Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, September 12, 2024

Kewartawanan dan terbitan berkala awal bahasa Melayu dalam membentuk identiti dan kesedaran Melayu moden

Merujuk pada artikel Dari aktivisme pelajar ke Bukit Lanjan yang dipersembahkan semalam. Ada disebut bahawa asalnya hari itu, Rabu 11 September 2023 mahu ke ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) bagi mengikuti satu majlis ilmu. Tetapi isteri memberitahu perlu ke pejabat utamanya. di Shah Alam lalu saya tidak dapat meninggalkan kawasan berdekatan rumah kerana perlu menguruskan anak pergi balik sekolah.



Ini adalah poster bagi majlis. Tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Kewartawanan dan Terbitan Berkala Awal Bahasa Melayu Dalam Membentuk Identiti dan Kesedaran Melayu Moden". Menyampaikan adalah Profesor Dato' Dr Ahmad Murad Merican daripada ISTAC. Pada hari sebelumnya Selasa 10 September beliau telah berkongsikan pemerhatian terhadap aktivisme pelajar universiti melalui pengalaman sebagai wartawan juga akademik yang mengkaji dunia kewartawan serta seorang yang aktif menulis dalam surat khabar sejak zaman sekolah menengah lebih 50 tahun lalu. Lihat kembali artikel Dari aktivisme pelajar ke Bukit Lanjan.


Sampai masanya jam 2.30 petang saya mengikuti majlis secara langsung melalui Youtube ISTAC TV di kaca televisyen, bukan melalui komputer riba seperti kebiasaan. Ini kerana mahu menonton sambil makan tengah hari lewat. Selalunya kalau menonton di televisyen itu adalah untuk majlis-majlis ilmu yang sudah terlepas siaran langsung kerana tiada kelapangan. Ada yang sudah lebih seminggu berlaku baru ditonton. Banyak juga majlis-majlis diikuti sebegitu rupa tetapi tidak diceritakan langsung di CATATAN SI MERAH SILU. Yang sudah diceritakan, sejak mula menghadiri majlis-majlis sebegitu  penghujung 2009, pun didapati sudah membentuk hampir 500 artikel. Tentang itu akan dikembangkan dalam satu artikel kompilasi akan datang.



Secara rata apa yang diceritakan adalah tentang apakah itu makna kewartawanan. Ini adalah usaha bagi merekodkan keadaan dan peristiwa-peristiwa semasa untuk dijadikan sajian umum melalui media massa seperti surat khabar, kalau zaman sekarang termasuk portal-portal dan laman sesawang di Internet. Disebutlah tentang peranan keintelektualan wartawan sebenar dalam menanggapi suatu isu lalu membentuk identiti dan kesedaran masyarakat. Diceritakan sejarah bagaimana kewartawanan terbentuk di Alam Melayu.

Menurut Murad, antara pelopor awal adalah Munsyi Abdullah (pernah bekerja dengan pegawai Inggeris terkenal Stamford Raffles, orang yang dikatakan 'penemu' Singapura). Ini kerana rajian mencatatkan pemerhatian awal abad ke-19 Masihi. Setelah beberapa lama baru teknik percetakan moden sampai membawa kepada penerbitan surat khabar dan majalah secara berkala termasuk oleh orang Melayu peranakan (bercampur darah India misalnya dengan orang Melayu tempatan) dan Hadrami (oranfg Aras yang berasal dari Hadramaut, Yaman). Dibandingkan dengan perkembangan di dunia Barat juga dengan media sosial sekarang yang sering dilihat umum sebagai satu sumber berita walhal tidak memenuhi disiplin sebenar kewartawanan dalam mensahihkan satu berita. Sila ikuti sendiri melalui rakaman video atas.



Rabu, September 11, 2024

Dari aktivisme pelajar ke Bukit Lanjan

OK. Satu rentetan cerita daripada semalam hari Selasa. Asalnya bercadang untuk duduk rumah mengikuti satu majlis di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) secara atas talian, Rabu iaitu hari ini baru datang untuk mengikuti majlis. lain Tetapi isteri memberitahu perlu ke pejabat utamanya di Shah Alam hari Rabu. Semalam yang beliau boleh bekerja di pejabat kecil berdekatan rumah lalu boleh menguruskan anak pergi balik sekolah.



Disebabkan itu keluarlah saya pagi Selasa 10 September 2024 ke Lembah Klang.



Sejak beberapa minggu kebelakangan, apabila masuk Kuala Lumpur berusaha untuk pergi dahulu ke medan selera berdekatan pejabat lama saya ketika menjadi wartawan di akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times. Ini adalah bagi mendapatkan hidangan nasi beringin kegemaran. Kali ini sampai jam 10.50 lalu menjadi pelanggan pertama makan.



Sekitar jam 11.25 baru bergegas ke ISTAC. Dalam perjalanan turun hujan lebat.




Sampai ke perkarangan ISTAC jam 11.39 hujan masih agak lebat.



Poster bagi acara. Dijadualkan bermula jam 11 ia adalah tentang aktivisme pelajar dalam membentuk perubahan di kampus dan luar.



Kelihatan Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican sedang menceritakan sejarah perkembangan aktivisme pelajar di Malaysia sejak zaman sebelum merdeka sehingga ke tahun 1970-1980 dan kemudian. Tempoh waktu tersebut telah menyaksikan tokoh-tokoh seperti Tun Dr Mahathir dan Perdana Menteri Malaysia sekarang Dato' Seri Anwar Ibrahim aktif membawa pelbagai isu di kampus hingga lebih jauh ke luar. Itulah yang kemudian menjadikan diri mereka seperti dikenali sekarang.




Murad yang latar belakang khususnya adalah dalam bidang kewartawanan sebelum terlibat dengan ketamadunan Melayu dan sejarah turut berkongsi pengalaman aktivisme sendiri. Beliau lebih memberikan tumpuan kepada penulisan lalu telah menghasilkan banyak artikel di suratkhabar sejak zaman sekolah menengah lebih 50 tahun lalu. Sejak hampir 40 tahun lalu pula menjadi ahli akademik namun terus menulis dalam surat khabar tentang pelbagai isu.




Merujuk pada artikel Sekali lagi, dari tanah perkuburan ke ISTAC yang ditulis 3 hari lalu ada disebut tentang satu pameran yang bermula di ISTAC hari itu. Semalam baru ada kesempatan untuk betul-betul melihat lebih dekat lalu mengambil banyak gambar. Lihat artikel-artikel berikut di blogspot BERPETUALANG KE ACEH :-






Merujuk pula pada artikel Dari tanah perkuburan ke ISTAC ke PBAKL 2024 yang ditulis 6 hari lalu. Ada disebut bahawa pada Rabu lalu 4 September tepat seminggu lalu saya asalnya merancang untuk mendaki Bukit Lanjan di barat Kuala Lumpur. Tetapi bertukar mendaki Bukit Dinding di timur bandar raya atas sebab tertentu.




Kali ini saya bercadang untuk melangsaikan hajat berkenaan.







Cuma disebabkan beberapa hal selepas jam 5.40 baru dapat sampai ke persekitaran yang mana dilihat melalui Google terdapat denai untuk mendaki ke puncak.




Tengok-tengok hendak mencari permulaan denai pun satu hal. Ini disebabkan tertutup oleh pokok-pokok. Selepas jam 6 baru berjumpa.




Didapati keadaan denai agak licin, basah berlecak akibat hujan lebat. Kalau hendak mendaki juga takut mengambil masa, dah dekat nak gelap baru sampai atas. Apatah lagi masa untuk menikmati keadaan kemudian perlu turun dalam gelap.




Lalu ditukarlah ke satu puncak lain yang masih dalam persekitaran Bukit Lanjan tetapi lebih rendah dan lebih mudah dicapai.




Pemandangan dari puncak ini juga dikatakan lebih cantik dan jelas kerana banyak kawasan terbuka tanpa pokok dan tumbuh-tumbuhan menghalang pemandangan. Lihat artikel-artikel berikut :-







Untuk makluman ini adalah artikel ke-2,552 di CATATAN SI MERAH SILU. 




Oh. Sekadar berkongsi satu berita gembira. Tadi selepas tengah malam baru menyedari bahawa permohonan saya untuk menyambung pengajian ke peringkat PhD di ISTAC telah diterima. Rupa-rupanya sejak 2 September lagi, saya sahaja yang tak perasan. Selepas ini harus mendaftar masuk 16 September, Hari Malaysia. Secara rasminya pengajian dijadualkan bermula 7 Oktober. Doakan saya... :]


Isnin, September 09, 2024

Apakah dilakukan pada 9 September sejak jasad Laksamana Muhammad Amin dikembalikan ke Perak

Salam semua. Salam pagi Isnin 5 Rabiual Awal 1446 Hijriah. 


Tarikh Omputih atau kalender Gregorian bagi hari ini adalah 9 September 2024. Ini mengingatkan bagaimana pada 9 September 2006 iaitu tepat 18 tahun lalu jenazah moyang atau lebih tepat datuk kepada moyang saya Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin telah disemadikan kembali di bumi Perak setelah lebih 100 tahun jasad dikebumikan dalam buangan di Singapura.  Beliau mula berada di situ tahun 1895 dan meninggal dunia 1904. Sebelum itu almarhum telah dibuang ke Pulau Seychelles di perairan Afrika tahun 1877 disebabkan dituduh terlibat dalam pembunuhan Residen Inggeris pertama ke Perak, J.W.W. Birch tahun 1875. 

Kebetulan (ya, ia mengalir keluar secara spontan begitu sahaja) artikel sebelum ini iaitu Sekali lagi, dari tanah perkuburan ke ISTAC yang ditulis semalam berakhir dengan hal melibatkan almarhum, ISTAC merujuk pada Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku. Seolah-olah mahu menyambung kepada artikel 9 September ini melibatkan Laksamana. Namun terbit rasa agar mencari lalu menyenaraikan apakah artikel-artikel yang telah ditulis pada 9 September atau apa-apa artikel menceritakan apa yang dibuat pada tarikh tersebut sejak tahun 2006. Ini tidak terlalu susah kerana boleh disemak melalui archive atau arkib artikel lama pada bahagian pertengahan sidebar kanan CATATAN SI MERAH SILU.


2006

Pada 9 September blogspot ini belum wujud kerana baru dibuka pada 12 November melalui artikel Apa-apa aje le....  Namun saya tahu apa yang dilakukan pada 9 September kerana hadir majlis pengkebumian kembali jasad Laksamana Muhammad Amin di kawasan pemakaman diraja Perak di Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Ini ada diceritakan dalam artikel Pengembalian jenazah Laksamana Muhammad Amin ke Makam diraja Bukit Chandan... pada 7 Disember.


2007

Menulis artikel-artikel berikut di CATATAN SI MERAH SILU...

1. Sumpah-sumpah di atas motosikal dan belalang kunyit di batu nesan Sultan...

2. Berjalan-jalan ke Jugra, sebuah tempat bersejarah....

 3. To see a World in a Grain of Sand... Melihat dunia di dalam sebutir pasir...


Juga artikel-artikel berikut di blogspot BERPETUALANG KE ACEH 

1. Trip to Europe 1995... Locked-up in Lyon!

2. Trip to Europe 1995... Gangsters of Genoa...

3. Trip to Europe 1995... Alpine frolicking in Switzerland...


Dan artikel-artikel berikut di  blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)...

1. Menara Condong (leaning tower of) Teluk Intan 

2. Masjid Alaeddin di Jugra (The Alaeddin mosque in Jugra) 

3. Lagi, Menara Condong (More, leaning tower of) Teluk Intan 


Melalui artikel  Sumpah-sumpah di atas motosikal dan belalang kunyit di batu nesan Sultan... dapat dikesan bahawa artikel-artikel ini semua ditulis dari sebuah internet cafe di Kajang. Nampaknya waktu itu dan sekitar menginap di rumah milik bapa dekat bandar itu. Melalui artikel Berjalan-jalan ke Jugra, sebuah tempat bersejarah.... pula dapat dikesan bahawa pada hari sebelumnya saya ada ke Jugra.


2008

Saya tidak mempersembahkan apa-apa artikel. Tapi pada hari sebelumnya iaitu 8 September ada menulis dan mengeluarkan artikel Menyusuri sejarah sekitar Perjanjian Pangkor 1874... Sultan Jaafar dan Bandar Tua. Selepas itu mengeluarkan artikel Menyusuri sejarah sekitar Perjanjian Pangkor 1874... Apa ada di Pasir Salak? pada 10 September. Sebelum itu iaitu pada 5 September saya telah membuat artikel Wajah baru motosikal besarku, tanda satu peralihan zaman?

Walaupun tidak dapat menemui deskripsi tepat, artikel-artikel ini menunjukkan saya sedang berada di Kuala Lumpur pada 9 September. Kalau keluar berjalan-jalan pun tidak jauh daripada tempat menumpang menginap ketika itu, rumah ibu saudara di Ampang.


2009

Mempersembahkan artikel kompilasi kecil Himpunan cerita "Ke makam Sultan Malikus Salih" dan 999...  Berdasarkan kenyataan bahawa saya telah berpindah ke Bandar Tasik Puteri bersama isteri sejak penghujung tahun 2008, pada 15 hingga 22 Jun 2009 kali pertama bersama ke Aceh sedangkan dalam tempoh masa sekitar 9 September masih dalam proses mengeluarkan artikel-artikel tentang perjalanan tersebut besar kemungkinan sedang berada di persekitaran itu pada 9 September. Ketika itu belum ada talian Internet sendiri di rumah, Maka ada kemungkinan saya menulis daripada Internet Cafe berdekatan atau menumpang Wifi di kedai mamak sedikit jauh ke luar kawasan. Namun secara rata boleh dikatakan saya menghabiskan masa di rumah.


2010

Telah menulis artikel Petualangan Al-Rasyid ke Aceh : Pesanan akhir dari putera mahkota si Merah Pupok? pada 8 September diikuti Mereka yang menjual agama sehingga sanggup menjatuhkan negara... pada 15 September. Cuma boleh meneka berada di rumah dan persekitaran pada 9 September.


2011

Menulis artikel Kedudukan tempat-tempat di sekitar Sungai Mati dan Pulau Penarek pada 8 September diikuti Dari kubur ke masjid dan tanjung 13 September. Dalam artikel kedua ada disebut telah diminta memberi ceramah di satu rumah suluk (ingat lagi ini, di satu bahagian Muar yang sudah menjadi daerah Tangkak) dan ini dilakukan Sabtu malam Ahad 10 September. Turut dinyatakan  Jumaat 2 September adalah hari raya (Aidil Fitri) ke-4. 

Artikel Promosi buku dan ceramah di satu rumah suluk di Muar yang ditulis 14 September pula menyatakan, sekitar jam 2 pagi, Sabtu 10 September, setelah selesai beberapa hal baru saya dan anak isteri meninggalkan rumah di Bandar Tasik Puteri. Sampai ke rumah ibu bapa di Kampung Temiang, Muar sejurus sebelum masuk Subuh. Ini menunjukkan walaupun pada awal Syawal sudah berada di Muar kami kemudian balik ke rumah sendiri di Bandar Tasik Puteri. Maka pada 9 September yang jatuh hari Jumaat harus berada di situ lagi apalagi itu hari bekerja buat isteri sebelum bertolak lagi ke Muar jam 2 pagi 10 September.


2012

Paling dekat adalah menulis artikel Perjalanan jauh bermotosikal besar setelah 9 tahun - Mendaki Gunung Brinchang sebelum melawat tempat-tempat di Perak pada 11 September. . Daripada artikel Mencari lagi batu nesan Aceh di Negeri Sembilan yang ditulis 16 September pula dapat dikesan pada 31 Ogos saya bergerak dengan keluarga ke kampung isteri di Tanjung Sepat kemudian ke Negeri Sembilan 1 September. Artikel seterusnya  Batu nesan Aceh di Kampung Bohol, Kuala Lumpur dan sedikit aktiviti hujung bulan raya... yang ditulis 19 September pula menyatakan seminggu selepas ke Negeri Sembilan pergi ke sekitar Puchong. Maka itu harus berlaku pada 8 September hari Sabtu. Di manakah pula pada 9 September yang jatuh hari Ahad? Tidak dapat ditemui catatan menjelaskan namun besar kemungkinan sekadar berehat di rumah.


2013

Paling dekat adalah menulis artikel Solat Jumaat di masjid besar Shah Alam dan persiapan untuk HIKMAH VI pada 7 September. Ketika itu hari Sabtu. Oleh itu besar kemungkinan 9 September hari Isnin setakat berada di rumah.


2014

Menulis artikel Antara Tanjung Malim dan Behrang diikuti Dari Car Book Sale ke jemputan makan dan silaturrahim bersama kawan-kawan pemanah. Ketika itu hari Selasa, harus menulis dari rumah. Sudah berpindah ke rumah sekarang di Bandar Sungai Buaya iaitu sejak awal tahun 2014.


2015

Paling dekat, menulis artikel Festival Pasir Salak dan Puteri Limau Purut pada 11 September hari Jumaat. Artikel itu menunjukkan hujung minggu sebelum itu berada di Pasir Salak. Maka 9 September yang jatuh pada hari Rabu harus berada di rumah.


2016

Menulis artikel Beruzlah ke Pantai Timur - Melihat warisan Maharaja Perba Jelai. Dinyatakan ketika itu hari Jumaat dan baru beberapa hari kembali daripada satu perkelanaan di Pantai Timur yang memakan masa 7 hari 6 malam. Maka harus sedang berehat di rumah.


2017

Menulis artikel Cameron-Ipoh-Kuale : Dari pergunungan Pahang membawa 'rasa' ke Perak lalu ada dinyatakan berlaku suatu perkara yang istimewa hari itu Sabtu. Artikel ada menyatakan bahawa dalam perjalanan berkenaan pada 27 Ogos saya dan keluarga ada menziarahi makam Laksamana Muhammad Amin di Bukit Chandan. Turut dinyatakan hari itu 9 September 2017 adalah tepat 11 tahun setelah peristiwa pengkebumian kembali berlaku. 

Pada hari itu tarikh tersebut telah diisytiharkan sebagai hari keputeraan rasmi DYMM Yang di-Pertuan Agong ke-15 Malaysia iaitu Sultan Muhammad V dari Kelantan. Ini adalah hari keputeraan pertama setelah baginda disytiharkan sebagai Agong penghujung tahun sebelumnya. Maka berlakulah suatu yang istimewa iaitu majlis adat istiadat berkenaan di Istana Negara. Sambil menulis sambil menonton majlis di kaca televisyen (di rumah).


2018

Dibuat artikel Kira-kira Penyelarasan Masa Antara Sains dengan Kitab dan Perjalanan Darah Keturunan pada 10 September hari Isnin. Artikel ada menyatakan bahawa pada hari Ahad 9 September 2018 berlangsunglah hari keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong ke-15 iaitu Sultan Muhammad V. Turut dinyatakan pada hari itu juga keluar rencana tentang kira-kira penyelarasan masa antara sains dengan kitab yang saya tulis lebih sebulan awal dalam akhbar Mingguan Malaysia. Lihat dalam Kira-kira Penyelarasan Masa Antara Sains dengan Kitab dan Perjalanan Darah Keturunan. Yang pasti, artikel ditulis di rumah.


2019

Menulis artikel Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Satu pengenalan ringkas selepas tamat pengembaraan pada 6 September hari Jumaat diikuti Perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera - Penerbangan yang dilewatkan, keindahan Lhok Seudu dan 'panggilan' Ja Tirom 12 September Khamis. Ketika itu baru sahaja kembali daripada perjalanan pusing Aceh dan utara Sumatera 28 Ogos hingga 4 September. Maka memang sedang berehat sambil mula mengeluarkan cerita. 9 September hari Isnin harus berada di rumah.


2020

Paling dekat menulis artikel Misi menghantar anak balik kolej - Pusing sedikit Taiping dan cerita kereta tak boleh hidup sebelum meluncur ke Pulau Pinang pada 10 September hari Khamis. Rabu 9 September harus berada di rumah. Oh baru ingat. Tahun itu bermula bulan Mac ada PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) bagi membendung wabak virus Covid-19. Pergerakan jadi terhad tidak boleh keluar lebih 10 km dari kawasan perumahan tetapi kemudian dilonggarkan.


2021

Selepas menulis artikel Penyusunan dan pengurusan ilmu di universiti : Sudut pandang Islam 25 Jun tidak menulis apa-apa di CATATAN SI MERAH SILU sehinggalah terbit Aku, ISTAC, pandemik Covid-19 dan Jumaat yang berkat pada 8 Oktober.  Ini disebabkan hilang mood untuk menulis juga mengikuti mana-mana majlis. Selepas beberapa lama baru berubah. Adapun. 9 September itu jatuh pada hari Khamis. Maka harus berada di rumah.


2022

Artikel Islam tradisi menuju kemanusiaan sejagat? yang ditulis 10 September menyatakan saya mengikuti majlis ilmu berkenaan secara atas talian pada 9 September. Ia diikuti di rumah selepas kembali dari kampung. Lihat artikel Memanfaat cuti sekolah bulan September 2022 yang ditulis lebih awal 10 September.


2023

Menulis artikel Tepat 17 tahun kembalinya jasad Laksamana Muhammad Amin ke Perak di rumah. Selain meraikan tarikh tersebut artikel juga merupakan salah satu susulan daripada terbitnya buku ke-13+1 saya (cantik sikit nombor berbanding buku ke-14), "Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin dan Orang Kaya Arshad : Perjuangan yang Belum Selesai" 4 bulan sebelum itu. Petang itu juga diadakan webinar tentang buku. Lihat Dari Webinar impromptu Laksamana Muhammad Amin ke perkongsian tentang ketokohan dan perjuangan di Book Haven.


2024

Hari ini jatuh hari Isnin. Memang sekadar berehat di rumah setelah Ahad 8 September keluar. Lihat Sekali lagi, dari tanah perkuburan ke ISTAC. Nak keluar boleh kerana isteri sedang bekerja di rumah lalu boleh membantu menguruskan anak. Tapi biar simpan untuk majlis ilmu di ISTAC hari Rabu. Yang pasti artikel ini ditulis di rumah pada 9 September tepat 18 tahun setelah jasad Laksamana Muhammad Amin dikembali di Perak.


Setelah meneliti lalu mengatur apakah yang dilakukan dari tahun ke tahun setiap 9 September sejak tahun 2006 didapati bukan selalu pun mengingatkan tentang tarikh. Hampir setiap tahun saya sedang berada di rumah, sesekali di rumah yang bukan milik sendiri, tetapi masih di rumah, bukan sedang mengembara di mana-mana. Yang jelas ada keluar adalah apabila hadir ke majlis pengembalian jasad pada  2006. Dan yang jelas ada menulis untuk mengingatinya cuma pada tahun itu walaupun lewat. Kemudian pada tahun 2017, selepas itu tahun 2023. Sekarang baru ada disebut lagi pada 9 September 2024. Sekian.

 .


Ahad, September 08, 2024

Sekali lagi, dari tanah perkuburan ke ISTAC

Adapun 3 bulan lebih lalu saya ada membuat artikel bertajuk Dari tanah perkuburan ke ISTAC ke PBAKL 2024 yang mana diceritakan bahawa saya harus ke tanah perkuburan di Kajang pada pagi berkenaan untuk menghadiri pengkebumian seorang bapa saudara sebelum dapat ke ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku bagi majlis ilmu. Siang tadi berlaku perkara hampir serupa. Ini ceritanya. 



Sejak lebih seminggu lalu keluar poster atas bagi majlis berkenaan dalam grup-grup WhatsApp ISTAC lalu terfikir hendak pergi.  Tapi isteri pula menyatakan ada urusan pada masa majlis dijadualkan bermula pagi Ahad 8 September 2024 lalu saya diharapkan dapat menguruskan anak untuk pergi latihan silat di Bukit Beruntung. Memang kebiasaan pun saya yang menghantar anak ke latihan seminggu sekali bermula jam 8.30 lalu mengambil jam 10.30. ISTAC pula jarang mengadakan majlis ilmu hari Ahad. Jadi jarang timbul keperluan untuk isteri mengambil alih menguruskan anak.




Pengisian majlis memang menarik bagi seorang pengkaji dan pencari kebenaran seperti saya. Tiba-tiba petang Jumaat isteri memberitahu urusan beliau pagi Ahad ditunda ke hari lain. Dengan itu beliau boleh menguruskan anak dan saya boleh pergi ke majlis. Dengan itu juga difikirkan mahu mendaki Bukit Lanjan dekat Kota Damansara hingga ke puncak pada petangnya, satu perkara yang asalnya dirancang mahu dilakukan Rabu lalu tetapi ditukar menjadi pendakian Bukit Dinding dekat Setiawangsa akibat hal tertentu. Lihat Dari 31 Ogos hingga masuk 1 Rabiulawal.




Tapi tu le. Manusia cuma boleh merancang sedangkan Allah SWT yang menentukan. Lewat petang Sabtu semalam mendapat berita seorang kawan baik baru sahaja menghembuskan nafas terakhir. Ketika itu kami sedang bersantai di satu tempat. Lihat artikel Latest look of the lake called Tasik Widuri at Bukit Beruntung di blogspot BERPETUALANG KE ACEH. Pada malamnya pula mendapat tahu akan dibuat solat jenazah di masjid Taman Tun Dr Ismail pada pagi Ahad. Maka kami pun bergegas  membawa sekali anak pagi itu, tak jadi pergi latihan silat. Kiranya dah fikir tak jadi langsung ke ISTAC kerana mahu memberikan tumpuan pada hal jenazah.




Sebetulnya kami suami isteri ada rasa terkilan. Kawan yang dikenali ramai sebagai seorang Puan Sri, bekas isteri seorang billionaire Melayu terkenal itu ada datang ke ISTAC untuk mengikuti majlis diskusi buku saya lalu bertemu kami sekitar 3 minggu lalu. Lihat Diskusi buku "Adam (a.s.) and Origin of Man" di ISTAC berlangsung dengan jayanya 15 Ogos. Ketika itu kami sudah berbulan tidak bertemu akibat kesibukan masing-masing. Selesai sahaja majlis beliau mengajak ke rumah, katanya ada masak sup kambing dan mahu kami bersama menikmatinya.


Namun kami menolak kerana harus berkejar kembali ke rumah. Ini kerana anak bongsu kami yang berumur 11 tahun, anak yang setiap pagi Ahad biasa ke latihan silat itu, sedang berada seorang diri. Dapat balik dari sekolah petang pun minta tolong menumpang orang. Kami pun memberitahu insyaallah cuti sekolah yang dijadualkan bermula Sabtu 14 September nanti akan bertandang. Sekarang apa yang kami mampu buat adalah meluangkan sedikit masa bagi menyaksikan penyempurnaan urusan jenazah.




Sekitar jam 10.45 baru pengkebumian yang diadakan di tanah perkuburan Bukit Kiara selesai. Timbul rasa apa salahnya bertolak ke ISTAC kerana tidak jauh sangat pun dari satu. Dan harus ada lagi masa untuk majlis kerana ia dijadualkan berlangsung sehingga jam 1 petang.










Masuk dewan jam 11.08 didapati guru saya Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar sedang bercakap.







Di sini tidak perlulah dipanjangkan tentang majlis. Sila ikuti sendiri rakaman di sini.



Saya mengikuti syarahan Osman sehingga selesai. Kemudian ada lagi 3 ahli panel lalu saya sebenarnya hendak mengikuti mereka semua juga. Namun memikirkan isteri dan anak lapar belum bersarapan sejak keluar rumah jam 8 lebih lagi saya pun membawa mereka ke kafe ISTAC untuk makan.



Selesai makan ingat nak masuk kembali majlis. Tengok-tengok bertembung dengan para VIP dan hadiran yang baru memulakan lawatan ke pameran yang terkait dengan majlis. Ertinya sesi pembentangan ilmu sudah pun selesai...



Biasanya apabila melihat suatu pameran saya akan mengambil gambar sebanyak mungkin untuk dikongsikan. Kalau dalam bahasa Inggeris dijadikan artikel di blogspot BERPETUALANG KE ACEH kemudian dipautkan ke CATATAN SI MERAH SILU. Kali ini tak jadi kerana sedang ramai orang. Lain kali insyaallah apabila tidak ramai atau lebih baik, ketika tiada orang. 

Apabila ramai orang susah hendak betul-betul mengambil gambar sehingga cukup jelas maklumat yang dipaparkan. Dan saya tidak mahu dianggap berada di situ kerana hendak menghimpit atau menyelit di celah-celah VIP yang ramai. Sekarang biar diluahkan sesuatu yang sudah dirasakan sejak bertahun lama.




Kepada mereka-mereka yang berkenaan. Yang kelihatan seperti sentiasa memandang lekeh dan pelik apabila terlihat saya muncul bertanjak berambut panjang terutama pada majlis yang ada ramai orang berpakaian rasmi berkot blazer bagai. Seolah-olah kehadiran saya 'mencacatkan' pemandangan 'orang penting bijak pandai'. Ketahuilah saya bukan jenis orang yang sengaja mahu 'menempel' apabila VIP datang. Saya tak heran. Saudara mara saya ramai yang kaya raya. Dan saya memang berasal daripada keluarga bangsawan, asal usul keturunan raja dan pahlawan. Kawan-kawan lama sejak zaman sekolah menengah dan kolej juga universiti ramai jadi orang-orang penting kerajaan juga syarikat-syarikat korporat gergasi. Malah menurut susur galur kekananan keturunan saya ada lebih keutamaan berbanding lain-lain ahli untuk memegang satu jawatan orang besar istana di sebuah kesultanan.

Saya tidak hairan dengan mana-mana VIP atau VVIP, tidak perlu menghimpit  mahupun menyelit. Sejak berpuluh tahun lalu lagi terutama ketika menjadi wartawan akhbar berbahasa Inggeris The New Straits Times tahun 1996-2001 sudah biasa bergaul dengan para menteri,  jutawan dan sebagainya malah para pembesar dari luar negara. Ada sejumlah rakan wartawan sudah jadi orang penting negara melalui talian berkenaan. Saya tidak pernah pun mahu menggunakan hubungan untuk mendapatkan apa-apa keuntungan dan kedudukan. Saya lebih selesa jadi diri sendiri, tidak terikat dengan budaya "I scratch your back, you scratch my back" atau "Aku garu belakang engkau, engkau garu belakang aku" seperti kebiasaan ramai, orang-orang kebanyakan. 

Jadi janganlah pandang lekeh seolah-olah saya nak 'enter frame' hendak mencari peluang untuk bergaul dengan orang atasan terutama pada majlis-majlis ISTAC. Sebab utama saya hadir ke majlis ini malah ke mana-mana majlis pun adalah kerana tertarik dengan pengisian. Selain itu guru saya Osman ada membentang. Selalunya, kalau beliau terlibat dalam suatu majlis sedangkan saya ada kesempatan atau kelapangan akan diusahakan untuk datang. 




Buktinya. Terdapat sangat banyak artikel tentang majlis ilmu di ISTAC juga di tempat-tempat lain ada dikongsikan dalam CATATAN SI MERAH SILU. Lihat cerita-cerita majlis ilmu yang disenaraikan dan dipautkan dalam artikel-artikel yang mengandungi kompilasi seperti berikut :-










Artikel-artikel ini meliputi lebih 300 majlis ilmu sehingga awal bulan 2020. Selepas itu banyak lagi diikuti kalau tidak pun dihadiri secara fizikal lalu ditulis tentangnya hingga ke hari. Cuma sudah lama tidak dikumpulkan pautan atau dibuat kompilasi. Yang pasti, tidak sekalipun saya datang kerana hendak mengejar point atau mata kokurikulum ke hapa atau yang sewaktunya dengannya. 

Saya tidak perlu itu semua apa lagi sebagai seorang penulis yang telah menghasilkan 15 tajuk buku. Lebih separuh daripada itu ditulis, disunting, dibuat reka letak, reka bentuk, diterbitkan lalu diatur sendiri edaran dan jualan,  pendek kata A to Z dalam dunia penerbitan. Saya tidak ada keperluan untuk mengejar pangkat atau mendapatkan peluang 'lebih baik' melalui kenalan daripada kalangan pihak atasan. Saya cuma sayangkan ilmu dan ada tabiat untuk menulis kerana ia juga menjadi terapi diri selain cara untuk lebih baik menghadam ilmu.

Sejak menjadi pelajar ISTAC bermula September 2018 cuma sekali sahaja ada mengambil peluang untuk 'menghimpit' orang atasan melalui majlis ilmu. Itupun untuk menyerahkan buku ke-14 saya "Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arshad : Perjuangan yang Belum Selesai" ke tangan Tuanku Sultan Perak, Raja Nazrin Syah sendiri secara berhadapan empat mata tanpa melalui perantaraan. Lihat Antara perpustakaan dan mahkamah - Bersama Sultan Nazrin di ISTAC. Ini kerana menyedari sangat tipis sudut pandang keluarga belah saya iaitu anak cucu Laksamana Muhammad Amin melalui anak dan waris utamanya Orang Kaya Arsyad tentang sejumlah perkara yang telah berlaku (dan masih sedang berlaku) dapat sampai kepada pengetahuan Tuanku. Yang kelihatan, ada orang-orang sekeliling seperti begitu gigih hendak menyembunyikan kebenaran demi menjaga kepentingan dan periuk nasi sendiri lalu cuba menenggelamkan kami.  Rujuk artikel-artikel berkenaan :-