Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Saturday, November 28, 2015

Harimau di Alam Melayu - Antara mitos, mistik dan sejarah

Merujuk pada artikel Hang Tuah dan Ekspo Buku di PWTC yang dipersembahkan pagi tadi. Sekarang biarlah diceritakan apa yang berlaku sebelum itu.


Melalui Facebook saya dapat tahu tentang wacana ilmu terbaru di Jabatan Sejarah, Universiti Malaya. Tajuk yang diberikan sangat menarik. Seingat saya, sejak rajin menghadiri wacana-wacana ilmu yang dibuka kepada umum di universiti-universiti juga institusi-institusi seperti muzium, perpustakaan dan arkib inilah kali pertama tajuk sebegini diketengahkan.


Petang Jumaat 28 November 2015 saya pun bergegas ke tempat acara. Nampaknya ramai orang tertarik sama.



Kelihatan pembentang, Dr Azharudin yang merupakan pensyarah kanan jabatan sedang menerangkan topik-topik dalam pembentangan. Memandangkan gambar slaid agak kabur, saya tulis di bawah untuk memudahkan bacaan. Topik-topiknya adalah seperti berikut :-


Bahagian 1 : Pengenalan mengenai ulasan literatur serta latar belakang kajian

Bahagian 2 : Karisma harimau dan kewujudannya

Bahagian 3 : Mitos dan mistik

Bahagian 4 : Ilmu harimau, harimau jadian dan harimau keramat

Bahagian 5 : Memburu harimau

Bahagian 6 : Harimau Terengganu (pada slaid ini ditulis sebagai Bahagian 5 juga seperti di atas. Nampaknya ia kesilapan typo, maka saya betulkan menjadi Bahagian 6 lalu diikuti Bahagian 7 di bawah)

Bahagian 7 : Kesimpulan dan slides




Untuk menangani subjek yang menarik ini Azharudin telah membuat rujukan di merata Semenanjung Malaysia juga Indonesia terutama di Pulau Sumatera dan Jawa. Slaid atas menunjukkan acara yang dipanggil sebagai Sima-Maesa di Jawa. Ia merupakan acara di mana harimau dilawankan dengan kerbau. Secara rata beliau mahu menunjukkan bagaimana harimau dijadikan simbol keperkasaan pelbagai masyarakat di Alam Melayu. Hal ini disedari para pengkaji Barat yang ramai datang bersama penjajahan lalu ramai merekodkannya dalam tulisan masing. Tulisan-tulisan ini pula menjadi asas untuk orang lain memanjangkan kajian. Maka dapatlah sumber-sumber rujukan seperi berikut :-


Frontiers of Fear : Tiger and People in the Malay World 1600-1950 oleh Peter Boomgaard terbitanYale University Press

The Soul of Ambiguity : The Tiger in the Southeast Asia oleh Robert Wessing (1986)

Soul of the Tiger oleh Jeffrey A. McNeely dan Paul Spencer (1991)



OK. Walaupun diberitahu bahawa pembentangan dibahagikan kepada 7 bahagian seperti disebut pada slaid pertama saya tidak akan bercerita mengikut turutan bahagian. Saya lebih selesa bercerita menurut turutan slaid yang saya sempat atau tergerak untuk ambil gambar. Oleh kerana saya duduk jauh paling belakang, susah nak dapat gambar terang. Tapi saya cuba terangkan sebaik mungkin, ringkas apabila perlu (atau malas hendak bercerita panjang) asal boleh difahami ya.

Kelihatan Azharudin menunjukkan lambang yang dipanggil Kayon/ Gunungan. Ini melambangkan kosmologi alam masyarakat Melayu terutama di Jawa. Gunungan merujuk pada gunung melambangkan bentuk hierarki masyarakat dan kefahaman masyarakat di mana puncak adalah tingkat tertinggi. Apabila diletakkan dalam persembahan seni seperti wayang kulit di Jawa, ia dipanggil Kayon. Pada lambang ini kelihatan ada harimau di kiri kanan. Ia melambangkan semangat yang kuat membara, ingin meningkat ke atas. Ini menunjukkan betapa tinggi kedudukan harimau dalam falsafah kehidupan masyarakat. Ia juga menunjukkan karisma harimau yang tinggi berbanding binatang-binatang lain di Alam Melayu/Nusantara.


Gambar harimau dikandar setelah ditangkap. Terlupa pula saya apakah sudah dibunuh. Nasib baik setiap hadirin diberikan satu salinan kertas kerja. Di bawah sub-topik "Karisma Harimau"  diceritakan bagaimana harimau adalah antara haiwan yang paling dikagumi masyarakat dunia kerana keberaniannya dan ditakuti kerana kebuasannya. Namun ini juga menjadi sebab ia diburu oleh pelbagai pihak. 

Selain India, cuma Alam Melayu memiliki jumlah harimau yang signifikan. Pada zaman sebelum penjajah Barat masuk, masyarakat tempatan terutama golongan bangsawan ada memburu harimau tetapi untuk keperluan tertentu seperti upacara adat. Selain itu kalau terbukti ada harimau membuat kacau sehingga selalu mengancam manusia baru ia diburu. Kalau tidak ia dibiarkan sahaja, tidak dikacau. Apabila Barat masuk, memburu harimau menjadi satu macam sukan atau kesukaan demi menunjukkan kehebatan seorang pemburu. Lagi banyak harimau dapat dibunuh, lagi hebat seseorang itu. Ini menjadi asbab kepada menurunnya secara drastik jumlah harimau  pada zaman moden.


Pembentangan mula memasuki bab mitos dan mistik apabila harimau jadian disentuh. Ini adalah kisah manusia yang boleh bertukar menjadi harimau, satu cerita yang saya rasa ramai pernah dengar melibatkan orang Kerinchi di/dari Sumatera. Azharudin memberitahu bahawa di Kerinchi pun sebenarnya cuma daerah tertentu sahaja terkenal dengan orang boleh bertukar menjadi harimau. Mereka dipanggil sebagai Chenaku. Dikatakan kebolehan ini boleh diwarisi melalui keturunan.

Di atas adalah gambar tentang harimau jadian di Ulu Kelantan. Rupa-rupanya di Semenanjung Malaysia juga ada beberapa kejadian serupa dan ini direkodkan oleh pegawai British seperti W. W. Skeat dan C. O. Blagden. Mereka juga ada menyebut tentang harimau jadian Kerinchi. Hal sama turut disebut T. J. Newbold dan George Maxwell.


OK. Saya tidak mahu menulis panjang lagi. Maka cukuplah ditambah bab harimau keramat iaitu harimau yang boleh ghaib lalu muncul tiba-tiba untuk menjaga satu kawasan termasuk makam orang tertentu turut diceritakan dalam pembentangan ini. Secara rata, aspek mitos dan mistik melalui cerita-cerita rakyat cuba diselaraskan dan aspek-aspek nyata. Sebab itu tajuk seperti Harimau Terengganu disebut. Ia malah menjadi tajuk buku berbahasa Inggeris, The Tigers of Terengganu yang ditulis oleh A. Locker, pegawai daerah Kemaman 1949-1951.


Turut disebut adalah 4 orang watak yang dikenali sebagai Harimau Malaya dalam sejarah tanah air kita. Seorang daripadanya adalah Tengku Mahyuddin, seorang kerabat diraja Patani yang pernah menjadi komando di bawah pasukan gerak khas Force 136.



Disentuh juga tentang harimau dijadikan lambang dalam bendera, jata negeri/negara, institusi dan sebagainya. Cukuplah perkongsian daripada saya...







Hang Tuah dan Ekspo Buku di PWTC

OK. Ni malam tadi punya cerita.


Adapun pada beberapa hari kebelakangan saya dengar cerita ada pesta buku di PWTC. Malam tadi selepas Maghrib saya pun bertandang ke sana. Tengok-tengok memang ada...



Nampak pula poster ini. Tentang buku yang kelihatan pun saya baru dengar dalam beberapa hari kebelakangan kerana ia baru je terbit. Nampaknya boleh tengok sat lagi.



Takpa. Kita jalan-jalan dulu.



Sekadar memberitahu. Yang ni bukan buku Pesta Buku Antabangsa Kuala Lumpur atau PBAKL yang selalu diadakan di PWTC setiap tahun sejak beberapa lama. Yang ni Ekspo Buku 1 Malaysia yang baru dimulakan 3 tahun lalu.


Skalanya lebih kecil daripada PBAKL. Untuk tahun 2015 ini saya anggarkan kawasan yang digunakan kurang 1/4 daripada PBAKL tahun sama yang telah diadakan lebih setengah tahun lalu. Lihat artikel Daripada Cheng Ho ke pesta buku - Rumi dan projek penulisan baru dan Pesta buku bersama Hijjaz dan Duta Arab Saudi.


Namun ia tetap ada keistimewaannya sendiri. Oh, jangan anggap pesta buku ini tak best sebab tak ramai orang. Kebetulan saya sampai sejurus selepas masuk waktu Maghrib dan pada hari minggu. Jadi nampak le lengang. Untuk pengetahuan sudah berlaku beberapa hal yang agak istimewa setelah saya datang ke pesta buku ini. Lihat artikel-artikel lama berikut :-







Untuk tahun ini saya mula nampak keistimewaan apabila terpandang replika Batu Bersurat Terengganu.



Rupa-rupanya terdapat pameran manuskrip lama sekali.



Seterusnya adalah berkenaan Hang Tuah...









Ah. Ada sahabat daripada Melaka terlibat dalam pameran...



Dan di sinilah saya mendapatkan buku baru tentang Hang Tuah. Katanya ia menonjolkan rekod-rekod lama daripada kerajaan Rukyu di Jepun yang dapat membuktikan kewujudan laksamana besar Melayu ini. Sekarang Ryukyu dikenali sebagai kepulauan Okinawa. Bila dah habis baca nanti insyaallah saya akan ceritakan di blogspot. Tapi tak janji bila ya. Sebab saya masih ada banyak kerja penulisan yang tak siap...

OK. Pesta atau ekspo buku ini berlangsung sehingga 29 November iaitu Ahad ini. Waktu buka katanya 10 pagi hingga 10 malam. Eloklah bertandang bawa keluarga atau kawan-kawan. Selepas ini akan cuba diceritakan apa yang berlaku sebelum saya datang ke pesta ini...


Thursday, November 26, 2015

Daulah Melayu di Jawa Timur - Sunan Giri, panggilan Raden Santri dan Sunan Ampel

Salam malam Jumaat. Adapun tarikh hari ini 26 November 2015 adalah ulang tahun kelahiran saya yang ke-45 menurut kiraan Barat. Kalau menurut kiraan Islam saya sudah masuk umur 46 tahun hampir 5 bulan lalu. Sementara masih ada lagi sisa 26 November ini ingin saya menamatkan siri Daulah Melayu di Jawa Timur. Oleh itu biar disambung cerita daripada Daulah Melayu di Jawa Timur - Daripada Sayyid Jamadil Kubro ke Maulana Malik Ibrahim.


Isnin 26 Oktober 2015 iaitu tepat sebulan lalu. Kami telah bersiap untuk menyambung kerja seawal jam 5 pagi waktu tempatan.


Keadaan ketika itu lebih kurang seperti jam 7 pagi di Semenanjung Malaysia. Lihat sahaja pemandangan sekitar yang diambil daripada tempat kami menginap di tengah kota Grisek. Lihat artikel Views of Gresik from a local hotel di blogspot BERPETUALANG KE ACEH


Ia adalah hari terakhir penggambaran dalam perjalanan di Jawa Timur ini. Kami mahu memanfaatkan waktu yang tinggal sebaik mungkin lalu keluar meninggalkan hotel  sebelum jam 5.20 pagi.


Terus ke kompleks makam Sunan Giri di Giri, sekitar 3 km di luar Gresik. Tentang siapa itu Sunan Giri tak perlulah dipanjangkan ya. Ini adalah nama yang sangat besar dalam kalangan para Wali Songo.


Selepas bersarapan di warung berdekatan penggambaran pun dimulakan.



Peta tempat-tempat menarik melibatkan Sunan Giri, keluarga dan keturunan. Hampir semua tempat yang tertera sudah saya singgahi dalam perjalanan bersama keluarga lebih 3 tahun lalu. Lihat artikel lama Pusing Pulau Jawa anak-beranak : Dari Giri ke makam Sunan Drajat dan Sunan Bonang.


Untuk pengetahuan Giri adalah salah satu tempat dalam kabupaten (daerah) Grisek. Ada beberapa tempat menarik dalam lingkungan yang dinyatakan dalam peta ini. 



Penggambaran diteruskan dalam kompleks makam yang terletak di puncak bukit.


Dahulu, kawasan yang kelihatan rata-rata terletak di bawah panas terik matahari. Sekarang semuanya sudah dilindungi bumbung. Lihat artikel Rupa baru makam Sunan Giri (New look of the tomb of Sunan Giri) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART).


Selesai urusan di Giri kami bercadang mahu ke makam Fatimah binti Maimun yang dikatakan datang berdakwah ke Pulau Jawa hampir 1,000 tahun lalu. Namun pemandu tidak tahu jalan lalu membawa kami kembali ke tengah kota Grisek untuk bertanyakan arah. Terlihat pula makam ini lalu saya  pun singgah. Lihat Makam (Tomb of) Raden Santri.


Sebetulnya pintu gerbang makam sudah saya lihat malam sebelumnya. Kedudukannya sangat dekat dengan hotel tempat kami menginap malam itu. Tetapi ia sedang terkunci, begitu juga keadaannya ketika kami lalu di hadapan dalam perjalanan ke Giri pagi keesokannya. Disebabkan makam ini tidak masuk dalam penggambaran (dan saya pun baru tahu kewujudannya malam itu), terpaksalah ziarah dilupakan kerana harus mengejar apa yang dirancang. 

Siapa sangka, disebabkan pemandu tidak tahu arah ke makam Fatimah binti Maimun saya dapat masuk ke dalam? Siapa sangka, pemandu boleh memberhentikan kereta  tak sampai 20 meter di hadapan pintu makam Raden Santri? Sedangkan dia berbuat begitu semata-mata untuk bertanya orang arah ke makam Fatimah. Dan ketika itu pintu pula sudah dibuka kerana dah hampir tengah hari. Terasa seolah-olah Raden Santri sendiri memanggil agar saya tidak merasa terkilan tidak sempat menziarahinya. 


Sepatutnya dari Giri kami boleh mengambil jalan potong ke makam Fatimah di Leran. Sebetulnya pemandu boleh bertanya pada orang di Giri tapi tak berfikir langsung kerana dia sendiri baru mendengar tentang kewujudannya, tidak tahu di daerah atau kawasan mana makam terletak. Bila dah kembali ke tengah kota Grisek iaitu pada arah yang berlawanan kami sudah kerugian banyak masa dan jarak. Kalau nak ke Leran harus keluar balik jauh sedang daripada Grisek dah boleh memotong pula ke destinasi kami seterusnya iaitu Ampel di pinggir utara Surabaya. Memandangkan sudah kesuntukan masa, tim kami memutuskan untuk terus aje ke sana...


Sebaik sahaja sampai, kereta berhenti di hadapan kedai nombor 131. Ini adalah nombor yang membawa makna home sweet home buat saya dan isteri. Adapun kawasan Ampel ini terkenal dengan makam Sunan Ampel, seorang pemimpin besar jemaah Wali Songo. Saya pula baru dapat tahu dalam tempoh sehari dua itu bahawa Sunan Ampel memiliki abang yang dikenali sebagai Raden Santri. Macam ada sesuatu yang tersirat nampaknya...


Penggambaran dimulakan daripada pintu lorong masuk ke Masjid Ampel.



Masuk ke lorong.



Sambung ke masjid. Sampai masa untuk menyelesaikan sesuatu yang agak tergantung daripada lebih 3 tahun lalu...


Adapun dalam perjalanan tahun 2012 saya dan keluarga tidak sempat masuk ke masjid kerana ia cuma dibuka pada waktu solat wajib. Kami sampai pada waktu lain, tidak dapat menunggu kerana ada banyak tempat perlu dikejar. Alhamdulillah, kali ini baru dapat masuk ke dalam, sempat bersolat jemaah Zohor di sana. Lihat Di dalam Masjid Sunan Ampel (Inside mosque of Sunan Ampel)



Lebih menarik lagi, dengan pertolongan dan lesen besar yang diberikan seorang waris keturunan Sunan Ampel yang memegang kedudukan tinggi di masjid dan kompleks makam tim kami ditunjukkan hal-hal yang katanya belum pernah ditunjukkan kepada krew penggambaran lain walau dari Indonesia. Ini menurut kata 4 orang krew upahan yang datang membantu dari Jakarta. Dapatlah kami melepasi batas orang awam dalam mendekati makam. Lihat Pandangan dekat makam Sunan Ampel (Closer look at the tomb of Sunan Ampel).



Kami selesai penggambaran sekitar jam 2 petang. Atas cadangan krew tempatan, terus berkejar untuk makan tengah hari istimewa iaitu satay kelapa di kedai yang kelihatan.


Kami mula makan hampir jam 2.30. Ini bersamaan jam 3.30 petang di Malaysia sedangkan kalau menurut turun naik matahari, tinggal tak sampai 10 minit aje lagi dah nak masuk waktu Asar di Surabaya., Ini disebabkan kedudukannya yang lebih jauh ke timur berbanding Malaysia. 


Adapun kami (yang dari Malaysia) dijadualkan bertolak kembali ke tanah air dengan pesawat jam 6.25 petang. Kami harus sampai ke lapangan terbang paling lewat sejam sebelum itu. Selepas makan kami pun bergerak melepasi pusat kota Surabaya menghala ke lapangan di selatan. Kelihatan tugu yang membayangkan asal usul nama kota iaitu ikan Sura (yu/jerung) berlawan dengan Baya (buaya)...





Kami sampai ke lapangan terbang sebelum jam 4.30 petang. Makan masa setengah jam lagi di luar untuk packing barangan penggambaran yang dibawa dari Malaysia.


Selepas siap segalanya kami pun berpisah dengan krew tempatan juga pemandu dan kenalan-kenalan baru yang membantu. Masuk waktunya sampailah masa untuk menaiki pesawat. Selesailah cerita perjalanan penggambaran pertama tim Daulah Melayu di luar negara. Harap apa yang diceritakan ini cukup untuk membayangkan usaha kami dalam menjayakan projek dokumentari ini. Untuk butiran dan maklumat yang lebih menarik tunggu ceritanya keluar nanti ya. Untuk pengetahuan ada banyak lagi penggambaran perlu dilakukan sebelum dokumentari dapat disajikan kepada umum. Harap dapat bersabar dan terus ikuti perkembangan kami, salah satunya melalui lama Facebook rasmi kami di sini.