Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Thursday, July 25, 2019

Panglima Awang sebagai lambang keunggulan jiwa dan ketamadunan Melayu

Salam malam Jumaat 23 Zulkaedah. Hari itu saya membuka siri cerita perjalanan kecil ke Jelai dengan sedikit perkongsian majlis ilmu yang diadakan di ISTAC pada hari Jumaat malam Sabtu 17 Zulkaedah. Lihat Perjalanan kecil ke Jelai - Membawa ilmu dan amal dalam pengembaraan sebenar. Sekarang saya mahu berkongsi cerita majlis ilmu yang diadakan di tempat sama tetapi pada siang Rabu 24 Julai 2019 bersamaan 21 Zulkaedah 1440 Hijriah.









Kali ini subjek yang mahu ditangani diminati ramai pengkaji sejarah Melayu. Tajuk berbahasa Inggeris, "Panglima Awang @ Enrique de Malacca : Melaka, Globalisation and Malay Civilisation" boleh diterjemahkan dengan mudah sebagai "Panglima Awang @ Enrique de Malacca : Melaka, Globalisasi dan Tamadun Melayu". Nama moderator dan ahli panelis jelas terpampang dalam poster atas. Kita terus ke majlis...


Saya masuk ke ruang wacana sudah jam 10.36 sedangkan majlis dijadualkan bermula jam 10.


Alhamdulillah saya cuma terlepas pengenalan dan kata-kata aluan oleh Sheikhul Kuliyah ISTAC, Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar (duduk tengah). Panelis pertama, Profesor Dato' Seri Dr Md. Salleh Yaapar (kiri gambar) daripada Universiti Sains Malaysia (USM) baru hendak membuka bicara.
Profesor Dato' Dr Ahmad Murad Merican yang baru sebulan dua memegang jawatan ketua unit Tamadun Melayu-Islam di ISTAC (menggantikan Profesor Datuk Dr Awang Sariyan yang berpindah ke UPSI atau Universiti Pendidikan Sultan Idris untuk memegang Kursi Za'aba) berada di kanan gambar. Beliau adalah ahli panelis kedua...


Salleh membuka dengan menyorot sejarah ketamadunan Alam Melayu yang dikatakan sudah wujud selewatnya 9,000 tahun yang lampau. Kajian Stephen Oppenheimer (profesor di Universiti Oxford, penulis buku Eden in the East: The Drowned Continent of Southeast Asia) dan Arysios Santos (arwah, mantan profesor di Brazil, penulis buku Atlantis, The Lost Continent Finally Found) dirujuk.


Daripada tempoh masa itu sejarah Alam Melayu dibawa ke abad pertama selepas Masihi dan seterusnya. Apa yang Salleh sebut juga kajian Oppenheimer dan Santos ini telah membentuk sebahagian daripada buku ke-11 saya "Nabi Adam dan Orang Melayu 60,000 Tahun Lalu" juga 'kembarnya', buku ke-12 saya "Benua Tua Melayu Sumber Peradaban Dunia" yang terbit Mac 2018. Rujuk artikel-artikel berikut :-







\
Seterusnya disorot zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka abad ke-15 Masihi diikuti kejatuhan kota Melaka ke tangan Portugis tahun 1511.


Termasuk dalam angkatan Portugis pimpinan Alfonso de Albuquerque yang menyerang Melaka itu adalah seorang bernama Ferdinand Magellan. Orang inilah yang disebut sejarah Barat sebagai manusia pertama berjaya belayar mengelilingi dunia. Sedangkan beliau sebenarnya dibantu oleh seorang hamba berbangsa Melayu yang dibeli selepas kejatuhan Melaka.

Pencatat rasmi pelayaran Magellan, Antonio Pigafetta dari Itali merujuk kepada orang tersebut sebagai Henrique. Beliau menyebut hamba yang diambil ketika berusia 26 tahun itu berasal dari Sumatera. Namun surat wasiat Magellan bertarikh 24 Ogos 1519 menyebutnya sebagai berasal dari Melaka. Apapun sejarah mengenali anak Melayu ini sebagai Enrique de Malacca atau Enrique dari Melaka...


Nama sebenarnya tidak diketahui. Di Malaysia kita mengenalinya sebagai Panglima Awang. Menurut Pigafetta, Enrique atau Panglima Awang dibawa ke Lisbon, Portugal oleh Magellan pada tahun 1512. Magellan kemudian membawanya berpindah ke Sepanyol di mana dia menawarkan perkhidmatan kepada Raja Charles V. Pada tahun 1517 dia mencadangkan kepada raja agar dibuat misi pelayaran keliling dunia melalui jalan ke barat membawa ke Gugusan Kepulauan Melayu.


Untuk menguatkan cadangan Magellan memperkenalkan Enrique sebagai penterjemah bahasa kepercayaanya kepada raja. Raja kagum dengan pengalaman pelayaran Enrique, ilmu pengetahuannya juga kebolehan untuk bertutur dalam bahasa Melayu, Sepanyol dan Portugis. Ini membuat raja bersetuju pada cadangan Magellan. Satu ekspedisi pelayaran terdiri daripada 5 buah kapal dan 270 anak kapal pun dimulakan pada 20 September 1519.


Kumpulan ekspedisi sampai ke kepulauan yang bakal membentuk Filipina pada 16 Mac 1521.  Ketika itu ia tinggal 4 kapal. Terjadilah perhubungan dengan Raja Humabon dari Pulau Limasawa...


Humabon meminta Magellan menghapuskan lawannya, kumpulan pimpinan Datu Lapu-lapu dari Pulau Mactan...


Berlakulah pertempuran membawa kepada kematian Magellan.


Menurut wasiat Magellan, Enrique harus dibebaskan selepas kematian beliau dan diberi sejumlah wang pampasan. Tetapi iparnya Duarte Barbosa tidak mematuhi wasiat malah mahu memukul Enrique dan memaksanya terus menjadi hamba. Pada 7 Mei 1522 kumpulan Sepanyol itu menerima undangan makan daripada Datu Humabon. Apa yang berlaku adalah sebaliknya... 27 pelayar termasuk Barbosa dibunuh. Lain-lain cepat-cepat meninggalkan pulau.


Enrique tiada bersama mereka. Boleh jadi dia kembali ke Melaka, boleh jadi terus berada di sekitar pulau itu. Setahun setengah kemudian iaitu pada September 1522 kapal terakhir ekspedisi sampai ke Sepanyol dipimpin kapten Juan Sebastian Elcano. Turut bersama adalah 18 orang anak kapal bersama Pigafetta sebagai pencatat.

Daripada cerita berkenaan terutama catatan Pigafetta jelaslah Magellan tidak melengkapkan satu pusingan. Begitu juga, Elcano bukanlah orang pertama mengelilingi dunia kerana sampai ke Sepanyol setahun setengah selepas kejadian di Mactan. Menurut Salleh, maka itu cerita kejayaan sepatutnya adalah milik Enrique. Kalaupun dia tidak kembali ke Melaka, kepulauan tempat dia diketahui berada iaitu di Cebu cuma 2,500 km sahaja jaraknya dari sana...


Pun begitu dunia (yang dipengaruhi penceritaan Barat) terus meletakkan Magellan sebagai orang pertama membuat pelayaran mengelilingi dunia. Rakan pelayarannya  Elcano diletakkan sebagai manusi pertama melengkapkan pelayaran sebegitu. Ini disebut dalam buku-buku teks sejarah termasuk di Malaysia. Sedangkan cerita Enrique senyap begitu sahaja...


Masuk penghujung abad lalu baru hal Enrique sebagai orang pertama yang sebenarnya berjaya belayar mengelilingi dunia disebut sesetengah pihak, Diangkat juga fakta bahawa dia berbangsa Melayu ...


Maka sudah sepatutnya Enrique ini diberikan pengiktirafan yang sewajarnya. Namun tidak banyak yang berubah secara rasminya. Kejayaan beliau cuma disebut dalam buku-buku cerita bersifat 'ringan' seperti novel "Panglima Awang" oleh Harun Aminurrashid (Singapura tahun 1958). Novel inilah yang memperkenalkan nama Panglima Awang untuk merujuk kepada Enrique. Kata Salleh nama Awang dipilih kerana bersifat umum bagi lelaki Melayu.


Selain itu cuma ada sedikit 'pengiktirafan' dalam bentuk patung yang diabadikan atas nama Enrique atau Panglima Awang di dua buah muzium, satu di Singapura, satu di Melaka.


Patung Panglima Awang yang terdapat di Melaka itupun cuma sebahagian daripada pameran dalam Muzium Maritim Melaka. Bangunan muzium pula adalah replika bagi kapal Flor de La Mar yang terlibat dalam serangan Portugis terhadap Melaka 1511. Apakah ini memartabatkan bangsa Melayu?


Secara rata pembentangan atau perkongsian Salleh berusaha untuk mengangkat martabat Enrique de Malacca @ Panglima Awang berlatarbelakangkan pencapaian tinggi tamadun Melayu terutama semasa zaman Kesultanan Melayu Melaka.


Semoga Panglima Awang akan mendapat pengiktirafan sewajarnya.


Jam 11.15 panelis kedua Ahmad Murad mengambil tempat di hadapan komputer.


Beliau tidak menggunakan slaid Powerpoint sebaliknya teks yang disediakan dalam Microsoft Word untuk memandu perkongsian.


Memandangkan banyak latar belakang perkara sudah diutarakan Salleh, beliau mahu menumpukan kepada apa yang patut dibuat seterusnya demi memartabatkan Panglima Awang dan pencapaiannya...


Disenaraikan dahulu sejumlah tulisan yang telah dibuat terhadap sosok tubuh yang dikenali Barat sebagai Enrique itu...


Kemudian baru disenaraikan dan dipanjangkan wawasan besar ilmu yang boleh dikembangkan dan diteladani daripada sejarah sebenar beliau. Antaranya :-


1. Tentang pertemuan/perhubungan orang Melayu dengan bangsa Eropah

2. Propes 'pengEropahan' (memBaratkan) orang Melayu

3. Globalisasi Bahasa Melayu

4. Globalisasi tamadun Melayu dengan sejarah Melaka dalam konteks global

5. Penceritaan Harun Aminurrashid (dalam novel) mengenai Panglima Awang sebagai masa hadapan orang Melayu.



Secara rata banyak perkara boleh dikembangkan menjadikan Panglima Awang sebagai lambang keunggulan jiwa dan ketamadunan Melayu.



Wednesday, July 24, 2019

Perjalanan kecil ke Jelai - Dari Kampung Dulang menyeberang Banjaran Titiwangsa ke Hulu Langat

Salam petang 21 Zulkaedah. Masuk pada bahagian ke-3 dan terakhir cerita perjalanan kecil hujung minggu lalu. Bersambung daripada artikel Perjalanan kecil ke Jelai - Dugaan dari Masjid Taboh Naning ke Masjid Kampung Dulang.


Pagi Ahad 21 Julai 2019. Setelah puas berehat dan bermalam di Masjid Kampung Dulang kami bersedia untuk menyambung perjalanan.


Tentang masjid ini biar dikongsikan isi satu artikel yang keluar dalam akhbar Berita Harian Rabu, 12 Ogos 2015. Untuk gambar-gambar yang diambil baru ini lihat artikel Lawatan terbaru ke Masjid Kampung Dulang (Latest visit to Kampung Dulang mosque) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)...


Misteri dulang makanan di masjid tertua di Jelebu

Tuty Haryanti Ahmad Rodzi
tuty@bh.com.my

KUALA KLAWANG: Masjid Kuala Dulang di Kampung Kuala Dulang, kira-kira dua kilometer dari pekan ini, tidak jauh bezanya dengan masjid lain di daerah Jelebu. Namun, di sebalik persamaan itu tersimpan beberapa misteri yang hingga kini masih belum terungkai.

Masjid tertua di daerah Jelebu itu dikatakan diasaskan oleh dua pendakwah yang berasal dari Minangkabau, Sumatera, iaitu Dato' Nika dan Mudim Khatib Raja, pada awal abad ke-16.

Bagaimanapun, kedua-dua pendakwah berkenaan yang dikatakan antara orang yang terawal membawa ajaran Islam ke daerah itu, ghaib begitu sahaja selepas ia siap dibina beberapa tahun kemudian.

Imam Masjid Kuala Dulang, Alias Ahmad, 81, berkata masjid itu juga dinamakan berdasarkan kisah misteri yang masih menjadi bualan ramai iaitu ketika pembinaan masjid itu oleh penduduk kampung, muncul dulang makanan untuk dinikmati mereka setiap hari.

"Kisah bermula ketika penduduk berhenti rehat untuk solat Zuhur. Selesai solat, mereka terkejut kerana ada dulang yang penuh dengan makanan, iaitu nasi, lauk seperti ikan dan sayur di luar masjid.

"Setiap hari selepas solat Zuhur, dulang itu muncul bersama makanan sehingga pembinaan masjid siap. Tiada siapa tahu siapa yang meletakkan dulang itu," katanya kepada BH di sini.

Alias yang berasal dari Kampung Peradong dekat sini berkata, jika ada musafir yang datang, mereka juga berpeluang merasai makanan dalam dulang itu yang sentiasa mencukupi untuk semua orang.

"Saya tidak pasti berapa lama kemunculan dulang berisi makanan itu, tetapi tidak lama kemudian dulang tidak lagi muncul tanpa diketahui puncanya," katanya yang mengakui nama kampung itu juga adalah bersempena kisah misteri itu.

Alias yang berkhidmat sejak lebih 30 tahun lalu berkata, masjid itu mempunyai keberkatan tersendiri kerana sehingga sekarang pada setiap malam Jumaat, tidak putus-putus orang yang menghantar makanan seperti pisang dan pulut kuning untuk jemaah masjid.

"Ada yang beritahu, mereka berbuat demikian kerana bersedekah dan ada juga yang bernazar. Mereka bukan sahaja dari negeri ini, malah dari Selangor dan Pahang," katanya.

Alias berkata, masjid lama itu melalui beberapa perubahan tetapi beberapa ciri asal dikekalkan kerana masih elok seperti tiang dan atap mimbar yang diperbuat daripada kayu pokok ijok

"Masjid ini mempunyai sebuah tabuh. Kemunculan tabuh ini juga agak misteri. Kisahnya bermula apabila sebaik masjid ini siap, orang kampung bingung memikirkan cara mahu mengajak penduduk untuk datang ke masjid.

"Pada suatu malam, hujan lebat menyebabkan air dari Sungai Triang di hadapan masjid melimpah.  Keesokan hari, muncul sebatang pokok besar dipercayai dihanyutkan air sungai betul-betul di hadapan masjid. Kayu pokok itulah yang digunakan sebagai tabuh," katanya.

Alias berkata, tabuh itu menggunakan kulit lembu yang sudah beberapa kali ditukar kerana ada pihak yang mengambilnya sedikit demi sedikit sebagai kenangan dan untuk dijadikan sebagai tangkal.

"Saya tidak pasti mengapa mereka buat demikian. Ini cuma kulit lembu yang digunakan sebagai penutup tabuh," katanya.

Alias berkata, walaupun masjid itu terletak dekat sungai, ia langsung tidak terjejas semasa beberapa kejadian banjir biarpun beberapa rumah penduduk berdekatan dinaiki air.

"Masjid ini langsung tidak pernah dilanda banjir, seolah-olah mempunyai pelampung walaupun kawasan berhampiran dipenuhi air," katanya yang berdoa supaya masjid itu terus terpelihara daripada sebarang musibah. 




Gambar ini pula diambil ketika menuruni sebuah bukit kecil lebih dekat ke bandar Kuala Klawang. Cerita dan gambar boleh dilihat dalam artikel Makam di sebelah kuil Cina di (Tombs besides a Chinese temple at) Kuala Klawang.


Selepas jam 11 kami masuk ke bandar.


Barulah bersarapan bersamaan makan tengah hari awal.


Alang-alang sudah berada di sana kami melihat pameran adat di bangunan khas berdekatan. Lihat Muzium Adat (Tradition Museum), Kuala Klawang.


Persinggahan juga dibuat ke masjid lama bandar. Cuma tak tahu berapakah umurnya. Lihat Masjid lama (Old mosque of) Kuala Klawang.


Dekat jam 12.30 kami bergerak meninggalkan Kuala Klawang menghala ke Hulu Langat. Masuk sebentar ke sebuah kampung dalam 5 km perjalanan untuk melihat rumah tradisional cantik yang katanya milik bekas ahli politik terkenal kelahiran Jelebu, Tan Sri Rais Yatim. Lihat artikel Foray to Kampung Gagu di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Persinggahan turut dibuat di suatu tempat untuk bermandi-manda 23 km selepas Kuala Klawang. Anak-anak dah lama 'tuntut' mahu dibawa ke sungai atau sebagainya. Lihat Taking a dip at Jeram Gading.


Letaknya boleh dikatakan separuh jalan ke Hulu Langat. Semakan melalui apps MyElevation juga program Google Earth menunjukkan Jeram Gading dan persekitarannya terletak pada ketinggian antara 700-800 kaki dari paras laut.

Sesungguhnya laluan ini naik menyeberang kawasan pergunungan Banjaran Titiwangsa...


Masuk dari Negeri Sembilan ke negeri Selangor iaitu di sempadan ketinggian jalan menghampiri 1,700 kaki dari paras laut.


Selepas itu jalan berliku menurun. Di simpang yang kelihatan ini ketinggiannya tinggal sekitar 555 kaki dari paras laut. Masuklah kami ke bahagian 'belakang' atau pendalaman daerah Hulu Langat.


Tidak seperti laluan dari Kuala Klawang laluan sekitar Hulu Langat sudah banyak kali kami tempohi. Menariknya sekarang sedang musium durian. Layanlah juga di satu warung selain makan petang.


Perjalanan diteruskan ke pekan Batu 14 Hulu Langat untuk mengambil jalan bukit ke Ampang.


Turun dari bukit berhenti sebentar menikmati pemandangan bandar raya Kuala Lumpur daripada satu bahagian yang tidak dilitupi pokok...


Sampai ke rumah sekitar jam 6 petang meter kereta menunjukkan kami telah berjalan sejauh hampir 490 km secara keseluruhan. Selesailah perjalanan kecil 3 hari 2 malam. Lepaslah 'gerak' dalam penceritaan... 


Tuesday, July 23, 2019

Perjalanan kecil ke Jelai - Dugaan dari Masjid Taboh Naning ke Masjid Kampung Dulang

Salam malam 21 Zulkaedah. Masuk penceritaan hari ke-2 perjalanan kecil hujung minggu lalu.


Pada penghujung artikel sebelum ini iaitu Perjalanan kecil ke Jelai - Membawa ilmu dan amal dalam pengembaraan sebenar ada disebut bahawa kami sampai ke Masjid Taboh Naning dekat jam 1 malam. Isteri dan anak-anak tidur di satu bahagian masjid sedangkan saya menyendiri di sebelah satu-satunya tiang seri lama masjid. Inilah tiang seri tersebut. Gambar diambil sejurus sebelum menunaikan solat Subuh berjemaah pagi Sabtu 20 Julai 2019.


Selepas mengaji sedikit sebelum matahari muncul kami sambung berehat. Selepas jam 10 baru bersedia untuk menyambung aktiviti dengan menziarahi dahulu makam-makam berdekatan...


Beginilah rupa masjid dari kawasan makam...


Makam pejuang terkenal Naning, Dol Said.


Cerita tentang almarhum dan masjid boleh dibaca pada papan maklumat...





Kami bersarapan lewat di satu warung menghala ke arah Tampin. Kelihatan ada pam tangan dipinjamkan orang.


Apa yang berlaku adalah tayar kiri hadapan kereta kami pancit tapi tak sedar ketika meninggalkan masjid. Nasib baik ada warga tempatan sudi meminjamkan pam.


Sebelum pam singgah dahulu ke tempat bersejarah ini. Warung tadi terletak betul-betul di seberang jalan...





Adapun asalnya dari Masjid Taboh Naning saya bercadang untuk mengambil satu jalan selatan menghala ke Felda Jelai. Tetapi keadaan telah memaksa kami menghala ke arah bandar Tampin untuk mencari kedai tayar.


Pam tadi digunakan agar dapat berjalan barang beberapa kilometer. Sebetulnya tayar sudah koyak di sisi lalu perlu ditukar. Nak beli tayar 2nd hand tiada pula, terpaksa beli tayar baru. Kalau dah beli tayar baru pula terpaksa beli sepasang supaya seimbang.


Apapun kami dapat meneruskan perjalanan dengan selamat lalu menuju ke Felda Jelai.


Sampai ke majlis perkahwinan anak buah yang diadakan di rumah kakak isteri masuk waktu Zohor.


Dekat jam 4.30 baru keluar untuk menyambung perjalanan.


Singgah di kawasan bersejarah Sungai Pertemuan dan laluan purba Jalan Penarikan 8 km ke barat bandar Bahau. Lihat artikel Sungai Pertemuan and Jalan Penarikan revisited di blogspot BERPETUALANG KE ACEH.


Seterusnya kami mengambil laluan ke Batu Kikir di mana terdapat rumah peninggalan tokoh pejuang bahasa dan nasionalis terkenal iaitu Pendita Za'aba.


Dari Batu Kikir menghala pula Kuala Klawang. Ternampak bangunan masjid lama ini lalu singgah untuk melihat lebih dekat. Lihat artikel Masjid lama di (Old mosque at) Sungai Relai, Jelebu di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Satu kilometer sebelum bandar Kuala Klawang kami singgah ke makam tokoh lama pemerintah daerah Jelebu yang dikenali sebagai Moyang Salleh.


Tentang beliau atau baginda sebenarnya boleh baca ini juga artikel Tomb of Moyang Salleh and the canon besides revisited


Seterusnya kami masuk ke Kampung Dulang untuk melihat masjid bersejarah ini.


Ia akan menjadi tempat kami bermalam nanti...


Sebelum itu singgah dahulu ke bandar Kuala Klawang yang merupakan ibu daerah Jelebu...





Untuk solat Maghrib kami ke masjid ini. Lihat Masjid jamek (Main mosque of) Kuala Klawang.


Selepas makan malam baru ke Masjid Kampung Dulang...