Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, Mac 02, 2023

Osman Bakar dan Madani - Usaha bagi menggapai satu idealisma tinggi

Salam semua. Merujuk pada artikel Pelancaran buku khas penghormatan bagi Prof Osman Bakar yang dipersembahkan 31 Januari. Ia adalah artikel pertama daripada saya tentang majlis ilmu bagi tahun 2023 dan terakhir hingga kini. Dalam tempoh dua bulan kebelakangan bukan tiada majlis-majlis ilmu selain itu. Tetapi saya tidak dapat memberikan perhatian kerana sibuk dengan penulisan buku terbaru. Lihat artikel Buku "Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad" sedia untuk tempahan yang dipersembahkan 10 Februari.



Adapun artikel tentang buku Laksamana itu dipersembahkan sejurus selepas berjaya menyiapkan deraf kedua buku pada hari itu. Sebelum itu deraf pertama yang dimulakan penulisannya terus ke dalam reka letak (layout) buku pada 1 September 2022 telah berjaya disiapkan 30 Januari 2023. Dengan itu dimulakan pula suntingan bagi menerbitkan deraf ketiga. Ketika sudah lebih 70 peratus siap guru saya di ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Ketamadunan Islam) Profesor Emeritus Dato' Dr Osman Bakar memberitahu melalui WhatsApp akan memberi syarahan seperti di atas pada hari Sabtu 25 Februari malam Ahad jam 8.30.

Tajuk bagi syarahan dalam bahasa Inggeris itu boleh diterjemahkan sebagai "Madani : Perspektif Keagamaan dan Sekular". Tentunya ia merujuk kepada konsep Madani yang baru-baru ini dijulang tinggi oleh Perdana Menteri ke-10 Malaysia Dato' Seri Anwar Ibrahim semasa belanjawan 2023 yang dibentangkannya pada petang Jumaat 24 Februari sebagai polisi kerajaan baru yang diasaskan cuma tiga bulan lebih lalu. Mereka yang cakna perkembangan politik tanah air sejak selewatnya tahun 1990an tentu tahu konsep Madani yang membawa maksud berperadaban (civilised) telah diwar-warkan Anwar sejak menjadi Timbalan Perdana Menteri tahun 1993. Ketika itu saya masih menuntut ijazah sarjana muda dalam bidang matematik di University College of London (1991-1995). Setahun setelah kembali ke Malaysia saya bertukar arah menjadi wartawan di akhbar The New Straits Times lalu biasa meliputi sidang-sidang akhbar yang dibuat oleh para menteri termasuk Anwar.




Setelah beberapa lama menyambung ke peringkat pascasiswazah di ISTAC (bermula September 2018) baru tahu bahawa sebelum Anwar, orang yang selalu mewar-warkan konsep Madani adalah pengasas ISTAC, Tan Sri Profesor Syed Naquib al-Attas. Difahamkan beliau adalah salah seorang guru Anwar juga guru kepada guru saya Osman. Pun begitu orang yang mempunyai political will atau kekuatan politik untuk menterjemahkan konsep Madani di Malaysia nampaknya adalah Anwar.  Cuma telah berlaku rentetan peristiwa panjang yang mana saya sebagai seorang wartawan di The New Straits Times 1996-2001 pernah menyaksikan dengan mata kepala sendiri membuat Anwar terbuang daripada persada kekuasaan buat berapa lama (ya, saya pernah beberapa kali membuat liputan berkenaan sebelum beliau ditangkap lalu dipenjarakan). 

Kini beliau akhirnya dapat menjadi Perdana Menteri lalu boleh menghidupkan kembali usaha yang pernah diwar-warkannya 30 tahun lalu. Seterusnya melalui majlis-majlis ilmu di ISTAC juga perkongsian daripada Osman baru dapat tahu konsep Madani ini sebenarnya mula diperkatakan oleh ulamak silam Islam iaitu Al-Farabi pada abad ke-9-10 Masihi lagi. Asasnya adalah pada ketamadunan masyarakat berperadaban yang didirikan oleh baginda Rasullullah SAW di kota Madinah.

Maka itu apabila mendapati Osman mahu bersyarah tentangnya pada 25 Februari malam tentu saya mahu mengikuti. Tetapi  harus melakukan beberapa perkara dalam tempoh waktu berkenaan. Sedikit tentang perkara ada diceritakan dalam artikel Dari Pesta Buku Alternatif di Central Market ke Putrajaya yang dipersembahkan Isnin malam Selasa 27 Februari. Saya mendengar syarahan selepas selesai urusan dengan seorang anak perempuan di Bukit Jalil lalu memandu kereta bersama keluarga untuk ke destinasi seterusnya iaitu Bukit Changgang dekat Sepang. Dapatlah mendengar sedikit tetapi tidak dapat memberikan tumpuan.




Seterusnya ada lagi syarahan Osman tentang Madani pada petang Isnin 27 Februari. Itu yang ditunjukkan dalam poster kedua dari atas. Tajuknya boleh diterjemahkan sebagai "Kerangka Madani bagi Pembangunan Peradaban : Hikmah, Inovasi dan Kasih Sayang". Ia bermula sejam lebih selepas kembali ke rumah daripada perjalanan yang diceritakan dalam artikel tadi. Entah kenapa terasa penat amat sangat selain sakit kepala teruk lalu tidur sahaja petang itu, tidak dapat mengikuti syarahan.

Pagi Selasa 28 Februari pun ada syarahan Osman tentang Madani. Lihat poster atas. Yang ini dalam bahasa Melayu lalu tajuknya "Konsep dan Falsafah Madani : Aplikasinya Kepada Pembangunan Negara Malaysia" tidak perlu diterjemahkan. Ingat yang inilah akan diikuti dengan penuh tumpuan. Tengok-tengok sakit kepala masih melanda dengan rasa penat sangat. Lalu  selepas Subuh saya melayan tidur hingga ke tengah hari.

Petang selepas Zohor baru terasa cukup pulih. Tetapi syarahan sudah selesai. Selepas menyelesaikan satu urusan di luar saya menyambung kerja bagi menyiapkan deraf ketiga buku lalu dapat menyelesaikannya sekitar 6.30 petang. Selepas itu membaca satu artikel tulisan Osman yang disuakannya melalui WhatsApp. Lihat Cultural Symbiosis and the Role of Religion in the Contemporary World. Setelah membaca separuh jalan timbul rasa untuk mengikuti ketiga-tiga syarahan tentang Madani. Nasib baik ia telah direkodkan. 


Saya pun mengumpulkan alamat-alamat pautan bagi rakaman video supaya boleh dicapai, melalui tajuk-tajuk berikut :-






Dengan menonton video-video berkenaan dapatlah dibuat sedikit kupasan...



Ternyata syarahan atau wacana pertama yang diadakan 25 Februari Sabtu malam Ahad memang merupakan maklum balas bagi pembentangan belanjawan 2023 petang Jumaat 24 Februari yang menjadi semacam alat untuk melancarkan inisiatif Madani oleh Perdana Menteri. Ada yang melihat ia sebagai inisiatif bagus berdasarkan konsep tamadun yang membawa kepada berdirinya kota Madinah Al-Munawarah mengikut acuan Islam oleh Nabi Muhammad SAW. Namun ada yang melihat daripada sisi acuan sekular oleh ahli falsafah Inggeris John Locke (1632-1704). Osman menyebut Madani sebagai konsep peradaban yang telah dibincangkan oleh ilmuwan Islam seperti Al-Farabi (870-950 Masihi), Ibnu Miskawayah (936-1030) dan Ibnu Khaldun (1332-1406). Namun apa yang ingin dibawa oleh Anwar adalah spesifik bagi negara Malaysia.

Perkataan Arab Madani berasal daripada kata-kata akar madanna dan tamadannaMaddana membawa maksud untuk mengasaskan atau membina kota, memberi peradaban, memanusiakan, memperhalusi. Tammadana adalah untuk menjadi berperadaban, bertamadun, ketamadunan kota. Madani adalah tentang menerbitkan peradaban berkota atau kota berperadaban (tamadun yang didirikan apabila ramai manusia dapat duduk setempat berinteraksi lalu hidup dengan aman, adil dan saksama bersama). Kata Osman peradaban itu boleh dilihat berunsur spiritual. Tetapi ia boleh juga bersifat sekular dan kebendaan. 

Menurut beliau Al-Farabi adalah ilmuwan Islam terawal yang menggunakan perkataan Madani untuk membincangkan konsep peradaban berkota itu dan ia melibatkan faktor politik (kerana perlu ada kepimpinan bagi menjalankan wawasan). Ilmuwan silam Islam ini pernah belajar ilmu ketamadunan Yunani lalu melihat manusia sebagai haiwan berpolitik  (disebabkan keinginan semulajadi manusia mahu mengatur saf lalu ada yang memimpin, ada dipimpin dan ada tingkat-tingkatnya supaya dapat bekerjasama bagi melaksanakan sesuatu termasuk demi kelangsungan hidup). Hal serupa dipanjangkan oleh Ibnu Miskawayah yang hidup sezaman tetapi jauh lebih muda. Diceritakanlah sejarah pengajian berkenaan yang dimulakan oleh Al-Farabi sehingga menjadi satu bidang sains politik kemanusiaan. Satu perkara penting diperhatikan boleh diangkat adalah sifat kosmopolitan di mana pelbagai kumpulan berlainan latar belakang dapat bekerjasama untuk membina ketamadunan seperti berlaku di Madinah zaman Nabi Muhammad SAW. Dinyatakan semua orang sebenarnya mahu mencari kebahagian dan itulah yang menggerakkan mereka bagi melakukan sesuatu termasuk membina ketamadunan.




Seperti biasa banyak perkara dikongsikan oleh Osman termasuk bagaimana ilmu ketamadunan Islam yang dibincangkan oleh Al-Farabi sebenarnya dipanjangkan daripada perbincangan ilmuwan silam Yunani seperti Aristotle dan Plato lebih 1,000 tahun awal.  Tetapi tidak semua dapat dikongsikan dalam artikel kerana akan jadi terlalu panjang. Cukuplah dikatakan yang perlu difahami adalah bagaimana Madani atau ketamadunan itu terpakai dalam kerangka keagamaan Islam lalu dapat dibezakan dengan kerangka sekular yang mengenepikan Tuhan. 

Dalam Islam sentiasa ada kefahaman kerohanian atau spiritual di sebalik setiap perkara yang akan kembali kepada menTauhidkan Allah apa lagi dalam hal-hal ketamadunan. Sedangkan kerangka sekular cuma memikirkan kemajuan bersifat kebendaan walaupun daripada segi bahasa bercakap tentang perkara sama iaitu peradaban,. Lalu Madani disamakan dengan konsep civil society (masyarakat beradab) dalam faham Barat, disebabkan perkembangan fikrah pemikiran mereka sendiri yang asalnya berteraskan agama tetapi lari pada kebendaan dalam tempoh beberapa abad kebelakangan. Apapun, harus dicari pemahaman Madani berdasarkan Islam tetapi bersifat neutral tanpa perlu mendakwa-dakwi bergerak atas nama Islam seperti pernah dikehadapakan oleh Al-Farabi sendiri lalu boleh meliputi semua pihak waima mereka yang tidak percayakan agama sekali pun, sekurang-kurangnya atas dasar mahu mencari kebaikan bersama. Untuk selebihnya ikuti sendiri syarahan di sini - Madani : Perspektif Keagamaan dan Sekular.




Dalam wacana kedua yang berlangsung petang Isnin 27 Februari mahu dibincangkan terus Madani melalui kerangka keIslaman yang boleh membawa kepada hikmah, inovasi dan kasih sayang. Kali ini ada tiga pembicara termasuk Osman. Pembicara pertama Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa yang pernah menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri secara rata memperincikan wawasan Madani yang mahu dibawa Perdana Menteri melalui tonggak dasar yang disampaikan kepada awam. Maka itu perkataan M.A.D.A.N.I (satu teknik marketing ini) dinyatakan sebagai gabungan/'singkat' bagi keMampanan, kesejAteraan, Daya cipta, hormAt, keyakiNan dan Ihsan. Mujahid kelihatan lebih berminat untuk bercakap tentang polisi dan realiti bagi merealisasikan implementasi seperti bagaimana untuk mendapatkan Majlis Raja-raja untuk bersetuju apabila melibatkan agama Islam kemudian pegawai-pegawai kerajaan faham lalu boleh melaksanakan, bukan sangat falsafah di sebalik perkara. 

Osman sebagai pembicara kedua menyambut ini dengan memberikan sedikit latar belakang sosiopolitik negara Malaysia sejak enam dekad lalu bagi memberi faham akan realiti yang harus ditangani dalam merealisasikan satu wawasan. Hal ini memang perlu dinyatakan kerana ramai yang mengikuti wacana terutama pelajar ISTAC adalah dari negara luar. Menurut Osman kita harus juga mengambil faedah daripada polisi-polisi Perdana Menteri terdahulu sebelum membawa kepada polisi Madani yang dibawa Perdana Menteri sekarang, Perdana Menteri ke-10 Malaysia. Osman melihat konsep Madani sebagai sintesis kepada pelbagai aspek ajaran dalam Islam yang mana jangan disempitkan kepada hal ritual dan ibadat semata-mata. Selepas itu baru diterangkan sejarah di sebalik konsep Madani seperti disampaikan oleh al-Farabi termasuk keinginan setiap manusia untuk mencapai kebahagian seperti ada dinyatakan dalam wacana 25  Februari.

Pembicara ketiga Profesor Datuk Dr Azizan Baharuddin pula menyatakan memang konsep Madani seperti dinyatakan oleh Perdana Menteri diperlukan untuk ketamadunan. Untuk itu perlu selalu diadakan dialog, perbincangan dan bertukar-tukar pandangan antara masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang. Kita perlu kembali kepada sifat-sifat kemanusiaan, kembali kepada mengenali diri (soul) bagi menangani dunia yang bermasalah, Untuk mencapai konsep Madani itu juga kita tidak dapat melarikan diri daripada mengenali Tuhan (knowing God). Untuk selebihnya ikuti sendiri syarahan di sini - Kerangka Madani bagi Pembangunan Peradaban : Hikmah, Inovasi dan Kasih Sayang.



Wacana ketiga yang berlangsung pagi 28 Selasa 28 Februari mengenengahkan Osman sebagai pemidato, Profesor Dato' Seri Dr Md Salleh Yaapar sebagai moderator dan Prof Dato' Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan serta Azizan sebagai pengulas. Disampaikan sepenuhnya dalam bahasa Melayu Osman memulakan dengan memberikan definisi Madani sepertimana dalam syarahan pada 25 Februari. Bezanya dahulu dalam bahasa Inggeris. Dan kupasan kali ini ada tambahan seperti menyebut bagaimana konsep Madani itu telah dibincangkan beliau bersama Anwar sejak tahun 1970an (kerana mereka yang telah saling mengenali sejak zaman sekolah menengah di Maktab Melayu Kuala Kangsar tahun 1950an masing-masing aktif dengan usaha mencelikkan masyarakat Islam). Dan jika dahulu falsafah Madani lebih banyak dibincangkan daripada sudut pandang Al-Farabi kali ini dipanjangkan pula pandangan Ibnu Khaldun yang hidup 500 tahun kemudian, selepas jatuh bangun beberapa kota Islam. Untuk selebihnya ikuti sendiri syarahan di sini - Madani : Perspektif Keagamaan dan Sekular.




Sekadar menambah, sebagai seorang yang sangat sayangkan ilmu sejak kecil saya sendiri mengimpikan masyarakat berperadaban tinggi sejak sekian lama. Tetapi tidak pernah pun mengenali perkataan Madani kecuali selepas mendengar ia diangkat oleh Anwar tahun 1990an. Ketika berusia 18 tahun iaitu pada tahun 1988 saya pernah bermimpi melihat satu kota dengan bangunan-bangunan sedikit ala Arab seperti di Baghdad zaman silam (daripada cerita-cerita 1,001 Malam agaknya) yang mana masyarakatnya sangat sayangnya ilmu. Terbangun sahaja daripada mimpi timbul azam hendak hidup dalam negara seperti itu. Kalau tiada maka harus diusahakan untuk mengadakannya. 

Lama kemudian baru mendapat rasa apa yang dilihat dalam mimpi itu pernah wujud di Andalusia semasa zaman keemasan Islam lebih 1,000 tahun lalu. Seterusnya baru tahu moyang saya Sultan Malikus Saleh pernah menerbitkan peradaban sebegitu di kerajaan Samudera-Pasai (sekarang dalam Aceh) lebih 700 tahun lalu. Disebabkan melihat bangunan ISTAC di Bukit Tunku, Kuala Lumpur ada seni bina serupa Istana Alhambra di Andalusia lah saya membuat keputusan untuk menyambung pengajian pascasiswazah tahun 2018, ketika sudah berumur 48 tahun. Kalau semata-mata mahukan kelulusan tinggi tentu saya sudah melakukannya di London kerana ada tawaran untuk berbuat begitu selepas tamat sarjana muda tahun 1995.

Alhamdulillah tidak lama selepas masuk ISTAC, Osman yang baru menamat tugas di Brunei menyertai institusi lalu saya mula mengenali beliau dan dunia pemikirannya. Dapatlah menemui keserasian apa lagi beliau juga rupa-rupanya pernah membuat sarjana muda di London, pada tahun 1960an. Syukur saya dapat membuat tesis di bawah selian beliau. Insyaallah selepas selesai beberapa hal termasuk penerbitan buku ke-13 + 1 (saya suka menyebut sebegitu berbanding buku ke-14) yang disasarkan keluar daripada kilang cetak selepas raya Aidilfitri iaitu bulan Mei (lihat Buku "Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad" sedia untuk tempahan) saya sedia untuk bersama menggapai idealisma tinggi yang cuba diterjemahkan melalui konsep Madani itu. Untuk makluman ini adalah artikel  ke-2,363 di blogspot CATATAN SI MERAH SILU.


Isnin, Februari 27, 2023

Dari Pesta Buku Alternatif di Central Market ke Putrajaya

OK. Sekadar berkongsi santai aktiviti hujung minggu baru ini...



Petang Sabtu 25 Februari 2022. Selepas solat Zohor di rumah saya, isteri dan anak kecil keluar menuju ke Lembah Klang.



Tujuan utama mahu ke rumah arwah abang isteri di Bukit Changgang dekat Sepang untuk majlis tahlil petang Ahad. Alang-alang hendak sana 90 km ke selatan dirancanglah agar dapat dibuat beberapa persinggahan. Pertama ke Central Market di tengah bandar raya Kuala Lumpur.




Ada Pesta Buku Alternatif telah berjalan sejak hari Rabu 23 Februari. 




Saja singgah sambil bertemu kawan-kawan dalam dunia perbukuan...




Lagipun sudah lama kami tidak ke Central Market.







Kebetulan sebelum masuk bangunan terserempak dengan Profesor Datuk Dr Ahmad Murad Merican yang merupakan seorang cendekiawan yang rajin memperjuangkan isu-isu Melayu. Beliau memberitahu ada pelancaran buku terbaru beliau "Tanah Air: Passing Through the Malay Archipelago" jam 4.



Itu yang membuat kami berada lebih lama di Central Market. Kalau tak mungkin setakat singgah setengah jam...




Perjalanan ke arah selatan disambung jam 5.




Persinggahan seterusnya adalah ke Pavillion Bukit Jalil.




Ini pula gambar selepas tamat bertahlil di Bukit Changgang petang Ahad 26 Februari.




Ingatkan malam itu nak balik rumah. Tengok-tengok rasa penat pula. Lalu tidur lagi satu malam di rumah arwah abang isteri. Esoknya pagi Isnin 27 Februari iaitu pagi tadi baru keluar. Dah alang-alang dalam perjalanan singgah pula ke Putrajaya...







Sini pun dah agak lama tak singgah...






Hampir tengah hari baru sampai kembali ke Kuala Lumpur untuk satu urusan. Kemudian baru balik rumah.