rasmi Islam yang diketahui umum ada mencatatkan kaum Bani Umaiyah sering bersaing dengan Bani Hashim yang mengandungi kaum kerabat Nabi. Umum juga tahu bapa Muawiyah, pembesar Mekah yang bernama Abu Sufyan banyak menyakiti Rasulullah SAW ketika baginda mula-mula membawa ajaran Islam. Begitu juga ibu Muawiyah, Hendon yang sanggup melapah dada bapa saudara Nabi, Saidina Hamzah yang gugur syahid dalam Perang Uhud lalu mengunyah isinya untuk melepaskan dendam terhadap umat Islam kerana mengalahkan kaum kafir Quraish dalam Perang Badar. Tetapi umum juga diajar orang-orang ini telah bertaubat setelah memeluk Islam malah Muawiyah kemudian menjadi salah seorang penyokong kuat Nabi.
Abu Sufyan, Hendon dan Muawiyah diketahui memeluk Islam selepas Fathul atau pembukaan Mekah. Dalam peristiwa 8 Hijrah itu, berpuluh ribu umat Islam berarak menuju ke Mekah diikuti berpuluh ribu lagi yang terpanggil untuk mengikuti gerakan yang semakin membesar itu. Pihak kafir Quraish yang pernah menindas umat Islam pun tergamam. Lalu ramai penduduk Mekah memeluk Islam termasuk para penentang kuat agama Allah seperti keluarga Abu Sufyan dan kaum kerabatnya Bani Umaiyah. Soalnya, adakah mereka jujur atau sekadar mengikuti gelombang?
Rasyid pula terkenangkan Leicester Square... Teringat sikap kurang-ajar sekelompok pemuda Kristian yang marah-marah kerana orang Islam tidak mahu menerima Jesus atau Nabi Isa AS sebagai “satu-satunya anak Tuhan”, the only son of God. Lawan mereka pula adalah kelompok pemuda Islam yang bertegang-leher apabila Nabi Muhammad SAW dituduh Nabi palsu. Lalu seorang pemuda Kristian yang paling petah bertindak biadab dengan menuduh baginda seorang womanizer, kaki perempuan...
“What kind of man marries nine women and have a few more in his harem? (Lelaki jenis apa sanggup berkahwin sembilan orang perempuan dan mempunyai beberapa orang gundik). And what kind of man takes a nine-year-old to be his wife, a cradle snatcher? (lelaki jenis apa pula mengahwini wanita berumur 9 tahun iaitu Aisyah, kahwin dengan budak-budak),” dia menyoal.
Seorang pemuda Islam, rasanya orang Arab pun menjawab: “Because he is a man. A man is much stronger and can support many women. (Sebab dia seorang lelaki, lebih kuat dan mampu menjaga ramai perempuan.) In Islam, we have the right to take four wives while the Prophet is a special case, he can take nine wives. (Dalam Islam, kami mempunyai hak untuk beristeri empat sementara Nabi memiliki hak istimewa, boleh mengahwini sembilan isteri.)”
Adakah patut menjawab begini? Mana tidak lelaki Islam selalu dituduh Barat sebagai MCP, Male Chauvinist Pig ? Terlalu membanggakan sifat kelakian sehingga layak disamakan dengan khinzir?
Nasib baik seorang kanak-kanak Islam mencelah. “No, that’s not it (bukan itu). Islam allows a man to take four wives because during the time of the Prophet, they had a lot of battles (Islam membenarkan lelaki beristeri empat kerana pada zaman Nabi, mereka selalu berperang.) So the companians asked each other to take care of their family and wives should they fall in battle (Maka para sahabat berpesan sesama-sendiri untuk menjaga keluarga dan isteri mereka yang terkorban dalam perang.) So what is the best way to support those widows than to marry them? (Apakah cara terbaik untuk menjaga para janda ini selain mengahwini mereka). All the prophet’s wives were widows except Aishah. (Semua isteri Nabi adalah janda kecuali Aishah).”
Terpegun semua hadirin mendengar penjelasan anak kecil yang umurnya mungkin belum sampai 12 tahun ini! Mungkin dia ‘dihantar’ Tuhan untuk membuktikan kebenaran Islam? Sambil menyangkal keburukan yang dikaitkan dengan Rasulullah SAW akibat kewujudan orang-orang seperti Muawiyah yang sanggup mempermain-mainkan ayat-ayat Al-Quran? Orang yang sanggup mempergunakan agama untuk menghalalkan segala tindak-tanduk mereka?

Samudera Pasai: Bumi para Wali (bahagian II)

Sambungan daripada posting tadi...


“Kitab Sejarah Melayu juga menyebut peristiwa yang serupa tentang pengIslaman Melaka pada zaman Sultan Muhammad Syah,” kata Nasri selepas membaca sedikit tulisan Rasyid mengenai pengIslaman Samudera. “Sultan ini dikatakan memerintah tahun 1424 hingga 1444 Masihi, selepas kemangkatan pengasas keSultanan Melaka, Sultan Iskandar Zulkarnain Shah yang dikenali sejarawan Barat sebagai Parameswara. Baginda juga bermimpi berjumpa Rasulullah SAW lalu disuruh mengucap kalimah syahadat. Kemaluannya telah dikhatankan apabila bangkit dari beradu dan baginda tidak henti-henti mengucap kalimah syahadah. Tidak lama kemudian, sebuah rombongan yang diketuai seorang ulamak bernama Saiyid Abdul Aziz pun sampai untuk mengIslamkan penduduk Melaka.”
Rasyid tersenyum mendengar penerangan bekas pelajar University of Aberystwyth, Wales yang ditemui kembali di Kuala Lumpur setelah bertahun mereka tidak berhubung. Sebelum itu dia tidak pernah menduga rakan lamanya juga mempunyai minat yang mendalam terhadap sejarah lama Melayu. Maklumlah mereka berdua dahulu agak keBaratan... Jadi orang Melayu pun setakat memenuhi syarat sahaja, boleh berbahasa Melayu, beragama Islam dan faham sedikit adat-istiadat. Lalu sejak kebelakangan ini, peguam muda yang pernah duduk sebilik dengannya di kolej itulah yang sering menjadi teman rujukan dalam usaha pemuda itu menulis bukunya tentang kisah-kisah lama berkaitan Aceh.
“Betul tu!” sahut Muhammad Al Aminul Rasyid. “Tetapi peristiwa pengIslaman Merah Silu dan rakyat Samudera berlaku 200 tahun lebih awal. Lebih istimewa lagi, ia mendapat mandat yang tidak dimiliki mana-mana kerajaan lain, mandat wasiat Nabi yang disertai perkakas dan alat kerajaan dari Mekah,” tambahnya lalu menyuakan tulisan seterusnya...
Selesai sahaja pengIslaman Samudera, Sheikh Ismail pun menyuruh orang-orangnya menurunkan segala alat dan perkakas yang dibawa dari Mekah untuk disampaikan kepada Sultan Malikus Salih.
Hikayat Raja-raja Pasai menceritakan: Maka pada ketika dan saat yang baik, berhimpunlah segala para menteri, hulubalang, orang-orang besar dan sekalian rakyat dari segala teluk rantau datang mengadap baginda. Sultan Malikus Salih pula memakai selengkapnya pakaian kebesaran yang turut dibawa dari Mekah kerana baginda hendak ditabalkan sekali lagi, kali ini menurut cara pertabalan Raja-raja Islam.
Sekalian orang-orang besar, para menteri, hulubalang dan rakyat yang hadir pun duduk bersaf-saf di balairong seri mengadap. Sekalian bentara berdiri di tempat masing-masing untuk menunaikan pekerjaan. Nobat Ibrahim Khalilullah diletakkan di hadapan baginda dan bermulalah upacara. Semuanya teratur penuh istiadat...
Gendang nobat pun dipalu orang lalu sekalian orang yang mengadap mengangkat sembah dan berkata: “Daulat dirgahayu tuanku dzillullahu fil’ alam (bayangan Tuhan di alam ini)”.
Maka rasmilah pertabalan Sultan Malikus Salih menurut cara Islam, disaksikan Sheikh Ismail dan Fakir Muhammad.
Selesai segala adat istiadat dan selepas duduk beberapa lama di Samudera, Sheikh Ismail pun bermohon hendak kembali ke negerinya. Sultan Malikus Salih menyampaikan hadiah daripada berjenis-jenis barang iaitu ambar, kapur barus, gaharu, cendana, kemenyan, khalambah, lada hitam, cengkih dan sebagainya, semuanya barangan berharga sebanyak kira-kira tiga bahara, setengahnya untuk Sharif Mekah.
Sheikh Ismail pun belayar meninggalkan Samudera. Tinggallah Fakir Muhammad dan anaknya terus mengembangkan ajaran Islam.


————————





————————
“Sekarang timbullah beberapa persoalan yang agak berat!” Rasyid menarik nafas lalu memulakan satu polemik. “Siapakah Sultan Malikus Salih ini sehingga pertabalannya telah diwasiatkan Rasulullah SAW melalui arahan baginda supaya dibawa perkakas dan alat kerajaan daripada Mekah? Mengapa ini cuma berlaku di Samudera, tidak di negeri-negeri lain? Mengapa tidak di Pasai, sebuah lagi kerajaan besar yang akan diasaskan Sultan ini nanti, mengapa tidak di Melaka yang raja-rajanya sering diagung-agungkan sebagai keturunan berdaulat anak cucu Raja Iskandar Zulkarnain yang turun ke Bukit Siguntang?”
Nasri baru hendak bersuara tetapi kawannya terus memotong: “Nanti! Tak habis lagi... Mengapa seorang anak cucu Saidina Abu Bakar Al-Siddiq iaitu Sultan Muhammad sanggup turun takhta lalu menjadi fakir untuk turut menjalankan wasiat Nabi ini?” dia menambah. “Apakah keistimewaan Samudera sehingga ini semua terjadi? Kenapa Rasulullah SAW menyebut kerajaan itu mesti diIslamkan kerana di situ akan muncul ramai wali?”
Nasri terpaksa berfikir secara lebih mendalam. Otak peguam muda inipun mula berputar ligat. Setelah memerhatikan dari beberapa sudut baru dia bersuara: “Soalan-soalan yang kamu timbulkan ini menarik juga, memang mencabar minda yang analitik. Tetapi kalau nak dimasukkan ke dalam buku yang akan ditatap khalayak ramai, aku rasa agak bahaya ni!”
Rasyid kelihatan hairan. Bahaya bagaimana pula? Ini bukannya soalan-soalan berbentuk ideologi politik atau reformasi yang boleh menjatuhkan kerajaan. “Mengapa pula kamu kata begitu?” dia menyoal...
Rakannya membalas soalan itu dengan muka serius. Sebagai lulusan undang-undang daripada United Kingdom yang terlatih dengan teknik-teknik memaparkan hujah yang berkesan serta arif dengan implikasi sesuatu perbuatan terhadap perspektif masyarakat, dia tahu isi sesuatu buku itu boleh dipersoalkan khalayak ramai lebih-lebih lagi jika ia melibatkan hal-hal berkaitan agama. Perkara begini bukan boleh dibuat main...
“Acid, kamu dengar baik-baik,” dia menyusun kata-kata. “Kamu menulis cerita dan menimbulkan persoalan-persoalan yang agak berat berdasarkan sebuah wasiat Nabi yang disebut dalam kitab Hikayat Raja-raja Pasai. Masalahnya, setahu aku tidak pernah wujud kata-kata sebegini dalam mana-mana kitab kumpulan hadis seperti Sahih Muslim dan Sahih Bukhari. Takut ini boleh menimbulkan kekeliruan masyarakat Islam nanti!”
Ah... Itu rupanya masalahnya. Ingatkan apa...
“Hmm... Betul juga kata kamu,” Rasyid menjawab. “Aku pun pernah memikirkan hal ini. Tetapi aku rasa aku sudah memiliki sedikit hujah untuk menyokong wasiat Nabi tentang kemunculan Samudera itu. Aku sudah lama mengkaji pelbagai cerita-cerita lama serta sejarah berkaitan Aceh malah sejarah perkembangan awal Islam termasuk banyak cerita yang tidak diketahui umum, cerita-cerita daripada sumber-sumber tertentu...”
“Aku percaya kamu tentu ada alasan,” Nasri memotong. “Aku tahu kamu tidak akan menulis sembarangan, mesti ada sokongan yang kukuh. Tetapi berhati-hatilah... Apapun, dapatkan second opinion dahulu daripada orang yang lebih tahu tentang hadis, orang yang berkelayakan. Kalau tidak, aku takut nanti ada pihak yang akan mempertikaikan kewujudan wasiat ini sebagai tidak lebih daripada cerita dongengan malah pemalsuan kata-kata Nabi untuk mengagung-agungkan kebesaran Raja-raja Pasai.”

—————————

Lama juga Rasyid termenung memikirkan cara terbaik menangani masalah ini. Walaupun hati kecilnya tetap yakin wasiat Rasulullah SAW berkenaan Samudera itu bukannya dongengan, walaupun dia mempunyai hujah tersendiri untuk menyokongnya, bagaimanakah cara terbaik untuk mengenengahkan ini tanpa menyinggung pegangan umum?
Seperti yang ramai maklum, setiap perkataan Rasulullah SAW adalah hadis Nabi, selain wahyu yang menjadi ayat-ayat Al-Quran dan Hadis Qudsi yang merupakan firman Allah SWT. Lagipun dari segi bahasa, perkataan ‘hadis’ itu bermaksud apa-apa perkataan yang keluar daripada mulut seseorang. Maka pemuda ini percaya, kemungkinan wasiat tentang Samudera itu keluar daripada mulut Nabi memang ada kerana selama 23 tahun baginda menjadi Rasul, tentu banyak perkara yang diperkatakannya, boleh dikumpul menjadi beribu-ribu jilid buku jika mahu.
Apapun, seperti diungkit kawannya Nasri, selain hikayat itu dan kitab Sejarah Melayu, tidak ada mana-mana kitab lain menceritakan wasiat Rasulullah SAW ini, apa lagi kitab-kitab rasmi hadis yang diterima umum seperti Sahih Bukhari mahupun Sahih Muslim. Maka itu, kalau kitab-kitab hadis ini dijadikan ukuran utama untuk menentukan kesahihan sesuatu hadis atau apa-apa perkataan yang keluar daripada mulut Rasulullah SAW, boleh dikatakan wasiat Nabi ini tidak pernah wujud sama sekali!
Kalau begitu, mengapa pula kitab Hikayat Raja-raja Pasai dan Sejarah Melayu yang merupakan sumber-sumber utama pensejarahan keSultanan-keSultanan Melayu lama boleh meriwayatkannya? Apakah pengarang kitab-kitab ini begitu buta ilmu hadis atau bersifat dusta, penipu sehingga sanggup mengenengahkan sebuah wasiat palsu? Tambahan pula kedua-dua kitab ini pernah menjadi bahan rujukan utama pelajar sastera Tingkatan Enam di semua sekolah-sekolah di Malaysia suatu masa dahulu. Dan cetakan moden kitab-kitab ini masih tersebar luas sehingga sekarang. Takkanlah ini boleh berlaku jika wasiat itu hanya dusta semata-mata?
Ah... Mungkin betul juga kata Nasri. Dia perlu mendapatkan second opinion, pendapat yang bernas daripada orang yang mempunyai kelayakan tentang ilmu hadis... Perkara berat begini tidak boleh dihuraikan seorang diri. Sekurang-kurangnya ringan sedikit beban pemikiran yang dihadapi.