Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-






Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Friday, November 06, 2009

Cerita perjalanan Linggi/ Kuala Linggi. Baru ditemui makam yang dicari... lebih sebulan kemudian!

Assalamualaikum semua. Sekarang sampailah masa untuk menamatkan cerita berkenaan Linggi/Kuala Linggi ini. Bersambung dari Cerita perjalanan Linggi/ Kuala Linggi. Siapa pula Tok Bali? ...


Jika cerita dalam artikel Cerita perjalanan Linggi/ Kuala Linggi. Siapa pula Tok Bali? berlaku pada awal bulan puasa, cerita sambungan ini pula berlaku lebih sebulan kemudian iaitu pada pertengahan bulan Syawal atau bulan raya. Apa yang berlaku ialah setelah kembali ke Lembah Kelang seterusnya rumah awal bulan puasa, baru saya tersedar makam-makam di Kuala Linggi yang ditemui sebelum itu bukanlah makam yang dicari. Oleh itu saya harus ke Kuala Linggi lagi dan peluang ini cuma muncul agak lama kemudian...

Rujuk pada artikel Lahirnya anakku Muhammad Al-Aminul Rasyid dan 131... yang dibuat sejurus selepas anak itu lahir 13 Oktober. Disebabkan beberapa perkara termasuk isteri yang semakin sarat mengandung, saya tidak lagi berjalan-jalan ke mana-mana kecuali sekitar Lembah Kelang selepas beberapa hari masuk bulan Syawal. Malah saya membatalkan rancangan untuk kembali ke Muar hujung minggu pertama raya apabila isteri mula mengalami contraction atau pengecutan rahim yang menunjukkan dia mungkin akan melahirkan anak tidak lama lagi. Cuma apabila tak jadi apa-apa hari berikutnya sehingga terpaksa keluar hospital, dan setelah menunggu 2 minggu masih juga tak jadi apa-apa, baru saya membuat keputusan nekad membawa isteri yang semakin sarat kembali ke kampung di Muar.

Perjalanan kembali dari Muar itulah yang digunakan untuk singgah di Kuala Linggi lagi. Di atas adalah gambar-gambar gerai tepian jalan di satu kawasan ladang kelapa sawit ketika menghampiri Masjid Tanah. Walaupun saya telah beberapa kali melalui jalan ini, baru kali ini tergerak untuk singgah makan, Ternyata makanan yang ada boleh tahan sedap dengan harga berpatutan. Dan lagi ia memiliki suasana tersendiri yang menyebabkan saya terasa akan singgah lagi kemudian hari....


Saya juga mengambil peluang ini untuk singgah lagi di masjid lama yang menjadi punca munculnya nama Masjid Tanah. Lihat artikel Masjid Tanah, the mosque made from soil yang dibuat di blogspot BERPETUALANG KE ACEH lebih awal tadi.

Kemudian baru saya pergi ke kawasan tepian pantai di Kuala Linggi yang membawa ke Bukit Supai di mana terletaknya Kota Kuala Linggi. Oh, sebelum itu saya sempat berhari-raya di rumah seorang adik kepada ayah... rupa-rupanya tak jauh dari sini, sekitar 10 km sahaja gitu dan letaknya dalam perjalanan dari Masjid Tanah tadi. Cuma mungkin saya kurang rapat dengan keluarga sebelah ayah berbanding ibu. Rasanya kali terakhir saya berjumpa bapa saudara yang ini mungkin 3 tahun lalu, bapa saudara yang suatu masa dahulu juga sibuk menelusuri jejak salasilah keluarga tetapi menurut Nenek, ibu kepada ayah, perjalanannya tidak dapat disempurnakan kerana bersahabat dengan jin-jin...





Maka sampailah saya di Bukit Supai lagi, ketika itu sudah hampir senja. Isteri yang sedang sarat menunggu sahaja dalam kereta sementara saya terus berlari untuk masuk ke kawasan dan naik ke atas bukit. Kalau tidak, kemungkinan besar dia akan ikut sekali! Kali ini saya tidak mahu tersilap langkah lagi. Semasa di Muar awal sebelum itu, saya telah pergi ke sebuah Cyber-Cafe untuk meneliti balik pesanan seorang pembaca yang ditinggalkan dalam blogspot ini.

Rujuk balik pada penulisan awal dalam artikel pembuka siri kecil ini bertajuk Akhirnya, baru bercerita tentang perjalanan di Linggi... juga Kuala Linggi... di mana saya ada memberitahu bahawa perjalanan ke Linggi/ Kuala Linggi ini dibuat berdasarkan komen dalam blogspot. Kali ini saya turut mencatitkan komen itu ke dalam kertas. Untuk pengetahuan, komen itu dibuat pada artikel Peranan Ahlul Bait lawan propaganda Zionis Illuminati! yang ditulis di sini lebih setengah tahun lalu! Biar dicopy and paste...




Salam Sayd,

Circuit tuan di port dickson serta kawasan sekitarnya perlu di sambung di kota kuala linggi. Di atas tembok dinding kota kuala linggi tuan berdiri menghadap laut dan lihat sebelah kanan dinding kota yang menghadap sungai linggi lihat lagi di luar dinding kota dan turun curam sedikit dan akan nampak satu makam yang agak terbiar (as at 2005)di luar kota. Buat lah apa yang patut. Sewaktu balik dari kota kuala linggi jgn lupa mesti banyak banyak bersabar, jangan lupa bersabar! Selepas itu teruskan ke masjid lama linggi yang banyak makam lama tu tapi kali ni pergi jauh ke dalam kawasan kebun getah di atas bukit belakang masjid. Di celah celah pokok getah tu ada makam makam lama dan salah satu dari nya adalah makam Sheikh Jamaluddin Al Linggi. Buatlah apa yang patut. Sambong lagi next time.

Sheikh Ahmad Qadri Alawi



Setelah sampai di dataran atas bukit saya pun berdiri menghadap laut...


Kemudian baru melihat ke kanan...





Dengan berjalan di atas tembok saya terus menghala ke kuala sungai. Sampai ke hujung tembok baru terlihat kewujudan makam di satu bahagian lereng!





MasyaAllah! Saya telah pergi ke bukit ini tidak kurang 5 kali. Baru kali ini menyedari akan kewujudan makam ini...


Saya pun pergi lebih dekat lalu membuat apa yang patut...





Melihat pada kain kuning di batu nisan, kemungkinan besar ia milik seorang kerabat diraja dahulukala. Mungkin kerabat diraja Bugis? Kerana setahu saya Kota Kuala Linggi ini didirikan oleh mereka sebelum diambil-alih oleh Belanda. Mungkin sebab itu komen atau pesanan dalam blogspot meminta saya agar pergi ke makam Sheikh Jamaluddin Al-Linggi seterusnya?




Saya turun dari bukit ketika sudah masuk waktu Maghrib... sampai di Masjid Qariah Linggi ketika sudah gelap, sudah masuk jam 8 malam begitu. Namun saya terus pergi ke makam Sheikh Jamaluddin yang terletak sekitar 200 meter di kawasan belakang luar masjid yang lebih merupakan sebuah belukar dengan tanah perkuburan lama. Untuk makluman, masjid itu sendiri dikelilingi tanah perkuburan baik di hadapan mahupun di sini!

Perjalanan saya seperti sudah diatur. Sebaik sahaja selesai meletakkan kereta di perkarangan masjid dan memastikan isteri dapat masuk ke ruangan solat wanita saya terus ke belakang di mana terdapat tempat mengambil wudhuk kerana perlu mengikut pintu pagar belakang masjid untuk sampai ke makam. Seketika itu juga lampu di belakang dibuka oleh satu-satunya orang yang ada ketika itu kerana masjid lama ini sudah jarang digunakan untuk solat berjemaah.

Hmm. Nak kata penjaga masjid pun tak pasti, biar disebut pakcik sahaja ya. Pakcik itu membuka pintu belakang bangunan masjid lalu menjenguk keluar. Terlihat sahaja kelibat saya terus dia bertanya: "Mahu ke mana ini?". Terus saya jawab: "Mahu ziarah makam".

Peliknya dia tidak bertanya apa-apa lagi. Lampu dibiarkan terus menyala. Dapat juga menerangkan sehingga 30 meter gitu di sekitar. Kalau tidak, lagi teruk saya harus mencari makam dalam kegelapan tanpa membawa apa-apa lampu mahupun pelita.

Kali ini juga berlaku sesuatu yang baru. Walaupun saya juga telah pergi menziarahi makam Sheikh Jamaluddin sekurang-kurangnya 5 kali, baru kali ini saya tergerak dan dapat masuk dalam lingkungan pagar besi lalu menyentuh batu nesan. Sebelum ini saya tidak menyedari dan tidak terjumpa pun pintu masuk ke dalam, setakat melihat dari luar pagar sahaja. Tetapi dalam gelap-gelita kali ini pula saya dapat menemui pintu masuk dan membukanya. Walhal cahaya lampu masjid tidak sampai ke situ, harus menggunakan cahaya telefon bimbit untuk melihat dalam samar-samar... walhal dahulu saya sudah beberapa kali sampai ke makam waktu siang tetapi tidak menemui pun pintu!

Setelah membuat apa-apa yang patut baru saya masuk ke masjid. Selepas bersolat jamak Maghrib dan Isyaq saya membaca Al-Quran dan berwirid sedikit. Lega rasanya berjaya menyelesaikan perjalanan yang sudah lama disarankan melalui komen iaitu sejak bulan Mei lagi. Saya tak tahu apakah makna sebenar membuat perjalanan ini kecuali meneka-meneka pertalian Sheikh Jamaluddin Al-Linggi yang memang ada darah kerabat diraja Bugis mungkin kena-mengena dengan diri saya sendiri. Mungkin akan keluar petunjuk lebih nyata setelah selesai menamatkan cerita?

Oh... Pada penghujung artikel Cerita perjalanan Linggi/ Kuala Linggi. Siapa pula Tok Bali? saya ada menyebut "Dengan ini, tamatlah penggunaan koleksi gambar-gambar perjalanan bulan Ogos...". Sebenarnya saya tersilap. Masih ada banyak lagi gambar-gambar perjalanan bulan Ogos, cuma telah dikumpulkan dalam satu folder tersendiri. Untuk makluman, ia adalah gambar-gambar perjalanan ke Pantai Timur yang dibuat hujung bulan itu. Gambar-gambar inilah yang akan menjadi asas kepada satu siri artikel baru yang akan dibuat selepas ini. Selamat malam! :]


Tuesday, November 03, 2009

Sayangnya kat Al-Rasyid!

Allah! Tadi timbul rasa kuat pula untuk berkongsi lagi gambar-gambar anak. Kiranya dimulakan dari Muhammad Al-Aminul Rasyid baru sehari keluar dari perut sehinggalah masuk umur 3 minggu ya. Gambar-gambar ini diatur menurut turutan masa, dari hari mula-mula sehinggalah hari-hari kemudian. Syukur kepada Allah kerana memberikan rasa kasih sayang yang semakin hari semakin bercambah ini! Rujuk juga artikel Lahirnya anakku Muhammad Al-Aminul Rasyid dan 131... yang dibuat pada hari anak ini lahir... sekian. :]




























































Cerita perjalanan Linggi/ Kuala Linggi. Siapa pula Tok Bali?

Setelah membuat beberapa lagi artikel baru di blogspots BERPETUALANG KE ACEH dan SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART), baru saya boleh menyambung cerita... dari artikel Akhirnya, baru bercerita tentang perjalanan di Linggi... juga Kuala Linggi... yang dibuat Jumaat lalu. Mari...

Malam selepas makan di restoran terapung kuala Sungai Linggi kemudian naik Bukit Supai seorang diri dalam kegelapan, saya dan isteri pun kembali ke kampung ibu saya di Muar. Ini adalah satu gambar bandar Muar yang diambil keesokan hari atau lusanya, saya pun dah lupa...



Yang pasti kami bermalam di rumah ibu bapa sekurang-kurangnya 2 hari. Sampai masa untuk kembali ke Lembah Kelang, kami sengaja mengambil jalan jauh berundur ke selatan untuk pergi ke Kampung Raja di Pagoh terlebih dahulu demi menziarahi makam Sultan Alauddin Riayat Shah yang terletak di sebuah masjid jamek. Sila lihat artikel Masjid jamek (Main mosque of) Sultan Alauddin Riayat Shah I yang baru dibuat siang tadi...


Oh. Tidak jauh dari masjid, terdapat sebuah surau yang namanya terasa amat pelik. Surau Nabi Idris? Seumur hidup saya tidak pernah terjumpa mana-mana surau mahupun masjid yang diberi nama sempena mana-mana nabi. Inikan lagi Nabi Idris. Apakah ada sesuatu yang istimewa?

Saya pun turun kereta untuk melihat dan mengambil gambar lebih dekat. Orang masjid yang ada kelihatan pelik melihat gelagat saya. Apabila dilihat lebih dekat, ternyata saya sudah tersilap. Rupa-rupanya nama surau ini ialah Surau NAIB Idris... hek eleh!


Apapun, saya singgah di Kampung Raja dan sekitarnya dengan niat untuk pergi lagi ke Kuala Linggi. Dari sana saya masuk ke Lebuhraya PLUS melalui tol Pagoh sebelum keluar di tol Air Keroh, Melaka lalu mengambil lebuhraya pintas hingga ke Masjid Tanah, baru menghala ke Kuala Linggi... singgah sebentar di masjid ini untuk mengambil wudhuk. Sila lihat artikel Masjid (Mosque of) Al-Muttaqin, Kuala Linggi...

OK. Berbalik pada apa yang berlaku dalam artikel Akhirnya, baru bercerita tentang perjalanan di Linggi... juga Kuala Linggi... . Sebenarnya saya tidak berjaya menemui apa-apa makam di Bukit Supai. Sebaliknya saya diberitahu oleh seorang makcik yang berniaga di restoran terapung bahawa mungkin makam yang dicari itu adalah makam seseorang yang dikenali sebagai Tok Bali, katanya orang yang tinggi agamanya lagi keramat, mungkin seorang wali!

Makcik itu menerangkan jalan untuk ke sana. Cuma katanya jangan main sebarang pergi, kelak ada ujian dan gangguan seperti ular besar dan sebagainya. Saya jadi amat teruja lalu ingin pergi malam itu juga. Tetapi isteri saya yang ketika itu sedang sarat mengandung 7 bulan jadi risau lalu meminta saya menunda niat itu, sekurang-kurang sehingga kami sudah bermalam di Muar terlebih dahulu.

Lalu perjalanan kembali ke Lembah Kelang digunakan untuk singgah lagi di Kuala Linggi. Setelah mengikut panduan arah yang diberikan makcik restoran terapung, kami sampai ke teluk ini yang letaknya sekitar 500 meter sebelum Bukit Supai...


Kelihatan sebuah makam dengan tembok berwarna biru. Ada sebuah tanah perkuburan Islam yang agak besar. Tetapi apabila saya pergi lebih dekat, terasa ada sesuatu yang kurang...




Kami hampir meninggalkan tanah perkuburan ini sebelum terjumpa makam agak terserlah ini pula. Nasib baik ketika itu ada dua orang tempatan sedang lalu di jalanan luar tanah perkuburan yang agak sunyi ini. Lalu kami mendapat kepastian inilah makam Tok Bali yang disebut makcik di restoran terapung. Teringat pula sebuah tempat dengan pantai di Kelantan bernama Tok Bali. Apakah ada kena-mengena? Sila lihat artikel Looking for a tomb at a scenic bay in Kuala Linggi..


Walaupun sudah terjumpa makam Tok Bali, saya sebenarnya masih tidak berpuas hati. Lalu saya memanjat lagi Bukit Supai, kali ini di siang hari. Lihat artikel Kota (Fort of) Kuala Linggi...


Namun saya tetap tidak dapat menemui apa-apa makam di bukit itu. Sebaliknya saya terjumpa makam ini pula sekitar 200 meter keluar dari kawasan Bukit Supai...


Akhirnya saya meneruskan sahaja langkah kembali ke Lembah Kelang dengan melalui pekan Linggi. Singgah sebentar di surau lama tepi jalan yang disebut sesetengah orang sebagai tempat persinggahan dan laluan para wali ghaib! Lihat artikel lama Sebuah surau lama di Linggi (An old praying hall in Linggi) yang dibuat di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART) Februari 2008.


Oh. Saya singgah di sini untuk mencari topi berwarna putih saya yang tercicir ketika perjalanan untuk ke Kuala Linggi hampir senja 2-3 hari sebelum itu. Rujuk kembali pada artikel Akhirnya, baru bercerita tentang perjalanan di Linggi... juga Kuala Linggi...

Sebenarnya sebelum singgah di Masjid Linggi lalu menziarahi makam Sheikh Jamaluddin, saya telah pergi ke kolam sebelah surau tinggal ini untuk mengambil wudhuk. Saya ada memakai topi putih itu lalu meletakkannya di tepi ketika membasuh muka dan kepala. Setelah balik ke Muar baru saya menyedari ia telah tercicir.

Namun saya tidak dapat menemui topi itu. Allah! Hilang lagi satu topi. Sepanjang ingatan saya, saya sudah kehilangan tidak kurang 20 buah topi, sesetengahnya mahal-mahal hadiah dari syarikat-syarikat besar ketika saya masih bertugas sebagai wartawan di akhbar The New Straits Times dahulu... kerana tercicir, terlupa atau sebagainya. Apa boleh buat, saya terpaksa menerima kenyataan lalu terus ke Lembah Kelang sebelum kembali ke rumah di Bandar Tasik Puteri. Dengan ini, tamatlah penggunaan koleksi gambar-gambar perjalanan bulan Ogos...


p/s:
Dengan kuasa Allah, topi itu ditemui kembali di atas meja di dalam rumah kami! La ila ha il Allah. Kedengar bunyinya mustahil. Apakah saya sebenarnya memang telah tertinggal topi itu di rumah kemudian terlupa tentangnya? Tidak. Baik saya mahupun isteri pasti saya ada membawa topi itu dalam kereta malah memakainya sepanjang perjalanan dari Lembah Kelang ke Linggi, cuma dibuka di kolam tepi surau lama.

Apapun, saya tidak hairan jika ia memang tercicir di Linggi lalu 'dihantar' kembali ke rumah. Untuk pengetahuan, saya pernah menerima sehelai selempang merah yang muncul tiba-tiba di sebelah pembaringan saya pada suatu Subuh. Jadi ia memang tidak mustahil. Dan lagi cerita ini akan disambung apabila sampai waktunya. Sekian, selamat malam! :]