Manakan dapat sagu kalau tidak dipecahkan ruyungnya?
Manakan dapat mutiara yang berkerlipan jika takut menyelam ke lautan dalam.
Dalam diri setiap manusia, ada seketul daging.
Jika baik ia, maka baiklah seluruh jiwa manusia itu.
Jika buruk ia, buruklah juga manusia itu...
Seketul daging itu adalah hati,
mari kita lapangkan dada dan belajar mengIKHLASkan hati.
Perjalanan seribu batu bermula dengan satu langkah.
Marilah meneroka dunia pemikiran hamba.
Silakan

Video klip yang tertera boleh dianggap sebagai pembukaan kepada dunia pemikiran dan kesukaan hamba...







-------------------------


-------------------------



Segala yang dipaparkan menggambarkan pemikiran penulis yang turut terserap di dalam setiap penulisan buku dan artikel. Lihat Cara-cara mendapatkan buku tulisan Merah Silu @ Radzi Sapiee. Di atas adalah satu klip video selama hampir setengah jam yang merupakan demo pilot episode yang mahu digunakan untuk mencadangkan satu siri pengembaraan menyusuri sejarah Melayu Islam sekeliling Nusantara untuk siaran televisyen. Entah mengapa ia menemui masalah. Kemudian penulis diberitahu konsepnya diciplak sebuah stesyen televisyen. Lihat Kembara Sejarah Islam Nusantara : The original material...



Ini adalah klip video ulasan buku ketujuh saya "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" berserta temuramah yang dibuat siaran langsung di Selamat Pagi Malaysia, RTM1. Lihat Siaran langsung ulasan buku "Jejak keluarga Yakin : Satu sketsa sejarah" dan temu ramah di Selamat Pagi Malaysia.



Penulis juga pernah diminta membuat pembentangan mengenai siri buku "Berpetualang ke Aceh" di Masjid Sultan Salahuddin iaitu masjid negeri Selangor di Shah Alam. Lihat Buku "Berpetualang" dan himpunan ulamak Nusantara yang diketuai ulamak Aceh


-------------------------



Siri novel "Berpetualang ke Aceh" boleh didapati dalam bentuk e-book. Masuk http://www.e-sentral.com/, klik kategori novel am dan taip perkataan "Aceh" pada kotak carian. Atau terus klik Buku 1,Buku 2 dan Buku 3.





Gambar ketika menghadiri satu majlis ilmu, diambil oleh sebuah akhbar harian. Lihat Menghiasi Kosmo Alam Melayu...



Penerbitan trilogi novel "Berpetualang ke Aceh" juga membawa penulis untuk terlibat dengan banyak majlis ilmu. Rujuk kumpulan links artikel di bawah tajuk "Siri Refleksi Sejarah", pada bahagian paling bawah kiri blogspot, . Penulis juga agak aktif dalam aktiviti-aktiviti kedaulatan Melayu dan Islam, dapat menganjurkan majlis-majlis sendiri di merata Semenanjung Malaysia membawa ke luar negara di Aceh. Lihat blogspot Himpunan Kedaulatan Melayu Islam Akhir Zaman (HIKMAH).


Ketika menulis perenggan ini 4 Mei 2015 penulis sedang berusaha untuk mengembangkan isi 3 buku dalam siri "Berpetualang ke Aceh" menjadi 6 buku yang akan membentuk siri baru dipanggil "Siri Pengembaraan Merah Silu". Sebuah syarikat penerbitan telah bersetuju untuk menerbitkan siri lama itu kembali dalam bentuk yang lebih segar - Setiap buku asal dipecah menjadi 2 buku baru yang ditambah maklumat, gambar dan peta berwarna-warni.Pertengahan September 2015 buku pertama siri baru pun selamat diterbitkan. Seminggu lebih kemudian penulis berpeluang bercakap tentangnya secara siaran langsung dalam televisyen lalu membawa wakil penerbit bersama. Lihat video di bawah :-





Awal tahun 2015 turut menyaksikan penulis diambil menjadi penyelidik dan hos satu siri dokumentari yang dipanggil "Daulah Melayu". Projek 13 episod sepanjang sejam setiap satu ini mahu mengenengahkan formula untuk mengembalikan kekuatan bangsa Melayu. Insyaallah projek iakan membawa penulis untuk mengembara ke merata di Malaysia dan Indonesia juga ke beberapa negara dan tempat di Eropah termasuk ke kota London, tempat penulis mengambil ijazah matematik 1991-1995. Siri dokumentari ini dijangka siap untuk tayangan televisyen dalam tempoh 2 tahun.


Pada 13 Mei 2023 buku ke 13 + 1 penulis (pertama setelah yang ke-13 terbit tahun 2019 lalu mula memberikan tumpuan pada pengajian pascasiswazah di ISTAC iaitu Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam di Bukit Tunku, Kuala Lumpur), Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin & Orang Kaya Arsyad telah dilancarkan oleh sejarawan ulung negara, Profesor Emeritus Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali di rumah penulis. Lihat Majlis pelancaran buku dan rumah terbuka raya 2023 - Melestarikan semangat perjuangan. Beliau yang bertanggungjawab memberikan kata-kata aluan dalam buku turut menjadi pembicara dalam diskusi yang diadakan di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 (berlangsung 26 Mei hingga 4 Jun). Lihat Bicara buku Laksamana Raja Mahkota Muhammad Amin di PBAKL 2023. Diskusi ini terakam dalam video atas diikuti video bawah...



Khamis, Mac 21, 2019

Menekuni pemikiran kosmopolitan dan reformasi Hamka untuk dimanfaatkan umum

Subhanallah. Tempat saya belajar kini iaitu ISTAC, Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun Islam semakin rancak dengan majlis-majlis ilmu. Rasa tak menang tangan nak hadiri semua kemudian mengulas tentangnya. Namun atas dasar sayangkan ilmu kemudian terasa harus berkongsi saya cuba juga untuk menghadiri mana-mana yang sempat dan dapat...


Dalam artikel Majlis ta'aruf pelajar baru dan lama - Membuka semester baru di ISTAC yang ditulis lebih sebulan lalu ada disenaraikan tajuk dan pautan bagi 15 artikel tentang majlis-majlis yang dihadiri di ISTAC sejak mula rajin bertandang ke kampusnya di Bukit Tunku, Kuala Lumpur awal tahun lepas. Kemudian saya masuk sebagai pelajar pasca-siswazah September itu. Dalam tempoh sebulan kebelakangan pula saya menulis 5 lagi artikel mengulas tentang majlis-majlis ilmu di ISTAC. 

Tahun ini memang semakin rancak. Antara acara yang mula diadakan secara bersiri sejak tahun baru 2019 adalah majlis diskusi buku setiap sebulan sekali. Lalu sampailah masa untuk majlis ke-3 diskusi  berlangsung seperti dipromosikan dalam poster atas.




Cuma baru 2 minggu lebih kebelakangan ini satu siri baru syarahan dimulakan oleh Sheikhul Kuliyyah ISTAC, Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar untuk membincangkan satu buku tulisan beliau merangkap tesis PhDnya tahun 1988 bertajuk "Classifications of Knowledge in Islam". Ia diadakan pada pagi Isnin lalu slot diskusi buku harus dialih kepada hari lain. Lihat Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Syarahan yang meliputi banyak perkara mengujakan diikuti Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Tiga tokoh besar yang menjadi sumber dan rujukan dalam kajian.


Ketika saya sampai ke bilik majlis jam 10.08 ia sudah kelihatan hampir penuh. Selepas itu saya dapat melihat ada lagi hadirin muncul sedikit demi sedikit sehingga melebihi had bilik. Terdapat beberapa orang tokoh akademik terkemuka bersama memeriahkan suasana. Ada dua orang bekas menteri kabinet Malaysia hadir mengikuti majlis.


Dalam poster atas sudah dinyatakan bahawa majlis kali ini mahu mendiskusikan buku bertajuk "Hamka and Islam : Cosmopolitan Reform in the Malay World".  Ini boleh diterjemahkan sebagai "Hamka dan Islam : Reformasi Kosmopolitan dalam Dunia Melayu". Osman sebagai pengerusi memperkenalkan penulisnya  sebagai Profesor Dr Syed Khairudin Aljunied, seorang pensyarah National University of Singapore (Universiti Kebangsaan Singapura). Ini juga pengenalan yang diberikan dalam poster juga sebaran am majlis melalui Facebook ISTAC dan WhatsApp walau Khairuddin sebetulnya belum bergelar profesor penuh kerana jawatannya adalah Profesor Madya (dalam bahasa Inggeris disebut Associate Professor). 

Poster juga menyebut buku akan diulas oleh dua tokoh akademik berikut :-


1. Dato' Dr. Mohd Nor Manuty - Pengerusi lembaga pengarah UNISZA (Universiti Sultan Zainal Abidin di Kuala Terengganu).

2. Profesor Dato' Dr. Ahmad Murad Merican - CenPRIS, USM (Pusat Penyelidikan Dasar dan Kajian Antarabangsa, Universiti Sains Malaysia di Pulau Pinang)


Osman menambah seorang lagi tokoh sebagai pengulas. Beliau adalah Ustaz Drs Afif Hamka, seorang pendidik dari Indonesia. Istimewanya Afif ini adalah anak kandung kepada Hamka, tokoh besar Islam Indonesia yang pemikirannya mahu dibedah dalam buku. Beliau baru 2-3 hari dihubungi agar menyertai majlis.


Bagi rakyat Malaysia dan Indonesia atau sekurang-kurangnya mereka yang mengikuti perkembangan dunia sastera Melayu dan pengajian agama, nama Hamka iaitu singkatan bagi Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah tidak perlu diperkenalkan lagi. Nama beliau begitu besar sebagai tokoh intelektual Alam Melayu abad ke-20 Masihi. Tulisan-tulisannya termasuk novel-novel terkenal, Di Bawah Lindungan Ka'bah dan Tenggelamnya Kapal van der Wijck  sudah menyebar luas sejak tahun 1930an lagi. Hamka yang lahir tahun 1908 dikenali sebagai ulamak besar, sasterawan, pendakwah, reformis malah pejuang melawan penjajah Belanda dan banyak lagi.

Kalau ikut giliran dan tajuk buku majlis diskusi yang merupakan kali ke-3 di ISTAC ini harus dikendalikan sepenuhnya dalam bahasa Inggeris (acara diadakan bergilir-gilir buku bahasa Inggeris diikuti bahasa Melayu). Tetapi disebabkan Ustaz Afif lebih selesa bertutur dalam bahasa Indonesia (sebenarnya bahasa Melayu yang diadaptasikan untuk penyatuan rakyat seluruh Indonesia) maka majlis kali ini akan diadakan bercampur bahasa. Namun bahasa Inggeris tetap dijadikan pengantar utama kerana ada hadirin antarabangsa yang tidak tahu berbahasa Melayu.

Selepas menyatakan hal tersebut Osman pun memperkenalkan buku yang mahu dibincangkan dalam majlis. Ia baru diterbitkan oleh Cornell University Press tahun 2018. Ini adalah penerbitan universiti terkemuka Cornell yang berpengkalan di New York, Amerika Syarikat. Sebelum memperkenalkan penulis buku beliau memberitahu dahulu urutan peristiwa yang membawa kepada penyertaan Afif. Beliau telah dicadangkan agar mendapatkan seseorang yang paling rapat dengan Hamka untuk dibawa ke majlis lalu ini baru dilakukan beberapa hari lalu.

Osman yang lahir tahun 1946 pun menceritakan bagaimana beliau sendiri mengenali Hamka. Seperti orang lain ia dimulakan dengan mengenali dan membaca buku (Hamka yang meninggal dunia tahun 1981 telah menghasilkan lebih 30 tajuk) iaitu ketika di bangku sekolah. Buku pertama Hamka yang dikenalinya bertajuk Tasawuf Modern (pertama kali terbit tahun 1939). Tetapi ini dilupakan apabila beliau keluar sekolah lalu menyambung pengajian dalam bidang matematik di London (sarjana muda dan sarjana iaitu Masters, tahun 1960an). 

Apabila kembali ke Malaysia lalu menyertai ABIM (Angkatan Belia Islam Malaysia) baru menggamit kembali penulisan Hamka. Tahun 1974 baru berpeluang bertemu muka apabila Hamka datang ke Malaysia untuk menerima gelaran Doktor Falsafah Kehormat daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Ketika itu Osman adalah pensyarah di UKM selain memegang beberapa jawatan akademik lain. Beliau telah diminta mempengerusikan majlis ceramah oleh Hamka.

Banyak perkara diperkatakan namun paling diingati Osman adalah satu kerana banyak implikasinya. Ini pun dikongsikan dalam majlis diskusi buku. Kata beliau Hamka ada menyebut begini :-


"Bila Allah menurunkan kitab suci Al-Quran Allah tidak melupai bangsa Melayu."


Kata Osman, Hamka memberitahu ada istilah dalam bahasa Melayu muncul dalam Al-Quran tetapi telah 'diArabkan'. Ia adalah perkataan kafur merujuk kepada kapur barus. Ini adalah sejenis bahan penting yang boleh didapati dengan banyak secara semulajadi di Alam Melayu, tidak di tempat lain. Kapur ini biasa digunakan mewangikan mayat sehingga dieksport ke Timur Tengah, Mesir dan lain-lain tempat sejak zaman purbakala.


Satu lagi perkara dibangkitkan Osman tentang Hamka adalah tokoh tersebut pernah menyebut Confucius (cendekiawan terkenal Cina abad ke-5 dan 6 Sebelum Masihi) adalah seorang nabi. Dengan menyatakan itu sebagai contoh pemikiran Hamka yang terkehadapan penulis buku iaitu Syed Khairudin pun diperkenalkan lalu  ruang diberikan kepada beliau untuk berkongsi ilmu.

Sekadar memberitahu. Nama Khairudin ini pertama kali saya dengar ketika hadir ke satu majlis ilmu berprestij yang disulami dengan pertunjukan teater anjuran Astro Awani. Lihat Persidangan ASAL - Daripada hubungan Melayu-Cina membawa kepada kepentingan strategik Selat Melaka. Ternyata beliau memiliki otoriti dan wibawa akademik yang tinggi sehingga Osman memberitahu cuba menarik beliau masuk berkhidmat di ISTAC tetapi tidak berjaya. Tengok-tengok umur Khairudin masih agak muda iaitu 43 tahun, 6 tahun lebih muda daripada saya.


Beliau memulakan dengan kata-kata aluan dalam bahasa Melayu kemudian menyambung dalam bahasa Inggeris. Diberitahu penulisan buku tentang Hamka bermula atas galakan Osman ketika mereka berjiran semasa masing-masing mengajar di Brunei suatu masa dahulu. Namun ia sebenarnya adalah sebahagian daripada satu siri trilogi buku berbahasa Inggeris yang beliau karang dalam tempoh 4-5 tahun lalu. Ia termasuk usaha lebih besar untuk memperkenalkan khazanah keintelektualan Alam Melayu kepada dunia dalam konteks kosmopolitan yang bersifat antarabangsa lagi terbuka, keterhadapan dan maju. 

Usaha berlaku sebagai reaksi terhadap keadaan sekarang di mana Islam sering dimomok-momokkan sebagai sesuatu yang buruk, kolot lagi ketinggalam zaman. Kata Khairudin penumpuan diberikan terhadap Islam di Alam Melayu/Asia Tenggara untuk membezakannya dengan keadaan di dunia Arab. Sesungguhnya masyarakat sini lebih halus budi pekerti lalu tidak harus dikaitkan dengan sifat kasar kebiasaan orang Arab yang kemudian dikaitkan pula dengan keganasan.  Di bumi sebelah sini sudah ada budaya ketamadunan tinggi yang menyebabkan Islam lebih mudah diterima dan disebarkan berbanding di Tanah Arab itu sendiri. 
\
Dengan itu buku pertama trilogi diberikan tajuk "Muslim Cosmopolitanism : South East Asian Islam in Comparative Perspective" (Kosmopolitanisma Muslim : Islam Asia Tenggara dalam Perbandingan Perspektif). Nah, Hebat tak hebat (ini kata saya) ia diterbitkan oleh Edinburgh University Press yang berpusat di Scotland, United Kingdom tahun 2017.


Kata Khairuddin sifat kosmopolitan Islam Alam Melayu/Asia Tenggara yang lebih mudah menerima dan hidup bersama dengan para penganut agama lain ini boleh digambarkan melalui pendirian hidup dan penulisan-penulisan Hamka. Maka itu ditulis buku tentang tokoh besar tersebut sebagai kedua dalam trilogi. Tentang penerbitan tahun 2018 sudah disebut tadi. Sebagai tambahan universiti penerbit iaitu Cornell adalah salah satu universiti paling terkemuka dan terbaik di Amerika. Lingkungan ini dikenali sebagai universiti-universiti "Ivy League". Buku inilah yang akan dipanjangkan ceritanya dalam majlis ini.


Buku ketiga "Islam in Malaysia : An Entwined History" (Islam di Malaysia : Satu Sejarah yang Saling Kait Mengait) akan keluar September tahun ini. Kata Khairudin ia meliputi 1,000 tahun sejarah Islam di Malaysia. Tu  dia. Penerbitnya adalah Oxford University Press merujuk kepada universiti yang diakui paling terkemuka di United Kingdom sejak berabad lamanya. Melihat kepada senarai penerbit tanpa melihat tajuk-tajuk buku pun sudah cukup untuk membayangkan Khairudin memiliki gagasan idea dan penulisan yang hebat bertaraf dunia.


Ketiga-tiga buku secara rata bertujuan untuk mengalih fokus tentang Islam daripada dunia Arab ke Alam Melayu. Memikirkan bahawa Khairudin sendiri berketurunan Arab malah berdarah Sayyid iaitu keturunan junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW harus ada desakan dalaman dan kepercayaan/keyakinan yang kuat menyebabkannya mahu mengangkat Dunia Melayu berbanding tempat asal nenek moyangnya iaitu Dunia Arab.


Seterusnya diterangkan tentang apakah itu reformasi kosmopolitan yang disebut pada tajuk buku. Ini diterangkan sebegini (terjemahan dan faham saya) :-


1. Menapis dan mengharmonikan apa sahaja yang bagus daripada pelbagai aliran pemikiran Islam untuk menghasilkan takrifan baru segar tentang Islam. Dalam bahasa Arab proses ini dipanggil Talfiq.

2. Pemilihan teliti dan pengambilan perkara-perkara yang sesuai secara kreatif terhadap kaedah ilmu dan pemikiran Barat dan bukan Islam yang ada kena-mengena - Takhrij.

3. Mengatasi extremisma atau sifat pelampau, kemasyarakatan tertutup, fanatik dan ketidakadilan berdasarkan jantina yang membentuk banyak masyarakat dalam dunia Islam - Tawazun.



Semua perkara-perkara ini ada disentuh Hamka. Berikut adalah contoh beberapa buku beliau yang telah diterbitkan baru. Ia adalah antara rujukan Khairudin dalam penulisannya.


Hamka menggalakkan orang Islam supaya bersederhana...


Keadilan sosial diberikan penekanan. Jangan membazir masa bergaduh tentang hal-hal khilafiah sedangkan di luar sana ramai anggota masyarakat memerlukan pemeliharaan kita.


Kedudukan wanita sudah lama diangkat dalam Islam terutama di Alam Melayu. Pada ketika masyarakat Arab melarang wanita ke hadapan menjadi pemimpin dan sebagainya kita di sini sudah lama melakukannya. Maka itu orang Islam Melayu malah sudah lebih maju dalam hal ini berbanding dunia Barat yang sering melaungkan perjuangan membela hak asasi manusia termasuk wanita.


Disebut juga tentang pendirian Hamka terhadap dunia Tasawuf atau spiritul/kebatinan Islam. Walaupun beliau sendiri sering digolongkan sebagai "Kaum Muda" malah memimpin gerakan Muhammadiyah di Indonesia yang katanya agak anti-golongan Tasawuf, Hamka bersikap lebih lembut dan menerima. Yang dipersoalkan beliau cuma Tasawuf yang bersifat terlalu spiritual sehingga menjadi seperti terputus dengan dunia nyata. Beliau mahu sifat-sifat praktikal dalam beragama dibangkitkan para pengamal Tasawuf agar betul-betul berguna kepada masyarakat umum dan dunia.


Dalam menjangkau dan memahami semua ini adalah amat penting umat Islam mendalami dan menekuni sejarah dengan sebaiknya lalu mengambil iktibar yang patut.


Secara rata buku Khairudin menghimpunkan pemikiran Hamka yang bersifat kosmopolitan lagi pro-reformasi menggunakan tulisan-tulisan tokoh tersebut sebagai sumber.


Pengulas pertama Mohd Nor Manuty memulakan ulasan dengan menyatakan beliau juga mula mengenali tulisan-tulisan Hamka semasa zaman sekolah. Mohd Nor yang lahir tahun 1949 mengaku sangat terpengaruh dengan tulisan itu. Pada konvokesyen pertama UKM di Dewan Rakyat (beliau kumpulan pertama pelajar sana) baru berpeluang mengenali tokoh tersebut secara berhadapan. Ketika itu Hamka memberikan ucapan sambil disaksikan Perdana Menteri ketika itu Tun Razak. 

Setelah menyatakan beberapa sumbangan Hamka terhadap usaha kemajuan Islam Mohd Nor memuji penulisan buku oleh Khairudin sebagai suatu yang bagus dan sangat akademik tentang Hamka. Beliau menerima buku tersebut dari Osman 10 hari sebelum acara lalu telah membaca dan menelitinya secara keseluruhan. Didapati metodologi penulisan sangat baik. Rujukan primer telah dibuat terhadap buku-buku Hamka dan ia juga mengandungi penilaian pihak lain terhadap tulisan dan pemikiran tokoh.


Pengulas kedua Murad Merican pula memulakan dengan menyatakan Hamka sebagai seorang yang moden, cakna perkembangan dunia.  Buku Khairudin tentang Hamka dibacanya minggu lepas lalu mendapati apa yang diperkatakan tokoh tersebut sejak sekian lama sangat relevan dengan apa yang berlaku di Malaysia hari ini. Turut dikongsikan pendedahan beliau kepada tulisan Hamka yang dikatakan bermula ketika belajar di ITM (dulu institut, sekarang UiTM, Universiti Teknologi Mara) tahun 60an.


Afif yang merupakan anak ke-8 daripada 9 orang anak Hamka tidak mengulas tentang buku kerana baru diundang ke majlis 2-3 hari lalu. Namun beliau boleh dikatakan memberikan input atau kemasukan paling bermakna kerana bercakap sebagai orang yang mengenali Hamka secara peribadi sejak dilahirkan tahun 1950an. Riwayat hidup Hamka, sumbang-sumbangannya terhadap masyarakat Islam terutama di Indonesia dikongsikan panjang lebar. Cukuplah jika sumbangan besar yang boleh dimanfaatkan secara terus dinyatakan begini :- 

Apabila mendapati kejiranannya ketika menetap di Jakarta tidak memiliki fasiliti persekolahan yang baik dan mencukupi, Hamka mengatur agar ahli kariah masjid yang dipimpinnya menggunakan ruang tidak terpakai masjid untuk mengadakan sekolah tadika. Selepas itu muncul keperluan untuk sekolah rendah (dipanggil sekolah dasar di Indonesia) lalu ini pun didirikan di halaman masjid. Selepas beberapa lama didirikan pula sekolah menengah dan seterusnya. Daripada proses dan gagasan ini kemudian berdiri 600 buah sekolah di seluruh Indonesia untuk memenuhi keperluan umat Islam Cukuplah perkongsian daripada saya tentang perkara.



Selasa, Mac 19, 2019

Bila Rumi menari...

Rasanya ramai pernah mendengar satu lagu M. Nasir yang bertajuk "Bila Rumi Menari". Ia adalah salah satu lagu menarik penuh dengan rasa keSufian dalam album beliau bertajuk "Phoenix Bangkit" tahun 2001. Ini ada satu cerita yang berkenaan.


Merujuk kepada artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Tiga tokoh besar yang menjadi sumber dan rujukan dalam kajian yang dipersembahkan petang tadi. Sudah disebut ia adalah tentang syarahan yang dihadiri di ISTAC pagi Isnin semalam. Adapun selepas itu saya bercadang untuk menghadiri satu acara melibatkan seni ukir halus kayu pada belah petang kemudian acara melibatkan tarian Sufi Turki belah malam. Tetapi apabila mendapati laluan ke dua-dua tempat acara mencapah jauh antara satu sama lain saya membatalkan rancangan untuk ke acara seni ukir. Ini kerana ia terletak jauh ke timur selatan Kuala Lumpur sedangkan tarian itu di Sentul, hampir kepada laluan saya kembali ke rumah dari ISTAC.

Tentang acara tarian boleh dilihat dalam poster atas. Sementara menunggu masa untuk ke sana saya berlegar-legar di ISTAC. Dapatlah mengadakan perbincangan panjang lebar tentang tesis saya bersama penyelia, Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar. Setelah sekian lama beliau kesibukan dengan banyak perkara baru kali ini betul-betul mendapat perkembangan konkrit termasuk memberikan tajuk baru sesuai dengan rancangan dan cara beliau mahu mengangkat kajian saya ke peringkat lebih tinggi.


Hampir waktu Maghrib baru meninggalkan ISTAC lalu menuju ke pusat bandar raya dengan niat untuk berbuka puasa nasi kandar di sebuah restoran kegemaran. Oleh kerana sudah masuk waktu Maghrib dalam perjalanan saya berbuka dengan teh halia dahulu di sebuah restoran lain tepi jalan kemudian menunaikan solat Maghrib di masjid Kampung Baru. Selesai itu baru betul-betul makan. Dipendekkan cerita selepas jam 9 malam baru dapat sampai ke lokasi majlis tarian Sufi iaitu Kuala Lumpur Performance Arts Centre (Pusat Seni Persembahan Kuala Lumpur) di satu bahagian Sentul, lebih setengah jam lewat daripada waktu yang dijadualkan. 

Tengok-tengok cantik tempat. Cuma cita rasanya menggambarkan ia lebih sesuai untuk golongan liberal menikmati seni tanpa had. Majlis malam ini pula melibatkan ilmu kebatinan dan kerohanian Sufi dan Tasawuf. Tetapi orang yang tidak dapat menghargai daripada segi keagamaan pun boleh menikmatinya daripada sudut seni, gaya dan rupa. Paling tidak pun seronok dapat bergaul dalam kalangan orang bercita rasa tinggi (konon). Yang pasti acara sebegini digemari golongan elit apa lagi duta Turki ke Malaysia turut hadir lalu ada senarai dif-dif kehormat.


Sudah nampak bagaimana ia kena mengena dengan Rumi? Kan terpapar pada poster promosi acara termasuk yang kelihatan dalam gambar ini? Oh, mungkin tak semua mengenali siapakah tokoh besar ini. Untuk pengetahuan nama Rumi merujuk kepada satu sosok tubuh badan yang dikenali dengan panggilan penuh Maulana Sheikh Jalaluddin Rumi. Dilahirkan di Balkh dalam wilayah Khorasan (dekat Afghanistan sekarang) tahun 1207 Masihi beliau dibawa keluarga berpindah ke Turki yang juga dikenali sebagai Rum dalam dunia Islam apabila kawasan asalnya diserang puak Mongol/

Mereka menetap di Konya, satu kota utama dalam Empayar Seljuk (1037-1194). Daripada pecahan Empayar Seljuk muncul Kesultanan Rum (1077–1307) dengan Konya menjadi ibu kota. Pada tahun  1244M Rumi bertemu dengan seorang sheikh Tasawuf misteri bernama Syamsuddin at-Tabrazi. Sejak itu Rumi yang sudah dikenali sebagai seorang penyair Sufi menjadi semakin spiritual. Selepas beberapa lama beliau mengarang kitab Mathnawi. Ia penuh dengan bait-bait kecintaan menyatakan kerinduan seorang salik yang sibuk mencari jalan untuk kembali ke dalam kesatuan keesaan Ilahi.  


Kitab Mathnawi (terjemahan bahasa Inggeris) ini pernah menjadi salah satu bacaan kegemaran saya ketika mengalami krisis dalam kepercayaan hidup, krisis bersifat spiritual kebatinan Tasawuf lawan sains semasa belajar di London tahun 1991-1995. Bait-bait awal sudah cukup mengesankan sehingga boleh membuat ramai orang menangis terharu disapa rasa pilu kerinduan yang susah dimengertikan. Yang saya ingat ia bermula dengan kisah bagaimana serunai tercipta daripada batang sejenis pokok yang biasa ditemui di tepian sungai. Ia dipotong seperti straw kemudian dikorek lubang-lubang supaya boleh dimainkan bunyi dan lagu.


Sambil pembuatan serunai dan permainan diceritakan disisipkan kaitan dengan kita sebagai makhluk dengan Allah SWT sebagai Pencipta. Asalnya serunai bersatu dengan pokok tetapi ia kemudian terpisah. Disebabkan rasa terpisah itu ia merasa rindu. Setiap kali dimainkan semakin mendalam rasa rindu untuk kembali kepada kesatuan yang haq dan mutlak.


Mereka yang ada menekuni pengajian Tasawuf dan Sufi harus faham apa yang tersurat dan tersirat tentang ini. Selain menjadi penyair Rumi juga adalah seorang sheikh satu tariqat yang dikenali sebagai Mehlevi.


Tariqat ini berkembang pesat di Turki terutama di Konya. Persembahan tarian Sufi yang disaksikan ini memang didatangkan khas dari sana oleh satu badan Turki.


Tariqat ini terkenal seluruh dunia kerana memiliki tarian Sufi berbentuk orang-orang lelaki berpusing-pusing lawan arah jam sambil tenggelam dalam dzauq atau kenikmatan mengingati ilahi.


Sebetulnya ada cerita ringkas tetapi sangat bermakna tentang asal-usul  tarian ini. Daripada sumber Tariqat Naqsyabandiyah saya diberitahu ia sebenarnya dimulakan oleh sahabat paling rapat baginda Nabi Muhammad SAW iaitu Saidina Abu Bakar RA. Diberitakan pada suatu hari Abu Bakar bertanya kepada Rasulullah apakah Allah SWT redha terhadapnya. Jawab Nabi kalau Abu Bakar redha dengan Allah maka Allah redha dengannya. Maksudnya kalau kita sanggup menerima segala takdir buruk baik susah senang daripada Allah dengan hati yang penuh redha maka Allah pun redha dan menerima keadaan kita seadanya.


Mendengarkan jawaban itu Abu Bakar menjadi sangat gembira. Beliau mengulang perkataan "Kalau kamu redha dengan Allah maka Allah redha denganmu." Sedar tak sedar beliau mula berpusing lawan arah jam sambil mengulang lagi kata-kata itu lalu tenggelam dalam nikmat mengingati Allah.


Kalau tengok keadaan mereka boleh berpusing sehingga berjam-jam tentu kita boleh jadi pening. Bagaimana mereka boleh bertahan terus berpusing begitu sedangkan kebanyakan orang kalau buat seminit dua pun boleh pening lalu jatuh tumbang?


Alhamdulillah saya mendapat jawabannya dalam satu majlis zikir Tariqat Naqsyabandiyah yang kebetulan dihadiri seorang tetamu luar negara yang juga mengamalkan Tariqat Mevlevi warisan Rumi. Kata beliau jika kita berpusing dengan zikir dan niat yang betul sehingga hilang rasa ego kita tidak akan pening. Yang menyebabkan rasa pening itu adalah ego.


Saya sempat menerima ijazah tarian pusing Mevlevi sambil bersama sejumlah hadirin melakukannya. Yang dimaksudkan ego di sini bukan sekadar rasa besar diri, berbangga, amarah dan sebagainya tetapi rasa wujud diri. Hilangnya ego bermaksud hilangnya rasa 'keakuan' diri. Tidak ada lagi rasa aku kerana sudah 'larut' dalam keesaan sang Pencipta.


Tarian pusing Sufi Mevlevi ini diiringi permainan muzik tradisional dan bacaan kitab Mathnawi dalam bahasa Turki. Tamat sahaja majlis lalu lampu dibuka dapat dilihat ramai betul yang hadir. Tak tahu le berapa ramai yang betul-betul boleh menghayati...





Saya sempat menemui beberapa orang kenalan juga kawan lama selepas majlis. Ada juga pelajar dari ISTAC, ada adik sepupu saya bersama suaminya. Seorang anak muda rakan aktivis silat menawarkan untuk mengambil gambar saya berlatarbelakangkan ahli-ahli tarian. Saya pun layan...


Tentang isi kitab Mathnawi sila Google sendiri. Harus diberitahu saya sebenarnya takut hendak membacanya dengan penuh faham. Sebabnya setiap kali baca akan timbul rasa kerinduan yang amat sangat terhadap Ilahi sehingga timbul rasa untuk keluar mengembara jauh meninggalkan segala perkara termasuk anak isteri. Kehendak sebegitu sering muncul dalam hidup saya. Cuma sejak 10 tahun kebelakangan ia berlaku pada kadar terkawal yang mana saya boleh berbincang dengan isteri untuk keluar mengembara bersendirian dalam suatu waktu yang tidak berapa lama sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap rumah tangga. Untuk mengakhiri artikel ini biar dikongsikan lirik penuh lagu "Bila Rumi Menari"...



Kita menari bukan sebarang tarian
Asalnya dari tanah orang-orang pilihan
Bila terdengar masnawi ciptaan maulana
Ku bunuh nafsu lebur rantainya dari badan

Hingga hilang bangga diri
Berani hidup berani mati
Bagai musafir bertemu janji
Ini Darwis sudah gila berahi

Kita tak rindu pada siasah dunia
Perangkapnya membuat manusia hampa
Untuk bertemu impian bukan percuma
Mengorbankan yang tersangat kita cinta

Bagai Yunus dimakan paus
Ibrahim tak makan api
Bertemu kekasih di malam kudus
Luka di badan tak terasa lagi
Pukullah rebana jantungku bersyairlah maulana
Aku mabuk hakiki mendengar suaramu

Sayang... pada mereka yang tak mengerti
Sayang... pada hati tertutup mati
Bagai sangkar tanpa penghuni
Burung berharga terlepas lari

Rindu (ya maulana)
Kembali bertemu (ya maulana)
Hatiku merindukan pemiliknya (ya maulana)
Rindu (ya maulana)
Kembali bersatu (ya maulana)
Kembali bersatu dengan yang dikasihi

Rindu (ya maulana)
Kembali bertemu (ya maulana)
Hatiku merindukan pemiliknya (ya maulana)
Rindu (ya maulana)
Kembali bersatu (ya maulana)
Kembali bersatu dengan kekasih



Nota : Baru teringat. Kurang 2 minggu lalu saya masuk ke masjid ISTAC ketika tiada orang lain langsung. Tiba-tiba timbul rasa untuk berpusing lawan arah jam seperti tarian Sufi Mevlevi Rumi. Rasanya dekat 5 minit saya berbuat begitu sebelum berhenti begitu sahaja. Namun ruang dan masjid terasa terus berpusing sehingga saya hilang keseimbangan lalu jatuh terjelepuk ke lantai berpermaidani.

Ternyata saya terlupa tentang cara untuk memulakan tarian seperti pernah diijazahkan lebih 10 tahun lalu. Tetapi saya layan juga kerana muncul desakan tiba-tiba secara spontan. Ketika berbaring selepas jatuh terjelepuk itu ruang dan masjid terus terasa berpusing sebelum ia menjadi perlahan lalu berhenti. Pening rasa mual nak muntah semua ada. Maklumlah manusia biasa. Bukan senang hendak menghilangkan ego 'keakuan' diri.


Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Tiga tokoh besar yang menjadi sumber dan rujukan dalam kajian

Salam hari Selasa 12 Rejab. Kalau ikutkan rancangan Sabtu lalu saya dan keluarga mahu menghadiri satu acara persilatan di Hulu Langat kemudian kembali ke kampung ibu saya di Muar. Esoknya petang Ahad singgah satu majlis salawat melibatkan kawan-kawan persilatan di Melaka sebelum kembali ke rumah kami di Sungai Buaya, Rawang, Selangor. Tetapi sampai masa untuk bergerak kami suami isteri dilanda rasa penat yang amat sangat. Akibat itu kami setakat berehat di rumah, ada keluar pun setakat untuk makan malam kemudian membeli barang keperluan di Bukit Sentosa 13 km dari rumah.

Pagi semalam Isnin 11 Rejab saya keluar menghadiri satu syarahan di tempat saya belajar iaitu ISTAC (Institut Antarabangsa Pemikiran dan Tamadun di Islam) di Bukit Tunku, Kuala Lumpur. Walaupun rasa tak sedap badan dan ada sedikit demam-demam tetap digagahkan juga walaupun gangguan sakit perut yang muncul ketika hendak keluar menyebabkan saya sampai lambat. Apapun syarahan tersebut adalah sambungan daripada satu siri syarahan yang baru dimulakan Isnin seminggu lepas. Cerita tentang syarahan pembukaan sudah dikongsikan dalam artikel bertajuk Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Syarahan yang meliputi banyak perkara mengujakan. Ini menyambung daripada syarahan lepas...


Saya masuk ke kelas jam 10.40 pagi. Difahamkan syarahan sudah bermula dalam 15-20 minit sebelum itu.


Nasib baik ada kawan dapat memberitahu apa yang saya terlepas. Beliau adalah  seorang kawan lama daripada zaman kolej (duduk satu bilik) kemudian sama-sama ke United Kingdom awal tahun 1990an tetapi lain-lain universiti dan bidang. Beliau yang turut datang minggu lepas memberitahu ada orang bertanya lagi tentang islamisation of knowledge iaitu islamisi ilmu pengetahuan ketika syarahan hendak bermula. Difahamkan jawaban yang diberikan lebih kurang sama seperti pada syarahan minggu lepas. Oleh itu biar dicopy paste sedikit yang telah saya tulis tentang itu dalam artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Syarahan yang meliputi banyak perkara mengujakan.


Menurut Osman usaha pengaplikasian ilmu-ilmu Yunani purba terutama berbentuk falsafah masuk ke dalam dunia Islam itu adalah usaha pertama Islamisasi ilmu pengetahuan. Terma Islamisasi ini mula terkenal tahun 1970an melalui gagasan pemikir besar tempatan bertaraf dunia, Tan Sri Profesor Syed Naquib al-Attas yang merupakan pengasas ISTAC. Namun proses yang dimaksudkan iaitu menerima dan mengembangkan apa-apa sahaja ilmu, daripada apa sekali sumber asalkan berguna dan tidak melanggar konsep ketauhidan dan ajaran Islam sudah dilakukan sejak sebelum Farabi lagi. 


Saya lihat ada yang hadir minggu lepas tidak ada pada pagi semalam. Ada pula yang tiada minggu lepas muncul kali ini termasuk seorang lagi kawan lama saya daripada zaman kolej (juga duduk satu bilik kemudian ke UK lain universiti dan bidang). Oh. Kawan yang disebut awal tadi adalah seorang peguam yang kini bertukar arah menjadi seorang kartunis. Kebetulan bapanya, seorang kaki tangan kerajaan peringkat tinggi tahun 80an dan 90an bergelar Tan Sri dikenali Osman kerana pernah menjadi pengarah di UM ketika Osman menjadi naib canselor. Kawan lagi satu pun lulusan undang-undang tetapi kemudian menjadi wartawan berita umum di akhbar berbahasa Inggeris The Malay Mail bermula awal 1996 kalau tak salah. 

Sekadar berkongsi kisah silam. Saya masuk menjadi wartawan akhbar The Sunday Mail (edisi mingguan Malay Mail) kemudian akhbar berbahasa Inggeris utama The New Straits Times hampir penghujung 1997. Kami bekerja dalam satu bangunan pejabat malah tingkat dan ruang besar yang sama di Jalan Riong, Bangsar. Selepas beberapa lama saya dimasukkan ke meja sukan sementara kawan tersebut memberikan penumpuan terhadap dunia permotoran. Saya keluar penghujung tahun 2001 lalu menjadi seorang pengembara dan penulis besar. Beliau menjadi wartawan bebas yanng masih aktif dalam dunia permotoran, selalu dipanggil untuk menguji lalu mengulas tentang kereta model baru sehinggalah sekarang...


Ini gambar saya diambil dari belakang oleh kawan peguam @ kartunis tadi. Kelihatan banyak nota dicatatkan beliau menggunakan tablet yang juga berperanan sebagai medan lukis kartun. Kawan ini pernah menjadi penulis majalah berbahasa Inggeris sebelum memberikan tumpuan terhadap kerja-kerja guaman. Kelulusan profesyional guaman (selepas ijazah undang-undang) diperolehi daripada Lincoln's Inn di London, satu institusi ternama di mana ramai ahli politik berwibawa Malaysia memperolehi gelaran peguam. Tetapi kawan ini tidak pernah berminat ke arah itu. Selepas beberapa lama beliau lebih aktif melukis kartun dengan tema-tema nasihat selain berunsur keSufian.


Kata kawan tersebut selepas menjawab pertanyaan tentang islamisasi pensyarah pun bercerita tentang tiga tokoh besar yang menjadi sumber dan rujukan dalam buku. Tentang pensyarah dan buku biar diulang sedikit apa yang sudah pun dipanjangkan dalam artikel lalu iaitu pensyarah adalah Sheikhul Kulliyah ISTAC, Profesor Ulung Datuk Dr Osman Bakar.  Syarahan adalah tentang buku beliau bertajuk "Classification of Knowledge in Islam". Buku berbahasa Inggeris ini pertama kali diterbitkan tahun 1992 oleh Institut Kajian Dasar di Kuala Lumpur.  Selepas itu ia diterbitkan lagi oleh beberapa pihak juga dialihbahasa ke dalam beberapa bahasa utama dunia Islam. Sebenarnya ia adalah hasil kajian berupa tesis PhD Osman di Temple University, Amerika Syarikat tahun 1988 yang dibukukan untuk bacaan awam. 


Syarahan minggu lepas meliputi tidak sampai pun satu muka surat buku akibat pelbagai penerangan yang diberikan tentang ayat demi ayat juga diskusi-diskusi yang timbul secara spontan akibat proses soal jawab. Syarahan kali ini menyambung dengan perkara 2 dalam Bab Mukadimah atau pengenalan.




Perkara 2 itu adalah sub-topik bertajuk Classification Chosen for Study. Saya terjemahkan ini sebagai "Klasifikasi Yang Dipilih Untuk Kajian".




Disebutlah tentang pemilihan tiga orang tokoh besar ilmuwan yang dunia pemikiran dan cara mereka mengklasifikasikan atau menghimpun bidang-bidang ilmu menurut kriteria-kriteria tertentu menjadi bahan kajian yang mengisi tesis/buku. Mereka adalah :-


1. al-Farabi (hidup tahun 258-339 Hijrah bersamaan 870-950 Masihi)

2. al-Ghazzali (hidup 450-505H/1058-1111M)

3. Qutb al-Din al-Shirazi (634-710H/1236-1311M)


Pemilihan dibuat berdasarkan beberapa pertimbangan. Pertama, setiap tokoh pemikir adalah sama ada pengasas atau wakil terkemuka bagi satu sekolah pemikiran (boleh juga disebut aliran atau mazhab fikir) utama dalam dunia Islam. Falsafah yang membentuk pemikiran setiap tokoh turut dikongsi atau menjadi pegangan ramai pemikir lain baik sezaman mahupun kemudian. Menurut Osman, tokoh pemikir besar moden Islam, Seyyed Hossein Nasr (boleh Google nama besar ini - sejumlah buku beliau menjadi bacaan saya dalam mengenali dunia Sufi dan Tasawuf semasa belajar dalam bidang matematik di London tahun 1991-1995) telah menunjukkan bahawa dalam sejarah intelektual Islam mengidentifikasikan atau mengaitkan suatu aliran/mazhab dengan suatu tokoh adalah suatu perkara yang boleh diterima ataupun sah.

Untuk pengetahuan, Hossein adalah guru falsafah dan ketamadunan Islam juga penyelia tesis PhD Osman di Temple University tahun 80an. Sekarang sukacita dimaklumkan (rasanya tak salah untuk mengulangi ini beberapa kali) Osman pula adalah penyelia tesis Masters saya di ISTAC. Kalau panjang umur dan ada rezeki insyaallah beliau juga akan menyeliakan PhD saya di institut ini. Sekurang-kurangnya beliau ada menyatakan kesediaan asal saya sanggup bersabar mengikuti jadual dan rentak pembelajaran yang diatur beliau. 

Kembali kepada syarahan. Menurut Osman pemilihan tiga orang tokoh - al-Farabi, al-Ghazzali dan al- Shirazi membolehkan kajian beliau untuk meliputi perspektif atau sudut-sudut pandang utama dalam dunia intelektual Islam. Klasifikasi yang dibuat oleh setiap individu tersebut boleh dilihat sebagai gambaran falsafah yang dipegang mereka juga pegangan aliran intelektual 'sekolah'. Kata Osman beliau bercita-cita tinggi dengan pemilihan tiga orang tokoh ini sebagai sumber dan rujukan dalam kajian. Beliau percaya pemilihan ini dapat meliputi keseluruhan aspek tradisi keilmuan Islam silam yang kemudian turut menjadi asas naiknya ketamadunan tinggi Barat di Eropah abad ke-15 Masihi dan kemudian.

"Tetapi cita-cita besar saya ini ada harganya," beliau memberitahu kelas. "Saya tidak dapat menyiapkan tesis PhD dalam tempoh asal sepatutnya iaitu 3 tahun."

Menurut Osman, beliau yang semasa itu terikat dengan Universiti Malaya ditaja untuk tempoh 3 tahun sahaja. Namun begitu ada peruntukan untuk menambah tempoh lagi setahun tetapi beliau kena mencari kerja untuk menampung kos kehidupan. "Saya jadi teaching assistant (pembantu pengajar) sambil meneruskan pengajian". 

Teringat pula bagaimana saya sendiri menghadapi tahun akhir pengajian sarjana muda matematik di University College of London pertengahan tahun 1994 hingga 1995. Ketika itu saya tidak lagi menerima elaun bulanan malah nyaris-nyaris tidak dapat ijazah kerana dilarang menduduki peperiksaan akibat tidak membayar yuran tahun akhir (yuran saya dahulu sekitar RM30,000 setahun. kos hidup, sewa rumah/bilik, pengangkutan, makan minum memakan RM20,000 lagi setahun). Apa yang berlaku adalah salah sendiri. Saya gagal dalam peperiksaan dan penilaian tahun dua lalu disuruh mengulang tetapi tidak memberitahu pihak penaja kerana takut disuruh kembali ke Malaysia lalu dimarahi ayah. Sepatutnya saya tamat pengajian pertengahan 1994. Sebaliknya saya masuk tahun akhir pada waktu itu lalu tidak diberikan lagi elaun.

Dalam tempoh waktu berikut saya membuat pelbagai macam kerja sambilan termasuk menjadi pembantu perpustakaan di universiti dan ahli dapur kantin. Dekat-dekat sampai waktu nak peperiksaan akhir tiba-tiba mendapat surat tidak boleh menduduki peperiksaan kerana tidak membayar yuran. Nasib baik Jabatan Pelajar Malaysia di London membantu menyelesaikan dengan membayar jumlah yang diperlukan. Dengan itu dapatlah saya segulung ijazah kepujian dalam bidang matematik walau tidak sebaik yang diharapkan.

Ah. Melalut pula saya melepaskan cerita dan perasaan akibat apa yang dikongsikan Osman. Sebetulnya apa yang berlaku - kenapa boleh gagal tahun dua, krisis pemikiran masuk bab kebatinan yang menjadi pengenalan nyata saya kepada hakikat dunia Tasawuf di luar pembacaan biasa dan cakap-cakap telah diluahkan panjang lebar dalam buku pertama saya "Berpetualang ke Aceh : Mencari Diri dan Erti" (terbit Jun 2006).  Dalam kes Osman pula, selepas 3 + 1 tahun PhD masih lagi tak siap kerana skop luas kajian akibat cita-cita tinggi mahu meliputi segenap bidang dunia keintelektualan Islam silam. Pengajian harus diteruskan sedangkan UM memberikan syarat selepas setengah tahun lagi wajib kembali ke Malaysia seraya menyambung pekerjaan sebagai pensyarah.

Dengan itu kajian dan penulisan tesis disambung di Malaysia. Bila dah betul-betul siap baru ke Amerika Syarikat untuk dinilai lalu mempertahankan kajian. Dengan cara itu tesis PhD yang mula ditulis tahun 1983 mendapat pengiktirafan tahun 1988 lalu Osman pun bergelar Dr dalam bidang ketamadunan Islam.




Berbalik kepada 3 tokoh dalam kajian. Secara umum al-Farabi dianggap sebagai pengasas satu sekolah atau aliran/mazhab falsafah Islam yang paling terkemuka iaitu aliran Mashsha'i. Dalam kajian Barat ia juga dikenali sebagai aliran Peripatetic. Ini kerana aliran ini mengangkat dan mengaplikasikan cara pemikiran dan falsafah yang diasaskan oleh tokoh besar Yunani purba iaitu Aristotle pada abad ke-4 sebelum Masihi (Peripatetic memang nama aliran tersebut di Yunani).

Tentang bagaimana dan kenapa cara pemikiran Yunani boleh diangkat dan diterima Islam sudah diceritakan dalam artikel Klasifikasi ilmu pengetahuan dalam Islam - Syarahan yang meliputi banyak perkara mengujakan. Sekadar menambah secara rata perkembangan dunia keintelektualan Islam boleh dikatakan bermula apabila khalifah-khalifah Bani Abbasiyah mendirikan satu perpustakaan bernama Baitul Hikmah di Baghdad penghujung abad ke-8. Daripada itu satu gerakan menterjemahkan buku-buku klasik termasuk daripada bahasa Yunani ke dalam bahasa Arab pun bermula lalu ilmu-ilmu dalamnya dikaji dan diselidiki. Setelah beberapa lama muncul-muncul tokoh-tokoh seperti al-Kindi (hidup 801-873 Masihi) menjunjung tinggi ilmu falsafah Aristotle lalu wujudlah aliran Mashsha'i atau 'Peripatetic Islam'.

Namun Osman tidak memilih al-Kindi untuk kajian sebaliknya mengangkat al-Farabi yang lahir 3 tahun sebelum al-Kindi meninggal dunia. Katanya al-Kindi sekadar mengulangi ajaran-ajaran Aristotle sedangkan al-Farabi membuat analisis lalu memasukkan beberapa pemikiran baru. Dengan itu al-Farabi lebih layak untuk mewakili aliran Mashsha'i yang secara rata mendefinisikan ilmu pengajian falsafah dalam dunia Islam. Dua abad selepas itu baru muncul al-Ghazzali untuk menyangkal pemikiran falsafah yang pada waktu itu sudah jadi terlebih-lebih sehingga mengancam pemikiran dan pengajaran tradisi Islam terutama melibatkan tauhid.

al-Ghazzali mewakili aliran Kalam atau Mutakalimun. Ia adalah aliran theology Islam - saya tak pasti apakah perkataan bahasa Melayu yang sesuai untuk teologi, ia adalah ilmu berkaitan tauhid. Dalam kes Islam ia melibatkan kepercayaan asas seperti rukun Iman. Ilmu Kalam tercipta untuk menyanggah serangan ahli-ahli theology Kristian dan Yahudi terhadap Islam.

Ah. Kewalahan saya kalau mahu menceritakan semua perkara yang timbul dalam syarahan. Terlalu banyak perkara disentuh kerana memang berkaitan sekurang-kurangnya bagi mereka yang berfikiran luas lalu boleh merentas pelbagai disiplin ilmu sambil melihat bagaimana ia saling terkait seperti dahan-dahan atas sebatang pokok yang sama. Sekarang biarlah penumpuan dibuat kepada ayat-ayat atau teks tesis/buku yang dibincangkan. Terus kepada al-Shirazi sebagai tokoh ketiga sumber dan rujukan. Beliau yang muncul dua abad selepas al-Ghazzali disebut sebagai seorang yang betul-betul dapat dipanggil sebagai saintis menurut neraca yang digunapakai sekarang iaitu empiricm - empirisma. Ini adalah konsep yang mana setiap ujikaji boleh diulang di mana-mana tempat/makmal lalu menerbitkan hasil yang sama.




Untuk maklumat lanjut sila cari sendiri dengan kemudahan maklumat di hujung jari melalui Internet. Perenggan seterusnya untuk sub-topik ke-2 Bab Mukadimah menyebut faktor atau pertimbangan kedua dalam memilih tiga tokoh. al-Farabi mewakili tempoh masa penting di mana kajian intensif tentang ilmu-ilmu falsafah dan sains bermula. Termasuk di dalamnya adalah matematik dan sains semula jadi. al-Ghazzali pula wujud ketika berlaku konflik dan pergeseran besar antara falsafah dengan Kalam. Ketika itu juga berlaku perselisihan politik dan keagamaan antara puak Sunni (Ahlus Sunnah wal-Jamaah) dengan Syiah. Tak cukup itu berlaku juga tekanan kebatinan (spiritual) antara pemahaman dalaman (esoteric) orang Sufi (bersifat khas untuk mereka yang mampu mencapainya sahaja) dengan pemahaman luaran (exoteric) ahli Feqah yang bersifat umum untuk difahami orang awam.




Qutb al-Din al-Shirazi pula muncul pada zaman perubahan yang sangat signifikan dalam sejarah umum peradaban Islam. Beliau menyaksikan kejatuhan ibu kota Kekhalifahan Abbasiyah iaitu Baghdad ke tangan puak Mongol tahun 1258 Masihi. Akibat serangan Mongol yang bersifat kasar lagi gasar banyak pusat intelektual dan agama dimusnahkan. Tidak lama kemudian muncul satu era baru falsafah sains Islam yang mekar. al-Shirazi dan guru beliau Nasir al-Din (Nasiruddin) al-Tusi berada di hadapan pergerakan intelektual yang menghidupkan kembali ilmu-ilmu sains selepas kejatuhan Baghdad. Cukup perkongsian.