Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Rabu, Ogos 20, 2014

Pintu gerbang, gajah, meriam dan gendang Patani

Salam. Jika 2 hari lepas saya telah memberikan ulasan agak panjang lebar tentang sebuah buku dari Indonesia (lihat Tentang dakwaan Borobudur adalah peninggalan Nabi Sulaiman) petang ini saya mahu bercakap tentang satu pembentangan sejarah yang dihadiri 5 hari lalu...


Jumaat 15 Ogos saya pergi ke pusat sumber Jabatan Sejarah Universiti Malaya untuk mendengar satu pembentangan. Kali terakhir saya ke sini kalau tak salah adalah untuk mendengar pembentangan tentang raja-raja Perak lebih 2 tahun lalu. Lihat artikel lama Satu sisi lain salasilah Raja-raja Perak - Fantasi gila atau ada yang tersirat?


Kali ini pembentangan adalah tentang kerajaan Melayu Patani yang sudah terserap ke dalam Thailand sejak lebih 200 tahun lalu, bagaimana sejumlah objek yang dipandang tinggi oleh masyarakat kerana memiliki makna atau perlambangan tertentu  membentuk identiti kerajaan itu. Pembentangan dibuat dalam Bahasa Inggeris oleh pengkaji terkenal sejarah Melayu dari luar, Profesor Dr. Barbara Watson Andaya. Tajuk yang kelihatan boleh diterjemahkan sebagai  "Pintu gerbang, Gajah, Meriam dan Gendang : Simbol dan Bunyi dalam Pembentukan Identiti Patani".


Bagi masyarakat akademik terutama dalam bidang sejarah, nama Andaya tidak perlu diperkenalkan. Dilahirkan dan dibesarkan di Australia sebelum menjadi tenaga pengajar di Hawaii beliau cukup tersohor pada peringkat dunia sebagai seorang pakar sejarah Asia Tenggara dengan penumpuan pada Alam Melayu. Oh, wajahnya tidak berapa terang pada gambar ini kerana asyik bergerak sedangkan gambar diambil menggunakan zoom tanpa flash. Kelihatan duduk dengan gaya pemikir adalah Profesor Emeritus Ahmat Adam, seorang pakar sejarah tempatan. Kali pertama saya ke pusat sumber ini iaitu 3 tahun lalu adalah untuk mendengar pembentangan dari beliau tentang satu versi kitab Sulalatu Salatin (lebih dikenali sebagai Sejarah Melayu) dari Rusia. Lihat Sepetang di Universiti Malaya.



Turut bersama mendengar adalah suaminya, Profesor Dr Leonard Andaya (duduk kiri). Anak jati Hawaii ini memiliki muka seperti orang Melayu, mungkin sebab orang tempatan Hawaii adalah daripada gugusan bangsa besar yang dipanggil Malayo-Polynesia. Beliau juga tidak perlu diperkenalkan kepada warga akademik kerana sudah mencapai reputasi kecendekiawanan peringkat dunia. Pasangan suami isteri ini sudah banyak menulis tentang Alam Melayu.  Leonard juga ada membuat pembentangan di sini beberapa hari lebih awal. Memandangkan ada dua orang dengan last name atau nama keluarga Andaya, biar setiap seorang disebut dengan first name atau nama awal. Untuk pengetahuan pembentangan secara santai ini turut dihadiri sejumlah pengkaji Barat terutama yang ada ikatan dengan UM.


Nama Andaya sering terpapar sebagai rujukan dalam buku-buku sejarah. Buku Barbara, "Perak, the Abode of Grace: A Study of an Eighteenth Century Malay State" yang diterbitkan 1975 oleh Cornell University, salah satu pusat pengajian tinggi paling terkemuka di Amerika pernah menjadi salah satu rujukan saya dalam mengkaji sejarah melibatkan raja-raja Perak. Barbara membuka pembentangan dengan menyatakan masalah yang wujud dalam mengkaji sejarah sesebuah negara. Sempadan yang dicipta kolonialisma atau penjajahan merupakan satu masalah besar kerana menyebabkan banyak pengkajian disempitkan ke dalam ruang lingkup negara masing-masing. Walhal perlakuan sejarah atau peristiwa-peristiwa lama berlaku ketika had sebegitu belum wujud lagi. Maka kita harus keluar dari kepompong sempadan kenegaraan untuk menjangkau lebih banyak fakta dan kebenaran.


Kita juga harus keluar daripada kepompong pemikiran yang terlalu mengutamakan sumber-sumber penjajah. Sumber-sumber tempatan termasuk yang bersifat sastera seperti syair tidak boleh diabaikan kerana mungkin mengandungi kiasan atau masuk tersirat tentang suatu peristiwa sebenar yang lampau.


Dengan itu beliau mula memberikan tumpuan kepada Patani. Pintu Gajah, sebuah pintu gerbang lama masuk ke kota utama kerajaan yang diceritakan dalam kitab Hikayat Patani cuba digapai dengan gambarajah.


Ini kerana pintu gerbang tersebut tidak wujud lagi. Kita cuma boleh membayangkan apakah rupanya begini, apakah begitu? Yang pasti satu penekanan telah diberikan kepada gajah. Ini menurut Barbara harus melambangkan sesuatu yang amat bermakna bagi kerajaan lama Patani.


Sesungguhnya bukan senang-senang kita hendak meletakkan suatu objek pada pintu gerbang sesebuah institusi. Contohnya pintu gerbang Universiti Malaya itu sendiri yang kelihatan seperti melambangkan kecintaan pada ilmu. Kata Barbara, semua bangsa menganggap pintu gerbang memiliki makna simbolik. Ia menandakan titik tempat kawan malah musuh dikenali (kawan dibenarkan masuk, musuh dihalang) dan menjadi tempat penting dalam adat istiadat diraja juga keagamaan.


Pintu Gajah menjadi nama pintu gerbang kota Patani. Namun menurut Barbara, lokasi kota itu sendiri dipilih pengasas kerajaan disebabkan kemunculan seekor pelandok luar biasa. Pintu Gajah menandakan tempat pelandok itu kemudian ghaib menghilangkan diri...


Apapun, yang masuk dalam tajuk pembentangan adalah gajah, bukannya pelandok. Beliau menyentuh tentang ilmu menjinakkan gajah di mana orang-orang yang mampu berbuat begitu memiliki prestij yang tinggi. Katanya, Hikayat Patani menyebut asal-usul keturunan Bendahara kerajaan itu daripada seorang pawang gajah diraja.


Kaitan gajah dengan kerabat diraja dan pemerintahan kerajaan turut diperincikan. Nama gajah-gajah diraja bukan dipilih sembarangan. Contohnya Seri Negeri.


Gajah sebagai suatu yang dipandang tinggi turut tercatat dalam sejarah dan budaya Siam. Ah. Baru nampak gambar Barbara elok sikit tapi kecil. Ini kerana diambil dari tempat duduk saya tanpa zoom. Kalau zoom in rapat, gambar akan jadi terlebih sensitif pada gerakan dan getaran...


Kalau zoom in pada objek kaku seperti paparan insyaallah tiada masalah. Objek seterusnya dalam pembentangan adalah meriam. Ia termasuk salah satu alatan diraja. Ia bukan sekadar senjata malah objek yang 'bertanggungjawab' melindungi sesebuah kerajaan dan memastikan kemakmuran.


Patani memiliki 3 buah meriam besar yang dipandang tinggi. Meriam itu diberi nama Seri Negeri, Datuk Buk dan Nang Liu-liu.


Tak perlulah dihuraikan dengan terperinci setiap perkara ya. Terus pada objek seterusnya dengan membuka satu mukadimah tentang Sensory History, satu konsep melihat sejarah berdasarkan deria - rasa, dengar, bau, lihat, sentuh, cuba memahami dengan lebih mendalam suatu perkara lampau berdasarkan kepekaan pada persekitaran. Contohnya bandar-bandar di Eropah dahulu mungkin terasa jijik dan busuk bagi kita lantaran orang sana yang jarang mandi. Tetapi itu adalah perkara biasa pada mereka.


Untuk memberi gambaran bagaimana budaya yang berbeza boleh memandang elok atau cantik sesuatu yang dilihat busuk atau jijik oleh budaya lain beliau pun menyentuh tentang buah durian. Bagi kebanyakan orang kita durian adalah buah yang enak dengan bau yang menyelerakan. Tetapi bagi orang Barat ia busuk sehingga pernah sebuah hospital di Australia dikosongkan kerana bau durian disangkakan gas.


Dengan itu bunyi-bunyian juga boleh difahami dalam skop yang berlainan. Menurut Barbara orang zaman dahulu mendengar atau membuat persepsi tentang bunyi berbeza dengan kita. Misalnya nobat. Orang zaman sekarang mungkin mendengarnya pelik atau tidak peduli. Orang zaman dahulu memandangnya tinggi.


Maka masuklah objek ketiga pembentangan iaitu gendang... atau lebih tepat, gendang nobat. Kata beliau, bunyi gendang nobat adalah perkara yang mewarnai segenap Hikayat Patani.


Hinggakan pada akhir hikayat lagu atau alunan nobat Patani cuba dicatatkan dengan huruf Jawi menggambarkan rentak dan bunyi gendang. Contohn yang diberikan (saya taip balik sebahagian aje ya)  kemitang gegar kam2 titang gar gam2 titang ditulis panjang lebar seperti mana-mana muka surat hikayat. Kata Barbara ia membuatnya kelihatan seperti cerita tidak masuk akal...


Lainlah kalau diatur begini, baru kelihatan seperti not muzik. Itupun kata Barbara bila disuakan kepada sejumlah pemuzik termasuk pemain dram susah hendak ditangkap bagaimanakah lagunya kerana ini hasil karya orang zaman dahulu, pemahaman harus menurut deria rasa can cara pemikiran mereka.


Kesimpulannya, sejarawan boleh kembali kepada sumber-sumber tempatan dengan persoalan-persoalan baru. Beliau melihat Hikayat Patani bukan sekadar menyenaraikan sejumlah peristiwa malah ingatan dan kenangan masyarakat zaman itu. Tempat-tempat seperti Pintu Gajah terkait dengan peristiwa-peristiwa luar biasa melibatkan pengasasan kerajaan. Yang lain baca dan cuba terjemah sendiri ya. Selepas pembentangan ada sesi soal jawab yang amat menarik. Tapi cukuplah saya bercerita setakat ini. Selamat... :]


Isnin, Ogos 18, 2014

Tentang dakwaan Borobudur adalah peninggalan Nabi Sulaiman

Hari ini, 22 Syawal, minggu ke-4 bulan raya biar dirangsang sedikit pemikiran dengan artikel baru ini...


Petang Khamis 4 Syawal muncul seorang tetamu di perkarangan rumah membawa buku ini. Beliau mahu menghadiahkan buku seraya meminta saya untuk mengulasnya. Rupa-rupanya beliau pernah menghadiri satu forum tentang ketamadunan Melayu di Melaka lebih setahun lepas lalu masih ingat kehadiran saya akibat beberapa soalan yang dilontarkan kepada pembentang di khalayak ramai. 

Katanya sudah lama dia ingin meminta saya mengulas kerana teringat saya memiliki ijazah dalam bidang matematik. Buku itu mengandungi beberapa hujah yang bersifat matematikal dan beliau meminta saya untuk mengsahihkannya. Seperti saya hamba Allah ini berminat untuk mencari kebenaran sambil menggali lebih banyak sejarah Alam Melayu yang sudah lama disembunyikan. Pada forum di Melaka beliau turut mengajukan soalan juga menyatakan pandangan. Lihat artikel Simposium Serantau Asal Usul Melayu - Dari asal membawa ke usul .


Hamba Allah ini sanggup pergi ke Pulau Jawa bertemu penulis buku, warga Indonesia, bernama KH Fahmi Basya untuk mendaparkan penjelasan. Buku yang dihadiahkan kepada saya siap ditandatangani penulis, cuma tahun yang diberikan (1914) mungkin tersilap. Kalau tak salah ingatan beliau ada menyebut mengikut Fahmi yang merupakan seorang ustaz juga pensyarah matematik pergi ke tempat-tempat yang disebutkan dalam buku. Beliau cenderung untuk meyakini dakwaan-dakwaan yang dibuat adalah benar, cuma ada beberapa perkara yang kurang jelas terutama melibatkan perkiraan matematik.

Sebenarnya saya sudah mengetahui tentang kewujudan buku ini lebih setahun lalu. Cuma saya agak skeptik untuk membacanya kerana dakwaan Borobudur adalah peninggalan Nabi Sulaiman terasa begitu ingin memperbesar-besarkan Pulau Jawa dan segala yang berkaitannya. Sesungguhnya saya telah terjumpa dan berjumpa begitu ramai manusia yang suka menggunakan dalil-dalil dari Al-Quran untuk memperbesarkan pulau itu seolah-olah ia pusat dunia dan segala-galanya. Dari penelitian saya kebanyakan mereka terlibat dengan alam kebatinan dan suka mengagung-agungkan jin. Tak kurang yang mengaku mengaji Tasawuf peringkat tinggi lalu mendakwa tidak perlu lagi berpuasa dan bersolat apabila sudah faham hakikat. 




Setelah menerima buku dari tetamu yang sanggup memandu lebih 60 km semata-mata untuk menghadiahkannya, saya anggap sudah sampai masa meneliti dakwaan tentang Borobudur. Baru saya tahu buku yang dikatakan hasil kajian penulis sejak tahun 1979 ini diterbitkan Augustus (Ogos) 2012. Kebetulan saya pertama kali menulis sedikit sebanyak tentang Borobodur pada 1 Ogos 2012, berdasarkan lawatan yang dibuat pertengahan Mei. Lihat Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Wali Hassani di Kebumen, Buddha di Borobudur dan Jawa Kejawen di Jogja.... Untuk makluman Borobodur adalah satu daripada sekian banyak tempat bersejarah di Pulau Jawa  yang dikunjungi bersama isteri dan anak-anak waktu itu. Perjalanan asalnya dibuat untuk menziarahi setiap makam Wali Songo (sembilan wali besar paling terkenal di Jawa) tetapi akhirnya meliputi hampir seluruh pulau dalam tempoh 2 minggu. Lihat cerita terkumpul pada Koleksi artikel "Pusing Pulau Jawa".


Tidak perlulah diulas setiap perkara dalam buku. Biar ditunjukkan hal-hal yang saya fikir paling relevan untuk membedah isinya. Intipati utama adalah dakwaan bahawa bangunan bersejarah Bobobudur yang terletak di tengah Pulau Jawa, dikenali ramai sebagai Candi Borobudur adalah peninggalan Nabi Sulaiman. Lima tingkat tertinggi pada bangunan pula didakwa adalah singgahsana Ratu Balqis yang disebut di dalam Al-Quran dipindahkan dalam sekelip mata dari istana raja perempuan itu ke hadapan Nabi Sulaiman oleh seorang yang memiliki pengetahuan.

Dalam buku-buku sejarah rasmi Borobudur disebut sebagai binaan peninggalan raja-raja dari Dinasti Sailendra antara abad ke 8 ke 9 Masihi. Dinasti dan kerajaan yang pernah memerintah Pulau Jawa ini dikatakan mengamalkan ajaran Buddha dari mazhab Mahayana. Ini terbayang dengan kehadiran patung-patung yang biasa kita lihat sebagai berbentuk Buddha. atau melambangkan ajaran Buddha. Sila rujuk artikel lama saya The 'Buddha-level' of Borobudur di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Ia menunjukkan tinjauan pada beberapa tingkat teratas yang membentuk lingkaran bulat. 

Cuma ketika itu saya ternampak satu sahaja patung serupa Buddha sedangkan rupa-rupanya ada 72 kesemuanya. Menurut bacaan di Wikipedia ada 70 tersembunyi di dalam bangunan-bangunan kecil seperti kubah yang dipanggil stupa, satu lagi terdedah seperti yang saya lihat tetapi di bahagian lain Borobudur yang amat besar. Buku "Borobudur & Peninggalan Nabi Sulaiman" sebaliknya mendakwa patung-patung itu menggambarkan lelaki muda pelayan di syurga seperti disebut dalam Al-Quran. Tapak Borobudur pula dikatakan Lembah Semut yang disebut di dalam Surah An-Naml. 

Menurut penulis buku, Istana Ratu Balqis terletak 36 km dari Lembah Semut. Ini adalah di timur bandar raya Jogjakarta, di tempat yang dikenali penduduk tempatan sebagai Istana Ratu Boko. Lalu singgahsana Ratu Balqis dipindahkan dari situ ke Lembah Semut untuk membentuk beberapa lapisan teratas Borobudur. Ia menjadi penyeri binaan besar yang seterusnya dikerjakan oleh makhluk jin. Nabi Sulaiman sendiri dikatakan memerhatikan segala kerja sehingga baginda wafat ketika duduk bertongkat dalam satu stupa lalu kelihatan satu dua bahagian yang tidak siap.


Untuk menguatkan dakwaan ini, selain menggunakan ayat-ayat Al-Quran yang ditafsirkan untuk memenangkan hujah penulis telah menggunakan kira-kira matematik berdasarkan jumlah segala ayat yang wujud di dalam Al-Quran. Beberapa faktor matematikal seperti jumlah huruf Alif, Lam dan Mim dalam surah-surah yang dimulakan dengan ayat Muqataat (ayat-ayat yang bermula dengan huruf-huruf seperti Alim, Lam, Mim juga Ha, Min) turut menjadi sandaran. Penulis juga menggunakan apa yang dipanggil Kod 19 untuk mengupas isi. Ini merujuk kepada cara melihat hubungan antara ayat juga surah yang dikelompokkan dalam kumpulan 19 ayat/surah juga faktor nombor-nombor yang boleh dibahagikan dengan 19.

Di atas adalah carta jumlah ayat dalam setiap surah. Al-Quran memiliki 114 surah dan semasa membaca buku baru saya tahu 112 dimulakan dengan lafaz Basmallah (Bismillahirrahmanirrahim), cuma satu sahaja tidak iaitu Surah ke-9, at-Taubah. Al-Fatihah yang merupakan surah pertama dan pembukaan Al-Quran pula memang menyertakan bacaan Basmallah sebagai ayat pertama. Dengan itu biar kita bedah dahulu bahagian buku yang menggunakan kira-kira matematikal untuk mengangkat keistimewaaan Borobudur.


Jumlah seluruh ayat di dalam Al-Quran disebut 6348. Ini adalah 6236 jumlah ayat dari setiap 114 surah dicampur 112 lafaz Basmallah yang membuka surah. 6348 adalah bersamaan 23 x 23 x 12. Jika dilukis sebagai gabungan blok-blok (buku menyebutnya sebagai balok) dalam bentuk 3D atau 3 Dimensi ia menjadi kotak dengan panjang 23 blok x lebar 23 blok kali tinggi 12 blok.

Kotak ini meliputi piramid dengan  dimensi 23 x 23 x 12 seperti ditunjukkan dalam gambarajah. Ia dipanggil Piramid 23. Walaupun 5 lapisan teratas Borodur berbentuk lingkaran bulat, jumlah stupa pada 3 yang kelihatan  (2 lapisan teratas diwakili stupa besar dengan sebuah batu menajam ke atas tidak ditunjukkan di sini) iaitu 16, 24 dan 32 boleh 'dilipat' untuk menyamai jumlah blok bahagian atas piramid. Bawah dari itu Borobudur memiliki 7 lapisan bersegi empat. Lalu ia pun disamakan dengan Piramid 23 sedangkan Piramid 23 pula adalah satu manifestasi dari jumlah seluruh ayat dalam Al-Quran.


Menggunakan ayat yang menyebut langit adalah 7 tingkat, bulatan 7 lapis boleh dilukis dengan cara meletakkan bulatan paling kecil sebagai memiliki jejari 1 unit diliputi lapisan kedua dengan jejari 2 unit hingga seterusnya lapisan ketujuh 7 unit. Dari situ penulis menyebut ukur lilit langit ketujuh yang meliputi langit-langit lain sebagai 44 unit. Ini didapati dengan menggunakan formula yang kalau tak salah ingatan saya pernah dipelajari ketika Darjah 3 sekolah rendah iaitu U (ukur lilit) = 2  x 22/7 J (jejari). 

Sebenarnya formula tepatnya adalah  U =2πJ di mana π adalah nisbah ukur lilit bulatan yang sempurna berbanding lebar bulatan melalui titik tengah yang bersamaan 2 x jejari. Ini kita mula belajar apabila masuk Darjah 5 kalau tak salah, ketika sukatan pelajaran matematik atau ilmu hisab memasuki bab Trigonometri iaitu ilmu berkaitan sudut dan ukur sisi segi tiga. Melalui ilmu matematik Kalkulus yang seingat saya mula diajarkan pada Tingkatan Empat sekolah menengah tetapi cuma dapat membuat kiraan tepat nisbah  apabila masuk pra-universiti, π = 3.14159265358979323846264338327950288419716939937510. Itupun tidak cukup tepat kerana itu adalah untuk 50 nombor selepas tanda titik (50 decimal points). Sedangkan tidak ada noktah untuk memuktamadkan nilai π (disebut pi dalam Bahasa Inggeris) seperti halnya 1/9 = 0.1111111111.... yang nombor 1 itu tidak akan habis, bahasa matematiknya dipanggil ad infinitum atau sehingga infiniti. Kita cuma boleh memilih untuk memakai sehingga berapa nombor.

Oleh itu untuk kira-kira biasa dan praktikal yang sering dimanfaatkan dalam kehidupan awam ia boleh dibulatkan menjadi π = 3.142. Ini boleh disamakan dengan 22/7 (sebenarnya 3.142857... iaitu ada lagi angka di belakang). Itulah yang kita belajar di awal sekolah rendah sesuai dengan tahap perkembangan minda kebanyakan orang. Seingat saya, murid pernah disuruh mengukur ukur lilit tudung tin milo berserta jejari, kemudian disuruh cari nisbah. Formula,  U (ukur lilit) = 2  x 22/7 J (jejari) itulah yang digunakan oleh penulis buku untuk membina hujah kelebihan Borobodur berdasarkan langit memiliki 7 tingkat.

Maka langit 7 tingkat yang digambarkan dalam bentuk 2 Dimensi menjadi lapisan bulatan dengan jejari 7 unit membawa kepada ukur lilit 44 unit. Bulatan 44 unit boleh 'dilentur' untuk membentuk segi empat sama dengan setiap sisi sepanjang 11 unit seperti ditunjukkan pada rajah. Bentuk 2 Dimensi 'dianjak' menjadi kotak 3 Dimensi dengan setiap sisi sepanjang 11 unit. Ini membentuk blok 11 x 11 x 11 = 1331 unit. Ia mewakili 7 lapisan langit dan segala isinya lalu bumi dimasukkan sekali ke dalam blok itu.


Ada beberapa lagi kiraan matematik yang disentuh buku tetapi biarlah saya pergi pada ini. Oh. Lupa nak cakap. Setiap gambar/muka surat yang disertakan boleh dilihat lebih besar dan terang dalam windows baru. Menggunakan ayat Al-Quran yang menyebut langit dan bumi pernah bersatu sebelum dipisahkan 5 blok terbawah 'dicabut' dari blok induk 11 x 11 x 11 untuk membentuk satu piramid yang kurang tajam. Ini dibuat supaya bahagian atas tinggal 1,046 blok, bawah menjadi 285 blok (1046 + 285 = 1331 = 11 x 11 x 11).

Kenapa 1,046 blok? Maka masuklah kita pada surah-surah yang dimulakan dengan ayat Muqataat. Katanya ada 6 buah surah lalu jumlah huruf Alif, Lam dan Mim dalam setiap surah dicampurkan, semuanya boleh dibahagikan dengan 19 (Kod 19 yang katanya boleh memecahkan banyak rahsia Quran). Jumlah Alif, Lam, Mim bagi semua surah dicampurkan dan ini bersamaan 1,046 x 19. Nah, 1,046 dari bahagian atas blok 11 x 11 x 11 yang dipecahkan atau lebih tepat, dipisahkan tadi pun disamakan dengan ini. Setiap satu blok dikira mewakili Alif, Lam, Mim.

Sekarang ambil satu unit dari bahagian tengah blok 1,046 yang mewakili Alif, Lam, Mim tadi. Letakknya ke atas blok bahagian bawah yang terpisah dari 11 x 11 x 11 tadi iaitu piramid kurang tajam 285 blok. Maka terbentuklah piramid tajam 286 blok yang mana blok paling atas, blok satu unit itu mewakili Alif, Lam, Mim. Maka dikaitkan pula dengan Surah Al-Baqarah yang memiliki 286 ayat, yang mana ayat pertamanya tidak lain tidak bukan adalah Alif, Lam, Mim.



Sungguh, apa yang diketengahkan melalui aplikasi perkiraan matematik terhadap ayat-ayat Al-Quran dan isi kandungan kitab suci oleh penulis amat menakjubkan. Kesimpulan yang boleh dibuat, pada binaan Borobudur itu ada perkiraan matematik yang mewakili ilmu dari Ummul Kitab. Bagaimana ini boleh berlaku jika pembinanya orang sembarangan? Begitulah hujah dibina untuk menunjukkan pembinaan Borobudur adalah berdasarkan ilmu wahyu. Lalu ia pun mula dikaitkan dengan Nabi Sulaiman.


Di sinilah penulis mula menyimpang untuk menguatkan hujah. Gambaran-gambaran timbul pada batu dinding Borobudur, disebut dalam Bahasa Inggeris sebagai relief juga disebut penulis sebagai tamatsil (Bahasa Arab rasanya) mula diketengahkan sebagai 'bukti'. Perkataan-perkataan ini digunakan kerana pada penulis ia bukan dipahat tetapi dilentur atau dilunak batu. Katanya, cuma jin mampu berbuat begitu, manusia tidak mampu melakukannya.

Menggunakan ayat-ayat Al-Quran yang menyebut Nabi Sulaiman boleh memerintahkan jin untuk mendirikan binaan yang hebat-hebat termasuk patung-patung, tamatsil yang terdapat di Borobudur pun dikatakan hasil binaan jin di bawah perintah baginda. Saya tiada masalah. Cuma setahu saya ada juga orang lain boleh memerintah jin untuk melakukan perkara serupa, cuma tidak sehebat Nabi Sulaiman. Maka itu kalau setakat bangunan hebat dibina dengan pertolongan jin, boleh jadi juga ia di bawah penguasaan dan perintah orang lain, tidak semestinya nabi yang terkenal dengan kekuasaan dan kerajaan yang besar itu.

Bagaimana saya boleh menyokong kenyataan membidas ini? Senang sahaja. Dengan menolak satu dakwaan penulis yang cukup terang menyimpang. Ini adalah berkenaan tamatsil yang didakwanya adalah gambaran Nabi Daud pada satu sisi Bobodur.


Lihat kenyataan penulis. Tamatsil itu menunjukkan seorang yang kepalanya terlebih besar dari badan. Untuk memadankan ini dengan isi Al-Quran sebahagian ayat 247 Surah Al-Baqarah dijadikan hujah. Terjemahan yang diberikan untuk menyokong dakwaan adalah "Sesungguhnya  Allah telah pilih dia atas kamu dan telah tambah DIA JADI BESAR DALAM ILMU DAN BADAN." Sedangkan apabila dirujuk pada sebuah kitab tafsir Al-Quran milik saya, ayat sama membawa makna orang yang dipilih itu ditambahkan dengan ILMU YANG LUAS DAN TUBUH YANG KUAT. Tidak ada pun menunjukkan saiz badan apalagi kepala terlebih besar.


Bukan itu sahaja. Malah ayat itu terang-terang merujuk pada Thalut, seorang pemuda Bani Israel yang Allah angkat menjadi raja sebelum Nabi Daud. Bagaimana penulis yang katanya hafiz Al-Quran boleh membuat kesilapan sebesar ini? Yang saya nampaknya beliau terlalu taksub hendak membina hujah mengaitkan Nabi Sulaiman dengan Borobudur dan Pulau Jawa sehingga samada tersilap pandang, atau sengaja menyembunyikan kebenaran. Boleh jadi juga ini akibat gangguan jin yang saya lihat sering berlaku pada orang-orang yang terlalu mengagung-agungkan Pulau Jawa, seringkali atas dasar mendapat maklumat dan pengesahan dari alam ghaib. Teringat suatu masa dahulu ada orang sampai memberitahu saya Nabi Sulaiman memiliki satu kecacatan. Kakinya berbentuk pelik seperti halnya binatang laut yang kita kenali sebagai Tapak Sulaiman. Pulak... :]

Maka itu hujah menyamakan beberapa tamatsil lain dengan Nabi Daud juga Sulaiman juga Ratu Balqis boleh dipersoalkan. Namun saya tidak mahu menjadikan ini sebagai alasan untuk menyanggah terus isi buku. Sesungguhnya beberapa tamatsil kelihatan seperti menunjukkan cerita-cerita di dalam Al-Quran, antaranya satu yang kelihatan seperti Nabi Daud menyerahkan kekuasaan kepada Nabi Sulaiman lengkap dengan peti seperti Tabut yang sangat terkenal sebagai simbol kekuasaan Bani Israel, satu menunjukkan Nabi Yunus dilontar ke dalam laut untuk ditelan ikan Nun. Selain itu ada tamatsil perempuan berjalan atas lantai penuh ikan sambil menyingsing kain seperti merujuk pada kisah Ratu Balqis yang menyangkakan lantai licin di Istana Nabi Sulaiman adalah kolam. Boleh jadi ia dibuat atas arahan Nabi Sulaiman. Tetapi boleh jadi juga ia dibuat oleh orang lain pada zaman kemudian berdasarkan cerita-cerita di dalam Al-Quran, atau dari kitab-kitab terdahulu yang ada menceritakan hal serupa...



Pada saya masih lagi boleh jadi Borobudur memang tinggalan Nabi Sulaiman. Cuma penulis kadangkala terlalu ghairah membina hujah sehingga boleh menyimpang. Misalnya saya bersetuju negeri atau kerajaan Saba' yang diperintah Ratu Balqis pernah meliputi Asia Tenggara. Ini kerana saya telah diberitahu hal ini oleh orang tua-tua sejak lebih 10 tahun lalu selain mendapat beberapa ilham tentangnya. Tetapi mengatakan Saba' itu Indonesia seperti didakwa penulis dengan Pulau Jawa sebagai pusat kekuasaan bagi seluruh Saba'? Itulah contoh keghairahan melampau yang boleh menyimpang dari kebenaran. Pada beberapa peta dalam buku ditandakan sebahagian besar Asia Tenggara sebagai Saba' seperti halnya benua besar purba yang dikenali sebagai Sundaland (lihat penerangan pada artikel lama Penemuan-penemuan menarik pada polemik sejarah di Arkib Negara 19 April 2011). Kalau begitu kenapa tidak disebut Saba' itu adalah Indonesia, Malaysia, Brunei dan Singapura... atau Saba' itu Nusantara kalau tidak pun mahu disebut Alam Melayu? Kenapa sebut Indonesia sahaja?

Jawabannya adalah ketaksuban kedaerahan yang melampau, sangat ingin memperbesar-besarkan Indonesia terutama Pulau Jawa. Atas ketaksuban itu nampaknya sepotong ayat Quran dari Surah as-Saba'  menyebut pernah berlaku banjir besar di Saba' yang merosakkan dua hutan (atau taman bergantung pada tafsiran) sehingga buah-buahnya jadi pahit dikaitkan dengan kemunculan kerajaan Majapahit, kerajaan terbesar dan paling utama pernah berpusat di Jawa.


Ketaksuban ini terbawa-bawa sehingga hutan di barat kota Jogja juga ke barat Borobudur dikatakan sebagai hutan tersebut. Alasannya, tempat itu bernama Wonosobo, sebutan pelat Jawa untuk Wanasaba. Wana dalam bahasa Jawa bermakna hutan, maka Wanasaba adalah hutan Saba' dakwa penulis. Kebetulan pula di sekitar Jogja ada tempat bernama Sleman. Terus dikaitkan dengan Nabi Sulaiman. Kalau begitu mungkin saya patut sebut tempat bernama Changkat Sulaiman di Sungkai, Perak juga adalah tinggalan Nabi Sulaiman. Macamlah di dunia ini cuma ada seorang sahaja bernama Sulaiman...


Ilmu matematik dan fizik juga digunakan dalam ketaksuban yang semakin melarat-larat apabila buku dibaca lebih lanjut  Ada satu bab penulis gunakan untuk berhujah bahawa singgahsana Ratu Balqis dipindahkan dari Istana Ratu Boko (dalam kawasan Sleman) ke Borobudur pada  60,000 kali kelajuan cahaya! Untuk pengetahuan cahaya bergerak pada kelajuan 299,792,458 km per saat apabila melalui vakum atau kawasan hampagas seperti di angkasa lepas. Pada medium atau laluan seperti udara, air, kaca ia bergerak sedikit perlahan tetapi perbezaannya terlalu kecil untuk diambil kira. Untuk memudahkan kiraan dan ingatan kelajuan cahaya sering ditulis sebagai  constant (saya tak ingat dalam Bahasa Melayu apa, maknanya satu nilai tetap, tidak berubah-ubah)  dengan huruf    c = 3 x 108 meter per saat (10 kuasa 8 iaitu 100,000,000).



Penulis berhujah berdasarkan ayat Quran ke-40 Surah an-Naml yang ditafsirkannya sebagai "Aku bisa datangkan dia kepadamu sebelum kembali kepadamu pemandanganmu", 'dia' merujuk pada singgahsana Ratu Balqis (semak keseluruhan cerita). Maksud yang saya faham dari tafsir ini juga dari tafsir Quran yang dimiliki (walaupun ayat terjemahannya lain sedikit) adalah orang berilmu dalam cerita, kata sesetengah orang namanya Asif bin Barkhiya, saudara sepupu Nabi Sulaiman, boleh mengalihkan singgahsana dalam sekelip mata. Pada faham saya, "sebelum kembali kepadamu pemandanganmu" itu merujuk pada keadaan yang mana Sulaiman sedang memandang kepada Asif ketika saudaranya itu berkata-kata, sebaik sahaja selesai ayat lalu baginda menoleh ke arah lain singgahsana sudah muncul. Tetapi penulis pula menafsirkannya sebagai jarak yang dilalui cahaya untuk penglihatan terdekat manusia tanpa kabur akibat terkeluar fokus. Dia meletakkan ini sebagai 30 cm, maka, "Aku bisa datangkan dia kepadamu sebelum kembali kepadamu pemandanganmu." ditafsirkan sebagai cahaya bergerak pada satu objek 30 cm di hadapan mata sebelum kembali ke mata menjadikan jarak keseluruhan 60 cm (30 pergi 30 balik).

Oleh kerana singgahsana dipindahkan dari Istana Ratu Boko ke Borobudur sejauh 36 km dalam tempoh cahaya bergerak 60 cm, maka 36 km bersamaan 3,600,000 cm pun dibahagikan dengan 60 cm menjadi 60,000 kali kelajuan cahaya. Pada saya ini adalah kesimpulan paling taksub lalu membawa pada penyalahgunaan ilmu matematik dan fizik yang amat kronik.


Kenapa saya sebut begitu? Kerana penulis kemudian cuba mengaitkan peristiwa pemindahan singgahsana Ratu Balqis versi Jawa ini dengan beberapa fenomena penyejukan cuaca secara tiba-tiba yang pernah berlaku di beberapa tempat di dunia. Menggunakan formula E = mc2 (tenaga [E] bersamaan m [jisim] darab c [kelajuan cahaya[ kuasa 2) yang diperkenalkan oleh saintis tersohor Albert Enstein penulis kemudian berhujah peristiwa pemindahan singgahsana telah menerbitkan tenaga yang luar biasa banyaknya iaitu E = m x  (60,000c) kuasa dua, m merujuk pada jisim singgahsana. Menggunakan prinsip tenaga diagihkan ke atas satu bahagian permukaan bumi yang dipilih, beliau menambah ini menyebabkan penyejukan mendadak - 1 juta Celsius meliputi bumi sehingga ketinggian 11,400 km! Inilah katanya menyebabkan fenomena pembekuaan mendadak  yang pernah melanda di beberapa tempat di dunia, antaranya di Quelcaya, Peru, Amerika Selatan dan Gunung Kilimanjaro di Afrika. Sila Google tentang ini...

Amat gila dakwaan ini. Kalau ditunjukkan pada saintis yang memiliki kelulusan rasmi, bukan jurusan alternatif yang seringkali terlalu mudah mendapat gelaran Dr dan Prof tanpa perlu memenuhi tuntutan kelayakan piawai biasa, ini malah boleh dianggap penipuan kalau tidak pun kebodohan yang amat besar. Ini kerana menurut Einstein yang menerbitkan formula E = mc2 untuk menyatakan tenaga yang boleh dihasilkan dalam suatu proses nuklear, tidak ada objek boleh bergerak melebih kelajuan cahaya. Formula yang diterbitkan melalui teori yang dipanggil Special Theory of Relativity ini menyatakan semakin laju satu objek semakin berganda-ganda tenaga yang diperlukan untuk menggerakkanya. Malah jisim objek akan bertambah sehingga pada c iaitu kelajuan cahaya ia menjadi infiniti lalu mustahil untuk digerakkan... melainkan objek yang dimaksudkan adalah cahaya yang mana jisimnya boleh dikatakan kosong atau tidak berjisim. Maka formula E = mc2 tidak terpakai untuk kelajuan melebihi cahaya apalagi untuk 'disumbat-sumbat' menjadi E = m x (60,000c)2... kerana formula ini tidak membenarkan kelajuan c itu berubah, yang boleh berubah adalah m iaitu jisim sahaja diikuti E untuk tenaga.

Kedua, tidak wujud keadaan - 1 juta Celsius. Dalam ilmu fizik keadaan paling sejuk didefinisikan dalam ilmu Themodynamics sebagai berlaku apabila aktiviti pergerakan atom pada jisim berhenti atau dibekukan sama sekali. Ini cuma boleh berlaku pada suhu 0 Kelvin bersamaan -273 Celsius, suhu yang dipanggil Absolute Zero. Dalam ilmu fizik tidak ada suhu lebih rendah dari itu. Maka itu menggunakan kira-kira fizik untuk memenangkan hujah dalam hal ini adalah samada satu penipuan atau kebodohan.

Mungkin pembaca biasa yang tidak kuat kefahaman ilmu matematik dan fizik kurang jelas tentang ini. Baiklah. Kita terangkan begini. Kalau betul singgahsana Ratu Balqis digerakkand dari Istana Ratu Boko ke Borobudur pada kelajuan 60,000 x cahaya, tidakkah ia boleh menjahamankan pelbagai objek dalam perjalanan sehingga ke tempat Nabi Sulaiman itu sendiri? Sedangkan angin dari lori yang bergerak lebih 100 km/h boleh 'meniup' sedikit kereta Kancil ke tepi inikan lagi singgahsana seberat berpuluh, mungkin beratus tan bergerak pada kelajuan berkali kali kali ganda melebihi cahaya. Bagaimana pula keadaan objek yang digerakkan begitu laju hendak berhenti? Anda tidak perlu memahami hukum momentum fizik atau Newton's Law of Motion untuk mendapat gambaran harus dah hancur tempat singgahsana itu berhenti selepas digerakkan begitu laju. Bagaimana pula dengan suhu yang didakwa penulis mencapai - 1 juta Celsium akibat pemindahan pada kelajuan 60,000 x cahaya itu? Satu dunia boleh menurun suhu sehingga meliputi ketinggian 11,400 km, manakah kesannya di Pulau Jawa?

Nyata ini semua dakwaan yang amat melampau menggunakan hukum matematik dan fizik untuk mempengaruhi orang yang kurang berpengetahuan. Lagipun saya pernah diberitahu cara pemindahan singgahsana itu bukan dengan menggerakkannya dari titik A ke B menurut hukum pergerakan biasa lalu perlu melalui tempat-tempat antara A ke B. Misalnya untuk menggerakkan lori dari Kuala Lumpur ke Ipoh, kita perlu melalui Rawang, Tanjung Malim, Sungkai, Bidor dan Tapak. Yang saya tahu singgahsana bergerak sekelip mata dengan cara teleportasi (teleportation). Ia ibarat Doremon di Jepun memasukkan tangan ke dalam karung ajaib lalu tangannya keluar dari karung ajaib berpasangan di Korea. Atau wali besar Terengganu abad ke-17 iaitu Tok Pulau Manis memasukkan tangan ke dalam jubah ketika bersyarah di Mekah untuk mengambil sebiji durian di Kuala Berang, Terengganu. Tangannya muncul di Terengganu  tanpa perlu memanjang atau merentas Lautan Hindi, atau melalui Pakistan, India, Thailand untuk sampai.

Ilmu tentang cara pemindahan singgahsana Ratu Balqis ini pernah saya baca dalam sebuah kitab Tasawuf kira-kira 20 tahun lalu. Kalau tak salah ingatan ia ditulis oleh Sheikul Akbar Ibnul Arabi lalu menyebut tentang satu konsep kejadian dan pembaharuan alam yang sentiasa bergerak tapi kita tak sedar, dipanggil Nafas Rahman...



Nak saya cerita lagi tentang penyelewangan atau ketaksuban melampau yang dibuat untuk menyokong hujah mendakwa Borobudur adalah peninggalan Nabi Sulaiman? Nabi Sulaiman dikatakan orang Jawa. Sebab apa? Sebab namanya bermula dengan Su... disamakan dengan presiden-presiden Indonesia seperti Sukarno, Suharto dan Susila. Untuk menyokong lagi dakwaan, diputar-belit pula ayat ke-12 Surah As-Saba'. Penulis menterjemahkannya sebagai "Dan kepada Sulaiman, angin bertiup paginya sebulan dan petangnya sebulan" lalu menafsirkan ia sebagai merujuk kepada angin Monsoon di Asia Tenggara. Ini dilanjutkan sebagai menunjukkan tempat baginda berada... maka Nabi Sulaiman pun dikatakan berasal dari Indonesia. Walhal tafsir yang saya miliki menterjemahkan ayat sama sebagai "(Kami tundukkan) angin untuk Sulaiman, perjalanan paginya (sama dengan) sebulan (perjalanan) dan perjalanan petangnya sebulan pula". Ini bermaksud baginda diberi kuasa ke atas angin sehingga boleh membawanya ke tempat yang jarak perjalanannya biasanya memakan tempoh sebulan tetapi boleh diliputi baginda dalam satu pagi atau satu petang. Bermakna Nabi Sulaiman boleh pergi ke mana sahaja di muka bumi dalam waktu yang singkat termasuk ke Pulau Jawa. Tetapi tidaklah ini menunjukkan baginda berasal dari sana.



Sesungguhnya buku ini memiliki beberapa kelebihan dalam mengupas makna dari ayat-ayat Al-Quran terutama ketika mengunakan kira-kira bersifat matematikal. Cuma berlaku banyak kali juga penulis 'suka suka hati dia' sahaja meletakkan suatu perkara tanpa sebab yang terang kecuali untuk memenuhi tuntutan hujah. Misalnya gambarajah kiri di atas menunjukkan stupa-stupa yang mengelilingi 3 lapisan atas Borobudur diatur mengikut nombor 1 hingga 31 berpandukan Surah al-Insan yang memiliki 31 ayat. Surah ini dipilih kerana ayat ke-19 menyebut tentang Wildan iaitu satu panggilan bagi lelaki muda pelayan di syurga dan ini kena dengan kedudukan stupa berkaitan di Borobudur di mana ada patung menyerupai lelaki muda. 

Sudah disebut pada awal artikel, menurut Wikipedia bahagian atas Borobudur memiliki 72 patung yang kelihatan seperti Buddha. Tetapi semuanya tersorok di dalam stupa kecuali 2. Selepas stupa nombor 31 menandakan tamatnya penyeragaman dengan Surah Al-Insan proses disambung dengan Surat at-Thuur untuk membentuk lingkaran ke dalam. Pada ayat ke-24 surah disebut tentang Ghilman yang merupakan pelayan di syurga tetapi lebih tua. Pada stupa dalam yang ditanda nombor itu terdapat satu lagi patung yang terdedah. Rupanya seperti patung yang dikaitkan dengan Wildan tetapi kelihatan lebih tua.

Untuk mendapatkan kedudukan menarik yang terkait dengan rupa fizikal sebenar patung-patung di Borobudur itu, tanda untuk ayat 31 Surah al-Insan diikuti ayat 1 Surah at-Thuur di bawah sebelum menyusul ayat 2 ke kiri diikuti satu lingkaran baru ke dalam. Ini saya boleh faham dan kelihatan begitu logik. Yang mula terasa 'suka-suka' adalah apabila masuk gambarajah kanan atas di mana Surah al-Haj pula dikaitkan. Apakah sebab ayat ke-2 surah dianjakkan ke kanan bawah, tidak ke kanan sahaja seperti pada Surah at-Thuur tadi. Kelihatan pada saya ini semata-mata supaya ayat ke-23 surah jatuh pada patung yang dikatakan Ghilman... kerana pada ayat tersebut ada disebut "pakaian dari sutera", untuk menepati lagi ciri-ciri patung yang kelihatan ada ukiran/pahatan/lunakan seperti sutera.

Atas prinsip yang sama di mana nombor-nombor boleh dianjak hampir sesuka hati, kejap ikut arah jam, kejap lawan arah, 'kalendar' pada gambarajah kanan pun dibentuk. Ini untuk mendapatkan barisan nombor berikut iaitu 8 - 45 - 17 lalu dikatakan menunjukkan tarikh kemerdekaan Indonesia 17 Ogos 1945. Ikut suka-suka je nak bagi hujah sedap. Ada ke kalendar mana-mana mengatur nombor sebegitu rupa? Kalau 8 - 17 - 45 mungkin juga kerana ada yang meletakkan bulan kemudian baru hari. Tapi tak pernah saya jumpa mana-mana kalendar yang letak tahun di tengah. Dan lagi kenapa mesti kalendar Masihi? Kenapa tak Hijriah mahupun tahun Saka menurut kalender lama Jawa?


Kesimpulannya terdapat beberapa hujah yang boleh dikatakan 'ditangkapmuat' agar kelihatan cantik teratur. Lihat ini. Sekali lagi kedudukan stupa-stupa dijadikan asas kiraan matematikal, kali ini untuk mendapat sudut 104' 5'' darjah yang katanya sudut air. Sebabnya molekul air terdiri daripada 2 atom Hidrogen, 1 atom Oksigen, sering ditulis sebagai H2O. Dengan atom O ditengah, 2 H itu membentuk sudut 104' 5'' antara satu sama lain, sangat logik dan saya boleh menerima ini.


Tetapi mengikut satu perkiraan lain berdasarkan apa yang penulis sebut sebagai Permata Quran - nombor 1 hingga 50 diatur dalam satu lingkaran bulatan mengikut aturan tertentu, sudut airnya dah jadi 104' 4''. Mana yang betul ni?



Adapun sebelum dakwaan seperti dalam buku muncul kerajaan Saba' Ratu Balqis dikatakan pernah terletak di Yemen, hujung Semenanjung Arab. Penulis pula mendakwa ia terletak di Indonesia dengan pusat di Pulau Jawa, lebih tepat di Sleman, ke timur kota Jogja. Saya berpendapat kerajaan Saba' yang dikatakan amat besar itu meliputi KEDUA-DUANYA HUJUNG SEMENANJUNG ARAB JUGA ASIA TENGGARA. Bab sebelum penutup buku diakhiri dengan dakwaan bahawa segala 'bukti' menunjuk pada Indonesia, tiada pada Yemen. Biar dinilai satu persatu...


1. Di Indonesia ada nama Saba' di Yemen tiada. Setahu saya cerita tentang Saba' di hujung Semenanjung Arab telah berkumandang di kalangan orang Arab sejak zaman berzaman. Malah raja-raja Ethiopia ataupun Habsyah, negeri di Afrika yang terletak selatan sedikit menyeberang laut dari Yemen didakwa berasal dari keturunan Ratu Balqis.

2. Hutan Saba' di Indonesia ada di Yemen tiada. OK. Ini boleh diterima kerana Yemen diketahui dipenuhi padang pasir. Tetapi tidaklah sampai menafikan kemungkinan pernah ada hutan di Yemen terutama pada zaman Nabi Sulaiman yang disebut hidup 900 tahun Sebelum Masihi.

3. Tempat bersujud di Indonesia ada di Yemen tiada. Ini boleh dipersoalkan. Tempat bersujud yang dimaksudkan adalah tempat Ratu Balqis dan rakyatnya dikatakan dalam kisah Al-Quran dilihat oleh burung hud-hud menyembah matahari. Buku ini mendakwa tempat sujud menghadap matahari ada di Istana Ratu Boko lalu menunjukkan gambar. Saya tidak tahu jika ada tempat bersujud sebegitu di Yemen tetapi saya tahu di sana juga ada peninggalan bangunan-bangunan lama yang dikatakan dari kerajaan Saba'. Mungkin tempat sujudnya ada, mungkin juga sudah dihilang ditelan zaman.

4. Arsy di pindah di Indonesia ada di Yemen tiada.  Turut boleh dipersoalkan atas alasan serupa di atas. Arsy di sini merujuk pada singgahsana Ratu Balqis yang dakwa penulis dialih dari Istana Ratu Boko lalu membentuk bahagian atas Borobodur. Tinggalan di Yemen harus dirujuk sepenuhnya untuk mencapai kata muktamad sedangkan penulis nampaknya cuba menafikan kewujudan apa-apa tinggalan Saba' di sana.

5. Sisa Arsy di Indonesia ada di Yemen tiada. Sama seperti di atas. Biar ditambah penulis menyebut ada sisa-sisa stupa di Istana Ratu Boko yang menyerupai apa yang terdapat di atas Borobodur. Lalu beliau menyimpulkan itulah tinggalan dari singgahsana yang dialihkan. Sebetulmya orang lain juga boleh berhujah, sisa-sisa stupa setakat menunjukkan pembina Istana Ratu Boko dan pembina Borobodur adalah pihak yang sama. Ini tidak menghairankan kerana jarak antara kedua tempat cuma 36 km. Apakah jika kita terjumpa rumah separuh siap belah kanan di Serendah lalu terjumpa pula rumah rekabentuk serupa tapi separuh siap belah kiri di Ulu Yam maka ini bermakna separuh rumah telah dipindahkan dari Serendah ke Ulu Yam? Sendiri mahu fikirlah...

6. Sidrin Qolil di Indonesia ada di Yemen tiada. Ini merujuk pada satu binaan di Istana Ratu Boko yang penulis sebut sebagai Sidrin Qolil mencontohi tempat dengan nama itu di dalam Al-Quran. Katanya ia bangunan kecil berbanding kawasan tengah istana yang kelihatan begitu lapang, seolah-olah ada bangunan besar pernah wujud di situ sebelum dialihkan, bangunan yang dikatakan singgahsana kemudian membentuk bahagian atas Borobudur. Pada saya tak mustahil istana memang dibuat begitu, tiada bangunan di tengah, Tak mustahil juga bangunan serupa/hampir serupa pernah atau masih wujud di Yemen seperti disebut di atas.

7. Buah pahit di Indonesia ada di Yemen tiada. Yang ni saya tak tahu. Mungkin ada orang yang pernah ke Yemen boleh memberitahu apakah ada buah pahit di sana.

8. Sisa banjir di Indonesia ada di Yemen tiada. Ini satu lagi contoh penyelewengan fakta. Samada penulis tidak tahu atau buat-buat tak tahu bahawa di Yemen ada sisa empangan purba Maarib yang amat besar dan ia pernah pecah lalu membanjirkan sekurang-kurangnya seluruh kawasan berdekatan sehingga ke kota-kota. Cerita ini malah terkenal dalam sastera lama Arab. Dikatakan inilah mula kejatuhan kerajaan Saba'. Malah rata-rata terjemahan/tafsiran Al-Quran mengenai cerita berkaitan (rujuk Surah as-Saba' ayat 15-19) menyatakan tentang Saba' dilanda banjir akibat bendungan (empangan) pecah. Cuma penulis buku  'Borobudur & Peninggalan Nabi Sulaiman" dan mereka yang sependapat sahaja menafsirkan ia sebagai banjir yang menenggalamkan sebahagian besar Pentas Sunda (rujuk balik cerita tentang Sundaland) lalu menjadi Asia Tenggara yang begitu banyak pulau seperti kita lihat zaman sekarang.

9. Tiap hancuran di Indonesia ada di Yemen tiada. Merujuk pada cerita yang sama seperti di atas. Penulis menafsirkan banjir menyebabkan Asia Tenggara (disebutnya sebagai Indonesia sahaja) terpecah menjadi 17,000 pulau. Sedangkan pihak lain menafsirkan ia adalah masyarakat Arab yang berpecah-belah selepas kejatuhan Saba'.

10. Bataskan perjalanan di Indonesia ada di Yemen tiada.  Merujuk juga pada pulau-pulau, yang dibataskan perjalanan akibat air. Di Yemen tentunya tiada kerana ia di padang pasir. Kecuali kita lihat balik ayat berkaitan iaitu ayat ke-18 Surah as-Saba. Di kala penulis menyebut "Dan kami bataskan padanya perjalanan", tafsir di tangan saya menyatakan "Kami aturkan perjalanan di sana". Ini merujuk pada kata-kata sebelumnya (permulaan ayat 18) - "Kami adakan beberapa negeri yang berhubungan antara mereka...". Kan lain langsung maksudnya kerana ia membawa makna ada jalan perhubungan antara beberapa negeri, bukannya batasan?

11. Jarak terbang burung di Indonesia ada di Yemen tiada. Ini merujuk pada cerita burung hud-hud yang dikatakan terbang mengintip apa yang berlaku di Istana Saba' kemudian melaporkan pada Nabi Sulaiman. Ikut versi Jawa burung terbang dari Lembah Semut di mana terdapat Borobudur 36 km ke Istana Ratu Boko, jadinya 72 km pergi balik. Ini kelihatan logik dan boleh menolak cerita berlaku di Yemen... jika kita beranggapan burung terbang dari Baitul Maqdis, tempat istana Nabi Sulaiman diketahui dengan yakin pernah wujud ke Yemen kerana jarak antara keduanya 2,000 km. Tetapi apabila membaca balik kisah berkaitan kelihatan seperti Nabi Sulaiman sudah pun masuk ke dalam wilayah jajahan takluk Saba' untuk menyerang. Apabila memeriksa saf tentera lalu sampai pada burung-burung baginda mendapati hud-hud tiada. Tidak berapa lama datanglah hud-hud membawa khabar berita dari Istana Saba'. Maka tak mustahil cerita berlaku di Yemen, ketika Nabi Sulaiman dan tenteranya sudah sampai cukup dekat.

12. Surat Sulaiman di Indonesia ada di Yemen tiada. Saya tidak tahu jika surat yang dimaksudkan ada di Yemen atau tidak. Ia adalah surat yang disebut di dalam Al-Quran datang dari Sulaiman dan dimulakan dengan lafaz Basmallah. Di kolam mandi Istana Ratu Boko pernah ditemui surat berupa kepingan emas bertulis lafaz Basmallah. Inilah yang penulis sebut sebagai Surat Sulaiman di Indonesia.

Pada saya kewujudan kepingan emas bertulis lafaz Basmallah itu tidak membuktikan ia datang dari Nabi Sulaiman. Ini kerana raja-raja malah sesiapa sahaja yang mampu boleh membuat tulisan serupa atas kepingan emas. Lainlah kalau tertulis sama pada surat ingatan/amaran Nabi Sulaiman pada Balqis berbunyi : "Janganlah engkau berlaku sombong terhadapku dan datanglah dengan tunduk kepadaku" (Surah an-Naml, ayat 31). Ini nampaknya tidak ada pada kepingan emas yang disebut penulis sebagai Surat Sulaiman. Malah kalau ada pun belum menjadi bukti kukuh kerana boleh sahaja ditiru atau dibuat oleh generasi kemudian.

13. Lembah Semut di Indonesia ada di Yemen tiada. Ni saya tak tahu. Biar mereka yang tahu tentang Yemen menjawab.

14. Relief Bangsa-bangsa di Indonesia ada di Yemen tiada. Sama juga tak tahu jika ada di Yemen atau tidak. Kelihatannya di Borobudur memang ada...



Perkara sebanyak 14 yang dinyatakan untuk menyokong Borobudur sebagai peninggalan Nabi Sulaiman ini kemudian ditutup dengan dakwaan keberadaan Saba' di Indonesia adalah berdasarkan Al-Quran, keberadaan Saba' di Yemen tidak jelas. Sekali lagi rujuk ulasan saya tentang setiap 14 perkara itu. Sesungguhnya di Yemen sudah ada tinggalan yang diketahui sejak lama boleh dikaitkan dengan kewujudan kerajaan Saba' (sila Google dan cari sendiri) terutama Empangan Maarib, lalu banyak tafsir Al-Quran menyokong ini. Cuma tafsiran penulis pro-Jawa sahaja yang mengambil pendekatan begitu melampau sehingga cuba menafikan apa-apa kemungkinan cerita Ratu Balqis berlaku di luar Indonesia, sehingga ayat tentang Thalut boleh didakwa penulis merujuk kepada Daud seperti saya sebut lebih awal.


Kesimpulannya?


1. Kelihatannya memang Borobudur dibina bernuansa atau berperisakan Al-Quran. Ini saya setuju merujuk pada hal Piramid 23, blok Al-Quran 23 x 23 x 12 bersamaan 6348 jumlah keseluruhan ayat, tafsiran langit tujuh lapis membentuk model blok alam 11 x 11 x 11 lalu dari itu boleh dimunculkan piramid 6 tingkat dengan blok paling atas mewakili Alif, Lam, Mim,

2. Tetapi ini tidaklah bermakna ia dibina oleh Nabi Sulaiman. Ia juga boleh dibina oleh pihak lain yang berpengetahuan, mungkin berdasarkan kitab-kitab suci pada zaman mereka, mungkin atas gerak ilham yang ditimbulkan kepada hamba-hamba Allah yang terpilih.

3. Boleh jadi juga ia bernuansa begitu, ada ciri-ciri menyatakan kebesaran Ilahi dan penciptaanNya terhadap alam semesta kerana warisan ilmu dari syurga yang disampaikan Nabi Adam AS kepada anak cucunya. Maka itu apa yang hendak dihairankan jika muncul ciri-ciri perkiraan matematikal berdasarkan Al-Quran yang hebat? Kerana terkandung di dalam Al-Quran ilmu dari sejak zaman dahulu malah sejak azali lagi. Yang ini boleh dikaitkan dengan binaan piramid dipercayai sebenarnya berasal dari Alam Melayu iaitu ketika zaman Asia Tenggara ini masih sekeping benua besar yang dikenali saintis sebagai Sundaland. Selepas berlaku banjir besar yang menenggelamkan sebahagian besar daratan lalu wujud bentuk muka bumi seperti sekarang, bertebaranlah umat manusia ke merata tempat membawa pelbagai ilmu termasuk pembuatan piramid ke Mesir, Amerika Tengah dan sebagainya. Ada pula warisan yang kembali bertapak di bumi sebelah sini lalu terbinalah Borobudur di Pulau Jawa.

4. Boleh jadi cerita Puteri Balqis bertemu Nabi Sulaiman berlaku di Pulau Jawa, boleh jadi juga berlaku di Yemen malah di tempat lain. Saya berpendapat hujah-hujah yang dikemukakan penulis belum cukup konkrit dan konklusif atau muktamad untuk menolak kemungkinan lain, apatah lagi terbukti ada ayat-ayat Al-Quran yang beliau selewengkan samada sengaja atau tidak untuk menguatkan hujah.

5. Boleh jadi Istana Ratu Boko adalah Istana Ratu Balqis. Boleh jadi Borobudur adalah tinggalan atau istana Nabi Sulaiman. Tetapi bukanlah istana utama bagi raja besar merangkap nabi dan rasul peneraju kerajaan hebat manusia, jin dan haiwan yang boleh melangkah ke mana-mana bahagian dunia dalam waktu yang singkat. Saya masih percaya istana utama baginda adalah di Baitul Maqdis. Untuk ini kita harus menelaah kembali pergerakan kaum Bani Israel - dari anak-anak Nabi Yaakub yang masuk ke Mesir di bawah Nabi Yusuf membawa kepada Bani Israel dijadikan hamba abdi oleh Firaun pada zaman Nabi Musa diikuti pelarian mereka merentasi Laut Merah sehingga sampai ke bumi yang kita panggil Palestin sekarang. Di situ ada turutan sahih penceritaan yang dipersetuju rata-rata pengkaji sejarah berdasarkan Al-Quran lalu muncul Thalut sebagai raja Bani Israel yang pertama diikuti Nabi Daud kemudian Nabi Sulaiman. Ada kisah jatuh bangun kerajaan Bani Israel selepas itu sehinggalah kelahiran Nabi Isa di Baitul Laham. Ini semua menyokong kedudukan utama Bani Israel dan nabi-nabi mereka termasuk Sulaiman sebagai berada di Timur Tengah.

6. Dan boleh jadi juga kedua-keduanya Istana Ratu Boko juga Borobudur di Pulau Jawa adalah binaan selepas Nabi Sulaiman. Bangunan dibina menurut ilmu yang diwarisi atau diilhamkan sehingga kelihatan berperisakan rupa bentuk alam semesta/penciptaan seperti disebut dalam Al-Quran.. Relief-relief atau tamatsil pada dinding Borobudur yang seperti mengulangi beberapa kisah yang diceritakan di dalam Ummul Kitab boleh juga merujuk pada cerita-cerita dari kitab-kitab lebih awal diwahyukan. Bayangkan kalau saya mampu dan ada duit untuk membuat sebuah bangunan besar batu penuh pahatan menceritakan kisah-kisah di dalam Al-Quran. Bayangkan 500 tahun kemudian ia ditemui generasi kemudian. Boleh sahaja seorang menafsirkan ia dibuat pada zaman Nabi Muhammad SAW atas alasan mengandungi kisah-kisah Al-Quran. Hujah boleh dibentuk untuk menyokong dakwaan dan ia boleh dinyatakan sebagai kebenararan selagi belum ada hujah lain yang boleh melawan.

7. Dengan itu Borobudur sebagai binaan Dinasti Sailendra abad ke 8-9 Masihi masih lagi satu kemungkinan yang belum dapat dibatalkan. Para pengkaji sejarah sejarah rasmi cenderung untuk mengatakan ini bukan kemungkinan tetapi fakta. Mungkin ada yang tetap mahu mendakwa Borobudu PASTI tinggalan Nabi Sulaiman berdasarkan perkhabaran dari alam ghaib. Seperti disebut di atas saya tidak pernah menafikan kemungkinan ini, cuma menambah ia juga mungkin dibina dari pihak lain. Berita dari alam ghaib tidak semestinya benar apalagi jika kita asyik terpalit dalam ilmu kebatinan bersifat Kejawen di sekitar Jogja.. Saya tahu di situ wujud ketaksuban yang suka memperbesar-besarkan watak-watak seperti Nyi Roro Kidul, si ratu Laut Selatan dan segala macam watak berhala ala Hindu yang masih diangkat sebagai tinggi dan mulia oleh orang-orang tempatan.

Oh. Buku "Borobudur & Peninggalan Nabi Sulaiman" ini dihadiahkan berserta terjemahan ringkas Bahasa Inggeris dan sebuah CD. Setelah 2 minggu menerimanya iaitu pada petang Khamis 18 Syawal baru muncul kelapangan untuk menelaah. Ini dimulakan dengan terjemahan ringkas 32 muka surat diikuti buku utama lebih 300 muka surat pada malam Jumaat. Bacaan dan kajian dapat ditamatkan dalam tempoh lebih sedikit dari 24 jam iaitu pada tengah malam masuk hari Sabtu. Malam Ahad saya menonton CD bersama isteri dan seorang rakan untuk memastikan isi dicerna secukup rasa agar dapat membuat ulasan bermanfaat. Petang tadi jam 5 saya memasukkan gambar-gambar sebelum publish lalu artikel ini dinyatakan sebagai dibuat jam 5.13. Hakikatnya saya mengambil begitu banyak masa untuk menulis dengan cukup teliti. Selepas jam 3.35 pagi baru penulisan selesai berserta semakan. Selamat malam.