Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Saturday, December 19, 2009

Seminar Beting Beras Basah, keluarga Al-Shahab dan faktor 191

Sementara ada sisa-sisa tarikh 19 Disember 2009 yang ada faktor 191 (19/12/2009) biar dipersembahkan cerita ini...

Pagi tadi saya telah pergi menghadiri satu seminar tentang sejarah Beting Beras Basah di bangunan Wisma Sejarah, bersebelahan Perpustakaan Negara...


Turut bersama adalah isteri dan anak kecil kami juga seorang teman (tak ambil gambar pula)...

Sambil pembentang cerita mengkisahkan pengalamannya pergi ke Beting Beras Basah, kami pula teringat pengalaman kami sendiri ke sana. Rasanya tak perlulah diulang lagi apakah yang istimewa tentang tempat ini ya. Lihat artikel-artikel lama yang ada...

Perjalanan terbaru ke Perak... Ke Beting Beras Basah, tempat pertabalan Sultan Perak!

Perjalanan terbaru ke Perak... Sambungan cerita ke Beting Beras Basah, tempat pertabalan Sultan Perak!

Ke Beting Beras Basah bersama isteri... nyaris tenggelam dalam selut daaa!


Pembentang menerangkan keadaan air pusar besar di kuala Sungai Perak, air pusar yang boleh surut membentuk kawasan beting pasir sebesar padang bola yang dikenali sebagai Beting Beras Basah.



Dia kemudian menunjukkan bendera-bendera yang ditemuinya di tengah air pusar yang surut menjadi Beting Beras Basah...




Sebenarnya bendera-bendera ini cuma replika sahaja. Menurut ceritanya, pembentang bernama Raja Sayid Ariffin dari keturunan Sayyid Sheikh Al-Khairat yang berkahwin dengan Raja Mandak ibni almarhum Sultan Ahmaduddin Shah (Sultan Perak ke 18 ) ini telah mendapat alamat agar pergi ke Beting Beras Basah dengan membawa bendera 7 warna. Ini berlaku pada tahun 1976 gitu. Di sana, beliau ternampak beberapa batang kayu bakau setinggi 15 kali setiap satunya terikat bendera negeri Perak. Kemudian beliau mengikatkan bendera yang dibawa.

Raja Sayid Ariffin yang dipanggil Pak Engku juga membuka cerita tentang jin-jin kerajan (jin kerajaan) negeri Perak juga kaitannya dengan Sulawesi iaitu Tanah Bugis. Teringat pula satu perjumpaan keluarga yang sedang berlangsung di Sabah (lihat artikel Selamat menyambut masuk tahun Hijriah 1431 dan sedikit tentang kaitan Aceh-Bugis... )... mungkin mereka sudah bergerak ke Sulawesi? Oh, semasa membuat presentation, Pak Engku ada menunjukkan keadaan pondok diraja Panca Persada yang sudah roboh di satu bahagian Beting Beras Basah. Gambarnya kelihatan seperti gambar-gambar yang pernah diletakkan dalam satu artikel saya di blogspot ini awal tahun 2009. Malah tajuk yang diletakkannya iaitu "Tanda keruntuhan kesultanan Perak?" juga sama. Lihat artikel Tanda keruntuhan kesultanan Perak?

Pak Engku turut membuka salasilah keluarga yang bersambung dengan keluarga Al-Shahab yang pernah memerintah kerajaan Siak. Kebetulan sebelah petangnya saya harus menghadiri sebuah majlis perkahwinan di Kampung Janda Baik, Bentong, Pahang melibatkan satu keluarga besar Al-Shahab, dari nasab diraja Siak juga tetapi turun ke Kedah. Apakah semua ini sudah dirancang? Untuk pengetahuan saya dapat tahu tentang seminar "Beting Beras Basah" ini baru 2-3 lalu secara tidak sengaja semasa mencari maklumat lain di Internet.

Pak Engku membuka cerita tentang Sultan Ismail Muabuddin, Sultan ke 25 Perak yang merupakan adinda kepada moyangnya Raja Sayyid Abdur Rahim ibni almarhum Sayyid Sheikh Al-Khairat @ Sayyid Hitam. Untuk pengetahuan Sultan Ismail inilah yang diturunkan pangkat menjadi Sultan Muda setelah Sultan Abdullah meminta bantuan British untuk menjadi pemerintah Perak hingga terjadinya Perjanjian Pangkor 1874. Sedih juga saya apabila Pak Engku menekankan betapa Sultan Abdullah dan orang kanannya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin terlibat. Lalu mereka dikatakan punca datangnya British ke rantau itu sedangkan ketika itu penjajah licik ini telah lama bertapak di Pulau Pinang malah sering berurusan dengan Ngah Ibrahim yang beriya-iya menyokong kenaikan Raja Bendahara Ismail menjadi Sultan walaupun Raja Muda Abdullah asalnya memang lebih layak.

Ah. Perkara ini tidak suka saya panjangkan lagi. Apa yang berlaku telah pun dihuraikan dalam buku ketiga saya "Berpetualang ke Aceh : Sirih pulang ke gagang?". Lihat artikel Bab 12, perebutan takhta dan harta di Perak yang membawa kepada keadaan negara hari ini... . Pusing kot mana pun, siapa yang bergaduh, nama-nama yang disebut ini semua ada hubungan darah dengan saya juga. Hakikatnya, mereka semua terjebak lalu dilaga-lagakan dalam perancangan jahat British untuk menakluki Tanah Melayu. Apa yang kami anak cucu boleh buat kini ialah mengambil iktibar daripada apa yang telah berlaku. Kemudian bertindaklah dengan penuh hikmah agar pisang tidak berbuah dua kali...

Haaaa... lagi satu, Pak Engku ada menunjukkan gambar-gambar makam Sultan Ismail di Johor Bahru. Untuk pengetahuan selepas berlaku perang Perak melawan British akibat Datuk Maharajalela dan orang-orangnya membunuh Residen pertama Inggeris ke Perak iaitu J.W.W. Birch, Sultan Ismail telah dibuang negeri ke Johor di mana baginda akhirnya mangkat. Saya baru sahaja menziarahi makam sultan ini bulan lepas. Ini akan diceritakan apabila siri baru cerita "Pengembaraan Al-Rasyid ke selatan" bermula nanti.

OK. Maka tamatlah seminar. Petang itu saya pun pergi menghadiri majlis perkahwinan pecahan keluarga Al-Shahab yang lain di Janda Baik. Jumpa pula dengan penulis lirik terkenal yang kini lebih aktif melukis malah katanya suka juga mengumpul keris iaitu S. Amin Shahab. Banyak juga kami bercerita tentang perkara-perkara melibatkan nasab dan kewalian. Dalam pada itu terfikir saya betapa hari itu, 19/12/2009 yang ada faktor nombor 191 menyaksikan saya dan isteri sering 'terserempak' nombor 191 dan variasi-variasinya, daripada nombor kereta sampai ke nombor meja, waktu pada jam dan sebagainya pada ketika-ketika tertentu.

Saya rasa pernah menerangkan apakah makna nombor 191 buat saya. Sila lihat artikel 911, 119 dan 191 (Hmm... Apa pula ini?) yang dibuat tahun lalu. Sekarang baru saya boleh berehat, setelah penat membuat artikel-artikel baru sebaik sahaja kembali dari Janda Baik termasuk artikel ini. Oh, anda boleh melihat gambar-gambar cantik suasana di tempat majlis perkahwinan yang diadakan di satu kawasan ekslusif atas bukit. Lihat artikel A wedding on top a hill in Janda Baik di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Sekian, selamat malam! :]




Friday, December 18, 2009

Selamat menyambut masuk tahun Hijriah 1431 dan sedikit tentang kaitan Aceh-Bugis...


Assalamualaikum sekali lagi. Oleh kerana malam ini telah pun masuk 1 haribulan Muharram 1431 iaitu tahun baru Hijriah biar saya mengambil peluang untuk mengucapkan selamat menyambut tahun baru, semoga kita semua dikurniakan dengan kudrat dan iradat yang memungkinkan kita untuk menghidupkan azam baru untuk menjadi manusia Muslim yang lebih baik dari hari-hari dahulu. Sepatutnya pada tarikh ini saya sudah berada di Tawau, Sabah untuk menghadiri satu majlis keramaian demi menyatukan kembali satu keluarga besar kerabat diraja Bugis. Sebagai seorang yang ada kena-mengena saya telah dijemput serta. Difahamkan semua yang hadir kemudian akan ke Kalimantan, Indonesia lalu menaiki kapal yang katanya disediakan untuk 700 orang menyusuri perjalanan memudiki sebuah sungai luas untuk mengenang kembali perjalanan seorang raja besar Bugis yang pernah mendirikan sebuah kerajaan baru selain mengambil-alih sebuah kerajaan sedia ada di tengah pendalaman Pulau Borneo.

Saya difahamkan juga perjalanan menyusuri sungai bakal memakan masa 10 jam. Selesai acara di situ, katanya semua waris-waris akan dibawa kembali ke Wajo, Sulawesi Selatan untuk berkenal-kenalan kembali dengan saudara-mara yang ada, Katanya mereka juga akan beri hak-hak sewajarnya termasuk tanah peninggalan warisan selain dinobatkan kembali dengan nama-nama Bugis yang melambangkan taraf sebenar tuan punya badan. Namun saya tidak dapat menghadiri semua ini kerana tidak boleh meninggalkan anak kecil yang baru berumur 2 bulan. Selain itu, sebenarnya saya masih lagi ada rasa tidak puas hati tentang kaitan sebenar kerabat diraja Aceh dengan kerabat diraja Bugis.

Hmm. Tadi ketika memilih tajuk artikel yang ada perkataan "sedikit kaitan Aceh-Bugis" saya memikirkan mahu bercerita tentang maklumat terbaru yang saya dapat mengenai watak besar Perak lama yang dikenali sebagai Daeng Selili, moyang kepada Datuk Maharajalela yang turut terlibat membunuh Residen pertama Inggeris ke Perak, J.W.W. Birch. Terdapat juga maklumat baru tentang seorang moyang saya Laksamana Raja Mahkota Nakhoda Hitam berdasarkan apa yang tercatat dalam teks lama Lontara Sukuna Wajo, maklumat yang nampaknya mengalih aliran nasab lebih kuat ke Tanah Bugis walaupun masih diakui Nakhoda Hitam memang pernah berpusat di Aceh.

Saya juga bercadang mahu memanjangkan cerita tentang seseorang bernama Daeng Mansur yang katanya datang dari Tanah Bugis ke Aceh pada abad ke 16 Masihi lalu keturunannya mula menjadi Sultan-sultan Aceh sejak awal abad ke 18 hingga keSultanan Aceh ditamatkan Belanda awal abad ke 20. Tetapi nampaknya ia tidak terkeluar dari diri ini pula. Cukuplah jika dinyatakan seorang ulamak besar Bugis bernama Sheikh Yusuf yang lukisan rupa-parasnya telah diletakkan di atas pernah menjadi anak murid ulamak besar Aceh, Sheikh Abdul Rauf Singkel, orang yang juga dikenali sebagai Syiah Kuala. Cukuplah juga saya membuka persoalan... jika watak besar pendakwah Ahlul Bait bernama Sayyid Jamaluddin Kubra yang datang ke Nusantara abad ke 14 Masihi dikatakan pernah berkahwin dengan 3 orang puteri diraja untuk menerbitkan para Wali Songo di Jawa dan keturunan raja-raja di Champa, Pattani dan Kelantan apakah beliau tidak pernah meninggalkan keturunan yang muncul menjadi wali juga para raja di Tanah Bugis memandangkan beliau memang diketahui akhirnya mangkat di Wajo?

Salam hormat kepada saudara-saudaraku anak cucu kerabat diraja Wajo yang berbulan-bulan merancang untuk bertemu demi melestarikan legasi besar nenek-moyang. Maaf jika saya masih kelihatan terlalu pro-Aceh sehingga turut kelihatan seperti kurang mengendahkan asal-usul yang belah Bugis. Ada banyak lagi maklumat yang perlu dipersatukan agar apa yang dapat dihidupkan kembali nanti bukan sekadar perjuangan Daeng Selili @ La Madu Kelleng untuk menentang penjajah bahkan perjuangan lebih besar Ahlul Bait anak cucu Nabi Muhammad SAW untuk mengembalikan kegemilangan sebenar Islam. Untuk pengetahuan ini adalah artikel ke 606 di blogspot ini. Sekian selamat malam.

Thursday, December 17, 2009

Perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan - Lata Iskandar, Lata Kinjang, Chenderiang,Tanjung Malim... menjejaki keturunan raja campur sayyid Perak?

Assalamualaikum. Sempena hari ini 30 Zulhijjah iaitu hari terakhir tahun 1430 Hijriah, biar ditamatkan terus siri penceritaan yang sedang berjalan. Bersambung daripada artikel Perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan - 'Tersesat' ke Cameron Highlands pulak!

Puas berjalan di Cameron Highlands, perjalanan menuruni kawasan pergunungan ke Tapah pun dimulakan. Tak lama kemudian masuklah kami ke negeri Perak Darul Ridzuan...



Hampir 30 km menuruni jalan berliku-liku tajam pergunungan yang sempit sampailah kami ke satu tempat persinggahan/peranginan bernama Lata Iskandar...








Apa yang ada di Lata Iskandar? Sudah terang lagi bersuluh. Cuma namanya meninggalkan sedikit tanda-tanya. Siapakah Iskandar yang namanya digunakan untuk air terjun? Ada orang menyebut ia adalah Raja Iskandar Zulkarnain, raja besar dahulukala yang ceritanya ada disebut di dalam Al-Quran. Katanya Lata Iskandar pernah disinggahi baginda malah pernah menjadi salah satu lokasi istananya... tak mustahil apabila difikirkan akan kebesaran Allah dan anugerah tertentu yang diberikan kepada Raja Iskandar Zulkarnain yang katanya pernah menakluki hampir seluruh mukabumi!

Namun kenyataan ini mungkin agak melampau bagi kebanyakan orang. Lebih logik lagi jika Lata Iskandar dinamakan sempena seorang Sultan Perak dahulukala, Sultan ke 15, Sultan Iskandar Zulkarnain yang memerintah pertengahan abad ke 18. Atau mungkin juga ia dinamakan sempena Raja Bendahara Alang Iskandar, bapa kepada Sultan Idris yang membuka Kuala Kangsar dan Bukit Chandan sejurus selepas Inggeris berkuasa tidak lama selepas Perjanjian Pangkor 1874 berkuatkuasa.

Tak mustahil juga ia dinamakan sempena seorang cucunda Raja Alang Iskandar yang namanya sama tetapi sempat menjadi Sultan ke 30 Perak iaitu Sultan Alang Iskandar (memerintah 1918-1938). Menurut satu cerita Sultan Perak ini pernah membela mahaguru Silat Gayong, Meor Abdul Rahman ketika beliau baru hendak mengembangkan aliran persilatan itu. Meor Abdul Rahman pernah menunjukkan kekuatan luarbiasa dan kehebatannya di hadapan Sultan. Tetapi apabila Sultan menyentuhnya di bahu dengan keris simpanan kerajaan Perak yang dikatakan Taming Sari, dahulunya milik pahlawan besar Melayu Laksamana Hang Tuah, terus beliau jatuh demam beberapa hari! Untuk lain-lain gambar perjalanan turun ke Tapah, sila lihat artikel The tight winding road down to Tapah di blogspot BERPETUALANG KE ACEH .

Kami sampai di Tapah selepas jam 6.30 petang gitu. Allah! Ketika itu bulan puasa Ramadhan dan kami perlu mencari tempat untuk berbuka tidak lama lagi. Tetapi saya juga mempunyai satu hajat tertunda yang sudah lama, malah belum pernah pun ditunaikan ketika itu. Untuk itu saya harus menghala ke utara, bukan kembali ke selatan menghala ke rumah untuk berkejar ke satu tempat yang ada keistimewaanya yang tersendiri...

Apakah tempatnyayang dimaksudkan! Lihat sahaja gambar yang ada. Sudah bertahun-tahun saya melihatnya apabila melepasi Lebuhraya Utara-Selatan tetapi baru penghujung perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan saya tergerak untuk ke sini...


Ya. Inilah Air Terjun Lata Kinjang yang cukup menakjubkan. Saya yang sudah mengembara hampir ke seluruh pelusuk Semenanjung pun belum pernah menjejakkan kaki sebelum itu. Sedangkan ia tidaklah begitu jauh berbanding lokasi-lokasi tertentu di Kelantan mahupun Terengganu yang biasa saya pergi. Apa hal?


Mungkin sebab belum sampai masa je. Saya akhirnya sampai ke sini pun disebabkan persinggahan hingga bermalam di Cameron Highland yang tidak dirancang. Namun saya sedar perjalanan ini mesti dibuat suatu hari nanti. Teringat pesanan seorang teman yang terjumpa seorang kerabat diraja Perak bercampur Sayyid. Teringat juga satu kajian salasilah yang menyebut betapa sekitar kawasan Chenderiang yang turut mengandungi Lata Kinjang terdapat ramai kaum kerabat dari nasab ini...

Alhamdulillah kami sampai ke kawasan gigi air sejurus sebelum masuk waktu Maghrib...


Dapatlah juga bersantai sebentar. Dan alhamdulillah, terdapat sebuah gerai berdekatan yang dibuka... dapatlah juga berbuka puasa di hadapan air terjun...



Malam itu saya pergi ke bandar Chenderiang dengan rasa puas. Oh... jalan ke Lata Kinjang perlu melalui bandar kecil ini. Sila lihat artikel Rushing on to Lata Kinjang...



Kebetulan kami lalu di hadapan masjid jamek. Terus singgah untuk bersolat. Di sinilah saya dapat bertemu beberapa orang ahli keluarga Sayyid dari kabilah Jamalulail Perak lalu dapat 'bersoreh' lama juga. Teringat pula perbualan dengan pasangan suami isteri pemilik gerai di Lata Kinjang. Cerita punya cerita rupa-rupanya mereka ada kena-mengena dengan keluarga Maharajalela sedangkan Maharajalela pertama Perak, Haji Besar Daeng Selili asalnya seorang raja besar Bugis yang berkahwin dengan adinda kepada Sultan ke 13 Perak, Sultan Muzaffar Shah III yang memerintah sebelum naiknya Sultan Iskandar Zulkarnain Perak.





Malam itu juga saya pergi ke Tanjung Malim melalui jalan lama lalu singgah ke masjid jameknya... selepas menunaikan solat Tarawikh dan Withir bersendirian...






Alhamdulillah, kalau tak salah ingatan di sini saya sempat menghabiskan 2 atau 3 surah sederhana panjang dalam usaha pertama saya seumur hidup untuk mengkhatamkan bacaan Al-Quran...







Kemudian baru kami masuk ke negeri Selangor...





Seperti biasa, apabila sampai di sekitar ini saya akan singgah di Masjid Sheikh Ismail...






Di sini saya dapat menamatkan 2 lagi surah Al-Quran kalau tak salah ingatan, sementara isteri berehat tidur di atas lantai serambi masjid dengan kandungan dalam perutnya yang berumur 8 bulan itu, Insyaallah turut bersama dapat mendengar bacaan. Hmm... hari itu hari Selasa malam Rabu kan, malam 12 Ramadhan. Rasanya saya baru nak masuk Juzuk ke 12 kerana untuk bulan puasa kali ini saya berjaya membaca purata 1 Juzuk 1 hari. Selepas tengah malam baru kami kembali ke rumah di Bandar Tasik Puteri, Rawang.

Dengan ini cukuplah siri perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan ini ya. Syukur kepada Allah, setelah beberapa lama dapat juga saya menamatkannya, sebelum masuk tahun baru Hijriah cuma beberapa jam lagi. Sekian, wassalam! :]













Monday, December 14, 2009

Perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan - 'Tersesat' ke Cameron Highlands pulak!

Setelah membuat 6 artikel baru di blogspot BERPETUALANG KE ACEH dan 1 di SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) baru cerita perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan dapat disambung kembali. Mari! :]




1 September 2009, hari orang kembali bekerja setelah cuti hujung minggu diikuti cuti ulangtahun kemerdekaan Malaysia iaitu pada 31 Ogos. Sepatutnya saya dan isteri sudah kembali berada di Lembah Kelang, saya di rumah kami di Bandar Tasik Puteri, isteri di pejabatnya di Jalan Ipoh, Kuala Lumpur. Sebaliknya kami berada di satu tempat lain, bangun lewat pula akibat kepenatan sebelum keluar memandang persekitaran bandar di kawasan pergunungan...






Ya! Kami bukan sahaja tidak kembali ke Lembah Klang malah kami berada di satu tempat lebih 200 km dari KL. Bukan itu sahaja, kami berada pada ketinggian lebih 1,800 meter dari paras laut. Inilah pemandangan dari bilik hotel kami di Tanah Rata, Cameron Highlands...

Bagaimana kami boleh berada di situ ? Biar penceritaan disambung balik daripada artikel Perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan - Deja vu Gunung Stong dan misteri 313... . Di atas adalah gambar keadaan jalan antara Dabong ke Gua Musang...




Selepas sejam gitu mengharungi perjalanan dari Dabong yang melalui tepian pergunungan Banjaran Titiwangsa, baru kami berhenti berehat dan bersolat sebentar di sebuah masjid kecil, mungkin sebuah surau...





Semasa bersolat jam sudah melepasi 6 petang. Saya ingatkan Gua Musang sudah dekat, rupa-rupanya masih boleh tahan jauh... jauh sehingga kami harus mengharungi lagi jalan-jalan pergunungan, sampai pula ke kawasan menarik di mana dua sungai ini bertemu. Untuk gambar-gambar sekitar perjalanan dari Dabong ke Gua Musang, lihat artikel The road from Dabong to Gua Musang di blogspot BERPETUALANG KE ACEH .




Tidak lama kemudian kelihatan papantanda menunjukkan jalan masuk ke Cameron Highlands. Timbul rasa untuk ke sana. Memang sejak beberapa hari itu saya ada memikirkan kemungkinan mahu naik ke sana... kemungkinan sahaja, bukan satu tekad yang kuat kerana kami sebenarnya sudah kekurangan masa untuk berjalan-jalan.



Apapun kami harus singgah ke Gua Musang dahulu untuk mengisi minyak juga makan menghilangkan kelaparan. Ternyata di sini juga saya akhirnya memutuskan untuk naik ke Cameron Highlands. Sudah beberapa tahun saya tidak ke situ dan kini ia sudah tidak begitu jauh... lagipun saya belum pernah mengambil jalan yang menyambungkan Gua Musang dengan Cameron Highlands terus ke Simpang Pulai di Ipoh di mana seseorang boleh masuk ke Lebuhraya PLUS untuk terus kembali ke Lembah Klang.

Di Gua Musang juga saya membeli sehelai baju sejuk setelah terlupa membawa jaket untuk perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan sedangkan selama ini saya tidak pernah lupa membawanya apabila keluar berjalan jauh. Oh... ketika itu sudah masuk waktu Maghrib...




Perjalanan ke Cameron Highlands dibuat dalam kegelapan malam. Sampai ke Lojing yang menandakan hampir ke sempadan negeri Kelantan-Pahang baru kelihatan sedikit cahaya yang dapat menerangkan keadaan...

Cahaya apakah itu? Sila lihat artikel The night trip from Gua Musang to Cameron Highlands... . Berbalik pada perjalanan itu sendiri. Sebenarnya asalnya saya cuma bercadang untuk mengambil laluan ini hingga ke Simpang Pulai, sebelum terus kembali ke Lembah Kelang. Cadangan itu sudah bersarang dalam hati sejak terpandang papan-tanda menunjukkan simpang jalan ke Cameron Highlands dari Gua Musang, semasa bergerak dari Kuala Lumpur ke Kelantan petang Khamis 27 Ogos. Tak perlu pun untuk ke Cameron Highlands, sekadar lalu pun tak mengapa...

Apa yang saya teringin sangat ialah untuk melihat pemandangan pergunungan dalam perjalanan dari Gua Musang ke Simpang Pulai yang dikatakan sangat cantik. Jalanraya yang baru siap beberapa tahun lalu ini menyeberangi Banjaran Titiwangsa dan naik melepasi 1,000 meter dari paras laut. Sayangnya saya tidak sempat menikmati pemandangan tersebut. Hari itu sahaja iaitu 31 Ogos sudah cukup sibuk. Selepas meninggalkan Kuala Besut dan pantai Tok Bali (lihat balik artikel Perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan - Sampai masa untuk pulang... ) kami singgah di Pasir Puteh untuk membeli keperluan sekolah anak-anak. Kemudian baru kami menghantar mereka ke rumah bapa saudara berdekatan Kota Bahru, itupun mengambil masa untuk memujuk sebelum kami dapat berlepas pergi.



Hasilnya selepas 4 petang baru kami dapat meninggalkan KB, nak sampai ke Gua Musang lalu Jeli dan Dabong pun tetap memakan jarak sekitar 200 km, manalah sempat hendak menikmati pemandangan pergunungan sepanjang perjalanan Cameron Highlands hingga ke Simpang Pulai!Itu yang menyebabkan saya membuat keputusan untuk bermalam di Cameron Highlands. Selain dapat berehat menghilangkan kepenatan, sekurang-kurangnya saya boleh melihat pemandangan pergunungan esok siangnya walaupun bukan di jalanraya yang diinginkan.

Bayangkan, kami sampai ke persimpangan masuk pun sudah melepasi jam 10 malam... maklumlah dari Gua Musang ke persimpangan pun memakan jarak sekitar 120 km apalagi harus membuat pendakian gunung dalam keadaan renyai-renyai. Saya pun bertanya isteri jika dia dapat melanjutkan cuti untuk satu hari lagi. Katanya boleh... lagipun dia juga sudah bertahun tidak ke Cameron Highlands, apalagi bersama saya sebagai suami isteri!


Dari satu segi, perjalanan ke Cameron Highlands sehingga bermalam sudah lebih awal 'dijanjikan'. Dalam artikel pembukaan siri iaitu Perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan - Sungai Jelai di Kuala Medang dan Masjid Kampung Laut di Kelantan... yang dibuat sebulan lalu, saya ada menyebut betapa Sungai Jelai yang merupakan sebuah sungai utama di Pahang berpunca dari sekitar Cameron Highlands. Salah satu puncanya (mungkin juga punca utama!) adalah sungai dalam gambar yang melalui bandar Tanah Rata dan sebahagiannya membentuk air terjun Robinson Falls yang agak terkenal di situ. Nampaknya persinggahan di Kuala Medang melihat aliran Sungai Jelai telah menyebabkan saya terpanggil untuk melihat puncanya. Terfikir juga apakah ada faktor mistik dalam hal ini... dah teringat satu pangkat bangsawan turun-temurun Pahang yang dipanggil Maharaja Perba Jelai...



Sungai yang sama turut membentuk sebuah lagi air terjun tetapi lebih kecil iaitu Parit Falls. Lihat artikel Views around Tanah Rata sebelum melihat Parit Falls.... Hmm... apakah ini sebenarnya Sungai Jelai juga, sungai utama yang membentuk Sungai Pahang? Sila rujuk pada peta yang terdapat dalam artikel Foray to idyllic Kuala Medang in Pahang... yang dibuat sebulan lebih awal...

Dan kalau dah sampai Cameron Highlands tu, tak sah le kalau tidak bersantai sebentar di tepian ladang atau kebun teh di tepian jalan. Lihat artikel The tea plantations at Cameron Highlands... . Artikel seterusnya di blogspot BERPETUALANG KE ACEH iaitu The lower parts of Cameron Highlands - Habu and Ringlet... melengkapkan gerak rasa dan penceritaan tentang persinggahan akibat 'tersesat' ke Cameron Highlands.

Sekarang tinggal satu sahaja lagi artikel untuk melengkapkan siri perjalanan ke Pantai Timur bulan Ramadhan. Artikel itu akan melibatkan tempat-tempat di Perak terutama Chenderiang dan Lata Kinjang, ada juga persinggahan lewat malam di Tanjung Malim di mana saya sempat menamatkan beberapa surah Al-Quran di 2 buah masjid berdekatan. Selamat malam! :]