Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Sabtu, Disember 06, 2025

Islam dan orde dunia yang sedang muncul - Apakah ikhtiar?

Salam. Pergi pada hari ke-2 dan terakhir acara. Bersambung daripada Islam dan orde dunia yang sedang muncul - Satu konvensyen mewah UIA.



Pagi Khamis 4 Disember 2025. Ke Hotel St Regis lagi untuk mengikuti konvesyen.




Kali ini tidak perlu memandu 45 km seperti hari sebelumnya dari rumah. Kerana menginap percuma di satu tempat kurang 5 km perjalanan. Lihat artikel Surau (Prayer hall of) Istana Negara lama (old National Palace) di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART). Selepas itu parkir di satu kawasan percuma berdekatan Muzium Negara.



Dari muzium boleh seberang jalan bawah tanah melalui stesyen MRT.



Keluar ke pintu yang membawa nama hotel...



Dah sampai.



Ambil sarapan bawa masuk ke dewan majlis.



Rektor UIA (Universiti Islam Antarabangsa) Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar sedang mengingatkan tentang dua orang tokoh akademik antarabangsa Islam yang baru beberapa jam meninggal dunia. Mereka adalah Dr Yaqub Mirza, pengasas dan presiden Pusat Islam untuk Dunia Kontemporari di Shenandoah University dan Profesor Dr Abdulaziz Sachedian, pemegang Kursi Pengajian Islam di George Mason University, kedua-duanya di Amerika Syarikat




Selepas itu baru dibuat ucaptama yang tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Masa-masa Kejahatan Sejati : Apabila Penghapusan Kaum Menjadi Kebaikan yang Lebih Besar". Maksudnya, apabila penghapusan kaum dihalalkan atas alasan dapat memberikan kebaikan kepada lebih ramai (konon). Hal ini boleh berlaku apabila suatu kaum diwar-warkan sebagai jahat atau sering memberikan masalah. Inilah yang berlaku kepada umat Islam terutama di Gaza.



Makan lagi sambil mengikuti sesi seterusnya. Kecuali kopi yang ada beberapa jenis, menu sentiasa bertukar setiap kali makan.



Masuk sesi diskusi ke-3 (keseluruhan majlis). Tajuknya yang boleh diterjemahkan sebagai "Kebangkitan Arus Islamfobia" mengingatkan pada majlis bertajuk serupa yang dihadiri 19 hari lebih awal. Lihat Seminar Islamofobia Pencetus Genosid Menafikan Hak Asasi Kemanusiaan. Malah kedua-dua majlis menggunakan moderator atau pemudah cara yang sama.




Makan tengah hari. Selalunya saya berpuasa sunat hari Khamis, apa lagi ketika itu sudah masuk tarikh 13 Jamadil Akhir, mula Puasa Putih. Kali ini tidak. Sebab nak layan makan hotel mewah daaa... :]




Sesi diskusi ke-4. Ia adalah tentang kecerdasan buatan, perubahan cuaca dan kebangkitan golongan kanan jauh. Kelihatan seperti lain-lain bidang atau hal. Sebenarnya memang berkaitan.



Sesi diskusi ke-5, tentang peranan anak muda dalam order dunia yang sedang muncul.



Saya cuma mengikuti sekejap sahaja. Ini kerana sudah melepasi jam 4 petang. Takut palang di tempat parkir percuma ditutup kerana institusi berkenaan hendak tamat waktu kerja. Dah alang-alang keluar pergilah ke ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) di Bukit Tunku. Berehat dan beriktikaf di masjid sehingga masuk waktu Maghrib.



Sampai ke sesi makan malam lewat sedikit. Kali ini memakai busana tradisional Melayu penuh bersampin dan berkeris, sebelum itu setakat berbaju Melayu dan bertanjak sahaja. Nasib baik ada  menyediakan kerusi supaya dapat duduk semeja.



Kali ini ada ucapan santai oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Senator Dato’ Seri Dr Zambry Abdul Kadir.




Ini diikuti persembahan video ucapan oleh sarjana terkenal Profesor John Esposito. Beliau yang mengajar pengajian Islam dan hubungan antarabangsa di Georgetown University, Amerika Syarikat sepatutnya datang ke konvesyen tetapi tak dapat kerana masalah kesihatan.



Akhir sekali adalah ucapan oleh sarjana terkenal, Profesor Ziauddin Sardar, pengarah Institute of Futures Studies (Institut Antarabangsa Kajian Masa Hadapan), badan bawahan UIA (Universiti Islam Antarabangsa) yang menjadi penganjur utama majlis. Tapi tidak dapat memberikan tumpuan. Satu kerana mahu mengejar sasaran bacaan Al Quran satu juz sehari diikuti bacaan Surah Yassin bagi malam Jumaat. Kedua kerana dikuasai perbualan di meja makan. Saya asyik diajak berkongsi pengalaman dan pemikiran.




Sebaik sahaja selesai terus berkejar ke rumah. Maklumlah sudah 2 hari 2 malam keluar tanpa isteri. Tengok-tengok 120 km memandu sejak meninggalkan rumah. Sebelum itu, Ahad 30 November, ada keluar seharian membawa anak-anak berjalan di Lembah Klang lalu memandu sejauh 168 km, Khamis  hingga Jumaat 27-28 November hingga ke Shah Alam dan Setia Alam memandu hampir 200 km, Rabu 26 November pula baru kembali daripada permusafiran 12 hari 11 malam ke Muar lalu meliputi jarak hampir 1,000 km. Cuma kesemua perjalanan dibuat bersama isteri. Lihat Asbab khidmat kepada ibu bapa - The compilation.

Sekarang biar ditambah. Selepas menginap malam sebelumnya di surau saya ada berbual-bual dengan beberapa orang ahli jemaah tabligh. Menurut mereka sudah 8 hari beriktikaf di situ, supaya dekat dengan Masjid Negara untuk membuat kerja-kerja dakwah (di sana tidak boleh menginap). Malah sebenarnya sudah 20 hari keluar beramal berjemaah meninggalkan rumah. Ada seorang dari Turki, seorang dari Tunisia, seorang dari Algeria. Yang dari Algeria itu katanya seorang ulamak yang telah diarahkan supaya keluar bermusafir setahun. 

Ulamak tersebut kemudian bercerita tentang amalan tariqat juga tentang para wali dan karamah terutama tentang Sultan Awliya Sheikh Abdul Qadir Jalani yang hidup sekitar 1,000 tahun lalu. Mendengarkan cerita sambil mengenangkan pelbagai majlis akademik yang sudah dihadiri tentang nasib orang Islam zaman sekarang menguatkan lagi apa yang sudah bermain dalam fikiran sejak beberapa tahun kebelakangan. Berdiskusi dan berbincanglah sejauh mana. Kalau masih dalam had akal logik akademik, diplomasi dan pemahaman biasa geopolitik paling kuat cuma boleh mendapatkan institusi seperti Mahkamah Keadilan Antarabangsa untuk mengisytiharkan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sebagai penjenayah perang. Tetapi tidak dapat dikuatkuasakan kerana tiada kemampuan untuk menangkap. Sambil itu umat Palestin juga negara-negara Islam terus boleh diserang sewenang-wenang.

Memikirkan masak-masak hal, pada saya solusi sebenar adalah umat Islam memerlukan kekuatan. Baca Surah al-Anfal :-


Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari mereka yang kamu tidak mengetahuinya; 

Wahai Nabi, peransangkanlah orang-orang yang beriman itu untuk berperang. Jika ada di antara kamu dua puluh yang sabar, nescaya mereka dapat menewaskan dua ratus orang (dari pihak musuh yang kafir itu); dan jika ada di antara kamu seratus orang, nescaya mereka dapat menewaskan seribu orang dari golongan yang kafir.


Jadilah seperti 313 orang Ahli Badar menentang lebih 1,000 golongan Musyrikin Mekah. Walaupun dhaif alatan perang dapat menang kerana layak mendapat bantuan Allah. Sejarah lebih 1,400 tahun Islam menunjukkan akal sahaja tidak cukup untuk membela ummah. Mesti ada kekuatan fizikal. Nabi sendiri turut berperang, bukan sekadar berteori lalu mengarahkan orang-orang 'kasar' membuat kerja 'buruh' untuk menang. Ya, saya tahu ada yang menganggap mereka yang ada kemampuan fizikal seperti boleh bersilat sebagai orang kasar, tidak intelektual. Kononnya orang intelektual itu cuma perlu menggunakan otak. Kalau menggunakan fizikal itu kerja orang bawahan yang belajar sekolah tak berapa pandai.

Tentang hendak mendapatkan kekuatan bukan semata-mata tahu ilmu perang, tangkas tegap otot. Tetapi jadi orang beriman sehingga ada riwayat mengatakan tebas dengan pelepah tamar (akibat tidak memiliki pedang) pun boleh putus kepala musuh.  Sekian.


Islam dan orde dunia yang sedang muncul - Satu konvensyen mewah UIA

Merujuk pada artikel Asbab khidmat kepada ibu bapa - The compilation yang ditulis lalu dipersembahkan Selasa malam Rabu 3 Disember. Ada dinyatakan bahawa ketika itu masih belum selesai makan malam di hotel mewah St. Regis di KL Sentral, dalam satu majlis ilmu pagi hingga malam hingga esoknya 4 Disember. Ini cerita tentang majlis.




Saya telah diberitahu tentang majlis dua hari ini oleh guru saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam), Profesor Emeritus Datuk Dr Osman Bakar melalui poster atas di WhatsApp seawal hari kelahiran saya Rabu lebih seminggu lalu 26 November. Tetapi tidak memberikan maklum balas walau tertarik dengan tajuk kerana terlihat perlu membayar RM150. Ahad 1 Disember beliau menghantar poster untuk satu majlis lain pada 10 Disember. Baru menyatakan insyaallah akan datang kerana yang itu memang bersiri dan percuma di kampus utama UIA (Universiti Islam Antarabangsa).

Isnin malam Selasa 2 Disember, Osman yang juga adalah Rektor UIA menghantar lagi poster atas. Kali ini dinyatakan bahawa saya diundang sebagai tetamu beliau lalu diberikan sekali atur cara majlis dan borang kedatangan. Barulah menyatakan insyaallah akan datang. Kemudian baru tersedar, kalau bukan tetamu undangan pun boleh menyertai secara percuma sebagai pelajar.




Sebetulnya penat pelbagai aktiviti sejak sebulan kebelakangan masih belum hilang. Begitu juga sakit tekak, batuk-batuk dan demam-demam. Cuma ada sedikit kurang. Pun begitu, kerana sayangkan ilmu dan telah memberikan komitmen kepada guru bergeraklah ke lokasi untuk hari pertama acara pagi Rabu 3 Disember 2025. Ini adalah tepat seminggu selepas hari lahir. Sekadar memberitahu, saya menyambutnya dengan majlis-majlis ilmu dalam keadaan masih lagi bermusafir sejak Sabtu 15 November. Lihat Asbab khidmat kepada ibu bapa - Menyambut hari lahir ke-55 dengan 2 majlis ilmu di ISTAC




Berbagai aktiviti dilakukan malah berpanjangan sehingga Ahad 30 November. Lihat Asbab khidmat kepada ibu bapa - The compilation. Pergi ke lokasi iaitu hotel mewah St Regis di KL Sentral. Sebelum ini cuma pernah sekali sahaja masuk hotel mewah di sekitar itu, apabila ada kawan membelanja makan malam.



Selepas mendaftar makan pagi terlebih dahulu. Semasa menaiki lif ke lobi dari tempat parkir kereta hotel ada terlihat iklan hidangan udang galah untuk satu kepala lebih RM800 harga, kemudian iklan hidangan ayam belanda lebih RM1,000.




Zaman menjadi wartawan di akhbar The New Straits Times tahun 1996-2001 dahulu selalu juga ke majlis di hotel mewah, selepas itu ada beberapa kali. Tetapi yang ini terasa lebih terserlah kemewahannya. Mungkin kerana kesan tajuk hebat yang boleh diterjemahkan sebagai "Islam dan Orde Dunia yang Sedang Muncul".




Yang terasa tak sangka sebab ia dianjurkan oleh satu institusi yang baru sahaja beberapa bulan diasaskan,  di bawah UIA. Namanya International Institute of Futures Studies (Institut Antarabangsa Kajian Masa Hadapan). Seingat saya, sejak rajin menyertai majlis-majlis anjuran badan-badan seperti universiti, Perpustakaan Negara, Arkib Negara, Persatuan Sejarah Malaysia dan sebagainya bermula penghujung tahun 2009 kelihatan ini paling mewah. Setakat inilah...



Kelihatan Muhamad Adib Irfan Fazil, Presiden PKPIM (Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia) memberikan ucapan pembukaan. PKPIM adalah antara pihak yang membantu melicinkan acara.



Selepas itu guru saya Osman memberikan sedikit kata-kata. Beliau memberitahu bahawa UIA di bawah pimpinan beliau telah menubuhkan beberapa institusi baru untuk misi-misi tertentu. Antaranya, International Institute of Futures Studies yang beliau ringkaskan sebagai IFFS (ditekankan bunyi seperti "Ifs" yang dalam bahasa Inggeris bermaksud membawa banyak kemungkinan). Tentunya ia adalah tentang mengkaji pelbagai kemungkinan yang boleh/dijangka muncul pada masa hadapan terutama melibatkan geopolitik dunia, dan bagaimana hendak menanganinya.




Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Fadhila Sidek memberikan ucapan perasmian. Beliau menyatakan sangat teruja untuk bersama kerana diundang sendiri oleh pengarah IFFS, Profesor Ziauddin Sardar. Untuk pengetahuan itu adalah satu nama besar dalam persada pemikiran dan keintelektualan dunia. Ziauddin yang merupakan seorang sarjana dan penulis dari Britain terkenal kerana buku-buku dan pemikiran dalam menduga masa hadapan pelbagai perkara dan bidang.




Majlis berupa konvesyen ini mengenengahkan ramai sarjana dan pemikir antarabangsa.




Makan ringan antara sesi.



Selepas itu baru dimulakan pengisian sebenar...



Ini adalah ucaptama yang tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Islam dan Orde Dunia yang Sedang Muncul', tajuk keseluruhan majlis atau konvensyen ini sendiri. Ia adalah tentang bagaimana Islam dan penganutnya dilihat juga harus bertindak dalam keadaan dunia sedang mengalami pelbagai perubahan aturan atau order. Misalnya dalam keadaan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump kelihatan begitu keras untuk menunjukkan kuasa tanpa memikirkan orang lain. Pada masa sama negara China mula menyaingi dengan peningkatan pesat ekonomi dan jangkauan pengaruh, juga teknologi dan kekuatan ketenteraan.




Makan tengah hari.



Selepas itu bermulalah sesi diskusi pertama.



Tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Apakah Ciri-ciri Utama Order Baru yang Sedang Muncul?". Yang saya dapat tangkap dan simpulkan, keadaan sekarang sangat celaru dan huru hara. Susah hendak menetapkan order atau aturan seperti dahulu yang mana misalnya kita boleh melihat dengan jelas blok Amerika Syarikat dan sekutu negara-negara kapitalisnya  berhadapan blok Russia (dahulu Soviet Union)  dan sekutu negara-negara komunisnya. Lain-lain negara bergerak di sekitar pergelutan dua kuasa utama ini.



Ini diikuti diskusi kedua, tentang sifat geopolitik yang berubah-ubah. Yang ini terasa lebih jelas arah perbincangan dan pengisian. Cuma tak puas hati dengan jawaban yang diberikan apabila saya bertanya apakah kita akan menyaksikan penguasaan dunia oleh Israel, seperti mana Amerika Syarikat pernah jelas menguasai, sebelum itu Great Britain. Jawaban yang diberikan, mustahil Israel yang cuma ada 7 juta penduduk boleh menguasai dunia. Walhal hakikatnya pada masa sekarang pun ia boleh berbuat sesuka hati (seperti di Gaza) tanpa apa-apa halangan yang bermakna. Dan sekarang pun Amerika kelihatan asyik menurut telunjuk mereka.




Saya dan kebanyakan hadirin terus berlegar di hotel menunggu sesi makan malam.




Asalnya ingin keluar selepas diskusi petang, mandi dan bertukar pakaian di mana-mana. Tetapi tak jadi sebab dah masuk parkir hotel. Selalu boleh minta penganjur menolong agar caj parkir peserta dilupuskan. Kali ini tak boleh, cuma boleh kurangkan jadi kadar rata RM30.



Ketika meminta dari seorang petugas sekitar jam 5 lebih, caj parkir saya didapati sudah mencapai RM64. Malam harus lebih RM80. Dapat RM30 tu dah kira alhamdulillah sangat. Rasanya sarapan pagi percuma pun dah balik modal sebab harga hotel mewah. Dah alang-alang dapat kadar rata biar kereta diparkir dalam hotel sampai majlis selesai lewat malam




Semasa makan ada ucapan oleh Fadhlina diikuti sesi santai bual-bual yang tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Jurang Antara Pendidikan dan Polisi dalam Orde Dunia yang Sedang Muncul". Sebetulnya susah untuk mengikuti ketika makan. Bual-bual orang di meja lebih menguasai keadaan.


Rabu, Disember 03, 2025

Asbab khidmat kepada ibu bapa - The compilation

Salam. Pada ketika ini saya masih belum selesai makan malam di hotel mewah St. Regis di KL Sentral. Masih dalam dewan  bersama sejumlah hadirin yang mundar mandir, berbual dan macam-macam, selepas mereka semua sudah selesai makan. Ia adalah sebahagian daripada atur cara satu majlis ilmu pagi hingga malam, hari ini 3 hingga esok 4 Disember. Insyaallah akan dikongsikan cerita. Sebelum itu biar dipersembahkan artikel kompilasi tentang perjalanan hingga ke Muar baru ini.


Perjalanan ke Muar baru ini berlaku atas asbab mahu menghantar dan menemani ibu bapa saya yang kedua-duanya berumur 83 tahun untuk pemeriksaan di klinik kesihatan dalam kawasan hospital Muar pagi Isnin 17 November 2024. Kemudian mahu menghantar dan menemani mengambil keputusan pada Isnin berikutnya 24 November. Kebetulan ada majlis ilmu mahu dihadiri di Kuala Lumpur pagi Sabtu 15 November. Maka diaturlah perjalanan supaya dapat ke majlis kemudian ke beberapa tempat sebelum sampai ke Muar Ahad malam Isnin 16 November.

Di celah-celah tarikh 17 November membawa ke 24 November tolonglah apa yang patut terutama membersihkan halaman rumah yang sudah lama kurang terjaga kerana keuzuran orang tua. Kebetulan ada majlis ilmu lagi mahu dihadiri pagi Rabu26 November, hari ulang tahun kelahiran saya yang ke-55 di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam). Maka selepas mendapat keputusan pemeriksaan kesihatan kemudian membawa ibu bapa bersiar-siar diaturlah perjalanan seterusnya dapat singgah ke beberapa tempat termasuk kampung isteri di Tanjung Sepat kemudian ke majlis di ISTAC sebelum kembali ke rumah. Lalu didapati saya sudah memandu hampir 1,000 km.

Esoknya Khamis 27 November keluar lagi untuk ke majlis ilmu di UIA (Universiti Islam Antarabangsa) diikuti satu majlis sastera di Dewan Bahasa dan Pustaka. Ini disambung dengan beberapa urusan membawa ke Pesta Buku Selangor Jumaat 28 November di mana kami suami isteri berkesempatan bertemu dengan Sultan Selangor lalu menghadiahkan senaskah buku "Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arshad : Perjuangan yang Belum Selesai". Perjalanan ini sendiri memakan jarak pemanduan hampir 200 km. Ia ada kesinambungan dengan perjalanan ke Muar lalu dikongsikan cerita dalam siri sama.


1. Seminar Islamofobia Pencetus Genosid Menafikan Hak Asasi Kemanusiaan

2. Makam (Tomb of) Tok Gubah

3. Masjid (Mosque of) Al-Ehsan, Kampung Chohong, Melaka

4. Asbab khidmat kepada ibu bapa - Dari majlis tentang Islamofobia ke Tuan Tulis ke Tok Gubah 

5. Asbab khidmat kepada ibu bapa - Lebih seminggu di Muar

6. Asbab khidmat kepada ibu bapa - Dari kapal purba di Melaka membawa ke Merah Silu Live di Jenjarom

7. Asbab khidmat kepada ibu bapa - Menyambut hari lahir ke-55 dengan 2 majlis ilmu di ISTAC

8. Asbab khidmat kepada ibu bapa - Dari majlis manuskrip Jawi ke perjuangan Hamas ke teater puisi kebitaraan Melayu

9. Masjid (Mosque of) Setia Alam

10. Masjid (Mosque of) Seksyen 7, Shah Alam

11. Asbab khidmat kepada ibu bapa - Bertemu Sultan di Pesta Buku Selangor


Oh. Perjalanan ke Muar dan kembali telah menyaksikan kami melaksanakan Merah Silu Live edisi 13 dan 14 di luar kawasan. Selasa malam Rabu iaitu semalam 2 November baru dapat melaksanakan edisi seterusnya iaitu yang ke-15 di rumah. Ini video rakaman.



Kali ini, perjalanan lama saya yang diketengahkan adalah seperti berikut :-


23. BKA Tour Run 2007 - lebih 1,700 km. Lihat Kenangan BKA Tour Run tahun 2007


OK. Ada hidangan pencuci mulut belum disentuh kerana hendak menyiapkan artikel ini. Sekarang baru boleh sambung makan. Selamat malam... :]

Ahad, November 30, 2025

Asbab khidmat kepada ibu bapa - Bertemu Sultan di Pesta Buku Selangor

Masih ada yang perlukan dikongsikan demi melengkapkan cerita. Bersambung daripada Asbab khidmat kepada ibu bapa - Dari majlis manuskrip Jawi ke perjuangan Hamas ke teater puisi kebitaraan Melayu.



Pagi Jumaat 28 November 2025. Setelah bermalam di rumah ibu saudara di Petaling Jaya kemudian membantu melicinkan satu urusan beliau saya dan isteri pun bergerak hendak meninggalkan kawasan.




Singgah dahulu mengeteh di warung mamak berdekatan. Terjumpa seorang anak Melayu yang rupa-rupanya seorang arkitek berjaya yang katanya berketurunan Tuan Tulis campur keturunan seorang pemuka Luak Rembau. Beliau membeli senaskah buku "Adam (a.s.) and the Origin of Man" yang merupakan penambaikan daripada tesis Sarjana saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam) tahun 2023. Buku yang merupakan tajuk ke-15 daripada saya ini diterbitkan tahun 2024.



Menyambung perjalanan dalam keadaan hujan masih tak henti-henti sejak petang Khamis.




Hampir ke tempat destinasi utama, makan tengah hari di restoran mamak dalam sebuah pusat membeli belah.



Dari situ boleh berjalan kaki ke masjid utama dalam kawasan. Redahlah hujan rintik yang kemudian didapati berterusan sehingga awal pagi keesokan. Lihat artikel Masjid (Mosque of) Setia Alam di blogspot SENI LAMA MELAYU (MALAY OLDEN ART)




Selesai solat baru ke destinasi.



Selamat datang ke Pesta Buku Antarabangsa Selangor 2025 yang diadakan di Pusat Konvensyen Setia Alam.




Berlangsung sehingga Ahad 7 November pesta baru sahaja bermula pagi Jumaat.




Kami datang mengambil kesempatan atas isteri ada urusan di Seksyen 7, Shah Alam selepas Asar. Lokasi di Setia Alam cuma 7.5 km dari tempat berkenaan.




Lagipun tak tahu bilakah akan ada lagi kesempatan memandangkan ada sahaja aktiviti perlu dilakukan. Di celah-celah itu pula asyik kepenatan.




Tak sangka ada majlis perasmian pesta buku oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris.



Kami pun mengambil tempat di satu sudut. Di situlah dipersembahkan artikel Asbab khidmat kepada ibu bapa - Menyambut hari lahir ke-55 dengan 2 majlis ilmu di ISTAC.



Selepas beberapa lama baginda sampai ditemani Tengku Permaisuri Norasyikin.




Majlis pun dimulakan.



Diceritakan sejarah perkembangan Pesta Buku Selangor yang baru tahun lalu diisytiharkan bertaraf antarabangsa, satu pencapaian hebat kerana ia sebenar dianjurkan oleh Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor, fakta yang saya baru tahu petang itu. Sedangkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur yang sudah beberapa tahun lebih awal mencapai tahap antarabangsa sejak awal dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan badan buku nasional. Saya ada menceritakan sedikit tentang perkembangan dalam artikel Sejenak di Pesta Buku Selangor 2024. Diceritakan dan dibandingkan kedua-kedua pesta buku sejak tahun 1990an.



Sultan Selangor pun merasmikan pesta buku...






Baginda turut merasmikan buku tentang kelip-kelip di Kampung Kuantan, dekat Kuala Selangor.




Selepas perasmian Sultan pergi melihat buku di reruai. Timbul gerak isteri agak menghadiahkan senaskah buku "Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arshad : Perjuangan yang Belum Selesai". Kebetulan dalam beg galas saya ada senaskah.



Pengiring memberikan laluan apabila diberitahu hendak menghadiahkan buku kepada Tuanku. Isteri menyampaikan lalu memberitahu saya adalah penulis buku. Saya pun menyambung dengan memberitahu ia adalah tentang moyang saya Laksamana Muhammad Amin, salah seorang yang menandatangani Perjanjian Pangkor tahun 1874. Sultan Abdullah yang terlibat juga adalah saudara.

Baginda pun bertanya : "Yang dibuang ke Pulau Seychelles ke?"

Saya jawab iya.

Baginda menambah : "Saya pernah ke Pulau Seychelles".

Saya pula meminta kebenaran untuk mengambil gambar.




Saya memberitahu isteri teringin hendak bergambar bersama Tengku Permaisuri. Tuanku memberikan ruang. Isteri pun mengajak pengarah perbadanan perpustakaan bergambar sekali.




Selepas itu pergi ke reruai sahabat kami, saudara Zam, pemilik Taman Pustaka. Sebetulnya sebaik sahaja masuk ke dewan utama pusat konvesyen terus mencari reruai beliau. Tetapi menghadapi masalah mencari akibat sistem pernomboran kurang jelas bagi reruai sudut. Bila dah jumpa beliau pula tiada kerana sedang berada di luar.



Saudara Zam memulakan perniagaan buku 13 tahun lalu dengan mengumpulkan tajuk-tajuk pilihan, kebanyakannya tentang sejarah melibat orang Melayu, dari institusi seperti universiti dan sebagainya. Ketika itu belum ada orang berbuat begitu. Sekarang sudah ramai melakukannya. Beliau pertama kali membuka gerai semasa majlis pertama anjuran pihak saya atas nama HIKMAH. Lihat artikel Acara pertama HIKMAH di Yayasan Restu, Shah Alam 4 Nov 2012 di blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH). Sebetulnya beliau dan seorang lagi rakan membantu mendapatkan tempat.




Masuk waktu Asar baru bergerak ke Shah Alam untuk urusan isteri. Sebetulnya beliau mahu mengurut seorang kenalan. Sambil itu saya beriktikaf di masjid terdekat. Lihat Masjid (Mosque of) Seksyen 7, Shah Alam.




Makan malam di restoran berdekatan.




Apabila kembali ke rumah didapati sudah memandu hampir 200 km sejak keluar lagi dari rumah petang Khamis 27 November. Ikut rancangan asal Sabtu 29 November mahu keluar lagi. Petang hendak mendaki Bukit Guling Ayam di Gombak bersama isteri, seorang kawan perempuan dan anaknya. Selepas itu mahu ke majlis perkahwinan di Janda Baik kemudian bermalam di rumah kami yang di Hulu Langat. Ini kerana sudah cukup dekat dengan tahfiz anak-anak di selatan Cheras lalu boleh mengambil untuk keluar outing bulanan pagi Ahad 30 November. Selepas menghantar kembali ke tahfiz menginap lagi di Hulu Langat. Kami mahu menyambung kerja-kerja pembersihan rumah yang telah dimulakan 15 November. Rujuk kembali cerita berkenaan dalam artikel pertama siri iaitu Asbab khidmat kepada ibu bapa - Dari majlis tentang Islamofobia ke Tuan Tulis ke Tok Gubah

Tapi keadaan asyik hujan tak henti-henti sejak kebelakangan menyebabkan rancangan memanjat bukit ditunda. Kami juga tak jadi ke Janda Baik dan Hulu Langat kerana kepenatan akibat gigih membersihkan halaman rumah ibu bapa di Muar selama 6 hari berturut-turut masih belum hilang selain dilanda demam dan batuk-batuk. Setakat keluar dari rumah untuk mengambil anak-anak outing lalu bersama menyambut hari ulang tahun ke-55 kelahiran saya yang jatuh pada 26 November. Bawah ini adalah satu gambar.



Baru teringat. Hari keputeraan Sultan Selangor ditetapkan pada 11 Disember, sama dengan tarikh lahir bapa saya. Cuma baginda sebenarnya dilahirkan 24 Disember 1945, bapa saya 11 Disember 1942. Dan 11 Disember juga adalah tarikh perkahwinan saya dan isteri. Sekian cerita.