Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Sabtu, September 16, 2017

Istana Darud Dunya, putra mahkota Meurah Peupok dan perkembangan yang terus mengujakan di Aceh

Salam semua. Salam 25 Zulhijjah. Sekali lagi saya tidak dapat menahan diri untuk menulis akibat dicetuskan suatu perkara. Ada kena mengena dengan gerak yang membawa pada penulisan artikel Isu ancaman terhadap tapak kerajaan lama Aceh di Kampung Pande - Satu gerak kebangkitan Islam di Alam Melayu akhir zaman? 2 hari lalu. Berikut biar dikongsikan status update yang baru dibuat di Facebook 3 jam tadi...




KE MANAKAH PUTRA MAHKOTA ACEH MENGHILANGKAN DIRi 400 TAHUN LALU? HAL SEBENAR MEURAH PEUPOK, ANAKANDA  SULTAN ISKANDAR MUDA MAHKOTA ALAM?

Sedang melihat video seminar keraton (istana Darud Dunya) Aceh terdengar ada yang menyebut bagaimana tata kota atau atur letak bangunan dan infrastruktur Banda Aceh berubah akibat penaklukan Belanda 1874. Teringatlah akan kuburan besar Belanda yang dikenali sebagai Kherkoff. Di celah2 itu ada makam Meurah Peupok, putra mahkota Aceh yang dihukum bunuh oleh ayahandanya sendiri Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam kerana dikatakan berzina dengan isteri orang. Lalu timbullah persoalan buat generasi kemudian...

Kenapa makam Meurah Peupok berada di tengah  ribuan kubur orang kafir Belanda? Apakah akibat telah berbuat salah zina maka dihukum Allah SWT dengan penghinaan sebegitu rupa?

Lalu teringat beberapa tahun lalu ketika naik memanjat bangunan bernama Gunongan yang didirikan Sultan Iskandar Muda untuk isterinya Puteri Kamaliah dari Pahang. Ada seorang separuh umur naik bersama, kaki tangan muzium kalau tak salah ingatan memberitahu sambil menunjuk ke arah perkuburan Kherkoff di seberang jalan : "Di situ ada makam anak Iskandar Muda, Meurah Peupok yang dihukum bunuh kerana berzina dengan isteri orang." Terus hati saya berkata beliau sebenarnya difitnah!

Beberapa lama kemudian saya mendapat semacam ilham bayangan tentang bagaimana Meurah Peupok difitnah. Saya ditunjukkan bayangan seorang laki2 dan perempuan, masing2 termakan semacam ubat dadah lalu pengsan dan diletakkan di atas satu katil atau pembaringan.  Tidak lama kemudian muncul sang suami melihat keadaan tersebut. Ini memyebabkan beliau mengadukan hal kepada sultan.

Ada cerita menyebut sang suami sampai sanggup membunuh diri di hadapan sultan akibat begitu kecewa isterinya didapati berselingkuh dengan putra mahkota Aceh. Hal ini menyebabkan baginda tiada pilihan kecuali menjatuhkan hukuman bunuh terhadap anak yang sepatutnya menggantikan baginda di atas takhta .  Sultan harus dilihat adil menjatuhkan hukuman tanpa mengira siapakah yang terlibat.

Apapun sejarah rasmi menyebut Meurah Peupok dihukum bunuh oleh Sultan Iskandar Muda  akibat berzina dengan isteri orang. Sebagai ganti, anak angkat baginda, seorang anak raja Pahang yang turut menjadi menantu dijadikan putra mahkota baru. Apabila Iskandar Muda mangkat tahun 1636 naiklah anak raja tersebut memerintah Aceh dengan memakai nama Sultan Iskandar Thani. Sejak itu Aceh tidak lagi agresif  menyerang kedudukan Portugis di Melaka mahupun melebarkan pengaruh dan kekuasaan di mana2.

Disebut sesetengah pihak bahawa Iskandar Muda mangkat tidak lama selepas Meurah Peupok dihukum bunuh akibat kesedihan. Saya diihamkan bahawa walaupun tahu anaknya tidak bersalah baginda harus menjatuhkan hukuman disebabkan bukti kesaksian orang ramai tidak dapat disangkal sambil baginda didesak2 untuk menjatuhkan hukuman. Namun ilham menambah yang dijatuhkan hukuman itu adalah satu tubuh bayangan yang diterbitkan dengan cara ilmu tertentu untuk memuaskan hati semua orang. Meurah Peupok lari menghilangkan diri memakai identiti lain, tidak dikenali lagi hal diri serta asal-usulnya yang sebenar.

Saya pernah bertanyakan tentang perkara kepada  seorang yang agak arif tentang hal2 ghaib berserta sejarah yang digelapkan. Kata beliau memang benar putra Sultan iskandar Muda itu tidak mati dihukum bunuh.  Memang benar dia menukarkan identiti. Malah tambah beliau Meurah Peupok berhijrah ke Semenanjung Tanah Melayu atas nama lain lalu menerbitkan keturunan.

Kalau tak salah  ingatan orang ini juga menyebut Meurah Peupok atau anak cucunya dapat menaiki takhta sebuah kerajaan. Berbalik pada hal makam dikelilingi kuburan Belanda di Kherkoff.  Adapun kuburan itu sebenarnya terletak di dalam kawasan istana Aceh Darud Dunya yang sangat luas. Oleh itu tidak hairanlah jika makam Meurah Peupok boleh wujud di situ tak kiralah apakah benar beliau menghilangkan diri memakai identiti lain atau tidak. Yang pasti ada tanda rasmi bahawa nama Meurah Peupok telah diabadikan pada satu makam di Banda Aceh.

Mereka yang melihat secara negatif mungkin menganggap itulah laknat akibat berzina dengan isteri orang. Sebab itu makamnya kekal berdiri dikelilingi ribuan kuburan kafir Belanda. Mereka yang melihat secara positif akan nampak lain. Satu, makam berada  di situ kerana Meurah Peupok disemadikan dalam kawasan istana Darud Dunya. Selepas istana dan segala kesan kebesaran dan keIslaman Aceh dihancurkan maka baru didirikan kuburan Belanda selain bangunan Barat lain sebagai ganti. Kalau begitu kenapa tidak dihapuskan sekali makam  Meurah Peupok? Jawaban yang baru terbit dalam fikiran saya hari ini adalah inilah bukti beliau tidak bersalah. Belanda sebenarnya pernah cuba menghancurkan makam tetapi tidak berjaya. Lalu ia turut menjadi penanda bahawa memang benar seluruh kawasan Kherkoff itu sebenarnya didirikan di dalam kawasan istana Aceh…


Di sini biar ditambah saya dan keluarga pernah berpeluang menziarahi makam Meurah Peupok awal tahun 2010. Menariknya ia berlaku akibat satu silap faham yang menyebabkan kami tertinggal pesawat untuk kembali ke Malaysia selepas beberapa hari berjalan di Aceh lalu harus kembali dengan pesawat hari seterusnya. Lihat artikel lama Petualangan Al-Rasyid ke Aceh : Pesanan akhir dari putera mahkota si Merah Pupok?.  Di bawah biar diletakkan video seminar tentang istana Aceh yang menyebabkan saya tergerak untuk membuat update atas. Sungguh, apa yang berlaku di bumi Serambi Mekah itu beberapa hari kebelakangan membuat saya amat teruja dan bersemangat...




Video sepanjang 4 jam ini dilihat muncul di FB setengah hari lalu. Biar saya copy paste teks update yang disertakan bersama video...


---------------


Seminar Kepurbakalaan, Keraton Kesultanan Aceh "Darud Dunya"

Dilaksanakan pada:
Kamis, 14 September 2017
Mulai Pukul 09.00 WIB
di Hotel Hermes Palace, Banda Aceh

Pelaksana:
Dinas Kebudayaan dan Pariwisata Aceh

***

Tanggapan dari Taqiyuddin Muhammad ketika menanggapi pernyataan dari peserta seminar. (Durasi 01:46:00)

"
Akar yang mengatur Aceh ini, itu adalah Islam.. Islam..
Ini yang harus dipelajari; warisan Islam, keilmuan Islam, pengetahuan Islam dalam persoalan kota-kota Islam, karena disini fiqh sangat menentukan dalam aspek tata kota.

Kemudian masalah sungai sumber air:

(Surat Al-Anbiya Ayat 30) وَجَعَلْنَا مِنَ الْمَاءِ كُلَّ شَيْءٍ حَيٍّ
" Dan dari air Kami jadikan segala sesuatu yang hidup"

Gagasan-gagasan itu sebenarnya Islam, dan disini (Aceh) Islam yang mendominasi, jadi tidak ada cerita Hindu Budha disini, walaupun kita perlu menelusuri ke zaman pra-Islam. Jadi Titik pusatnya disitu, waktu kita mengkaji dan memahami bagaimana Bandar Aceh Darussalam.

"Jangan khianati orang-orang Aceh yang hidup dulu..!".

Mereka membaca Al-Quran, mereka menyalin Mushaf, mereka mengerti hidup mereka dalam ajaran Islam.

Kita jangan mengerti mereka dengan pandangan orang lain, dengan pandangan Belanda, dengan pandangan yang lain. Kita harus mengerti mereka dengan pandangan mereka, kita melihat mereka dengan bagaimana mereka waktu itu, "itu baru sejarah", bukan dengan intepretasi kita.

***
SESI PERTAMA
Moderator: Almuliza Kamal

00:00:02:00 - Pemateri (I): Rusdi Sufi
00:38:28:00 - Pemateri (II): Taqiyuddin Muhammad

Tanggapan dan pertanyaan peserta seminar
01:06:39:12 - Nasruddin As
01:09:29:08 - ?
01:12:24:18 - Deni Sutrisna (Kepala Balai Pelestarian Cagar Budaya (BPCB))
01:20:21:09 - Tuanku Warul Waliddin

Tanggapan dan Jawaban
01:28:44:00 - Pemateri (I) Rusdi Sufi

Tanggapan dan Pertanyaan peserta seminar
01:39:23:10 - Mujiburrizal
01:41:25:05 - Teuku Muhammad Ikhsan (Mahasiswa sejarah Unsyiah)

Tanggapan dan Jawaban
01:43:08:23 - Pemateri (II): Taqiyuddin Muhammad
01:52:19:18 - Pemateri (I): Rusdi Sufi

***

SESI KEDUA:
Moderator: Syukri

01:59:22:06 - Pemateri (III): Misri A Muchsin
02:43:39:03 - Pemateri (IV): Yudi Andika

Tanggapan dan pertanyaan peserta seminar
03:03:29:22 - ? (Lembaga Aliansi Indonesia)
03:06:24:11 - ? : (Mahasiswa UIN Ar-Raniry, Jurusan sejarah Kebudayaan Islam)
03:09:37:16 - ?
03:14:52:13 - ? (Aliansi penjaga aset-aset perbekalan Aceh)

Tanggapan dan Jawaban
03:15:54:03 Pemateri (III): Misri A Muchsin
03:39:44:17 Pemateri (IV): Yudi Andika

***
Note:
? : Mohon disarankan nama.


--------------------


OK. Nampaknya waktu tepat bermulanya suatu perkongsian ilmu/pembentangan juga mereka yang mengemukakan persoalan/pandangan ditanda tepat mengikut durasi atau tempoh masa rakaman video. Tanda-tanda soal muncul kerana penulis update tidak ingat atau tidak mendapat nama/butiran orang yang bertanya atau berkongsikan pandangan. Apapun saya benar-benar teruja seminar sebegini berfaedah dapat diadakan Khamis 2 hari lalu. Saya tidak nampak bilakah mereka merancang untuk mengadakan acara. Tiba-tiba aje dah jadi sehingga saya tergerak untuk berkongsi video di FB saya berserta teks/komen berikut :-


---------------------


MENANTIKAN ZAMAN KEEMASAN...

Alhamdulillah. Terus bergerak kawan2 di Aceh. Terus dan terus sampai Aceh kembali gemilang menjadi petunjuk buat seluruh penduduk Alam Melayu/Nusantara akan kesyumulan Islam yang sebenar. Hingga terbina daulah di sebelah timur yang ditunggu2 itu lalu perjuangan dapat dilanjutkan ke arah Timur Tengah, Baitul Muqaddis, Palestin juga dua Tanah Haram kota suci Mekah dan Madinah lalu betul2 terbela semua umat Islam sedunia. Amin, amin ya Rabbul Alamin...


---------------------


Tidak lama kemudian saya terlihat update baru kawan Aceh menunjukkan telah berlangsung satu lagi majlis ilmu dan diskusi yang sangat bermakna hari Jumaat semalam. Biar dikongsikan 2 keping gambar...





Majlis ini pula memfokuskan pada hal menaikkan kembali warisan sejarah lama di Kampung Pande. Tentang apa yang terdapat di situ boleh rujuk  artikel Isu ancaman terhadap tapak kerajaan lama Aceh di Kampung Pande - Satu gerak kebangkitan Islam di Alam Melayu akhir zaman?. Semoga berjaya hasrat kawan-kawan untuk melihat ibu kota malah seluruh Aceh kembali berdiri gemilang menurut tata cara lama kerajaan kesultanan yang penuh dengan falsafah yang selari dengan tuntutan fiqh atau fekah Islam. Pada saya perkembangan mengujakan yang terbaru di Aceh ini sangat cocok dikongsikan pada Hari Malaysia, hari ini 16 September... ulang tahun Malaysia terbentuk setelah Sabah dan Sarawak digabungkan ke dalam Persekutuan Tanah Melayu tahun 1963.  Usaha kawan-kawan di Aceh yang tidak kenal penat lelah walau tidak punya dana harus menjadi contoh.

Aceh lebih berpeluang untuk merealisasikan daulah Islamiah sebenar berbanding kita di sini kerana penduduknya 99.9 peratus Islam. Dan ia memang memiliki sejarah gilang gemilang sebagai pusat dakwah dan rujukan keilmuan Islam untuk seluruh Alam Melayu/Nusantara selama beberapa ratus tahun. Naiknya kembali istana Darud Dunya dan Kampung Pande untuk mengembalikan semula tata atur kota Islami Banda Aceh boleh membantu kami di Malaysia yang Islamnya cuma tinggal sekitar 50% untuk sekurang-kurangnya berusaha melakukan hal sama di kota-kota kami terutama di Melaka. Insyaallah. Subhanallah, Allahuakbar...


Jumaat, September 15, 2017

Tentang masjid lama yang berasal dari Ipoh - Antara Bandar, Bandar Baru dan Bandar Tua

Ada sedikit cerita yang harus dilepaskan untuk tatapan semua...



Merujuk pada artikel Masjid Teluk Memali yang dipindahkan ke Ipoh - Apakah ia memang berasal dari bandar raya itu atau bagaimana?. Telah disebut tentang seorang kenalan yang saya dan isteri panggil sebagai Kak Shima ditemui di Masjid Panglima Kinta, Ipoh kemudian beliau menunjukkan beberapa keping gambar lokasi atau tapak sebuah masjid lama tidak jauh dari situ. Sambil itu ada persoalan dalam fikiran saya. Apakah masjid lama yang pernah dialihkan menghilir Sungai Kinta dengan rakit itu kemudian didirikan kembali di satu tempat bernama Bandar di tepian Sungai Perak?Atau ia didirikan di Bandar Baru yang terletak utara sikit sungai? Hampir jam 4 petang tadi Kak Shima menghantar gambar atas melalui private message Facebook. Gambar itu menunjukkan masjid di Bandar yang dipanggil Al-Madinah. Boleh rujuk artikel-artikel saya berkenaan masjid di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) :-





Turut dikirimkan adalah gambar menunjukkan maklumat tentang masjid. Seperti mahu menjawab persoalan yang ditimbulkan melalui artikel Masjid Teluk Memali yang dipindahkan ke Ipoh - Apakah ia memang berasal dari bandar raya itu atau bagaimana? maklumat ini memutuskan masjid di Bandar itulah yang asalnya pernah terletak di Ipoh, bukan masjid di Bandar Baru (juga dikenali sebagai Teluk Memali) yang kini telah dipindahkan ke selatan Ipoh. Kata Kak Shima beliau baru terlihat gambar masjid dan maklumat dipaparkan di papan kenyataan Masjid Panglima Kinta. Ia dibuat oleh seorang ahli masjid yang rajin mengkaji sejarah tempatan. Dengan ini saya menganggap persoalan sudah terjawab.


Namun hal tersebut menimbulkan satu perkara menarik. Ia adalah tentang hubungan antara Bandar dan Bandar Baru juga satu tempat lain berdekatan yang sangat terkait. Dalam artikel Masjid Teluk Memali yang dipindahkan ke Ipoh - Apakah ia memang berasal dari bandar raya itu atau bagaimana?  saya telah meletakkan peta seperti di atas. Di bawah biar ditambah satu lagi peta menunjukkkan kedudukan suatu tempat yang dikenali sebagai Bandar Tua...



Beginilah kedudukan Bandar, Bandar Baru dan Bandar Tua apabila dilihat menggunakan peta satelit melalui program Google Earth. Adapun setiap satu tempat itu pernah meliputi kawasan yang agak luas. Paling kurang seperti saiz sebuah kampung sekarang. Untuk kedudukan yang lebih tepat saya tandakan pada masjid. Saya tahu kedudukan tepat lalu dapat menanda bahagian tengah setiap masjid kerana sudah beberapa kali turun ke lapangan untuk meninjau persekitaran. Pengalaman lapangan boleh dipadankan dengan gambar-gambar satelit. Biar ditunjukkan close up atau pandangan dekat setiap masjid...


Nah. Beginilah saya menanda masjid lama Pasir Salak pada Google Earth. 'Jarum' menunjuk tepat pada bahagian tengah bumbung berbentuk piramid. Menggunakan program Microsoft Windows saya tandakan sekali kedua dua objek atau bangunan yang menjadi tarikan pelancong ke sana. Saya dapat cam kedudukan dengan baik kerana sudah banyak kali sampai malah ada 2-3 kali juga beriktikaf bermalam dalam masjid.


Masjid Bandar Tua. Bila dilihat balik baru tersedar yang ini saya tandakan lari sedikit daripada tengah bumbung 'piramid' masjid. Tapi tetap cukup tepat untuk membuat perkiraan jarak antara masjid. Kelihatan ke kanan masjid kawasan seperti berair. Nampaknya gambar yang dipaparkan Google Earth diambil ketika air naik melimpah melebihi tebing Sungai Perak.


Masjid Bandar. Kedudukannya lebih dekat dengan Sungai Perak...


Masjid Bandar Baru. Memang nampak tinggal tapak simen sahaja kerana bahagian kayu telah dialihkan sepenuhnya ke Ipoh seperti ditunjukkan dalam artikel Masjid Teluk Memali yang dipindahkan ke Ipoh - Apakah ia memang berasal dari bandar raya itu atau bagaimana?.



Beginilah jarak antara masjid kalau dihubungkan dengan garisan lurus. Kalau naik bot atau rakit menghulu sungai dari Masjid Bandar ke (tapak) Masjid Bandar Baru jaraknya lebih kurang 2.71 km. Menghulu lagi mengikut liku-liku sungai dalam 7.7 km sampailah ke Masjid Bandar Tua. Apapun, jarak antara Bandar, Bandar Baru dan Bandar Tua tidaklah beberapa jauh. Hal ini boleh menerangkan kenapa semuanya dipanggil Bandar. Yang membezakan adalah baru atau lama. Sekarang biar dijelaskan kenapa boleh muncul nama-nama tersebut.



Ini adalah gambar Masjid Bandar Baru/Teluk Memali yang diambil 7-8 tahun lalu. Sekitar 150 meter ke barat laut masjid terdapat makam Sultan ke-19 Perak, Sultan Abdul Malik Mansur Shah. Ke hadapan lagi dalam 400 meter adalah kubur J.W.W. Birch, residen pertama British ke Perak yang dibunuh para pejuang Melayu di Pasir Salak. Rujuk artikel lama Mari selamatkan masjid lama tinggal di Perak ini.



Ini adalah gambar makam Sultan Abdul Malik Mansur Shah yang diambil beberapa bulan selepas Sultan Perak sekarang, Sultan Nazrin ditabalkan pertengahan tahun 2016. Lihat artikel Rupa terbaru makam Sultan Abdul Malik Mansur (Latest look of the tomb of Sultan Abdul Malik Mansur. Dahulu ia juga teruk bersemak. Memerintah 1806-1825 baginda dikatakan mula bersemayam di Bandar Baru tahun 1818. 

Sudah menjadi adat raja-raja Melayu dahulukala di mana seorang raja bersemayam di situlah letaknya ibu negeri atau pusat kerajaan pada zaman itu. Ini membayangkan Bandar Baru mesti boleh tahan besar untuk menempatkan istana, kota, para pembesar, rakyat, tempat berjual-beli, beribadah beraktiviti dan sebagainya. Nama Bandar Baru pula menunjukkan sekurang-kurangnya daripada segi kepentingan ekonomi masyakat bahawa ia menggantikan kedudukan sebuah bandar yang telah wujud lebih lama dan awal. Kenyataan bahawa antara Bandar Baru dan Bandar jaraknya cuma 2.71 km melalui sungai harus dapat menyokong telahan ini.



Maklumat berkenaan yang terdapat di tepian makam. Saya paparkan ini kerana itulah sahaja bukti di lokasi bahawa kawasan sekitar pernah dikenali sebagai Bandar Baru. Bandar ini kemudian dijadikan markas British/Inggeris apabila Birch menjadi residen selepas Perjanjian Pangkor 1874. Peperangan dengan orang Melayu yang tercetus akibat pembunuhan Birch tahun 1875 diikuti pembinaan bandar baru Taiping, bandar pertama mengikut model Barat di Perak tahun 1880an menjadikan Bandar Baru hilang kepentingan. Taiping dijadikan ibu negeri Perak lalu British mentadbir dari sana. Pada saya hal ini menyebabkan nama Bandar Baru tidak disebut lagi kecuali oleh mereka yang mengkaji. Lalu kawasan kemudian lebih dikenali sebagai Teluk Memali merujuk pada teluk berdekatan menghadap Sungai Perak.


Hal serupa pernah berlaku di Bandar tetapi dengan sebab musabab yang sedikit berbeza. Jika kemunduran malah 'hilangnya' Bandar Baru banyak berlaku akibat campur tangan British di Perak, Bandar di tepian Sungai Perak mungkin hilang kepentingannya sebagai suatu pusat ekonomi masyarakat akibat naiknya Bandar Baru, selewatnya tahun 1818. Namun ia masih diduduki walaupun tidak pesat dan padat. Bila British mendirikan landasan kereta api dan jalan-jalan raya penempatan-penempatan asal Melayu tepian sungai yang banyak bergantung pada pengangkutan air menjadi mundur. Lalu Bandar yang suatu masa dahulu pernah menjadi pusat aktiviti masyarakat turun taraf menjadi sebuah kampung. Tetapi kedudukan lamanya tetap diabadikan atas nama Kampung Bandar.


Tiada yang lama maka tidak ada yang baru. Saya tak pasti bilakah Bandar didirikan. Cuma boleh menganggak ia memiliki kedudukan ekonomi yang penting buat orang Melayu sebelum tahun 1818. Seperti ditunjukkan dalam satu peta di atas ke utara dan sedikit ke barat 8.16 km garis lurus ada tempat bernama Bandar Tua. Letaknya menghulu Sungai Perak sekitar 10.4 km membayangkan ia pernah berfungsi sebagai pusat ekonomi orang Melayu sebelum naik Bandar di bahagian hilir.

Saya difahamkan Bandar Tua didirikan oleh Sultanah Aceh, tak pasti yang mana. Untuk pengetahuan Aceh pernah diperintah 4 orang raja perempuan tahun 1641 hingga 1699. Perak pula pernah berada di bawah kekuasaan Aceh 1570an hingga 1640an. Walaupun cengkaman Aceh terhadap Perak melonggar selepas itu pengaruhnya masih berbekas buat beberapa lama.

Nama Bandar Tua cukup untuk menunjukkan ia pernah menjadi pusat ekonomi masyarakat sekitarnya buat suatu waktu. Bandar yang terletak sedikit jauh ke hilir mungkin didirikan untuk menggantikan fungsi Bandar Tua setelah pengaruh Aceh cukup longgar. Dengan ini cukuplah perkongsian saya tentang ini. Sebetulnya ada beberapa perkara tersirat boleh ditelah mengenai hal Bandar, Bandar Baru dan Bandar Tua ini. 

Ia ada kena mengena dengan perjanjian lama Tok Temong dengan Sultan pertama Perak, Sultan Muzaffar Syah 500 tahun lalu yang mana anak cucu sultan harus bersemayam di tebing kanan (arah mudik ke hulu) Sungai Perak, anak cucu Tok Temong di belah kiri. Dan ia juga terkait dengan hal kekuasaan Aceh terhadap Perak zaman dulu-dulu. Lihat video sepanjang hampir 2 jam yang saya terbitkan sendiri tahun 2008. Masuk Video penuh "Sekitar Perjanjian Pangkor 1874" percuma untuk umum.




Khamis, September 14, 2017

Isu ancaman terhadap tapak kerajaan lama Aceh di Kampung Pande - Satu gerak kebangkitan Islam di Alam Melayu akhir zaman?

Salam. Ada satu perkara besar yang mengujakan sedang berlaku di Aceh membuatkan saya terasa harus menulis artikel khas tentangnya...



Empat hari lepas, selepas tengah malam atau lebih tepat, pada jam 12.49 pagi Ahad 10 September 2017 saya telah membuat update di Facebook yang berbunyi seperti berikut. Saya sunting sedikit untuk paparan di sini :-


---------------------------



TENTANG TAPAK SEJARAH ACEH LAMA DI KAMPUNG PANDE MAHU DIJADIKAN TEMPAT PELUPUSAN/ PEMPROSESAN SAMPAH DAN AIR NAJIS – APA NAK JADI DUNIA NI?

Salam semua. Walaupun telah kembali aktif di Facebook sejak menyepi lebih 3 bulan saya tidaklah begitu aktif lagi seperti sebelum penyepian itu. Walaupun sejak 3 minggu lalu saya kembali berkongsi gerak dan rasa kepada umum ia tidaklah sekerap seperti dahulu. Ini disebabkan kadangkala terasa tidak berguna bersuara kerana rentak dunia tetap macam itu. Manusia secara rata lebih pentingkan duit, harta benda, pangkat dan nama berbanding untuk memperjuangkan sesuatu demi kedaulatan agama, bangsa dan negara tanpa mengharapkan sesuatu. Dan makin lama saya terasa makin bodoh tak tahu apa-apa.

Tetapi malam ini saya terasa wajib menyatakan sesuatu tentang satu isu yang diikuti sejak 2-3 minggu lalu namun setakat ini belum pernah menyatakan pendirian tentangnya di mana-mana. Saya mahu bercakap tentang perjuangan kawan-kawan di Aceh mahu menyelamatkan tapak sejarah tempat permulaan kerajaan awal Aceh di Kampung Pande, Banda Aceh yang kini diancam projek mahu mendirikan pusat pelupusan sampah dan pengolahan air najis. Biar hal seterusnya dinyatakan secara point form seperti berikut :-


1) Walaupun tidak pernah memberikan apa-apa maklum balas ataupun komen di mana-mana saya telah mengikuti perkembangan perkara ini buat beberapa lama. Saya dapat melihat kawan-kawan di Aceh begitu bersemangat memperjuangkan perkara sehingga berjaya mendapatkan liputan media daripada beberapa pihak

2) Pun begitu projek nampaknya tetap hendak diteruskan dan usaha kawan-kawan setakat ini tidak dapat menghalang. Kalau diteruskan juga situs atau tapak sejarah yang mengandungi banyak makam kerabat raja-raja Aceh lama juga makam para ulamak akan hilang malah menjadi tempat sampah dan najis bermaharajela.

3) Difahamkan projek tempat pelupusan/pemprosesan sampah ini adalah antara projek utama di bawah plan pembangunan Presiden Indonesia kini Pak Jokowi. Apakah tidak ada tempat lain boleh dijadikan situs projek? Kenapa mesti sampai menghilangkan satu tapak sejarah yang penting untuk jati diri dan martabat/maruah orang Aceh? Dilihat dalam konteks bahawa beberapa bulan lalu Jokowi pernah mengisytiharkan Barus sebagai titik pertama masuk Islam ke Indonesia sedangkan Aceh diketahui umum lebih layak mendapat pengiktirafan itu saya melihat ini sebagai satu usaha jahat untuk menjatuhkan martabat keIslaman Aceh.

4) Tetapi itu hal Jokowi, presiden daripada suku kaum Jawa yang diketahui sejak sekian lama seperti tidak menyenangi orang Aceh dan sejarah kegemilangan kerajaan Islamnya. Saya tidak hairan jika benar Jokowi membenarkan projek ini terus berlangsung untuk menjatuhkan martabat Aceh atau menghalang ia daripada mencapai kegemilangan kembali. Yang saya hairan kenapa para pemuka kerajaan di Aceh sendiri tidak kelihatan menghalangnya?

5) Dengan ini saya menyeru kawan-kawan di Aceh supaya mendapatkan komen atau maklum balas rasmi daripada para pemuka kerajaan. Apakah mereka menyokong atau menentang… atau tidak mahu campur tangan. Kalau menyokong tanyakan kenapa. Kalau menentang kenapa. Kalau tidak mahu campur tangan kenapa. Biar jelas pendirian.

6) Paling diharapkan adalah komen rasmi daripada Pak Irwandi yang kembali menjadi Gabenor Aceh sejak beberapa bulan lalu. Difahamkan Irwandi yang menjadi Gabenor pertama Aceh selepas Tsunami 2004 kemudian kalah dalam pilihan raya kedua gabenor dapat kembali memegang jawatan setelah meraih kepercayaan para ulamak juga para pejuang sejarah dan budaya Aceh. Namun sehingga kini saya tidak mendengar beliau berkata apa-apa atau menampakkan apa-apa usaha untuk menaikkan kembali sejarah kegemilangan Aceh.

7) Pengalaman sebagai wartawan di akhbar berbahasa Inggeris Malaysia, The New Straits Times 1996-2001 mengajar bagaimana hendak mendapatkan maklum balas rasmi. Kita boleh menghubungi terus pejabat gabenor. Kalau tak dapat cari sahaja mana-mana majlis terutama sidang media yang dihadiri gabenor dan tanyakan soalan di hadapan umum. Pastikan kita mendapat jawaban yang boleh dipertanggungjawabkan sambil disaksikan ramai pihak.

8) Dapatkan juga komen rasmi dan maklum balas daripada para ulamak terkemuka Aceh. Apakah mereka rela tapak sejarah Aceh sebegitu penting seperti di Kampung Pande dijadikan tempat pelupusan/pemprosesan sampai dan air najis? Seharusnya tidak. Tak tahu le kalau dah terhutang budi menerima duit untuk memajukan madrasah dan sebagainya lalu tidak berani menentang. Sama ada itu atau mereka memang tidak tahu hujung pangkal cerita lalu harus dimaklumkan tentang perkara. Apapun kita mesti mendapatkan pendirian yang jelas daripada mereka.

9) Daripada maklum-maklum balas ini insyaallah kita dapat merangka gerak kerja seterusnya demi menyelamatkan situs/tapak sambil diperhatikan dunia. Dan kita juga dapat mengenal siapakah yang bersama, siapakah yang menentang kerana memiliki kepentingan duniawi...


Isu ini boleh diikuti melalui laporan-laporan berita pada pautan-pautan berikut :-


Proyek Tinja di Makam Ulama Bahagian 1




Anda juga boleh masuk ke Youtube lalu membuat keyword search “Kampung Pande air limbah” untuk mendapatkan banyak lagi laporan. Sila sebarkan supaya lebih ramai sedar dan terlibat untuk sama-sama membantu menyelamatkan tapak sejarah yang sebenarnya bukan sahaja penting untuk Aceh tetapi penting juga untuk memartabatkan sejarah perkembangan dan kegemilangan Islam seluruh Alam Melayu/Nusantara.


Nota : Gambar pada update ini diambil beberapa hari sebelum saya pertama kali mengadakan acara HIKMAH di Aceh 29 Mac 2014. Seperti biasa apabila sampai di sana saya suka melawat tempat-tempat bersejarah lalu buat pertama kalinya dibawa melihat tapak penting itu. Lihat artikel  Tapak pusat kerajaan awal Aceh (Site of the centre of Aceh early kingdom) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Tentang majlis lihat artikel Acara kesepuluh HIKMAH di Muzium Aceh, Banda Aceh, Aceh 29 Mac 2014, dalam blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Pada 19 Mac 2017 iaitu setengah tahun lalu saya mengadakan satu lagi acara di Aceh. Lihat Acara kedua puluh HIKMAH di Rumah Cut Nyak Dhien, Aceh 19 Mac 2017 . Masuk itu sudah 8 kali saya ke Aceh...





Pada update tersebut saya setakat meletakkan pautan-pautan untuk laporan-laporan berita yang boleh menerangkan isu dengan baik. Di sini biar diletakkan laporan-laporan tersebut yang muncul dalam media sana...






Walaupun terdapat laporan-laporan lain muncul dalam tempoh waktu yang sama berserta updates berkaitan dalam FB kawan-kawan dari Aceh saya rasa 3 laporan ini sudah cukup lengkap untuk menjelaskan perkara. Sekarang biar dikongsikan perkembangan selepas saya membuat update pagi buta Ahad itu...


 

OK. Saya pun tak tahu kenapa terasa perlu menyatakan pendirian juga menyatakan cadangan lewat malam merangkap pagi buta tersebut. Yang saya tahu, ketika menyatakan pendirian belum nampak lagi jalan penyelesaian yang baik. Yang kelihatan dan kedengaran cuma suara ramai meminta projek dihentikan tetapi seperti langsung tidak dipandang oleh pihak atasan. Kelihatannya satu perkara mengejut atau drastik harus dilakukan untuk memaksa projek agar dihentikan. 

Usaha harus melibatkan masyarakat antarabangsa di luar Aceh dan bagi mencapai tujuan tersebut saya mencadangkan agar kawan-kawan di sana menghantar wakil untuk menghadiri satu seminar arkeologi antarabangsa yang dijadualkan berlangsung di Pulau Pinang 3-4 Oktober. Di sana boleh diketengahkan perkara untuk menyeru sokongan yang lebih besar selain membuka mata masyarakat dunia.



Sebetulnya sejak kembali daripada menganjurkan acara ke-20 HIKMAH di Aceh saya tidak mahu lagi terlibat dalam apa-apa isu sana selain tidak mahu bersuara dalam blogspot mahupun media sosial buat beberapa lama. Saya juga tidak mahu menganjurkan lagi apa-apa acara HIKMAH. Sebabnya sudah dijelaskan dalam artikel Menyerahkan HIKMAH kepada orang Aceh - Ke mana hala tuju selepas ini? Antaranya adalah saya tidak mahu lagi mana-mana pihak menuduh saya berhajat terhadap takhta kerajaan Aceh. Tetapi malam itu saya tidak dapat menahan diri lagi daripada memperkatakan sesuatu tentang isu. Tengok-tengok beberapa jam selepas itu berlaku satu perhimpunan yang sangat bermakna di tapak sejarah tersebut.




Saya dapat tahu melalui FB kawan-kawan Aceh lalu memaparkan gambar-gambar daripada mereka di sini. Himpunan dihadiri oleh sejumlah pemuka masyarakat termasuk keturunan dan ahli keluarga besar Kesultanan Aceh juga keturunan raja-raja bawahan, raja-raja yang memegang suatu daerah, dipanggil sebagai ulebalang dalam sistem pemerintahan lama sana. Walaupun kesultanan sudah diruntuhkan oleh penjajah Belanda lebih 100 tahun lalu masih wujud ramai keturunan yang boleh memikul peranan mensejahterakan rakyat. Ada yang masih diiktiraf menurut adat walaupun tidak memiliki kedudukan mahupun kuasa daripada segi politik dan undang-undang.



Mereka telah berkumpul untuk menyatakan pendirian lalu mendesak agar projek pembinaan pusat pemprosesan/pelupusan sampah dan najis di Kampung Pande dihentikan lalu dialihkan ke tempat lain. Mereka juga menziarahi makam-makam lama yang tergusur atau dipindah paksa akibat projek. Projek ini katanya turut melibatkan sebuah kampung lain berdekatan iaitu Kampung Jawa. Tetapi untuk memudahkan bicara biar disebut nama Kampung Pande sahaja. Lagipun memang kebanyakan kesan sejarah terdapat di kampung yang namanya timbul kerana menjadi penempatan ramai orang pandai dalam bidang masing-masing seperti pertukangan logam dahulukala.



Satu memorandum yang ditujukan kepada pihak berkuasa pun ditandatangani pada perhimpunan.



Ini disertai usaha dan kempen pelbagai NGO Aceh menunjukkan satu kesatuan sayang warisan yang sangat luar biasa.



Esoknya Isnin 11 September berlaku pula pertemuan antara satu NGO yang dianggotai ramai anggota kaum kerabat Sultan terakhir Aceh, Sultan Muhammad Daud Syah (bertakhta 1874-1903) dengan kakitangan jabatan-jabatan kerajaan yang terlibat dalam perkara. Turut hadir adalah pihak kontraktor projek. Mereka mengaku sekadar mengikut arahan. Terpulanglah kepada pihak kerajaan termasuk Walikota (Datuk Bandar) untuk memutuskan perkara. 

Antara paling ke hadapan meminta projek dihentikan adalah cicit sultan yang bernama Tuanku Warul Waliddin. Beliau dan ayahandanya Tuanku Raja Yusuf ibni Tuanku Raja Ibrahim ibni Sultan Muhammad Daud pernah bersama menjayakan acara ke-20 HIKMAH. Lihat HIKMAH Aceh 2017 - Pembukaan pelbagai ragam dan perkongsian ilmu dari Malaysia



Hari seterusnya Selasa 12 September baru saya mendapat tahu tentang pertemuan melalui FB. Tuanku Warul memberitahu hasil daripada pertemuan dan perbincangan projek yang mengancam tapak kerajaan lama Aceh itu telah disepakati agar dihentikan. Lihat laporan berkenaan di sini.

Masyaallah bisik hati saya. Subhanallah, rasa bangga dan teruja yang tidak terhingga. Beginilah baru betul kerabat diraja dan waris kesultanan bisik hati saya. Pada kala jalan penyelesaian belum lagi nampak walaupun sudah semakin besar dan jelas sokongan mereka dapat membantu mendapatkan kata putus yang diperlukan.



Itupun ada kawan-kawan yang masih terasa risau kalau-kalau itu cuma cakap-cakap dalam pejabat yang tidak dapat disahkan orang di luar. Saya pun risau takut-takut dalam kata lain luar kata lain. Bila dah keluar laporan akhbar hari Rabu 13 September menyatakan ia sebagai keputusan rasmi kerajaan baru kami betul-betul rasa lega. Walaupun projek dapat dihentikan buat sementara, sudah nampak hasil yang besar daripada usaha tidak kenal penat lelah dan jemu kawan-kawan.





Semalam juga berlaku pertemuan para wakil NGO berserta para pemuka masyarakat termasuk golongan akademik dengan DPRA - Dewan Perwakilan Rakyat Aceh. Kini usaha bukan sahaja tertumpu untuk menghentikan atau lebih tepat, mengalihkan projek pemprosesan/pelupusan sampah dan najis ke tempat lain. Kesedaran telah diangkat akan betapa pentingnya untuk menyelamatkan lagi melestarikan tempat-tempat bersejarah bagi menguatkan jati diri orang Aceh. Muncul juga cadangan agar dibina lalu dihidupkan kembali tata cara lama pembangunan Banda Aceh sebelum Belanda datang menceroboh lalu mula mengubah segala-galanya tahun 1874  oleh mereka yang cukup pakar dalam bidang. Bukankah bumi Serambi Mekah ini pernah menjadi pusat pertemuan masyarakat antarabangsa daripada seluruh dunia sambil mempamerkan nilai-nilai keIslaman yang tinggi?



Allah. Teruja dan terharu sungguh saya mendengar perkembangan positif ini. Saya merasakan telah timbul satu hikmah yang sangat besar daripada apa yang berlaku. Teringat betapa dahulu saya sering mengingatkan kawan-kawan di Aceh. Negeri kamu itu 99.9 % Islam. Kamu menerima royalti petroleum bernilai berbillion Ringgit Malaysia setiap tahun. Olahlah Aceh sebaik mungkin menurut acuan dan contoh yang sudah ditunjukkan oleh nenek moyang melalui tinggalan sejarah mereka. Jangan jadi macam Malaysia yang penduduk Melayu Islamnya tinggal sekitar 50%. Nak angkat undang-undang syariah pun dah susah disebabkan pembantahan orang bukan Islam dalam Parlimen. 

Tempat-tempat sejarah pun lebih diangkat yang peninggalan penjajah seperti pintu gerbang A Famosa buatan Portugis di Melaka dan kota Fort Cornwallis buatan Inggeris di Pulau Pinang. Aceh pernah menjadi tempat seluruh umat Islam di Alam Melayu/Nusantara menggantungkan harapan dalam menangangi cabaran akhir zaman. Bangkitlah Aceh memainkan peranan yang ia patut galas kembali sejak sekian lama. Seperti kata isteri saya apabila mendengar perkembangan positif ini - Sungguh Aceh menjadi kunci. Sesuailah dengan tema yang kami tetapkan untuk acara ke-20 HIKMAH di sana dahulu - "Hikmah Aceh 2017 : Kunci Kebangkitan Islam Akhir Zaman".


Majlis perjumpaan keluarga sebelah mak dan sambutan Aidil Adha yang berkat

Untuk gerak seterusnya harus dilepaskan cerita kecil ini...


Petang Sabtu 2 September 2017, sehari selepas berlangsungnya Hari Raya Haji atau Aidil Adha 10 Zulhijjah rumah saya bersedia untuk penganjuran satu majlis. 


Saya, isteri dan anak-anak telah menyambut Aidil Adha hari Jumaat 1 September di kampung saya di Muar. Pagi Sabtu bertolak kembali ke rumah sendiri di Sungai Buaya, Rawang, Selangor dengan membawa sekali ibu bapa, seorang adik dan seorang bapa saudara.


Majlis yang diadakan adalah perjumpaan keluarga sebelah ibu saya iaitu adik beradik beliau dan anak cucu. Sudah beberapa tahun majlis sebegini tidak dianjurkan kerana masing-masing sibuk dengan hal keluarga sendiri. Duduk pun di merata Semenanjung Malaysia. Lainlah kalau masa arwah ibu kepada ibu saya masih hidup lagi, Ketika itu ada alasan untuk semua bertumpu balik ke Muar sekurang-kurangnya pada awal setiap bulan raya Syawal.


Bila dah takda orang tua peringkat itu untuk menyatukan keluarga memang susah untuk mengadakan perjumpaan keluarga besar seperti dahulu. Adik beradik ibu pun ada anak cucu masing-masing, ada menantu yang memerlukan hari raya disambut di kampung mereka. Susah nak sepakat dapat berkumpul ramai-ramai pada suatu tempat dan waktu yang sama. Perjumpaan ini dirancang secara spontan sebulan sebelum itu kerana memikirkan sudah beberapa tahun kami tidak mengadakan majlis sebegitu rupa...


Sambil mengadakan perjumpaan keluarga kami menyambut Aidil Adha sekali. Di garaj yang terletak di seberang rumah sudah terhidang set kambing bakar untuk tetamu. 


Seorang bapa saudara menaja hidangan tersebut. Tetapi beliau sendiri tidak dapat bersama kerana berada di Amerika Syarikat bersama isterinya, adik kepada ibu saya untuk menziarahi seorang anak yang sudah berkeluarga bersama seorang warga sana.


Seorang anak beliau pula berkeluarga dengan orang New Zealand di Australia. Nasib baik anak-anaknya yang lain menetap di Lembah Klang lalu dapat bersama. 


Di halaman rumah lebih banyak juadah sudah tersedia, Majlis diadakan secara potluck. Saya dan isteri menyediakan sejumlah juadah, lain-lain ditambah oleh ahli keluarga mengikut kesukaan mereka.





Majlis dijadualkan bermula jam 5 petang. Tetapi selepas jam 6.30 baru saudara mara muncul.





Kami dapat tahu ramai menghadapi masalah kesesakan lalu lintas akibat hujan lebat di merata tempat. Ini melambatkan ramai yang datang daripada arah bandar raya Kuala Lumpur, 40 km ke selatan rumah ini. Yang datang dari arah utara pun mengalami masalah sama...





Ketika saya dan keluarga sendiri sampai dari Muar jam 2.30  petang langit sedang mendung. Siap kedengaran guruh buat beberapa waktu. Nasib baik ketika kami bergerak cuaca masih elok. Kalau lambat ada kemungkinan kami sendiri tersangkut di tengah KL. 





Nasib baik juga kawasan rumah kami seperti terlindung. Mungkin berkat doa semua yang mengharapkan majlis berjalan lancar cuma ada turun hujan rintik sedikit sebelum Maghrib dalam 5-10 minit.  Kalau ikutkan pada keadaan langit harus jam 3 petang dah turun hujan lebat yang boleh berlanjutan hingga beberapa jam. Kalau itu berlaku susahlah kami hendak mengemas halaman rumah dan membuat persediaan yang patut sebelum tetamu sampai. 


Kami dimaklumkan hujan lebat melanda teruk di merata tempat lain sehingga lewat malam. Gambar melalui WhatsApp menunjukkan Jalan Kuching di KL dilanda banjir kilat petang itu. Sedangkan kami telah mengambil jalan tersebut sebelum sampai ke rumah...


Nampaknya majlis ini memang diberkati Allah SWT. Walaupun hingga malam langit dari kawasan rumah masih menunjukkan tanda-tanda boleh turun hujan lebat pada bila-bila masa kami langsung tidak diganggu-gugat.


Kelihatan dalam gambar ini ibu saya bersama adik-beradik juga pasangan yang dapat datang. Daripada 12 orang adik-beradik, 8 dapat muncul. Seorang sudah meninggal dunia.


Daripada 4 adik beradik ibu yang tidak dapat muncul, 2 diwakili anak cucu. Dapatlah juga 50 orang saudara mara bersama dalam majlis. Kiranya lebih sedikit daripada 1/3 keluarga besar adik beradik ibu dan anak cucu dapat memeriahkan suasana.


Turut bersama adalah 3 orang adik sepupu saya yang baru mendirikan rumah tangga dalam masa terdekat dengan pasangan masing-masing. Yang di tengah baru seminggu berkahwin lalu saya dan isteri menghadiri majlis perkahwinan mereka di Ipoh. Itulah asbab kami membuat perjalanan kecil di Cameron Highlands dan Perak awal cuti sekolah lalu. Lihat artikel-artikel berikut :-






Yang tepi kanan pula dah lebih sebulan bernikah. Menariknya yang perempuan masih belajar di Jordan, yang lelaki di United Kingdom. Lebih menarik lagi mereka berkenalan ketika yang perempuan sedang bercuti hujung tahun lepas kalau tak salah lalu membuat pengembaraan ke beberapa buah negara di Eropah seorang diri. Mereka berkenalan di London. Setelah beberapa bulan terus jadi suami isteri.


Selepas menghadiri majlis perkahwinan mereka di Bukit Damansara awal bulan Ogos (mereka bernikah di Kuantan penghujung Julai) itulah terbit cadangan untuk mengadakan majlis perjumpaan keluarga di rumah saya. Sebut pasal perkenalan sepupu perempuan ini dengan pasangannya di London teringat zaman saya sendiri belajar di sana 1991-1995. Seorang lagi sepupu perempuan, yang kelihatan paling kiri dalam gambar tadi pula bertemu dengan pasangannya ketika masing-masing sedang belajar di ibu kota United Kingdom itu. Seorang tengah buat Masters, seorang tengah buat PhD ketika itu. Majlis perkahwinan mereka diadakan penghujung April lalu. Lihat awal artikel Maulidur Rasul dan Hol di Gunung Jerai - Perarakan pagi Ahad

Tetapi mereka telah bernikah setelah kedua-duanya habis belajar beberapa bulan lebih awal. Majlis diadakan lewat supaya dapat bersanding sama dengan seorang adiknya yang bernikah pagi sebelum majlis. Hal ini mengingatkan betapa pada bulan April itu saya dan keluarga telah menghadiri 3 majlis perkahwinan berturut-turut pada 3 hujung minggu. Pada setiap majlis ada dua orang sepupu bersanding adik-beradik dengan pasangan masing-masing. Ini ada disebut dalam artikel Jejak Tok Bahaman di Kuantan dan keturunan Sultan Melaka di Pekan, Pahang.

Berbalik pada majlis perhimpunan keluarga di rumah saya pada 2 September iaitu hampir 2 minggu lalu. Sambil yang dewasa sibuk bercerita hal orang dewasa anak-anak pula seronok bermain-main. Siap buat kulit limau bali yang dibawa dari Ipoh jadi ketayap atas kepala. Dengan ini lengkap sudah gerak untuk bercerita tentang majlis. Untuk makluman ini adalah artikel ke-1,600 di blogspot ini.