


Namun harus diakui ia koleksi yang menarik. Paling menarik sekali adalah diskaun yang diberi, dari RM20 senaskah jadi RM2 sahaja! Kami suami isteri membeli 25 naskah, 19 tentang Nabi Yusuf, kurang satu sahaja untuk mencukupkan koleksi tentang baginda kerana tiada stok. Saya rasa buku ini amat sesuai untuk bacaan anak-anak yang sedang bersekolah, pembeliannya sangat berbaloi untuk semua!



Hmm. Kalau tak salah ingatan buku "Rumah Azan" pula dijual pada harga sekitar RM78 berbanding harga sebelum diskaun sekitar RM109, buku "Kereta api menuju destinasi" sekitar RM79 berbanding harga biasa RM99. Tawaran ini terhad untuk pesta buku. Maka marilah datang, cekuplah peluang untuk mendapatkan buku-buku ini pada harga yang menjimatkan.




OK. Asalnya selepas membuat artikel ini saya ingin membuat artikel sambungan siri "Menjejak kegemilangan lama Pantai Timur" iaitu paparan hari ketiga perjalanan. Cadangnya sebelum hujung minggu saya akan menamatkan penceritaan untuk hari tersebut. Tetapi apabila difikirkan kembali elok juga sambungan cuma dibuat minggu hadapan. Buat masa ini biar kita menyerap mood pesta buku yang akan berlangsung hingga hujung minggu. Dengan itu biar dipaparkan sinopsis terbaru siri "Berpetualang ke Aceh" yang ditulis 3 minggu lalu atas permintaan seorang rakan untuk satu projek tertentu.
Siri “Berpetualang ke Aceh” adalah satu trilogi novel sejarah/travelog yang digarap berdasarkan pengalaman sebenar penulis Radzi Sapiee mengembara masuk seorang diri masuk ke Aceh Januari 2004, ketika ia sedang darurat dilanda perang antara puak pemisah GAM (Gerakan Aceh Merdeka) dengan Tentera Nasional Indonesia. Perjalanan dibuat untuk menyusuri susur-galur keturunan demi mendapatkan jawaban kepada beberapa persoalan yang melanda fikiran. Watak protagonis yang diberi nama Muhammad Al-Aminul Rasyid pun dicipta berdasarkan sifat sebenar penulis yang merupakan lepasan University College of London dalam bidang Matematik tetapi kemudian menjadi wartawan dengan akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times di mana dia mula berjinak dengan dunia penulisan. Penceritaan disulam dengan berbagai pengalaman sebenar hidup penulis termasuk perkara-perkara pelik yang melibatkan mimpi dan hal berkaitan alam ghaib.

Berpetualang ke Aceh: Mencari Diri dan Erti
“Sepeninggal aku telah wafat kelak, akan muncul sebuah negeri di bawah angin, Samudera namanya. Apabila terdengar kamu nama negeri itu, maka suruhlah sebuah bahtera untuk membawa perkakas dan alat kerajaan ke negeri itu, serta kamu Islamkan sekalian isi negeri itu,serta ajar mereka mengucap dua kalimah syahadat. Kerana dalam negeri itu kelak banyak orang yang akan jadi wali Allah. Tetapi semasa kamu hendak pergi ke negeri itu, hendaklah kamu singgah mengambil seorang fakir di negeri Mengiri, bawalah fakir itu bersama-sama”
- Sabda Nabi Muhammad SAW seperti yang tersebut di dalam Hikayat Raja-raja Pasai

Berpetualang ke Aceh: Membela Syiar yang Asal
“Wahai Tuhan yang mempunyai kerajaan, Engkau berikan kerajaan kepada orang yang Engkau kehendaki dan Engkau cabut kerajaan dari orang yang Engkau kehendaki. Engkau muliakan orang yang Engkau kehendaki dan Engkau hinakan orang yang Engkau kehendaki. Di tangan Engkau lah segala kebajikan. Sesungguh Engkau Maha Kuasa atas segala sesuatu”
- Surah Ali Imran, ayat 26
Buku kedua “Berpetualang ke Aceh : Membela syiar yang asal” membawa pembaca semakin jauh meneroka pemikiran watak Rasyid. Sambil menghadapi halangan untuk masuk ke Aceh kerana perintah darurat tentera yang menyebabkan orang luar dilarang langsung masuk ke sana, Rasyid yang masih dalam proses memahami kehidupan sendiri teringat beberapa peristiwa termasuk satu dua mimpi yang seperti memberikan petunjuk tentang keadaan Alam Melayu di suatu zaman dahulu. Keinginan untuk memahami keadaan dunia kini yang semakin memenuhi ciri-ciri menghampiri peristiwa akhir zaman menyebabkan beliau diberikan ilham tentang kaitan agama-agama seperti Hindu dan Buddha dengan agama Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW. Turun naik kerajaan-kerajaan Melayu seperti Samudera-Pasai, Melaka dan Aceh yang sangat berpengaruh mengembangkan Islam pun disebut sambil bab tentang ilmu Tasawuf yang merupakan intipati kebatinan Islam yang dapat memberi kekuatan dalaman cuba dirungkai seringkas boleh.

“Akan datang Panji-Panji Hitam dari sebelah Timur, seolah-olah hati mereka umpama kepingan-kepingan besi. Barangsiapa mendengar tentang mereka, hendaklah datang kepada mereka dan berbai’ahlah kepada mereka sekalipun merangkak di atas salji.”
- Sabda Rasulullah SAW mengenai akhir zaman!
Setelah bertungkus-lumus mencari jalan untuk melepasi sekatan oleh pihak tentera Rasyid akhirnya berjaya masuk ke Aceh. Namun masih ada banyak halangan lagi menunggu di wilayah yang sedang bergolak akibat perang antara puak pemisah GAM (Gerakan Aceh Merdeka) dan Tentera Nasional Indonesia itu. Sambil pembaca dibawa mengikuti pengembaraan penuh cabaran, kenangan pahit yang menyebabkan Rasyid berhenti kerja sebagai wartawan di sebuah syarikat akhbar terkemuka pun disentuh. Penceritaan menjadi semakin kompleks apabila pelbagai hal mengenai mimpi mula dihurai sebagai cara untuk memahami apa yang berlaku dalam kehidupannya. Ini diikuti pengalaman kebatinan yang kelihatan tidak masuk akal tetapi amat penting untuk memahami sebab-musabab berlaku pergolakan dalaman jiwa yang menyebabkan Rasyid sentiasa ingin mengembara sambil cuba memahami kaitan segalanya dengan peristiwa akhir zaman.